Followers

Wednesday, December 1, 2010

Mitos Cinta Suria : Bab 32

KERETANYA dipandu masuk ke kawasan stesyen KZM sebelum berhenti di hadapan bangunan stesyen televisyen itu. Dia menoleh sejenak, merenung wajah gadis di sampingnya yang nampak lesu.

“Dah sampai.” Ujarnya ringkas.

Suria menoleh sebentar ke arahnya. Gadis itu mengambil beg tangannya seraya terus membuka pintu kereta. Namun sebelum sempat gadis itu keluar dari keretanya, dia memanggil gadis itu semula.

“Betul kau tak mahu aku hantar kau ke rumah sahaja? Kau nampak tak sihat.” Ujarnya.

Suria hanya menggelengkan kepala. “Tak apalah, aku tak apa-apa. Terima kasih sebab hantar aku balik.” Ujar Suria sebelum melangkah keluar dari perut kereta.

Izwan menarik nafas panjang. Wajah Suria membayangkan seperti ada sesuatu yang tidak kena. Tapi bila dia bertanya, Suria langsung diam. Apakah perubahan Suria ada kaitan dengan lelaki berkulit hitam legam itu? Anehnya Suria menafikan yang dia ada bertembung dengan lelaki itu. Inilah yang menghairankan Izwan.

Tiba-tiba Suria berpaling lalu memandangnya. Izwan tergaman. Mata gadis itu kelihatan redup suram memandangnya.

“Kenapa?” Tanya Izwan.

“Mayat Masyitah akan dikebumikan malam ni?”

Izwan menggeleng. “Mereka akan kebumikan dia pagi esok. Kenapa?”

“Kau akan ke sana? Ke Kampung Pendang?”

Izwan terdiam. Dia sendiri tidak pasti.

Suria tidak lagi bertanya. Gadis itu tersenyum hambar. “Tak apalah. Terima kasih sekali lagi sebab hantar aku.” Ujar Suria lalu terus beredar ke dalam bangunan KZM. Izwan terus memerhatikan gadis itu. Dia amat pasti ada sesuatu yang berlaku pada gadis itu. Sebaik dia mengekori Suria ke dalam bangunan hospital, dia ada meminta anggota-anggotanya menyelongkar kawasan hospital untuk mencari lelaki yang memukul Doktor Ibrahim. Malangnya, usaha mereka menemui jalan buntu.

* * * *

Lampu di bilik Nazrul masih terpasang ketika Suria melintasi bilik lelaki itu. Suria ingin bertemu dengan lelaki itu, namun entah kenapa dia bertukar fikiran akhirnya. Langkahnya diatur menjauhi bilik lelaki itu.

“Eh Suria, aku ingatkan kau terus balik tadi?” Tegur Umaira yang masih asyik mengetik laptopnya. Suria sekadar tersenyum hambar. Syamsul yang masih berbual dalam telefon, sekadar mengangkat tangan ke arahnya.

Dia mencampakkan beg tangannya ke atas meja sebelum mula bersandar di dada kerusi. Wajahnya diraup perlahan. Kegelisahan hatinya masih bersarang.

“Kenapa kau ikut aku?” Suara lelaki itu tergiang-giang di kepalanya. Anehnya suara itu bukan seperti orang bercakap, tapi lebih ke arah berbisik.

Dia mengangkat mukanya perlahan-lahan. Cuba memberanikan diri merenung wajah lelaki itu. Mata lelaki itu tajam merenung ke arahnya. Dari jarak dekat, dia nampak jelas parut panjang yang menghiasi wajah itu, dari atas kening memanjang sehingga ke bahagian pelipis mata.

“Aku tanya kenapa kau ikut aku hah? Kau dah tak sayang nyawa?” Herdik lelaki itu. Mata pisau komando di tangan lelaki itu menekan sedikit ke lehernya. Dia terpaku. Ya Allah!

“Bagaimana kalau aku hiris leher kau ni, biar urat leher kau putus dan darah kau memancut keluar. Lepas tu aku biarkan saja kau kehabisan darah sampai kau mati. Sendirian.” Gumam lelaki itu, begitu hampir di telinganya.

Dia semakin gementar. Kata-kata lelaki itu berbaur ugutan.

“Apakah kau yang membunuh Masyitah?” Tanyanya terputus-putus. Antara berani dan takut, hadir sekaligus.

