Followers

Tuesday, August 24, 2010

Hujan Rindu : Bab 5

Sudah dua hari Anum Dahlia berada di rumah Tok Anjang dan Nek Jah. Dalam tempoh itu dia semakin mesra dengan Nek Jah yang ramah tamah. Hanya dengan Tok Anjang, dia belum berkesempatan untuk berbual, apatah lagi raut wajah lelaki tua itu serius sepanjang masa hinggakan naik takut dia hendak menegur.

“Anum…” panggil Nek Jah dari luar. Anum Dahlia cepat-cepat mengemaskan rambutnya lalu segera keluar. Tersenyum orang tua itu melihatnya.

“Ada apa nek?”

“Tak ada apa, nenek nak ajak Anum makan sarapan. Nenek dah masakkan nasi lemak pagi ni.” Ujar wanita itu.

“Nasi lemak?” Bulat mata Anum Dahlia mendengar Nek Jah mencanang makanan kegemarannya.

“Kenapa? Anum tak suka nasi lemak?” Tanya Nek Jah, hairan. “Maaflah, nenek terlupa yang Anum tak biasa makan nasi lemak. Kalau begitu, nenek buatkan roti bakar boleh?” Soal orang tua itu lagi. Anum Dahlia cepat-cepat menggeleng.

“Eh taklah nek, Anum sebenarnya suka sangat makan nasi lemak.” Pintas Anum Dahlia. Bimbang hati wanita tua itu tersinggung. Nek Jah tertawa kecil mendengar kata-kata gadis itu. Anum Dahlia cepat-cepat mengekori Nek Jah ke dapur. Bau aroma nasi lemak membangkitkan seleranya. Melihat Tok Anjang sudah berada di kerusi makan, langkah Anum Dahlia terhenti tiba-tiba.

“Ish kenapa tercegat macam tu. Duduklah makan. Ceduk nasi lemak tu,” suruh Nek Jah. Mahu tak mahu Anum Dahlia mengambil tempat duduk di hadapan Tok Anjang. Wajah Tok Anjang selamba menyuap nasi lemak ke mulutnya sambil membaca akhbar.

Melihat Anum Dahlia kelihatan kekok, Nek Jah terus menceduk nasi lemak ke pinggan gadis itu. Sambal ikan bilis di hadapannya turut diceduk mememenuhi pinggan Anum Dahlia.

“Cukuplah nek, banyak sangat ni,” ujar Anum Dahlia.

“Makanlah lebih sikit, sengaja nenek masak untuk Anum. Tapi nenek tak tahu, Anum biasa tak makan sambal bilis pedas.”

“Tak apa, Anum dah biasa makan pedas.” Ucap Anum Dahlia seraya menyuap nasi lemak ke mulutnya. Seketika matanya membulat.

“Hmm sedapnya nasi lemak yang nenek buat ni. Rasanya cukup lemak. Patutlah mama suka benar makan nasi lemak,” ujar Anum Dahlia terlepas kata.

Kata-kata Anum Dahlia membuatkan suapan Nek Jah terhenti. Dia memandang Anum Dahlia tidak berkelip. Tok Anjang yang sedang leka membelek akhbarnya juga turut memandang ke arah gadis itu. Wajah Anum Dahlia pucat lesi.

“Mama Anum pun suka makan nasi lemak macam ni?” Soal Nek Jah. Tok Anjang memandang isterinya seketika.

“Suka. Kami selalu makan walaupun duduk di luar negara. Mama selalu masak nasi lemak macam yang nenek buat ni.” Cerita Anum Dahlia sambil memandang jauh. Dia masih ingat rasa nasi lemak buatan mamanya. Enak dan pedas, sama seperti yang dimasak oleh Nek Jah.

“Kata Lebai Dollah, mama Anum orang sini juga, betul ke?” Tanya Nek Jah lagi. Entah mengapa dia benar-benar ingin tahu asal usul gadis itu.

Anum Dahlia memandang wajah Nek Jah. Wajah itu bagaikan resah menanti butir bicaranya.

