Followers

Monday, November 22, 2010

Sayangku Casper : Bab 33

MAKAN tengahari bersama Datin Amra sebenarnya bukanlah teruk sangat bagi Tia. Tapi yang membuatkan dia bengang ialah tiba-tiba sahaja Datin Amra dan Halijah minta diri, kononnya mahu pergi bershopping. Dia pula disuruh menunggu di situ bersama Saiful. Puas dia cuba menolak, tapi senyuman Datin Amra bersifat paksaan. Jelingan tajam Halijah juga bagai memberi amaran padanya. Hendak tak hendak dia terpaksa menurut.

Matanya mengarah ke wajah Saiful yang terus merenungnya dari atas ke bawah. Pandangan lelaki itu membuatkan dia tidak senang. Entah kenapa, kali pertama melihat lelaki itu, hatinya sudah tidak menyukai Saiful. Orangnya boleh tahan, handsomelah juga. Tapi yang tidak kena ialah cara Saiful memandangnya. Sebiji macam buaya yang sedang cover line nak telan mangsa. Dan saat ini dia benar-benar berasakan dirinya adalah mangsa.

Dengan wajah kelat, serba tidak kena, Tia mencapai gelas air masak di hadapannya lalu diteguk rakus.

“Tia nak minum lagi?” Tiba-tiba Saiful bertanya.

Tia mendongak. Terkejut! Cepat-cepat dia menggelengkan kepala.

“Tak apa, saya dah tak dahaga.” Dia menolak.

“Lepas ni kita pergi jalan-jalan?” Pelawa Saiful.

Tia menelan liur. Gugup. Nak jalan-jalan? Pleaselah…aku dah lah terpaksa ponteng kuliah, sekarang tersekat kat sini dengan mamat ni pulak?

“Maaflah Saiful, saya ingat lepas ni saya nak balik aje. Lagipun saya rasa kurang sihat. Perut asyik memulas-mulas.” Dia buat alasan plastik. Ah lantaklah! Plastik ke tak plastik ke, asalkan dia boleh lepas dari genggaman Saiful dan ibunya Datin Amra yang merimaskan.

“Tia tak sihat?” Syaiful terus bingkas dari kerusi lalu menghampirinya. Pantas tangan lelaki itu meraba-raba dahinya membuatkan dia tergaman. Matanya sudah terkebil-kebil seperti ikan buntal. Mak oi..mesra alam nampaknya mamat ni! Aku sakit perutlah bodoh, bukan sakit kepala! Dia cepat-cepat melarikan wajah, menyebabkan tangan Saiful segera terlerai.

“Boleh saya balik sekarang?”

“Janganlah macam tu. Kita kan kena tunggu mama saya dan ibu Tia kat sini. Perempuan ni kalau shopping mesti lama. Apakata kita jalan-jalan dulu dekat-dekat sini, lepas tu kita patah balik ke mari, macamana?” Usul Saiful sambil tersenyum.

Tia menarik nafas. Mesti ke aku kena tunggu si siput sedut tu kat sini? Entah-entah sampai ke malam pun tak balik-balik jugak orang tua berdua tu, gumam Tia separuh bengang.

“Saya sukakan Tia.” Tiba-tiba Saiful berkata.

Tia tergaman. Suka aku? Bulat biji matanya memerhatikan Saiful yang asyik tersengih-sengih sedari tadi. Macam model iklan ubat gigi pun ya!

“Masa mama tunjuk gambar Tia kat saya, saya dah berkenan. Tia memang comel, macam dalam gambar.” Puji Saiful lagi.

Tia terpisat-pisat serba tidak keruan. Pujian lelaki itu melambung-lambung terhadapnya. Tapi entah kenapa, kali ini dia merasa menyampah pula mendengar pujian itu. Padahal selama ini kalau ada yang memuji dia comel, sudah pasti dia akan melonjak-lonjak kesukaan. Hati di dalam pasti terasa kembang kuncup dek pujian. Tapi kali ini entahlah! Hish tak berkenan aku. Macam mamat psiko pun ada dia ni! Keluh Tia sambil cuba mencari ikhtiar bagaimana mahu melepaskan dirinya dari lelaki itu.

“Tia tentu tertanya-tanya, kenapa mereka tinggalkan kita berdua macam ni kan?” Soal Saiful. Tutur kata lelaki itu lembut mendayu-dayu. Tia sudah kembang anak tekak. Loyanya menjolok-jolok. Nafasnya ditarik panjang-panjang. Tak payah cerita pun dia dah boleh agak tujuan ibu tirinya dan Datin Amra. Komplot berganda!

“Mereka nak kita saling mengenali. Supaya kita boleh jalinkan hubungan yang lebih serius lepas ni.” Ujar Saiful tersengih-sengih.

Mata Tia terbuntang bulat. “Hubungan serius?”

Lelaki itu mengangguk. “Ya, saya dah sedia nak kahwin dengan Tia.” Ujar Saiful.

