Followers

Sunday, October 3, 2010

Hujan Rindu : Bab 16


Anum Dahlia leka memerhatikan Tok Anjang yang sibuk menebang tandan-tandan pisang yang lebat buahnya. Ada buah yang telah masak ranum dan ada juga yang masih hijau, tapi telah matang buahnya. Selepas diperam beberapa hari masaklah buah pisang ni, detik hati Anum Dahlia.

Kadang-kala apabila dia melihat Tok Anjang mengesat peluh di dahinya, hatinya entah kenapa rasa tersentuh. Kasihan datuk! Dah tua-tua pun, terpaksa mencari rezeki sendiri. Kalau mama ada di sini, tentu mama takkan biarkan datuk dengan nenek bersusah payah macam ni, detik hati kecilnya.

“Datuk, buah-buah pisang ni Anum masukkan dalam bakul itu ya.” Laung Anum Dahlia pada Tok Anjang. Tok Anjang menoleh sebentar. Tersenyum dia melihat gadis sekecil Anum Dahlia, terhegeh-hegeh mengangkat tandan pisang nangka yang agak besar.

“Boleh Anum?” Tanya Tok Anjang.

“Insya Allah, boleh datuk.” Balas Anum Dahlia dengan nafas termengah-mengah. Tok Anjang hanya tertawa. Lucu melihat Anum Dahlia membantunya di kebun dengan berpakaian baju kurung. Sejak dia keluar membeli kain baju kurung untuk gadis itu, Anum Dahlia lebih kerap berbaju kurung.

Senang matanya melihat anak gadis itu berpakaian sopan begitu. Nampak lebih manis dan lebih ayu. Dia teringat pada saat dia mula-mula bertemu dengan gadis itu. Anum Dahlia kelihatan lincah dengan blouse dan jeans yang kerap menjadi pakaian hariannya. Mulanya dia menyangkakan Anum Dahlia pasti tidak dapat menyesuaikan dirinya dengan kehidupan di kampung. Namun dia benar-benar tidak menyangka yang gadis itu akan betah tinggal di sini.

“Amboi, apa yang disenyumkan tu,” tegur Nek Jah yang tiba-tiba muncul sambil membimbit mangkuk tingkat.

“Tak ada apa-apa. Kamu buat apa di sini Jah?”

“Salim beritahu saya, abang aji nak menebang pisang sampai hujung pokok rambutan tu. Saya lupa nak pesan dekat abang aji tadi, suruh abang aji kaitkan rambutan kita yang dah nak masak tu. Boleh juga Anum merasa hasil tanaman kebun kita tu.” Ujar Nek Jah.

“Nanti aku kaitkan buah rambutan tu. Apa yang kamu bawa dalam mangkuk tingkat tu?” Mata Tok Anjang tertumpu ke arah mangkuk tingkat yang masih dipegang Nek Jah.

“Ini bubur kacang campur durian. Zulaika yang bagi tadi dalam perjalanan saya ke sini. Eh mana Anum?” Tanya Nek Jah. Matanya melilau mencari kelibat Anum Dahlia yang tidak nampak bayang.

“Tadi dia ada.” Tok Anjang mengerutkan dahinya. Dia hairan kerana baru sebentar tadi Anum Dahlia berada di hadapan matanya.

“Bang aji, mana Anum?” Nek Jah mula resah.

Tok Anjang mencari-cari kelibat Anum Dahlia di celah-celah batang pisang. Takkan dia pergi jauh dari kawasan ini, fikir Tok Anjang. Sepertimana Nek Jah, dia juga turut risau. Bimbang kalau ada sesuatu yang buruk menimpa Anum Dahlia.

“Abang aji, sini abang aji!” Jeritan Nek Jah mengejutkan Tok Anjang. Dia meluru ke arah Nek Jah yang nampak cemas. Nek Jah kelihatan tunduk mengadap ke suatu arah. Apabila Tok Anjang sampai, alangkah terkejutnya dia melihat Nek Jah berteleku di sisi sekujur tubuh yang terduduk lemah.

