Followers

Monday, April 8, 2013

Alamak! Lagi-Lagi Dia. Bab : 12


ROSSIE dari firma guaman Aaziz & Co bergegas datang dan memberikannya segelas mug berisi coklat panas. Cika mengambilnya tanpa banyak soal lalu menghirup coklat tersebut perlahan-lahan. Gerak-gerinya menjadi santapan mata semua pekerja-pekerja di firma tersebut. Dia  menyedarinya namun dia pura-pura tidak perasan.

            Dari hujung mata, dia melihat Gina dan Datuk Fakhri sedang berbual-bual dengan pemilik firma tersebut Tuan Aaziz Ibrahim. Sesekali mata ketiga-tiganya berpaling ke arahnya. Dia makin gugup diperhatikan begitu. Macam dia pula yang buat salah!

Entah apa nasibnya dia terpaksa berkurung di pejabat guaman itu sejak satu jam yang lalu, kerana di luar pejabat itu kononnya sekumpulan wartawan sedang menantinya untuk diwawancara. Maklumlah dalam sekelip mata dia sudah jadi wirawati yang berjasa kepada nusa dan bangsa.

            Tiba-tiba ingatannya singgah pada lelaki yang menarik tangannya sebentar tadi. Sudah kerap kali lelaki itu muncul di hadapannya. Seolah-olah kemunculan lelaki itu suatu petanda. Mana lelaki itu agaknya? Dia masih belum sempat mahu mengucapkan terima kasih, tiba-tiba sahaja lelaki itu menghilangkan diri. Dia memandang ke arah Rossie yang berada tidak jauh dari situ. Niat hatinya mahu bertanya tentang lelaki itu. Tentu si Rossie ni tahu siapa lelaki itu. Apakah dia bekerja di firma guaman ini?

            Namun belum sempat dia mahu membuka mulut, matanya terpandang kelibat Gina, Datuk Fakhri dan Tuan Aaziz sedang melangkah ke arahnya.

            “Cik Syafika, saya nak ucapkan terima kasih atas keberanian Cik Syafika selamatkan Encik Mat hari ni. Saya tak sangka, zaman sekarang ni masih ada perempuan yang berani seperti Cik Syafika.” Puji Tuan Aaziz.

            “I pun tak sangka Cika, yang you sanggup panjat tingkap dan susur beranda tu dari pejabat you tu ke mari semata-mata sebab nak selamatkan lelaki tu. I’m so proud of you Cika.” Pintas Datuk Fakhri pula tanpa mengetahui hal sebenarnya. Sangkanya Cika sengaja memanjat tingkap itu untuk menyelamatkan lelaki tua itu.

            Senyuman Gina semakin melebar, lucu mendengar tafsiran Datuk Fakhri yang tidak mengena. Kata-kata Datuk Fakhri membuatkan Cika hampir tersedak, padahal tak makan apa-apa pun, minum air coklat aje.

            “Itulah Datuk, Cika ni memang tak boleh nampak orang yang dalam kesusahan dia mesti nak tolong sama. Dah jadi penyakit dia sejak azali.” Sampuk Gina sambil mengerling wajah sahabatnya yang sudah merah padam.

            Cika mengerling ke arah Gina. Oh diam-diam kau kenakan aku ya! Nantilah kau Gina! Hendak tak hendak Cika pura-pura tersenyum. Apa boleh dibuat kalau tindakannya hari ini disalahertikan. Terima ajelah!

            “Err Tuan Aaziz, siapa lelaki yang selamatkan saya tadi?” Cika menyoal didorong perasaan ingin tahu.

            “Lelaki?” Wajah Tuan Aaziz berkerut. Gina dan Datuk Fakhri turut menunjukkan wajah blur yang serupa.

            “Lelaki yang tarik saya ke dalam tadi.” Ujar Cika.

            Tuan Aaziz terdiam. Lelaki itu tiba-tiba menoleh ke arah Rossie.

            “Rossie, you nampak ke siapa yang selamatkan Cik Syafika?” Soal Tuan Aaziz pada setiausahanya.

            Rossie menggeleng. “Maaf tuan, kelam kabut sangat tadi. Saya tak perasan.” Jawab Rossie sejujurnya.

