PAGI-PAGI lagi Filman sudah tercacak di hadapan taska
itu. Dia menghela tangan Melia keluar dari perut kereta, lalu membawanya ke
arah Umaira yang sedang menanti di muka pintu.
“Selamat pagi
Encik Filman.” Umaira menegur ramah.
“Pagi Mira.”
Filman tersenyum. Dia berhenti di hadapan muka pintu. Beg kecil Melia
diserahkan pada Umaira sebelum dia tunduk ke arah anak kecilnya.
“Okey sayang, papa pergi kerja dulu. Nanti papa
jemput.”
“Papa jangan
datang lewat lagi tau.” Pesan
Melia.
“Ala
lewat kejap aje. Lagipun Melly kan
dah ada kawan baru.” Tiba-tiba dia teringatkan gadis bertudung yang ditemuinya
tempohari. Mata Filman segera menjenguk ke dalam rumah itu, namun bayang gadis
itu langsung tidak kelihatan. Ke mana dia pergi? Tak kerja ke hari ini?
“Mira, saya pergi dulu. Tolong jaga Melia ya,” pesan Filman sebelum
bingkas bangun. Umaira mengangguk. Ayat-ayat lelaki itu sudah rutin di
kepalanya hampir setiap hari. Begitulah selalunya pesan Filman selepas
menghantar Melia ke situ.
“Papa, jangan lupa datang cepat hari ni.” Jerit
Melia di samping Umaira. Filman menggangguk lalu masuk ke dalam perut kereta.
Dia segera menukar gear reverse.
Sebaik pedal keretanya ditekan, dia terburu-buru
mengundur. Serentak bunyi kuat muncul disertai laungan membuatkan Filman
tersentak. Dia segera menekan brek. Matanya berpaling ke arah cermin di hadapan
kereta. Sesusuk tubuh berdiri betul-betul di penjuru belakang keretanya. Filman
terkejut besar. Alamak!
Filman
segera keluar dari perut kereta. Dia benar-benar serba salah. “Maaf cik, saya
tak sengaja tadi. Saya…” Kata-kata Filman terhenti begitu sahaja. Matanya terpaku
memandang Danira yang tiba-tiba muncul entah dari mana.
“Tak apa encik,
sikit aje.” Jawab Danira. Dia sendiri tidak sangka akan nyaris-nyaris dilanggar
kereta lelaki itu lagi. Hatinya
cuak juga. Setiap kali dia bertemu dengan Filman, pasti pertemuan mereka
disulami dengan insiden berkaitan kereta.
“Betul
tak kena? Kalau Cik Danira cedera, saya boleh tolong bawakan ke klinik,” pelawa
Filman bersungguh-sungguh. Matanya meneliti tubuh gadis itu dari atas ke bawah.
Bimbang sungguh dia jika gadis itu benar-benar tercedera kerananya.
“Tak
payahlah encik, saya tak apa-apa.” Danira menolak.
“Cik Danira dari mana ni?” Soal Filman ingin tahu.
“Saya
dari rumah Kak Mila. Dia pesan minta saya ambilkan beberapa barang dari
rumahnya.” Jawab Danira sejujurnya. Bungkusan di tangannya ditunjukkan ke arah
lelaki itu. Filman tersenyum.
“Rapat ya Cik Danira dengan Kak Mila tu.” Komen Filman.
Danira
diam sahaja. Dia tidak memberi sebarang ulasan. Melihat reaksi Danira, Filman kian
buntu mahu meneruskan perbualan. Dia pura-pura meneliti jam di pergelangan
tangannya.
“Hmm
tak apalah kalau macam tu. Saya pergi dulu, lagipun dah lewat ni.” Ujar Filman meminta
diri. Danira sekadar mengangguk. Dia memerhatikan dari tepi sehingga Filman
masuk ke dalam keretanya semula. Sebentar
kemudian, kereta lelaki itu mula bergerak menuju ke jalan utama.
Danira menarik
nafas panjang. Aduh! Mujur tak kena langgar tadi! Dia segera mengatur langkah
ke arah pintu masuk taska, tapi langkahnya tiba-tiba terhenti. Lynn berdiri di
muka pintu sambil menjeling tajam ke arahnya seakan-akan marah. Danira
pura-pura tidak mengerti lalu menuju ke arah gadis itu.
"Dah datang Lynn?” Tegur Danira ramah. Namun bukan balasan yang diterimanya, tapi
dengusan kasar Lynn
pula yang kedengaran. Gadis itu segera menghilang ke dalam rumah. Danira
terkedu dengan sikap Lynn .
Dia semakin bingung. Kenapa dengan Lynn
sebenarnya? Marahkan akukah?
* * * *
Filman
sibuk membelek dokumen-dokumen yang baru dihantar pembantunya sebentar tadi.