“Anum? Ya Allah, apa dah jadi ni Jah?” Soal Tok Anjang cemas. Dia melutut di sebelah Anum Dahlia yang kelihatan memegang dadanya. Wajah anak gadis itu berkerut seolah-olah menahan sakit.

“Tak tahulah bang, sedar-sedar saya jumpa Anum kat sini. Tak tahulah apa kena dengan budak ni.” Balas Nek Jah resah.

“Anum, kenapa ni? Kamu sakit di mana?” Tanya Tok Anjang cemas.

“Tak ada apa-apa datuk, nenek. Anum cuma terasa nak pitam,” jawab Anum Dahlia, lemah. Dia memegang kepalanya.

“Rasa nak pitam? Apa kamu demam?” Soal Nek Jah pula. Cepat tangannya merasa dahi Anum. “Panas sikit dahi Anum ni, barangkali Anum demam.” Sambung Nek Jah.

“Kalau macam tu, datuk bawa Anum ke klinik hujung kampung ni. Kalau perlu kita pinjam kereta Taufik, kita pergi ke hospital di pekan.” Usul Tok Anjang.

“Eh tak payahlah datuk, nenek. Anum tak apa-apa, cuma pening aje. Sekejap lagi baiklah tu. Anum nak balik rumah berehat,” sahut Anum Dahlia, lemah. Dia cuba bangun sambil dipapah oleh Nek Jah.

“Betul tak apa-apa ni?”

Anum Dahlia mengangguk.

“Tak apalah bang aji, biar saya yang bawa Anum balik berehat di rumah. Abang aji sambung lah dulu mana-mana kerja yang tak habis ni.” Ujar Nek Jah seraya memapah Anum Dahlia. Tok Anjang hanya mampu memerhatikan isterinya beredar bersama Anum Dahlia yang kelihatan pucat.

* * * *

“Dah sihat ke budak Anum tu?” Soal Tok Anjang sebaik sampai ke rumah.

“Macam itulah bang, balik tadi dia terus tidur. Saya dah masakkan bubur ikan untuk Anum tapi dia makan sikit aje.” Ujar Nek Jah.

Tok Anjang melepaskan keluhan. Pulang-pulang saja, entah kenapa Anum Dahlia dulu yang dicarinya. Sepanjang menghabiskan tugasnya di ladang, fikirannya jadi tidak tenang. Dia asyik teringatkan Anum Dahlia sepanjang masa. Entah kenapa dia rasa gelisah, bagaikan ada sesuatu sedang menganggu perasaannya kini.

“Kuat demam Pia ni, kita bawa dia ke klinik Jah,” dia merasa dahi si anak. Panas. Dahi anak kecil itu berpeluh hangat.

“Ayah….,” suara kecil itu merengek-rengek menyentuh hatinya. Dia memandang Sufiyah yang terbaring lemah. Bibir anak itu bergerak-gerak cuba memanggilnya.

“Syyy…Pia demam, ayah nak bawa Pia ke klinik. Nanti doktor akan bagi ubat pada Pia, biar cepat sembuh.” Pujuknya.

“Tak mahu, Pia nak tidur sini. Pia tak mahu makan ubat. Pahit!” Jelas anak itu. Dia memandang isterinya Halijah. Wanita itu tersenyum kecil ke arahnya. Dia turut tersenyum. Dia tahu anak kecil paling takut jika disuruh makan ubat.

“Tak boleh sayang, ayah dan mak nak Pia cepat sembuh. Bila sembuh boleh pergi sekolah. Lagipun Pia cakap pada ayah, Pia nak jadi doktor. Masakan bakal doktor takut dengan ubat.” Pujuknya.

Anak kecil itu terdiam mendengar kata-katanya. Dia hanya tersenyum, namun dia tahu jeratnya mengena.

“Abang aji, kenapa termenung ni?” Nek Jah mengerutkan dahinya. Dia hairan dengan perubahan sikap Tok Anjang yang tiba-tiba lebih banyak berdiam diri. Namun dia tahu suaminya itu bimbangkan keadaan Anum Dahlia. Dia sendiri juga rasa gelisah. Melihat Anum Dahlia yang seolah-olah menahan sakit, dia tidak tahu apakah gadis itu hanya pening seperti yang dikatakannya.

