Followers

Friday, December 10, 2010

Blue Sunset : Bab 17

MELIHAT ibunya berselera menjamah bubur yang dimasak oleh nenek Rukiyah, Aqi tersenyum lega. Beberapa hari yang lalu, wanita itu masih tidak mahu menjamah sebarang makanan. Kata ibunya tekaknya terasa pahit. Malah dia sempat mengeluh pada Rukiyah perihal ibunya. Tak disangka-sangka wanita itu bertungkus-lumus mereneh bubur ayam pada pagi itu untuk ibunya.

Mujurlah bila dia membawa termos berisi bubur untuk ibunya, wanita itu terus memintanya. Ternyata bubur ayam hasil air tangan nenek Rukiyah juga yang berjaya membangkitkan selera makan ibunya.

Melihat ibunya menyuap sudu demi sudu bubur ayam tersebut, hatinya entah mengapa jadi belas. Wajah ibunya pucat lesi tak bermaya. Minggu lepas ibunya masih mampu memasak sarapan untuknya. Tapi hari ini, wajah ibunya benar-benar kelihatan lebih tua dari usia sebenar.

Kelopak mata Aqi berair sedikit. Dia cepat-cepat mengesat pinggir mata. Reaksi spontannya mengundang lirikan mata Kamelia. Dia berhenti menyuap lalu memandang anak gadisnya dengan wajah hairan.

“Aqi kenapa?” Tanya Kamelia.

Aqi tercengang. “Maksud mak?” Dia pura-pura bingung.

“Aqi nangis ke?” Soal Kamelia lagi apabila matanya sempat mengesan bekas-bekas airmata yang bertamu di kelopak mata anak gadisnya.

“Eh mana ada.” Jawabnya lalu secara spontan menyapu tubir mata tanpa menyedari tindakannya itu lebih menyakinkan Kamelia tentang telahannya.

Kamelia meletakkan mangkuk bubur di atas meja di tepi katil. Dia merenung wajah Aqi yang kelihatan serba-salah. Sebagai ibu, nalurinya lebih tajam mengesan gerak-geri Aqi yang mudah dibaca.

“Aqi risaukan mak kan?” Telah Kamelia.

Gadis itu memandangnya sambil mengetap bibir.

“Mak tahu mak dah banyak menyusahkan Aqi. Sebab mak, Aqi terpaksa bersusah payah begini. Siang pergi kerja, petang hingga ke malam pula asyik temankan mak. Tentu hidup Aqi susah.” Ujar Kamelia seraya tersenyum.

Aqi memejamkan matanya. Terasa sayu dengan kata-kata si ibu. Baginya menjaga ibu yang sakit bukan perkara besar. Tapi dia sedih kerana teringatkan kata-kata Doktor Herman tempohari. Dan dia amat pasti, ibunya juga sudah tahu tentang berita yang disampaikan lelaki itu. Hanya wanita itu pura-pura tidak kisah. Pura-pura gembira di hadapannya!

“Mak tak pernah susahkan Aqi pun selama ini. Malah Aqi rasa berbangga sebab dapat berbakti dengan mak. Tapi sebagai anak, Aqi tak mampu nak lakukan apa-apa pun untuk mak. Aqi tak mampu nak ubati penyakit mak,” Bisik Aqi sebak.

Kamelia terdiam. Wajah anak gadisnya ditatap penuh kasih. Dia sedar kata-kata Aqi mempunyai maksud tersirat. Apakah Aqi tahu tentang sel-sel kansernya yang mula merebak? Menurut Doktor Herman, keadaannya perlu dipantau secara serius dan dia perlu menjadi penghuni hospital itu buat sementara waktu. Ini bermakna dia dan Aqi akan saling berjauhan selepas ini.

“Aqi, sakit ni kerja tuhan. Ajal maut pun ketentuanNya. Mak rasa bersalah sangat sebab buat Aqi risaukan mak. Mak tahu sakit macam mak ni, bila-bila masa saja tuhan boleh ambil nyawa mak.”

