Followers

Saturday, March 8, 2014

Lelaki Itu...Syurgaku : Bab 9


PANAS yang membahang di wajahnya membuatkan dia membuka kelopak matanya perlahan-lahan. Namun cahaya matahari yang mencelah masuk dari arah hadapan menganggu penglihatannya. Dia segera melarikan wajahnya dari terus diganggu sinar matahari itu. Ketika dia berpaling, bebola matanya tiba-tiba terpandang seseorang sedang tidur di sebelahnya. Melihat lelaki itu, serta-merta dia terkejut. Kaget!

Tangannya diangkat tinggi mahu memukul lelaki di sampingnya. Tapi sejurus kemudian, dia menjatuhkan tangannya kembali. Wajah lelaki itu direnung lama. Baru dia teringat siapa lelaki itu. Idlan! Idlan Riyaz! Dia menyebut nama itu berulangkali seraya merenung wajah lelaki itu lebih dekat. Hmm..boleh tahan juga dia ni! Bisik hati kecilnya. Padanlah Mira boleh angau dalam tempoh beberapa jam sahaja!

Wajah lelaki itu bersih dan kelihatan tenang. Alis matanya teratur, tidak nipis dan tidak juga terlalu tebal. Sedang-sedang elok! Bibir lelaki itu merah menandakan lelaki itu bukan perokok tegar. Jika diraut dengan teliti, lelaki di sampingnya itu memang terkategori lelaki kacak. Sedap mata memandang. Mempunyai penampilan yang segak meskipun hanya berpakaian santai sahaja.

            Sedang dia asyik mengulit wajah itu, lelaki itu tiba-tiba membuka matanya seraya menguap. Orked terkejut, lalu cepat-cepat membalikkan tubuhnya. Pura-pura tidur. Tapi dia dapat mendengar keluhan lelaki itu meniti dari bibir. Dalam keadaan mata masih terpejam rapat, dia dapat merasakan seseorang sedang membuka pintu kereta di sebelah tempat duduknya. Sejurus sepasang tangan kekar tiba-tiba menyentuh pinggangnya. Orked sudah tidak mampu berpura-pura lagi. Dia membuka mata serentak menjerit nyaring! Tangannya sudah kucar-kacir memukul sana sini.

            “Orked, ini abanglah. Aduh!” Suara Idlan kedengaran.

            Orked berpaling. Melihat wajah Idlan yang merah padam, dia segera menutup mulutnya. Alamak! Wajahnya pucat memandang ke arah Idlan yang asyik mengosok-gosok dadanya.

            “Kuatnya Orked pukul. Kalau macam ni, CM Punk dengan The Ogre pun boleh kalah.” Gurau Idlan dengan wajah berkerut. Senak dadanya kena tumbukan gadis itu.

            Siapa suruh kau ambil kesempatan?” Orked pura-pura membela diri.

            Idlan tercengang. Kata-kata gadis itu membuatkan dia separuh bingung. Tiba-tiba ketawanya meletus kuat. Terasa lucu dengan salah faham kali ini.

            “Maaf dik kalau abang spoil imaginasi Orked yang tinggi melangit tu. Tadi tu abang cuma nak tolong angkat Orked masuk rumah aje. Takkan nak biarkan Orked tidur kat sini sampai tengahari nanti.” Ujar Idlan bersama sisa-sisa tawanya.

            Wajah Orked mula membiru mendengar penjelasan Idlan yang bersahaja. Malunya! Dia mengigit bawah bibir kerana terasa malu dengan kelakuannya sebentar tadi. Bodoh! Buat kesimpulan tak kena tempat! Tak fasal-fasal diketawakan orang! Rungut hati kecilnya.

            “Dah lah tu, jom kita keluar. Mujur Orked dah sedar, tak payahlah abang angkat Orked lagi ke dalam.” Pelawa Idlan.

            Orked mengalihkan pandangan. Baru dia perasan di hadapannya kini terdapat sebuah rumah besar yang agak cantik dengan landskap taman dan air terjun di bahagian laman rumah. Rumah ala-ala tropika itu dibina dengan gabungan konsep moden dan tradisional. Cantik! Bisik hati kecil Orked tanpa disedari.

