Followers

Wednesday, August 25, 2010

Hujan Rindu - Bab 10

Yuzer menguap kecil lalu memandang ke arah jam kecil di tepi katil. Dah dekat pukul tujuh. Alamak! Matanya membuntang besar melihat jarum jam. Dia lantas terburu-buru bangun lalu menuju ke bilik air. Lena betul dia tidur semalam sehingga pagi ini, nyaris-nyaris dia tidak sempat menunaikan solat subuh.

Selepas menunaikan solat yang hampir kesiangan, Yuzer mengintip kelibat Zurin yang keluar masuk ke dalam bilik di sebelahnya. Sebenarnya dia mahu mengintip Anum Dahlia, tapi hajatnya tak kesampaian apabila dia gagal mengesan gadis itu.

Zurin yang baru keluar dari bilik sambil menyandang beg sekolah, terhenti seketika sebaik terpandang susuk tubuh Yuzer di tepi pintu biliknya. Yuzer tersengih.

“Dah nak pergi sekolah adik abang ni?” Sapa Yuzer.

Zurin segera memasamkan wajahnya. “Mestilah nak pergi sekolah, takkan pagi-pagi macam ni Zurin nak pergi ke kebun pulak.” Jawab Zurin separuh geram. Sudah tahu, masih mahu tanya ka?

Yuzer tercengang. Amboi si kenit ni, makin melawan pulak. Tapi Yuzer tidak marah, sebaliknya dia ketawa terbahak-bahak. Lucu melihat wajah Zurin yang masam mencuka.

“Zurin, member baik Zurin tu ada lagi kat sini?” Soal Yuzer selamba. Giliran Zurin pula yang tercengang dengan pertanyaan si abang.

“Member baik?”

“Budak oversea tu ler..” sambung Yuzer sebaik dilihatnya Zurin menggaru-garu kepala tidak gatal.

“Oh kak Anum…” Zurin mula dapat menangkap maksud sebenar Yuzer. Lelaki itu hanya mengiyakan. “Hah kenapa abang sibuk-sibuk tanya ni?” Soal Zurin tanpa menjawab pertanyaan Yuzer. Dahinya berkerut merenung wajah abangnya.

“Saja tanya, kenapa tak boleh?”

“Kata tak suka dengar fasal kak Anum.” Zurin memulangkan paku buah keras.

Yuzer menarik nafas panjang. Budak ni! Masa macam ni pun sempat lagi nak kenakan aku! “Mestilah abang tanya kalau dah nampak orang tu kat rumah kita ni. Kenapa dia tidur rumah kita semalam?”

“Kalau abang nak tahu, abang tanyalah kak Anum sendiri.” Pintas Zurin lalu bergegas pergi. Yuzer mendengus kecil. Tak boleh harap langsung si Zurin ni. Itupun tak nak beritahu. Tak apa, nanti aku tanya kat mak apa gadis celup tu buat kat sini malam semalam, Yuzer berkira-kira begitu.

* * * *

Sebaik selesai mandi dan bersiap, Yuzer mencari-cari kelibat ibunya. Mendengar bunyi bising dari arah dapur, Yuzer tersenyum. Bau harum semerbak singgah ke rongga hidungnya. Entah apa yang mak masak untuk sarapan pagi itu agaknya! Fikir Yuzer. Dia bergegas mahu menuju ke arah dapur, tapi langkahnya terhenti sebaik terpandang kelibat Anum Dahlia sedang berbual-bual dengan ibunya.

“Anum betul dah sihat ni?”

“Betul makcik, terima kasih sebab benarkan Anum bermalam di sini semalam. Tolong ucapkan terima kasih Anum pada pakcik sebab tolong Anum kelmarin.” Ucap gadis itu.

Yuzer yang mendengar kata-kata gadis itu terkedu. Apa yang sebenarnya dah terjadi kelmarin?

“Dah jadi kewajipan kami. Lagipun Zurin suka sangat berteman dengan Anum, makcik pun tak kisah. Betul Anum dah nak balik ni? Apakata Anum tunggu pakcik sekejap, biar dia hantarkan Anum balik ke rumah Nek Jah?” Usul Zulaika. Bimbang juga dia melepaskan Anum pulang seorang diri.

“Tak apalah makcik, Anum tak nak bimbangkan Tok Anjang dan Nek Jah. Tentu mereka risau setelah tahu apa yang dah jadi.”

Zulaika terdiam. Kalau dah begitu kehendak Anum Dahlia, dia tidak mahu menghalang. Apabila mata Zulaika menoleh ke suatu sudut, dia terpandang kelibat seseorang di sebalik langsir pintu. Serta-merta Zulaika tersenyum.

