Followers

Sunday, November 23, 2008

Vendetta 13

Anabella diam sahaja di dalam kereta. Namun matanya tak habis-habis menjeling Iqbal yang terus memandu tanpa mempedulikannya. Hatinya teringin mahu tahu ke mana sebenarnya arah mereka. Tapi mengenangkan sikap Iqbal yang tiba-tiba tidak banyak bercakap, dia membatalkan hasrat hati. Perasaan resah yang berkunjung dalam hatinya tidak mahu henti, sedaya upaya cuba dilawan dengan menarik nafas panjang berulangkali. Sesungguhnya kali ini dan saat ini, buat pertama kali dia merasa lemas berada di samping Iqbal.
Alunan muzik ‘Fall For You’ nyanyian Secondhand Serenade sekadar dinikmati ala kadar. Sekadar menjadi halwa telinga tanpa santapan minda. Yang penting ketika ini hanyalah soal yang mahu diperkatakan oleh Iqbal.
Iqbal menghentikan keretanya di kawasan pesisir pantai. Anabella terus memandang lelaki itu dengan ekor matanya. Kenapa mereka tiba-tiba berhenti di sini? Kalau sekadar mahu menikmati kenyamanan udara pantai, di resort itu pun boleh. Anabella mengerutkan dahinya. Namun melihat Iqbal tiba-tiba membuka pintu lalu melangkah keluar, dia jadi terpinga-pinga. Hendak tak hendak dia menurut sahaja jejak langkah Iqbal.
Lelaki itu bersandar pada badan kereta lalu memandang ke arah kawasan pantai di situ yang dipenuhi dengan anak-anak muda sedang berkelah. Beberapa kenderaan yang berulangalik antara Kuantan dan Terengganu turut singgah di situ untuk makan-makan sebelum memulakan perjalanan. Kawasan persisir pantai di Cherating itu memang cukup popular sebagai tempat persinggahan untuk berhenti rehat buat melepaskan lelah.
“Iq nak cakap dengan Bella?” Tanya Anabella tidak mahu membuang masa. Selagi dia tidak tahu hal sebenar, selagi itulah fikirannya akan resah. Lagi-lagi sikap Iqbal sendiri yang agak pendiam dengannya menambahkan rasa gelisahnya.
Iqbal tiba-tiba berpaling. Mata lelaki itu menyorot tajam ke arahnya membuatkan Anabella terkesima. Tuhan! Bagilah aku kekuatan!
“Ib nak tahu sesuatu.”
“Apa dia?”
Iqbal diam semula. Hanya deru nafasnya kedengaran begitu hampir di telinga Anabella. Dia melihat Iqbal menarik nafas panjang berulangkali.
“Ib nak tahu apa yang Bella cakap dengan Mira tu betul ke?”
Anabella tersentak. Meskipun dia boleh mengagak sebab sebenar Iqbal mahu bertemunya, tapi anehnya dia langsung tidak berupaya mengawal dirinya. Dia tetap tidak mampu membendung rasa terkejut dengan kenyataan yang baru keluar dari bibir Iqbal. Bukankah ini yang kau mahu selama ini Bella? Kau mahukan Iqbal mengerti perasaan hati kau bukan!
Sepatutnya dia gembira Iqbal mendengar segala-galanya. Tidak perlu lagi dia mengumpul keberanian untuk menyatakan cintanya pada Iqbal selama hampir tujuh tahun lamanya. Anehnya perasaannya kali ini berlawanan pula. Kenapa tiba-tiba sahaja dia rasa cemas dan gelisah untuk terus duduk berhadapan dengan Iqbal dan berbincang dengan mereka?
“Bella, please…look at me will you. Beritahu pada Ib… semua yang Bella kata pada Mira tu betul atau tidak?” Iqbal bertegas mahu tahu. Sedangkan dia pula semakin kelu mahu berkata-kata. Dia hanya mampu menatap ke arah Iqbal dengan perasaan tidak keruan.
“Selama ni, Bella memang sukakan Ib kan?”
Dia tunduk.