“Err ya tapi orang Sungai Petani,” jelas Anum Dahlia, bagaikan tahu apa yang bermain di kotak fikiran Nek Jah.

Nek Jah terdiam agak lama. Apabila dia memandang suaminya, lelaki itu tak berkelip memerhatikannya. Nek Jah cepat-cepat menyuap nasi lemak ke mulutnya. Bimbang menghadap tenungan suaminya yang seperti singa lapar. Apakah lelaki itu tahu apa yang sedang difikirkannya?

* * * *

“Bila agaknya Anum boleh ikut datuk ke gelanggang silat nek?” Soal Anum Dahlia ketika menemani Nek Jah mengemas rumah. Dia turut membantu mengemaskan habuk-habuk yang melekat pada televisyen di ruang tamu.

“Kenapa Anum tak tanya pada dia pagi tadi?”

“Anum takutlah nek. Muka datuk bengis semacam.” Anum Dahlia tersengih. Nek Jah tertawa mendengar kata-kata gadis itu. Bunyi kata-kata itu lucu sekali kedengaran.

“Datuk tu bukan bengis cuma airmukanya saja macam tu. Kalau Anum cakap baik-baik dengan dia, tentu dia setuju bawa Anum ke gelanggang silat malam ni. Tak pun, nanti nenek telefon Zurin suruh dia bawa Anum.” Usul Nek Jah.

“Zurin? Siapa tu?”

“Zurin tu cucu saudara nenek juga. Datuk Zurin, adik Tok Anjang kamu.” Jelas Nek Jah.

“Tak marah ke datuk nanti kalau Anum tiba-tiba muncul?”

“Apa pulak nak marah? Bukankah Anum datang pun sebab nak tulis fasal silat kan.” Ujar Nek Jah.

Anum terdiam. Betul juga. Aku datang kerana silat, takkan orang tua itu nak marah pula kalau aku hadir ke gelanggang silat malam ni, fikir Anum Dahlia.

“Anum, tolong nenek kemaskan almari lama tu. Dah lama tak kemas, agaknya dah beranak-pinak lipas kat dalam tu,” suruh Nek Jah.

Tanpa banyak soal, Anum Dahlia menurut. Dia menarik laci almari televisyen yang paling bawah. Isi laci dikeluarkan satu-persatu. Betul kata nenek, laci almari penuh dengan telur lipas, tunggu nak menetas saja. Anum Dahlia lincah mengeluarkan kertas-kertas yang nampak usang. Apabila tangannya tersentuh sekeping kertas keras, tindakannya terhenti. Dia mengerutkan dahinya. Sekeping gambar lama menarik perhatiannya. Melihat orang di dalam gambar itu, darahnya tiba-tiba menyirap. Mama? Dia melihat wanita itu tersenyum di samping seorang lelaki yang boleh tahan kacaknya. Siapa lelaki yang bersama mama ni?

“Anum, kenapa dengan kamu?” Nek Jah menyapa apabila dilihatnya Anum Dahlia tergaman seribu bahasa.

“Err tak apa-apa nek, Anum cuma tengah lihat gambar ni. Siapa ni nek?” Tanyanya berterus-terang. Dia benar-benar ingin tahu tentang kisah hidup mamanya.

Nek Jah menjenguk ke arah gambar di tangan Anum Dahlia. Wajah Nek Jah berubah. Dia mengambil gambar di tangan Anum Dahlia lalu ditilik agak lama. Wajahnya mengundang sayu.

“Itu anak perempuan nenek,” ucap Nek Jah sayu.

“Maaf kalau Anum bertanya, tapi mana anak nenek sekarang?” Tanya Anum Dahlia cukup berhati-hati. Dia bimbang hati Nek Jah bakal terguris dengan pertanyaannya.

Nek Jah memandang Anum Dahlia. Wajahnya mendung. Tersentuh hatinya apabila teringat kisah lama. Sukar dia hendak memadamkan apa yang selama ini menjadi duri dalam hatinya.

“Nenek pun tak tahu Anum. Pia lari semasa malam pernikahannya.” Ucapan Nek Jah membuatkan mulut Anum Dahlia terlopong. Tergaman dia mendengar cerita yang selama ini dia tidak pernah tahu.

