Followers

Tuesday, August 31, 2010

Mitos Cinta Suria : Bab 22

GERAK-GERI gadis yang sedang menyuap makanan ke dalam mulut seorang lelaki tua yang terlantar di atas kerusi roda, diperhatikan dengan penuh minat. Tingkahlaku gadis itu menarik perhatian. Dan matanya sejak tadi tidak pernah lepas dari corong teropong, mengintai di dalam keretanya yang diparkir berhampiran rumah dua tingkat itu.

Hadif menarik nafas panjang. Hampir dua hari berturut-turut dia mengawasi rumah itu. Dan dia benar-benar berharap, gadis itu akan keluar meninggalkan rumah itu walau sebentar. Tapi harapannya tipis menanti, lantaran gadis tinggi lampai itu tidak pernah meninggalkan rumah itu sejak dua hari yang lalu.

Baharu sahaja mengeluh, tiba-tiba Hadif terpandang kelibat gadis itu melangkah keluar dari pintu hadapan. Dia menarik nafas lega. Keluar juga perempuan ini akhirnya, desis hati kecilnya. Sebaik dia pasti kelibat gadis itu kian menjauh, dia segera keluar dari keretanya lalu menyelinap masuk. Mujurlah rumah itu agak jauh dari rumah-rumah lain. Jika tidak, tentu sukar untuk dia menyelinap malam-malam begini.

Dia segera bergerak ke kawasan di belakang rumah itu lalu mengintai di sebuah bilik yang agak gelap. Setelah yakin tidak ada sesiapa pun di situ, Hadif memulakan kerjanya. Dari saku seluarnya dia mengeluarkan sebilah pisau kecil lalu dicungkilnya engsel pintu itu. Hanya dengan sekali percubaan, engsel pintu itu tertanggal terus. Dia segera mengopak daun tingkap. Bibirnya mengorak senyuman. Terlalu acap kali dia melakukan kerja begini sehingga dia boleh dikatakan mahir dengan semua ini.

Sambil menolak daun pintu itu perlahan-lahan, dia segera melangkah masuk ke dalam rumah itu. Meskipun dia pasti lelaki tua di atas kerusi roda itu hanya tinggal berdua dengan gadis yang meninggalkan rumah itu sebentar tadi, namun dia tetap berhati-hati.

Kepalanya menjenguk keluar ke arah ruang tamu. Matanya seegra terpandang kelibat seorang lelaki tua sedang duduk di hadapan televisyen yang masih terpasang. Hadif menarik nafas panjang. Perlahan-lahan dia mendekati orang tua itu. Namun langkahnya sumbang tatkala dia terlanggar bucu kaki meja yang berada berhampirannya. Namun anehnya, lelaki tua itu langsung tidak memberi sebarang reaksi pada bunyi bising yang kedengaran.

Hadif mengerutkan dahinya. Perasaan hairan menerpa ke lubuk hati. Namun dia mencuba lagi. Kali ini dia bergerak ke hadapan lelaki itu pula. Wajah itu dipandang teliti. Namun giliran dia yang terkejut besar tatkala terpandang sebahagian besar wajah lelaki itu mempunyai parut kesan lecur. Bebola mata lelaki tua itu merayap ke arahnya, namun pandangan lelaki itu kelihatan kosong.

“Profesor Umar bukan? Aku Hadif, aku bawa arahan dan pesanan dari majikan aku untuk kau. Kami perlukan pertolongan kau. Kami perlukan Naga Sari.” Ujar Hadif tegas. Dia menanti balasan dari lelaki itu. Anehnya lelaki itu hanya memandang ke arahnya sambil membisu.

Hadif mengeluh panjang. Dia teringat kata-kata Yong Habibah sebelum ini. “Jika dia masih berdegil tak mahu serahkan keris itu, guna saja kekerasan Hadif. Biar dia faham betapa pentingnya keris itu pada kita.” Pesanan wanita itu masih terlekat kuat di fikirannya.

Hadif tunduk ke arah lelaki tua itu. Wajah lelaki itu yang menggerutu ditatap lama. “Apa dah jadi sebenarnya dengan kau ni? Kemalangan?” Soalnya ingin tahu. Mata itu terus terpisat-pisat memandangnya. Kelakuan lelaki tua itu membuatkan dia semakin hilang sabar. Dia sudah kesuntukan masa. Tanpa berfikir panjang, dia meluru ke arah orang tua itu lalu menjerut kolar baju lelaki itu.

