Followers

Saturday, March 26, 2011

Sayangku Casper : Bab 48

            “INI bilik tidur tetamu di rumah ni. Cik berehatlah dulu. Rafique sudah jelaskan pada saya tentang kehilangan bagasi-bagasi cik sewaktu di lapangan terbang tadi. Jangan bimbang, kami akan bantu cik cari semula bagasi-bagasi itu.” Ujar Louis di hadapan bilik yang dimaksudkan. Lelaki itu mahu beredar dari situ, tapi Tia cepat-cepat memanggilnya semula.
            “Err..Mr. Louis..” panggil Tia tergagap-gagap. Dia sebenarnya keliru mahu memanggil apa pada lelaki Perancis yang boleh bertutur dalam bahasa melayu meskipun agak pelat kedengaran. Sebentar tadi dia mendengar Rafique memanggil lelaki itu Uncle Louis. Patutkah dia juga memanggil lelaki itu dengan panggilan uncle? Bodoh kau Tia. Itu pakcik Rafique bukan pakcik kau. Yang nak panggil sebarangan tu kenapa? Buat-buat orang tu tak suka, siapa yang malu?
            Lelaki itu tidak jadi beredar. Dahinya berkerut memandang ke arah Tia.
            “Ya Cik Tia? Do you need anything?”
            “Eh tak..tak. Saya cuma nak tanya, rumah ni rumah siapa sebenarnya?” Soal Tia ingin tahu. Dia sebenarnya bingung memikirkan status diri Rafique yang sebenarnya. Siapa sebenarnya lelaki itu? Betulkah Rafique berhutang seperti yang dicanang lelaki itu sewaktu mereka di Malaysia?
            “Ini rumah Madame Marianne, nenek Rafique.” Ujar Louis sambil tersenyum.
            “Madame Mariane?” Tia menyebut nama itu lambat-lambat. Nenek Rafique? Rafique ni berdarah kacukankah? Tapi wajah lelaki itu tidak kelihatan pula seperti berdarah campur.
            “Cik Tia berehatlah dulu. Pembantu rumah sedang siapkan makan malam. Sekejap lagi pembantu Rafique akan bawakan pakaian untuk Cik Tia.” Ujar Louis.
            Pembantu Rafique? Biar betul! Aku sebenarnya kat mana ni? Ke kat syurga? Jangan-jangan kapal terbang yang aku naik tadi terhempas kut. Maknanya aku dah mati? Mata Tia terbeliak. Nafasnya separuh sesak.
            “Cik..cik tak apa-apa?” Louis yang melihat wajah pucat gadis di hadapannya segera terpelangah. Dia cepat-cepat menghampiri gadis itu.
            Mr. Louis, am I dead?” Tanya Tia pucat lesi.
            What?” Louis tercengang mendengar pertanyaan tidak masuk akal itu. Ketawa Louis tiba-tiba berderai. Mata Tia segera mencari wajah lelaki itu.
            No dear, you’re not dead.” Ujar Louis seraya menghabiskan gelaknya.
            Tia mengerutkan dahinya. Jari-jemarinya singgah di atas kening seraya mengosok-gosoknya. Tanda dia sedang berfikir.
            Ketawa Louis tiba-tiba mati. Gerak-geri Tia mencuri tumpuan. Dia terpanar seketika. Aksi Tia menggosok keningnya membuatkan dia teringatkan sesuatu. 
            “Err…Cik Tia, masuklah berehat. Malam nanti Madame Marianne pulang, saya akan perkenalkan Cik Tia dengan madame.” Ujar Louis lalu segera beredar dari situ.
            Tia mengeluh panjang. Nak berehat apa kalau hajatnya tidak kesampaian. Dalam dia sibuk mahu mencari alamat rumah yang tercatat dalam kerta memo itu, tiba-tiba dia terlantar pula di sini. Di kawasan Foch Avenue yang dipenuhi dengan rumah orang-orang kaya. Dan dalam banyak-banyak rumah, di sini dia berada. Di Villa La Casper yang sebesar istana Buckingham di England. Gila! Kalau dia ceritakan semula ini pada Jerone, tentu Jerone sendiri takkan percaya.
            Siapa sebenarnya Rafique tu? Takkan putera raja kut. Nampak macam sengkek tapi rupa-rupanya anak orang kaya. Tapi logik ke anak orang kaya ada hutang dengan along? Boleh percaya ke?
            Dalam mengeluh begitu begini, tangan Tia sudah menolak pintu bilik di hadapannya. Tapi sebaik daun pintu terkuak lebar, mata Tia seperti ditongkat dengan kayu. Terbeliak besar-besar seperti waktu dia menonton filem lakonan Brad Pitt kegemarannya di kaca televisyen. Nope! Mungkin kali ini biji matanya lebih besar dari biasa. Mana taknya, bilik yang ada di hadapannya lima kali ganda lebih besar dan lebih indah dari bilik di rumahnya di Kuala Lumpur. Yes, I’m dead. I’m definitely in heaven.
