Followers

Thursday, October 16, 2008

Vendetta 4

Bunyi alarm jam locengnya berbunyi hampir 3 kali, namun tuannya tidak juga bangun-bangun. Masuk kali ke tiga, dia baru terjaga. Itupun bukan sebab bunyi loceng jam tapi kerana tiba-tiba sahaja seekor kucing parsi melompat ke mukanya. Dia terkejut besar apabila merasakan bulu-bulu lembut menyentuh wajahnya. Sempat juga dia terbersin dua tiga kali. Dia tersenyum memandang Dolly yang meliuk-liuk manja. Kucing itu sebenarnya kucing Nora, hadiah ulang tahun pertama perkenalan gadis itu dengan Syafiq, seorang co-pilot dengan penerbangan MAS.
Ketika lelaki itu singgah mahu bertemu Nora…mereka sempat bertemu di luar pintu. Sementara menanti Nora bersiap yang paling-paling kurang mengambil masa dua jam, dia asyik berbual dengan Syafiq. Itupun kerana Nora yang menyuruhnya melayan Syafiq, jika tidak masakan dia mahu membuang masa dua jam di hadapan pintu. Dari satu soal, timbul pula soal yang lain. Syafiq memang agak peramah orangnya dan kuat ketawa. Kadang-kala dia merasakan lelaki itu kurang sesuai dengan Nora yang agak sombong. Tapi apa nak buat kalau hati dah suka.
Tengah seronok berbual, tiba-tiba seekor kucing milik jiran sebelahnya menghampiri mereka. Dia segera mengangkat kucing milik Puan Fernandez yang tinggal hanya selang dua buah rumah dari mereka. Kucing itu memang agak jinak. Syafiq rupa-rupanya turut meminati kucing. Lelaki itu asyik bercerita tentang keluarganya yang suka membela kucing dari pelbagai jenis. Ada jenis kucing Bombay, kucing Burmese serta beberapa ekor kucing Persian. Dia hanya diam mendengarnya. Orang kaya memang suka memelihara binatang peliharaan. Tapi hendak meningkah cakap Syafiq dia sendiri tidak tahu apa-apa tentang kucing. Di rumahnya kucing yang dikenali hanyalah kucing liar yang sering diberi makan nasi dingin oleh ibunya setiap pagi. Sebab kerana terlalu dimanjakan, sehingga kucing itu muncul seawal pagi di pintu bahagian dapur menanti ibunya membawakan makanan.
Sedang dia seronok berbual, tiba-tiba Nora mencelah. Hampir hendak termuntah dia mendengar Nora mengakui turut menyukai kucing. Padahal setahunya, setiap kali kucing Puan Fernandez masuk ke rumah mereka, gadis itu akan terjerit-jerit memintanya membawa kucing itu keluar.
Mungkin kerana kata-kata Nora itulah, Syafiq membuat keputusan menghadiahkan gadis itu kucing jenis Persian yang diberi nama Dolly. Dia ketawa pecah perut melihat wajah Nora yang masam manis menerima hadiah Dolly sempena ulangtahun perkenalannya dengan Syafiq. Padahal sebelum ini gadis itu dengan bangga mencanang hadiah dari Syafiq paling-paling kurang pun tentulah cincin berlian bermata besar. Hehehe nasib baik bukan cincin mata kucing, gelak Anabella.
“Kasihan kau Dolly, mari dekat Cik Bella…..lapar ya?” Anabella mencium Dolly sepuas hati. Sejak Dolly ada di rumah itu, dia dikira penjaga tidak rasmi kucing milik Nora itu, kerana Nora sendiri tidak pernah menyentuh kucing tersebut. Dia tahu kalau bukan sebab Syafiq, Nora pasti akan membuang Dolly jauh-jauh. Mujur sajalah gadis itu bukan jenis yang suka mendera kucing. Meskipun Nora tidak mahu bertanggungjawab pada Dolly, namun segala perbelanjaan makan minum Dolly, dia yang menyediakan. Anabella sendiri bersyukur. Sekurang-kurangnya terlepas juga beban satu kepala kucing yang harus dia tanggung. Hahahah…
Selepas memberi susu dan makanan pada Dolly, Anabella segera bersiap-siap mahu ke pejabat. Dia mengerling ke arah jam di kamarnya. Alamak, dah lewat ni. Sambil mencapai sekeping roti tanpa apa-apa alas, Anabella segera meluru keluar lalu mengunci Dolly di dalamnya.
* * * *
Lima minit sebelum tempoh masa punch card berakhir, Anabella melangkah masuk ke pejabat. Dia segera menuju ke mejanya. Zana yang perasan kehadiran gadis itu asyik menjeling-jeling ke arah Anabella. Anabella berpaling. Melihat Zana memandangnya, dia tersenyum seraya mengangkat tangan. Anehnya Zana tidak membalas. Dia mula terasa hairan. Kenapa dengan gadis itu? Takkan tengah datang bulan kut!
Zana melarikan wajah. Anabella hanya mampu mengangkat bahu. Namun tiba-tiba dia perasan, semua pasang mata yang berada di situ asyik memandangnya sambil berbisik-bisik. Anabella memandang ke bawah. Cantik sangatkah aku hari ni? Dia tertanya-tanya seraya mengigit jari.
“Bella, Encik Hafiz nak jumpa,” sapa Kak Ton yang duduk selang dua meja darinya.
“Dia nak jumpa? Kenapa Kak Ton?” Tanya Anabella.