“Datuk Anum bencikan mama,” suara mamanya kembali tergiang di tepi telinganya. Wajah itu muram sayu setiap kali menuturkan kata-kata itu. Tapi sehingga sekarang, mamanya tidak pernah mahu berterus terang apakah sebabnya dia dibenci?

“Lelaki dalam gambar tu, bekas tunangan Pia. Bukan orang lain, anak saudara nenek sendiri. Baik orangnya, tapi entah kenapa Pia tidak berkenan. Dia lari malam itu sehingga ribut satu kampung ni.” Cerita Nek Jah sayu.

“Selepas dia lari, datuk Anjang kamu benar-benar marah. Merata tempat dia mencari Pia tapi tak jumpa. Sejak dari hari itu, kami tak pernah jumpa dia lagi.” Airmata Nek Jah merembes tanpa sedar menuruni cerun pipi.

Anum Dahlia merasakan dadanya berbahang. Terasa ada getaran halus bermukim di hatinya saat itu. Cerita Nek Jah membuatkan dia turut dihimpit kesayuan. Mama, kenapa mama tak pernah beritahu Anum semua ini? Tentu hati mama saban waktu menanggung rindu yang tak pernah surut sejak berpuluh tahun yang lalu.

Tanpa disedari, pelupuk mata Anum Dahlia mulai berkaca. Namun dia pura-pura meneruskan kerjanya. Dia tidak mahu Nek Jah melihat matanya yang merah. Wanita itu turut diam. Masing-masing bagaikan sibuk melayan perasaan.

* * * *

“Pia, jangan pergi tinggalkan mak! Mak rayu pada Pia, sayang,” ucapnya bertalu-talu, sebaik dilihatnya anak gadis itu sibuk mengemas pakaian dengan airmata berjujuran. Sufiyah memandangnya dengan mata basah.

“Pia kena pergi mak, Pia tak boleh teruskan perkahwinan ni. Pia tak cintakan abang Taufik.” Bisik gadis itu.

“Sufiyah!”

“Pia tahu selepas ni ayah akan benci Pia, semua orang akan bencikan Pia. Tapi Pia terpaksa pergi. Pia benar-benar cintakan abang Razman, mak.”

“Pia, dengar cakap mak. Tak ada siapa pun akan bencikan Pia. Pia anak kesayangan mak, harapan mak. Jangan pergi Pia, jangan tinggalkan mak sayang.”

“Maafkan Pia mak. Pia terpaksa pergi!”

“Nek?”

Nek Jah terkejut. Cepat-cepat airmatanya diseka dengan hujung baju kurungnya. Dia tidak mahu Anum Dahlia tahu apa yang sedang bersarang di fikirannya saat itu.

“Nenek menangis?” Soal Anum Dahlia tiba-tiba. Dahinya berkerut memandang wanita tua di hadapannya. Kasihan nenek, tentu dia orang yang paling sedih bila mamanya menghilang dulu.

“Err tak, nenek termenung aje tadi. Teringatkan kisah-kisah lama. Kenapa Anum cari nenek?” Tanya Nek Jah.

Anum Dahlia tersenyum. “Anum nak beritahu nenek yang Anum dah goreng pisang kat dapur tu macam yang nenek suruh. Banyak ya pisang nangka kat dapur tu.”

“Datuk kamu ada kebun pisang tak jauh dari sini. Kadang-kadang hasil kebun tu dijualnya, kadangkala sampai tak berhabis nak makan. Lain kali kalau Anum suka, nenek buatkan pengat pisang pula. Pisang nangka sedap dibuat pengat,” canang Nek Jah.

Sebelum sempat Anum Dahlia membalas, bunyi suara memberi salam kedengaran dari luar rumah. Nek Jah dan Anum Dahlia saling berpandangan.

“Siapa tu nek?”

“Entahlah, Anum tolong tengokkan sekejap,” pinta Nek Jah.

Tanpa banyak soal, Anum Dahlia segera menjenguk ke muka pintu. Seorang gadis manis dalam belasan tahun sedang tersengih memerhatikannya.