Kes saman yang melibatkan seorang kenamaan itu akan mula dibentangkan fakta-faktanya
di mahkamah mulai minggu depan. Oleh sebab itu dia harus bersedia. Lagi pula
dia mewakili seorang ahli perniagaan berpangkat Datuk yang ingin mengemukakan
saman terhadap sekumpulan penduduk yang didakwa menetap di atas tapak tanah
miliknya.
Sebenarnya
Filman tidak berapa suka menguruskan kes-kes melibatkan orang-orang berpengaruh
seperti itu. Bukannya apa, dia rasa terhimpit dengan sikap sesetengah kliennya
yang kadang-kala dirasakan tidak masuk akal dan tidak bersikap murah hati. Tapi
kerana ayahnya, dia terpaksa juga menerima kes-kes melibatkan kenalan baik
ayahnya.
“Encik
Filman, Tengku nak jumpa you kat office
dia.” Cindy pembantunya menjenguk masuk dari celah-celah pintu yang sedikit
rengang. Filman angkat muka memandang ke arah Cindy. Dia tidak berkata apa-apa,
hanya mengangguk.
Beberapa
minit kemudian, dia sudah berada di hadapan bilik ayahnya. Daun pintu diketuk
perlahan. Sebaik mendengar suara Tengku Amar, dia terus menolak daun pintu.
Namun wajah pertama yang terpampang di hadapan matanya membuatkan dia terkedu.
“Aliff?”
Dia meluru ke arah anak muda itu lalu memeluknya. Rangkulannya kemas,
membuatkan Aliff ketawa besar.
“Lama
tak jumpa, abang Filman apa khabar?” Aliff bertanya. Wajah Filman yang riang
menyenangkannya.
“Alhamdulilah
sihat.” Jawab Filman santai. “Bila Aliff sampai dari London ?” Tanya Filman pada anak muda itu.
Angin tiada ribut pun tiada, tiba-tiba Aliff muncul di pejabat ayah mereka hari
ini.
“Kelmarin.”
“Kelmarin?
Habis semalam kenapa tak balik rumah?” Filman mengerutkan dahinya.
“Itulah
yang ayah marah tu Fil. Si Aliff ni dahlah balik tak beritahu kita, lepas tu dia
bermalam pulak kat rumah kawan dia. Kalau bukan sebab dia datang hari ni,
sampai bila-bila pun ayah tak tahu dia dah balik.” Leter Tengku Amar. Aliff ketawa kecil.
“Saja
Aliff nak surprisekan semua orang. Masa
kat airport tadi, Aliff jumpa salah
seorang kawan Aliff dulu. Itulah sebabnya Aliff ikut dia balik rumah dia kat
Syah Alam. Maaf ayah.” Aliff tersengih. Dia tahu keputusannya kali ini melulu.
Mujurlah ayahnya tidak marah-marah!
“Surprise kamu tu merisaukan ayah. Lain
kali cakap dulu kalau nak balik ke mari.” Pesan Tengku Amar. Aliff cepat-cepat
mengangguk. Dia mengerti kebimbangan si ayah. Ekor matanya sempat dihala ke
arah Filman yang turut tergelak kecil.
* *
* *
“Berapa lama Aliff cuti kali ni?” Tanya Filman ketika mengajak anak muda itu
minum di kafeteria di hadapan bangunan pejabat Amar & Sons Co.
“Hmm..dua
bulan. Aliff ingat nak bantu ayah dengan abang kat sini. Sekurang-kurangnya
Aliff boleh mahirkan diri dalam bidang ni setelah tamat belajar nanti.” Ujar
Aliff melahirkan hasrat hatinya.
“Bagus
juga tu, ayah tentu gembira.” Sahut Filman. Dia tahu Tengku Amar memang
memanjakan Aliff berbanding adik beradik mereka yang lain. Malah dia sendiri
pun tidak dilayan sebaik lelaki itu melayan Aliff. Namun Filman tidak kisah
atau berjauh hati. Lagipun Aliff memang anak kesayangan ayah mereka sejak dulu.
“Kejap
je kan bang.
Rasanya macam baru semalam Aliff ke London
sambung belajar.” Anak muda itu tersenyum.
“Yalah, abang pun rasa macam tu. Rasanya macam baru aje
lagi abang dan ayah ke London jenguk Aliff tempohari.” Filman mengiyakan.
“Ma dengan Naj apa khabar?”
“Diaorang sihat. Naj selalu marah-marah kalau Aliff
telefon ke rumah tapi bercakap dengan ma saja.” Tutur Filman.
Aliff
ketawa besar. Najla memang sentiasa menjadi anak manja keluarga itu.
“Aliff
sihat?” Soal Filman tiba-tiba.
Mata
Aliff menatap abangnya tidak berkelip. Wajah Filman terlihat serius kali ini.
