Followers

Thursday, April 10, 2014

Lelaki Itu Untukku : Bab 16


BADANNYA bergerak-gerak sedikit, sebelum dia membuka matanya. Cahaya yang menerjah masuk melalui celah-celah jendela yang renggang membuatkan dia menghalang mukanya dari disinari cahaya matahari yang menyilaukan. Jari-jemarinya tiba-tiba tersentuh kain basah di atas kepalanya. Orked mengerutkan dahinya.

            Dia cuba membuang kain tersebut dari atas dahi, namun suatu suara melarang. Orked segera menoleh. Mak Tun tersenyum memandangnya.

            “Orked dah sedar pun. Baguslah, risau Mak Tun tengok Orked demam sepanjang malam. Ingat pagi ni kalau demam Orked tak kebah-kebah juga, kami nak bawa Orked ke klinik. Alhamdullillah panas tubuh tu dah surut.” Ujar wanita itu.

            Orked tidak membalas. Dia masih kaget melihat Mak Tun berada di situ. Matanya membelingas ke kanan dan ke kiri. Entah kenapa susun atur di bilik itu kelihatan berbeza. Dia mengalihkan matanya ke arah bilik tersebut. Memang tidak sama dengan biliknya sendiri. Aku kat mana?

            “Orked sekarang kat bilik Idlan. Idlan yang angkat Orked ke sini.” Ujar Mak Tun bagaikan tahu apa yang sedang bermain di fikiran anak gadis itu.

            Mendengar nama Idlan disebut, Orked cepat-cepat bangun. Perasaan terluka kerana peristiwa semalam masih menyengat di dalam fikiran. Dia menolak selimut yang membaluti tubuhnya lalu cuba bangun dari katil. Namun tubuhnya terlalu lemah untuk bergerak. Mak Tun yang melihat gerak-geri gadis itu terkejut sedikit.

            Orked nak ke mana ni? Tidur ajelah kat sini, tak apa. Idlan dah tak marah lagi. Mak Tun pun tak marahkan Orked. Kami semua ambil berat fasal Orked.” Mak Tun cuba berlembut. Dia tahu dalam keadaan sekarang, sikap gadis itu sukar dijangka. Separuh hatinya juga bimbang kalau-kalau gadis itu bertindak  melarikan diri dari rumah.

            Orked tidak membantah apabila orang tua itu membetulkan selimut yang berselerak tadi. Dia memandang Mak Tun dengan ekor matanya. Bibirnya digigit perlahan. Ada perasaan bersalah menyerangnya kali ini. Dia tahu dia bersalah kerana menengking Mak Tun sehingga wanita itu mengalirkan airmata. Tapi semua itu berlaku tanpa direncanakan. Kotak seramik hadiah ibunya terlalu bererti dari apa-apa pun jua barang-barang lain di dunia ini. Kerana kotak itu, dia hilang pertimbangan diri. Tapi itu tidak memberi hak pada Idlan untuk merosakkan kotak kesayangannya.

            Orked menekup mukanya. Perasaan sedih dan pilu kini menguasai diri. Sepanjang malam dia menangis di bilik stor kerana terkenangkan kotak kepunyaannya yang dilempar Idlan ke arah dinding sehingga pecah. Hatinya remuk rendam dengan perbuatan Idlan kali ini.

            Mak Tun mengeluh melihat esakan gadis itu yang jelas kedengaran. Meskipun pada zahirnya Orked kelihatan keras hati dan suka melawan, tapi Mak Tun tahu jauh di sudut hati, gadis itu sebenarnya lembut hati.   

Perlahan-lahan Mak Tun duduk di birai katil seraya menepuk bahu si gadis. Cuba menenangkan perasaan Orked yang ternyata masih merajuk hati.

            “Jangan nangis Orked, Mak Tun tak marahkan Orked. Abang Idlan kamu pun dah sejuk hatinya. Nanti jumpa dia dan minta maaf pada dia. Insya ALLAH tak ada apa-apa lah tu.” Pujuk Mak Tun.

