Followers

Tuesday, October 9, 2012

Mencari Kiblat Cinta : Bab 4


“TERDAPAT lebih kurang 92 unsur semulajadi di Bumi ini. Sejak bertahun-tahun lamanya, manusia cuba mengubah satu unsur kepada unsur yang lain. Tapi persoalannya, bolehkah kita mengubah unsur-unsur ini?” Lelaki itu memandang tepat ke arah pelajar-pelajarnya. Kebanyakannya kusyuk mendengar syarahannya.
 “Ada sesiapa yang tahu?” Dia memandang pelajar-pelajarnya. Tapi kesemuanya saling berbisik sesama sendiri. Barangkali gusar jawapan yang berada di dalam kepala, mungkin tidak bertepatan dengan apa yang ditanya.
 “Salah satu cara yang boleh digunakan ialah dengan menggunakan pemecut linear. Pemecut linear boleh digunakan untuk memisahkan unsur-unsur yang ada, dan konsep ini selalu diguna pakai untuk memecahkan unsur radioaktif seperti uranium.” Jelas Profesor Adnan, cuba memenuhi kebuntuan yang bersarang di kepala anak-anak didiknya.
“Ia merupakan sebuah mesin yang dijana dengan memecut zarah nuklear dengan kuasa yang amat laju, supaya unsur-unsur ini boleh dipecahkan dan ditukar menjadi unsur lain Dan pemecutan zarah nuklear ini boleh di….” Kata-kata Profesor Adnan tiba-tiba terhenti. Matanya terpandang sesuatu. Dia melirik ke arah gadis yang duduk di tempat duduk yang paling belakang. Gadis itu hanya tersenyum memandang ke arahnya. Dia turut tersenyum lebar. Kelasnya diteruskan seperti biasa sebelum bubar sepuluh minit kemudian.
 “Kenapa Nira datang ke mari? Kenapa tak terus balik ke rumah?” Soalnya pada anak gadis itu selepas habis kelas. Buku-buku dan laptopnya segera dikemaskan.
“Nira nak bincang dengan ayah fasal birthday umi esok. Kita buat surprise birthday party untuk umi, boleh tak?” pinta Danira.
“Hish tak baik membazir. Baik kita celebrate dengan sembahyang berjemaah, lepas tu makan malam bersama. Itukan lebih afdal.” Ujar Profesor Adnan seraya menolak daun pintu dewan kuliah. Danira segera mengekori ayahnya dari belakang.
“Tapi ayah…”
Belum sempat dia mahu membantah kata-kata ayahnya, telefon bimbit Profesor Adnan berbunyi nyaring. Lelaki itu memandang anaknya sambil mengisyaratkan agar gadis itu senyap.
Danira mengeluh panjang. Hampir tiap-tiap tahun, harijadi di rumahnya hanya disambut ala kadar. Kadangkala tanpa kehadiran ayahnya, kerana lelaki itu kerap kali keluar outstation sehingga berminggu-minggu lamanya.
“Baik, nanti aku call kau semula.” Lelaki itu menyudahkan perbualan. Matanya kembali mencari raut wajah anak gadisnya yang muram sendu. Melihat reaksi Danira, Profesor Adnan tidak dapat menyembunyikan ketawanya.
“Macam nilah sayang, esok ayah ada hal. Apakata lepas ayah uruskan hal penting ni, kita celebrate birthday umi dekat luar macam yang Nira mahu. Boleh?” Dia memandang anak itu.
Wajah Danira berubah ceria sebaik mendengar janji si ayah. “Betul?”
Profesor Adnan ketawa senang lantas mengangguk. “Ha macam tulah anak ayah. Tak mahulah merajuk-merajuk macam ni, tak elok orang tengok. Ayah nak Nira selalu tunjukkan muka ceria tu. Nanti orang tengok, mereka pun gembira tengok anak ayah yang comel ni.” Usik Profesor Adnan.
“Ayah ni…” Danira memuncungkan mulutnya. Profesor Adnan sudah terkeheh-keheh ketawa. Lelaki itu tiba-tiba menyeluk saku seluarnya. Sebuah kotak kecil berbentuk bulat dikeluarkan. Danira tercengang memandang kotak di tangan ayahnya.
“Apa tu ayah?” Soalnya ingin tahu. Kotak itu nampak cantik dengan ukiran bunga cengkih yang terukir di sekeliling kotak. Dia benar-benar berminat dengan kotak yang dipegang ayahnya.
“Ini hadiah untuk Nira.” Jawab Profesor Adnan.
“Hadiah untuk Nira?” Wajah kecil itu berkerut. Kenapa bukan hadiah untuk uminya? Dia hanya memerhatikan gerak geri ayahnya ketika lelaki itu mengeluarkan sesuatu dari kotak tersebut. Seutas rantai bertatahkan plat kecil yang diperbuat dari emas cukup cantik kelihatan di tangan ayahnya.
“Rantai ni untuk Nira.’ Ulang lelaki itu lagi seraya mengalungkan rantai itu ke lehernya. Dia hanya tercengang-cengang sambil menyentuh rantai yang terhias indah di lehernya yang mulus. Meskipun gembira dengan pemberian si ayah, tapi tercuit juga rasa hairan di hatinya.
“Harijadi Nira kan lambat lagi, kenapa ayah tiba-tiba belikan Nira rantai ni?” Dia menyoal lelaki itu. Mata Profesor Adnan tertancap ke arahnya. Lelaki itu hanya tersenyum.
“Sebab Nira anak kesayangan ayah. Lagipun, masakan hadiah hanya boleh diberi sewaktu menyambut harijadi.” Ujar lelaki itu memberi rasional.