            “Kita kat mana ni?” Soal Orked bingung. Dia inginkan penjelasan yang rasional dari Idlan. Matanya tak habis-habis menyorot suasana di sekeliling rumah itu yang kelihatan sunyi sepi.

            “Orked yang kata nak pergi jauh dari rumah kan? Jadi abang bawa Orked ke sini. Betul-betul jauh dari rumah. Kita sekarang kat Bukit Tinggi,” Bisik Idlan di tepi telinganya.

Apa? Bukit Tinggi? Dia menelan liur mendengar kata-kata Idlan. Entah kenapa, kata-kata lelaki itu membuatkan dia gusar. Matanya menukas tajam ke arah Idlan yang kelihatan selamba. Cuba mencari segaris kejujuran di wajah lelaki itu. Mungkin lelaki itu adalah anak kepada ibu tirinya. Tapi siapa boleh menjamin lelaki itu bukan dari kategori psiko atau pembunuh bersiri?

            “Aku nak balik.” Tiba-tiba  sahaja dia nekad menyebut begitu.

            Idlan ketawa kecil. “Lucu! Sekejap nak pergi jauh dari rumah. Sekejap nak balik pulak. Ni kalau jawab dalam exam, cikgu pun pening nak semak jawapan.”  Sindir Idlan.

            Namun dia tidak mempedulikan kata-kata Idlan itu. Hatinya tiba-tiba  menyangsikan kejujuran lelaki itu. Dia hanya tahu bercakap sahaja mahu lari jauh dari rumah. Hakikatnya niat Idlan membawanya ke tempat yang sunyi itu menimbulkan curiganya.

Dia meraba-raba sesuatu dari dalam beg sandangnya. Ada! Nasib baik pepper stray itu masih ada di dalam beg sandangnya. Dia sudah berkira, kalau Idlan cuba melakukan sesuatu yang tidak baik terhadapnya, dia akan menyembur serbuk lada itu ke wajah lelaki itu. Lantaklah nak jadi apa pun!

            Namun belum sempat dia merencanakan rancangannya, tiba-tiba muncul seorang wanita tua di belakang Idlan.

            “Dah lama sampai Idlan?” Tegur wanita itu.

            Idlan berpaling. Sebaik melihat wanita itu, dia segera berteriak gembira. Tangan wanita itu segera dicapai lalu dikucup.

            “Baru aje Mak Tun. Saya bawa tetamu ni.” Ujar Idlan seraya melirik ke arah Orked yang tercegat seperti patung. Wanita itu turut menoleh ke arah anak gadis itu.

            “Siapa ni?”

            Ini Orked, adik saya.” Jawab Idlan. Perkataan ‘adik’ sengaja disebut kuat-kuat. Ini kerana dia tahu Orked tentunya berbulu mendengar kata-katanya. Hampir dia hendak ketawa melihat wajah Orked yang mencuka ketika memandangnya. Sasarannya mengena!

            “Oh adik..” Wanita itu tersenyum simpul.“Berapa lama kamu bercadang nak menginap kat sini?” Soal Mak Tun.

            “Entahlah Mak Tun, belum tahu lagi. Cadangnya dalam beberapa hari.” Ujar Idlan.

            Wanita itu mengangguk. “Duduklah selama mana kamu mahu pun Idlan. Rumah ni pun milik kamu. Mak Tun ni cuma menjaganya saja.”

            “Mak Tun sudi menjaga rumah ni pun, saya sangat berbesar hati Mak Tun. Kalau tidak, rumah arwah ayah ni akan terbiar begitu aje.” Tukas Idlan tersenyum.

            “Amanat ayah kamu, kenalah Mak Tun tunaikan. Dia lelaki yang baik, sayangnya arwah pergi dulu.” Keluh wanita itu.

            Orked yang mendengar perbualan itu hanya mampu terpisat-pisat. Dia langsung tidak memahami maksud perbualan kedua-duanya. Selebihnya dia malas mahu mengambil tahu. Namun begitu, hatinya berasa tenang sedikit mendengar wanita tua itu menetap di rumah itu. Jadi tidaklah dia dan Idlan berdua-duaan seperti yang terasuk di fikirannya sebentar tadi.

