Followers

Thursday, October 14, 2010

Hujan Rindu : Bab 25

Matanya dibuka perlahan-lahan. Dia mengerutkan dahinya, cuba mengingati di mana dia berada. Akhirnya dia tersenyum. Yuzer bangun dari tempat tidurnya. Dia menggeliat malas seraya menjenguk ke arah jendela biliknya. Bunyi ombak bergulung menghempas pantai terasa dekat di telinganya.

Dia segera keluar dari bilik. Tiada sesiapa di ruang tamu. Dia merenung pintu bilik sebelah. Aiik senyap saja, takkan masih belum bangun? Jarum jam sudah beredar ke pukul 9.00 pagi. Semalam dia balik ke apartment itu agak lewat kerana menguruskan sesuatu yang agak penting. Dia hanya sempat menegur adik-adiknya sepatah dua kata, sebelum dia mencari biliknya sendiri. Badannya terasa penat kerana seharian memandu, kemudian dia terpaksa pula berjumpa dengan salah seorang kliennya di Teluk Dalam. Tanpa mandi dan bersalin pakaian, dia terus terlena diulit mimpi.

Daun pintu bilik sebelah diketuk perlahan. Yuzer mendiamkan diri, namun tidak terdengar sebarang suara menyahut. Dia mula hairan. Kakinya segera diatur menuju ke arah ruang tamu. Seteko kopi panas berserta dengan roti bakar sudah tersedia untuknya di meja makan. Yuzer tersenyum senang. Dia tahu, pasti Anum Dahlia yang menyediakan sarapan itu. Sewaktu mahu menuang kopi ke dalam mug yang kosong, sekeping kertas yang melekat di bawah teko menarik perhatiannya.

Abang, kami nak bersiar-siar kat pantai. Tunggu abang, tak bangun-bangun. Lepas makan sarapan tu, abang terus datang ke mari. Zurin.

Yuzer tersenyum membaca isi nota ringkas tulisan tangan Zurin. Dia segera melangkah keluar ke arah beranda yang pintunya terbuka luas. Angin sepoi-sepoi bahasa meniup wajahnya. Terasa nyaman dan damai. Yuzer merasa cukup tenang kali ini. Dia melontarkan pandangan ke arah kawasan pantai di hadapan matanya. Dari jauh, dia melihat kelibat adik-adiknya sedang bermain kejar mengejar dengan Anum Dahlia. Suara riang Zurin dan Zaza cukup jelas di telinganya. Suara ketawa Anum Dahlia juga singgah. Tanpa sedar Yuzer turut ketawa. Entah kenapa dia senang sekali melihat keadaan di hadapan matanya.

Ketenangannya tergugat diganggu bunyi deringan telefon bimbit. Dia menoleh. Namun belum sempat dia mahu melangkah mendapatkan telefonnya, deringan itu berhenti mendadak. Beberapa saat kemudian, isyarat mesej pula kedengaran.

Yuzer segera melangkah menuju ke arah meja kopi di suatu sudut. Telefonnya yang terletak di atas meja itu segera diraih. Dia merenung ke arah mesej yang tertera di skrin telefon. Emir! Temannya itu sekadar memberitahu, bahawa dia sudah sampai ke Lumut. Tangan Yuzer terus mendail nombor Emir. Sejurus kemudian, dia terdengar suara lelaki itu di hujung talian.

“Kenapa Yuz?” Soal Emir sedikit terjerit. Di belakang suaranya bercampur dengan suara-suara ramai.

“Tak ada apa-apa, aku cuma nak ingatkan kau. Aku sewa bot laju nak ke Pulau Giam petang nanti. Kalau kau lambat sampai, aku tinggalkan kau saja.” Pesan Yuzer sambil tersenyum.

“Don’t worry, aku dah ready nak naik feri ni. So aku terus ke apartment tu?”

“Yup, call aku lepas kau sampai.” Ujar Yuzer seraya menamatkan perbualan. Dia segera duduk mengadap meja makan. Sekeping roti bakar dicapai lalu digigit. Selesai mengenyangkan perut, Yuzer kembali ke bilik untuk mandi dan bersiap.

