Followers

Wednesday, October 27, 2010

Sayangku Casper : Bab 31

SEDARI pagi Rafique sudah terpacak di kawasan kampus itu. Dia tidak pasti jadual kelas Tia sebenarnya. Jadi cara paling senang ialah dia lebih suka menanti gadis itu di perkarangan bangunan dewan kuliah dengan harapan dia akan terserempak dengan gadis itu. Tapi setelah dua jam menanti, dia mula gelisah dan tidak senang duduk. Mana perginya perempuan ni? Getus Rafique sambil mengesat peluh di dahi.

Sesekali matanya merenung gambar kanak-kanak perempuan berusia 5 tahun yang menjadi hiasan dompetnya kini. Mujur dia sempat membuat dua salinan gambar tersebut ketika datang. Dan salah satunya kini berada dalam simpanan Tia ketika dia menunjukkan gambar itu pada gadis itu tempohari.

Adelie, di mana kau sebenarnya? Apakah kau sememangnya sudah mati atau kau adalah dia? Tia Adila yang kelihatan kalut tapi penuh dengan rahsia? Bisik hati kecil Rafique.

Rafique tersentak. Khayalannya menghilang dalam sekelip mata. Dia menoleh ke sebelah kanannya. Bunyi teriakan yang agak kuat benar-benar menganggu gegendang telinganya.

Seorang lelaki berambut kembang terjelepuk di atas lantai dengan wajah menyeringai. Di sekelilingnya terdampar beberapa buah buku tebal yang saling bertindih. Beberapa orang pelajar yang sedang berbual-bual tidak jauh dari situ, begitu asyik mengetawakan lelaki itu.

Rafique mengecilkan matanya. Siapa pula si badut ni? Tapi sejurus kemudian Rafique tergaman. Macam kenal! Ketika lelaki berambut mengerbang itu menoleh, lelaki itu turut terpanar melihatnya.

“Hey it’s you bro.” Lelaki itu terjerit kecil, lalu cepat-cepat mengemaskan barang-barangnya dan bergegas ke arah Rafique.

“Rafique?”

Rafique mengangguk. “Hmm..kau Blast kan?”

“Yup. Apa kau buat kat sini bro? Takkan masih cari budak perempuan kecik dalam gambar tu? Kan aku dah cakap gambar tu gambar Tia. Mesin aku tu memang tepat 99 peratus tau! Tak lama lagi aku ingat aku nak patenkan hak cipta mesin tu dan jual kat pihak kerajaan kita.”

“Blast..”

“Manalah tau boleh bantu tangkap penjenayah yang berlambak kat Malaysia ni. Kau tahu ajelah sekarang ni kat mana-mana tempat aje dah tak selamat. Rompak sanak sini, samun, rogol, bunuh..tiap-hari boleh baca berita macam tu dalam akhbar. Malaysia sekarang ni dah tak selamat macam dulu lagi. Aku kalau ikutkan…”

“Blast! Please shut up!” Jerit Rafique tiba-tiba. Dia sudah hilang sabar dengan lelaki alfa romeo di hadapannya sekarang ini. Apa bendalah yang kau bebelkan ni?

Blast terdiam. Ternyata jeritan Rafique berjaya menghentikan pidatonya yang ala-ala nak masuk bertanding debat perdana.

“Sekarang ni aku cuma nak tahu satu aje. Macamana aku nak cari Tia? Bukan nak dengar fasal statistik jenayah kat Malaysia ni.” Gumam Rafique.

“Kau nak cari Tia?” Blast mengerutkan dahinya.

Rafique mengangguk. “Ya aku nak cari Tia. Dia ada kat mana sekarang ni? Dah sejam lebih aku tunggu dia kat sini.” Balas Rafique separuh merungut.

“Sepatutnya dia ada kelas dengan aku hari ni. Mungkin kejap lagi dia sampai lah tu.” Sahut Blast.

Rafique menarik nafas lega. Nasib baik!

“Tapi kelas tu satu jam dari sekarang. Kau kena tunggu kejap lagi.”

Rafique tergaman. Another one hour? Alamak! Wajahnya sudah keruh semacam.

“Hah apa kata sementara tunggu Tia, kau lepak-lepak dengan aku dulu bro. Kita bincang fasal mesin aku tu. Apa pendapat kau kalau aku..”

