Followers

Thursday, November 14, 2013

Mencari Kiblat Cinta : Bab 30


            “NIRA dari mana ni?” Tanya Kamila ketika anak gadis itu muncul di hadapan taska. Wajah Danira yang pucat lesi menggamit sepenuh perhatiannya pada anak gadis itu.

            Nira ke hospital tadi Kak Mila. Nira pergi melawat Joshua, peguam Nira.” Ujarnya berterus terang. Tidak ada gunanya dia menyembunyikan perkara sebenar pada wanita itu.

            “Kenapa dengan peguam Nira?” Soal Kamila ingin tahu.

            Danira tidak terus menjawab. Dia berat hati mahu memberitahu wanita itu perihal Joshua yang terlantar di hospital. Apatah lagi apabila mengenangkan kata-kata Evelyn yang mengaitkan kejadian yang menimpa Joshua itu dengannya. Puas sudah dia meminta Joshua menjelaskannya. Namun lelaki itu langsung tidak mahu menyebut apa-apa.

            Dia kemalangan kak, tapi dia tak apa-apa.” Ujar Danira seraya tersenyum hambar. Dia serba salah kerana terpaksa berbohong dengan Kamila yang baik hati.

            Nira rapat juga ya dengan peguam Nira tu.” Kamila cuba mencungkil cerita.

            Rapat gitu-gitu aje kak. Lagipun dia kan peguam Nira. Kami dah lama kenal.” Balasnya.

Kamila terdiam. Betul juga! Peguam mana yang tidak rapat dengan anak guamannya? Lagi-lagi kes Danira berlanjutan agak lama.

            “Oh ya, Nira dah makan? Kalau belum, kakak nak ajak Nira ke rumah. Kakak ada masak bubur pulut hitam kalau Nira nak makan. Sebenarnya Zulbhan yang nak makan, tapi terlanjur kakak masak, sengaja kakak masak lebih.” Kamila mengubah tajuk perbualan. Dia tidak mahu wajah Danira terus diliputi mendung.

            Hmmm sedap bubur pulut hitam tu, tapi Nira dah kenyanglah kak. Badan pun letih sangat. Terima kasih ajelah kak. Lain kali Nira rasa bubur yang kakak masak tu.” Danira menolak.

            “Hmm kalau macam tu, esok kakak bawakan bubur tu ke mari. Tak apalah, Nira pergilah berehat. Kakak pun dah nak balik ni. Anak sulung kakak baru balik dari asrama petang tadi.” Ujar Kamila seraya mula menyusun langkah. Namun belum sempat sampai ke muka pintu, Kamila menoleh semula.

 Nira, Filman ada telefon Nira tak?” Soal Kamila tiba-tiba.

Danira tercengang. Kenapa pulak lelaki itu mahu menelefonnya? Untuk apa? Namun tak terluah pertanyaan itu dari mulutnya.

            Filman ada call kakak tadi. Katanya tak ada orang angkat call dia di rumah ni. Itu sebab kakak datang ke mari. Ingatkan Nira dah balik.” Jelas Kamila.

            “Kenapa kak?” Dahi Danira berkerut.

            “Filman kata harijadi Melly dua hari lagi. Diaorang nak buat sambutan hari jadi kat taska ni. Dia nak minta kita semua tolong uruskan.” Beritahu Kamila.

            Danira mengangguk. Tidak ada masalah kalau harijadi anak kecil itu mahu disambut di sini. Dia sendiri bukannya ada banyak kerja sangat di taska itu.

            “Filman kena pergi oustation esok, jadi dia tak sempat nak siapkan apa-apa. Dia minta Nira tolong dia siapkan apa-apa yang patut. Semua perbelanjaan dia akan tanggung.” Jelas Kamila.

            Habis dia balik tak harijadi anak dia?” Tanya Danira.

            Kamila sekadar menjongketkan bahu. Dia sendiri tidak tahu.

Danira mengeluh kecil. “Tak apalah kak, nanti Nira tolong apa-apa yang patut. Lagipun majlis harijadi Melly patut kita raikan dengan anak-anak yang lain. Nanti Nira buatkan kek untuk Melly.” Usulnya lagi.

            Eh tak payahlah, Filman suruh kita beli saja atau tempah di Secret Recipe. Dia tak mahu menyusahkan kita. Dia cuma mahu kita tolong aturkan majlis tu. Itu aje!” Tingkah Kamila pantas.

Danira terdiam. Orang zaman sekarang semuanya nak senang. Kek yang hanya makan masa tak sampai sejam membuatnya tu pun masih lagi nak membeli yang dijual di kedai. Tapi mungkin yang dibuat di kedai lebih sedap dan menggunakan bahan-bahan yang lebih mahal! Danira hanya mampu tersenyum.