*  *  *  *
            Bunyi ketukan bertalu-talu singgah di telinganya. Tia terkejut lalu bingkas bangun. Matanya memerhatikan suasana di sekelilingnya yang kelihatan asing. Setelah puas mencerna minda, akalnya kembali waras. Dia mula mengingati bagaimana asalnya dia boleh berada di bilik mewah itu. Dan entah sejak bila dia tertidur di atas katil empuk itu tanpa disedari.
            Ketukan itu terus muncul. Dengan perasaan malas, Tia memaksa diri melangkah ke muka pintu. Daun pintu dikuak, menyerlahkan seraut wajah yang kelihatan anggun sedang berdiri di hadapannya dengan wajah ceria. Tia tercengang. Siapa pulak ni?
            Hi, you must be Tia. My name is Monique.” Wanita itu memperkenalkan dirinya. Belum sempat Tia mahu membalas, Monique segera meluru masuk ke bilik itu tanpa dipelawa. Di belakang Monique, muncul dua orang wanita berpakaian uniform pembantu rumah sedang menolak masuk troli yang bergantungan dengan pakaian-pakaian beraneka jenis.
            Tia tergaman apabila menyedari Monique sibuk membelek-belek pakaian tersebut lalu memadankan ke tubuhnya.
            This is nice. It really suits your skin very well.” Komen wanita itu pada sehelai casual dress yang berwarna hijau pucuk pisang. Sesudah itu wanita itu membelek pula pakaian-pakaian yang lain.
            Sorry.. but if I could ask, what is this all about?” Tia bertanya. Hairan dia melihat gerak-geri wanita itu yang tidak menang tangan sibuk memilih pakaian-pakaian yang tergantung pada troli itu. Monique melemparkan senyuman ke arah Tia.
            Mr. Rafique has been asking me to bring you a clothes. This is the finest collection from many good designers. I hope you’ll like it.” Ujar Monique.
            Tia tergaman. Rafique? Dia mengeluh panjang. “Kut ya pun nak carikan aku pakaian, janganlah bagi aku semua dress ni. Bagi t-shirt atau kemeja kan okey. Macamlah aku nak pergi parti.” Rungut Tia, membebel seorang diri. Monique yang sedang memandangnya langsung tidak dipedulikan. Bukan wanita itu faham pun apa dia cakap. Belasah ajelah!
            Tiba-tiba Monique ketawa besar. Tia tergaman. Kenapa dengan semua orang di rumah ni? Tadi Louis mengetawakannya, sekarang wanita itu pula.
            “Kenapalah perempuan ni ketawa?            Ini yang buat aku stress ni.” Gumam Tia lagi sambil mengerutkan dahinya. Takkan semua orang di rumah ni gila kut!
            “Cik Tia, kalau you tak pakai pakaian-pakaian ni, nanti Madame Marianne marah. Dia memang straight dengan dress code dalam rumah ni.” Ujar Monique.
            Tia menelan liur. Gugup! Bulat biji matanya memandang Monique yang terus-terusan ketawa melihatnya.
            Monique, awak boleh cakap melayu?” Tia hairan.
            “Ya boleh. Salah satu syarat untuk bekerja di sini atau bekerja dengan keluarga Casper ialah dengan mempelajari bahasa melayu. Malah kami ada kelas dan guru yang mengajar bahasa melayu kepada pekerja-pekerja.” Jelas Monique.
            “Maksud awak, semua orang di rumah ini pandai berbahasa melayu? Bagaimana dengan pembantu-pembantu rumah? Mereka juga pandai bercakap bahasa melayu?” Soal Tia ingin tahu. Tiba-tiba pula dia rasa teruja mendengarnya.
            Monique mengangguk. “Almost all of them. Madame Marianne sangat mengutamakan bahasa melayu di rumah ini. Dia lebih suka berbahasa melayu bila bercakap dengan kami. Jadi penting bagi kami untuk mempelajari bahasa melayu supaya lebih senang berkomunikasi dengannya.”
            Tia terpegun mendengarnya. Kalau semuanya boleh berbahasa melayu, maka tentu tak sukar untuknya berkomunikasi dengan orang-orang di rumah ini. Entah kenapa dia jadi lebih lega sebaik mengetahui semua ini.