“Adik ni nak cari siapa?”

“Ini kak Anum ya?” Soal gadis itu tanpa menjawab pertanyaan Anum Dahlia.

Dia mengerutkan dahinya. Macamana gadis itu boleh ahu namanya, sedangkan dia sendiri tidak mengenali wajah itu. Tanpa segan silu, gadis itu melangkah naik tanpa disuruh. Anum Dahlia hanya membiarkan, meskipun hatinya diulit rasa hairan dengan kehadiran gadis berwajah comel itu.

“Siapa tu Anum?” Laung Nek Jah dari dalam bilik.

“Ini Zurin la nek.” Laung gadis itu sebelum sempat Anum Dahlia membalas. Tak lama kemudian, Nek Jah muncul dari dalam bilik. Tersenyum orang tua itu melihat gadis kecil yang kelihatan manis berbaju kurung warna biru lembut.

“La kamu Zurin, nenek ingatkan siapalah tadi.”

“Apalah nenek ni. Bukankah nenek yang suruh Zurin datang, lepas tu nenek lupa pulak.” Zurin pura-pura merajuk. Nek Jah tergelak besar. Dia mengalihkan perhatian ke arah Anum Dahlia yang diam sahaja.

“Anum, ini Zurin. Cucu saudara nenek. Sengaja nenek minta Zurin datang untuk temankan Anum ke gelanggang silat malam ni.” Beritahu Nek Jah. Barulah Anum Dahlia faham keadaan sebenar. Cepat sahaja tangannya dihulurkan ke arah Zurin.

“Anum. Anum Dahlia.” Dia memperkenalkan dirinya.

“Zurin dah tahu. Nenek dah ceritakan semuanya pada Zurin. Nenek kata kakak datang dari jauh semata-mata kerana silat. Zurin kagum dengan kakak.” Balas gadis itu petah.

Anum Dahlia sekadar tersenyum. Senang dia berbicara dengan Zurin yang nampak ceria dan mudah mesra dengan sesiapa saja. Sekurang-kurangnya ada juga dia teman untuk berbual, setelah hampir dua hari berada di kampung itu.

* * * *

“Jauh lagi ke Zurin?” Tanya Anum Dahlia sewaktu mengekori gadis itu melintasi denai-denai kecil. Hampir lenguh kakinya melangkah, namun dipaksanya juga kakinya menyaingi langkah Zurin yang agak pantas.

“Dah tak jauh. Depan tu aje, sebelah balai raya. Kenapa, Kak Anum dah penat ya?” Zurin tersengih.

“Eh taklah, bukan penat cuma nak tahu je,” Anum Dahlia sengaja berdalih. Segan juga dia dengan Zurin yang nampak lincah.

“Kak Anum tinggal di mana di luar negara?” Soal Zurin lagi. Dia benar-benar ingin mengenali Anum Dahlia.

“Detroit.”

“Sejak kecil?”

Anum Dahlia mengangguk.

“Zurin dengar ayah kak Anum orang putih ya?” Gadis itu tak putus-putus bertanya. Anum Dahlia tergelak gelihati.

“Kenapa Zurin tanya macam tu?”

“Zurin dengar Makcik Senah bercerita dengan mak. Kata Makcik Senah lagi, Kak Anum cantik. Sebab tu Zurin tak sabar nak tengok Kak Anum.” Cerita gadis itu.

“Habis bila dah tengok, Zurin kecewa kan?” Anum Dahlia melirik nakal.

“Kenapa pula kecewa?”

“Yalah, Kakak tak cantik macam yang Zurin fikirkan tu.”

“Siapa kata? Zurin suka tengok muka Kak Anum. Manis macam Makcik Sufiyah.” Ucap Zurin. Anum Dahlia tercengang mendengar kata-kata gadis itu. Zurin tiba-tiba terdiam seribu bahasa. Dia serba-salah memandang Anum Dahlia.

“Maaf, Zurin tak patut cakap fasal Makcik Sufiyah. Kalau datuk dengar, tentu datuk marahkan Zurin,” ujar gadis itu muram.