Nafas Iqbal dihela kasar. Lelaki itu mengeluh panjang. “Kalau betul Bella suka Ib selama ni, kenapa dari dulu Bella tak cakap? Kenapa Bella tak reply surat yang Ib tulis tu? Kenapa Bella buat Ib macam orang bodoh menanti benda yang tak pasti?” Soal Iqbal bertalu-talu. Nada suara lelaki itu berbaur kekesalan.
Anabella tercengang. Kata-kata Iqbal yang penghabisan menimbulkan rasa anehnya. Surat apakah yang dimaksudkan oleh Iqbal? Dia tidak tahu menahu satu apa pun tentang surat itu.
“Ib cakap apa ni? Surat apa yang Ib maksudkan ni?” Dia mengerutkan dahinya. Mendengar kata-katanya, giliran Iqbal pula yang tergaman. Lelaki itu merenung ke arahnya tidak berkelip.
“Surat yang Ib tulis pada Bella waktu hari penghabisan SPM. Dalam surat tu Ib minta nak jumpa Bella dekat taman di hadapan sekolah kita. Tapi Bella tak datang langsung. Bella terus pergi macam tu aje. Kenapa Bella?” Wajah Iqbal nampak sedih. Anabella pula semakin buntu. Dia menggaru kepala tidak gatal. Entah kenapa setiap perkataan yang baharu keluar dari bibir Iqbal langsung tidak mampu dicernanya. Ya Allah! Apa sebenarnya maksud Iqbal ni?
“Ib, Bella tak tahu menahu langsung fasal surat yang Ib cakapkan ni. Bella tak terima apa-apa surat langsung.” Dia mengakui hal sebenar. Lebih baik begitu dari membiarkan Iqbal terus berbicara sesuatu yang tak mampu difahaminya.
“Apa maksud Bella yang Bella tak terima surat Ib? Ib titipkan surat tu pada Mira supaya diserahkan pada Bella. Bukankah Bella dan Mira satu kelas.” Wajah Iqbal berubah. Anabella turut sama terkejut. Dia memandang Iqbal dengan wajah serba salah. Iqbal turut memandang ke arahnya. Mereka sama-sama berbalas tatapan dengan wajah bingung.
“Mira…” sebut Iqbal akhirnya. Dia tersandar lemah di badan keretanya. “Jadi selama ini Mira tak pernah serahkan surat tu?” Tanya Iqbal hampir tidak percaya. Anabella sekadar menggelengkan kepala. Dia sendiri tidak menyangka hari ini dia akan mendengar semua ini terus dari mulut Iqbal.
“Mira kata Bella ada baca surat Ib, tapi Bella yang enggan jumpa dengan Ib masa tu. Bella tahu tak betapa kecewanya Ib masa tu?” Mata Iqbal menyorot lemah ke arahnya.“Rupa-rupanya Bella langsung tak tahu kewujudan surat tu.” Sambung Iqbal lagi perlahan.
“Bella memang tak tahu Ib. Sumpah!” Anabella terasa mahu menangis waktu itu juga. Memandang wajah Iqbal waktu itu, membuatkan dia benar-benar rasa sedih. Iqbal terdiam agak lama. Anabella sendiri tidak tahu apa yang patut dikatakannya. Dia benar-benar tidak menyangka Iqbal ada menulis surat padanya selama ini tapi kerana ulah Mira, dia tidak tahu apa-apa langsung.
Diam-diam Anabella mengerling ke arah Iqbal. Raut wajah Iqbal muram tidak berseri. Anabella menghela nafas panjang berulangkali. Aduh susahnya nak cakap ni!
“Boleh Bella tahu kenapa Ib nak jumpa Bella masa tu?” Dalam serba kepayahan dia berjaya juga melontar suara. Dia benar-benar ingin tahu kenapa Iqbal mahu bertemunya ketika itu.