“Jangan nak main-mainkan aku orang tua. Aku tahu keris tu ada dengan kau. Serahkan keris tu pada aku, atau aku bunuh kau tanpa teragak-agak.” Ugut Hadif keras. Penumbuknya sudah diangkat tinggi-tinggi di hadapan muka lelaki tua itu.

Serentak satu jeritan menerpa ke corong telinganya. Dia segera berpaling. Melihat seorang gadis terpaku di hadapan pintu, dia segera melepaskan orang tua itu ke arah kerusi rodanya. Matanya mencerlung tajam ke arah wajah yang sedang ketakutan. Langkahnya diatur menghampiri si gadis seraya mengeluarkan belati yang tersisip kemas di pinggangnya.

Gadis itu mengundur sedikit demi sedikit. Wajah itu cemas sebaik menyedari pisau di tangan lelaki itu terhunus ke arahnya. “Siapa kau? Apa kau nak dengan datuk aku?” Suara itu bertanya separuh gugup.

Hadif merenung wajah di hadapannya dengan teliti. Dia tidak pernah menyangka, gadis di hadapannya itu cucu kepada Profesor Umar. Dia menghulurkan tangannya. Gadis itu tergaman. Gementar dan pasrah menanti apa sahaja yang bakal berlaku.

Gerakan Hadif terhenti di situ. Dia tidak jadi menyentuh gadis itu. Sebaliknya matanya terus merayap ke wajah manis di hadapannya. Akal warasnya mula berjalan seperti biasa. Tak mungkin dia sanggup mengapa-apakan gadis itu. Perlahan-lahan dia mengundur. Rasa kesal mula bercambah di fikirannya. Dia bukan sejahat itu sehingga sanggup mencederakan orang yang tidak berdosa. Diterpa perasaan bersalah yang tiba-tiba muncul, Hadif segera melangkah ke arah pintu keluar.

Melihat kelibat Hadif sudah sampai ke muka pintu, si gadis terpegun. “Tunggu!” Panggil gadis itu. Hadif berpaling. Sepasang matanya bertaut dengan sepasang mata yang kelihatan redup.

“Tolonglah, tolong jangan apa-apakan datuk aku. Dia dah banyak menderita selama ini.” Rayu gadis itu.

Kata-kata gadis itu membuatkan Hadif terkesima. Penjuru mata gadis itu basah menerbitkan satu sinar yang aneh, yang mempesona di lubuk hatinya.

“Walau apa sahaja yang kau hendak, dia tak boleh menolong kau. Bukan dia tak mahu, tapi dia tak boleh. Dia dah jadi macam mayat bernyawa. Kau tengoklah dia. Dia dah tak macam dulu. Dia dah tak boleh bercakap atau bergerak lagi.” Sambung gadis itu.

Hadif terdiam. Matanya menyorot pantas ke arah lelaki tua itu. Gerak geri lelaki tua itu tetap kaku. Mungkinkah apa yang dikatakan gadis itu benar?

“Aku cuma nak keris yang dia jumpa di Perak dulu. Aku tak berniat nak apa-apakan kamu berdua.” Hadif bersuara akhirnya. Kata-kata Hadif membuatkan si gadis tergaman.

“Keris? Maksud kau keris yang mempunyai kepala naga merah itu?” Tanya gadis itu. Hadif mengangguk. Matanya mula bersinar-sinar. Harapan yang tadi malap menyala semula.

“Keris tu dah tak ada dengan datuk aku. Pihak universiti tuntut semua hasil-hasil penemuan dia termasuklah keris itu bila dia mula jatuh sakit.” Ujar gadis itu. Penjelasan gadis itu membuatkan Hadif mengeluh panjang.

* * * *

“Sejak bila dia jadi begini?” Dia menyoal apabila gadis itu kembali dengan sedulang minuman. Halina menoleh seketika. Merenung keadaan datuknya yang tidak ubah seperti patung bernyawa. Sejurus dia melemparkan senyuman kosong pada lelaki di hadapannya.

“Hampir tiga puluh tahun yang lalu. Sejak kedua arwah ibu bapa aku masih ada. Dan bila mereka meninggal dunia, aku ambil alih tugas mereka menjaga datuk. Lagipun dia satu-satunya saudara aku yang masih tinggal.” Ujar Halina.