“Yuzer, apa yang kamu buat kat situ? Mari sini sekejap,” tegur Zulaika. Mendengar nama Yuzer disebut, wajah Anum Dahlia serta-merta berubah. Setelah apa yang berlaku semalam, dia rasa serba-salah mahu berhadapan dengan lelaki itu. Entah kenapa malunya begitu menebal terhadap lelaki itu.

Yuzer yang baru hendak beredar tidak jadi apabila ibunya memanggil. Mahu tak mahu dia memaniskan mukanya menuju ke ruang makan di dapur.

“Yuz nak ke mana bersiap-siap ni?” Soal Zulaika bertalu-talu apabila melihat anak muda itu berpakaian kemas seawal pagi.

“Nak ke pekan sekejap dengan Husni. Ada barang yang nak dibeli mak.” Ujar Yuzer. Matanya sempat melirik ke arah Anum Dahlia yang tertunduk diam.

“Bagus juga begitu. Bolehlah Yuz tolong hantarkan Anum balik ke rumah Tok Anjang?” Pinta Zulaika.

Anum Dahlia yang mendengar tergaman. Dia memandang Zulaika. “Eh tak payahlah makcik. Jangan susah-susah, Anum boleh balik sendiri.” Ujarnya. Sebolehnya dia tidak mahu menumpang lelaki itu. Buat menyesakkan dadanya lagi.

“Tak apalah Anum, dah memang hala nak ke pekan tu lalu depan rumah Tok Anjang dan Nek Jah. Boleh Yuz hantarkan Anum?” Tanya Zulaika lagi.

Yuzer memandang Anum Dahlia yang kelihatan resah. Sejurus kemudian, bibirnya melemparkan senyuman. Dia mengangguk. “Tak jadi masalah mak. Yuz nak sarapan sekejap, selepas tu Yuz hantarkan dia.” Ujar Yuzer lembut. Dia memandang Anum Dahlia yang diam sahaja. Entah apa agaknya yang bermain di fikiran gadis itu sekarang ini? Yuzer terasa ingin ketawa.

“Ayah mana mak?” Tanya Yuzer sambil menceduk nasi goreng di pinggannya.

“Dia keluar kejap jumpa Pak Itam.”

“Kenapa?”

“Yuz tak tahu? Semalam Anum nyaris nak kena langgar dengan sebuah kereta. Mujur tak ada apa-apa yang buruk berlaku.” Keluh Zulaika kesal. Sedikit pun dia tidak perasan raut wajah Yuzer yang terkejut. Serta merta suapan Yuzer yang hampir ke mulut dijatuhkan semula. Lelaki itu merenung Anum Dahlia yang hanya diam. Jadi itulah sebabnya gadis itu bermalam di rumahnya semalam?

“Ada orang nampak kereta yang nyaris langgar Anum tu kereta anak Pak Itam, Asmadi yang kerja kat pekan tu. Lagipun dia sorang saja kat kampung kita ni yang pakai kereta Hyundai warna biru metalik. Itu yang ayah pergi rumah Pak Itam tu. Dia nak sahihkan perkara ni.” Jelas Zulaika.

“Betul ke Asmadi yang punya kerja? Jangan-jangan orang lain.” Sahut Yuzer. Lebih baik tersalah dari tersilap menuduh.

“Dah ada saksi yang nampak Yuz, kita tunggu ajelah. Lagipun kalau si Asmadi tu, mak memang tak hairan. Dari dulu sehingga sekarang, cara dia bawa kereta macam pelesit. Habis ayam itik orang kat kampung ni dia langgar.” Balas Zulaika.

Yuzer yang mendengar kata-kata ibunya tergelak besar. Meskipun ibunya bercakap dengan nada serius, tapi dia tetap rasa geli hati. Tiba-tiba matanya terpandang senyuman Anum Dahlia yang dipamer tanpa sedar. Menyedari Yuzer memandangnya, Anum Dahlia tergaman. Serta merta senyumannya menghilang. Mula pudar!

* * * *

Anum Dahlia lebih suka berdiam diri di sepanjang perjalanan. Dia tidak berminat mahu berbual dengan Yuzer meskipun rumah lelaki itu sudah jauh ditinggalkannya. Sesekali pandangannya singgah pada beberapa petak sawah yang menghijau. Kata Nek Jah, dah tak banyak orang di kampung itu mengerjakan sawah padi. Sebab tu hanya ada beberapa sahaja petak sawah di kampung itu. Semua orang dah tak kisahkan kerja-kerja membajak atau menuai lagi, sebut Nek Jah tempohari.