            “Siapa sebenarnya Madame Marianne tu? Kenapa dia suka bercakap bahasa melayu? Apa dia orang Malaysia?” Tanya Tia bertalu-talu. Dia benar-benar ingin tahu lebih banyak tentang wanita yang diperkatakan itu.
            “Bukan. Dia orang perancis, tapi suami Madame Marianne, Pierre Adam merupakan lelaki campuran melayu dan perancis. Sebelum mereka berkahwin, Madame Marianne menganut Islam meskipun dihalang oleh keluarganya. Dia suka bercakap bahasa melayu kerana Tuan Pierre selalu berbahasa melayu dengannya. Walaupun selepas Tuan Pierre meninggal dunia, dia masih mengutamakan bahasa melayu di rumah ini.” Jelas Monique.
            Tia terdiam. Cerita Monique membuatkan dia tersenyum sendiri. Tentu wanita yang dimaksudkan itu sangat menyayangi suaminya. Tiba-tiba dia teringin mahu mengenali wanita itu. Orangnya pasti hebat kerana di mana-mana sahaja dia mendengar nama itu dicanang.
            “Cik Tia pilihlah pakaian-pakaian ni dulu. Nanti saya akan bawakan pakaian-pakaian casual yang lain. Tapi saya nak ingatkan sesuatu, setiap kali Cik Tia turun untuk bersarapan atau makan malam bersama Madama Marianne, lebih baik Cik Tia pakai gaun atau dress.” Sambung Monique.
            “Kenapa pulak macam tu?” Soal Tia hairan.
            “Ini peraturan yang Madame Marianne sendiri tetapkan. Lagipun beliau agak tegas dengan peraturan ini. Semua orang mesti berpakaian kemas di meja makan.” Ujar Monique.
            Tia menggaru kepala tidak gatal. Aneh mendengar kata-kata Monique. Tak sangka protokol di tempat ini agak ketat. Tak ubah seperti hendak bersantap dengan orang-orang kenamaan aje. Tapi memang pun perempuan bernama Madame Marianne tu orang kenamaan. Tak mustahillah kalau itu caranya! Ah ikut ajelah! Getus Tia.
            Dia turut membelek pakaian-pakaian yang bergantungan di hadapannya. Cantik! Tia sempat menjeling label pada salah satu pakaian di hadapannya. Melihat pada jenama pakaian yang tertampal pada kolar baju itu, dia terpegun. Florencia? Dahinya segera berkerut. Cepat-cepat dia mengambil pakaian itu lalu diteliti. Jahitan pada pakaian tersebut cukup kemas dan halus. Fabriknya pula diperbuat dari jenis Charmeuse yang berkualiti tinggi. Lembutnya! Tia mengusap-gusap pakaian tersebut.
            “Cik Tia suka dress ni?” Monique bertanya apabila melihat gadis itu tak sudah-sudah membelek pakaian yang ada di tangannya.
            “Ini jenama Florencia.” Tia berpaling ke arah Monique.
            Monique mengangguk lalu tersenyum. “Baju-baju ni semuanya datang dari couture house kami, House of Fleur.” Jelas Monique berbangga.
            Couture house?” Tia tidak mengerti.
            Couture house bermaksud rumah fesyen untuk jenama Florencia. Di situ kami ada ramai pereka-pereka fesyen terkenal yang bekerjasama dengan kami.”
            Tia terlongo mendengar penjelasan Monique. Dia benar-benar tidak percaya akan berhadapan dengan seseorang yang bekerja untuk jenama Florencia yang agak gah namanya bagi mereka yang berminat dengan dunia fabrik dan fesyen sepertinya.
*  *  *  *
            Louis memandang seraut wajah kecil di dada potret di pejabat Madame Marianne. Gadis kecil yang tersenyum manis di samping seorang wanita cantik itu, menarik perhatiannya. Sudah beratus-ratus kali sebenarnya dia memandang potret itu. Namun selalunya dia memerhatikan potret tersebut dengan perasaan yang tidak terlalu dalam. Hari ini entah kenapa, dia kembali mendalami dan menekuni wajah di dada potret itu.