“Tiga puluh tahun yang lalu? Habis bagaimana kau tahu tentang keris yang aku cari?” Dia menyoal dengan dahi berkerut.

Halina tersenyum. “Aku bekerja dalam bidang yang sama dengan datuk aku. Malah aku telah membaca semua hasil kajian dan penemuan-penemuannya. Tiga puluh empat tahun yang lalu, dia dan pelajar-pelajarnya seramai 6 orang pernah membuat ekspedisi di Lenggong, menjejak peninggalan warisan kebudayaan dan tamadun kaum hoabinh. Tapi apa yang mereka jumpa adalah sebilah senjata yang tertanam dalam sebuah perigi buta berhampiran Bukit Jawa ketika itu. Keris itu dinamakan Naga Sari.”

“Apa yang kau tahu fasal keris tu?” Hadif kelihatan berminat ingin tahu.

“Tak banyak. Setelah datuk aku membawa balik keris itu, dia banyak menghabiskan masanya mengkaji tentang keris Naga Sari. Setakat yang aku tahu keris itu milik La Madusilat, Raja Bugis pertama yang kemudian mewariskan keris pusaka itu pada anaknya Daeng Rilaka. Daeng Rilaka pula mempunyai 5 cahayamata dan keris itu akhirnya sampai ke tangan anaknya yang bernama Daeng Celak. Dan entah bagaimana keris ini diwarisi turun menurun hingga jatuh ke tangan Raja Ali.” Jelas Halina lagi.

“Menurut catatan datuk lagi, semasa hayatnya Raja Ali Haji bersahabat baik dengan seorang sarjana Belanda bernama Hermann Von De Wall. Dia pernah menulis sepucuk surat pada Hermann pada 31 Disember 1872 dan bersama surat itu, beliau sertakan sebilah keris untuk Hermann. Namun beberapa bulan kemudian, Hermann ditemui mati di Tanjung Pinang. Dan keris yang sepatutnya ada bersamanya ketika itu hilang begitu saja. Dan tak lama kemudian, Raja Ali Haji juga turut meninggal dunia. Tak seorang pun tahu apakah isi kandungan surat Raja Ali Haji pada Hermann. Tapi datuk aku percaya, keris yang diserahkan pada Hermman Von De Wall itu, adalah keris yang sama pernah dimiliki oleh Raja Bugis itu.”

“Macamana keris itu boleh sampai ke mari?”

“Menurut sejarah, Raja Hali Aji meninggal di Pulau Penyengat. Dan entah bagaimana keris itu kembali ke tempat asalnya setelah Hermman Von De Wall meninggal dunia. Datuk aku agak keris itu jatuh ke tangan kerabat ataupun orang kepercayaan Raja Ali Haji. Dan kemungkinan besar, kedatangan kaum Bugis ke Tanah Melayu dulu membawa bersama keris ini ke mari.” Cerita Halina panjang lebar berkenaan asal usul keris Naga Sari yang mereka bincangkan.

Hadif terdiam. Mungkin benar, inilah keris yang dicari-carinya selama ini. Dia termenung panjang memikirkan cerita Halina sehingga tidak sedar gadis itu asyik memandangnya.

“Kenapa kau berminat sangat dengan keris tu?” Soal Halina tiba-tiba. Dia benar-benar ingin tahu apakah tujuan sebenar lelaki itu.

“Ada banyak hal yang tak boleh aku bincangkan dengan sesiapa pun termasuklah kau. Tapi percayalah, keris itu terlalu penting buat aku. Boleh kau tolong dapatkan keris itu untuk aku?” Pinta Hadif.

Halina tergaman. Bulat matanya menatap wajah Hadif yang penuh berharap. “Kau nak minta aku mencuri dari majikan aku sendiri? Begitu?”

“Aku hanya mahu kau kesan di mana tersimpannya keris tu. Itu sahaja. Selebihnya aku akan uruskan sendiri.” Ujar Hadif tenang.