* * * *

Mata Anum Dahlia memandang lepas ke lautan luas. Ombak yang menggulung tinggi, dipandang tanpa rasa takut. Sebaliknya dia rasa ceria sekali. Sudah lama dia tidak merasa gembira seperti sekarang. Bulan-bulan terakhir dalam hidupnya menyimpan kenangan pahit yang sukar untuk dilupakan.

Bila difikirkan kembali, dia rasa tabah untuk menghadapi hari esok sebaik sahaja menjejaki tanah di Kampung Paya Mengkuang. Tak tahu kenapa dia rasa selamat berada di tanah tempat kelahiran mamanya. Begitu juga bila dia berada di samping Yuzer dan adik-adiknya….dia bagaikan merasakan perasaan yang sama.

“Kak Anum, jomlah!” Jerit Zurin yang seronok bermain air dengan Zaza. Kedua-duanya berlari riang tanpa mempedulikan sesiapa. Sekejap saja pantai itu dipenuhi dengan para pengunjung yang sedang asyik bermain jet ski dan bot laju. Dari jauh beberapa ‘speed bot’ meluncur laju di hadapan matanya.

“Kak Anum!” Panggil Zurin lagi. Tangannya dilambai-lambaikan ke arah Anum Dahlia. Anum Dahlia menggelengkan kepalanya. Dia enggan menyertai Zaza dan Zurin di tepi pantai. Dia lebih suka menikmati pemandangan indah dari tempat redup.

Giliran Zaza pula memanggil nama Anum Dahlia berulangkali. Dia mengeluh. Selagi dia tidak pergi, selagi itulah namanya akan dilaungkan berulangkali. Anum Dahlia baru hendak bangun, apabila tiba-tiba tangannya ditarik agak kuat sehingga dia kembali terduduk. Dia terkejut. Yuzer tiba-tiba sahaja muncul di sisinya dengan wajah selamba. Lelaki itu mengambil tempat di sebelahnya.

“Duduk dulu sini, borak-borak dengan saya.” Pinta Yuzer sambil tersenyum.

Dia terdiam. Nak berborak? Tentang apa? Rasanya kalau dengan Yuzer, lebih baik dia berdiam diri saja.

“Anak dara tak elok muncung lama-lama.” Ucap Yuzer bagaikan menyedari ekspresi wajah Anum Dahlia yang kelihatan tidak senang. Anum Dahlia tergaman. Dia menoleh ke arah Yuzer yang masih tersenyum memandangnya. Renungan Yuzer menjamah lembut setiap inci wajahnya membuatkan dia diterpa rasa hairan. Pelik dia ni! Sekejap marah dengan aku, sekejap pula baik. Agaknya dia ni lahir pada bulan mengambang agaknya, detik hati Anum Dahlia penuh tanda tanya.

“Awak suka datang ke sini?” Tanya Yuzer tiba-tiba. Dia menoleh. Mata Yuzer tidak berganjak dari wajahnya. Pandangan mereka bersentuhan membuatkan dia merasakan sesuatu mula singgah di lubuk hatinya. Oh tuhan! Anum Dahlia menarik nafas panjang.

“Tak suka? Sebab saya paksa awak ikut sekali?” Duga Yuzer apabila anak gadis itu tidak menjawab.Yuzer tiba-tiba melepaskan keluhan berat sambil memandang ke arah laut lepas. Anum Dahlia memandang lelaki itu tidak berkelip. Kemuraman di wajah Yuzer membuatkan dia ingin tahu apakah yang sedang difikirkan oleh lelaki itu.

“Dah lama saya tak ke sini, kali terakhir saya datang dua tahun lepas. Itupun sebab kerja. Siapa sangka tempat ini boleh membawa pengaruh yang besar pada saya” Ucap Yuzer tiba-tiba. Anum Dahlia tergaman mendengar ungkapan lelaki itu. Dia menumpukan perhatian kepada kata-kata Yuzer. Apa maksudnya?

Yuzer tiba-tiba berpaling. Mata lelaki itu meraut wajahnya agak lama. Nafas Yuzer terasa dekat dengan wajahnya. “Kawan-kawan saya mati di sini Anum. Di tempat ini.” Ungkap Yuzer dengan wajah muram.