“Hah yang senyum-senyum ni kenapa pulak? Ingatkan Filmanlah tu.” Usik  Kamila tak disangka-sangka. Danira terkedu. Terpisat-pisat dia dibuatnya memandang Kamila yang tersengih-sengih.

Kakak gurau ajelah Nira, janganlah buat muka ‘blur’ macam tu.” Usik Kamila lalu ketawa besar. Lucu melihat wajah anak gadis itu merah padam.

Danira diam membisu. Hatinya entah kenapa gementar mendengar kata-kata Kamila kali ini. Kenapa Kak Mila sampai boleh menyangka dia teringatkan Filman? Malunya! Tentu ini ada kaitan dengan pelawaan Filman tempohari! Sesiapa pun pasti akan merasa pelik melihat dirinya yang tidak ada kena mengena, dibawa keluar berkelah tempohari.

Dahlah, kakak nak balik dulu. Jangan lupa kunci pintu ni baik-baik tahu. Kalau ada apa-apa call kakak.” Pesan Kamila sebelum menghilang.

Danira menghembus nafas gusar. Aduh! Segannya dia mahu berbalas pandang dengan Kamila kali ini. Tapi yang aku diam sahaja kenapa? Kenapa tidak dinafikan sahaja apa yang berputik di fikiran wanita itu?

Dia melangkah longlai, menuju ke arah anak tangga yang mengunjur ke atas. Niat hatinya ingin tidur sahaja. Hari ni dia rasa sangat terbeban dengan pelbagai perkara yang tak diundang. Dia benar-benar letih memikirkan apa yang berlaku di hospital tadi. Namun belum sempat kakinya mahu memijak anak tangga pertama, telinganya terlebih dahulu mendengar bunyi deringan telefon. Pantas kakinya beralih arah, lalu beredar ke arah telefon yang terletak di penjuru sudut.

            Sebaik dia memasang telinga di talian, wajahnya segera berubah riang. Pak Maidin! Orang tua itu tidak berbual panjang, hanya meminta alamat taska Sissy Kindergarden.

            Pak Maidin nak hantar barang-barang Nira. Lagipun barang-barang tu agak berat. Kebetulan malam ini,  anak Pak Maidin ada di rumah. Nanti Pak Maidin datang ke situ hantar barang-barang tu.”

            Tak menyusahkan Pak Maidin ke?’ Entah kenapa dia serba-salah.

            “Tak susah mana pun. Kamu belum tidur kan? Kejap lagi Pak Maidin sampai.” Ujar orang tua itu sebelum meletakkan gagang telefon.

            Danira menarik nafas panjang. Walaupun baru sebentar tadi badannya keletihan, namun sebaik dia mendengar Pak Maidin mahu membawa barang-barang miliknya yang ditinggalkannya di rumah lama, tubuhnya yang letih terus segar bugar. Dia sudah tidak sabar menanti kedatangan Pak Maidin.

*  *  *  *

            Selepas balik dari makan malam bersama temannya di sebuah restoran, entah kenapa dia memandu ke situ. Keretanya diparkir di seberang jalan, berhadapan dengan taska itu. Lima belas minit lamanya dia duduk diam di dalam kereta tanpa berbuat apa-apa pun. Hanya matanya sahaja yang ralit menyapu bersih ke arah rumah dua tingkat yang dipenuhi dengan karikatur kartun Disney pelbagai watak.

            Sejak kali terakhir dia melihat Danira tempohari, entah kenapa dia sering terkenangkan gadis itu. Aneh! Mereka baru bertemu beberapa kali namun dia senang berbicara dengan gadis itu. Malah hatinya seperti tidak keruan setiap kali dia berhadapan dengan gadis itu.

            Kadang-kala bila difikirkan kembali, dia hampir tidak percaya yang dirinya tanpa disedari sudah membuka rahsia hatinya di hadapan Danira. Namun apa yang dituturkannya tempohari, datang dari hatinya yang ikhlas. Selain dari Wirda yang pernah dicintainya, Danira adalah gadis kedua yang membuka pintu hatinya untuk kembali merasakan sesuatu yang sudah lama tidak dirasakan. Dan perasaan yang tumbuh di hatinya untuk gadis itu juga muncul mendadak.

            Beberapa kali dia mencari akal mahu bertemu gadis itu. Salah satunya ialah dengan meminta Danira menguruskan parti harijadi Melia di taska itu. Tapi dia gagal bercakap sendiri dengan gadis itu, sebaliknya Kamila yang menyambut panggilan telefonnya siang tadi. Memang dia berasa hampa! Lain yang diharapkan, lain pula yang berlaku. Itu yang menyebabkan dia tidak puas hati lalu mengambil keputusan memandu ke taska itu.