            Cika terdiam mendengar jawapan wanita cina itu. Aneh sungguh, kenapa lelaki di Jumbo Jeep itu berada di sini? Kalau dia pekerja di sini, sudah pasti orang di firma itu mengenalinya.

*  *  *  *

“CIKA? Kau okey ke tak ni?” Tanya Gina sewaktu mereka keluar minum di kafeteria di hadapan bangunan pejabat petang itu.

            Dia menoleh ke arah Gina agak lama. Apa punya soalan ni?

            “Hari ni aku nyaris-nyaris jatuh dari tingkat tiga belas tu, kau ingat aku okey ke?” Soal Cika kembali. Gina mengaru kepala tidak gatal. Dia yang bertanya, Cika pula mengulas pertanyaannya. Ada logik ke?

            “Habis yang muncung macam mak nenek ni kenapa? Hari ni kau kan dah jadi heroin, muka siap masuk televisyen lagi tadi. Apalagi yang kau menungkan ni?” Tanya Gina lalu tersengih.

            Cika mengeluh panjang. Fasal mukanya masuk televisyen, itu satu hal. Dia sendiri tidak menyangka kes di firma guaman Tuan Aaziz Ibrahim itu awal-awal sudah dihidu oleh wartawan. Malah dibesar-besarkan sehingga tak fasal-fasal namanya jadi popular sekejap. Melihat wartawan dan jurugambar itu sudah menanti di luar pejabatnya, mahu tak mahu dia terpaksa melayan mana-mana yang patut. Hendak dihalau, macam tak kena pula dengan imej heroin yang ditampilkannya hari ini secara tidak sengaja.

            Tapi ketika ini, entah kenapa hatinya asyik teringat pada wajah itu. Lelaki yang membantunya hari ini benar-benar membuatkan dia tidak senang duduk. Sepertimana dia terkejut melihat lelaki itu, dia juga tahu lelaki itu merasakan hal yang sama. Baru kelmarin mereka terserempak dan berbalah soal yang tidak masuk akal, hari ini mereka bertemu sekali lagi dalam suasana yang kecoh dan huru-hara.

            “Gina…” panggil Cika.

            Gina yang sedang ralit menghirup minumannya segera mendongak ke arahnya.

            “Kau memang tak perasan ke lelaki yang selamatkan aku tadi?” Tanya Cika lagi. Dia tak sudah-sudah bertanya, sekadar mahu memastikan yang lelaki itu benar-benar Nadim Ammar. Bukan sekadar hanya khayalannya sahaja!

            “Lelaki yang tarik tangan kau tu?” Gina mengerutkan dahinya.

            Sorrylah Cika, aku pun tak nampak muka mamat tu. Cuma nampak belakang dia aje. Itupun masa aku nampak kau nak jatuh tadi, fikiran aku asyik melayang kat kau aje. Kalau Tom Cruise atau Brad Pitt ada sekalipun, sah-sah aku tak perasan.” Jawab Gina sambil tersengih.

            “Aku sebenarnya nak ucapkan terima kasih pada dia sebab tolong aku tadi. Tadi aku nak tanya orang-orang kat pejabat Tuan Aaziz tu fasal lelaki tu, tapi aku  segan pulak. Nanti apa pulak kata diaorang kan.” Maklumlah, orang berbudi kita mesti berbahasa. Meskipun lelaki itu sering membuatkan dia sakit hati sejak dua menjak ini, tapi budi lelaki itu tidak harus dilupakan begitu sahaja.

            Gina tergelak besar. “Pelik! Ini kali pertama aku nampak kau berminat dengan spesies yang namanya lelaki. Kau dah ubah selera kau ya!” Usik Gina.

            Cika tercengang. Gurauan Gina disambut dengan jelingan panjang. “Jangan nak mengada-ngada buat spekulasi tak tentu hala. Aku tanya dia sebab nak berterima kasih aje, bukan ada niat apa-apa pun.”

            “Kalau ada pun, tak ada siapa pun yang nak marah.” Sahut Gina selamba.