Iqbal tidak terus menjawab. Bebola matanya menujah ke wajah Anabella agak lama. Dia meneliti raut wajah gadis manis di hadapannya. Meskipun dia kecewa dengan apa yang berlaku, namun hatinya masih ragu-ragu. Apakah patut dia mengulang semula setiap perkara yang mahu diungkapkan di hadapan Anabella suatu ketika dulu? Tujuh tahun! Masanya selama tujuh tahun membazir kerana Mira, gadis yang selama ini sering di sampingnya sewaktu dia masih diulit rasa kecewa dengan penolakan Anabella dulu. Itulah yang difikirkan tujuh tahun yang lalu sewaktu Anabella tidak muncul-muncul di taman itu. Dia benar-benar menyangkakan Anabella menolak kehadirannya. Kerana itu dia pergi bersama rasa kecewa.
Hari ini rasa kecewa itu bertukar rasa marah. Marah kerana Anabella tidak pernah tahu tentang suratnya. Marah kerana dia terlalu mempercayai Mira. Marah kerana selama ini dia terlalu bodoh dan menahan diri dari cuba menghubungi Anabella.
“Bella….Ib sayangkan Bella. Dari zaman sekolah lagi, Ib sudah mula menyukai Bella lebih dari teman-teman perempuan Ib yang lain. I love you Bella…always!” Ungkapan kata-kata yang meniti dari bibir Iqbal cukup untuk membuatkan Anabella terpegun bagaikan patung. Kata-kata Iqbal bagaikan menyeretnya ke alam mimpi.
Iqbal sayangkan aku? Iqbal benar-benar cintakan aku? Dia masih keliru. Itukah kata-kata yang mahu Iqbal ucapkan tujuh tahun dulu? Oh tuhan! Kalau bukan sebab Mira, pasti aku dan Iqbal sekarang ini sedang bahagia bersama. Mira memang jahat! Sanggup dia buat macam ni pada aku, kawan dia sendiri! Kalau diikutkan hatinya yang tengah mendidih, mahu rasanya dia menghempuk kepala Mira saat itu juga.
* * * *
Sudah agak lama dia menanti di hadapan bilik penginapan Anabella, namun gadis itu masih belum pulang lagi. Dia mengerling ke arah pergelangan tangannya. Jarum jam sudah menunjukkan pukul 6 petang. Dan hampir dua jam juga dia menanti Anabella di situ.
Fikiran Kojie melayang jauh. Dia teringatkan Anabella yang dibawa pergi oleh Iqbal. Malah dia terasa tidak enak sebaik menyedari tangan Iqbal memegang erat jari-jemari Anabella. Hatinya tiba-tiba dicuit cemburu. Dia sendiri tidak mengerti mengapa. Malah perasaan itu hadir tanpa diundang, sekaligus menyesakkan fikirannya.
Beberapa hari menghabiskan masa dengan Anabella, membuatkan dia serba-sedikit semakin memahami perangai gadis itu. Dan dalam buruk-buruk perangai Anabella yang diperhatikannya, sekurang-kurangnya masih ada kelembutan dan daya tarikan. Dan tarikan itulah yang membuatkan dia rasa dekat dengan Anabella. Malah tidak melampau jika dikatakan, selain dari Mak Wan…Anabella adalah perempuan kedua yang terasa rapat dengannya. Itulah yang disedarinya selama ini. Dan entah sejak bila juga, matanya kerap mengintai tingkah laku Anabella sewaktu bersamanya. Apakah aku sudah mula suka pada perempuan itu? Kojie memegang kepalanya yang terasa pusing. Nafasnya termengah-mengah seperti pelari yang baru menghabiskan larian pusingan 800 m.
“Kalau nak bandingkan kau dengan lelaki tadi, memang dari awal-awal lagi kau dah kalah Kojie.” Suara bisikan Bob yang seakan mempersendakannya sebentar tadi tiba-tiba menjengah. Dia menarik nafas panjang.
“Kalau aku jadi Anabella, aku pun akan pilih mamat handsome tu. Lainlah kalau kau sudi berubah.” Bob tersenyum-senyum.
