Followers

CINTA BUKAN LARANGAN - 2014 ( Limited Edition Only)

CINTA BUKAN LARANGAN - 2014 ( Limited Edition Only)
Ekslusif dan tidak dijual di kedai buku, hanya di blog dan fb penulis sahaja :untuk memesan : email arr_nita@yahoo.com/ FB : Anita Aruszi

BLURB CINTA BUKAN LARANGAN (New)

Tajuk : Cinta Bukan Larangan
Penulis : Anita Aruszi
Harga : RM32.90
Penerbit : GN Publishing
ISBN : 978-967-10425-3-3
M/s : 803ms
Genre : Cinta dan Kekeluargaan

Tagline
Cinta Ini Terlarang..
Ibarat Buah Khuldi Yang Haram Disentuh Adam…

Diaz dan Dina Azura, dua adik beradik yang membesar bersama tetapi tidak pernah sebulu. Ada sahaja yang tidak kena di hati Diaz yang terang-terangan membenci Dina Azura di dalam hidupnya. Sehingga ke satu tahap, dia cuba merogol gadis itu angkara kemarahan yang terpendam di lubuk hatinya. Namun tindakan itu telah merubah segala-galanya dalam hidup mereka. Kerana kesal dengan tindakannya, dia mengambil keputusan melarikan diri ke luar negara. Namun tindakan itu tidak mampu meluputkan setiap dosa yang dirasakannya terhadap Dina Azura.

Sepuluh tahun kemudian, Diaz pulang ke tanahair dan bekerja dengan Alma Katherine, seorang ahli perniagaan berjaya. Namun dia tidak berani berhadapan dengan Dina Azura angkara malam jahanam itu. Tapi takdir menemukan mereka semula untuk menyusun kepingan-kepingan puzzle dalam hidup mereka. Tapi masihkah ada benci di hatinya atau segala-galanya telah berubah?

Bagi Dina Azura, dia tidak pernah membenci Diaz. Malah takkan mungkin membenci lelaki itu. Sejak kecil dia mengagumi Diaz, sehinga adakala dia terseksa kerana dibenci tanpa sebab. Malah seluruh jiwanya terseksa kerana selama ini dia menyimpan rahsia yang tidak mampu diceritakan kepada sesiapa. Isi hatinya takkan mampu diluahkan lantaran dia sedar betapa besar dosanya mencintai abang sendiri.

Perkenalan Dina Azura dengan Johan telah menyemat cemburu di hati Diaz tanpa disedari. Hubungannya dengan Dina Azura adalah sebuah hubungan yang takkan mungkin. Mereka tidak mungkin bercinta. Tidak mungkin bersama sama. Tidak mungkin untuk segala-galanya. Tidak mungkin untuk selama-lamanya. Kerana itu Diaz menahan diri. Dan bila Johan hadir di antara mereka, segala-galanya yang tidak mungkin itu bukan lagi satu halangan. Diaz nekad mahu membetulkan segala-galanya. Tapi rahsia yang disimpannya selama 15 tahun itu hanya akan melukakan hati ramai orang. Bolehlah dia menjaga hati ramai orang dan membiarkan hatinya sendiri dilukai? Mampukah lagi dia menyimpan rahsia ini dari pengetahuan Dina Azura sedangkan gadis itulah yang paling mahu dilindunginya?


Abang jangan judge orang dengan hanya memandang luaran sahaja. Sekurang-kurangnya
Johan sanggup pertahankan maruah adiknya dari lelaki-lelaki tak guna tu. Dia seorang abang yang baik – DINA AZURA

Johan baik? Jadi abang lelaki jahat? – DIAZ HAFIZI

Saya cuma nak awak pilih antara saya dan Diaz. Dan berhenti menyakiti hati saya seperti ini Dina – JOHAN


Tuesday, November 23, 2010

Blue Sunset : Bab 8

DIA berteleku di sisi ibunya dengan wajah sembab. Sesekali dia melontarkan pandangan ke arah ibunya. Wanita itu kelihatan tenang di dalam tidurnya bagaikan tidak ambil pusing dengan dunia di sekelilingnya.

Hampir dua belas jam lamanya ibunya tidak sedarkan diri. Dan dalam tempoh ini, perasaannya saling berbaur. Baru sebentar tadi doktor yang merawat memberitahunya, kes ibunya akan dirujuk pada Doktor Herman, doktor yang merawat ibunya. Malangnya Doktor Herman tidak ada di Malaysia ketika ini kerana menghadiri seminar perubatan di luar negara.