Kak Ton menggelengkan kepala seraya tunduk semula ke arah dokumen yang sedang disemaknya. Anabella tercengang. Baru lima minit dia sampai, dia sudah merasakan ada sesuatu yang tidak kena sedang berlaku. Namun dia tidak terus bertanya. Daripada dia mengadap Kak Ton atau Zana yang berperangai aneh itu, lebih baik dia berhadapan sendiri dengan ketuanya.
“Masuk!” Suara Hafiz bergema agak kuat. Anabella segera menolak daun pintu. Wajah lelaki itu serius menatap ke arahnya membuatkan dia terkedu. Dadanya berdebar-debar seakan mahu meletup. Apasal pulak ni?
“Duduk Bella.” Suruh Hafiz seraya merenggangkan tali leher yang dipakainya. Aneballa mengikut bagaikan lembu dicucuk hidung. Lagipun bos yang suruh, takkan dia nak buat tidak reti.
“Awak tahu kenapa saya panggil awak ke mari?” Soal Hafiz dengan wajah mencuka. Anabella mengerutkan dahinya. Laa nak kena main teka teki pulak ke? Aku dah lah banyak kerja kat luar sana. Nak cakap tu, cakap ajelah..bisik Anabella seraya mengeluh. Dengusan nafasnya dihela jelas kedengaran.
“Tak tahu Encik Hafiz.” Jawabnya akhirnya.
“Bella, saya ada sesuatu nak tanya. “ Hafiz bersuara lagi. Kali ini dia seperti agak ragu-ragu mahu melontarkan kata-kata. Anabella terpinga-pinga. “Semalam ada kecurian di sini. Peti besi bilik saya dibolos, dan saya hilang lebih kurang lima belas ribu wang di dalam peti besi.” Beritahu lelaki itu lambat-lambat.
Anabella terpegun. Lututnya tiba-tiba lemah. Berita yang dibawa lelaki itu benar-benar mengejutkan. Tapi yang paling membuatkannya gementar ialah kata-kata Hafiz yang seolah menuduh.
“Encik Hafiz…bukan saya..” Dia menggelengkan kepala. Hafiz merenungnya tidak berkelip.
“Bella, saya belum melaporkan kejadian ni pada polis. Jadi saya minta kalau awak ada ambil, tolonglah pulangkan duit tu secepat yang mungkin.” Suara Hafiz mula mengendur apabila dilihat wajah Anabella seperti mahu menangis.
Anabella tersentak. Bagaimana dia mahu memulangkan sesuatu yang tidak diambilnya? Meskipun dia sering keputusan duit, namun untuk mencuri dia masih belum tergamak lagi. Takkan lelaki itu masih tidak faham-faham bagaimana sikapnya selama ini!
* * * *
Anabella menangis teresak-esak seorang diri di dalam tandas. Sememangnya jika ada ssuatu yang berlaku, dia akan bersembunyi di situ. Tandas di Trans-Trading sudah menjadi seperti bilik kaunselor percuma baginya. Beberapa teman-teman sepejabat yang hendak masuk ke dalam tandas berkenaan, terus keluar semula sebaik terlihat Anabella di situ. Masing-masing serba salah mahu berhadapan dengan gadis itu. Malah sepanjang dua jam dia di dalam, tidak ada seorang pun datang untuk memujuknya. Mak, ayah…sampai hati mereka tuduh Ana macam-macam, mulut Anabella sudah herot menahan sebak.
Dia mengelap airmata dan hingus yang keluar dengan tisu tandas yang tersangkut pada dinding. Sambil dia mengelap, tangan sebelah lagi asyik menarik-narik tisu tandas sehingga membentuk satu gumpalan di hadapannya tanpa disedari.
Tiba-tiba satu libas pukulan mengenai tangannya. Dia menoleh dengan airmata berjuraian. Di hadapannya berdiri Kak Maimun yang berkerja sebagai pencuci di situ. Wanita itu bercekak pinggang memandang ke arahnya dengan wajah garang.
“Kak Mun…” sapa Anabella dengan bahu tersengguk-sengguk menahan tangis. Wanita itu mendengus keras.
“Kalau ya pun nak menangis, menangis ajelah…yang kamu pi tarik tisu tu semua apasal? Dahlah membazir, bersepah pula tandas ni dek kamu Bella. Kamu ingat kak Mun ni kerja bersihkan kotoran yang kamu buat ke?” Sungut Kak Maimun sambil menarik penyapu, berus dan baldi.
“Kak Mun, Bella tengah sedih ni…kak Mun janganlah marah-marah Bella lagi.” Ujarnya dengan mata sembab.
“Macamanalah aku tak marah, asal aku nak bersihkan tandas ni, muka kamu mesti ada kat sini. Rasanya di pejabat ni, orang yang kerap sangat masuk tandas kamu ler. Dan orang yang mengotor tempat ni pun kamu jugak.” Balas Kak Maimun dengan wajah mencuka.
Anabella tunduk merenung kasut putihnya yang berkilat-kilat. Perasaan sedihnya semakin membuak sebaik mendengar kata-kata Kak Maimun. “Yalah, Bella tahu Bella ni menyusahkan orang aje. Bella tahu Kak Mun pun tak suka Bella. Semua orang kat pejabat ni tak sukakan Bella. Sebab tu Encik Hafiz sanggup tuduh Bella mencuri.” Keluhnya dengan wajah muram.