Tok Anjang tersedar dari lamunannya. Dia memandang Nek Jah yang berwajah risau. Dan dia tidak berniat mahu menambahkan kebimbangan isterinya lagi. Cukuplah isterinya itu menderita selama ini.

“Tak ada apa-apa Jah. Kamu jagalah budak tu baik-baik. Apa-apa jadi nanti, susah kita nak menjawab pada mak ayah si Anum ni,” ucap Tok Anjang perlahan. Nek Jah sekadar mengangguk. Dia faham maksud suaminya. Lagipun bukan soal ayah ibu Anum Dahlia sahaja yang dirisaukan, mereka juga bimbangkan keadaan anak gadis itu sendiri.

* * * *

Anum Dahlia cuba bangkit dari pembaringannya, namun entah kenapa kepalanya terasa berat. Namun dia tidak mahu memanjakan dirinya, apatah lagi dia belum solat isyak. Bersusah payah dia ke bilik air, mengambil wuduk. Sesekali matanya mengintai kelibat Tok Anjang dan Nek Jah, namun tidak nampak bayang keduanya.

Selepas menunaikan solat, Anum Dahlia memanjatkan doa agar dia diberi kesempatan untuk menunaikan pesan ibunya. Sambil mengaminkan doa, wajahnya berkerut semula. Entah kenapa sakit di dadanya muncul kembali. Sejak sebulan yang lalu, dia sudah lama tidak merasakan kesakitan itu. Malah dia hampir lupa pada ubat-ubat yang dibawanya. Ubat-ubat itu tidak pernah lagi diambil sejak dia menjejakkan kakinya ke kampung ini. Entah kenapa, kampung ini seolah-olah merestui kehadirannya. Dia rasa tenang di sini.

Perlahan-lahan dia hampir ke arah meja tulis kecil di suatu sudut. Sekeping kertas dikeluarkan dari dalam laci mejanya. Entah kenapa dia rasa rindu pada ibunya. Anum Dahlia mula menulis setiap bait perkataan yang sudah lama ingin diluahkannya.

Mama, dah sebulan Anum di sini. Anum rasa gembira, bagaikan mama turut berada di sini bersama Anum. Sekurang-kurangnya datuk seperti sudah boleh menerima Anum, meskipun dia belum mengetahui siapa Anum sebenarnya. Kalau dulu dia seperti tidak sukakan Anum, tapi hari demi hari datuk sama seperti yang mama katakan. Dia seorang lelaki yang baik, lelaki yang hebat. Nenek pula seperti mama, penuh dengan kelembutan. Alangkah indahnya jika Anum boleh memeluk kedua mereka sepertimana mereka pernah memeluk mama dulu. Bersama mereka Anum tidak lagi merasa kesepian, mama. Anum mula merasa setiap nadi kasih sayang yang ada di hati mereka.

“Anum!” Panggil Nek Jah tiba-tiba. Anum Dahlia tergaman. Cepat-cepat diterbalikkan kertas di atas mejanya. Dia menoleh. Nek Jah muncul bersama dulang berisi bubur dan milo panas.

“Anum buat apa tu?” Nek Jah cuba menjenguk.

“Tak ada apa-apa nek. Anum cuma menulis surat,” jawab Anum Dahlia sedikit gugup.

“Tulis surat? Untuk siapa?”

“Untuk mama.” Tanpa sedar Anum Dahlia bersuara.

Nek Jah sekadar tersenyum. Memandang wajah muram itu, dia faham kerinduan yang ada di mata Anum Dahlia. Siapa tidak rindu pada keluarga setelah berjauhan begini. Bukan dekat jarak Anum Dahlia dari keluarganya. Beribu-ribu batu jauhnya.

“Anum mesti rindukan mama Anum kan? Nenek faham perasaan Anum. Kalau boleh nenek teringin nak jumpa dengan mama Anum. Nenek nak tengok sendiri wajah orang yang telah mendidik dan membesarkan Anum,” ucap Nek Jah. Perlahan-lahan rambut Anum Dahlia yang panjang mengurai dielus lembut penuh kasih sayang.