Dia hanya mampu membisu mendengar omelan Bob. Berubah hanya untuk seorang perempuan? Perlukah itu? Kenapa tidak seorang perempuan yang cuba berubah untuk seorang lelaki? Masalahnya di sini Kojie, Anabella tak sukakan kau. Ingat sikit, dia datang ke mari semata-mata kerana Iqbal. Dia datang untuk merebut cintanya. Suara hatinya berbisik begitu.
“Kenapa termenung aje ni?” Suatu suara tiba muncul. Kojie menoleh. Wajah Makcik Kamariah bertandang di hadapan matanya entah dari mana. Wanita itu tersenyum memandangnya.
“Pertama kali makcik tengok kamu macam ni Kojie. Tunggu siapa? Anabella?” Teka Makcik Kamariah. Kojie hanya mengangguk.
“Dia belum balik lagi?” Dahi Makcik Kamariah berkerut. Kojie memandang wnaita itu tidak berkelip.
“Makcik tahu dia ke mana?”
“Tadi bukan dia ikut Encik Iqbal keluar?” Wanita itu pula bertanya. Kojie tergaman. Rupa-rupanya wanita itu juga tahu.
Melihat raut wajah Kojie yang muram, memaksa Makcik Kamariah mengambil tempat di samping Kojie. Dia menepuk bahu lelaki itu berulangkali. “Makcik dengar Anabella dengan Encik Iqbal dan Cik Mira dulu kawan sekolah, betul ke?” Soal wanita itu.
Kojie mengangguk.
“Kamu dan Anabella?” Mata wanita itu meraut wajahnya dengan teliti. Kojie terkesima. Pertanyaan wanita itu membuatkan dia bungkam. Melihat Kojie diam sahaja, Makcik Kamariah ketawa kecil.
“Kojie, walaupun makcik ni bos kat resort ni, tapi makcik tahu apa yang berlaku dengan orang-orang kat sini. Makcik tahu apa tujuan kamu dengan Anabella tiba-tiba muncul di resort ni. Makcik juga tahu apa hubungan antara Encik Iqbal, Anabella dan Cik Mira sendiri.”
Kojie tercengang. Dia tidak memahami maksud kata-kata wanita itu sebenarnya. Sejak bila Makcik Kamariah sudah jadi tukang tilik ni?
Wanita itu melontarkan pandangan jauh ke hadapannya. Bibirnya melepaskan keluhan kecil. Manakala Kojie pula masih berminat ingin tahu apakah sebenarnya yang dikatakan oleh wanita itu, sedangkan dia sendiri tidak mengerti apa-apa.
“Tadi makcik tak sengaja terdengar Cik Mira dan Anabella bergaduh fasal Encik Iqbal. Encik Iqbal pun ada kat situ tadi. Cik Mira tu cemburukan Anabella. Dia ingat Anabella datang ke sini sebab nak rampas Encik Iqbal.”
Kojie terpaku. Jadi itulah sebabnya Anabella berkelakuan aneh tadi?
“Rasanya Encik Iqbal dan Anabella keluar sebab nak berbincang soal mereka agaknya. Kamu tunggu kat sini pun tak ada gunanya Kojie. Mungkin mereka akan pulang lambat.” Makcik Kamariah memandang Kojie dengan wajah simpati.
“Sepatutnya kamu tak bawa Anabella ke sini Kojie.” Sambung wanita itu lagi. Kojie menoleh. Wanita itu tersenyum memandangnya.
“Kamu ingat makcik tak tahu kamu dan Anabella bagaimana? Kalau kamu benar-benar sukakan dia, sepatutnya kamu berterus terang dengan dia Kojie.”
“Makcik dah salah faham. Saya dan Anabella hanya kawan biasa.”
“Kawan biasa yang sanggup ikut dia sampai berhari-hari ke sini?” Soal wanita itu seraya mengerutkan dahinya.!
“Saya ke mari sebab kereta…..” Ucapan Kojie terhenti. Dia menarik nafas panjang. Sampai bila aku nak gunakan alasan ‘kereta’ untuk menolak perasaan yang mula hadir dalam hati aku ni?
Makcik Kamariah bingkas bangun seraya menepuk habuk yang melekat di pakaiannya. Sesudah itu dia memandang ke arah Kojie yang seakan keliru dan bingung.