            Bawalah adik kamu ni masuk dulu. Mak Tun nak ke belakang sekejap kutip sayur-sayuran buat lauk kita malam ni.” Canang orang tua itu.

            “Ada sesiapa menginap kat sini Mak Tun?” Tanya Idlan.

            “Ada satu keluarga dengan sekumpulan budak-budak kolej yang nak pergi memancing kat tasik. Hari ni tak ramai sangat. Tapi minggu lepas sampai tak menang tangan Mak Tun dengan Pak Man kamu.” Ujar wanita itu lalu beredar dari situ.

            Idlan berpaling. Melihat tingkah Orked yang sedang memerhatikannya dengan wajah cemberut, dia hanya mampu tersenyum.

            “Tadi tu Mak Tun, penjaga rumah ni. Dia tinggal kat sini dengan suami dia, Pak Man.” Jelas Idlan tanpa dipinta.

            “Rumah siapa ni?” Tanya Orked ingin tahu.

            “Ini rumah peninggalan arwah ayah abang. Mak Tun dan Pak Man, kenalan lama ayah abang. Dah lama mereka menetap  kat rumah ni. Abang tak sampai hati nak suruh mereka pindah.” Jelas Idlan.

            “Tadi kau kata ada orang lain menginap kat sini? Siapa?” Entah mengapa Orked tiba-tiba berminat ingin tahu.

            Idlan tersenyum lalu mengangkat beg sandang Orked yang tersimpan di belakang kereta. Sebenarnya tempat ni homestay. Ayah abang beli dan bina tempat ni sebab ini satu-satunya impian dia. Dekat kawasan ni ada air tasik buatan, ada laluan untuk jungle trekking. Kalau Orked suka, ada kolam renang kat belakang rumah siap dengan tennis court lagi. Nanti abang bawa Orked jalan-jalan sekitar kawasan ni.”

            Orked terdiam. Tanpa berkata apa-apa, dia segera mencapai beg sandangnya dari tangan Idlan lalu menggalas beg tersebut.

            “Orked boleh duduk kat sini bila-bila masa sahaja Orked suka. Tapi kalau Orked tak suka tinggal kat sini, sekarang juga abang boleh bawa Orked balik.” Getus Idlan seraya melirik ke arah anak gadis itu.

            Tapi melihat anak gadis itu melangkah masuk ke arah pintu rumah yang sudah terbuka luas, mahu tak mahu Idlan tersenyum. Dia tahu berbanding tempat ini dengan rumah gadis itu, Orked pasti akan memilih tinggal di tempat yang sunyi ini.

*  *  *  *

BULAT matanya memerhatikan susun atur bilik yang ditempatinya. Bilik itu cantik sekali, dihias oleh perabot-perabot moden yang ringkas. Orked melemparkan beg sandangnya ke tepi dinding lalu menghempas diri ke atas katil. Matanya merayap ke atas siling bilik itu. Terkial-kial memandang ke suatu titik. Merenung jauh pada sesuatu yang menghambat perasaannya.

            Kelopak matanya dipejamkan. Wajah ayahnya segera terbayang-bayang di ruang mata. Entah apa reaksi lelaki itu jika tahu dia enggan pulang ke rumah sebaik keluar dari lokap? Pasti lelaki itu berang! Malah jika ayahnya ada di hadapannya sekarang, sudah pasti pelempang lelaki itu akan naik ke pipi licinnya.

            Tiba-tiba sahaja hatinya diulit sayu. Kesedihan berpupuk di jiwa. Bukan niatnya mahu menyakiti hati lelaki itu. Malah jauh sekali untuk dia menyusahkan ayahnya seperti ini. Tapi jika ini satu-satunya jalan untuk dia menarik perhatian ayahnya, maka dia lebih rela dibenci dan dicaci. Sekurang-kurangnya lelaki itu akan memandang dan mengingatinya meskipun dengan perasaan marah.