Alangkah bahagianya kalau dia mempunyai cucu seperti Anum Dahlia. Tahu menghormati orang tua dan lemah lembut pula sifatnya. Tidak seperti cucunya Melina yang jarang-jarang mahu menjenguk mereka suami isteri di kampung. Nek Jah termenung panjang.

“Nek…nenek kenapa?” Tegur Anum Dahlia apabila dilihatnya Nek Jah seperti melayan perasaan. Entah apa sebenarnya yang ada di hati wanita itu.

Nek Jah tiba-tiba berpaling ke arah Anum Dahlia. Wajah itu dipandang agak lama. Bagaimana kalau gadis itu mahu pulang suatu hari nanti? Pasti dia dan suaminya akan kesepian di teratak buruk ini. Sedangkan kehadiran Anum Dahlia dianggapnya bagaikan suatu rahmat dari Allah. Dia tahu Tok Anjang tidak suka dia mengungkit peristiwa lama, tapi kehadiran Anum Dahlia bagaikan mengembalikan ingatannya pada anaknya Sufiyah.

Sufiyah, mak rindu pada kamu. Ke mana kamu hilang Pia? Sekalipun kamu marahkan kami, tapi janganlah menghilangkan diri terlalu lama dari kami. Kami sudah tua, hayat kami entah esok entah lusa akan pergi. Tidakkah Pia kasihankan mak dan ayah?

“Nek?” Anum Dahlia mengerutkan dahinya. Hairan melihat air jernih yang bergenang di kelopak mata wanita itu. Seakan menyedari sesuatu, Nek Jah cepat-cepat melontarkan senyuman.

“Anum dah rasa elok sikit?” Tanyanya.

Anum Dahlia sekadar mengangguk.

“Alhamdulillah. Nenek dah masakkan bubur untuk Anum, makanlah sikit. Tadi Anum makan sikit sangat. Tak elok dibiarkan perut tu kosong, nanti masuk angin pula. Datuk pun asyik bimbangkan Anum, takut sakit tu melarat.” Ujar Nek Jah.

Anum Dahlia terdiam. Sebak hatinya melihat dirinya diambil berat oleh kedua orang tua itu.

“Kalau rasa sakit, Anum kena beritahu kami. Jangan dibiarkan sampai melarat. Bila Anum tinggal di sini, dah jadi tanggungjawab datuk dan nenek menjaga Anum. Kami tak mahu apa-apa yang buruk berlaku pada Anum,” sambung Nek Jah.

Dia tersenyum. Tangan Nek Jah diraih lalu dikucup. Nek Jah terkejut melihat perlakuan Anum Dahlia, namun dia hanya membiarkan. Sedikit-sebanyak dia rasa bahagia. Terasa tenang hatinya.

Tanpa disedari, adegan itu diintip sepasang mata. Perlahan-lahan Tok Anjang merapatkan daun pintu. Dia memusingkan tubuhnya. Bibirnya mengorak senyuman. Hatinya rasa tenang kerana gadis itu kelihatan baik-baik sahaja.

* * * *

“Aku tengok sejak Anum datang ke rumah kamu, kamu dah semakin jauh berubah Anjang.” Tegur Lebai Dollah sambil menghisap rokok daun yang telah digulung dengan daun tembakau.

“Apa maksud kamu?” Tok Anjang acuh tak acuh mendengar. Dia mengambil cawan kopinya yang masih berbaki seraya dihirup sampai habis.

“Yalah, dulu kamu tu susah nak diajak berbincang. Baran kamu tu tak bertempat. Sekarang kamu dah mahu nak mendengar cakap-cakap aku. Dah mahu nak bertolak ansur.”

“Apa selama ni aku tak bertolak ansur dengan kamu ke Lebai?”

“Bukan itu maksud aku. Maksud aku ialah Anum tu.”

“Kenapa dengan Anum pulak?”

Lebai Dollah tidak terus berkata. Dia meneguk dari cawannya seteguk dua sebelum memandang Tok Anjang yang kelihatan hairan.

