Followers

Sunday, January 2, 2011

Mitos Cinta Suria : Bab 37

“KENAPA kau bawa aku ke sana dan ceritakan semuanya?” Soal Suria tiba-tiba sambil melirik ke arah Izwan yang kelihatan serius memandu. Lelaki itu menoleh.

“Aku cuma mahu kau faham tentang tugas kami. Tentang kenapa kami perlu berahsia tentang apa-apa sahaja yang berkaitan dengan kes ini. Lagipun, bukan ini yang kau mahukan? Kau yang nakkan kita berkongsi maklumat bukan?” Mata Izwan melirik ke arahnya seraya tersenyum.

“Aku tak sangka yang kau akan percaya semua ini.” Suria mengeluh.

“Tidak, aku tak percaya sebenarnya.” Balas Izwan acuh tak acuh.

Suria tercengang. Serta-merta dia berpaling ke arah Izwan. Cuba merungkaikan maksud kata-kata lelaki itu.

“Kami semua penguatkuasa undang-undang Suria, bukannya tukang ramal. Kami hanya percaya pada bahan bukti dan bukannya cerita karut marut tentang momok atau pun hantu syaitan. Sebab itu unit kami ditubuhkan, untuk menyangkal unsur-unsur Venom pada setiap kes dengan menyiasat menggunakan kaedah saintifik dan rasional logik.”

“Tapi kenapa siasatan ni dilakukan secara rahsia? Kenapa tidak dijalankan melalui saluran biasa?” Soal Suria lagi.

Izwan menoleh sejenak ke arah gadis itu. Dia melepaskan keluhan kesal.

“Kau pernah dengar satu kejadian pembunuhan yang berlaku pada tahun 1985? Ia melibatkan sekumpulan penganut-penganut ajaran sesat yang ditemui mati terbunuh di sebuah kampung di sempadan Johor. Kes itu telah mempengaruhi hampir keseluruhan organisasi polis apabila muncul khabar-khabar angin kononnya pembunuhan tersebut dirancang oleh pihak polis sendiri ketika menyerbu perkampungan itu. Tuduhan-tuduhan liar begitu membuatkan imej polis terjejas. Mujurlah pihak polis berjaya memesongkan tumpuan orang ramai. Dan cerita itu tertutup begitu sahaja tanpa ada penjelasan.” Cerita Izwan.

Suria terdiam. Dia teringat tentang cerita yang sama pernah meniti keluar dari bibir Haqimi. Inikah yang dimaksudkan oleh Haqimi tempohari?

“Apabila berlaku pembunuhan gadis-gadis itu, pihak polis tidak mahu terburu-buru mengambil kesimpulan. Apatah lagi kami sendiri sedang berhadapan dengan seorang pembunuh yang membunuh di luar tabie manusia. Membunuh dengan cara yang amat aneh dan tidak dapat dibuktikan oleh mana-mana bukti surih. Sekarang kita berhadapan dengan seorang pembunuh yang dominan, tidak dapat disentuh oleh undang-undang dan memiliki kelebihan iaitu ‘invisible’. Cuba kau fikir, jika kau siarkan berita tentang pembunuhan itu tanpa mendedahkan apa sebenarnya yang berlaku dan siapakah suspek utama, maka pihak polis akan berdepan dengan lebih banyak tekanan dari orang ramai. Aku bukan melarang kau siarkan berita ini, tapi aku cuma harap kau boleh bersabar. Sabar menunggu kami menyelesaikan siasatan dan mencari siapakah dalangnya. Itu sahaja.” Ujar Izwan.

Suria terdiam. Baru dia mengerti kedudukan sebenarnya. Izwan hanya menjalankan tugas, manakala dia pula hanya tahu menganggu siasatan polis.

“Kat mana aku perlu hantar kau?” Soal Izwan tiba-tiba.

Suria tersentak. Kerlingan lelaki itu singgah di wajahnya. Dia menarik nafas panjang. “Hantar aku di restoran tadi. Kereta aku masih kat sana.” Pintanya. Izwan mengangguk lalu terus memecut keretanya ke suatu arah.