            Tanpa disedari setitis airmatanya gugur jua di pipi. Orked cepat-cepat mengesatnya sambil menggelengkan kepala. Tidak! Aku tak boleh menangis sekarang. Bukan sekarang! Dia bingkas bangun lalu berpaling ke arah beg sandangnya. Isi beg itu dikeluarkan satu persatu sehingga tangannya menyentuh sebuah kotak kecil yang diperbuat dari seramik berwarna pink muda. Kotak itu sentiasa dibawanya ke mana-mana sahaja dia pergi. Terdapat hiasan bunga ros kecil pada penutup kotak itu. Kotak itu adalah hadiah terakhir umi untuknya. Di dalam kotak itulah dia menyimpan setiap hasrat hatinya yang tidak pernah kesampaian.  

“Janji dengan umi, apa sahaja yang ayah buat pada Orked, Orked kena sabar. Orked tak boleh lawan cakap ayah. Orked kena ingat pesan umi.” Suara uminya menerpa dalam ingatan.

            “Maafkan Orked umi, Orked bukan anak yang baik seperti yang umi harapkan. Orked hanya gadis biasa yang sentiasa tercalar dengan sikap ayah yang tak pernah mahu memandang Orked!” Tangisnya pilu.Kenangan manis bersama uminya terlalu dirindui. Hinggakan pada suatu tahap, dia merasa dirinya lebih baik mati dari dilayan seperti jasad yang kaku dan hina pada pandangan ayahnya.

            Idlan membatalkan hasrat untuk mengetuk pintu bilik di hadapannya. Perlahan-lahan dia menjatuhkan tangannya. Suara tangisan yang sayup-sayup di telinganya membuatkan dia menjarakkan diri dari bilik di hadapannya.

            Dia tidak menyangka, gadis yang nampak keras hati itu rupa-rupanya masih tahu menangis. Masalah apakah sebenarnya yang membelenggu diri gadis seusia Orked? Dia teringatkan airmata yang mengalir di cerun pipi gadis itu pagi tadi. Apakah tangisan di dalam kereta itu sama maksudnya dengan tangisan yang ini?

            “Dia tidur agaknya.” Ujar Idlan ketika Mak Tun bertanya.

            “Hmm..penat agaknya tu. Tak apalah, kita makan dulu. Nampaknya hari ni kita berdua sahajalah. Tetamu-tetamu lain sejak awal-awal pagi dah keluar.” Keluh Mak Tun.

            “Pak Man ke mana Mak Tun?”

            “Dia ke kampung sebelah. Berubat orang sakit kat sana.” Ujar Mak Tun sambil menyenduk nasi lemak ke pinggan Idlan.

            “Tak sangka Pak Man masih pandai ubatkan orang. Bolehlah dia tolong ubatkan saya nanti.” Idlan tersenyum.

            Mak Tun menoleh. Wajah orang tua itu berubah mendengar kata-kata Idlan.

            Kamu tak apa-apa Idlan?” Mak Tun bertanya. Nada suaranya jelas risau.

            Idlan tiba-tiba ketawa. “Saya bergurau aje Mak Tun. Cuba Mak Tun tengok saya ni, saya okey je kan?” Idlan bercanda dalam gurauan.

            “Terkejut Mak Tun dengar kamu cakap begitu. Kus semangat.” Mak Tun menarik nafas panjang seraya menggelengkan kepalanya. Untuk seketika, dia benar-benar merasa bimbang apabila mendengar rentak bicara Idlan.

            “Saya okey je Mak Tun. Cuma ada seorang yang tak okey dalam rumah ni.” Sahut anak muda itu selamba.

            “Siapa?” Mak Tun tercengang-cengang.

            “Yang kat dalam bilik tu.” Idlan menjuihkan mulutnya ke suatu arah.

            Mak Tun mula memahami siapakah yang dimaksudkan oleh anak muda itu.

            Dia benar-benar adik tiri kamu?” Tanya Mak Tun sekali lagi.

            Idlan mengangguk. “Takkanlah saya nak bawa mana-mana perempuan sebarangan datang ke mari. Nanti disergah Pak Man, masak saya nanti.” Gurau Idlan.

            Mak Tun ketawa terbahak-bahak. Lucu mendengar gurauan Idlan yang masih ceria seperti dulu.