Dia juga sempat menelefon Iman memberitahu tentang keadaan ibunya. Dia tahu semua ini pasti akan menyulitkan Iman, lantaran dia tidak hadir pada hari pertama dia sepatutnya memulakan kerja di Sri Anjung Design. Tapi tak disangka-sangka Iman menyuruhnya menemani ibunya beberapa hari lagi sehingga keadaan ibunya benar-benar pulih. Aqi benar-benar terharu di atas timbang rasa Iman yang disifatkannya sebagai lelaki yang baik hati dan penuh perhatian.

Rambut ibunya yang terburai jatuh diselak dengan jari-jemarinya yang halus meruncing. Matanya tak putus-putus memerhatikan kondisi ibunya. Nafas wanita itu turun naik agak perlahan. Hampir semalaman dia menangis ketika menemani ibunya. Kolam airmatanya hampir kering. Namun keadaan ibunya tetap sama. Jauh di sudut hati dia benar-benar takut kehilangan ibunya. Ya Allah! Lindungi ibuku dari sebarang kesakitan yang Kau berikan. Jika aku mampu menanggung sakit itu, biarkan aku sahaja yang menanggungnya. Aqi tidak putus-putus berdoa begitu usai bersolat.

* * * *

Rukiyah mendesis kesakitan apabila buku lalinya ditekan-tekan oleh jari jemari yang kuat dan kekar. Dia sempat menepuk bahu lelaki yang sedang memeriksa kakinya.

“Sikit saja ni,” komen lelaki itu sambil tersenyum.

Rukiyah hanya mampu mengeluh. “Itulah yang aku cakap kat si Zahar ni, tapi dia berkeras juga nak hantar aku ke mari. Menyusahkan betul!” Rungut Rukiyah sambil menjeling Zahar yang senyap di penjuru bilik.

Hakim tersengih. “Itu tandanya cucu mak tu sayangkan mak.” Balas Hakim seraya mengenyitkan matanya ke arah Zahar. Anak muda itu hanya tersenyum.

“Itu pun bukan main susah lagi nak ajak nenek tu ke mari ayah. Semalam masa Zahar pelawa, dia berkeras tak nak. Alih-alih pagi ni dia okey pulak bila Zahar ajak sekali lagi.” Canang Zahar pada si ayah. Hakim ketawa besar mendengarnya.

“Macamana mak boleh terkehel sampai macam ni?”

Rukiyah tidak terus menjawab. Dia cuba mengingatkan sesuatu. “Semalam semasa mak jalan dengan Makcik Normah kamu balik dari surau, adalah beberapa orang budak motor lalu di sebelah kami. Bukan main laju lagi motor tu sampai berdesup-desup bunyinya. Semata-mata nak mengelakkan motorsikal tulah, mak jalan ke tepi. Sedar tak sedar terus terhumban dekat longkang.” Cerita Rukiyah dengan wajah merah padam. Entah kenapa, anginnya jadi memuncak sebaik dia teringat asal-usul bengkak di kakinya yang mula membiru.

“Budak rempit la tu.” Ulas Zahar dengan wajah kesal. Jahanam betul mat-mat rempit ni! Tak fasal-fasal nenek yang jadi mangsa.

“Itulah mak, lain kali cuba pergi surau tu ajak orang lain sama. Si Zahar kan ada, kenapa mak tak suruh dia aje hantarkan?” Keluh Hakim.

“Kamu nak suruh si Zahar ni hantar mak?” Rukiyah memandang dua beranak itu dengan wajah bengkek.

“Dia ni dah nak masuk Maghrib, baru sampai ke rumah. Kamu tu pulak, selang sehari atau dua hari baru nampak batang hidung. Macamana mak nak harapkan kamu berdua ni?” rungut Rukiyah.

“Nak buat macamana mak, kerja macam saya ni memang sibuk 24 jam.” Sahut Hakim tersengih. Almaklum kena atas batang hidungnya sendiri.

“Itulah, mak suruh kamu kahwin, kamu tak nak.” Terpacul kata-kata itu dari bibir Rukiyah. Wajahnya selamba.

Hakim dan Zahar saling bertatapan. Tercengang sebentar!

“Bukan takde orang yang nakkan kamu. Ada! Kamu tu aje yang jual mahal, tak sanggup tengok Zahar beribu tiri konon!” Cebik Rukiyah.