“Kojie, kadangkala kita sendiri tak sedar bila kita mula menyukai seseorang. Kerana perasaan cinta itu boleh hadir dalam sekelip mata sahaja. Mungkin ada sesuatu yang istimewa dalam hubungan persahabatan kamu. Tapi kamu kena jujur dengan perasaan sendiri. Anabella….dia mungkin keliru dengan apa yang dia buat. Dan perasaan keliru dia akan membuatkan dia salah langkah. Sebagai sahabat, kamu bantulah dia membuat keputusan dan jalan yang dia pilih. Makcik takut dia akan menyesal suatu hari nanti.” Kata-kata Makcik Kamariah terhenti seketika. Dia mengeluh panjang.
“Besok saudara mara Encik Iqbal dan Cik Mira akan datang. Dan makcik pun tak tahu, apakah majlis pertunangan itu akan diadakan atau tidak. Rasanya itu semua bergantung pada keputusan Anabella dan Encik Iqbal sendiri.” Ujar Makcik Kamariah.
Kojie terdiam. Kata-kata wanita itu tercerna satu persatu dalam kepalanya. Dan anehnya, dia sudah mula merasakan kehilangan Anabella. Apakah Anabella akan meluahkan perasaannya seperti yang dikatakannya? Atau apakah Iqbal sendiri akan bertukar fikiran? Kojie mengetapkan bibirnya. Tiba-tiba sahaja perasaan berangnya memuncak. Dia terasa mahu menjerit sekuat hati!
* * * *
Sewaktu orang lain sudah mula dibuai mimpi, dia pula terkelip-kelip memandang ke atas siling biliknya. Kipas yang berputar ligat di atas kepala tidak langsung membuatkan tubuhnya menjadi sejuk. Sebaliknya tubuhnya terasa berbahang hangat.
Sesekali tubuh kerdilnya dibalikkan ke kiri. Sekejap pula dia beralih arah. Entah kenapa malam itu dia benar-benar sukar mahu melelapkan mata. Kegelisahan di hatinya tidak kunjung padam.
Kata-kata Iqbal masih melekat di hatinya sepanjang malam itu. Cukup sukar dia mahu melupakan renungan Iqbal siang tadi. Renungan Iqbal benar-benar sedih ketika menghantarnya pulang sebentar tadi. Dia juga begitu. Perasaannya benar-benar berkecamuk kali ini.
“Fikiran Ib buntu Bella. Ib tak tahu harus buat apa lagi?” Iqbal meraup wajah dengan kedua belah tangannya.
“Ib nak berhadapan dengan Mira tentang hal ni?” Dia menyoal ingin tahu.
“Apa lagi yang harus Ib buat? Mira dah buat satu kesilapan besar pada kami berdua. Pada Bella sendiri.”
“Mungkin Mira ada sebab.” Dia terlepas kata. Iqbal merenungnya tidak berkelip. Dia sendiri tidak tahu kenapa dalam saat-saat begini, dia masih mempertahankan Mira. Bukankah Mira cuba menganiayai dia dan Iqbal? Mira telah membuat onar yang sangat menyakitkan hati Iqbal. Jika tidak masakan raut wajah Iqbal benar-benar berang.
Iqbal tiba-tiba memegang tangannya. Dia terkejut besar. Bebola mata Iqbal menjunam ke seluruh wajahnya membuatkan hatinya bergetar hebat.
“Ib cuma nak tahu perasaan Bella pada Ib macamana?”
Dia hanya mampu mengeluh.
“Kalau ya pun kenapa? Bella memang dari dulu lagi sayangkan Ib. Tapi lusa Ib dah nak bertunang dengan Bella.” Dia mengingatkan Iqbal tentang majlis itu. Wajah Iqbal terus bertukar. Serta-merta tangannya dilepaskan lelaki itu. Namun mata Iqbal masih meratah wajahnya.
“ Semuanya bergantung pada Bella. Kalau Bella tak mahu, Ib akan batalkan majlis tu. Ib akan tinggalkan Mira.” Putus Iqbal akhirnya. Wajah lelaki itu seolah bertekad.