Lelaki itu terdiam. Pisau di tangan lelaki itu tiba-tiba dijarakkan dari lehernya. Mata lelaki itu mencerlung tajam ke arahnya.“Kenapa kau nak tahu? Jangan campur urusan yang tak ada kena-mengena dengan kau.”

Dia menelan air liur. Cuba mengumpul sisa-sisa keberanian yang masih tinggal. “Kita pernah jumpa beberapa hari yang lalu. Aku nampak kau keluar dari bilik Doktor Ibrahim. Kau mencari mayat Masyitah bukan?” Dia meneka meskipun ketakutan.

“Siapa kau pada dia?” Giliran lelaki itu pula menyoal tanpa menjawab pertanyaannya.

“Aku wartawan yang menyiasat tentang dia. Aku nak tahu samaada kau terlibat dalam kes pembunuhan Masyitah atau tidak?”

Lelaki berkulit hitam legam itu tiba-tiba tergelak besar. “Pembunuhan? Mana kau tahu dia mati dibunuh? Apa senjata yang digunakan untuk membunuh dia? Dan kalau pun aku pembunuhnya, pasti kau sekarang sudah mati sama.”

Suria terdiam. Kata-kata lelaki itu membuatkan dahinya berkerut. Ucapan lelaki itu jelas menafikan penglibatannya dalam pembunuhan Masyitah. Tapi jika lelaki itu benar-benar tidak terlibat dengan pembunuhan Masyitah, apa dia buat di sini? Kenapa dia memukul Doktor Ibrahim dan bertanyakan mayat Masyitah tempohari? Pelbagai persoalan menerjah di fikirannya.

“Aku beri amaran pada kau. Jangan cuba-cuba ekori aku atau siasat tentang kes ini lagi. Kalau aku tahu kau ekori aku, jangan ingat aku akan bermurah hati lagi lain kali. Pisau ini akan aku libas di leher kau tanpa perlu berfikir dua kali. Faham?” Sergah lelaki itu.

Suria memejamkan matanya. Entah kenapa, kata-kata lelaki itu menggetarkan perasaannya. Selama dia bertarung dengan tugasnya, belum pernah dia menghadapi situasi seperti ini. Mujurlah lelaki itu mengotakan janjinya. Setelah menghabiskan kata-katanya, lelaki itu terus melangkah keluar dari situ. Dia pula tercegat seperti patung. Rasa takut dan keliru hadir menggigit dirinya. Jika bukan kerana terserempak dengan Izwan, mana mungkin dia mampu pulang sendirian.

“Suria?” Panggil seseorang dari suatu arah. Suria terpinga-pinga. Dia menoleh. Fasya tersenyum memandang ke arahnya.

“Kenapa ni? Termenung aje, ada masalah?” Soal Fasya.

Suria mengelengkan kepala. Dia melemparkan senyuman ke arah gadis itu. Fasya sudahpun bersiap-siap ingin pulang.

“Dah nak balik?” Tegur Suria.

“Hmm.. malam ni aku nak keluar dengan Zul. Dah banyak hari kami tak dating.” Balas Fasya seraya tergelak. “Kau macamana? Tak nak balik lagi?”

Suria menggelengkan kepala.

“Dah nak dekat pukul 10.00 malam ni. Ayah kau tak risau?”

“Tak apa, sekejap lagi aku balik. Kirim salam aku dekat Zul.” Ujar Suria sambil tersengih. Fasya mengangguk lalu segera beredar dari situ.

Lima belas minit setelah Fasya beredar, Suria sudah tidak ada mood mahu menghabiskan kerja. Dia bercadang mahu pulang sahaja, mandi dan kemudian tidur. Apabila dia keluar dari biliknya, matanya kembali tertinjau ke arah bilik Nazrul. Bilik itu sudah bergelap. Barangkali dia sudah pulang, detik hati kecil Suria sedikit hampa.

Dia melangkah perlahan-lahan menuju ke arah kereta yang ditinggalkannya di kawasan parkir sejak pagi tadi. Kawasan parkir kelihatan lapang kerana ramai staf-staf KZM sudah pulang.

Suria melangkah deras menuju ke keretanya. Sempat dia memandang ke arah dada langit yang gelap pekat dan sedikit berangin. Harap-harap malam ini tidak hujan, keluh Suria. Kilauan terang tiba-tiba menyuluh ke wajahnya. Suria tergaman. Dia cepat-cepat mundur ke tepi. Sebuah kereta bergerak melewatinya. Dia mengecilkan matanya.

