Followers

Thursday, November 14, 2013

Mencari Kiblat Cinta : Bab 29


            DANIRA merenung permukaan kolam yang beriak tenang. Pusaran air itu semakin besar tatkala beberapa anak-anak kecil yang datang ke situ ditemani ibu bapa masing-masing, merasa seronok dengan melempar batu-batu kecil ke permukaan air kolam. Dia hanya mampu tersenyum memerhatikan telatah anak-anak itu. Mahu melarang, dia sedar dirinya tidak berhak. Biarlah anak-anak itu berbuat sesuka hati asalkan tidak menyakiti kawanan itik yang berenang di hadapannya.

            Wajahnya yang ceria sebentar tadi kini dengan cepat berganti muram. Ada banyak kekesalan yang bertandang di hatinya tatkala mengenangkan Joshua. Lelaki itu terlalu banyak berbudi sehingga adakala dia benar-benar merasa takut untuk termakan budi lelaki itu lagi. Entah kenapa, lirikan mata Joshua terhadapnya sejak beberapa tahun kebelakangan ini membuatkan dia serba salah. Dia juga tahu cemburu Evelyn padanya bertempat. Bukan salah wanita itu sebenarnya! Salah aku! Aku yang membiarkan diriku menjadi satu objek yang entah sejak bila penting di hati Joshua.

            Peristiwa siang tadi di hospital benar-benar memudarkan sebahagian semangatnya. Dia benar-benar tidak menduga akan menghadapi semua ini sekali lagi. Hancur luluh hatinya tatkala dia dituduh dengan tuduhan yang bermacam-macam.

            Kamu Danira?” Pertanyaan Madam Jenny siang tadi  hanya dibalas dengan anggukan. Dia langsung tidak berani mengangkat mukanya menentang renungan wanita itu yang menggerunkan. Namun dari situasi yang berlaku, dia tahu wanita itu ibu Joshua. Cuma yang dia kurang faham, bagaimana wanita itu boleh mengenalinya.

            “Sampai bila kamu nak susahkan anak saya? Tak puas-puas lagi ke kamu buat dia macam orang bodoh?” Pertanyaan yang terhambur dari bibir Madam Jenny membuatkan dia tersentak.

            “Tak boleh ke kalau kamu jangan ganggu Joshua lagi? Enam tahun dahulu dia buat apa sahaja untuk kamu. Sekarang kamu dah bebas, pergilah sejauh yang boleh tapi jangan ganggu anak saya lagi.” Herdik wanita itu penuh emosi.

            “Mummy, please…” Joshua kelihatan resah.

            “Danira tak bersalah mummy. Josh yang panggil dia ke mari.”

            “Untuk apa? Untuk jadi jururawat peribadi kamu? For your own sake Josh, please stay away from her. Dia bawa malang. Dia hanya bawa sial pada Josh.”

            “Mummy tak tahu apa-apa. Josh malas nak gaduh dengan mummy. Tapi tolonglah jangan hina Danira macam-macam.” Lelaki itu membelanya.

            “Ini bukan penghinaan, ini kenyataan. Sebab dia Josh kena pecat. Sebab dia juga Josh cedera macam ni.” Getus Madam Jenny.

            “Bukan salah Danira…”

            “Kamu baik diam Josh. Dah puas mummy bersabar dengan kamu selama ini. Tapi kalau ini harga yang terpaksa kamu terima semata-mata kerana mahu membebaskan banduan ni, baik kamu ikut mummy ke Canada saja.” Putus Madam Jenny tegas.

            Joshua memandangnya. Dia juga melemparkan pandangan kosong ke arah lelaki itu. Wajah Joshua  muram kelat. Dia mengerti Joshua merasa bersalah dengan apa yang telah berlaku. Dia juga kesal. Kerana dirinya, tak fasal-fasal Joshua dan ibunya bergaduh pula. Memang dia sedih dengan tuduhan demi tuduhan yang dilemparkan padanya. Hina benarkah dia selaku bekas banduan di mata orang?

Ya ALLAH! Berilah aku kesabaran! Berilah aku ketabahan untuk aku teruskan hidup ini sehingga aku temui Naufal! Ayah! Umi! Tolong restui agar Nira dapat bersatu semula dengan Naufal. Pertemukan kami berdua agar kami dapat tinggalkan tempat ini dan mulakan hidup baru. Tempat di mana tidak akan ada seorang pun yang akan menemui kami di situ. Kami akan ghaib diam-diam bagaikan debu yang berterbangan! Bisiknya sebak.

*  *  *  *

            Matanya terus mengekori gerak geri gadis itu. Dia tidak pernah tahu penat sejak mengekori si gadis dari kawasan hospital. Kedua-dua pengiringnya menawarkan diri mahu menemaninya, tapi dia menolak. Dia lebih senang bersendirian mengekori gadis itu. Lagipun gadis seperti Danira tidak akan berupaya mengancam keselamatan dirinya.