Halina terdiam. Matanya menyorot wajah lelaki di hadapannya. Wajah itu benar-benar berharap padanya. Tapi untuk berjanji membantu lelaki itu, dia masih ragu-ragu. Bukan kecil permintaan yang dibuat oleh lelaki itu. Jika dia melakukannya dan tertangkap, silap-silap haribulan dia akan dipecat dari jawatannya di universiti itu. Tapi itu masih belum apa-apa berbanding dengan apa yang diketahuinya tentang keris itu. Mungkin seharusnya dia perlu berterus-terang dengan lelaki itu tentang apa yang diketahuinya.

“Aku rasa baik kau lupakan saja niat kau.” Ujar Halina perlahan.

Hadif menoleh. Gadis itu memandangnya dengan wajah serius.

“Setiap keris lama ada sumpahannya sendiri Hadif. Dan aku percaya keris Naga Sari juga begitu. Sudah terlalu banyak korban keris itu.” Keluhnya.

Dahi Hadif berkerut seribu. “Sumpahan apa?”

Halina memandang datuknya Umar yang terlantar kaku di atas kerusi roda. Hadif diam-diam turut mengekori arah pandangan gadis itu. Dia semakin berminat ingin tahu apakah maksud Halina yang sebenarnya.

“Datuk aku jadi begitu disebabkan keris tu. Ada satu kejadian aneh yang berlaku pada salah seorang pelajarnya ketika itu. Pelajar itu mengamuk dan membunuh orang-orang di tapak carigali hampir 34 tahun yang lalu secara tiba-tiba. Sehingga kini, kejadian itu masih menjadi tanda tanya kami semua. Selepas dia bawa balik keris itu ke mari, beberapa orang pelajar yang mengikuti ekspedisinya meninggal dunia. Yang lain-lain sakit sehingga berbulan-bulan lamanya. Dan datuk aku pula…” Kata-kata Halina terhenti. Hadif merenung gadis itu. Menanti gadis itu meneruskan kata-katanya.

“Suatu malam…tiba-tiba sahaja datuk aku jatuh di kamarnya. Tiba-tiba juga dia tidak boleh berjalan seperti dulu. Doktor sahkan dia lumpuh separas pinggang.” Cerita Halina sebak.

“Wajah dia?” Mata Hadif mencerun ke arah kesan terbakar di wajah Umar.

Halina menarik nafas panjang. “Kata arwah ayah, kesan itu tiba-tiba muncul beberapa tahun selepas itu. Tak ada seorang doktor pun yang boleh menjelaskan bagaimana kesan lecur itu boleh muncul di wajah datuk aku. Kami semua tertanya-tanya. Tapi entah kenapa aku yakin, semua ini disebabkan ekspedisi yang dilakukan datuk di Lenggong lebih tiga puluh tahun yang lalu.” Ungkap Halina.

Hadif tidak bersuara. Dia juga kurang arif tentang sejarah keris Naga Sari yang cuba dijejakinya. Apa yang dia tahu, keris itu dikatakan mempunyai kuasa yang amat kuat yang boleh menentang entiti ghaib. Itu yang disebut oleh Yong Habibah dan ayah angkatnya Hadi. Sudah lama mereka cuba mengesan keris itu. Hanya sekarang baru mereka bertemu dengan Profesor Umar.

“Selain keris ni, ada apa-apa lagi yang datuk kau jumpa semasa itu?” Soal Hadif curiga. Halina terdiam seperti cuba mengingati sesuatu.

“Menurut catatan datuk aku, keris itu ditemui bersama bungkusan kain kuning yang berisi dengan habuk dan pasir. Bungkusan itu sudah dihantar ke makmal untuk dibuat ujian Fission Track, manakala keris itu pula dihantar ke muzium universiti.” Ujar Halina.

“Habis di mana bungkusan itu sekarang?” Hadif betul-betul berminat ingin tahu.

“Dah hilang.” Jawab Halina sambil menarik nafas.

“Hilang?” Hadif tergaman.

Gadis itu mengangguk lesu. “Banyak kejadian aneh yang berlaku Hadif. Datuk aku sendiri bersikap ganjil apabila dia menemui keris dan bungkusan tersebut. Dan yang paling aneh, bungkusan itu hilang secara tiba-tiba di makmal kajian. Tak ada seorang pun yang tahu ke mana hilangnya bungkusan itu atau siapa yang mengambilnya.” Cerita Halina.