Hakim terdiam. Zahar memandang ayahnya agak lama.

“Kalau dari dulu kamu kahwin dengan anak Mak Long Milah kamu si Jamilah tu, takdenya kamu jadi macam ni Hakim. Tengok si Jamilah sekarang dah bahagia dengan suami dan anak-anak dia. Tak macam kamu, bercerai berai, bergaduh sana sini. Yang jadi mangsanya Zahar.” Tukas Rukiyah sedikit kesal.

“Nak buat macamana mak, benda dah nak jadi.” Balas Hakim serba-salah.

“Nahas yang kamu cari sendiri. Dari dulu mak tak berkenan dengan bekas isteri kamu tu, tapi kamu kata kamu cintakan dia. Dia pun cintakan kamu. Alih-alih perempuan tu lari dengan jantan lain. Suami dia tak nak, anak pun dia campak ke tepi. Itu kamu kata cinta?” Tempelak Rukiyah.

Hakim terus terdiam. Dia sudah mati kutu mahu memangkas kata-kata ibunya. Bunyi daun pintu dikatup rapat membuatkan Hakim berpaling. Rukiyah turut menoleh.

Seketika nafas Hakim bergetar. Dia memandang ibunya dengan wajah kesal. “Kalau mak selalu ungkit begini, Zahar akan susah hati mak.” Ujar Hakim perlahan.

“Biar dia susah hati, supaya lain kali dia boleh belajar dari kesilapan ayah dan ibunya. Kamu pun satu Hakim, mak tengok sikap kamu ni yang tak suka melayan perempuan sedikit sebanyak turun dekat si Zahar ni. Mak rasa pengalaman kamu yang buat Zahar jadi macam tu.” Rukiyah menyambung kata.

“Jadi macamana mak? Saya tengok Zahar tu okey je.” Hakim mula bosan melayan kerenah si ibu. Dia pura-pura mencatat sesuatu pada rekod log pesakit.

“Apa yang okey? Mak tengok anak kamu tu lain macam aje. Cuba kamu cakap pada mak Hakim, bila kali terakhir kamu nampak si Zahar tu ada teman wanita? Ada kawan perempuan atau sekurang-kurangnya ada perempuan telefon dia di rumah? Ada?” Soal Rukiyah bertalu-talu.

Hakim mendongak wajah memandang ibunya. Kata-kata wanita itu tersangkut juga di kepala otaknya. Memang bila difikirkan, kata-kata ibunya ada benarnya. Sejak anaknya menginjak usia remaja, memasuki universiti dan akhirnya bekerja, Zahar tidak pernah memperkenalkannya dengan insan yang dipanggil gadis.

“Agaknya kamu suka lah kalau si Zahar tu jadi gay.” Keluh Rukiyah.

Hakim tercengang. Gay? Nauzubillah, takkanlah sampai macam tu sekali.

“Isk mak ni ada-ada ajelah, takkanlah anak lelaki saya tu boleh jadi gay pulak.” Hakim menggelengkan kepala. Enggan menerima andaian yang dibuat oleh ibunya.

“Aku kata kalau. Kalau dia jadi macam tu, kamu jangan menangis depan mak nanti.” Suara Rukiyah berbaur amaran. Hakim terdiam. Dia sudah tidak tahu bagaimana mahu berdebat dengan ibunya. Cakap banyak pun takkan menang jugak! Keluh Hakim seraya menahan nafas.

* * * *

Zahar berjalan tanpa hala tujuan mengikut langkah kakinya. Dia diam-diam meninggalkan bilik ayahnya kerana tidak mahu mendengar perbualan kedua-duanya berkenaan perempuan itu. Perempuan yang telah merosakkan cinta ayahnya dan membuatkan dirinya kecewa sehingga sekarang. Siapa sangka, kesakitan yang disebabkan oleh wanita itu tidak pernah berhenti melingkari hidupnya.

Nenek pun satu! Hari-hari itu ajelah modal neneknya untuk menyerang dia dan ayahnya. Meski wanita itu tahu bagaimana persepsinya terhadap ibunya sendiri, namun neneknya seakan sengaja mahu mencurah minyak ke dalam api. Sengaja mahu membuatnya marah.

Dia benar-benar tidak senang hati dengan perbualan mereka sebentar tadi. Jika diikutkan hatinya, mahu rasanya dia tinggalkan neneknya begitu sahaja dan balik ke pejabat. Tapi mengenangkan itu sikap orang yang tak bertanggungjawab, mahu tak mahu dia memaksa diri bersabar. Mengalah diri pada emosi yang sedikit sebanyak berkocak.

