Followers

Tuesday, June 29, 2010

Arina : Bab 14

DIA membuka matanya sedikit demi sedikit. Namun pandangannya kabur dan kelam. Cahaya di atas kepalanya menyukarkan dia untuk membuka matanya besar-besar. Kepala dan dadanya juga sakit seperti dihimpit dengan sebiji batu besar.

Dia cuba menggerakkan tangannya, namun dia mula menyedari bahawa salah satu pergelangan tangannya digari di palang kepala katil. Dia meronta-ronta geram, namun tindakannya kelihatan sia-sia. Ternyata sekali lagi dia menjadi tahanan. Damn it!

“Tak payah buat semua itu, kau takkan terlepas lagi semudah itu.” Satu suara muncul dari suatu arah. Chayi menoleh.

Melihat gadis tadi muncul dengan sedulang makanan, dia terkesima. Ketika gadis itu masuk dan meletakkan dulang makanan di atas sebuah meja, dia hanya memerhatikan gerak geri gadis itu dengan pandangan curiga. Siapa dia ni?

Si gadis tiba-tiba mendekatinya lalu duduk di birai katilnya. Wajah lembut dengan tatapan mata yang bersinar-sinar itu menongkat ke wajah Chayi beserta senyuman.

“Kau pengsan tadi. Nadi kau terhenti seketika. Kami ingatkan kau dah mati, tapi mujurlah ada Nakhael, dia yang selamatkan kau.” Ujar si gadis selamba.

“Tapi kau tak apa-apa, kata Nakhael..kau sesak nafas secara tiba-tiba. Di sini mereka panggil penyakit ni asma, bukan begitu?” Gadis itu tersenyum.

Chayi terdiam. Dia memang mengidap penyakit asma sejak dari kecil. Tapi tidaklah dikategorikan teruk. Malah dia tidak pernah kena serangan seperti tadi. Mungkin juga salah satu sebabnya dia begini kerana terlalu penat dan sudah sehari suntuk menahan lapar.

“Mengapa nak selamatkan aku? Kenapa tak biarkan sahaja aku mati?” Gumam Chayi dengan wajah berang. Tiba-tiba rasa sakit hatinya menyala semula. Kalau bukan disebabkan gadis itu, tak mungkin dia akan kembali menjadi tebusan. Namun kata-katanya langsung tidak meninggalkan bekas pada gadis itu. Si gadis hanya ketawa mendengar kata-katanya.

“Kalau ikutkan hati, memang aku lebih suka dengan idea kau tu. Tapi Nakhael kata, kami harus pulangkan kau pada ayah kau dengan selamat sebagai pertukaran dengan apa yang kami mahukan dari ayah kau.” Jelas si gadis.

Chayi terdiam. Pertukaran untuk apa? Apa yang mereka mahukan sebenarnya? Duit?

“Sudahlah, jangan banyak bercakap. Tubuh kau masih lemah. Kau kena makan sikit, baru kau ada tenaga untuk melarikan diri sekali lagi.” Kata-kata gadis itu berbaur lelucon. Ada nada sinis pada kata-kata itu.

Terkelip-kelip mata Chayi melihat gadis itu mencapai dulang makanan di atas meja. Dulang itu dibawanya ke katil. Gadis itu menceduk sedikit nasi dalam tray dengan sudu dan dihulurkan ke mulutnya.

“Makan sikit, nasi ni aku yang masak..Aku tak tahu apa yang menjadi makanan utama orang-orang kat sini. Tapi dari pembacaan aku dan dengan bantuan internet, aku dapati kamu semua sukakan makanan yang dipanggil nasi kan!”

Sepantas kilat Chayi memalingkan wajahnya.

Gadis itu tercengang. “Tak nak makan ke? Takkan tak lapar? Buat penat aku aje masak untuk kau!” Rungut si gadis. Mendengar kata-kata gadis itu, Chayi menoleh.

“Macamana aku nak makan dengan keadaan baring macam ni? Sekurang-kurangnya buka dulu gari aku.” Pinta Chayi.

Gadis itu terdiam. Permintaan anak muda itu ada logiknya, namun dia masih meragui apakah lelaki itu akan cuba melarikan diri sekali lagi.

“Aku takkan lari lagi, aku janji. Lagipun aku terlalu lapar untuk bergerak.” Ujar Chayi bagaikan tahu apa yang ada di dalam kotak fikiran gadis itu.

Melihat wajah Chayi yang benar-benar berharap, akhirnya si gadis mengalah. Dia meletakkan tangannya di atas palang lalu memegang gari yang merantai pergelangan tangan anak muda itu.

Chayi tiba-tiba merasa pergelangan tangannya panas seperti dibakar. Namun belum sempat dia mahu mengadu, lubang gari itu tiba-tiba terbuka begitu sahaja. Dia tergaman. Cepat-cepat dia merungkai tangannya agar bebas dari lubang gari tersebut. Dia berpaling ke arah gadis yang selamba sahaja memandangnya.