Dia mengerti Filman risau dengan keadaannya.
“Aliff
tak apa-apa. Abang jangan risau.”
“Aliff
ada makan ubat ikut waktu?” Soal Filman lagi.
Anak
muda itu segera mengangguk. Namun wajah itu kelihatan muram secara tiba-tiba.
Hati Filman terdetik perasaan kurang enak. Ada sesuatukah yang berlaku pada Aliff?
Kenapa bila dia menyebut tentang kesihatan Aliff, adiknya berubah laku secara
tiba-tiba?
* * * *
Najla tergesa-gesa mengemaskan
barang-barangnya ke dalam beg sandang yang disimpannya di dalam locker. Setelah itu dia sempat
memandang wajahnya sendiri di hadapan cermin kecil yang terdapat di situ.
Wajahnya sedikit pucat. Dia langsung mencapai lipstick yang tersimpan di dalam poket beg lalu mengoleskannya pada
bibirnya yang kelihatan pudar. Setelah itu bedak padat pula dikeluarkan lalu
ditekap pada wajahnya. Setelah
berpuas hati dengan penampilannya, dia segera mengorak senyuman.
“Hai
Naj, nak ke mana ni? Laju je.” Sapa Adam, salah seorang teman kampusnya yang
datang dari arah bertentangan. Najla hanya tersenyum. Sapaan lelaki itu
langsung tidak diendahkan. Kakinya menapak laju menuju ke kawasan letak kereta
di hadapan bangunan fakultinya.
Dari
jauh, dia terpandang sebuah Naza Rio berwarna silver yang amat dikenalinya
sedang menanti tidak jauh dari situ. Najla tersenyum senang. Gembira hatinya
bukan kepalang. Kakinya segera berlari-lari anak menuju ke arah kenderaan
tersebut yang setia menanti di bawah sebatang pohon rimbun.
“Siapa tadi tu?”
Aliff bertanya apabila Najla sudah berada di dalam perut keretanya. Najla
menoleh ke arah Adam yang masih memandangnya dari jauh. Dia tersenyum seraya melambaikan tangan ke arah
anak muda yang terus tercegat di situ.
“Kawan.”
Jawab Najla sepatah.
“Kawan
biasa ke kawan istimewa?” usik Aliff. Sengaja dia mahu menguji gadis itu. Najla ketawa besar mendengar kata-kata Aliff.
Dia melirik ke arah lelaki di sampingnya.
“Kalau kawan istimewa sekalipun, kenapa? Aliff
cemburu ya?” Giliran Najla cuba
menduga. Aliff ketawa kecil. Ke situ pulak anak gadis ini!
“Baguslah
kalau kawan istimewa. Cepatlah ayah dengan ma boleh dapat menantu.” Balas Aliff selamba.
Najla terpelangah. Kata-kata Aliff membuatkan
hatinya tiba-tiba sebal. Lain yang diharapkan, lain pula yang terlontar keluar
dari mulut lelaki itu. Tidakkah Aliff merasa cemburu dengan kata-katanya
sebentar tadi?
“Bila
Aliff balik?” Dia menukar tajuk perbualan. Malas mahu terus berbicara soal
remeh-temeh dengan anak muda itu. Sudahlah dia hendak berjumpa lelaki itu
jarang-jarang sekali. Sejak Aliff melanjutkan pelajaran hampir tiga tahun yang
lalu, dia sering merindui anak muda itu dalam diam-diam.
“Kelmarin.”
“Kelmarin?
Kenapa tak beritahu kami Aliff nak balik?” Dia tercengang.
Aliff
tersenyum. Dia menumpukan perhatiannya ke arah jalan yang dilewatinya. Soalan
Najla sengaja dibiarkan tidak berjawab. Dia lebih senang begitu.
“Aliff
dengar tak Naj cakap apa ni?” Najla tetap berdegil ingin tahu. Aliff menoleh
sekilas tanpa berkata apa-apa. Irama lagu yang berkumandang dari siaran Hitz FM
di corong radio menyusup perlahan ke lubang telinganya. Sesekali dia menyanyi
kecil mengikut rentak lagu.
Melihat reaksi Aliff yang seolah-olah tidak
mengendahkannya, Najla tidak dapat menahan geram. Serentak jari-jarinya singgah
mencari isi lengan Aliff lalu dikutil buat melepaskan rasa tidak puas hatinya.
Aliff
tersentak. Sepantas kilat dia membrek kereta sehingga berdecit tayar keretanya.
Mujurlah dia sempat membrek. Jika tidak, pasti keretanya akan mencium bumper
kereta di hadapan mereka yang sedang berhenti di lampu merah.