            Ada sesuatu bermain di fikirannya tatkala dia memandang gadis yang dibawa pulang oleh Rafique hari ini. Dan ada perasaan halus yang tertinggal, usai dia memandang wajah gadis itu. Louis mengakui ada kemiripan pada wajah gadis itu dengan Adelie de Casper. Tapi tak mustahil wajah kedua-duanya hampir sama kerana Tia Adila adalah anak kepada Ahmad Faruk, lelaki yang pernah mengahwini Selena suatu ketika dahulu. Itu yang Rafique bisikkan padanya.
            Apabila Rafique mengatakan Adelie sudah meninggal dunia, dia benar-benar terkejut mendengarnya. Hakikat itu sukar mahu dicerna lantaran dia yang paling tahu betapa Madame Marianne merindui anak gadis itu. Tapi selepas melihat Tia Adila menggaru keningnya, perasaannya mula tidak keruan. Dia masih ingat lagi lima belas tahun yang lalu, Adelie juga suka melakukan perkara yang sama. Pelik tapi benar. Kelakuan Tia benar-benar mirip dengan Adelie, membuatkan dia mulai curiga. Apakah Tia Adila benar-benar Adelie atau sekadar pelanduk dua serupa?
            “Uncle Louis, menung apa tu?” Tegur Rafique yang tiba-tiba muncul di sampingnya.
            Louis menoleh. Melihat Rafique di situ, dia tersenyum kecil. “Cuma melihat gambar-gambar Adelie waktu kecil dulu. Inilah satu-satunya gambar yang paling madame sayang dan tidak pernah dialihkan dari sini.” Ujar Louis.
            Rafique melontarkan pandangan ke arah paparan gambar di hadapannya. Di situ dia menemukan wajah seorang anak kecil bersama ibunya. Rafique menumpukan perhatian. Dia agak jarang berpeluang untuk menatap dengan teliti wajah Adelie, kerana kesempatannya untuk memasuki pejabat Madame Marianne agak terbatas. Berbeza dengan Louis yang sudah lama menjadi pembantu Madame Marianne. Malah dia sendiri tidak perasan akan kehadiran potret itu kerana kedudukannya agak tersorok di suatu sudut. Hanya selepas dia tahu cerita tentang gadis itu, barulah Madame Marianne menunjukkan gambar itu padanya.
            Rafique, about that girl…” Louis menoleh dengan wajah gusar, namun tidak meneruskan kata-katanya. Rafique terpinga-pinga.
            “Maksud uncle, Tia?”
            Louis terdiam. Entah kenapa sukar baginya mahu mencerna ayat yang sesuai untuk dilafazkan di telinga Rafique.
            Are you really sure that Tia and Adelie were not the same girl?” Soal Louis payah. Pertanyaan Louis membuatkan Rafique terpanar. Matanya memandang Louis dengan riak bingung.
            “Kenapa uncle tanya macam tu?”
            Louis menarik nafas panjang. Dahinya berkerut sedikit. “Wajah mereka kelihatan seiras.”
            Hanya itu yang mampu disebut Louis. Dia tidak tergamak mahu memberitahu Rafique perihal syak wasangkanya. Meskipun karakter Tia agak mirip dengan Adelie sewaktu kecilnya, namun dia masih ragu-ragu. Perangai Adelie yang suka menyentuh dan menggosok keningnya, sama dengan apa yang dilakukan Tia sebentar tadi. Dan itu membuatkan dia bingung.
            “Mereka seiras sebab mereka adik beradik. Tapi Tia anak Ahmad Faruk dengan isterinya Rosmah. Malah Tia sendiri mengaku yang kakaknya sudah meninggal dunia. Saya dah minta Davian siasat tentang kubur Adelie di Malaysia. Memang pusaranya wujud uncle.” Jelas Rafique.
            Louis terdiam. Kata-kata Rafique ditelan dengan keluh-kesah. Jika kata-kata Rafique benar, maka cucu Madame Marianne sudah tidak ada di dunia ini. Entah bagaimana harus mereka khabarkan berita duka ini pada wanita itu?
            “Bagaimana dengan daddy kamu? Dia masih di Malaysia?”
            Rafique terdiam. “Granny tahu daddy ke Kuala Lumpur?” Tanya Rafique tanpa menjawab pertanyaan Louis.
            Louis mengangguk. “Katanya dia ada urusan dengan wakil Florencia di Kuala Lumpur. Itu yang diberitahunya pada Madame Marianne.” Ujar Louis.
            Rafique mengeluh panjang. Pandai ayahnya berbohong! Sesiapa pun pasti tahu apa tujuan ayahnya ke Kuala Lumpur. Mesyuarat Lembaga Pengarah semakin hampir. Dan ayahnya sedang menyediakan senjata untuk berperang merebut House Of Fleur.