Anum Dahlia tersentak. Kata-kata Yuzer mencuri tumpuannya. Dia teringat kata-kata Zurin beberapa hari yang lalu. Kata Zurin, sikap Yuzer berubah selepas satu kejadian. Namun anak gadis itu enggan menjelaskan apakah sebenarnya yang berlaku dalam hidup Yuzer. Adakah ia berkaitan dengan gadis bernama Suri itu?

Dia menunggu-nunggu juga Yuzer meneruskan cerita. Namun lelaki itu terus diam. Ternyata Yuzer sudah tidak berminat mahu meneruskan kata-kata. Pandangannya dialihkan ke arah ombak yang membuas di hadapannya. Anum Dahlia terus memerhatikan lelaki itu dari tepi.

“Yuzer…” panggil Anum Dahlia perlahan.

Yuzer menoleh. Pandangannya singgah pada Anum Dahlia yang merenungnya tidak berkelip. Bibir gadis itu bagaikan ingin berkata sesuatu. Namun kilasan sinar cahaya di mata gadis itu membuatkan Yuzer terus terpaku.

“Kenapa awak ceritakan semua ini pada saya, Yuzer?”

Yuzer terdiam. Dia sendiri tidak tahu kenapa. Entah kenapa hari ini, mulutnya ringan bercerita pada gadis itu. Sedangkan selama ini dia enggan meluahkan perasaanya pada sesiapapun jua.

“Saya tak tahu Anum. Berbicara dengan awak seperti saya berbicara dengan…” kata-kata Yuzer terhenti. Dia tidak tahu apakah dia wajar menyatakannya. Dia bimbang jika tersalah kata, Anum Dahlia mungkin akan tersinggung.

“Dengan siapa?”

Yuzer menarik nafas berat. Renungan Anum Dahlia membuatkan mulut Yuzer bagai terkunci terus.

Anum Dahlia terus menanti. Dia ingin tahu perasaan lelaki itu terhadapnya. Dia ingin memastikan agar hatinya tidak tersilap membuat perkiraan. Namun pandangan Yuzer tiba-tiba beralih dari wajahnya. Wajah Yuzer tersenyum lebar. Anum Dahlia tercengang. Dia menuruti ekor mata Yuzer ke suatu arah. Dahinya berkerut.

Seorang lelaki sedang melangkah ke arah mereka. Melihat Yuzer melambai ke arahnya, lelaki itu segera mempercepatkan langkahnya. Apabila sampai dekat, mata lelaki itu terperosok ke wajah Anum Dahlia. Dia terkejut. Anum Dahlia juga turut tergaman. Wajah itu bagaikan pernah dilihatnya sebelum ini.

“Anum kan?” Lelaki itu memandang Anum Dahlia tidak berkelip. Anum Dahlia cuba mengingati wajah itu, namun entah kenapa fikirannya samar-samar.

“Emir. Saya Emir, Anum dah tak ingat saya?”

Anum Dahlia tidak bersuara. Dia memandang lelaki itu dengan penuh teliti. Sejurus kemudian bibirnya mula tersenyum. Sekarang baru dia teringat. Lelaki itulah yang pernah menumpangkannya tempohari. Aduh! Bagaimana dia boleh lupakan wajah itu secepat ini!

Yuzer yang kelihatan hairan merenung kedua-duanya silih berganti. Timbul tanda tanya dalam hatinya. Sejak bila Emir dan Anum Dahlia saling mengenali?

* * * *

Pertanyaan demi pertanyaan singgah di gegendang telinga Emir bertalu-talu. Dia memandang Yuzer yang seakan tidak puas hati dengan jawapan yang diberinya.

“Betul, aku kenal dia di airport waktu aku hantar kau ke Singapura. Aku hantarkan dia ke hotel penginapan, lepas tu aku dah tak jumpa dia lagi.” Ujar Emir cuba menyakinkan lelaki itu.

“Ni yang kau banyak sangat tanya aku kenapa? Apa hubungan kau dengan Anum?’ Giliran Emir pula bertanya. Dia juga hairan bagaimana Anum Dahlia boleh datang ke situ bersama-sama Yuzer. Masih segar dalam ingatannya saat pertama pertemuan antara Yuzer dan Anum Dahlia yang tidak mendatangkan kesan yang baik terhadap kedua-duanya. Kini tiba-tiba sahaja kedua-duanya kelihatan mesra sesama sendiri. Aneh!