“Zurin, boleh kakak tanya sesuatu?”

Zurin memandang Anum Dahlia tidak berkelip. Sabar menanti buah bicara yang ingin dinyatakan oleh gadis itu.

“Apa sebenarnya yang dah berlaku antara Tok Anjang dan Nek Jah dengan anak perempuan mereka dulu? Apa sebabnya?”

Zurin tergaman. Tidak menyangka Anum Dahlia akan bertanyakan soalan itu. “Maaf kak Anum, bukan Zurin tak mahu cerita. Tapi datuk tak suka kami semua buka cerita tentang Makcik Sufiyah. Katanya peristiwa lama jangan diungkit. Lagipun Zurin tak patut bercerita pada kak Anum, lagipun kak Anum tak kenal Makcik Sufiyah tu. Zurin pun bukannya kenal dia sangat, cuma pernah dengar cerita dari mak dan tengok gambarnya saja.”

Anum Dahlia terdiam. Dia tidak mahu memaksa anak gadis itu membuka mulut, jika Zurin enggan bercerita

“Ha dah sampai pun. Itulah gelanggang silat kat kampung ni.” Tunjuk Zurin ke suatu arah. Anum mengalihkan pandangannya lurus ke hadapan. Dari jauh, cahaya terang dari api jamung menerangkan suasana di tapak gelanggang. Dia juga nampak Tok Anjang sedang memberi arahan kepada anak-anak muridnya. Dalam usia 70an, lelaki itu tetap nampak gagah dengan pakaian serba hitam, lagak pahlawan zaman dahulukala.

Tanpa sedar Anum Dahlia ralit memerhatikan lelaki itu. Wajah Tok Anjang direnung tidak berkelip. Dadanya terasa lapang dapat memandang lelaki tua itu.

Mama, siapa sangka Anum dah berada di kampung mama sekarang ni. Memijak pada tanah kelahiran yang sama yang pernah dipijak oleh tapak kaki mama dulu. Tapi entah kenapa Anum tetap rasa takut. Takut jika Anum tak mampu memenuhi impian mama untuk berhadapan dengan datuk dan nenek. Nenek mungkin lembut hati, tapi kemarahan datuk tetap bersinar dalam matanya. Apakah Anum mampu mama? Lagi-lagi setelah Anum tahu tentang cerita yang tidak pernah mama bongkarkan pada Anum selama ini. Tentang lelaki yang bakal mama kahwini dulu. Siapakah sebenarnya dia mama?

No comments:

DEDALU DI HATI - STOK TERHAD!!

DEDALU DI HATI  - STOK TERHAD!!

PESANAN NOVEL DEDALU DI HATI SEDANG DIBUKA SEKARANG!!!

Harga = RM25.90
Kos Pos = RM7 (pos laju)
Total = RM32.90

Emailkan nama dan butiran diri ke arr_nita@yahoo.com.
Pesanan sehingga stok ke 3 ini kehabisan..

NANTIKAN VENOM SURIA DI PESTA BUKU ANTARABANGSA PWTC MULAI 27 APRIL, TERBITAN BUKU PRIMA (RM25.90)

NANTIKAN VENOM SURIA DI PESTA BUKU ANTARABANGSA  PWTC MULAI 27 APRIL, TERBITAN BUKU PRIMA (RM25.90)
Suria gadis ceria dan periang, namun miliki sejarah hitam dalam kelahiran. Yang membuatkan dia diburu dan dijejaki untuk meleraikan sebuah kisah sumpahan, lalu mempertemukan dia dengan dua lelaki berbeza sifat. Izwan jenis yang dingin dan panas baran. Cakapnya harus dipatuhi atau dia akan meletup! Nazrul sentiasa cool tapi punya rahsia terpendam yang menyiksa jiwa. Seorang lelaki ditakdirkan menjadi penyelamat. Seorang lagi ditakdirkan membunuhnya. Kedua-duanya muncul tak diundang, tetapi meninggalkan kesan mendalam. Lalu bermulalah permainan cat and mouse antara mereka sehingga game over!