Dia tahu siapa yang ditemui gadis itu di hospital. Pasti peguam itu! Lelaki itu tidak pernah kenal istilah serik! Kesabarannya kadangkala menipis. Namun dia tidak mahu bertindak terburu-buru seperti dulu. Dia harus bersabar. Harus belajar mengawal emosi marahnya. Dan sejak dia diangkat menjadi ketua di Kawasan Emas, perasaan marah yang kerap menguasainya mula bertukar menjadi lebih tenang. Lebih berdiplomasi walaupun berhadapan dengan orang yang mengkhianatinya.

            Mengingatkan Danira, wajahnya segera berganti muram! Dia masih ada urusan yang belum selesai dengan gadis itu. Urusan yang sepatutnya beres sebelas tahun yang lalu.

            “Cari formula tu sampai dapat atau kita semua akan dapat susah Cobe. Kalau perlu hapuskan mereka, buat saja. Ini arahan Mr. Kay sendiri.” Suara orang atasannya bergema menghimbau kenangan lama. Ketika itu dia benar-benar terkejut mendengarnya. Hatinya ragu-ragu. Bagaimana dia sanggup membunuh Zahlia dan dua nyawa kecil yang tidak berdosa? Memang dia jahat. Dia lelaki yang tidak pernah gentar dengan apa-apa pun, tapi kali ini arahan ketuanya disambut dengan perasaan bingung. Sejahat-jahat dia, dia tidak sanggup melakukannya.

            “Lepaskan anak-anak Lia, Rul. Mereka tak salah. Lia merayu pada Rul.”

            “Adnan dah naikkan kemarahan Mr. Kay. Lia kan kenal siapa Mr. Kay tu. Tidak pernah ada sesiapa yang selamat jika menyinggung dia. Kalau Rul lepaskan Lia dan anak-anak Lia sekalipun, dia akan cari pembunuh lain.” Dia menoleh memandang ke arah Zahlia yang kelihatan pucat. Garis-garis hitam berlingkar di sekeliling mata wanita itu.

            “Cuma ada satu jalan untuk sejukkan kemarahan Mr. Kay, Lia.” Sambungnya lagi. Zahlia mengerutkan dahinya.

            “Cari formula yang Adnan sembunyikan tu. Lia mesti cari sampai jumpa atau anak-anak Lia akan senasib dengan Adnan.” Tegasnya.

            Zahlia tersentak. Wajah yang pucat itu kini semakin pudar. Dia tidak pernah ada niat mengugut wanita itu. Dia hanya menyampaikan pesanan Faruk bagi pihak Mr. Kay yang kini semakin hilang sabar.

            Beberapa hari kemudian, dia mendapat khabar wanita itu sakit dan dimasukkan ke pusat rawatan. Lebih memburukkan keadaan, beberapa bulan kemudian wanita itu dikatakan mati kerana terjatuh dari tingkat bangunan pusat rawatan.

            Dia mendengus kasar. Ini bukan kesudahan yang diinginkannya terjadi pada Zahlia. Lia, kau benar-benar bodoh! Kalau dari dulu lagi kau tidak jatuh cinta pada Adnan, tentu semua ini takkan berlaku dan Adnan tidak perlu mati! Gumamnya sendirian. Bebola matanya tiba-tiba terpesong. Danira dilihatnya bangkit dari tempat duduknya. Langkah kaki gadis itu dihela ke suatu arah. Dia hanya membiarkan. Entah kenapa ada sesuatu yang menghalangnya dari terus mengekori gadis berwajah muram itu. Ada getar berlagu di sanubarinya. Getar yang mengirim angin penyesalan yang tidak pernah surut. Zahlia! Maafkan aku!

No comments:

DEDALU DI HATI - STOK TERHAD!!

DEDALU DI HATI  - STOK TERHAD!!

PESANAN NOVEL DEDALU DI HATI SEDANG DIBUKA SEKARANG!!!

Harga = RM25.90
Kos Pos = RM7 (pos laju)
Total = RM32.90

Emailkan nama dan butiran diri ke arr_nita@yahoo.com.
Pesanan sehingga stok ke 3 ini kehabisan..

NANTIKAN VENOM SURIA DI PESTA BUKU ANTARABANGSA PWTC MULAI 27 APRIL, TERBITAN BUKU PRIMA (RM25.90)

NANTIKAN VENOM SURIA DI PESTA BUKU ANTARABANGSA  PWTC MULAI 27 APRIL, TERBITAN BUKU PRIMA (RM25.90)
Suria gadis ceria dan periang, namun miliki sejarah hitam dalam kelahiran. Yang membuatkan dia diburu dan dijejaki untuk meleraikan sebuah kisah sumpahan, lalu mempertemukan dia dengan dua lelaki berbeza sifat. Izwan jenis yang dingin dan panas baran. Cakapnya harus dipatuhi atau dia akan meletup! Nazrul sentiasa cool tapi punya rahsia terpendam yang menyiksa jiwa. Seorang lelaki ditakdirkan menjadi penyelamat. Seorang lagi ditakdirkan membunuhnya. Kedua-duanya muncul tak diundang, tetapi meninggalkan kesan mendalam. Lalu bermulalah permainan cat and mouse antara mereka sehingga game over!