Suria terus bermain dengan fikiran sendiri. Bayang-bayang wajah Masyitah terus menghantuinya. Dia teringatkan mimpinya tempohari. Apakah kehadiran Masyitah dalam mimpi hanya untuk memberitahunya sesuatu? Dan bagaimana pula dengan penglibatan lelaki berkulit hitam legam serta mempunyai parut panjang di pelipis kirinya?

“Dah sampai,” bisik Izwan sejurus kemudian. Suria terpinga-pinga. Jauh dia termenung sehingga tidak menyedari kereta Izwan sudah pun berhenti di kawasan restoran, tempat mereka berjanji sebelumnya. Namun Suria tidak terus turun. Perlahan-lahan dia menoleh ke arah Izwan yang turut memandangnya.

“Wan…” panggilnya perlahan. Izwan tergaman mendengar panggilan itu. Bulat matanya memandang Suria yang kelihatan gelisah.

“Aku pernah mimpikan Masyitah. Dia datang dalam mimpi aku seperti mahu meminta tolong. Dan aku percaya mimpi itu bukan sekadar mimpi. Ada sesuatu tentang kes ini yang buat aku terfikir, ianya bukan hanya satu pembunuhan biasa. There’s something going on Wan.” Keluh Suria resah.

Izwan tersenyum tenang. “Kau kata kau bermimpi, dan mimpi selalunya mainan tidur. Jangan terlalu percaya pada benda-benda ini semua Suria.” Balas Izwan mudah.

Suria terdiam. Kata-kata Izwan menyekat dirinya untuk terus berterus terang. Padahal dia ingin berbicara dengan Izwan tentang sepucuk surat yang dikirim kepada Masyitah beberapa minggu sebelum kehilangan gadis itu. Juga tentang isi kandungan diari Masyitah yang agak aneh. Tapi sikap Izwan yang terlalu praktikal mematikan hasratnya.

“Kau ingat lagi lelaki yang mengugut Doktor Ibrahim tempohari?” Soal Suria lagi. Izwan tercengang. Lelaki berkulit hitam legam itukah yang dimaksudkan oleh Suria?

“Di hospital tempohari, aku terserempak dengan lelaki iu. Aku ekori dia dan dia ada bercakap sesuatu yang aneh tentang kematian Masyitah.”

“Kau bercakap dengan dia?” Izwan mengerutkan dahinya. Suria mengangguk.
“Katanya kematian Masyitah langsung tak berkait dengan dia. Dan entah kenapa aku yakin, lelaki tu bukan pembunuh sebenar Masyitah. Aku percaya cakap dia.” Ujar Suria perlahan.

“Mana kau tahu dia tak terlibat? Mungkin dia hanya cuba mengelirukan kau. Mengelirukan kita semua. Kalau dia tidak membunuh Masyitah, untuk apa dia datang semula mencari mayat itu?” Soal Izwan. Suria terdiam. Kata-kata Izwan ada benarnya.

“Sewaktu malam tahlil di rumah Masyitah, Kak Mahani dan kawan Masyitah, Junera ada tunjukkan sekeping surat pada aku. Surat itu bertaip tetapi tidak disertakan alamat pengirim dan tidak juga dihantar melalui pos.” Ujar Suria. Dia berhasrat untuk berterus terang dengan Izwan tentang semua yang diketahuinya.

“Apa isi kandungan surat tu?” Izwan seolah berminat ingin tahu.

“Surat itu berupa amaran, agar Masyitah tinggalkan Kuala Lumpur secepat yang mungkin.”

“Itu saja?” Izwan mengerutkan dahinya.

Suria menggelengkan kepala. Dia mengeluarkan sepucuk surat dari beg sandangnya. Surat itu dihulurkan ke arah Izwan. Izwan segera menyambutnya lalu mula membaca.

“Cuba kau lihat simbol di bawah surat itu.” Suruh Suria.