1 comment:

Anonymous said...

Xde smbungn bab 50 ke?

DEDALU DI HATI - STOK TERHAD!!

DEDALU DI HATI  - STOK TERHAD!!

PESANAN NOVEL DEDALU DI HATI SEDANG DIBUKA SEKARANG!!!

Harga = RM25.90
Kos Pos = RM7 (pos laju)
Total = RM32.90

Emailkan nama dan butiran diri ke arr_nita@yahoo.com.
Pesanan sehingga stok ke 3 ini kehabisan..

NANTIKAN VENOM SURIA DI PESTA BUKU ANTARABANGSA PWTC MULAI 27 APRIL, TERBITAN BUKU PRIMA (RM25.90)

NANTIKAN VENOM SURIA DI PESTA BUKU ANTARABANGSA  PWTC MULAI 27 APRIL, TERBITAN BUKU PRIMA (RM25.90)
Suria gadis ceria dan periang, namun miliki sejarah hitam dalam kelahiran. Yang membuatkan dia diburu dan dijejaki untuk meleraikan sebuah kisah sumpahan, lalu mempertemukan dia dengan dua lelaki berbeza sifat. Izwan jenis yang dingin dan panas baran. Cakapnya harus dipatuhi atau dia akan meletup! Nazrul sentiasa cool tapi punya rahsia terpendam yang menyiksa jiwa. Seorang lelaki ditakdirkan menjadi penyelamat. Seorang lagi ditakdirkan membunuhnya. Kedua-duanya muncul tak diundang, tetapi meninggalkan kesan mendalam. Lalu bermulalah permainan cat and mouse antara mereka sehingga game over!