“Dia datang ke kampung aku buat research. Kebetulan dia tinggal di rumah datuk dengan nenek saudara aku.” Jawab Yuzer ringkas.

“Baiknya kau dengan dia. Hari tu, macam nak meletup airport tu dibuat kau orang berdua,” sindir Emir seraya tersengih.

Yuzer tertawa kecil. Dia masih ingat setiap kejadian yang berlaku di airport dulu. Jika dikenangkan kembali, lucu juga kerana dia memarahi Anum Dahlia tanpa berfikir panjang. Padahal kalau diikutkan, dia yang salah kerana melanggar gadis itu. Semuanya kerana dia tergesa-gesa untuk mengejar masa ke Singapura. Apatah lagi ketika itu fikirannya dibebani dengan pelbagai masalah berikutan salah seorang pembekal barangan seramik untuk Grand Suri, gagal menyiapkan tempahan pada masa yang telah ditetapkan. Mujurlah dia dapat kontrak lain dengan salah seorang kliennya di situ.

Itulah yang menyebabkan anginnya datang memuncak tanpa disedari. Namun sedikit pun dia tidak menduga, dia akan bertemu semula dengan Anum Dahlia, gadis yang dimarahinya di airport tempohari. Semuanya berlaku terlalu pantas.

“Aku gembira kau boleh berbaik-baik dengan dia. Lagipun manalah tahu kan, dia bakal jadi kakak ipar kau,” ucap Emir, membuatkan darah Yuzer menyirap. Ungkapan yang keluar dari bibir temannya itu membuatkan dia diterpa tanda tanya. Apa maksud Emir? Apakah temannya itu menyukai Anum Dahlia?

* * * *

Zaza adalah orang paling gembira sebaik ternampak kelibat Emir menyertai perjalanan mereka menaiki bot laju petang itu. Asrul turut tidak ketinggalan menjadi pemandu pelancong mereka hari itu. Menurut perancangan, mereka akan bersiar dari pulau ke pulau, sebelum berhenti di perairan Pulau Pangkor untuk aktiviti memancing dan snorkling.

Anum Dahlia, Zurin dan Zaza sempat dibawa oleh Asrul meninjau bot laju mereka yang agak besar dan lengkap dengan kabin serta tempat memasak.

“Kenapa nak ada tempat memasak? Kita bukannya nak memasak pun,” Zurin tergelak besar melihat dapur gas serta kabinet pasang yang lengkap dengan rempah ratus.

“Siapa kata kita tak masak? Dah dapat ikan pancing nanti, kita masaklah. Lepas tu kita makan sama-sama,” sampuk Emir tertawa.

Anum Dahlia tersenyum melihat Zurin mencebikkan wajahnya. Dia faham anak gadis itu tidak gemar memasak. Dia berpaling memandang ke arah Yuzer yang sudah siap sedia dengan joran dan mata kail di anjung kapal. Sejak tadi, dia belum berkesempatan menyambung perbualan dengan lelaki itu. Hasrat hati ingin menuju ke arah lelaki itu terbantut apabila Emir mengajaknya bersiar-siar di beranda bot.

“Saya tak sangka dapat jumpa dengan Anum lagi,” Emir bersuara. Dia menjeling Anum Dahlia yang hanya tersenyum mendengar kata-katanya.

“Saya pun tak sangka dapat jumpa semula dengan Emir. Betul kata orang dunia ni kecil saja.”

“Salah tu. Dunia ni besar, cuma KL tu aje yang sempit,” gurau Emir. Anum Dahlia tergelak kecil. Lucu mendengar kata-kata lelaki itu.

“Hari tu saya ada datang ke hotel tempat penginapan Anum, tapi pihak hotel kata Anum dah check out. Hmm tuhan aje tahu betapa hampanya hati saya.” Keluh Emir. Dia masih ingat saat-saat dia mencari gadis itu tempohari.

“Kenapa awak cari saya?”

