Followers

Friday, March 21, 2014

Lelaki Itu Syurgaku : Bab 12


KETIKA dia turun untuk bersarapan pagi itu, telinganya mendengar bunyi riuh rendah di meja makan. Dia tergaman melihat betapa ramainya orang di meja makan pagi itu. Siapa pulak mereka ni?

            Dia tidak jadi mengatur langkah. Niatnya mahu kembali ke biliknya tapi suatu suara memanggilnya dengan segera menghentikan langkahnya. Hendak tak hendak dia terpaksa berpaling. Matanya berpapas pandang dengan Idlan yang sedang duduk di kepala meja menghadap ke arahnya.

Orked nak ke mana tu? Tak nak sarapan dulu?” Tanya Idlan.

Serentak semua mata yang ada di meja makan menoleh ke arahnya. Dia terkulat-kulat sendirian. Segan bila setiap pasang mata memandangnya seperti sedang menilainya dari hujung kepala ke hujung kaki.

Melihat Idlan bangun lalu menarik sebuah kerusi untuknya, mahu tak mahu dia terpaksa duduk di situ, betul-betul di samping Idlan.

            So inilah Orked yang diceritakan tu?” Muncul satu suara ramah menegur. Orked menoleh. Seorang wanita dalam lingkungan usia 30an tersenyum ke arahnya. Dia memandang ke arah Idlan, bagaikan meminta penjelasan siapakah orang-orang yang tak dikenali yang berada di meja makan ketika ini.

            “Orked, kenalkan itu Kak Mara. Dia dengan suaminya memang selalu tinggal kat sini kalau abang Rezal nak memancing. Yang itu anak-anak Kak Mara dengan abang Rezal. Cici dan Fahmi.” Idlan memperkenalkannya.

            Dia hanya mengangguk. Untuk beramah-tamah dengan lebih mesra, itu memang bukan kepakarannya.

            “Orked tak apa-apa?” Mara bertanya.

            Dia menggeleng dengan dahi berkerut. Apa maksud wanita itu?

            “Semalam waktu kami pergi memancing, ada budak-budak cerita ada orang lemas kat tasik. Rupa-rupanya Orked yang lemas.” Rezal menyampuk dengan wajah tersengih-sengih.

            Kata-kata Rezal mengundang tawa sekumpulan anak muda yang sedang laju menyuap mee goreng ke mulut. Orked berpaling. Terdapat tiga orang lelaki dan dua gadis muda sedang duduk saling berhadapan tidak jauh dari Rezal.

            Itu Fikri, Halil dengan Irfan. Yang di hadapan mereka tu Anna dan Ira. Mereka pelajar universiti yang datang nak buat kajian tentang pokok-pokok herba dekat hutan hujung kampung ni. Rasanya usia Orked tak jauh berbeza dengan diaorang.Kalau Orked bosan, mereka boleh jadi teman berbual Orked.” Ujar Idlan.

            Orked menoleh ke arah sekumpulan pelajar di hadapannya. Kebanyakannya tersenyum ramah dan melambai ke arahnya kecuali Anna. Gadis itu memandang tajam ke arahnya. Riak wajah gadis cantik itu bagaikan tidak menyenangi kehadirannya di situ. Ah lantak kaulah! Macam aku kisah pun! Gerutu Orked seraya mengalihkan pandangan. Entah kenapa mee goreng dan nasi goreng yang ada di hadapan meja itu lebih menarik perhatiannya dari orang-orang yang tak dikenalinya di rumah itu.

            “Orked nak makan apa? Nanti Mak Tun sendukkan.” Muncul Mak Tun dari arah dapur lalu meletakkan pinggan di hadapannya.

            “Tak apa Mak Tun, nanti saya sendukkan untuk dia.” Pintas Idlan seraya berpaling ke arahnya.

            “Orked nak rasa yang mana? Nasi goreng atau mee goreng?” Soal Idlan.

            Orked tidak menjawab. Serta-merta dia merampas senduk di tangan Idlan membuatkan lelaki itu tergaman. Mak Tun juga ikut terkejut. Mujurlah yang lain-lain tidak perasan kerana asyik berbual sesama sendiri.

            Tak payah, aku boleh buat sendiri.” Getus Orked agak kasar.

            Idlan hanya membiarkan. Dia nampak renungan Mak Tun yang seolah tidak menyenangi sikap Orked terhadapnya. Namun Idlan hanya tersenyum ke arah orang tua itu. Melihat Orked mencapai mangkuk berisi nasi goreng, dia segera menuang secawan kopi untuk Orked. Kali ini gadis itu tidak pula membantah.

            Seorang lelaki separuh umur melangkah masuk. Kehadirannya menggamit perhatian orang-orang di meja makan tidak terkecuali Orked.