            Cika terdiam. Kata-kata Gina membuatkan dia jadi keliru. Dengan wajah muram, dia merenung gelas fresh orange di hadapannya yang semakin kosong. Wajah lelaki itu tiba-tiba tertancap pada gelas fresh orange tersebut. Seolah-olah sedang tersenyum padanya.

*  *  *  *

TUAN AAZIZ termenung panjang. Otaknya sedang ligat memikirkan sesuatu. Peristiwa siang tadi membuatkan dia pening kepala. Dengan pihak polis dan juga wartawan yang membanjiri perkarangan pejabatnya, ini bukan populariti yang dimahukannya untuk berniaga.

Lelaki bernama Mat itu bukan klien syarikat mereka. Lelaki itu diberhentikan kerja oleh syarikat biskut tempatnya bekerja. Isteri dan anak-anaknya pula mengambil keputusan mahu meninggalkannya. Mereka pula menolak kes tersebut kerana kekurangan bukti dan susah hendak menang. Lagipun saluran pemberhentian lelaki itu mengikut saluran yang betul. Tak fasal-fasal kerana itu, lelaki itu mengamuk lalu mengugut mahu membunuh diri di pejabatnya. Teruk betul! Keluh Tuan Aaziz seraya memicit kepalanya. Mujurlah tak ada apa-apa yang berlaku.

            Sesekali singgah juga di kepalanya tentang apa yang ditanya gadis pemilik syarikat G-Properties itu tentang lelaki yang menyelamatkannya. Mungkinkah lelaki itu Nadim? Apakah anak muda itu ada singgah di pejabatnya siang tadi? Tuan Aaziz tertanya-tanya sendiri.

            “Shila, ini ayah. Kamu ada bercakap dengan Nadim sejak dua menjak ni?”

            Diam.

            “Beritahu adik kamu tu, suruh dia datang jumpa ayah. Jangan nak buat keras kepala dia sahaja.” Gumamnya dengan suara agak meninggi. Begitulah dia selalunya. Kalau bercakap soal anak lelaki yang satu itu, dia akan mudah naik angin tidak tentu hala.

            “Suruh dia balik ke rumah, jangan nak duduk di luar seperti orang yang tak ada keluarga.” Getusnya lagi. Semua arahan diberi kepada Marseila, dengan harapan Marseila mampu memujuk adiknya. Tapi selama dua tahun kebelakangan ini, dia sering dikecewakan anak itu. Nadim langsung tidak mahu memahami kebimbangan seorang ayah sepertinya.

            Tuan Aaziz melontar keluhan kesal. Potret seorang wanita di anjung mejanya diperhatikan. Wajah itu tenang dan sentiasa tersenyum. Sayangnya arwah isterinya tidak ada bersama untuk mengawasi anak-anak mereka. Aisyah! Bisik hati kecilnya. Siapa sangka dia merindui arwah isterinya saat ini. Alangkah baiknya jika wanita itu ada di sisinya ketika ini. Keluhnya seraya mengusap wajah di dada potret tersebut.

*  *  *  *

MARSEILA menamatkan perbualan dengan wajah keruh. Lelaki di hadapannya diam-diam memerhatikan ke arahnya. Barangkali sudah menyedari perubahan airmukanya sebaik menerima panggilan tersebut.

            Keluhan Marseila kedengaran. Rungsing sekali! Jak segera mengengsot mangkuk berisi banana split ke arah gadis itu. Marseila mengangkat wajah. Tersenyum ke arah Jak.

            Thanks.” Ujarnya.

            “Siapa yang call? Tuan Aaziz?”

            Marseila mengangguk muram. “Dia cari Nadim.” Ujar Marseila.

            “Apa dia hendak?”

            “Macam biasa. Dia hendak Nadim further study kat New York. Dia hendak Nadim kahwin dengan Emilia. Dia hendak Nadim turutkan semua kehendaknya.” Marseila berkata tenang.

            “Budak free spirit macam Nadim takkan ikut.” Komen Jak.

            Yes I know that. Sebab itu I minta tolong you. You kawan I yang paling dekat. You paling rapat dengan arwah mama dulu. I trust you more than I trust anyone else.” Ujar Marseila lalu merenung lelaki  di hadapannya itu.