“Macamana kau boleh buka gari aku ni tanpa kunci?” tanya Chayi hairan.

Gadis itu mengangkat bahunya. “Entah..magik agaknya.” Jawab gadis itu acuh tak acuh.

Chayi mengerutkan dahinya? Magik? Macam David Copperfield tu ke? Ah! Mustahil…takkan semudah itu sahaja seorang gadis membuka gari di tangannya dengan hanya bermodalkan tangan kosong! Dia tiba-tiba terkenangkan bagaimana gadis itu mengangkat dan menghempas tubuhnya ke arah dinding. Manusia biasa takkan mampu mengangkat tubuh lelaki seberat 60kg dengan begitu mudah. Tapi gadis itu melakukannya bagaikan dia hanya seberat bantal peluk.

“Nak makan tak?” Gadis itu tersenyum lalu cuba menyuapnya. Chayi tergaman. Dia memerhatikan makanan di dalam dulang. Dahinya berkerut.

“Kenapa?” Si gadis tercengang melihat airmuka Chayi yang kelihatan aneh.

Chayi mengalihkan pandangan ke arah gadis di hadapannya. “Ini yang kau kata makanan?” Tanyanya.

Si gadis tergaman. Dia merenung makanan di dalam dulang. Apa yang tak kena?

Chayi tiba-tiba ketawa besar. Gadis itu terkedu dengan wajah bingung.

“Cik adik, memang kami kat negara Asia ni makan nasi. Tapi kami makan nasi yang berlauk, bukan nasi kosong macam ni.” Tukas Chayi sambil terus-terusan tergelak. Lucu dengan keyakinan gadis itu sebentar tadi yang kononnya tahu apa yang dimakan oleh orang Asia.

Si gadis menggaru kepala yang tidak gatal. Penerangan anak muda itu disambut dengan senyuman. Bukan gembira kerana baru sahaja ditertawakan oleh seorang anak muda, tapi dia gembira kerana Chayi sudah boleh ketawa seperti tidak ada apa-apa yang berlaku padanya.

“By the way, nama kau siapa?’ tanya Chayi selepas tawanya mereda.

Gadis itu tersenyum simpul. “ Aku Kim …” Ujarnya ringkas.

“Kim?”

Gadis itu mengangguk.

“Nama yang aneh. Macam nama orang Cina pun ya.” Ulas Chayi.

“Orang Cina?” Kim mengerutkan dahinya sekali lagi. Dia tidak mengerti apa maksud kata-kata anak muda itu.

“Ya..orang cina ialah salah satu bangsa yang ada di negara asal aku..Malaysia.” Jawab Chayi. Kim sekadar mengangguk meskipun dia masih keliru.

Tanpa disedari perbualan kedua-duanya diperhatikan dengan penuh minat oleh Nakhael dari cermin di hadapannya. Bibirnya menguntum senyuman. Sengaja dia mengaturkan agar Kim menemani Chayi untuk mengawasi anak muda itu. Dia tidak mahu Chayi mengambil tindakan melarikan diri sekali lagi sedangkan mereka hanya tinggal selangkah sahaja lagi untuk menyelesaikan semua ini sekaligus.

No comments:

DEDALU DI HATI - STOK TERHAD!!

DEDALU DI HATI  - STOK TERHAD!!

PESANAN NOVEL DEDALU DI HATI SEDANG DIBUKA SEKARANG!!!

Harga = RM25.90
Kos Pos = RM7 (pos laju)
Total = RM32.90

Emailkan nama dan butiran diri ke arr_nita@yahoo.com.
Pesanan sehingga stok ke 3 ini kehabisan..

NANTIKAN VENOM SURIA DI PESTA BUKU ANTARABANGSA PWTC MULAI 27 APRIL, TERBITAN BUKU PRIMA (RM25.90)

NANTIKAN VENOM SURIA DI PESTA BUKU ANTARABANGSA  PWTC MULAI 27 APRIL, TERBITAN BUKU PRIMA (RM25.90)
Suria gadis ceria dan periang, namun miliki sejarah hitam dalam kelahiran. Yang membuatkan dia diburu dan dijejaki untuk meleraikan sebuah kisah sumpahan, lalu mempertemukan dia dengan dua lelaki berbeza sifat. Izwan jenis yang dingin dan panas baran. Cakapnya harus dipatuhi atau dia akan meletup! Nazrul sentiasa cool tapi punya rahsia terpendam yang menyiksa jiwa. Seorang lelaki ditakdirkan menjadi penyelamat. Seorang lagi ditakdirkan membunuhnya. Kedua-duanya muncul tak diundang, tetapi meninggalkan kesan mendalam. Lalu bermulalah permainan cat and mouse antara mereka sehingga game over!