“Mak, jangan cakap macam tu.” Keluh Aqi seraya memegang tangan ibunya.

Kamelia tersenyum hambar. “Mak tak takut mati Aqi. Mak cuma takut tinggalkan Aqi seorang diri di sini. Kalau mak mati, Aqi carilah ayah Aqi semula. Duduk dengan dia. Walaupun dia tinggalkan mak, tapi mak pasti dia akan gembira kalau jumpa dengan Aqi nanti.” Usul Kamelia tiba-tiba.

Aqi tersentak. Bicara ibunya yang tak disangka-sangka, membuatkan dia terpaku. Tuhan, apakah perpisahan dia dan ibunya sudah semakin hampir? Tidak! Dia benar-benar tidak sanggup berpisah dengan ibunya.

“Aqi tak mahu. Kenapa mak cakap macam ni? Aqi cuma nak hidup dengan mak sampai bila-bila pun.” Tangisan kecilnya mula menerawang di sekitar ruangan bilik itu.

“Aqi, tak ada seorang pun manusia yang boleh hidup bersama buat selama-lamanya. Tidak mak, juga tidak Aqi. Perpisahan pasti akan berlaku cuma yang membezakannya hanyalah cepat atau lambat.” Pujuk Kamelia.

Aqi tidak menjawab. Dia tunduk pilu.

“Di dalam bilik mak, dalam laci almari solek, mak ada simpan sesuatu untuk Aqi. Kat dalam tu, mak simpan semua benda-benda peninggalan ayah Aqi. Kalau ditakdirkan apa-apa yang tak diingini berlaku pada mak, Aqi bukalah almari tu dan cari gambar ayah. Mak nak Aqi cari dia sampai jumpa. Janji dengan mak Aqi. Aqi kena cari dia sampai jumpa.” Pesan Kamelia bersungguh-sungguh.

Perlahan-lahan Aqi mengangkat wajah. Renungannya singgah di wajah ibunya. Melihat wanita itu benar-benar berharap, Aqi tidak sampai hati untuk mengatakan tidak. Dalam mahu tak mahu, dia memaksa diri mengangguk. Pura-pura menyanggupi permintaan ibunya.

* * * *

Sejak dia balik dari hospital tadi, dia segera mengunci diri dalam kamarnya. Malayan perasaan sendiri yang bercampur aduk. Kebimbangan yang bertaut di hatinya langsung tidak mampu disingkirkan. Kesihatan ibunya serta kata-kata Doktor Herman tempohari bagai sudah sebati dalam dirinya. Meski dia cuba melupakan kata-kata lelaki itu dan beranggapan positif tentang kesihatan ibunya, anehnya perasaannya bagaikan tidak membenarkan kerisauannya memudar.

Demi Allah, dia benar-benar takut kali ini. Dia takut kehilangan ibunya sekaligus takut untuk hidup seorang diri. Selama ini dia bergantung harap pada ibunya. Wanita itulah tempat dia mencurah segala rasa kasih dan sayangnya.

“Saya benar-benar bimbangkan keadaan ibu awak Aqi. Kali ini sel-sel kansernya merebak lebih cepat dari biasa. Mungkin kerana faktor tidak mengambil ubat mengikut aturan, menyebabkan sel-sel kanser ibu awak kembali aktif.” Kata-kata yang diucapkan oleh Doktor Herman tempohari masih segar dalam ingatan. Tak mungkin dia akan dapat melupakan ungkapan kata-kata lelaki itu yang menggetarkan seluruh perasaannya. Menenggelamkan seluruh kebahagiannya yang baru bermula.

Bunyi ketukan bertalu-talu yang singgah di permukaan pintu biliknya menyedarkan Aqi. Dia cepat-cepat mengesat kelopak matanya yang berair, sebelum bingkas bangun ke arah pintu.