            Jak terdiam. Wajah manis Marseila dipandang agak lama. Ada sesuatu yang mahu disebut, tapi dia sentiasa gagal sebelum mencuba. Marseila sering mengungkapkan kata-kata tentang ‘kawan rapat’, my best buddy, the sweet guy dan macam-macam lagi. Itu tafsiran hati Marseila terhadapnya. Tapi gadis itu sentiasa gagal mentafsir bahawa dia sudah sukakan anak gadis ibu angkatnya sendiri.

            “Ayah dengan Nadim sama-sama degil, sama-sama keras kepala. Mereka tu sebenarnya sama sahaja. Susah kalau masing-masing tak mahu mengalah. Kalaulah mama masih ada, tentu ayah tak sekeras ini pada Nadim.” Keluh Marseila lagi.

            “I akan jaga Nadim baik-baik. You jangan risau sangat.” Ujar Jak. Memahami hati Marseila yang sering tidak keruan jika berbangkit soal ayah dan adiknya.

            Thanks Jak. I tahu I boleh berharap pada you.” Balas Marseila. Banana split dipotong sedikit lalu dibawa ke mulutnya. Sedap! Aroma pisang nangka yang enak dengan aiskrim coklat dan vanila benar-benar cair di mulutnya.

            Nice dessert. You buat sendiri?” Puji Marseila seraya mengangkat ibu jari.

            Jak mengangguk lalu tersenyum. Dia tahu Marseila paling gemar dengan Banana Split.

            “I belajar buat dessert tu untuk you. Campuran aiskrim coklat dan vanila dengan fruit mixed mesti sama banyak supaya rasa krim pada pisang tu menyerlah. You takkan jumpa hirisan badam, walnut, cashew dan kacang-kacang lain ditabur di atas banana split tu sebanyak yang I hidangkan untuk you di mana-mana restoran lain.” Canang Jak.

            Marseila terkelip-kelip memerhatikan lelaki itu. Dia hanya bertanya sedikit sahaja tapi penerangan Jak begitu panjang berjela. Tanpa dapat ditahan-tahan, dia ketawa besar membuatkan Jak tercengang-cengang.

3 comments:

NurAtiZa said...

Best....#^_^

Anonymous said...

Hi there would you mind letting me know which hosting company you're working with? I've loaded your blog in 3 different browsers and I must say this blog loads a lot quicker then most.
Can you suggest a good internet hosting provider at a honest price?
Many thanks, I appreciate it!

Feel free to surf to my web blog :: buy heart rate monitor

Anonymous said...

Appreciate the recommendation. Will try it out.


Here is my weblog ... mazda rx 8 2011

DEDALU DI HATI - STOK TERHAD!!

DEDALU DI HATI  - STOK TERHAD!!

PESANAN NOVEL DEDALU DI HATI SEDANG DIBUKA SEKARANG!!!

Harga = RM25.90
Kos Pos = RM7 (pos laju)
Total = RM32.90

Emailkan nama dan butiran diri ke arr_nita@yahoo.com.
Pesanan sehingga stok ke 3 ini kehabisan..

NANTIKAN VENOM SURIA DI PESTA BUKU ANTARABANGSA PWTC MULAI 27 APRIL, TERBITAN BUKU PRIMA (RM25.90)

NANTIKAN VENOM SURIA DI PESTA BUKU ANTARABANGSA  PWTC MULAI 27 APRIL, TERBITAN BUKU PRIMA (RM25.90)
Suria gadis ceria dan periang, namun miliki sejarah hitam dalam kelahiran. Yang membuatkan dia diburu dan dijejaki untuk meleraikan sebuah kisah sumpahan, lalu mempertemukan dia dengan dua lelaki berbeza sifat. Izwan jenis yang dingin dan panas baran. Cakapnya harus dipatuhi atau dia akan meletup! Nazrul sentiasa cool tapi punya rahsia terpendam yang menyiksa jiwa. Seorang lelaki ditakdirkan menjadi penyelamat. Seorang lagi ditakdirkan membunuhnya. Kedua-duanya muncul tak diundang, tetapi meninggalkan kesan mendalam. Lalu bermulalah permainan cat and mouse antara mereka sehingga game over!