Sebuah bangku yang baru dikosongkan seorang lelaki tua, mencuri perhatian Zahar. Dia membuka langkah perlahan, mahu mendapatkan tempat kosong itu. Namun langkahnya tiba-tiba terhenti. Kelibat seorang gadis sedang duduk di sebuah bangku berhampiran, menjadi perhatiannya.

Apa dia buat kat sini? Tak pergi pejabat ke hari ni? Hati kecil Zahar mengguman sendirian. Baru dia teringat yang gadis itu sepatutnya berada di Sri Anjung Design pada masa-masa seperti ini.

Tanpa disedari dia sudah melangkah ke arah gadis itu. Bangku kosong itu tidak lagi menarik minatnya. Sebaliknya dia lebih tertarik mahu menyoal siasat gadis kecil yang kelihatan muram.

Bunyi suara berdehem menyedarkan Aqi dari lamunan panjang. Dia segera berpaling. Sejurus matanya terbeliak, tidak mampu menahan rasa terkejut melihat kehadiran Zahar di hadapan mata. Kenapa dia boleh ada kat sini pulak?

Jelingan lelaki itu dibalas gugup. Panahan mata lelaki itu seolah membakarnya. Dia sendiri tidak tahu kenapa dia begini. Setiap kali lelaki itu berada di hadapannya, keyakinan dirinya bagaikan hilang dalam sekelip mata. Dan setelah beberapa kali dia merasakan begini, dia mula tidak senang hati. Bagaikan ada sesuatu yang tidak kena dengannya.

“Buat apa kat sini? Baru hari pertama kerja dah pandai tuang?” Suara Zahar singgah. Pedas dan sinis! Dia tergaman. Entah apa yang patut diterangkannya pada lelaki itu.

“Iman tahu kau ponteng kerja?” Soal Zahar lagi. Wajahnya cukup serius. Aqi menarik nafas panjang. Dia mula merasa gelisah dituduh tanpa usul periksa

“Saya ada hal. Saya dah telefon Encik Iman minta excuse untuk hari ni.” Jelas Aqi perlahan. Panas di hatinya cuba ditahan.

“Dan Iman kasi? Hmm..baiknya hati Iman. Baru dengar suara kau dalam telefon dah cair. Hebat!” Zahar tersengih. Nada suaranya langsung tidak menyenangkan perasaan Aqi. Dia menyedari yang lelaki itu sebenarnya bermaksud menyindir.

“Inilah kerenah pekerja perempuan. Ada hal sikit, minta cuti. Demam sikit minta cuti. Menyusahkan aje!” Gerutu Zahar.

Aqi tersentak. Kata-kata Zahar meskipun perlahan namun jelas di pendengarannya. Entah kenapa dia benar-benar tersinggung mendengar kata-kata lelaki itu. Ingin rasanya dia membalas cakap-cakap lelaki itu, namun suatu panggilan menghentikan niatnya.

“Aqi?” Panggil satu suara.

Serentak Aqi dan Zahar berpaling. Melihat Rukiyah di suatu arah, kedua-duanya tergaman. Wajah wanita itu kelihatan cukup ceria ketika menatap Aqi di samping cucunya. Perlahan-lahan dia merapati kedua-dua anak muda itu.

“Aqi kan?” Panggil Rukiyah lagi, sekadar mahu memastikan.

Aqi hanya mampu mengangguk. “Nenek buat apa kat sini?” Gilirannya pula menyoal dengan wajah bingung. Dia benar-benar tidak menyangka akan dipertemukan semula dengan Rukiyah yang baik hati dan ramah tamah.

“Nenek sakit kaki. Terseliuh. Tu sebab nenek datang jumpa ayah si Zahar ni kat sini.” Jelas Rukiyah seraya tersenyum simpul.

Aqi memandang ke arah kaki wanita tua itu. Pergelangan kaki wanita itu berbalut kemas. Baru dia perasan jalan wanita itu sedikit terhencot-hencot ketika menghampiri mereka sebentar tadi. Kasihan nenek! Gumam hati kecil Aqi.

“Kebetulan kamu kat sini, jom ikut nenek pergi minum.” Pelawa Rukiyah. Gembira benar dia kerana bertemu semula anak gadis itu.