“Naufal pun ada rantai macam ni. Ayah dah tempah satu untuk Naufal.”
Matanya terkelip-kelip memerhatikan si ayah. “Naufal pun ada? Tapi lelaki mana boleh pakai emas, ayah. Ustazah kat sekolah Nira kata berdosa lelaki pakai emas.” Tuturnya lurus bendul.
Profesor Adnan sudah ketawa terkeheh-keheh. Lucu mendengar kata-katanya barangkali. “Sebab tu ayah tempah yang warna silver untuk Naufal. Rantai ni sebagai tanda kasih ayah untuk Nira dan Naufal. Jangan sesekali buang atau jual rantai ni tau. Dan kalau boleh jangan tanggalkannya dari leher Nira.” Pesan lelaki itu.
Dia hanya mengangguk. Lengan lelaki itu segera dipaut. Kepalanya sengaja dilentokkan di bahu ayahnya.“Nira akan jaga rantai pemberian ayah ni baik-baik. Sebab Nira sayang sangat pada ayah.” Ujarnya seraya tersenyum. Kata-katanya memancing ketawa lelaki itu.
“Oh ya, ayah ada kerja sikit. Nira nak balik dulu ke atau nak tunggu ayah?”
“Nira tunggu ayah. Nira nak pergi makan kat kafe dulu. Tadi masa kelas tambahan, perut Nira asyik lapar aje.” Dia mengadu.
“Kalau macam tu, Nira pergi makan. Nanti dah habis kerja, ayah jemput Nira dekat kafe.” Usul Profesor Adnan. Gadis itu hanya mengangguk tanda setuju. Mereka berpisah di hadapan bilik lelaki itu.
*  *  *  *
            Dia menyuap sekeping sandwich tuna ke mulutnya dengan lahap sambil membaca sebuah buku. Ralit dia membaca sehingga tidak sedar, hujan rintik mula turun di luar. Dari sekadar rintik-rintik kecil, deraian hujan semakin lebat.
Matanya dikalihkan dari isi kandungan buku. Tulang belikatnya mula kedinginan, memaksa dia mendongak memandang langit yang nampak gelap. Aduh! Hujan pulak! Macamana ni?
            Cepat-cepat dia menyudahkan suapan. Jam di pergelangan tangannya dikerling. Jarum jam hampir menunjukkan pukul lima petang. Bermakna sudah hampir dua jam dia menanti di kafeteria yang kelihatan lenggang.
            “Hello, umi ya…Nira dekat kampus dengan ayah. Kejap lagi kami balik.” Ujarnya apabila ibunya menghubunginya petang itu. Selesai bercakap-cakap dengan ibunya, dia segera menamatkan perbualan. Tergerak hatinya mahu menghubungi ayahnya pula. Matanya terasa letih mahu terus membaca. Dia hanya ingin berkejar pulang ke rumah setelah sehari suntuk berada di sekolah yang tidak jauh dari kawasan kampus tempat ayahnya bekerja.
            Beberapa kali mencuba, panggilannya tidak bersambut. Dahinya berkerut. Hairan! Kenapa ayahnya tidak menjawab panggilannya? Dia mencuba sekali lagi, namun kali ini cubaannya juga gagal. Hatinya mula dilanda kerisauan. Tergerak hatinya mahu mencari lelaki itu di bilik. Mungkin ayahnya terlalu sibuk sehingga tidak perasan dengan panggilan telefon yang dibuatnya.
            Danira melangkah deras menuju ke pejabat ayahnya. Sampainya di muka pintu bilik lelaki itu, dia berpapasan dengan seorang lelaki yang kebetulan baru keluar dari bilik di hadapannya. Dia berpaling ke arah lelaki itu. Lelaki berambut tocang berwarna putih itu, turut memandangnya.
Mata Danira tertumpu ke arah tatoo berbentuk naga di bahu kiri lelaki itu. Menyedari mata si gadis lebih tertarik pada tatoonya, lelaki itu mendengus kasar. Serentak langkahnya disusun deras ke suatu arah sehingga menghilang dengan cepat.
            Dia memerhatikan sehingga kelibat lelaki itu hilang dari pandangan. Wajahnya berkerut. Siapa lelaki tu? Kawan ayahkah? Tapi sejak bila ayah berkawan dengan lelaki bertatoo naga itu?
 Dia kembali menumpukan perhatian pada tujuan asal kedatangannya. Pintu di hadapannya diketuk perlahan. “Ayah…Ayah ada kat dalam?” Panggilnya berulangkali. Dia memasang telinga sesaat dua. Anehnya tidak ada apa-apa bunyi kedengaran dari dalam bilik tersebut.
Sedar tak sedar, dia sudah menolak daun pintu dihadapannya. Namun sebaik  terpandang timbunan kertas-kertas yang bersepah di hadapan matanya, wajahnya segera berubah. Keadaan bilik ayahnya berselerak bagaikan baru dilanda garuda. Hatinya mula digamit perasaan tidak enak. Setahunya ayahnya pengemas orangnya. Malah lelaki itu tidak suka bekerja dalam suasana yang kotor seperti ini.
Meja kerja ayahnya didekati perlahan-lahan. Namun melihat sekujur tubuh terbaring di belakang meja, dia terkejut besar.  Ya ALLAH!
            “Ayah!” Teriaknya cemas. Dia pantas mahu menerpa ke arah lelaki itu. Tapi langkah kakinya mendadak terhenti. Dadanya berombak kencang. Sebilah pisau yang tercucuk di dada lelaki itu ditatap dengan wajah pucat lesi. Kepalanya mula berpinar-pinar. Pandangannya mula berbalam dan kelam.