“Blast please! Enough about that thing.” Pintas Rafique pantas. Sebelum gegendang telinganya berdarah mendengar cerita-cerita fasal mesin, IT atau benda-benda yang sewaktu dengannya, dia lebih rela tinggal di rumah sewa berhantunya dari ditemani lelaki itu.

Blast tersengih lebar. Ketika itu juga telefon bimbitnya tiba-tiba berdering. Dia terburu-buru mencari telefon bimbitnya dari poket beg sandangnya yang koyak rabak dan terjurai-jurai sedikit.

“Hello, Blast speaking.”

Melihat lelaki itu sedang berbual-bual, Rafique mengambil kesempatan bangun dari kerusi yang didudukinya secara senyap-senyap. Niatnya mahu angkat kaki dari situ. Malas mahu melayan cakap-cakap Blast yang kedengaran banyak merapu. Budak macam ni pun boleh masuk universiti, keluh Rafique di dalam hati.

“Woi Tia, kau ke tu? Apasal kau call aku ni?”

Langkah Rafique serta-merta terhenti. Nama Tia yang disebut Blast lebih menarik minatnya. Perlahan-lahan Rafique mengundur lalu duduk semula di kerusi yang ditempatinya sebentar tadi. Demi kerana Tia, dia rela menanti Blast menghabiskan perbualan. Tapi cepatlah habis!

Blast menyimpan kembali telefon bimbitnya setelah berbual beberapa ketika. Lelaki itu menoleh ke arah Rafique.

“So?” Rafique bertanya.

“Dia call minta aku tolong sign kehadirannya dalam kelas. Hari ni dia nak tuang kelas.” Ujar Blast.

“Hah tuang kelas? Apasal dengan budak-budak muda sekarang ni? Dah ada peluang nak masuk kolej tiba-tiba asyik tuang kelas pulak. Langsung tak reti nak hargai susah payah dapat masuk kolej.” Leter Rafique tiba-tiba. Entah kenapa, dia naik angin apabila mengetahui gadis itu tidak hadir ke kampus hari ini. Buang masa aku tunggu aje!

Blast yang mendengar bebelan Rafique tercengang-cengang memandang lelaki itu. Ni yang tiba-tiba naik angin kat aku ni apasal?

“Habis dia sekarang ni kat mana?” Merah padam wajah Rafique memandang ke arah Blast. Maklumlah angin La Nina tengah memuncak.

“Err….kat restoran.” Tergagap-gagap Blast menjawab apabila jelingan maut Rafique melumat ke arahnya.

“Restoran? Kat mana? Buat apa kat restoran tu? Nak makan apa sampai sanggup ponteng kelas?” Bertalu-talu soalan itu dicampakkan ke arah Blast yang sudah terkejut beruk.

No comments:

DEDALU DI HATI - STOK TERHAD!!

DEDALU DI HATI  - STOK TERHAD!!

PESANAN NOVEL DEDALU DI HATI SEDANG DIBUKA SEKARANG!!!

Harga = RM25.90
Kos Pos = RM7 (pos laju)
Total = RM32.90

Emailkan nama dan butiran diri ke arr_nita@yahoo.com.
Pesanan sehingga stok ke 3 ini kehabisan..

NANTIKAN VENOM SURIA DI PESTA BUKU ANTARABANGSA PWTC MULAI 27 APRIL, TERBITAN BUKU PRIMA (RM25.90)

NANTIKAN VENOM SURIA DI PESTA BUKU ANTARABANGSA  PWTC MULAI 27 APRIL, TERBITAN BUKU PRIMA (RM25.90)
Suria gadis ceria dan periang, namun miliki sejarah hitam dalam kelahiran. Yang membuatkan dia diburu dan dijejaki untuk meleraikan sebuah kisah sumpahan, lalu mempertemukan dia dengan dua lelaki berbeza sifat. Izwan jenis yang dingin dan panas baran. Cakapnya harus dipatuhi atau dia akan meletup! Nazrul sentiasa cool tapi punya rahsia terpendam yang menyiksa jiwa. Seorang lelaki ditakdirkan menjadi penyelamat. Seorang lagi ditakdirkan membunuhnya. Kedua-duanya muncul tak diundang, tetapi meninggalkan kesan mendalam. Lalu bermulalah permainan cat and mouse antara mereka sehingga game over!