Followers

Friday, April 23, 2010

Sayangku Casper : Bab 25

FARUK merenung bingkisan potret kecil yang tersimpan di dalam dompetnya sejak 20 tahun yang lalu. Potret itu sentiasa dibawa ke mana-mana, terselit di antara kad-kad kredit yang tersusun berderet di lipatan dompet. Wajah yang sedang manis tersenyum di dada potret membangkitkan bahang di dadanya. Cinta yang sekian lama bertahta di jiwanya tidak pernah padam setiap kali dia memandang wanita itu.

“Sayang, je t’aime.” Bisik Faruk lirih. Kata-kata cinta itu tidak pernah hilang dari bibirnya. Dua puluh tahun lamanya dia menyimpan kerinduan yang berpanjangan. Tapi dalam rindu, ada dendam yang terus menyala-nyala dalam diri. Segala pengkhianatan dan penderitaan yang terpaksa dialaminya akan sentiasa dikenang dan diingati.

Dia tahu sudah tiba masanya dia membuat perhitungan. Lima belas tahun lalu dia sudah bersumpah tidak akan kembali ke Paris hanya setelah dia bersedia. Sekarang dia sudah memiliki segala-galanya. Dia bukan lagi anak muda yang bergelar pelajar di Kota Paris yang tidak memiliki apa-apa. Dia adalah Abdul Faruk Hakimi, antara lelaki yang memiliki francais perniagaan hartanah dan manufacturing yang sedang berkembang. Malah aset-asetnya perniagaannya meliputi aset-aset di seluruh dunia. Tapi segala kejayaannya tidak pernah membuatkan dia lupa siapa dirinya. Malah dia masih Abdul Faruk yang sama, anak jati Bukit Katil, Melaka yang pernah bekerja di stesyen minyak sewaktu remajanya. Dan di Perancis, dia bekerja sambilan sebagai guru bahasa melayu untuk sebuah keluarga ternama di situ. Semuanya untuk menampung perbelanjaan pengajiannya di luar negara. Tapi tindakannya hanya mengundang padah. Semuanya satu kesilapan!

Hanya kerana cinta dia dihina. Hanya kerana cinta dia parah dibelasah sehingga dimasukkan ke hospital hampir tiga bulan lamanya. Malah dia terlepas untuk menduduki peperiksaan akhirnya di universiti. Tapi dia cuba bangkit semua dengan sokongan teman-temannya. Tapi ia tidak semudah itu. Berada di Paris bukan lagi saat-saat mengembirakan sepertimana dia mula-mula menjejakkan kakinya ke tempat itu tiga tahun yang lalu.

Pintu di belakang biliknya tiba-tiba dibuka dari luar. Faruk tidak berpaling. Dia sudah maklum siapa yang berada di belakangnya.

“Faruk, mesyuarat dah nak mula.” Ujar suatu suara dari arah belakang. Perlahan-lahan Faruk memusingkan tubuh. Merenung seraut wajah yang sedang tersenyum memandangnya. Khalida sudah hampir sepuluh tahun bekerja dengannya. Dan dalam tempoh ini, hidupnya lebih teratur dengan kehadiran wanita itu sebagai pembantu kanannya.

“Lepas ni apa agenda I?” Tanya Faruk ingin tahu.

Khalida tidak terus menjawab. Dia membuka buku yang sentiasa dibawanya ke mana-mana lalu meneliti jadual lelaki itu.

“Lepas ni, kita kena melawat kilang perkakas mesin di Shenzen. I dah minta Chen Li uruskan pesanan klien-klien kita dan sebelum hujung minggu ni, barang-barang tu dah boleh diisi dalam kontena.” Ujar Khalida.

“Lagi?”

Khalida mengerutkan dahinya. Dia tidak mengerti maksud Faruk sebenarnya.

Faruk menarik nafas panjang. “Lepas tu ada apa-apa lagi?”

“You tentu tahu kan kita kena berlepas ke California pula lepas ni sebab you ada mesyuarat penting dengan MD Caleb Manufacturing.” Jelas Khalida satu-persatu.

Faruk terdiam. Dia terkenangkan Tia yang ditinggalkan senyap-senyap tempohari. Hatinya dicuit rasa bersalah.

Wajah muram Faruk singgah di mata Khalida. Wanita itu memandang simpati. Dia tahu apa yang sedang difikirkan lelaki itu. Tapi Faruk memang tidak ada masa yang sesuai pada waktu sekarang untuk pulang ke Malaysia. Jadual lelaki itu benar-benar padat mengalahkan jadual rutin Perdana Menteri. Minggu lepas dia pernah memperuntukkan sedikit masa untuk membolehkan lelaki itu pulang, tapi akibatnya mereka nyaris-nyaris menggagalkan satu projek bersama sebuah syarikat asing.

“You rindukan Tia?” Tanya Khalida.

Faruk tidak menjawab. Wajah anak gadisnya terbayang di ruang mata.

“Perlu I aturkan video conferencing untuk you dan Tia?” Tanya Khalida lagi. Jika itu caranya untuk dia dapat menyenangkan hati ketuanya, dia akan lakukan apa sahaja. Apa sahaja demi lelaki itu!

Faruk tersenyum kecil. Kepalanya digelengkan.

“I tak sanggup tengok muka dia dalam video conferencing tu.” Ujar Faruk. Khalida terdiam. Dia mengerti maksud Faruk.

“Boleh I tanya sesuatu?” Khalida memandang lelaki itu dalam-dalam. Ada sesuatu yang mahu ditanyakannya. Faruk berpaling. Wajahnya berkerut menanti wanita itu meneruskan kata-katanya.

