Followers

Sunday, April 25, 2010

Dedalu Di Hati : Bab 3


DIA leka membelek-belek cenderamata yang terjual di tingkat Jusco. Beberapa bingkai gambar yang agak unik dan kreatif menarik minatnya.. Cantik!
“Dah siap memilih?” Dia menghampiri Syazana yang masih sibuk membelek itu ini. Temannya itu menyentuh pelbagai barang tapi tampaknya tiada satu pun yang lekat di jarinya.

“Mana satu ni Lia? Semuanya cantik, tak reti aku nak memilihnya.” Rungut Syazana.

“Entahlah Sya. Cenderamata macam ni takkah terlalu biasa untuk lelaki macam Doktor Aidit tu? Apakata kau hadiahkan buku untuk dia? Kita pergi MPH ajelah, nak?” Usul Aliya.

Sebelum sempat Syazana menjawab, tangannya sudah ditarik keluar dari Jusco. Mereka menuruni eskalator sebelum meredah ratusan orang ramai yang bersesak-sesak di situ.

Sebenarnya Aliya memang ingin singgah di MPH, mencari beberapa buah bahan bacaan. Itulah tempat yang paling digemarinya apabila keluar bersama teman-temannya. Kadang-kala kerana begitu asyik membaca di situ, dia sampai terlupa masa sudah berjam-jam berlalu.

Sebuah novel karya Danielle Steele menarik perhatiannya. Dia seronok membelek kulit buku berwarna keemasan yang mencecah ratusan mukasurat itu. Kadang-kala dia juga suka membaca buku-buku Stephen King yang lebih bercorak misteri dan seram.

Penat berada di rak novel, dia beralih pula ke rak akademik. Sebuah buku ekonomi ditarik keluar dari rak. Dia membelek-belek isi kandungannya dengan penuh minat, apatah lagi buku itu berkaitan dengan jurusannya.

“Lia, buku apa aku nak beri dia ni? Kau kan tahu, aku bukannya pandai sangat nak pilih hadiah macam ni.” Syazana di sebelahnya mengeluh.

“Kau carilah buku yang bercorak akademik sesuai dengan bidang kerja dia.”

“Yalah, tapi buku apa? Sure ke nak bagi buku ni?” Syazana kelihatan ragu-ragu.

“Mestilah sure. Kau tak pernah dengar ke ada orang cakap. Jenis hadiah yang dipilih akan melambangkan pemikiran seseorang itu. Kalau kau hadiahkan buku pada orang, itu bermakna kau bersifat serius, tak suka main-main, tegas dan berkeyakinan.” Ujar Aliya.

“Betul tu, saya setuju.” Celah satu suara tak dikenali.

Aliya tergaman. Dia memandang Syazana. Gadis itu sudah tersengih-sengih sambil menuding-nuding jarinya ke suatu arah. Aliya lekas-lekas berpaling. Seorang lelaki berpakaian t-shirt, jeans denim serta bercermin mata hitam berdiri di belakangnya. Entah sejak bila lelaki itu mencuri dengar perbualannya.

“Nak hadiahkan buku pada siapa?” Lelaki itu tersenyum memandangnya, Aliya pura-pura tidak nampak. Dia segera beralih ke rak lain, pura-pura membaca buku. Padahal dalam hatinya, tuhan saja yang tahu betapa tebalnya mukanya ketika itu. Namun telinganya sempat menangkap pebualan lelaki itu dengan Syazana.

“Err kawan.” Syazana teragak-agak menjawab.

“Student ke?”

“Macamana encik tau?”

Lelaki itu memandang Syazana dari atas ke bawah. Syazana mula serba tidak kenal. Dia memandang sesaat dua ke arah Aliya yang sedang memerhatikan tingkah laku lelaki itu dengan penuh minat.

“Kasut sporty, pakai beg sandang yang penuh dengan sticker kartun. Pegang pulak plastik berisi fail dan A4 satu rim. Lagipun kawan awak tu sedang memegang buku ‘Micro Economy’ yang belum tentu akan dibelinya. Tentunya pelajar Fakulti Ekonomi kan?”

Aliya yang menyedari dirinya diperhatikan segera meletak kembali buku yang dipegangnya. Syazana tertawa mendengarnya. “Wow, terrorlah encik ni.”

