Followers

Monday, November 22, 2010

Blue Sunset : Bab 2

DIA hampir selesai menunaikan solat Isyak. Sebaik salam pertama dan kedua diberi, kedua-dua tangannya diangkat separas dada. Wajahnya didongakkan ke atas dengan kelopak mata terpejam rapat sambil memanjat doa.

“Ya Allah! Kau berikan kebahagiaan kepada anakku seperti Kau berikan kebahagiaan kepadaku ketika melahirkannya. Ketika menatap wajah kecilnya yang comel. Sesungguhnya aku takut jika tiba-tiba aku tidak dapat lagi menjadi pelindungnya. Jangan kau ragut nyawaku jika dia masih terkapai-kapai tanpa arah. Berilah aku peluang untuk menjadi ibunya sehingga dia sudah bersedia dan kuat untuk menghadapi liku-liku hidup ini sendirian.”

Kamelia mengaminkan doanya. Sesuatu yang menjadi rutinnya sejak dulu lagi. Tidak ada apa lagi yang diharapkannya selain dari kebahagian Aqila Murni, cahaya mata penyeri hidupnya sejak dua puluh empat tahun yang lalu.

Aqi, panggilan itu diberikan kerana ia ringkas dan kerana ia mengingatkannya pada seseorang. Lukhman Aqli. Lelaki yang pernah menjadi tugu cintanya. Tapi kesetiaan dan pengorbanannya bukan alasan untuk Lukhman mempersia-siakannya. Meragut cintanya dalam sekelip mata kerana gilakan seorang wanita lain. Alasan Lukhman, cinta antara mereka sudah layu. Kerana itu Lukhman menceraikannya dengan talak satu. Meninggalkannya dengan sekolam racun yang membunuhnya perlahan-lahan.

Sejak mereka bercerai, dia sudah tidak bertemu dengan Lukhman lagi. Hatinya terlalu membenci lelaki itu. Setiap kali dia memikirkan lelaki itu, jantungnya seolah-olah dirobek keluar. Hatinya perit bagaikan ada yang menikam dan menghirisnya berkeping-keping.

Dan bila doktor mengesahkan dia hamil, berita itu menjadi satu kejutan padanya. Dia benar-benar tidak menyangka tuhan akan menganugerahkan sesuatu untuknya di saat-saat dia sendirian kerana dibuang suaminya sendiri. Tapi berita gembira itu menjadi berita duka tatkala doktor turut mengesahkan terdapat benjolan di pangkal rahimnya.

“Walaupun tumor puan masih di peringkat benigna, tapi saya berpendapat puan patut gugurkan kandungan puan. Ini untuk kebaikan puan sendiri.” Nasihat doktor yang merawatnya.

“Tidak. Saya takkan gugurkan kandungan saya doktor. Hanya anak ini sahaja harta yang saya ada.” Tegasnya. Dia sudah nekad dengan keputusannya untuk menyimpan kandungannya.

Lapan bulan kemudian Aqi lahir. Sihat dan cantik meskipun dia terpaksa bertarung nyawa melahirkan Aqi yang lahir tidak cukup bulan. Pada awalnya semuanya nampak normal. Tangisan dan ketawa Aqi benar-benar seperti bayi lain. Apabila usia anak itu enam tahun, barulah dia menyedari suatu keanehan pada diri Aqi. Sesuatu yang amat dikesalinya sehingga kini.

Bila dia diberitahu oleh guru Aqi bahawa anaknya tidak dapat membezakan warna-warna di taskanya, dia mula berasa bimbang. Aqi dibawa bertemu pakar oftamologi dan menjalankan pelbagai ujian. Rasa mahu luruh jantungnya bila dia diberitahu Aqi mungkin mengalami colour blindness berdasarkan ujian-ujian Anamaloskop dan Ishihara yang dilakukan oleh optometris.

“Ada dua jenis sel di retina mata yang dipanggil sel rod dan sel kon. Kedua-dua sel ini mempunyai tindakbalas berbeza terhadap cahaya. Sel rod sangat sensitif pada cahaya namun ia tidak dapat membezakan warna. Manakala sel kon pula bertindakbalas pada cahaya yang lebih terang dan berwarna. Dalam kes anak puan ni, saya syaki Aqila mempunyai kekurangan sel-sel kon yang terlibat dalam pembentukan warna di retina. Dalam kata lain anak puan ni mengalami rabun warna. Tapi sejauh mana teruknya keadaan dia, kita terpaksa menunggu sehingga dia membesar dahulu sebelum ujian lebih lanjut dapat dilakukan.” Jelas optometris yang menjalankan ujian.