            “Sebenarnya adik kamu tu kenapa?” Tanya Mak Tun sekadar ingin tahu.

Idlan terdiam. Keluhan kecil meniti dari bibirnya. Dia sendiri tidak tahu bagaimana mahu menjelaskan pada wanita itu tentang Orked. Segala-galanya tentang gadis itu masih samar-samar baginya.

            “Dia baru keluar dari lokap semalam, lepas tu tak nak balik rumah pulak.” Beritahu Idlan.

            “Hah?” Mak Tun terpempan. Terkejut mendengar kata-kata Idlan yang selamba. Melihat wajah Mak Tun, Idlan tidak mampu menahan tawa. Terkeheh-keheh dia mengetawakan Mak Tun yang terlongo sejenak.

            Mak Tun ni mudah kena tipu la. Dari dulu sampai sekarang sama je.” Idlan ketawa kecil. Mak Tun terpinga-pinga.

            “Oh jadi kamu tipu Mak Tun la ni ya? Hmm pandai ya.” Tiba-tiba cubitan Mak Tun singgah di lengan Idlan. Idlan mengaduh sedikit, tapi masih ketawa. Melihat tingkah lelaki itu, mahu tak mahu Mak Tun turut melempiaskan tawanya.

            Bunyi riuh-rendah itu sampai ke telinga Orked yang baru keluar dari biliknya. Dia merenung ke arah Idlan dan Mak Tun yang sedang bergelak-ketawa. Langkahnya tidak jadi diteruskan. Seperti ada yang tidak kena dirasakannya. Saat ini seluruh jiwa dan perasaannya kacau-bilau. Tapi kedua-dua manusia di hadapannya itu kelihatan riang dan gembira. Dan kegembiraan yang baharu sahaja disaksikannya itu entah kenapa menyakitkan hatinya.

            Meskipun aroma nasi lemak itu menarik-narik dirinya untuk ke meja makan menikmati sarapan, namun diam-diam dia segera melangkah pergi dari situ tanpa disedari sesiapa.

4 comments:

eija said...

aduiii trigin plk nk mkn nasi lemak.. sedap nya.. apa dh jd sbnarnya..nape ayah xsuka kt orked.. cian orked..

kak kawen kn jer orked ng idlan.. br syiokkk..hihi

nuranissya said...

mana nak dapat novel ni yeee.

nuranissya said...

mana nak dapat novel ni yeee.

Mazni Aznita said...

novel ni dah diversicetakkan..boleh dptkan di kedai slps Pesta buku antarabangsa selesai..insya allah ada

DEDALU DI HATI - STOK TERHAD!!

DEDALU DI HATI  - STOK TERHAD!!

PESANAN NOVEL DEDALU DI HATI SEDANG DIBUKA SEKARANG!!!

Harga = RM25.90
Kos Pos = RM7 (pos laju)
Total = RM32.90

Emailkan nama dan butiran diri ke arr_nita@yahoo.com.
Pesanan sehingga stok ke 3 ini kehabisan..

NANTIKAN VENOM SURIA DI PESTA BUKU ANTARABANGSA PWTC MULAI 27 APRIL, TERBITAN BUKU PRIMA (RM25.90)

NANTIKAN VENOM SURIA DI PESTA BUKU ANTARABANGSA  PWTC MULAI 27 APRIL, TERBITAN BUKU PRIMA (RM25.90)
Suria gadis ceria dan periang, namun miliki sejarah hitam dalam kelahiran. Yang membuatkan dia diburu dan dijejaki untuk meleraikan sebuah kisah sumpahan, lalu mempertemukan dia dengan dua lelaki berbeza sifat. Izwan jenis yang dingin dan panas baran. Cakapnya harus dipatuhi atau dia akan meletup! Nazrul sentiasa cool tapi punya rahsia terpendam yang menyiksa jiwa. Seorang lelaki ditakdirkan menjadi penyelamat. Seorang lagi ditakdirkan membunuhnya. Kedua-duanya muncul tak diundang, tetapi meninggalkan kesan mendalam. Lalu bermulalah permainan cat and mouse antara mereka sehingga game over!