“Saya pun pernah bergelar pelajar. Dan jangan lupa, hanya jauhari yang mengenal manikam.” Lelaki itu tersengih.

“Sebenarnya kami nak cari hadiah untuk pensyarah kami yang akan berkursus ke luar negara minggu depan. Saya Syazana, dan itu kawan saya Aliya.” Syazana menghulurkan tangannya.

La tak pasal-pasal pulak si Syazana ni jadi ramah tamah hari ni, apahal? Aliya merungut dalam hati. Huluran perkenalan Syazana bersambut baik. Apabila gilirannya tiba, Aliya buat-buat tidak kisah sehinggalah dirinya disiku oleh temannya itu.

“Lia, salamlah….rugi tau.” Bisik Syazana sambil mengenyitkan matanya. Aliya mendengus. Hendak tak hendak dia menghulurkan tangannya. Agak lama tangannya berada di dalam genggaman lelaki itu. Apabila dia menyentap tangannya, lelaki itu tidak dapat menahan diri dari tersenyum.

“Maaf, wajah cik Aliya ni mengingatkan saya pada seseorang. Sudah agak lama saya tak jumpa dia.” Ujar lelaki itu.

Yalah tu, rungut Aliya dalam hati. Jangan-jangan dia ni nak kata yang muka aku ni sebijik macam girlfriend dia yang dah mati kena langgar lori kut. Helah lapuk!

“So, nice to meet you two here. Emm cik Syazana, seseorang pernah berkata, jenis hadiah yang dipilih akan melambangkan pemikiran seseorang. Rasanya hadiah buku lebih tepat untuk seorang pensyarah.. Saya minat diri dulu, bye!” Ucap lelaki itu sebelum berlalu pergi.

“Kau dengar tu Lia? Hui macam nak luruh jantung aku ni. Alamak handsomenya mamat tu. Kau ni apasal tadi, macam tak suka dia je?”

“Kau ni cepat sangat percaya pada orang tu. Entah-entah dia tu orang jahat, manalah kita tau.” rungut Aliya. Sedikit tidak senang dengan sikap Syazana yang terlalu peramah.

“Hello cik Aliya, orang jahat selalu muka buruk tau. Kau nampak tak dia senyum kat aku tadi? Sweet!” Syazana tak sudah-sudah melayan angaunya. Aliya membeliakkan matanya sebaik mendengar kata-kata Syazana.

“Kau ni kan, nama saja pelajar universiti tapi bengap. Orang jahat mana kira muka buruk ke muka cantik ke. Dahlah, kau pilih hadiah tu cepat, aku nak pergi Watson kejap. Aku tunggu kau kat situ.” Dia segera berlalu.

Naik pening kepalanya dengan telatah Syazana. Kalau dilayan makin menjadi-jadi gadis itu. Nanti hadiah ke mana, apa pun ke mana. Sudahnya dia yang terpaksa menunggu berjam-jam lamanya.

Selepas setengah jam membelek-belek barangan penjagaan diri di Watson, Aliya sudah mula naik bosan. Dia keluar dari Watson, lalu duduk di bangku hadapan Watson yang kebetulan dikosongkan oleh sepasang kekasih yang baru berlalu. Dia memandang monitor telefon bimbitnya. Mana minah ni? Takkan tak jumpa-jumpa lagi apa yang dicari?

Macam tau-tau sahaja, tiba-tiba telefonnya berdering. Aliya pantas menekan butang hijau sebelum mendengar.

“Hello. Heh, kau kat mana ni? Dah dekat sejam aku tunggu kau.” Rungut Aliya tanpa memberi kesempatan Syazana membuka mulut.

“Ala sorrylah Lia. Kejap...saja lagi. Kau pergi makan dulu, nanti mesej kat aku kau ada kat mana. Aku jumpa kau kat situ.”

Klik! Panggilan dimatikan. Aliya merenung telefonnya sambil mendengus. Terpaksalah dia bergerak dulu. Dari menunggu Syazana seperti menunggu buah yang tak gugur-gugur, baik dia pergi mengisi perut. Lagipun perutnya pun dah berkeroncong minta diisi. Sedari tadi dia belum sempat menjamah apa-apa makanan, hanya sempat bersarapan dengan dua keping roti sahaja. Lainlah Syazana yang awal-awal lagi sudah melantak sepinggan mee goreng tengahari tadi.