            “Itu suami Mak Tun, Pak Man.Bisik Idlan di tepi telinganya. Orked tidak memberi reaksi. Lagipun dia tidak ingin melayan Idlan ketika marahnya masih menebal terhadap lelaki itu.

            “Wah sedapnya bau. Ni yang Pak Man tak sabar nak tumpang semangkuk ni.” Ujar orang tua itu seraya duduk di hadapan Idlan. Serentak mata Pak Man membulat pandang ke arah Orked. Dia tercengang. Wajah itu kelihatan asing di matanya. Dia menjeling ke arah Idlan.

            “Siapa ni Id?”

            Orked Pak Man. Adik saya.” Jawab Idlan tersengih.

            Pak Man mencerlung ke arah anak gadis itu bersungguh-sungguh. Raut wajah masam mencuka di hadapannya ditatap agak lama membuatkan Orked agak kurang senang.

            Tak ada rupa kamu pun.” Ujar Pak Man.

            “Memang lah tak ada bang, ini kan anak suami baru Maria.” Sampuk Mak Tun pula seraya menyenduk mee goreng ke pinggan suaminya.

            “Ohh..” bunyi nada suara Pak Man mula mendatar.

Orked terkebil-kebil memandang lelaki itu yang mula acuh tak acuh terhadapnya. Tapi kerana sikapnya memang tak suka diberi perhatian, maka dia juga tidak kisah dengan orang tua di hadapannya.

            Hari ni kami nak pergi memancing lagi. Idlan dengan Orked nak ikut tak?” Pelawa Mara. Ibu beranak dua itu memang tak putus-putus berborak sedari tadi. Sepanjang masa makan, hanya suara Mara yang riuh rendah.

            Idlan menoleh. Cadangan Mara dirasakan kena pada masanya. Lagipun dia sendiri tidak tahu bagaimana mahu melayan Orked sepanjang gadis itu berada di situ.

            “Orked nak pergi?”

            Orked tidak menjawab. Dia sendiri tidak pasti. Lagipun dia bukannya kenal sangat dengan pasangan suami isteri yang kaki havoc itu.

            “Idlan pergi sekalilah. Lagipun kalau ada apa-apa berlaku, Idlan boleh jadi saver untuk Orked.” Seru Rezal lalu ketawa besar. Yang lain-lain ikut ketawa.

            Darah Orked menyirap. Wajahnya merah padam! Kata-kata Rezal membuatkan dia berpaling ke arah Idlan. Lelaki itu tersenyum serba tidak kena di hadapannya.

            Tempat ni kecil. Semua yang berlaku kat sini, pasti ada yang tahu.” Bisik Idlan cuba menjelaskan. Dia tidak mahu Orked terus buruk sangka terhadapnya.

            Orked mengetap bibir. Geram! Dengan senyap dia makan nasi gorengnya dengan wajah membiru. Bengang sekaligus malu menjadi bahan usikan dan tawa orang-orang di rumah itu.

*  *  *  *

DAUN-DAUN kering yang bersepah di atas jalan tanah merah yang dilaluinya disepak berkali-kali. Dia sebenarnya bosan! Menyesal pula dia mengikut Idlan ke kawasan tanah persendirian yang terletak berhampiran dengan Bukit Tinggi itu. Tengahari pun sejuk semacam!

            Ketika dia mahu melangkah ke biliknya, secara tak sengaja dia terdengar Mara dan gadis bernama Ira itu berbual-bual. Rupa-rupanya hampir 10 hektar kawasan di situ adalah milik Idlan, diwarisi dari ayahnya. Malah pihak Berjaya Resort pernah cuba membeli kawasan itu untuk dijadikan aset bagi meluaskan kawasan pelancongan di Bukit Tinggi itu. Tapi Idlan menolak dengan alasan tanah itu adalah tanah pusaka dan hadiah terakhir dari ayahnya. Bukan itu sahaja, Idlan juga memiliki syer yang banyak dalam sebuah syarikat milik ayahnya yang kini sedang diuruskan oleh peguam syarikat.

            “Kalau dah kaya sangat, kenapa mak dia susah payah nak kahwin dengan ayah aku.” Rungut Orked sambil menyepak daun-daun kering yang bersepah di atas jalan raya. Dia memang tidak suka wanita bernama Maria itu muncul dalam hidup ayahnya.

            Hampir suku kilometer dia berjalan, sebuah jip singgah di sampingnya. Kepala Mara menjenguk keluar dari arah jip.

            “Orked, jom ikut akak memancing. Tak jauh, kat tasik yang Orked lemas tu. Kat situ banyak ikan tau.” Pelawa Mara. Rezal di sebelah isterinya hanya tersengih.

            “Tak apalah Kak Mara, nanti saya pergi. Saya ingat nak jalan-jalan ambil udara segar.” Dia menolak.