Dia berpaling ke arah Najla yang kelihatan
selamba memandang ke luar. Wajah gadis itu dikerling tajam. Geram betul dia
pada Najla yang suka bertindak melulu. Lengannya yang terasa perit digosok
perlahan-lahan sambil matanya melurus ke hadapan.
Sekumpulan orang ramai yang sedang melintas di
hadapan lampu isyarat dipandang acuh tak acuh. Mulutnya terus mengguman geram
pada Najla. Meleter panjang dengan tindakan Najla yang tidak berfikir sebelum
bertindak. Mujur dia agak cekap mengendalikan keretanya. Jika tidak, dua-dua
boleh masuk hospital.
Tiba-tiba tanpa amaran, leteran Aliff terhenti.
Najla berpaling.
“Aliff, kenapa
ni?” Tanya Najla. Hairan melihat mata lelaki itu membuntang ke suatu arah.
Bunyi hon dibunyikan bertalu-talu oleh kenderaan dibelakang mereka. Aliff tersentak. Dia segera mengerling ke arah
lampu isyarat yang entah sejak bila sudah bertukar hijau.
Dia cepat-cepat memasukkan gear lalu menggerakkan keretanya ke hadapan. Sampai di bahu jalan,
lelaki itu menghentikan keretanya. Najla terpinga-pinga.
“Kenapa Aliff?” Tanya Najla bingung.
Namun Aliff tidak menjawab. Dia keluar dari
perut kereta lalu menoleh ke arah kawasan lampu isyarat yang baru sahaja
dilewatinya. Matanya mencari-cari sesuatu. Namun melihat betapa sesaknya
kawasan pejalan kaki itu dipenuhi dengan manusia bertali arus, dia menarik
nafas panjang.
* * * *
Najla
asyik merenung Aliff yang kelihatan tidak berselera menjamah makanan yang
terhidang di hadapannya. Sebenarnya dari tadi dia sudah tertanya-tanya, apakah
sebenarnya yang dicari lelaki itu di kawasan trafik berhampiran Central Market tadi. Tapi hendak
bertanyakan lelaki itu, dia jadi ragu-ragu.
“Aliff…” panggil Najla perlahan.
Aliff
mengangkat mukanya. Raut wajah Najla ditatap sebentar. Namun Najla terus jadi
gugup. Apa yang bermain di fikirannya sebentar tadi terus hilang begitu sahaja
diamuk renungan Aliff. Lelaki itu tiba-tiba tersenyum.
“Naj nak
cakap apa?” Aliff menyoal lembut.
Najla terpegun. Suara Aliff menyakinkannya yang
lelaki itu kini berada dalam keadaan tenang. Dia benar-benar risau jika Aliff
berkelakuan aneh.
“Err..Naj..Naj
cuma nak tahu Aliff cari apa tadi?” Soal Najla tergagap-gagap.
Aliff
terdiam. Matanya menatap Najla tidak berkelip. Kata-kata gadis itu mengingatkannya
kembali kepada seraut wajah yang melintas di hadapan keretanya di kawasan Central Market sebentar tadi. Wajah yang
dicari tanpa dia tahu apa sebabnya. Yang nyata dia tidak kenal siapa gadis itu
serta apa kaitan gadis itu dengannya. Tapi hati kecilnya seolah-olah mengkehendaki
dia mencari wajah itu. Wajah yang persis dengan gadis di dalam mimpinya!
“Kalau
Aliff tak nak cerita, tak apalah. Naj tak paksa.” Ujar Najla apabila dilihatnya
Aliff seolah-olah tidak berminat mahu menjawab pertanyaannya.
“Naj
bimbangkan Aliff, itu saja.” Sambung Najla pantas. Dia tidak mahu Aliff
tersinggung dengan perhatian berlebihan yang diberikannya terhadap lelaki itu.
Lagipun dia tahu, Aliff semakin sembuh dengan adanya terapi yang sering
diikutinya bersama Doktor Hisyam.
“Aliff
sihat Naj, kalau itu yang Naj bimbangkan.” Tukas Aliff sambil tersenyum tenang.
Najla
terdiam. Dia tidak berani membuka pertanyaan lagi. Lagipun lelaki itu baru
balik dari London. Dia tidak ingin, pelbagai pertanyaan yang terhambur dari
bibirnya akan menyebabkan Aliff bersedih Dia tidak suka lelaki itu bersedih.
Dia hanya mahu melihat lelaki itu ketawa sama seperti dulu.
Aliff tersenyum
memandang Najla yang kelihatan gelisah. Dia
memahami, hati Najla sedang berkecamuk. Risau tentang dirinya!
1 comment:
makin menarik,teramat best,menguja kan, penuh konflik n suspen gak....tak sabar nk tunggu n3 seterus nye.sape lah gadis yang muncul dalam mimpi alif,n ape motif sume tu!tak sabar akak nak tau dek....mungkin kah gsdis tu danira???
Post a Comment