Sebaik pintu di hadapannya dikuak, seraut wajah berdiri di hadapannya. Aqi terpempan. Tidak menyangka yang muncul itu adalah Zahar. Sangkanya Rukiyah yang mengetuk pintu biliknya.

“Awak nak apa?” Tanya Aqi cuba berlagak selamba.

Zahar menatapnya tanpa sebarang emosi. Wajah lelaki itu juga kelihatan acuh tak acuh sepertinya.

“Nenek panggil kat bawah.” Jawab Zahar.

“Sekejap lagi saya turun.” Balas Aqi lalu cuba menutup pintu di hadapannya. Serentak tangan Zahar pantas menghalang di hadapan mukanya.

“Dia kata sekarang. Maksudnya sekaranglah.” Gesa Zahar.

“Suka hati saya lah nak turun bila. Tepi, saya nak tutup pintu bilik ni.” Pinta Aqi dengan suara sedikit meninggi.

“Bagusnya perangai. Dahlah menumpang, buat rumah ni macam rumah sendiri pulak.” Suara sinis Zahar menerpa ke corong telinga Aqi. Dia tidak jadi menutup pintu. Telinganya berdesing mendengar kata-kata lelaki itu.

“Awak ingat saya suka sangat nak menumpang rumah awak ni? Kalau bukan sebab nenek awak, tak ingin saya nak tinggal satu rumah dengan awak. Dan saya pun tak ingin nak mengadap muka awak tu.” Herdik Aqi panas hati.

Zahar tersentak. Kata-kata Aqi yang lantang membuatkan matanya terbeliak. Bibirnya diketap menahan geram. Melawan pulak perempuan ni. Dulu takde mulut, sekarang bertubi-tubi ayat pedas tu keluar. Memang nak kena diajar ni! Bisik hati kecil Zahar turut berang.

“Kalau dah rasa macam tu baguslah, tak payah susah-susah aku nak sebut lagi. Hah tunggu apa lagi? Bungkuslah kain baju tu dan berambus dari sini.” Jerkah Zahar pula.

Aqi tersentak. Gugur sebutir air jernih dari pelupuk matanya. Kata-kata Zahar umpama bilah belati yang menghiris hati. Kenapa lelaki itu sentiasa cuba menyakitkan hatinya? Apa salah dia?

“Astaghfirullhazim, apa dah jadi ni? Dari bawah nenek dengar kamu berdua ni bertengkar.” Tiba-tiba Rukiyah muncul dari suatu arah.

Aqi tergaman. Cepat-cepat dia tunduk ke bawah. Segan mahu berhadapan dengan wanita itu setelah apa yang berlaku sebentar tadi. Mungkin juga Rukiyah sempat menangkap kata-katanya sebentar tadi. Demi Allah, dia tidak bermaksud mahu mengeluarkan kata-kata sebegitu.

“Aqi, kenapa ni?” Mata Rukiyah menuju ke arah Aqi terlebih dahulu. Wajah anak gadis itu yang sugul sejak kelmarin, membuatkan dia tertanya-tanya. Dia tahu Aqi ada masalah. Cuma hendak bertanya sahaja dia tidak sempat.

“Tak..tak ada apa-apa nek. Maafkan Aqi.” Jawab Aqi serba-salah.

Zahar mendengus kasar. Geram melihat Aqi yang berlemah lembut di hadapan neneknya. Nak raih simpati neneklah tu, tuduh Zahar bengang.

“Zahar, kamu sakitkan hati Aqi lagi ke?” Rukiyah mengalihkan pandangan ke arah cucunya pula. Cebikan bibir anak muda itu sempat dikerling oleh sepasang matanya.

Zahar terkedu. Tidak menyangka neneknya boleh menuduhnya pula. Tidakkah wanita itu dengar bahawa semua punca ini datangnya dari gadis itu? Dia hanya mengikut suruhan neneknya untuk memanggil Aqi turun makan. Salahkah? Apa kelayakan gadis itu untuk marah-marah padanya?