Mata Tia terbelalak. Bukan sahaja terkejut mendengar kata-kata lelaki itu, malah rasa geli mendengarnya. Dia sudah tidak mampu menahan diri lalu segera bingkas bangun dari kerusi yang didudukinya.

“Awak bergurau ya Saiful?” Suara Tia agak meninggi.

“Takkan saya nak bergurau. Semalam ibu Tia kata Tia dah setuju nak kahwin dengan saya. Mereka keluar shopping sebab nak belikan kita cincin tunang.” Cerita Saiful bersungguh-sungguh.

“What?” Jerit Tia. Dia sudah tidak peduli pada mata-mata yang menoleh ke arah meja mereka ketika ini. Fikirannya hanya tertumpu pada satu perkara. Kahwin? Nonsense!

“Maaflah Saiful, tapi saya tak pernah setuju nak kahwin dengan sesiapa. Saya masih muda dan masih belajar. Saya ada fikiran saya sendiri.” Getus Tia keras. Dia ingin beredar dari situ, tapi sepantas kilat Saiful memegang pergelangan tangannya.

“Tapi ibu Tia kata Tia dah setuju nak kahwin dengan saya!” Suara Saiful bertukar nada. Kerutan di dahi lelaki itu mula melebar.

“Siapa yang setuju? Saya tak pernah setuju pun. Dan untuk pengetahuan awak, perempuan tu bukan ibu saya. Dia hanya ibu tiri saya jadi dia tidak ada hak untuk tentukan hidup saya sampai macam ni. Faham?” Bentak Tia. Dia sudah tidak ambil peduli pada istilah sopan santun atau lemah lembut. Yang dia tahu saat ini dia benar-benar berang dengan tindakan Halijah yang mengatur semua ini tanpa pengetahuan dia dan ayahnya.

“Sekarang saya nak balik. Suka hati awaklah nak jelaskan macamana pun pada mama awak tu. Tapi saya? Saya takkan sesekali kahwin dengan awak. Faham?” Getus Tia. Dia segera meninggalkan Saiful yang terpinga-pinga dengan tindakannya. Dia sudah tidak peduli. Sekalipun Halijah marah padanya atau Datin Amra memandang serong padanya selepas ini, dia sudah tidak peduli. Lantaklah!

Di hadapan pintu masuk restoran, langkahnya tiba-tiba terhenti. Matanya terpandang kelibat seorang lelaki yang sedang berdiri memerhatikannya dari arah pintu.

Tia tercengang. Buat apa pulak lelaki itu di sini? Nak datang makankah? Wah dia ni memang tak tau serik. Restoran ni punyalah mahal sampai harga air kosong pun lima ringgit, ada hati lagi nak berlagak kat sini! Rungut Tia berang. Entah kenapa saat itu dia benar-benar naik angin dan anginnya itu sedang melanda ke arah Rafique yang masih memandangnya dengan pandangan yang sukar dimengertikan.

Tia cepat-cepat melangkah ke arah Rafique. Lengan lelaki itu diseret agar ke tepi. Rafique hanya mengikut seperti orang bodoh.

“Awak buat apa ni Rafique? Awak tu bukan ada duit, buat apa nak datang ke tempat macam ni?” Soal Tia separuh berbisik.

Rafique menarik nafas panjang. Sehingga sekarang, gadis di hadapannya itu masih begitu lurus. Menyangka dirinya benar-benar seorang yang papa kedana.

“Kalau nak makan, pergilah makan kat kedai-kedai mamak tu ke atau gerai-gerai tepi jalan. Hari tu awak juga kata awak masih berhutang.” Leter Tia tidak puas hati.

“Tia..” panggil Rafique. Namun Tia tidak mengendahkannya. Wajahnya merah padam merenung ke arah Rafique.

“Lelaki memang macam ni, suka berlagak tak tentu fasal. Kalau tak ada duit buatlah cara tak ada duit. Bukan semua perempuan suka dengan lelaki yang kaya raya!” Tia terus merungut.

Rafique sudah mula hilang sabar. Tiba-tiba dia menerpa ke arah Tia lalu menekup mulut gadis itu. Cuba menghalang Tia dari terus menghamburkan kata-kata marah yang merimaskannya. Seperti yang diduga, Tia terdiam. Mata gadis itu membulat memandang ke arah Rafique yang hanya tersengih.

“Diam sekejap boleh tak? Banyak mulut sungguh awak ni.” Sindir Rafique.

Tia lekas mengangguk.

“Saya datang sini bukan nak makan ke, atau nak habiskan duit kat tempat yang macam ni. Saya datang sini nak cari awak Cik Tia. Ada faham?”

Dengan mulut yang masih ditutupi telapak tangan Rafique, mata Tia terpisat-pisat memandang lelaki itu. Wajahnya diselubungi kehairanan mendengar cakap-cakap Rafique yang tak masuk akal. Datang sini cari aku? Kenapa? Macamana dia tahu aku ada kat sini? Pelbagai pertanyaan terhambur dari fikiran Tia saat ini.