            “Okeylah kalau macam tu, kakak dengan abang Rezal pergi dulu. Nanti Orked join ya. Lagipun hari ni kami bawa bekal banyak ni. Budak-budak ni sibuk nak ajak berkelah kat situ.”  Ujar Mara.

            Dia hanya mengangguk. Sekilas senyuman terpaksa disedekahkan pada Mara ketika jip itu beredar di hadapannya. Sebaik jip itu menghilang dari pandangan matanya, Orked mencebik. Menyusahkan betullah perempuan ni! Nak berkelah tu pergi ajelah, yang sibuk-sibuk nak ajak aku ni kenapa?

            Dia memang sengaja turun awal sebab mahu mengelak diri dari diajak menyertai aktiviti memancing pasangan suami isteri itu. Membosankan! Ketika dia melihat Idlan bersibuk-sibuk di dapur membantu Mak Tun, diam-diam dia turun dari rumah lalu berjalan tanpa hala tujuan. Tak sangka pula di sini dia terserempak dengan Mara dan Rezal yang mempunyai mulut seperti burung murai.

            Belum sempat dia mahu menyambung kutukannya, telinga menangkap sebuah enjin kenderaan datangnya dari arah belakang. Orked tidak berani menoleh. Dia bimbang jika kenderaan itu milik Idlan yang pasti sedang mencarinya. Langkahnya dihela lebih pantas. Tapi derap sepatunya memijak permukaan jalan tanah merah itu tidak setanding dengan kepantasan tayar kereta yang sedang dipandu oleh Idlan.

            Amboi laju macam ribut ni nak ke mana?” Tegur suatu suara.

            Orked mengeluh. Tepat seperti yang diduga. Dia tahu Idlan pasti akan keluar mencarinya. Bukankah itu kepakaran lelaki itu? Menyibuk tak kena tempat!

            “Orked nak ke tempat memancing tu ke?”

            Sibuk aje! Suka hati orang lah.” Jawabnya bersama muncung sedepa.

            “Kalau nak pergi sana, jom abang bawa. Lagipun dekat-dekat pun mahu berpeluh juga kalau sampai. Jom naik kereta abang.” Pelawa Idlan seraya membuka pintu keretanya luas-luas.

            Orked menjeling tajam. Entah kenapa dia semakin geram dengan sikap Idlan. Tidakkah lelaki itu memiliki perasaan? Apakah lelaki itu tidak merasa apa-apa dengan layanan kasarnya? Ini semakin dia cuba memusuhi Idlan, semakin selamba Idlan melayannya. Seolah-olah semua itu hanya perkara remeh.

            “Mak oi tajamnya jelingan. Orked tak berniat nak bunuh abang kan?” Gurau Idlan seraya ketawa kecil melihat lirikan mata gadis itu yang seakan mahu menelannya.

            Memang kalau boleh rasa nak bunuh-bunuh!” Balas Orked berang.

            Nak bunuh dengan apa? Dengan mata tu ke? Abang takut sebelum sempat abang mati, Orked dulu yang tiba-tiba boleh jatuh syok kat abang. Lagipun abang ni handsome, kalau lama-lama jeling boleh cair tahu.” Usik Idlan lagi. Wajah kelat Orked langsung tidak merisaukan hatinya. Sebaliknya dia rasa seronok pula mengusik gadis itu.

            Orked menjuih. Eiii geramnya aku! Dia sudah malas mahu melayan kata-kata Idlan yang menyebalkan. Sebelum lahar di hatinya meletup, lebih baik dia pergi dulu. Nanti tak fasal-fasal wad bahagia tambah seorang penghuni baru.

            “Eh! Orked nak ke mana tu? Tak nak naik ke?” Idlan terpinga-pinga apabila melihat gadis itu pergi begitu sahaja.

            Orked buat tidak dengar. Melihat tingkah laku gadis itu, Idlan mengerutkan dahinya. Dia keluar dari perut kereta lalu segera mengejar kelibat Orked yang jauh di hadapan. Tapi belum sempat dua tiga langkah dia mnengejar, dia terhenti. Tergaman melihat Orked yang tiba-tiba mengaduh kesakitan lalu terjelepuk di atas jalan tanah merah yang berkerikil.

            Cepat-cepat Idlan menghampiri gadis itu dengan perasaan gusar.

            “Orked, kenapa ni?” Idlan cemas. Terkocoh-kocoh dia cuba mengangkat Orked, tapi gadis itu terjerit-jerit. Idlan memandang ke arah tumit gadis itu yang sudah dibasahi darah. Dia terkejut.

            “Astagfirullah al-azim, siapa punya kerja yang lempar kaca kat tengah-tengah jalan macam ni?” Mengucap panjang Idlan sebaik menyedari tumit gadis itu sudah ditebuk serpihan kaca yang agak besar. Dia memandang ke arah wajah Orked yang berkerut.