Nak makan kat mana ye? Kalau kat food court, ramai sangat orang. KFC? Mc Donald? Pizza Hut? Semuanya pun ramai orang petang-petang begini. Setelah berfikir sejenak, Aliya mengambil keputusan makan di Ayamas sahaja.

Dia memesan satu set nasi ayam special dengan ayam blackpepper, sebelum mengambil tempat di suatu sudut. Ketika hendak menyuap makanan, matanya tiba-tiba terpandang kehadiran satu pasangan yang sedang berbual-bual tidak jauh dari mejanya. Matanya segera mengecil, cuba mengamati dengan teliti.

Alamak! Itu lelaki yang sama yang dia dan Syazana jumpa di MPH Bookstore tadi. Tadi dia tidak berapa cam, kerana lelaki itu tidak lagi memakai cermin mata hitamnya. Namun dalam diam-diam Aliya akui, lelaki itu memang kacak. Siapa agaknya perempuan yang kat sebelah dia tu? Girlfriend, tunang atau isteri? Dia tidak nampak jelas wajah gadis di samping lelaki itu kerana gadis itu duduk membelakanginya.

Tiba-tiba lelaki itu menoleh ke arahnya. Dia terkesima. Tidak menyangka yang lelaki itu akan memandangnya. Gelabahnya dia tuhan saja yang tahu! Minta-minta lelaki itu tidak cam siapa dia, doanya di dalam hati. Mata lelaki itu turut mengecil memerhatikannya. Tak lama kemudian, lelaki itu tersenyum lebar sambil melambai-lambai ke arahnya. Ternyata ingatan lelaki itu benar-benar baik.

Aliya tergaman. Wah! Dah ada awek tapi masih nak menggatal dengan perempuan lain lagi. Aliya mencebikkan bibirnya tanpa sedar. Lelaki itu ketawa besar sebaik menatap mulutnya yang mengherot. Gelagat lelaki itu membuatkan teman wanitanya tiba-tiba berpaling.

Aliya terpegun. Bulat matanya menatap teman wanita lelaki itu. Cantiknya dia! Mirip bintang filem lagaknya. Gadis itu hanya tersenyum memandang ke arahnya. Di wajah itu, langsung tidak terpamer perasaan cemburu atau marah. Hmm.. sporting juga teman wanitanya tu, hati Aliya berbisik. Namun melihat pasangan itu berganding di meja makan, entah kenapa ada satu perasaan aneh mendesak di kalbunya. Gadis yang cantik untuk lelaki yang tampan! Aduh! Betapa beruntungnya mereka! Kenapa pulak dengan aku ni? Cemburu ke?

No comments:

DEDALU DI HATI - STOK TERHAD!!

DEDALU DI HATI  - STOK TERHAD!!

PESANAN NOVEL DEDALU DI HATI SEDANG DIBUKA SEKARANG!!!

Harga = RM25.90
Kos Pos = RM7 (pos laju)
Total = RM32.90

Emailkan nama dan butiran diri ke arr_nita@yahoo.com.
Pesanan sehingga stok ke 3 ini kehabisan..

NANTIKAN VENOM SURIA DI PESTA BUKU ANTARABANGSA PWTC MULAI 27 APRIL, TERBITAN BUKU PRIMA (RM25.90)

NANTIKAN VENOM SURIA DI PESTA BUKU ANTARABANGSA  PWTC MULAI 27 APRIL, TERBITAN BUKU PRIMA (RM25.90)
Suria gadis ceria dan periang, namun miliki sejarah hitam dalam kelahiran. Yang membuatkan dia diburu dan dijejaki untuk meleraikan sebuah kisah sumpahan, lalu mempertemukan dia dengan dua lelaki berbeza sifat. Izwan jenis yang dingin dan panas baran. Cakapnya harus dipatuhi atau dia akan meletup! Nazrul sentiasa cool tapi punya rahsia terpendam yang menyiksa jiwa. Seorang lelaki ditakdirkan menjadi penyelamat. Seorang lagi ditakdirkan membunuhnya. Kedua-duanya muncul tak diundang, tetapi meninggalkan kesan mendalam. Lalu bermulalah permainan cat and mouse antara mereka sehingga game over!