Followers

Friday, November 15, 2013

Cinta Bukan Larangan (SC) : Bab 9


EMELDA yang kebetulan mahu masuk bertemu Dina Azura, tercengang sebaik terpandang kelibat gadis itu sedang termenung jauh di biliknya. Entah apa yang sedang difikirkan gadis itu agaknya, fikir Emelda sambil tersengih.

            “Dina?”Panggil Emelda perlahan. Namun Dina Azura tidak berpaling. Matanya masih melekat ke luar jendela. Emelda tercengang. Hish anak dara ni, mimpi ke? Muncul satu rancangan jahat di fikiran Emelda. Sambil tersenyum nakal, dia berjingkit-jingkit di belakang anak gadis itu. Sesaat dua dia menunggu, sebelum bahu teman itu ditepuk agak kuat. Dina Azura terperanjat besar. Nyaris dia terjatuh dari kerusi yang didudukinya.

            “Mel, kenapa kau ni? Terperanjat aku!” Dina Azura mengucap panjang.

Emelda ketawa berdekah-dekah. Lucu melihat riak wajah Dina Azura yang cemas.

            “Tuan puteri ni kenapa? Sampaikan patik lalu pun tuan puteri tak sedar. Ingatkan putera raja di seberang bangunan sana ke?” Usik Emelda tak habis-habis tergelak.

            “Amboi-amboi sedapnya mengata aku. Pandai-pandai je nak karang cerita kau. Ingat sikit Cik Emelda, sini bukannya syarikat penerbitan filem tapi syarikat iklan. Tak laku sinopsis cerita kau kalau dijaja di sini.” Balas Dina Azura tak mahu kalah.

            Emelda tersenyum simpul mendengarnya. “Aku tak kisah, sebab cerita yang aku nak jual ni bukan di sini, tapi di bangunan sebelah tu. Agak-agaknya, apa kata jejaka sebelah tu kalau tahu puteri idamannya asyik termenung saja dalam pejabat sebab termimpikan dia?”

            “Ada-ada ajelah kau ni, aku dah kata antara aku dan Irman cuma kawan.”

            “Kawan? Hemm..baiknya persahabatan kau ni sampaikan datang bersama, balik pun berjemput.” Emelda tak habis-habis cuba mencungkil cerita.

            “Mel, aku tumpangkan dia sebab kereta dia masih di workshop. Lagipun dia kan abang kawan baik aku. Cubalah kau tu jangan asyik nak bergosip tentang aku aje. Cerita kau dengan Jeffri, macamana pulak?” Soal Dina Azura seraya tersengih. Sengaja dia menyebut tentang tunang Emelda yang bekerja sebagai pengurus di sebuah syarikat multinasional.

            Emelda mencebikkan bibirnya. Tak sangka-sangka Dina Azura cuba memprovoknya dengan cerita Jeffri pula. Ini yang dia malas ni!

            “Aku dah bosan dengan cerita Jeff tu. Kalau ya pun kau nak sebut nama dia, biarlah selepas kita makan tengahari. Awal-awal lagi kau buat aku tak lalu makan.” Rungut Emelda.

            “Hai, sampai macam tu sekali? Bergaduh dengan Jeffri ke?”

            “Kalau bergaduh lagi baik. Ini tak, dia tu macam perempuanlah, asyik-asyik nak mengalah dengan aku. Bukannya dia tahu nak marah, buat aku bosan lagi adalah.” Keluh Emelda muram.

            Dina Azura sekadar tersenyum simpul. Dia sudah biasa mendengar rungutan temannya itu perihal teman lelakinya yang lurus macam kayu. Kadangkala dia terasa lucu pula. Ada wanita sampai merajuk inginkan teman lelaki yang tahu mengambil berat, bersikap penyayang dan pemaaf. Tidak seperti Emelda yang sukakan lelaki yang mencabar. Katanya lelaki yang terlalu baik, tidak normal. Perkahwinan yang akan dibina nanti, akan cepat terasa hambar. Entahlah betul atau tidak kata-kata gadis itu, dia malas mahu mengambil pusing.

            Sebelum sempat dia mahu memberi komen kata-kata Emelda itu, telefon bimbitnya yang terletak di atas meja berdering. Dia segera mencapai telefon bimbitnya lalu mengerling ke arah paparan skrin. Panggilan dari rumah? Apahalnya? Kerana risau takut ada sesuatu berlaku pada Bibik di rumah, Dina Azura segera menjawab panggilan tersebut. Bimbang juga dia jika ada sesuatu berlaku pada Bibik di rumah, kerana wanita itu jarang-jarang menganggunya semasa waktu pejabat.

            “Bibik, kenapa?”

            Diam.

            “Tak, Dina tak sibuk. Dina tak ada meeting petang ni.”

            Diam. Wajah Dina Azura berubah.

            Bila bik? Tak apalah, nanti Dina confirmkan dengan syarikat penerbangan.”