Kak Maimun yang mendengar keluhan gadis itu berpaling. Wajah muram Anabella yang berkerut dipandang agak lama. Dia bukannya tidak sukakan Anabella. Cuma selama ini gadis itu agak sombong sedikit orangnya. Langsung tak mahu bertegur sapa dengan pekerja-pekerja bawahan sepertinya. Tapi mahu membiarkan gadis itu kesedihan, dia tidak sampai hati pula. Meskipun dia tidak tahu apa sebenarnya yang berlaku pada Anabella, tapi d luar sana dia ada mendengar gossip-gossip mengenai gadis itu. Hanya dia malas mahu terus memasang telinga. Buat menambah dosa aku aje, keluh Kak Maimun.
Dia segera berpaling ke arah baldi dan penyapu yang sudah dibawa keluar dari stor. Hai kalau macam ni, macamana aku nak sudahkan kerja aku? Dia kembali memandang ke arah Anabella yang tak habis-habis mengesat airmata yang tumpah. Mata gadis itu dah jadi seperti mata ikan buntal. Agaknya dah berapa lama dia menangis kat sini? Fikir Kak Maimun.
“Bella, tak guna kamu menangis airmata darah sekalipun. Masalah kamu tak juga selesai-selesai. Kalau aku jadi kamu, aku alihkan perhatian aku. Buat kerja-kerja yang berfaedah.” Usul wanita berusia awal 40 an itu.
Anabella mendongak. Entah mengapa kata-kata Kak Maimun membuatkan dia tertarik. “Macamana Kak Mun?” Soal Anabella.
Kak Maimun tersengih. Dia memuncungkan mulutnya ke suatu arah. Anabella berpaling, namun dia tidak mengerti apa maksud wanita itu. “Bella tak fahamlah.”
“Isshh budak ni. Daripada kamu duk melangut kat sini macam penyu, baik kamu tolong aku bersihkan toilet ni. Lagipun kalau menurut firasat aku ni, kamu takkan keluar-keluar dari sini sehingga ke petang.”
Anabella tergaman. Samdol betul kak Mun ni, time-time macam ni pun dia masih juga nak kenakan aku, rungut Anabella. Takkan aku nak disuruh membasuh toilet? Aku kerja kat sini bukan sebab nak jadi tukang cuci. Entah apa kata orang kalau tahu eksekutif pemasaran Trans-Trading jadi tukang bersih tandas. Hiss simpang malaikat 44…
“Nak fikir apa kebendanya, kalau kamu tak mahu tolong tak apa. Tapi tolong keluar dari tandas ni, aku nak cuci. Nanti marah orang-orang kat pejabat ni kalau tandas tak bersih.” Sambung Kak Maimun lagi.
Anabella terdiam. Dia bukan tidak mahu keluar, tapi dia malu dengan kawan-kawan sepejabatnya. Sebab itu dia bersembunyi di tandas dengan harapan bila kawan-kawan sepejabatnya sudah pulang, dia akan bergegas pergi senyap-senyap.
“Err tak apalah Kak Mun, nanti Bella cuci tandas ni sampai bersih. “ Dia mengangguk akhirnya. Senyuman Kak Maimun melebar sehingga paras telinga. Gembira benar wanita itu mendengar kata-katanya. Serta-merta penyapu mop dan baldi segera dihulurkan ke arah gadis itu.
“Kalau macam tu, kamu bersih tandas ni. Kak Mun nak ke tandas lelaki, cuci kat sana. Jangan lupa, cuci bersih-bersih tau.” Pesan wanita itu sebelum bergegas pergi. Anabella hanya mengangguk. Dia mengerling baldi dan penyapu yang dipegangnya. Sedikit demi sedikit wajahnya dicebirkan. Mak…Ana dah jadi tukang cuci sekarang ni…huhuhu..
* * * *
Ketika Anabella sudah keluar dari pejabatnya, semua orang sudah pulang. Dia memandang ke arah meja kerjanya yang bersepah dengan dokumen-dokumen yang langsung tidak disentuh sepanjang hari ini. Mungkin tak lama lagi, dia akan tinggalkan meja yang sudah hampir empat tahun didudukinya. Dia tahu tak mungkin ketuanya akan membiarkan dia terus bekerja di situ. Dan tak mungkin juga dia akan memalukan dirinya sendiri untuk terus berkhidmat di sayarikat itu dalam keadaan begini. Bella..kenapa nasib kau ni malang sangat?
Seperti tahu apa yang patut dibuatnya, Anabella segera mencapai kotak kecil yang tersimpan di bawah meja. Kotak kecil yang sebenarnya kotak kasut ‘Giorgio Brutini’ yang sengaja di bawa ke pejabat untuk ditayangnya beberapa bulan yang lalu. Kebetulan pula kasut yang dipakainya ketika itu rosak. Maka seperti orang mengantuk disorongkan bantal, dia terus menyarungkan kasut ‘Giorgio Brutini’ itu dengan rasa bangga. Tak sangka setelah beberapa bulan, ada juga kegunaan kotak kasutnya itu.
Anabella segera memasukkan barang-barang peribadinya ke dalam kotak kasut itu. Setelah selesai mengemas, dia menulis sekeping memo untuk Hafiz sebelum melekatkannya pada hadapan skrin monitor komputer. Setelah segala-galanya selesai dia segera melangkah pergi ke arah pintu lift. Namun belum sempat butang pintu lift ditekan, telefon bimbitnya berbunyi nyaring. Anabella segera mengalihkan kotak kasut ke sebelah tangan yang lain, sementara dia mencari-cari telefon bimbit dari saku seluar.
“Hello.” Dia menyapa acuh tak acuh. Selang beberapa saat, wajah Anabella mula memucat. Dia maramas telefon bimbitnya tanpa disedari. Suara yang muncul di talian membuatnya bungkam dan sekaligus berang.