Anabella memejamkan matanya. Iqbal sudi meninggalkan Mira demi kerananya. Sepatutnya dia gembira mendengar kata-kata yang bermain di bibir Iqbal. Inilah harapannya selama ini dan inilah juga tujuannya datang mengejar Iqbal sehingga ke Cherating. Tapi anehnya kata-kata Iqbal langsung tidak menggembirakan hatinya. Sebaliknya dia rasa serba salah. Apa akan jadi dengan Mira kalau Iqbal buat begitu? Lagi-lagi dengan keadaan Mira yang tengah sakit.
Anabella segera menolak selimutnya jauh-jauh. Dia bingkas bangun lalu mengambil sweaternya lalu disarungkan ke tubuh. Dia ingin keluar mengambil angin. Entah mengapa dia jadi lemas dengan semua ini. Mungkin udara segar akan membuatkan fikirannya lebih jelas dan tidak kacau begini.
Dia berjalan-jalan berhampiran dengan kawasan itu. Udara sejuk menghembus ke wajahnya membangkitkan rasa nyaman dan tenang. Dari jauh bunyi ombak menghempas pantai cukup jelas kedengaran. Namun untuk berjalan sehingga ke arah gigi air dia tidak berani, lagi-lagi pada waktu malam begini.
Dari jauh mata Anabella terpandang gelagat sekumpulan anak muda sedang berbual-bual sesama sendiri di sebuah bangku tidak jauh darinya. Sepasang suami isteri berbangsa kaukasia pula sedang menyusuri persisir air sambil berpegangan tangan. Anabella hanya tersenyum memerhatikan ke arah pasangan tersebut. Romantiknya! Bisik hati kecilnya. Dia mengambil tempat duduk di salah sebuah bangku kosong di situ. Pandangannya ditala ke arah air laut yang berdesir kuat di hadapannya. Tapi hanya sebentar. Sesusuk tubuh yang sedang duduk di atas kawasan beting pasir lebih menarik minatnya. Kojie!
Anabella tiba-tiba merasa lega. Dia tersenyum senang. Dalam keadaan fikirannya yang sedang buntu, dia benar-benar memerlukan Kojie. Meskipun lelaki selekeh itu bukanlah berfungsi sebagai ‘pakar kaunseling’ untuknya, tapi dia sudah berasa cukup dengan kehadiran Kojie di sampingnya. Dia hanya mahukan Kojie sebagai tempat untuknya meluahkan perasaannya. Itu sahaja!
Melihat Kojie seakan tertoleh-toleh ke arahnya, Anabella segera melambaikan tangan. Pandangan Kojie terhenti ke arahnya. Anabella tersenyum senang seraya mengisyaratkan lelaki itu datang. Tapi Kojie hanya sekadar memandang. Beberapa saat kemudian, pandangan lelaki itu dilontar semula ke arah laut yang terbentang luas.
Anabella tercengang. Reaksi Kojie mengejutkannya. Tidakkah lelaki itu nampak dirinya yang melambai-lambai bagaikan orang bodoh di situ? Kenapa lelaki itu buat endah tak endah sahaja? Dia mula mencebik! Hatinya terasa panas dengan gerak geri Kojie kali ini.
Tak disangka-sangka kakinya sudah melangkah laju ke arah Kojie yang sedang duduk. Menyedari kehadirannya, Kojie segera berpaling. Anabella merenung lelaki itu tidak berkelip. Pandangan Kojie turut tumpah ke wajahnya.
“Kau tak nampak aku lambai tadi?” Pertanyaan Anabella cukup keras menjamah ke gegendang telinga Kojie. Kojie acuh tak acuh sahaja memandangnya, membuatkan perasaan Anabella tambah berbara. Kenapa pulak dengan makhluk tuhan yang satu ni?
“Dengar tak?”
“Aku nampak kau tadi.” Pintas Kojie selamba.
“Habis kenapa kau tak datang kat aku tadi?”