Hadif menarik nafas panjang. Ada sesuatu pada cerita Halina yang membuatkan dia tertanya-tanya. Apa sebenarnya kandungan bungkusan itu? Mustahil hanya ada habuk dan pasir sahaja!

“Sebenarnya, untuk apa kau perlukan keris itu?” Halina masih ingin tahu cerita di pihak Hadif pula. Namun Hadif tidak menjawab. Tak mungkin dia akan bercerita pada gadis itu tentang tugas yang harus dilaksanakannya.

“Maaf, aku tak boleh beritahu kau. Hal ini terlalu sulit untuk aku nyatakan.” Ujar Hadif.

Halina terdiam. Gadis itu beredar ke arah sebuah rak buku di tepi sudut, lalu menarik keluar sebuah buku kecil berkulit merah yang sudah usang. Buku itu lalu diserahkan kepada Hadif.

“Ini jurnal yang datuk aku tulis tiga puluh empat tahun yang lalu. Aku tak pernah tunjukkan jurnal ni pada sesiapa pun. Aku bertemu jurnal ini pun secara tak sengaja beberapa tahun yang lalu.” Ujar Halina.

“Apa kandungannya?” Hadif membelek-belek buku tersebut dengan penuh minat.

“Cuba kau selak helaian terakhir.” Suruh Halina. Hadif patuh. Sebaik helaian terakhir jurnal itu dibuka, matanya terpaku pada lakaran imej wanita yang dilukis dengan pensel. Wajah wanita itu cukup menggerunkan di bawah selubung kain yang menutup sebahagian wajahnya.

“Gambar tu datuk aku lukis beberapa bulan selepas kejadian yang menimpa pelajar-pelajarnya. Menurut ibu aku, datuk aku terlalu obses dan stress dengan gambar itu. Aku dan ibu bapa aku percaya, kejadian yang menimpa datuk dan pelajar-pelajarnya mungkin ada kaitan dengan wanita itu.” Ujar Halina.

“Sebab itu aku perlu tahu sesuatu Hadif. Kalau tujuan kau mencari keris Naga Sari disebabkan perempuan itu, aku akan bantu kau setakat yang aku mampu. Aku cuma mahu tahu siapa dia dan apa kaitan dia dengan datuk aku. Itu saja.” Sambung Halina lagi.

Hadif tidak menjawab. Dia tidak berani mengukir janji di hadapan Halina, bimbang akan mengundang bahaya terhadap gadis itu. Namun dia cukup mengerti, gadis itu terlalu mengambil berat perihal datuknya. Pandangan Hadif kembali ke arah lakaran gambar yang cukup menggerunkan di dalam jurnal merah itu. Rupa-rupanya Profesor Umar sudah menemui sesuatu yang mereka takuti sejak sekian lama! Keluh Hadif dengan wajah rungsing.

link

No comments:

DEDALU DI HATI - STOK TERHAD!!

DEDALU DI HATI  - STOK TERHAD!!

PESANAN NOVEL DEDALU DI HATI SEDANG DIBUKA SEKARANG!!!

Harga = RM25.90
Kos Pos = RM7 (pos laju)
Total = RM32.90

Emailkan nama dan butiran diri ke arr_nita@yahoo.com.
Pesanan sehingga stok ke 3 ini kehabisan..

NANTIKAN VENOM SURIA DI PESTA BUKU ANTARABANGSA PWTC MULAI 27 APRIL, TERBITAN BUKU PRIMA (RM25.90)

NANTIKAN VENOM SURIA DI PESTA BUKU ANTARABANGSA  PWTC MULAI 27 APRIL, TERBITAN BUKU PRIMA (RM25.90)
Suria gadis ceria dan periang, namun miliki sejarah hitam dalam kelahiran. Yang membuatkan dia diburu dan dijejaki untuk meleraikan sebuah kisah sumpahan, lalu mempertemukan dia dengan dua lelaki berbeza sifat. Izwan jenis yang dingin dan panas baran. Cakapnya harus dipatuhi atau dia akan meletup! Nazrul sentiasa cool tapi punya rahsia terpendam yang menyiksa jiwa. Seorang lelaki ditakdirkan menjadi penyelamat. Seorang lagi ditakdirkan membunuhnya. Kedua-duanya muncul tak diundang, tetapi meninggalkan kesan mendalam. Lalu bermulalah permainan cat and mouse antara mereka sehingga game over!