            Klik! Talian telefon diputuskan. Dina Azura termenung seketika tanpa mempedulikan Emelda yang masih berada di biliknya

            “Dina, ada hal apa di rumah?” Soal Emelda, ingin tahu. Wajah Dina Azura yang muram selepas menerima panggilan telefon dari rumah itu membuatkan dia tumpang cemas. Tumpang risau takut berlaku apa-apa yang tidak diingini.

Dina Azura berpaling ke arah Emelda. Wajahnya berkerut seribu.

            “Bibik beritahu, mama dan ayah aku akan sampai di KLIA petang nanti.” Balas Dina Azura, hambar.

            “Eh baguslah tu, lagipun dah lama mereka kat sana kan?” Celah Emelda turut sama tumpang gembira dengan khabar yang baru diterima. Walaupun begitu, dia menyedari raut wajah Dina Azura seperti tidak ceria mendengar perkhabaran itu. Timbul rasa hairan di hati Emelda melihat temannya itu. Kalau orang lain tentu gembira jika mendengar perkhabaran seperti ini, tapi Dina Azura berbeza pula. Pelik!

*  *  *  *

PELUKAN wanita itu kemas di bahunya. Dia hanya membiarkan. Apabila pelukan itu terlerai. dia mengambil peluang mengucup tangan wanita itu.

Zuraini tersenyum senang. Dina Azura sentiasa patuh dan taat dengan orang tua. Sesuatu yang tak perlu diterapkan pada anak itu, kerana Dina Azura seperti sudah sedia maklum. Sejuk hatinya bila berhadapan dengan gadis itu.

            “Ayah mana mama?” Tanya Dina Azura sambil menjengah di belakang ibunya. Sejak dia menanti di balai ketibaan, wajah ibunya yang pertama muncul. Namun dia tidak nampak kelibat ayahnya.

            Dia bertemu kawan dalam penerbangan tadi. Agaknya masih berbual-bual dengan kawan itu barangkali,” ujar Zuraini. Sesekali matanya memandang ke pintu utama, cuba mencari-cari wajah suaminya. Akhirnya bibirnya mengorak senyuman hambar.

            “Panjang umur ayah kamu, Dina.” Sebut Zuraini.

Dina Azura berpaling. Muncul kelibat seorang lelaki segak berpakaian kemas beriringan keluar bersama seorang lelaki yang hampir sebaya. Dina Azura merasakan dadanya berdebar-debar mahu berhadapan dengan lelaki itu. Namun begitu, dia sabar menanti di samping ibunya, sehingga langkah lelaki itu semakin menghampirinya.

            “Dah lama kamu sampai?” Tegur lelaki itu seraya memandang ke arahnya.

            Baru sampai ayah. Dina terus ke mari dari pejabat.” Balas Dina Azura sedikit gugup.

            Lelaki itu tidak berkata apa-apa lagi, sebaliknya berpaling ke arah teman di sisinya. “Datuk, inilah anak saya Dina Azura.”

            “Dina Azura? I tak pernah tahu you ada anak perempuan sebesar ini, Hisyam.” Ujar lelaki bertubuh gempal di sisi ayahnya.

            “Macamana Datuk nak tahu kalau Datuk tak pernah ke rumah I. Perbincangan kita setakat di pejabat atau di persidangan sahaja.” Hisyam ketawa kecil. Lelaki itu turut tergelak besar mendengar kata-katanya. Ya tak ya juga!

            Dina, ayah nak perkenalkan Dina dengan Datuk Herman. Datuk Herman ni klien terbesar di firma ayah,” beritahu Hisyam.

Dina Azura segera melemparkan senyuman seraya bersalam dengan lelaki itu. Huluran salam Dina Azura disambut agak lama oleh lelaki itu, sambil matanya tak lekang-lekang merenung wajah manis di hadapannya.

            Dina Azura serba salah. Pantas tangannya merungkai pegangan lelaki itu. Datuk Herman tersenyum simpul.

Dina Azura mula merasa tidak sedap hati. Renungan lelaki berstatus ‘datuk’ itu mengundang rasa tidak senang di hatinya. Dia  berpaling ke arah ibunya. Wanita itu hanya memandangnya tanpa berkata apa-apa.

            Kali ini dia lebih suka membisu. Matanya asyik tertumpu pada jalan yang sedang mereka lalui. Sesekali perbualan antara ayah dan mamanya mencelah di pendengarannya, namun dia tidak berminat ingin tahu.

            “Dina free malam esok?” Tanya Hisyam tiba-tiba.

            Dina Azura memandang ayahnya dari cermin hadapan. “Kenapa ayah?”

            “Datuk Herman ajak kita sekeluarga makan malam di rumahnya malam esok. Kalau boleh lapangkan diri, kita sama-sama pergi ke sana.” Ujar Hisyam, lebih kepada satu arahan.