No comments:

DEDALU DI HATI - STOK TERHAD!!

DEDALU DI HATI  - STOK TERHAD!!

PESANAN NOVEL DEDALU DI HATI SEDANG DIBUKA SEKARANG!!!

Harga = RM25.90
Kos Pos = RM7 (pos laju)
Total = RM32.90

Emailkan nama dan butiran diri ke arr_nita@yahoo.com.
Pesanan sehingga stok ke 3 ini kehabisan..

NANTIKAN VENOM SURIA DI PESTA BUKU ANTARABANGSA PWTC MULAI 27 APRIL, TERBITAN BUKU PRIMA (RM25.90)

NANTIKAN VENOM SURIA DI PESTA BUKU ANTARABANGSA  PWTC MULAI 27 APRIL, TERBITAN BUKU PRIMA (RM25.90)
Suria gadis ceria dan periang, namun miliki sejarah hitam dalam kelahiran. Yang membuatkan dia diburu dan dijejaki untuk meleraikan sebuah kisah sumpahan, lalu mempertemukan dia dengan dua lelaki berbeza sifat. Izwan jenis yang dingin dan panas baran. Cakapnya harus dipatuhi atau dia akan meletup! Nazrul sentiasa cool tapi punya rahsia terpendam yang menyiksa jiwa. Seorang lelaki ditakdirkan menjadi penyelamat. Seorang lagi ditakdirkan membunuhnya. Kedua-duanya muncul tak diundang, tetapi meninggalkan kesan mendalam. Lalu bermulalah permainan cat and mouse antara mereka sehingga game over!