            Jarum jam di tangannya sudah menunjukkan pukul 9 malam. Masih awal sebenarnya, namun dia tidak berniat mahu mengganggu Danira. Gadis itu pasti akan mengganggap dia gila atau maniac jika menyedari dia sedang berada di situ pada ketika ini. Lagipun tak mungkin Danira akan keluar pada waktu-waktu begini. Esok pagi dia harus menaiki penerbangan ke Kuching pula. Dia mula berkira-kira mahu meninggalkan tempat itu sebelum kehadirannya disedari. Namun belum sempat dia mahu menghidupkan enjin kereta, sebuah van buruk tiba-tiba berhenti di hadapan taska itu. Kelibat Danira muncul dari dalam rumah.

            Filman jadi tertarik melihat Danira bercakap-cakap dengan seorang lelaki tua yang keluar dari perut van. Seorang lelaki lain yang lebih muda dilihat mengeluarkan sesuatu dari perut van. Beberapa buah kotak sederhana besar kini diangkut masuk ke dalam rumah.

            Siapa kedua-dua lelaki itu? Filman mengerutkan dahinya. Perasaan hairan mula berputik. Keluarga Danirakah? Tiba-tiba tumpuan Filman beralih arah. Dia terpandang sebuah kenderaan yang diparkir tidak jauh dari taska itu. Kereta berwarna hitam bercermin gelap itu sebenarnya berada di situ sejak dia sampai lagi. Tapi dia tidak ambil pusing tentang kereta itu apabila dia menyangka tidak ada sesiapapun di dalam kereta tersebut. Sehinggalah dia terpandang cermin kenderaan itu diturunkan lalu menyerlahkan seraut wajah. Apa yang menjadi perhatiannya ialah sebuah kamera beresolusi tinggi sedang dihala ke arah Danira.

            Filman kebingungan. Apakah dia tersilap pandang atau memang benar orang di dalam kereta itu sedang mengintip gerak-geri Danira? Tapi kenapa? Apa tujuannya? Dan siapa orang itu? Fikiran Filman dipenuhi tanda tanya.

Tiba-tiba dia terkedu. Lelaki yang sedang memegang kamera itu sedang memandang ke arah kenderaannya. Filman menarik nafas panjang. Dengan wajah serius dia keluar dari perut kereta. Lebih baik dia berhadapan sendiri dengan lelaki yang tidak dikenali itu. Melihat kehadirannya, lelaki itu segera menaikkan cermin keretanya lalu bergegas meninggalkan tempat itu.

            Filman menarik nafas panjang. Timbul keanehan di fikirannya tentang apa yang baru berlaku. Dia menoleh ke arah kelibat Danira yang masih belum menyedari kehadirannya di situ. Entah kenapa ada sesuatu yang tidak enak menjengah fikirannya saat ini. Mungkinkah gadis itu dalam bahaya?

No comments:

DEDALU DI HATI - STOK TERHAD!!

DEDALU DI HATI  - STOK TERHAD!!

PESANAN NOVEL DEDALU DI HATI SEDANG DIBUKA SEKARANG!!!

Harga = RM25.90
Kos Pos = RM7 (pos laju)
Total = RM32.90

Emailkan nama dan butiran diri ke arr_nita@yahoo.com.
Pesanan sehingga stok ke 3 ini kehabisan..

NANTIKAN VENOM SURIA DI PESTA BUKU ANTARABANGSA PWTC MULAI 27 APRIL, TERBITAN BUKU PRIMA (RM25.90)

NANTIKAN VENOM SURIA DI PESTA BUKU ANTARABANGSA  PWTC MULAI 27 APRIL, TERBITAN BUKU PRIMA (RM25.90)
Suria gadis ceria dan periang, namun miliki sejarah hitam dalam kelahiran. Yang membuatkan dia diburu dan dijejaki untuk meleraikan sebuah kisah sumpahan, lalu mempertemukan dia dengan dua lelaki berbeza sifat. Izwan jenis yang dingin dan panas baran. Cakapnya harus dipatuhi atau dia akan meletup! Nazrul sentiasa cool tapi punya rahsia terpendam yang menyiksa jiwa. Seorang lelaki ditakdirkan menjadi penyelamat. Seorang lagi ditakdirkan membunuhnya. Kedua-duanya muncul tak diundang, tetapi meninggalkan kesan mendalam. Lalu bermulalah permainan cat and mouse antara mereka sehingga game over!