Anum Dahlia membuang wajah ke luar tingkap. Memerhatikan dengan penuh minat petak-petak sawah yang masih diusahakan secara kecil-kecilan.

Sesekali mata Yuzer melirik ke arah Anum Dahlia. Kenapa diam saja ni? Masih marahkan aku barangkali kerana peristiwa semalam. Mengenangkan peristiwa itu, dia tersenyum kecil. Salahnya juga kerana bertindak drastik begitu. Mana gadis itu tak kecut perut!

“Aduh kenapa langit nampak mendung aje hari ni. Hari nak hujan agaknya,” Yuzer bersuara perlahan.

Anum Dahlia mendongak ke arah langit dari jendela kereta. Tak mendung pun, langit cerah sama seperti hari-hari sebelumnya. Apa dah gilakah dia ni? Dia mencebikkan bibirnya seraya menoleh ke arah Yuzer. Namun apabila melihat senyuman sinis terukir di bibir lelaki itu, Anum Dahlia tercengang. Sah dia dipermainkan Yuzer. Lelaki itu sengaja memerlinya.

Tercetus tawa kecil dari mulut Yuzer, membuatkan Anum Dahlia semakin sakit hati.

“Awak ni kenapa suka sangat menyakitkan hati saya?” Anum Dahlia tidak dapat menutup rasa marahnya.

“Awak nak tahu kenapa?” Yuzer tergelak kecil. “Sebab saya suka tengok awak marah. Suka tengok awak meradang. Suka tengok awak tiba-tiba malu. Macam semalam.” Sambung Yuzer. Sengaja dia menekankan perkataan ‘semalam’ itu agar gadis itu teringatkan peristiwa itu.

Anum Dahlia terdiam. Dia menjeling Yuzer dengan ekor matanya. Bibirnya diketapkan menahan geram. Namun Yuzer selamba sahaja membalas tatapan matanya.

“Kenapa tengok saya? Handsome sangat ke saya hari ni?” Tutur Yuzer.

Anum Dahlia terdiam. Pantas dia melarikan matanya. Namun hilai tawa Yuzer jelas kedengaran. Anum Dahlia tahu lelaki itu sengaja mengetawakannya.

* * * *

Terkocoh-kocoh Nek Jah keluar dari dalam rumah sebaik terlihat kelibat Anum Dahlia bersama Yuzer di halaman rumah. Melihat raut wajah Nek Jah yang nampak cemas, Anum Dahlia tanpa sedar berlari mendapatkan Nek Jah. Tubuh orang tua itu dirangkul erat. Tergaman Yuzer melihat tindakan gadis itu.

“Anum tahu tak betapa bimbangnya nenek bila pakcik Taufik kamu telefon semalam. Dia kata kamu tak apa-apa tapi hati nenek ni risau benar. Jika apa-apa jadi pada Anum, macamana kami nak bersoal jawab dengan keluarga Anum nanti,” luah Nek Jah risau.

Anum Dahlia tertawa kecil. “Nenek kan dah tengok Anum. Anum sihat, tengok calar-calar pun tak ada.” Balas Anum Dahlia sambil sengaja menunjukkan lengannya pada Nek Jah. Tersenyum Nek Jah melihat reaksi Anum Dahlia. Apabila matanya diluruskan, Nek Jah terpandang kelibat Yuzer yang tercegat bagai tunggul di bawah tangga.

“Eh bila kamu balik Yuzer? Nenek tak tahu pun,” sapa Nek Jah. “Kenapa tercegat macam tu, naiklah. Bukannya kamu tak biasa dengan rumah nenek ni,” sambung Nek Jah lagi. Yuzer tersenyum lalu melangkah naik. Tangan Nek Jah diraih lalu dikucup.

“Nenek sihat? Saya sampai beberapa hari lepas nek. Saya cuti seminggu di sini. Semalam saya rancang nak datang, tapi Mak Long dan Husni ajak saya ke kampung seberang. Kenduri kahwin anak sepupu Mak Long,” ujar Yuzer.

“Anak Si Jamilah kan? Ada Mak Long kamu hantar kad jemputan tu, tapi kamu tahulah nenek ni selalu tak sihat. Datuk kamu pula sibuk dengan kebun pisang tu. Malam sibuk di gelanggang silat.” Balas Nek Jah.

Yuzer hanya mengangguk. Dia mengalihkan pandangan ke arah Anum Dahlia yang asyik memerhatikannya dalam diam-diam. Sebaik mata mereka bertaut, Anum Dahlia segera melarikan kelopak matanya. Yuzer tersenyum kecil. Lucu dengan reaksi Anum Dahlia.