            “Tahan sakit ya. Abang nak cabut kaca ni.” Ujar Idlan.

            Orked tidak memberi sebarang reaksi. Dengan pantas Idlan menarik serpihan kaca yang terlekat pada isi tumit gadis itu. Orked terjerit sedikit. Tanpa disedari lengan Idlan dipaut agak kuat, membuatkan Idlan berpaling lalu merenung jari-jemari gadis itu yang singgah di lengannya.

            Dah selesai dah. Sikit aje ni.” Pujuk Idlan bagaikan memujuk seorang anak kecil. Dia mengeluarkan sehelai saputangan dalam poket seluarnya lalu segera membalut luka di kaki Orked yang terdedah.

            Kali ini Orked tidak bersuara. Matanya terkelip-kelip memerhatikan tingkah laku Idlan yang lembut melayannya. Hilang segala rasa marahnya pada lelaki itu dalam sekelip mata.

            “Boleh bangun tak?” Tanya Idlan seraya mengalihkan pandangan.

            Orked terkedu. Tatapan mata Idlan entah kenapa membuatkan dia bingung. Dia melarikan anak matanya.Perlahan-lahan dia menggelengkan kepala.

            Idlan berfikir sejenak. Tak mungkin Orked boleh memijak permukaan jalan atau lantai dengan keadaan luka di kakinya yang agak dalam. Kalau ke klinik pun, paling-paling kurang dua tiga hari juga baru sembuh. Idlan mengalihkan pandangan ke arah keretanya yang terletak hampir 200 meter jauhnya.

            Tiba-tiba Idlan bangun. Tubuh Orked segera dicempung. Orked terkejut besar.

            Kau buat apa ni? Turunkan aku!” Herdik Orked. Tidak menyenangi apa yang sedang dilakukan lelaki itu. Namun Idlan tidak ambil peduli. Dia segera mencempung tubuh gadis itu ke arah kereta.

            Cepat turunkan aku!” Gesa Orked lagi seraya memukul-mukul belakang Idlan.

Idlan cuba memasukkan Orked ke dalam perut kereta, tapi dia tersilap perkiraan. Bukk! Kepala Orked sudah terhantuk pada bahagian pintu kereta.

            “Aduh!” Jerit Orked seraya menggosok-gosok kepalanya. Idlan tercengang.

            “Alamak, kena ke? Sorrylah abang tak nampak tadi.” Idlan tersengih tanpa riak wajah bersalah.

            Orked menggumam geram.  Lelaki ni memang nak kena!

            Sebaik selesai, Idlan segera memasuki perut kereta. “Kita balik ajelah. Rawat dulu luka tu kat rumah, nanti melarat susah!” Putus Idlan tanpa bertanya pada gadis itu terlebih dahulu..

            Orked melontarkan pandangannya ke luar tingkap. Dia sendiri tidak kisah. Lagipun dia sudah tidak ada mood untuk berjalan-jalan di sekitar tempat itu. Sudah dua kali dia hampir ditimpa malang. Pertama dia hampir lemas di tasik, kali kedua begini pula kesudahannya. Jelas nyata dia seolah disumpahi tempat itu. Mungkin dia patut balik sahaja ke Kuala Lumpur. Tiba-tiba dia terfikir demikian!

No comments:

DEDALU DI HATI - STOK TERHAD!!

DEDALU DI HATI  - STOK TERHAD!!

PESANAN NOVEL DEDALU DI HATI SEDANG DIBUKA SEKARANG!!!

Harga = RM25.90
Kos Pos = RM7 (pos laju)
Total = RM32.90

Emailkan nama dan butiran diri ke arr_nita@yahoo.com.
Pesanan sehingga stok ke 3 ini kehabisan..

NANTIKAN VENOM SURIA DI PESTA BUKU ANTARABANGSA PWTC MULAI 27 APRIL, TERBITAN BUKU PRIMA (RM25.90)

NANTIKAN VENOM SURIA DI PESTA BUKU ANTARABANGSA  PWTC MULAI 27 APRIL, TERBITAN BUKU PRIMA (RM25.90)
Suria gadis ceria dan periang, namun miliki sejarah hitam dalam kelahiran. Yang membuatkan dia diburu dan dijejaki untuk meleraikan sebuah kisah sumpahan, lalu mempertemukan dia dengan dua lelaki berbeza sifat. Izwan jenis yang dingin dan panas baran. Cakapnya harus dipatuhi atau dia akan meletup! Nazrul sentiasa cool tapi punya rahsia terpendam yang menyiksa jiwa. Seorang lelaki ditakdirkan menjadi penyelamat. Seorang lagi ditakdirkan membunuhnya. Kedua-duanya muncul tak diundang, tetapi meninggalkan kesan mendalam. Lalu bermulalah permainan cat and mouse antara mereka sehingga game over!