“Hah kenapa diam? Kali ni dah terus jadi bisu pulak?” Rafique ketawa kecil.

Tia menjeling lelaki itu dengan wajah sebal. Dah kau tutup mulut aku macamana aku nak bercakap? Bodoh! Gumam Tia geram. Dia mengetapkan bibirnya rapat-rapat sebelum dua ulas bibir dibuka perlahan-lahan. Tanpa sebarang amaran, dia segera mencari isi tangan Rafique lalu digigit sekuat hati.

Rafique terkejut besar. Cepat-cepat dia melepaskan tangannya. Ouchh sakit! Matanya sempat dijegil ke arah Tia yang sedang menghirup udara dalam-dalam sebelum berpaling ke arahnya. What the hell?Main gigit-gigit pulak!

Tia yang hendak memarahi Rafique tidak jadi berbuat demikian. Ada sesuatu yang menarik perhatiannya pada lelaki itu. Dia segera menghendap wajah Rafique agak rapat.

“Rafique, kenapa dengan muka awak tu?” Tanyanya hairan.

Rafique segera meraba permukaan wajahnya. Apa yang tak kena dengan wajahnya? Tak handsome ke hari ni?

“Muka awak tu merah sangat macam biji saga. Macam hellboy pun ada. Kenapa dengan awak ni?” Tanya Tia. Wajah watak komik hellboy yang merah menyala terbayang-bayang di ruang matanya. Mujur tak ada tanduk je mamat ni! Tia tersengih sendiri.

Mendengar kata-kata Tia, wajah Rafique segera berubah. Alamak! Dia segera melarikan wajahnya dari bertentang mata dengan Tia di hadapannya. Dia tidak sanggup mahu memandang gadis itu lama-lama, lagi-lagi setelah gadis itu perasan dengan kulit yang sangat sensitif dengan rangsangan. Dan saat ini dia telah dirangsang oleh gigitan Tia di tangannya sebentar tadi. Itulah yang membuatkan pipinya memerah seperti buah delima.

Belum sempat Tia mahu menyambung pertanyaan, tiba-tiba mata Tia terpandang kelibat Halijah dan Datin Amra dari luar restoran, sedang menuju ke dalam. Mata Tia segera terbeliak. Gosh..masalah sudah datang!

Tanpa berfikir panjang, dia segera memandang di sekitar ceruk restoran itu. Pintu keluar sedang dicari kerana saat ini dia sedang berada dalam keadaan cemas darurat. Melihat seorang pelayan restoran sedang keluar dari dalam dapur, mata Tia segera bersinar-sinar. Ideanya bercambah dengan cepat.

“Rafique, jom..” Ajak Tia lalu bergerak pantas mendahului lelaki itu ke arah dapur restoran. Dia tidak mahu bertembung dengan ibu tirinya di situ saat itu, apatah lagi dengan apa yang baru diucapkannya di hadapan Saiful sebentar tadi. Lelaki itu pasti akan mengadu pada Halijah. Maut dah datang, baik dia cabut lari cepat-cepat!

Rafique yang terpinga-pinga dengan gelagat gadis itu, mahu tak mahu terpaksa mengikut jejak langkah Tia. Meskipun dia sendiri tidak pasti apa yang sebenarnya yang sedang berlaku pada gadis itu.

No comments:

DEDALU DI HATI - STOK TERHAD!!

DEDALU DI HATI  - STOK TERHAD!!

PESANAN NOVEL DEDALU DI HATI SEDANG DIBUKA SEKARANG!!!

Harga = RM25.90
Kos Pos = RM7 (pos laju)
Total = RM32.90

Emailkan nama dan butiran diri ke arr_nita@yahoo.com.
Pesanan sehingga stok ke 3 ini kehabisan..

NANTIKAN VENOM SURIA DI PESTA BUKU ANTARABANGSA PWTC MULAI 27 APRIL, TERBITAN BUKU PRIMA (RM25.90)

NANTIKAN VENOM SURIA DI PESTA BUKU ANTARABANGSA  PWTC MULAI 27 APRIL, TERBITAN BUKU PRIMA (RM25.90)
Suria gadis ceria dan periang, namun miliki sejarah hitam dalam kelahiran. Yang membuatkan dia diburu dan dijejaki untuk meleraikan sebuah kisah sumpahan, lalu mempertemukan dia dengan dua lelaki berbeza sifat. Izwan jenis yang dingin dan panas baran. Cakapnya harus dipatuhi atau dia akan meletup! Nazrul sentiasa cool tapi punya rahsia terpendam yang menyiksa jiwa. Seorang lelaki ditakdirkan menjadi penyelamat. Seorang lagi ditakdirkan membunuhnya. Kedua-duanya muncul tak diundang, tetapi meninggalkan kesan mendalam. Lalu bermulalah permainan cat and mouse antara mereka sehingga game over!