Mata Izwan segera menyorot ke bawah. Satu simbol yang menyerupai sepasang tangan sedang memeluk sebuah sfera seakan-akan bulan terletak di hujung kertas tersebut. Dahi Izwan berkerut seribu. Simbol itu seakan pernah dilihatnya sebelum ini.

Tanpa menanti reaksi lelaki itu, Suria kembali menyeluk poket beg sandangnya sekali lagi. Sekeping gambar dihulurkan ke arah lelaki itu.

“Ini gambar yang ada dalam laptop aku, sama dengan gambar yang aku serahkan pada kau tempohari. Aku dah besarkan gambar ni. Cuba kau tengok di bahagian kiri pokok tu seolah-olah seperti ada bayang hitam. Mulanya aku tak perasan, tapi kalau kau perhatikan betul-betul kau akan faham maksud aku sebenarnya.”

Mata Izwan terpaku meneliti gambar di hadapannya. Matanya dikecilkan, cuba mencari sesuatu pada gambar yang baru diserahkan oleh Suria. Matanya menyorot ke arah bayang hitam di dalam gambar.

“Apa sebenarnya ni?” Izwan gagal mengesan apa-apa.

“Cuba kau lihat lingkaran bulat yang terbias oleh bayang-bayang tu.” Suria memberi ‘hint’ apabila dilihatnya Izwan bagaikan sukar mencerna maksudnya. Mata Izwan kembali tertumpu pada gambar tersebut. Beberapa saat kemudian, Izwan menarik nafas panjang. Simbol itu!

“Bentuk simbol ni sama dengan yang ada di dalam surat ni. Macamana kau boleh kesan simbol ni sedangkan aku dah tengok gambar tu berkali-kali dan langsung tak nampak apa-apa?” Izwan merenung gadis itu. Suria tersenyum.

“Aku cuba nasib. Kalau dengan mata kasar memang kita takkan perasan. Mula-mula imej ini sendiri kabur dan pecah jika aku besarkannya. Mujur ada perisian di internet yang membantu. Apa pendapat kau tentang simbol ni?”

“Entahlah, kemungkinan besar simbol ini salah satu klu penting yang mungkin boleh menyelesaikan kes ni. Walau siapa pun orangnya yang menghantar surat ini pada Masyitah, dia pasti tahu sesuatu. Aku akan minta orang-orang aku kesan tentang simbol ni.” Putus Izwan. Suria menarik nafas lega. Tenang sedikit hatinya apabila dapat memberitahu Izwan segala-galanya yang diketahuinya.

No comments:

DEDALU DI HATI - STOK TERHAD!!

DEDALU DI HATI  - STOK TERHAD!!

PESANAN NOVEL DEDALU DI HATI SEDANG DIBUKA SEKARANG!!!

Harga = RM25.90
Kos Pos = RM7 (pos laju)
Total = RM32.90

Emailkan nama dan butiran diri ke arr_nita@yahoo.com.
Pesanan sehingga stok ke 3 ini kehabisan..

NANTIKAN VENOM SURIA DI PESTA BUKU ANTARABANGSA PWTC MULAI 27 APRIL, TERBITAN BUKU PRIMA (RM25.90)

NANTIKAN VENOM SURIA DI PESTA BUKU ANTARABANGSA  PWTC MULAI 27 APRIL, TERBITAN BUKU PRIMA (RM25.90)
Suria gadis ceria dan periang, namun miliki sejarah hitam dalam kelahiran. Yang membuatkan dia diburu dan dijejaki untuk meleraikan sebuah kisah sumpahan, lalu mempertemukan dia dengan dua lelaki berbeza sifat. Izwan jenis yang dingin dan panas baran. Cakapnya harus dipatuhi atau dia akan meletup! Nazrul sentiasa cool tapi punya rahsia terpendam yang menyiksa jiwa. Seorang lelaki ditakdirkan menjadi penyelamat. Seorang lagi ditakdirkan membunuhnya. Kedua-duanya muncul tak diundang, tetapi meninggalkan kesan mendalam. Lalu bermulalah permainan cat and mouse antara mereka sehingga game over!