Kojie memandang gadis itu tidak berkelip. “Kenapa pulak aku kena datang setiap kali kau panggil? Aku bukannya kuli batak kau kat sini tau!” Balas Kojie pula. Anabella tercengang. Sikap Kojie entah kenapa dirasakan agak berlainan dari hari-hari sebelumnya. Kenapa dengannya?
“Kojie, kau marahkan aku?” Anabella mula berlembut. Dia mahu duduk di sisi Kojie, namun lelaki itu lekas-lekas bangun dari situ.
“Aku dah mengantuk ni. Aku balik tidur dulu.” Ujar Kojie. Anabella terpinga-pinga.
“Oh ya lagi satu, aku rancang nak balik ke Kuala Lumpur petang esok. Kalau kau rasa nak ikut, kau boleh ikut. Kalau tidak, kau boleh tinggal saja kat sini selama mana yang kau suka.” Sambung lelaki itu lagi dengan nada tenang. Anabella tersentak. Kojie nak balik ke Kuala Lumpur? Tapi kenapa tiba-tiba sahaja?
“Buat keputusan kau malam ni. Kalau petang esok, kau tak ada kat lobi resort..aku akan balik sendiri.” Kojie merenung Anabella yang nampak resah. Dia mahu melangkah pergi. Namun jari jemari Anabella lebih pantas menahan.
“Kojie, kenapa tiba-tiba aje ni?”
“Aku tak tahu dengan kau, tapi aku masih ada kerja. Cuti aku dah hampir habis. Semalam majikan aku call minta aku balik segera.” Kojie tersenyum. Hatinya di dalam terasa mahu runtuh. Dia sendiri tidak tahu kenapa dia berbohong dengan Anabella ketika itu.
“Tapi aku masih perlukan kau kat sini untuk temankan aku.”
Kojie tergaman. Kata-kata Anabella membuatkan dia menarik nafas panjang. “Kau hanya perlukan aku untuk hantar kau pada Iqbal. Sekarang kau dah jumpa dia. Aku tak rasa diri aku diperlukan lagi dekat sini.” Tukas Kojie. Anabella terdiam.
Melihat Kojie beredar dari situ, mata Anabella mula berkaca. Dia tidak mahu lelaki itu pergi meninggalkannya sendirian di saat-saat hatinya kali ini benar-benar keliru. Tapi wajah Kojie bagaikan sudah membulatkan tekad untuk pulang esok. Kali ini kesedihan Anabella sudah tidak tertanggung. Dia terduduk lemah di atas pasir sambil menekup mukanya.

No comments:

DEDALU DI HATI - STOK TERHAD!!

DEDALU DI HATI  - STOK TERHAD!!

PESANAN NOVEL DEDALU DI HATI SEDANG DIBUKA SEKARANG!!!

Harga = RM25.90
Kos Pos = RM7 (pos laju)
Total = RM32.90

Emailkan nama dan butiran diri ke arr_nita@yahoo.com.
Pesanan sehingga stok ke 3 ini kehabisan..

NANTIKAN VENOM SURIA DI PESTA BUKU ANTARABANGSA PWTC MULAI 27 APRIL, TERBITAN BUKU PRIMA (RM25.90)

NANTIKAN VENOM SURIA DI PESTA BUKU ANTARABANGSA  PWTC MULAI 27 APRIL, TERBITAN BUKU PRIMA (RM25.90)
Suria gadis ceria dan periang, namun miliki sejarah hitam dalam kelahiran. Yang membuatkan dia diburu dan dijejaki untuk meleraikan sebuah kisah sumpahan, lalu mempertemukan dia dengan dua lelaki berbeza sifat. Izwan jenis yang dingin dan panas baran. Cakapnya harus dipatuhi atau dia akan meletup! Nazrul sentiasa cool tapi punya rahsia terpendam yang menyiksa jiwa. Seorang lelaki ditakdirkan menjadi penyelamat. Seorang lagi ditakdirkan membunuhnya. Kedua-duanya muncul tak diundang, tetapi meninggalkan kesan mendalam. Lalu bermulalah permainan cat and mouse antara mereka sehingga game over!