            Orked tidak menjawab. Hanya tubuhnya sahaja yang tersengguk-sengguk menahan tangis.

Mak Tun menarik nafas panjang. Apa ikhtiarnya mahu memujuk anak gadis itu? Mungkinkah Orked masih bersedih dengan tindakan Idlan semalam? Tiba-tiba Mak Tun teringatkan sesuatu. Cepat-cepat dia berjalan ke arah meja tulis tidak jauh dari situ. Sebuah bungkusan sederhana besar diambil lalu dibawa ke arah katil.

            “Orked, Mak Tun nak bagi sesuatu kat Orked. Ini Idlan yang tinggalkan untuk Orked pagi tadi. Dia minta Mak Tun serahkan pada Orked.” Ujar Mak Tun.

            Orked membuang tangan dari mukanya. Dia memandang bungkusan di tangan Mak Tun berkali-kali. Sebaik bungkusan itu bertukar tangan, dahinya berkerut seribu. Meskipun dia tidak tahu apakah isi bungkusan tersebut, tapi dia segera merungkai bungkusan tersebut agak berhati-hati. Sesekali dia mengerling ke arah Mak Tun yang hanya tersenyum memandangnya.

            Sebaik matanya menjamah isi bungkusan tersebut, wajah Orked segera berubah. Nafasnya berderu kencang sebaik dia melihat kotak tersebut. Macamana kotak yang sudah pecah berderai dilempar Idlan kini nampak elok pula?

            “Sepanjang malam abang Idlan kamu berjaga sebab nak baiki kotak ni.  Habis kotak peralatan Pak Man kamu diselongkarnya.” Jelas Mak Tun berterus-terang. Melihat Orked diam sahaja, Mak Tun mengeluh sedikit. Perlahan-lahan dia mengatur langkah mahu beredar dari situ.

            Namun belum sempat dia menyusun langkahnya, namanya diseru. Mak Tun berpaling.

            “Maaf Mak Tun. Orked..Orked tak sengaja.” Bisik anak gadis itu seraya tunduk.

Mak Tun terpaku mendengar kata-kata maaf itu terlontar dari mulut anak gadis yang kelihatan keras hati itu. Dia terharu kali ini. Tak sangka, dalam kekasaran perilaku Orked, ada kekesalan yang masih bertapak di hati gadis itu. Itu petanda anak gadis itu masih punya harapan untuk diperbetulkan jalan hidupnya, bisik Mak Tun amat berharap.

            Bukan Mak Tun orangnya yang patut Orked minta maaf. Orked patut minta maaf dengan Idlan. Dia dah sepanjang malam bekerja keras membaiki kotak Orked tu.” Mak Tun tersenyum.

            “Dia kat mana?” Tanya Orked ingin tahu.

            “Ada kat bilik tetamu, masih tidur agaknya.” Ujar Mak Tun seraya berlalu pergi meninggalkan Orked sendirian.

            Usai pemergian wanita itu, mata Orked beralih arah. Dia merenung lama ke arah kotak seramik berwarna pink yang mempunyai kesan-kesan cantuman. Meskipun rupanya sudah cacat, namun hatinya menjadi tidak keruan apabila mendengar kata-kata Mak Tun tentang Idlan yang membaiki kotaknya. Kenapa? Kenapa lelaki itu mesti melakukannya? Bukankah Idlan yang merosakkan kotak peninggalan arwah ibunya? Jadi untuk apa lelaki itu bermurah hati sudi membaikinya semula?

            Melihat cantuman-cantuman seramik itu, hatinya sayu. Kotak itu tidak serupa lagi dengan yang dahulu. Serpihan-serpihan kotak itu meskipun sudah tercantum namun masih menjadi serpihan-serpihan di hatinya. Kali ini dia benar-benar terluka dengan apa yang sudah berlaku. Selama ini Idlan tidak pernah meninggikan suara terhadapnya walau pelbagai kerenah dilakukannya. Tapi semalam, di khalayak ramai dia dimarahi seperti dia tidak punya harga diri. Hari ini lelaki itu membaiki pula kotak kesayangannya. Sungguh dia benar-benar tidak faham langsung dengan Idlan Riyaz !