“Yalah, saya ingat nak belanja Anum makan malam, tapi dah terlambat. Rupa-rupanya Anum menuju ke Paya Mengkuang. Kalau bukan sebab Yuzer mengajak, belum tentu saya dapat jumpa dengan Anum hari ni,” gumam Emir.

Anum Dahlia sekadar tersenyum. Agak lama juga dia berbual-bual dengan Emir tentang pelbagai perkara, sehingga tidak sedar bot mereka sudah mendekati Pulau Sembilan. Asrul tiba-tiba menghentikan enjin bot.

“Kenapa kita berhenti?” Tanya Anum Dahlia, kurang faham.

“Sebab ini kawasan air dalam, banyak ikan berkumpul di kawasan air dalam. Asrul memang pandai cari tempat untuk memancing. Anum nak cuba memancing?” Pelawa Emir.

Anum Dahlia menggangguk. Tak ada salahnya dia mencuba. Dia mengekori Emir ke arah anjung bot. Kehadiran mereka menarik perhatian Yuzer yang sedang menyusun joran di bidai bot.

“Dah siap?” Soal Emir.

“Dah siap pasang. Cuma umpan aje belum,” selamba Yuzer membalas tanpa memandang Emir. Dia meneruskan kerjanya. Kehadiran Anum Dahlia langsung tak diendahkan.

“Jom, kita ambil joran pancing di sebelah sana,” ajak Emir sambil melangkah ke suatu sudut. Anum Dahlia segera melintas di belakang Yuzer, lalu mengekori langkah Emir yang agak pantas. Namun kerana agak terburu-buru, Anum Dahlia tersandung hujung batang joran milik Yuzer. Dia tergaman bercampur panik apabila merasakan tubuhnya terdorong ke hadapan. Dia terjerit. Mujurlah tubuhnya sempat disambut oleh Yuzer.

“Awak dah tak ada mata ke? Tempat ni sempit, dahlah tu licin pulak. Awak kena hati-hati sikit,” sergah Yuzer meradang. Gerun dia bila memikirkan Anum Dahlia boleh tercampak ke tengah laut, jika saja dia tidak ada di situ tadi.

Wajah Anum Dahlia pucat lesi. Dia memandang ke arah Yuzer, tidak terkata. Bingit telinganya mendengar herdikan Yuzer yang agak lantang. Emir yang terkejut dengan kejadian itu segera meluru ke arah Anum Dahlia.

“Anum tak apa-apa?” Soal Emir agak bimbang.

“Tak, cuma telinga saya ni saja yang tersumbat,” balas Anum Dahlia sinis. Pandangannya dilemparkan ke arah Yuzer. Dia segera berlalu pergi meninggalkan kedua-dua lelaki itu di belakang. Sakit hatinya kerana diperlakukan begitu.

Emir mengalihkan perhatiannya ke arah Yuzer yang kelihatan muram. “Kau ni kenapa? Apa masalahnya?”

“Kau tak nampak tadi? Sikit lagi dia nak jatuh. Aku marah sikit, dia melenting.”

“Kau tengking dia, manalah dia tak marah. Baru tadi aku tegur kau dengan dia dah baik, tiba-tiba saja kau dah mula balik. Takkan dengan perempuan kau tak boleh beralah walau sikit?” Rungut Emir.

Yuzer terdiam. Malas dia mahu melayan Emir yang seakan-akan menyalahkannya. Melihat Emir cuba mengejar langkah Anum Dahlia, Yuzer melirik dengan ekor mata tidak senang. Entah kenapa, dia bagaikan tidak suka melihat kemesraan yang terjalin antara Emir dan Anum Dahlia. Benar-benar tidak suka!

* * * *

Zaza memandang persisiran Pulau Sembilan dari arah bot dengan perasaan kosong. Meskipun Asrul menawarkannya untuk mengajarnya snorkeling, namun dia bagaikan tidak berminat. Sedari tadi dia asyik mengintai kelibat Emir, namun melihat lelaki itu asyik bersama dengan Anum Dahlia, hatinya jadi resah. Kemesraan yang ditunjukkan oleh lelaki itu terhadap Anum Dahlia, membuatkan dia jadi tidak senang.

“Kak Zaza, buat apa sorang-sorang kat sini?” Tegur Zurin yang baru keluar dari dapur.