“Datuk mana nek?” Tanya Yuzer. Terlanjur dia datang, dia mahu bertemu lelaki itu. Beberapa hari yang lalu dia ada mengunjungi gelanggang silat, tapi belum berkesempatan bertemu Tok Anjang.

“Dia ke mana lagi kalau tak ke kebun pisangnya tu. Pagi petang siang malam di kebun pisang tu. Nenek ni dah jenuh dah asyik makan pisang hari-hari.” Selar Nek Jah seraya ketawa.

“Sebab banyak makan pisang la, nenek nampak ‘bergetah’ lagi ni.” Usik Yuzer pula. Nek Jah ketawa besar mendengar kata-kata anak muda itu. Anum Dahlia yang mendengar tetap bersikap serius.

“Ada-ada ajelah kamu ni Yuz. Dahlah tu, duduk dulu. Nenek buatkan air untuk kamu.”

“Eh tak payah susah-susah nek. Yuz dah minum tadi kat rumah. Lagipun Yuz ada janji nak jumpa Husni sekejap lagi. Lain kali Yuz singgah lagi jumpa nenek.” Pintas Yuzer sebelum sempat Nek Jah beredar ke arah dapur.

“Yalah kalau macam tu kata kamu. Terima kasih sebab hantarkan Anum balik.” Ucap Nek Jah. Yuzer tersenyum. Sempat diliriknya ke arah Anum Dahlia yang turut memandangnya. Mata Anum Dahlia dingin menatap ke arahnya. Yuzer pura-pura tidak perasan. Dia tahu gadis itu masih menyimpan segunung marah padanya.

“Baik budak Yuzer tu.” Sepatah kata meluncur dari bibir Nek Jah sewaktu memerhatikan langkah Yuzer menuju ke keretanya. Anum Dahlia yang mendengar hampir hendak tergelak. Tetapi dia tidak berani melempiaskan tawanya di hadapan Nek Jah. Baik apa macam tu? Depan orang tua bukan main lagi berhemah, di belakang macam setan! Bisiknya dalam hati.

“Yuzer tu nampak saja sombong, tapi hatinya baik.” Sambung Nek Jah lagi. Kali ini mata wanita itu tertumpu ke arah Anum Dahlia. Anum Dahlia tergaman.

“Yang nenek bagitahu Anum ni kenapa?” Soal Anum Dahlia gugup.

Nek Jah tersenyum simpul. Dia hampir ketawa melihat wajah Anum Dahlia yang merah berbahang. “Saja nenek bagitahu Anum. Lagipun Yuzer tu belum ada yang punya. Kalau Anum pun belum ada yang punya, apa salahnya kenal-kenallah dengan Yuzer tu.” Bisik Nek Jah lagi.

“Nenek ni!” Anum Dahlia tergelak besar. Dia tahu wanita itu sengaja mahu mengusiknya. Kalau dapat lelaki macam Yuzer yang tak pandai jaga hati dan perasaan orang, kirim salam sajalah. Jeremy yang ditinggalkannya di Detroit sepuluh kali lebih baik, tukas Anum Dahlia di dalam hati.

No comments:

DEDALU DI HATI - STOK TERHAD!!

DEDALU DI HATI  - STOK TERHAD!!

PESANAN NOVEL DEDALU DI HATI SEDANG DIBUKA SEKARANG!!!

Harga = RM25.90
Kos Pos = RM7 (pos laju)
Total = RM32.90

Emailkan nama dan butiran diri ke arr_nita@yahoo.com.
Pesanan sehingga stok ke 3 ini kehabisan..

NANTIKAN VENOM SURIA DI PESTA BUKU ANTARABANGSA PWTC MULAI 27 APRIL, TERBITAN BUKU PRIMA (RM25.90)

NANTIKAN VENOM SURIA DI PESTA BUKU ANTARABANGSA  PWTC MULAI 27 APRIL, TERBITAN BUKU PRIMA (RM25.90)
Suria gadis ceria dan periang, namun miliki sejarah hitam dalam kelahiran. Yang membuatkan dia diburu dan dijejaki untuk meleraikan sebuah kisah sumpahan, lalu mempertemukan dia dengan dua lelaki berbeza sifat. Izwan jenis yang dingin dan panas baran. Cakapnya harus dipatuhi atau dia akan meletup! Nazrul sentiasa cool tapi punya rahsia terpendam yang menyiksa jiwa. Seorang lelaki ditakdirkan menjadi penyelamat. Seorang lagi ditakdirkan membunuhnya. Kedua-duanya muncul tak diundang, tetapi meninggalkan kesan mendalam. Lalu bermulalah permainan cat and mouse antara mereka sehingga game over!