*  *  *  *

DAUN pintu yang sedikit renggang di hadapannya diintai dari luar. Namun dia gagal melihat apa-apa pun di dalam. Hasrat hati mahu menjenguk Idlan berganti dengan keraguan. Hampir setengah jam dia terkemut-kemut di hadapan bilik itu, serba-salah apa yang harus dilakukannya.

            Sebenarnya untuk apa aku ke sini? Untuk meminta maaf? Tapi salah dia pada aku lagi teruk berbanding dengan apa yang telah aku lakukan, bisik Orked tidak keruan.

            Tiba-tiba telinganya mendengar suatu bunyi. Wajahnya segera berubah. Bunyi tapak kaki itu semakin jelas kedengaran menandakan kehadiran orang tersebut semakin hampir. Dia segera kalut mencari-cari tempat berlindung. Sebolehnya dia tidak mahu kehadirannya di hadapan bilik itu menimbulkan syak wasangka dan keraguan orang-orang di rumah itu. Nanti apa pulak kata mereka jika melihatnya terhendap-hendap di hadapan bilik tetamu yang ditempati Idlan ketika ini.

            Malangnya dia terperosok dalam masalah. Ternyata tidak ada tempat berlindung di situ kecuali pintu bilik yang sedikit renggang. Orked mengetap bibirnya berkali-kali. Telinganya dapat mendengar dengan jelas suara Anna dan Ira, dua pelajar universiti yang sedang menetap di rumah itu. Kalau Ira dia mungkin tidak ambil kisah, kerana gadis itu bersikap ramah tamah dengannya. Tapi kalau dengan Anna yang bermulut lancang itu, baik dia segera mengelak dari masalah. Lagipun dia tidak nampak kelibat Idlan di bilik itu. Idlan mungkin sudah keluar berjoging seperti kebiasaannya. Mungkin tidak apa-apa kalau dia masuk dan menyembunyikan dirinya buat seketika. Begitulah rentak fikiran Orked ketika itu.

            Tanpa berlengah dia segera meluru ke arah bilik di hadapannya lalu dikatup rapat-rapat. Telinganya melekap di permukaan pintu, cuba mendengar rentak langkah dua anak gadis yang diyakininya sedang menuju ke arah bilik yang menjadi tempat persembunyiannya.

            Dugaannya ternyata benar. Sebentar kemudian dia dapat mendengar suara Anna terjerit-jerit memanggil nama Idlan dari luar. Tak cukup dengan itu, pintu bilik itu digoncang-goncangkan gadis itu dari luar. Orked mengeluh panjang. Mujurlah dia sempat mengunci pintu bilik itu, jika tidak anak gadis yang sedang kemaruk dengan Idlan itu mungkin akan menerpa masuk.

            Tiba-tiba mulutnya mencebik. Hatinya entah kenapa meluat dengan Anna. Dia tahu anak gadis itu tidak menyukainya. Dia juga begitu. Sejak apa yang berlaku malam semalam, dia sudah nekad mahu mengenakan gadis itu jika Anna dengan sengaja mencari fasal dengannya lagi. Kau belum kenal aku siapa! Cebik Orked sakit hati.

            “Orked buat apa ni?” Muncul suatu suara.

            Orked tersentak. Wajahnya segera berubah. Suara yang muncul dari arah belakangnya membuatkan dia gementar. Idlan? Tapi bukankah bilik itu kosong sahaja tadi?

            Perlahan-lahan dia membalikkan tubuhnya. Melihat seraut wajah sedang merenungnya dari pintu bilik air yang sedang terbuka luas, dia tiba-tiba diterpa perasaan gugup. Rupa-rupanya lelaki itu berada di dalam bilik air. Macamana dia boleh tak perasan bunyi air di dalam tandas itu sebentar tadi? Alamak!