Zahar yang mendengar terjegil biji matanya. Serentak dia mendengus kuat sehinggakan Rukiyah dan Aqi berpaling ke arahnya. Rukiyah yang menyedari riak wajah cucunya itu hanya acuh tak acuh sahaja memandang. Tak kuasa dia nak melayan angin Zahar yang tidak tentu hala itu.

“Macamana? Ikut nenek ya.” Pinta Rukiyah lagi.

Aqi terdiam. Sebenarnya dia berasa serba salah. Tidak sanggup dia mahu meninggalkan ibunya begitu sahaja di dalam keadaan ibunya masih tidak sedarkan diri.

“Dahlah, tak payah nak fikir-fikir lagi. Ikut aje nenek pergi. Lepas minum-minum, kita pergi shopping. Mahu?” Sekali lagi Rukiyah membuka tawaran ekslusifnya. Zahar yang berada di samping wanita itu sudah tergelak-gelak kecil.

Rukiyah menjeling dengan perasaan marah. Gelak tawa cucunya dirasakan menganggu perbualannya dengan Aqi. “Kamu diam boleh tak Zahar? Yang kamu ketawa ni kenapa?” Marah Rukiyah.

“Tak adalah nek, Zahar gelakkan nenek. Dalam keadaan kaki berbungkus macam ni, nenek ada hati lagi nak pergi shopping dengan budak ni? Mengarut betul!” Tukas Zahar dengan sisa-sisa tawa yang masih bersambung.

Aqi yang mendengar turut tersenyum simpul. Lucu juga mendengar pelawaan wanita itu yang kedengaran sedikit tidak masuk akal.

“Hai kaki aku, suka hati akulah.” Marah Rukiyah tidak mahu mengalah.

“Yalah, suka hati neneklah.” Keluh Zahar sudah malas mahu menyambung bicara.

Rukiyah kembali memfokuskan perhatian pada Aqi yang diam sahaja sedari tadi. “Aqi…” panggil Rukiyah perlahan. Anak gadis itu berpaling. Merenung sejenak ke arahnya dengan wajah rungsing.

“Maaflah nek, Aqi rasa Aqi tak boleh nak temankan nenek. Aqi kena temankan mak kat sini.” Ujar Aqi perlahan. Dia tunduk merenung ke bawah. Namun dia tahu, pasti kata-katanya membuahkan pertanyaan di fikiran wanita itu. Zahar juga mungkin!

“Kenapa dengan mak Aqi sayang?” Soal Rukiyah ingin tahu. Mahu tak mahu Aqi mendongakkan wajah. Dahi wanita itu berkerut seribu memandang ke arahnya. Dia melirik ke arah Zahar. Mata lelaki itu turut menatap serius ke arahnya. Kedua-duanya mempunyai riak wajah ingin tahu.

2 comments:

Anonymous said...

Tergamam...bukan tergaman....

Anonymous said...

Ejaan sebenarnya...tergamam...bukan tergaman..

DEDALU DI HATI - STOK TERHAD!!

DEDALU DI HATI  - STOK TERHAD!!

PESANAN NOVEL DEDALU DI HATI SEDANG DIBUKA SEKARANG!!!

Harga = RM25.90
Kos Pos = RM7 (pos laju)
Total = RM32.90

Emailkan nama dan butiran diri ke arr_nita@yahoo.com.
Pesanan sehingga stok ke 3 ini kehabisan..

NANTIKAN VENOM SURIA DI PESTA BUKU ANTARABANGSA PWTC MULAI 27 APRIL, TERBITAN BUKU PRIMA (RM25.90)

NANTIKAN VENOM SURIA DI PESTA BUKU ANTARABANGSA  PWTC MULAI 27 APRIL, TERBITAN BUKU PRIMA (RM25.90)
Suria gadis ceria dan periang, namun miliki sejarah hitam dalam kelahiran. Yang membuatkan dia diburu dan dijejaki untuk meleraikan sebuah kisah sumpahan, lalu mempertemukan dia dengan dua lelaki berbeza sifat. Izwan jenis yang dingin dan panas baran. Cakapnya harus dipatuhi atau dia akan meletup! Nazrul sentiasa cool tapi punya rahsia terpendam yang menyiksa jiwa. Seorang lelaki ditakdirkan menjadi penyelamat. Seorang lagi ditakdirkan membunuhnya. Kedua-duanya muncul tak diundang, tetapi meninggalkan kesan mendalam. Lalu bermulalah permainan cat and mouse antara mereka sehingga game over!