1 comment:

Unknown said...

aduhai makin sedeh bile ketahui perjalanan hidup yang di lalui danira...muge ALLAH mengurnia kan nye insan2 yang jujur menerima nye dalam mengharungi kehidupan yang masih jauh rentak yang akan or bakal ditempuhi............

DEDALU DI HATI - STOK TERHAD!!

DEDALU DI HATI  - STOK TERHAD!!

PESANAN NOVEL DEDALU DI HATI SEDANG DIBUKA SEKARANG!!!

Harga = RM25.90
Kos Pos = RM7 (pos laju)
Total = RM32.90

Emailkan nama dan butiran diri ke arr_nita@yahoo.com.
Pesanan sehingga stok ke 3 ini kehabisan..

NANTIKAN VENOM SURIA DI PESTA BUKU ANTARABANGSA PWTC MULAI 27 APRIL, TERBITAN BUKU PRIMA (RM25.90)

NANTIKAN VENOM SURIA DI PESTA BUKU ANTARABANGSA  PWTC MULAI 27 APRIL, TERBITAN BUKU PRIMA (RM25.90)
Suria gadis ceria dan periang, namun miliki sejarah hitam dalam kelahiran. Yang membuatkan dia diburu dan dijejaki untuk meleraikan sebuah kisah sumpahan, lalu mempertemukan dia dengan dua lelaki berbeza sifat. Izwan jenis yang dingin dan panas baran. Cakapnya harus dipatuhi atau dia akan meletup! Nazrul sentiasa cool tapi punya rahsia terpendam yang menyiksa jiwa. Seorang lelaki ditakdirkan menjadi penyelamat. Seorang lagi ditakdirkan membunuhnya. Kedua-duanya muncul tak diundang, tetapi meninggalkan kesan mendalam. Lalu bermulalah permainan cat and mouse antara mereka sehingga game over!