Melihat kedua-duanya diam sahaja, Rukiyah sekadar menggelengkan kepala. Sudah kehabisan idea mahu menyelesaikan perang mulut yang sempat ditangkap sepatah dua oleh deria pendengarannya.

“Sudahlah tu, lupakan ajelah. Kamu berdua pun bukan budak-budak lagi. Kena saling tolong menolong dan beralah. Zahar, sebab kamu yang lebih tua, maka kamu kena banyak beralah dengan Aqi.” Ujar Rukiyah.

Zahar tergaman. Beralah? No way! Dia yang salah kenapa aku yang harus beralah? Dia mahu membantah kata-kata neneknya. Tapi belum sempat dia mahu membuka mulut, Rukiyah terlebih dahulu menyambung kata-katanya.

“Dah.. jangan nak menyambung songeh kamu tu kat sini. Cepat! Dua-dua kena turun makan sekarang juga. Banyak nenek masak kat bawah tu. Ingatkan ayah kamu balik makan, last-last dia cancel pulak. Jadi kamu berdua kena habiskan makanan kat bawah tu. Selagi tak habis, jangan beredar.” Putus Rukiyah bagaikan memberi perintah skrol diraja pada kedua-duanya yang kelihatan gaman.

Tanpa menanti balasan dari kedua-dua anak muda itu, Rukiyah terus beredar dari situ. Meninggalkan Zahar dan Aqi yang terkulat-kulat. Mata Zahar berlari ke arah Aqi. Renungannya menikam tepat ke wajah anak gadis itu. Tanpa sebarang bicara, Zahar beredar dari situ.

Aqi menarik nafas panjang. Dia benar-benar menyesal kerana terlepas cakap. Beberapa ketika kemudian dia terkaku di hadapan pintu. Meskipun perasaannya membuak-buak marahkan Zahar, tapi pada masa yang sama hatinya berdebar-debar menatap renungan lelaki itu sebentar tadi. Kenapa? Apakah aku sudah gila? Gumam Aqi resah.

1 comment:

IVORYGINGER said...

salam kak,
bila ceta ni nk dibukukan???
xsabar rsnya nk baca full version ceta ni. ;D

DEDALU DI HATI - STOK TERHAD!!

DEDALU DI HATI  - STOK TERHAD!!

PESANAN NOVEL DEDALU DI HATI SEDANG DIBUKA SEKARANG!!!

Harga = RM25.90
Kos Pos = RM7 (pos laju)
Total = RM32.90

Emailkan nama dan butiran diri ke arr_nita@yahoo.com.
Pesanan sehingga stok ke 3 ini kehabisan..

NANTIKAN VENOM SURIA DI PESTA BUKU ANTARABANGSA PWTC MULAI 27 APRIL, TERBITAN BUKU PRIMA (RM25.90)

NANTIKAN VENOM SURIA DI PESTA BUKU ANTARABANGSA  PWTC MULAI 27 APRIL, TERBITAN BUKU PRIMA (RM25.90)
Suria gadis ceria dan periang, namun miliki sejarah hitam dalam kelahiran. Yang membuatkan dia diburu dan dijejaki untuk meleraikan sebuah kisah sumpahan, lalu mempertemukan dia dengan dua lelaki berbeza sifat. Izwan jenis yang dingin dan panas baran. Cakapnya harus dipatuhi atau dia akan meletup! Nazrul sentiasa cool tapi punya rahsia terpendam yang menyiksa jiwa. Seorang lelaki ditakdirkan menjadi penyelamat. Seorang lagi ditakdirkan membunuhnya. Kedua-duanya muncul tak diundang, tetapi meninggalkan kesan mendalam. Lalu bermulalah permainan cat and mouse antara mereka sehingga game over!