Sejurus wajahnya pucat lesi apabila terpandang kelibat Nazrul di dalam kereta bersama seorang perempuan. Kedua-duanya kelihatan riang. Apabila gadis di sisi Nazrul berpaling, Suria terpaku. Fasya?

* * * *

Sepanjang malam dia tidak dapat tidur lena. Meskipun sedaya upaya dia mencuba, tapi wajah Nazrul bersama Fasya sering hadir di fikirannya. Dia sebenarnya keliru. Apa Fasya buat bersama Nazrul di dalam kereta? Bukankah Fasya ada temujanji bersama Zulhisyam seperti yang dikatakan gadis itu di sebelumnya?

Entah kenapa, ringan tangannya menelefon Zulhisyam. Dia memang sedia maklum dengan hubungan antara kedua-duanya, kerana dialah yang menjadi orang tengah di antara Fasya dan teman sekolahnya Zulhisyam.

“Aku jumpa Fasya? Kau biar betul Suria! Dah dua minggu aku tak jumpa Fasya. Aku sempat bercakap dengan dia dalam telefon aje.” Suara Zulhisyam terdengar jelas di telinganya. Wajah Suria segera berubah apabila mendengar kata-kata lelaki itu.

“Tak apalah kalau begitu, Zul. Maaf ganggu kau malam-malam buta macam ni,” ujar Suria lemah.

“Tak apa, tapi cuba kau cakap kat bos kau tu. Janganlah beri banyak sangat kerja pada Fasya. Kasihan dia selalu mengadu kat aku yang dia banyak kerja di pejabat,” sambung Zulhisyam.

Suria terdiam. Kata-kata lelaki itu tidak dibalas. Buntu kepalanya memikirkan hal itu. Siapa sebenarnya yang berbohong? Fasya atau Zul? Atau apakah Nazrul menjalin hubungan dengan Fasya secara diam-diam? Namun jawapan itu hanya mampu terkubur dalam kepastian yang tak dapat dihuraikannya. Timbul pula rasa marahnya pada Nazrul. Huh memang dasar buaya! Baru seminggu meluahkan perasaan pada aku, kini dia dah sibuk beralih arah pula.

Suria bingkas bangun. Kain selimutnya dicampakkan jauh-jauh. Dia memegang kepala yang terasa pusing. Kenapa dengan aku? Aku dengan Nazrul, bukannya ada apa-apa pun. Keluar makan bersama pun baru sekali! Untuk apa aku harus cemburu? Bisik hati kecil Suria.

1 comment:

Anonymous said...

akak cite ni de link yg x leh bkk la....nape....akak tlg tgk yek...x best la bce spruh2.....

DEDALU DI HATI - STOK TERHAD!!

DEDALU DI HATI  - STOK TERHAD!!

PESANAN NOVEL DEDALU DI HATI SEDANG DIBUKA SEKARANG!!!

Harga = RM25.90
Kos Pos = RM7 (pos laju)
Total = RM32.90

Emailkan nama dan butiran diri ke arr_nita@yahoo.com.
Pesanan sehingga stok ke 3 ini kehabisan..

NANTIKAN VENOM SURIA DI PESTA BUKU ANTARABANGSA PWTC MULAI 27 APRIL, TERBITAN BUKU PRIMA (RM25.90)

NANTIKAN VENOM SURIA DI PESTA BUKU ANTARABANGSA  PWTC MULAI 27 APRIL, TERBITAN BUKU PRIMA (RM25.90)
Suria gadis ceria dan periang, namun miliki sejarah hitam dalam kelahiran. Yang membuatkan dia diburu dan dijejaki untuk meleraikan sebuah kisah sumpahan, lalu mempertemukan dia dengan dua lelaki berbeza sifat. Izwan jenis yang dingin dan panas baran. Cakapnya harus dipatuhi atau dia akan meletup! Nazrul sentiasa cool tapi punya rahsia terpendam yang menyiksa jiwa. Seorang lelaki ditakdirkan menjadi penyelamat. Seorang lagi ditakdirkan membunuhnya. Kedua-duanya muncul tak diundang, tetapi meninggalkan kesan mendalam. Lalu bermulalah permainan cat and mouse antara mereka sehingga game over!