“Apa tujuan you bagi tiket dan buku tu pada Tia?” Soal Khalida ingin tahu. Ketika dia diminta menguruskan hal itu, dia sudah terpinga-pinga. Tidak mengerti apa niat Faruk sebenarnya. Sedangkan selama ini Faruk yang beria-ria mahu melindungi Tia dari cerita sebenar.

Faruk tersenyum hambar. “I perlukan Tia untuk langsaikan hutang lama.” Ujar lelaki itu tenang.

Khalida tersentak. Wajah lelaki di hadapannya ditatap dengan wajah berkerut. Dia tidak mengerti maksud kata-kata Faruk.

“Ketika I tinggalkan Paris lima belas tahun lalu, tidak ada satu saat pun dalam hidup I yang lupa dengan apa yang dah mereka lakukan pada I, Khalida. Kesakitan yang mereka pendamkan dalam hati I ni akan kekal di sini sampai bila-bila pun.” Faruk mengetap bibir.

“Jadi you nak korbankan Tia? Jangan Faruk. Tia tak bersalah. Dia akan terluka kalau dia tahu cerita sebenar.” Wajah Khalida resah.

“Dia dah besar panjang. Sudah sampai masanya dia tahu cerita sebenar.”

Khalida terdiam. Sungguh dia benar-benar tidak faham dengan lelaki itu. Sesekali dia melihat sikap Faruk yang prihatin terhadap Tia. Kadangkala Faruk akan bersikap acuh tak acuh. Malah sewaktu gadis itu demam panas, Faruk sanggup membatalkan satu urusan penting dan bergegas pulang menemani Tia. Tapi sebaik melihat anak gadis itu tidak apa-apa, dia terus menaiki penerbangan ke Singapura, menguruskan hal syarikatnya. Tidakkah lelaki itu sayang pada anaknya sendiri? Kenapa Tia harus dilukakan hanya kerana dendam lama? Khalida benar-benar bingung.

“You tak sayangkan Tia ke Faruk? Dia anak you.” Keluh Khalida.

Faruk tidak menjawab. Dia membalikkan tubuhnya lalu menghadap ke arah pemandangan Kota Shenzen yang semakin maju dari jendela kaca di hadapannya.

“I bela dia supaya suatu hari nanti dia boleh dapatkan apa yang selama ini I inginkan. Itu sahaja. Ini semua hanya satu urusniaga yang tidak melibatkan apa-apa perasaan.” Ujar Faruk tegas.

“Bagaimana dengan Halijah dan anaknya? Itu juga satu urusniaga? Sebab itu you sanggup kahwin dengan perempuan yang lebih tua dari you sendiri?” Soal Khalida lagi.

Faruk berpaling. Wajah Khalida direnung dalam-dalam. Ada emosi terkandung dalam nada suara Khalida. Dia tahu Khalida marah padanya. Tapi dia benar-benar sudah tidak kisah itu semua. Bibirnya melemparkan senyuman sinis.

“Sampai bila you nak biarkan Halijah layan Tia macam orang gaji kat rumah tu? Betullah I tak faham dengan you ni Faruk.” Gumam Khalida. Melihat lelaki itu seolah tidak berminat mahu menjawab pertanyaan demi pertanyaan yang diutarakannya, Khalida merengus. Dia segera bergegas keluar dari bilik itu dengan perasaan tidak puas hati.

Faruk sekadar menjeling kelibat Khalida yang semakin menghilang. Dia tahu selama ini Khalida sering mengambil berat tentang Tia. Malah wanita itu lebih banyak menghubungi Tia dari dirinya sendiri. Dan dia juga tahu isi hati wanita itu terhadapnya, namun dia buat-buat tidak faham.

Adakalanya, ada sesetengah perkara lebih baik disimpan sahaja dari membuka pekung di dada. Meskipun Khalida orang kepercayaannya, namun dia masih belum bersedia berterus-terang dengan wanita itu kenapa dia mengahwini Halijah suatu ketika dahulu.

2 comments:

http://ishihara-kumako.blogspot.com/ said...

best2..smbg

aqilah said...

pasti tia lah yg daddy rafique cari selama ini........apapun, akka follow............

DEDALU DI HATI - STOK TERHAD!!

DEDALU DI HATI  - STOK TERHAD!!

PESANAN NOVEL DEDALU DI HATI SEDANG DIBUKA SEKARANG!!!

Harga = RM25.90
Kos Pos = RM7 (pos laju)
Total = RM32.90

Emailkan nama dan butiran diri ke arr_nita@yahoo.com.
Pesanan sehingga stok ke 3 ini kehabisan..

NANTIKAN VENOM SURIA DI PESTA BUKU ANTARABANGSA PWTC MULAI 27 APRIL, TERBITAN BUKU PRIMA (RM25.90)

NANTIKAN VENOM SURIA DI PESTA BUKU ANTARABANGSA  PWTC MULAI 27 APRIL, TERBITAN BUKU PRIMA (RM25.90)
Suria gadis ceria dan periang, namun miliki sejarah hitam dalam kelahiran. Yang membuatkan dia diburu dan dijejaki untuk meleraikan sebuah kisah sumpahan, lalu mempertemukan dia dengan dua lelaki berbeza sifat. Izwan jenis yang dingin dan panas baran. Cakapnya harus dipatuhi atau dia akan meletup! Nazrul sentiasa cool tapi punya rahsia terpendam yang menyiksa jiwa. Seorang lelaki ditakdirkan menjadi penyelamat. Seorang lagi ditakdirkan membunuhnya. Kedua-duanya muncul tak diundang, tetapi meninggalkan kesan mendalam. Lalu bermulalah permainan cat and mouse antara mereka sehingga game over!