            Suara Anna terus bergema. Gadis itu seperti tidak tahu putus asa memanggil nama Idlan dari luar. Sesekali suara Ira kedengaran, memujuk Anna agar beredar dari situ.

            Di luar bilik itu heboh dengan kekecohan Anna. Tapi di dalam bilik itu berbeza pula. Keadaan di bilik itu sunyi sepi. Orked terpaku di hadapan Idlan yang masih menatapnya dengan wajah berkerut.

            “Kenapa Orked ada dalam bilik ni?” Idlan mengulang pertanyaan. Lelaki itu hanya bertuala dengan rambut separuh basah.

Orked semakin gugup. Seperti ada yang tak kena dirasakannya saat itu. Malah tiba-tiba sahaja wajahnya merah padam seperti udang kena bakar. Cepat-cepat dia memusingkan tubuhnya menghadap ke arah pintu.

            Melihat reaksi Orked, Idlan semakin bingung. Namun sebaik dia menyedari keadaannya yang tak berbaju, dia cepat-cepat mencapai bajunya lalu disarung. Bunyi teriakan Anna di luar biliknya hanya dibuat endah tak endah. Saat ini dia lebih berminat ingin tahu apa yang Orked buat dalam biliknya.

            “Pusing sini Orked.” Suruh Idlan lembut.

            Orked tidak berganjak langsung.

            Idlan mengeluh panjang. Dia segera menghampiri anak gadis itu lalu menarik bahu Orked menghadap ke arahnya. Wajah anak gadis itu ditatap. Tapi wajah di hadapannya bukan wajah sombong dan keras kepala yang dilihatnya beberapa hari yang lalu. Sebaliknya wajah di hadapannya kini kelihatan gelisah dan cemas. Malah tatapan mata Orked seperti anak-anak gadis lain yang dikenalinya. Malu-malu!

            “Orked datang sini nak cari abang ke?” Soal Idlan lembut.

            Orked memalingkan wajahnya. “Tak, aku tak sengaja masuk sini.”

            “Tak sengaja?” Idlan mengerutkan dahinya. Terasa kelakar mendengar alasan Orked. Biar betul!

            “Setahu abang, bilik tetamu ni jauh dari bilik-bilik lain. Begitu juga dengan bilik Orked sendiri. Sekalipun Orked mahu mencari Mak Tun atau mahu ke dapur, mustahil Orked akan lalu di sini.” Hujah Idlan tersenyum.

            Orked berpaling. Hatinya berang mendengar kata-kata Idlan. Namun sebaik anak matanya bersapa dengan wajah Idlan, seluruh anggota tubuhnya tiba-tiba jadi lemah tak berdaya. Suaranya juga seolah-olah terkunci rapat.

            “Kenapa Orked diam?”

            Orked jadi bingung. Bibirnya diketap rapat. 

            “Se..sebab kotak tu.” Tergagap-gagap dia menyebutnya.

            Idlan terdiam. Dia mula menangkap maksud gadis itu. Kenapa dengan kotak itu? Apakah Orked tidak suka dengan hasil kerja tangannya mencantumkan semua serpihan-serpihan kotak itu sepanjang malam tadi?

            “Abang minta maaf Orked.” Bisik Idlan tiba-tiba.

            Orked tergaman. Maaf? Aku salah dengarkah?

            “Abang tak sepatutnya rosakkan kotak Orked tu. Kalau abang tahu kotak tu begitu berharga pada Orked, tak mungkin abang sanggup melakukannya.” Ujar Idlan dengan perasaan bersalah.

            “Abang tak pernah tahu yang selama ini ayah Orked layan Orked macam tu. Abang ingat abang faham segala-galanya, rupa-rupanya tak. Sudah berapa lama Orked simpan semua kelukaan itu sendiri selama ini?”  Soal Idlan tenang.