“Aku dengan Senah tengok, kamu dengan Jah serasi benar dengan budak Anum tu. Anum pun nampak suka tinggal di rumah kamu. Sayang, budak tu tentu tak lama nak menetap di situ. Dia ada mak ada ayah, tentunya suatu hari nanti dia akan pulang juga ke pangkuan keluarganya.” Sebut Lebai Dollah.

“Aku tak faham maksud kamu Lebai.”

“Anjang, dua tiga hari yang lalu, Jah ada datang berbual-bual dengan Senah. Kata Jah, dia dah lama terfikirkan hal ni. Cuma nak berbincang dengan kamu dia takut, takut kamu tak setuju.” Lebai Dollah berhati-hati menyusun perkataan.

“Hal apa ni Lebai? Jah cerita apa dengan kamu?” Soal Tok Anjang bertalu-talu. Berminat benar dia ingin tahu ayat terakhir Lebai Dollah yang penuh tanda tanya.

“Jah teringin nak buat budak Anum tu jadi cucu dia.” Sampuk Mak Senah yang datang entah dari mana. Tok Anjang tergaman. Kata-kata wanita itu membuatkan dia terpaku sejenak.

“Aku benar-benar tak faham.”

“Anjang, Jah tu suka benar dengan Anum. Kalau boleh dia tak mahu hubungannya dengan Anum putus bila Anum balik semula ke luar negeri tu. Kata Jah, biarlah hubungan dia dengan budak Anum tu terikat sampai bila-bila. Dia nak kamu ambil Anum Dahlia jadi cucu angkat kamu.” Jelas Lebai Dollah, begitu berhati-hati. Bimbang juga hatinya dengan reaksi Tok Anjang. Namun lelaki itu dilihatnya diam sahaja.

Lebai Dollah memandang isterinya Hasnah yang turut berpaling ke arahnya. Apabila dia mengalihkan pandangan ke arah Tok Anjang, lelaki itu kelihatan sugul.

“Apa kata kamu Anjang?” Soal Lebai Dollah.

Tok Anjang memandang Lebai Dollah agak lama. Bukan dia tidak setuju dengan hasrat hati isterinya yang disampaikan oleh temannya itu. Tapi entah kenapa dia takut. Takut mengharapkan sesuatu yang tak mungkin Anum Dahlia akan setuju. Mahukah gadis itu menjadi cucu angkat mereka kelak? Untuk apa Anum Dahlia menjadi cucu mereka, kalau gadis itu bukan hak mereka. Kalaupun gadis itu sudi, apakah keluarganya akan membenarkan? Pelbagai persoalan menerpa serentak ke kepala Tok Anjang. Dia gusar kali ini.

link

No comments:

DEDALU DI HATI - STOK TERHAD!!

DEDALU DI HATI  - STOK TERHAD!!

PESANAN NOVEL DEDALU DI HATI SEDANG DIBUKA SEKARANG!!!

Harga = RM25.90
Kos Pos = RM7 (pos laju)
Total = RM32.90

Emailkan nama dan butiran diri ke arr_nita@yahoo.com.
Pesanan sehingga stok ke 3 ini kehabisan..

NANTIKAN VENOM SURIA DI PESTA BUKU ANTARABANGSA PWTC MULAI 27 APRIL, TERBITAN BUKU PRIMA (RM25.90)

NANTIKAN VENOM SURIA DI PESTA BUKU ANTARABANGSA  PWTC MULAI 27 APRIL, TERBITAN BUKU PRIMA (RM25.90)
Suria gadis ceria dan periang, namun miliki sejarah hitam dalam kelahiran. Yang membuatkan dia diburu dan dijejaki untuk meleraikan sebuah kisah sumpahan, lalu mempertemukan dia dengan dua lelaki berbeza sifat. Izwan jenis yang dingin dan panas baran. Cakapnya harus dipatuhi atau dia akan meletup! Nazrul sentiasa cool tapi punya rahsia terpendam yang menyiksa jiwa. Seorang lelaki ditakdirkan menjadi penyelamat. Seorang lagi ditakdirkan membunuhnya. Kedua-duanya muncul tak diundang, tetapi meninggalkan kesan mendalam. Lalu bermulalah permainan cat and mouse antara mereka sehingga game over!