Zaza tersenyum hambar. Dia merenung permukaan air laut yang nampak jernih. Entah kenapa bayangan di dalam air menarik minatnya.

“Cantikkan? Kata abang Asrul, Pulau Sembilan ni memang terkenal dengan terumbu karang selain pulau-pulau lain di perairan Pangkor. Sebab tu abang Asrul ajak akak snorkeling tadi. Dia kata tempat ni sesuai untuk melihat terumbu karang.” Ujar Zurin.

“Tadi abang kata nak memancing.”

“Memancing apanya? Diaorang tinggalkan aje joran pancing kat tepi kapal. Abang Yuzer, abang Emir dan abang Asrul dah turun snorkeling tadi. Kakak aje yang tak perasan, asyik termenung dari tadi.” Cebik Zurin.

Zaza terdiam. Dia mengintai kelibat Anum Dahlia di belakang Zurin. “Kak Anum mana?” Soalnya.

“Kak Anum? Dia tengah siapkan makanan.” Balas Zurin.

“Zurin, kalau kak Zaza tanya Zurin jawab dengan ikhlas ya!” Bisik Zaza tiba-tiba, membuatkan Zurin tertanya-tanya.

“Apahal?”

“Kak Anum dengan abang Emir tu ada apa-apa hubungan ke? Mesra semacam aje Kak Zaza tengok,” ucap Zaza berhati-hati. Bimbang juga dia kalau kata-katanya menimbulkan salah faham di pihak Zurin.

“Kak Anum dengan abang Emir? Hish mengarutlah kakak ni. Kan tadi abang Emir dah jelaskan pada kita yang dia kenal kak Anum sewaktu menghantar abang Yuzer ke Singapura.” Ujar Zurin.

“Itu kata dia, tapi kebenarannya siapa yang tahu kan?” Zaza menempelak. Zurin terdiam. Dia memandang Zaza dengan redup aneh. Apakah dia tersalah dengar? Tapi bunyi nada percakapan Zaza bagaikan tidak senang dengan perhubungan antara Anum Dahlia dan Emir.

Dia sendiri bagaimana? Bagaimana kalau anggapan Zaza benar? Bagaimana kalau Emir memang menaruh hati pada Anum Dahlia. Habis bagaimana dengan rancangannya untuk menyatukan Anum Dahlia dengan Yuzer? Tidak! Aku tak boleh biarkan. Aku tahu jauh di sudut hati, abang Yuzer tentu akan menyukai kak Anum dan kak Anum juga akan menyukai abang Yuzer. Aku harus buat sesuatu, bisik Zurin di dalam hati.

link

No comments:

DEDALU DI HATI - STOK TERHAD!!

DEDALU DI HATI  - STOK TERHAD!!

PESANAN NOVEL DEDALU DI HATI SEDANG DIBUKA SEKARANG!!!

Harga = RM25.90
Kos Pos = RM7 (pos laju)
Total = RM32.90

Emailkan nama dan butiran diri ke arr_nita@yahoo.com.
Pesanan sehingga stok ke 3 ini kehabisan..

NANTIKAN VENOM SURIA DI PESTA BUKU ANTARABANGSA PWTC MULAI 27 APRIL, TERBITAN BUKU PRIMA (RM25.90)

NANTIKAN VENOM SURIA DI PESTA BUKU ANTARABANGSA  PWTC MULAI 27 APRIL, TERBITAN BUKU PRIMA (RM25.90)
Suria gadis ceria dan periang, namun miliki sejarah hitam dalam kelahiran. Yang membuatkan dia diburu dan dijejaki untuk meleraikan sebuah kisah sumpahan, lalu mempertemukan dia dengan dua lelaki berbeza sifat. Izwan jenis yang dingin dan panas baran. Cakapnya harus dipatuhi atau dia akan meletup! Nazrul sentiasa cool tapi punya rahsia terpendam yang menyiksa jiwa. Seorang lelaki ditakdirkan menjadi penyelamat. Seorang lagi ditakdirkan membunuhnya. Kedua-duanya muncul tak diundang, tetapi meninggalkan kesan mendalam. Lalu bermulalah permainan cat and mouse antara mereka sehingga game over!