            Tubuh Orked sudah keras kejung. Kata-kata Idlan yang penghabisan terus mematikan kata-katanya yang mahu diluahkan. Ternyata dia hampir terlupa dengan isi kandungan kotak miliknya yang dilemparkan Idlan kelmarin. Apakah lelaki itu telah membaca semua helaian-helaian kesakitan yang dihimpunnya selama ini?

            Aku tak harap simpati dari kau.” Entah kenapa dia mengeluarkan kata-kata kasar itu sekali lagi. Mata Idlan tidak berganjak meratah wajahnya.

            “Abang tak pernah rasa simpati pada Orked.” Bisik Idlan.

            “Habis? Kalau bukan simpati, kenapa kau baiki semula kotak yang kau rosakkan? Untuk apa? Bukan sebab kau simpati pada aku? Bukan sebab kau rasa kasihan pada aku anak pungut ni?” Herdik Orked tiba-tiba naik berang.’

            Idlan menarik nafas panjang. Melihat gadis itu mahu beredar, Idlan cepat-cepat menghalang. Dia sudah bosan menghadapi pertengkaran mereka yang tidak pernah berakhir. Tidak pernah selesai!

            “Tunggu dulu, abang belum habis cakap dengan Orked.”

            “Kau nak cakap apa lagi? Kau nak aku berterima kasih pada kau sebab baiki kotak tu? Well, apa yang kau buat takkan mengubah apa-apa pun. Kotak tu dah pecah, dah rosak. Sebaik mana pun kau membaikinya, ia takkan sama lagi.” Getus Orked.

            “Siapa kata ia tak sama? Ia tetap kotak yang Orked hargai. Ia tetap kotak pemberian ibu Orked. Semuanya masih sama, hanya kalau Orked berhenti melihat segala-galanya dengan cara yang sukar.” Tutur Idlan.

            “Apa yang abang buat selama ini bukan sebab abang simpati pada Orked. Tapi abang lakukannya sebab Orked adik abang. Abang sayangkan Orked.” Sambung Idlan lagi.

            Orked terpaku mendengarnya. Sayang? Mereka bertemu tak sampai seminggu dan lelaki itu mengaku menyayanginya? Aneh! Idlan benar-benar membuatkan dia hampir percaya walaupun sesaat yang dirinya begitu bermakna untuk seseorang. Tapi setiap waktu yang berputar, setiap saat yang berlalu, hanya membuatkan dia menyedari bahawa hidupnya tidak akan pernah berubah.

1 comment:

Anonymous said...

Assalamualaikum. ada smbgn lg tak? Tak sabar nak tggu ni.

DEDALU DI HATI - STOK TERHAD!!

DEDALU DI HATI  - STOK TERHAD!!

PESANAN NOVEL DEDALU DI HATI SEDANG DIBUKA SEKARANG!!!

Harga = RM25.90
Kos Pos = RM7 (pos laju)
Total = RM32.90

Emailkan nama dan butiran diri ke arr_nita@yahoo.com.
Pesanan sehingga stok ke 3 ini kehabisan..

NANTIKAN VENOM SURIA DI PESTA BUKU ANTARABANGSA PWTC MULAI 27 APRIL, TERBITAN BUKU PRIMA (RM25.90)

NANTIKAN VENOM SURIA DI PESTA BUKU ANTARABANGSA  PWTC MULAI 27 APRIL, TERBITAN BUKU PRIMA (RM25.90)
Suria gadis ceria dan periang, namun miliki sejarah hitam dalam kelahiran. Yang membuatkan dia diburu dan dijejaki untuk meleraikan sebuah kisah sumpahan, lalu mempertemukan dia dengan dua lelaki berbeza sifat. Izwan jenis yang dingin dan panas baran. Cakapnya harus dipatuhi atau dia akan meletup! Nazrul sentiasa cool tapi punya rahsia terpendam yang menyiksa jiwa. Seorang lelaki ditakdirkan menjadi penyelamat. Seorang lagi ditakdirkan membunuhnya. Kedua-duanya muncul tak diundang, tetapi meninggalkan kesan mendalam. Lalu bermulalah permainan cat and mouse antara mereka sehingga game over!