            “Dina rasa tak bolehlah ayah, Dina sibuk dengan projek baru.” Alasannya.

            “Sibuk sekalipun, ayah  nak Dina luangkan masa. Ayah tak mahu dengar sebarang  alasan lagi. Esok Dina mesti balik rumah tepat pada masanya. Ayah dan mama tunggu Dina di rumah.” Pintas Hisyam tegas.

Dina Azura terdiam. Sudah termaktub dalam kamus hidupnya, perintah lelaki itu harus dituruti jika dia tidak mahu menempah bala. Ayahnya memang panas baran orangnya dan agak sukar mahu diajak berunding. Itu yang dipelajarinya selama dia menjadi anak gadis lelaki itu.

            Abang kamu ada telefon kamu kat rumah?” Pertanyaan Hisyam kali ini mengundang resahnya.

            “Kenapa ayah tanya?” Balas Dina Azura gugup.

            Mama dan ayah ke apartmen Diaz, tapi dia tak ada.” Sampuk Zuraini.

“Agaknya betul kata kawan-kawannya, Diaz pergi bercuti ke Europe tak?” Sambung wanita itu sambil menoleh ke arah suaminya. Dina Azura hanya memasang telinga.

            Kalau dia ke sana sekali pun, takkan dia tak pandai-pandai nak beritahu kita. Bukannya dia tak tahu kita akan ke sana. Saya kan dah suruh Ching beritahu dia awal-awal lagi. Memang si Diaz ni suka cari masalah dengan kita,” rungut Hisyam berang. Ada anak lelaki seorang, tapi selalu membuatkan dia pusing kepala. Entah perangai siapa yang diikut si Diaz ni agaknya! Keluh Hisyam.

            Sejak kecil Diaz suka memberontak, tidak seperti Dina Azura yang sering patuh. Kadangkala Hisyam tidak tahu apa sebenarnya yang bermain di fikiran Diaz. Anak itu sering membuat onar, menyusahkan dia dan isterinya sedari zaman kanak-kanak lagi. Entah apa silapnya dengan Diaz, dia sendiri sudah penat memikirkannya.

            “Habis macamana dengan Diaz? I risau selagi tak tahu dia kat mana.” Zuraini berkeluh kesah. Bimbangkan anak yang jauh di mata!      

Don’t worry, I dah suruh penyiasat kita kat sana cari Diaz sampai dapat.”

            Jangan-jangan dia balik ke sini tak?” Duga Zuraini.

            Hisyam terdiam. Mustahil! Sepuluh tahun anak itu enggan pulang ke tanahair meskipun berbuih mulutnya memujuk. Apa mimpi Diaz balik ke mari, kalau benarlah seperti apa yang dikatakan oleh isterinya itu.

            Dina…” panggil Hisyam.

            “Ya ayah.”

            Betul, abang kamu tak pernah telefon ke rumah?”

            Dina Azura menggeleng. Memang benar Diaz tidak pernah menghubungi rumah. Sekurang-kurangnya dia tidak berbohong tentang hal itu. Meski dia tahu kebenaran sebenar bahawa Diaz kini sudah kembali, namun untuk bercerita perihal lelaki itu, dia tidak sanggup.Biarlah kebenaran itu diketahui sendiri oleh ayah dan mamanya, asalkan bukan keluar dari mulutnya.

No comments:

DEDALU DI HATI - STOK TERHAD!!

DEDALU DI HATI  - STOK TERHAD!!

PESANAN NOVEL DEDALU DI HATI SEDANG DIBUKA SEKARANG!!!

Harga = RM25.90
Kos Pos = RM7 (pos laju)
Total = RM32.90

Emailkan nama dan butiran diri ke arr_nita@yahoo.com.
Pesanan sehingga stok ke 3 ini kehabisan..

NANTIKAN VENOM SURIA DI PESTA BUKU ANTARABANGSA PWTC MULAI 27 APRIL, TERBITAN BUKU PRIMA (RM25.90)

NANTIKAN VENOM SURIA DI PESTA BUKU ANTARABANGSA  PWTC MULAI 27 APRIL, TERBITAN BUKU PRIMA (RM25.90)
Suria gadis ceria dan periang, namun miliki sejarah hitam dalam kelahiran. Yang membuatkan dia diburu dan dijejaki untuk meleraikan sebuah kisah sumpahan, lalu mempertemukan dia dengan dua lelaki berbeza sifat. Izwan jenis yang dingin dan panas baran. Cakapnya harus dipatuhi atau dia akan meletup! Nazrul sentiasa cool tapi punya rahsia terpendam yang menyiksa jiwa. Seorang lelaki ditakdirkan menjadi penyelamat. Seorang lagi ditakdirkan membunuhnya. Kedua-duanya muncul tak diundang, tetapi meninggalkan kesan mendalam. Lalu bermulalah permainan cat and mouse antara mereka sehingga game over!