Ketika itu dia langsung tidak mendengar kata-kata lelaki berusia 30an itu. Bagaimana dia mahu memahami setiap kata-kata yang terbit dari mulut lelaki itu, sedangkan tubuhnya sudah tidak berupaya menahan berita malang yang tiba-tiba singgah tidak diundang dalam hidup mereka dua beranak? Bagaimana dia mahu menghadapi kenyataan bahawa anak kesayangannya rabun warna?

Setelah usia Aqi sepuluh tahun, dia membawa Aqi bertemu pakar optamologi yang lain. Ujian yang sama dijalankan berkali-kali sehingga anak itu mengadu bosan. Aqi diuji dengan pelbagai alat seperti spektrum, colour plates, D-15 dan 100 Hue. Malah setiap seminggu sekali dia akan membawa Aqi bertemu dengan Doktor Huzaifah. Anak itu dilatih mengenali tona-tona warna yang berbeza, yang gelap dan cerah mewakili setiap warna-warna asas yang ada.

Dia cukup berterima kasih kerana Doktor Huzaifah sangat bermurah hati membantu Aqi tanpa apa-apa imbuhan. Setiap seminggu sekali sehingga 8 bulan lamanya, Aqi dibawa keluar oleh doktor tersebut dan dilatih untuk mengecam perubahan tona-tona warna pada lampu isyarat serta pada lampu brek kenderaan. Semua ini untuk mempersiapkan anak itu dengan kehidupan di luar.

Kamelia mengesat airmata yang mengalir di penjuru pipinya. Dia masih ingat kata-kata Doktor Huzaifah suatu ketika dahulu. Kata doktor tersebut, ada pelbagai sebab yang membawa kepada rabun warna. Antaranya kerana faktor genetik, kerana jangkitan pada mata dan salah satu kerana ubat-ubatan yang digunakan untuk merawat kanser. Meskipun doktor itu tidak pernah memberikan jawapan yang pasti, namun dia amat yakin keadaan Aqi berkait rapat dengannya. Ubat-ubatan yang diambilnya untuk merawat penyakitnya menjadi punca semua ini. Semuanya kerana dirinya.

“Mak bersalah pada Aqi. Mak yang menyebabkan dunia Aqi jadi sepi. Maafkan mak, Aqi!” Keluh Kamelia seraya memejamkan matanya. Kesedihannya cuba ditahan. Dia belajar menerima ketentuan Ilahi meskipun kepiluan yang berladung di hatinya tidak mahu surut.

Apabila dia keluar dari biliknya, hidungnya tercium aroma enak dari meja makan. Kamelia tersenyum. Dia tahu, pastinya Aqi sedang menyediakan makan malam untuk mereka berdua. Langkahnya diatur ke arah meja makan.

Dari jauh, kelibat Aqi terpapar di hadapan matanya. Anak gadis itu kelihatan ralit menuang minuman ke dalam gelas. Wajah Aqi kelihatan riang bagaikan gadis itu bahagia benar melakukan semua kerja-kerja itu.

“Ehem…” Kamelia berdehem beberapa kali. Aqi tersentak. Hampir terlepas jag di tangannya. Mujurlah dia sempat mengemaskan pegangan.

“Mak ni suka benar kejutkan Aqi.” Rungut anak gadis itu seraya ketawa.

Kamelia turut sama tergelak. Dia berdiri di tepi meja lalu menatap hidangan yang sudah tersedia di atas meja. “Hmmm..padanlah sedap. Ada gulai ayam kampung rupanya. Sayur kangkung masak kicap pun ada. Sedap ni.” Canang Kamelia sengaja mahu ‘mengangkat’ anak itu.

“Tapi gulai ni untuk malam ni aje mak boleh makan. Hari-hari lain tak boleh tahu. Tunggu mak sihat dulu, baru Aqi masakkan lagi.” Tukas Aqi lalu menceduk gulai tersebut ke pinggan berisi nasi. Pinggan tersebut disorong ke arah ibunya.

Kamelia tidak mengulas panjang. Seleranya tiba-tiba bangkit mendadak. Dia segera duduk lalu menjamah masakan air tangan Aqi yang enak dan menyelerakan.

“Oh ya lupa nak cakap, tadi petang Aqi dah ambilkan ubat mak. Tapi lain kali mak kena ikut Aqi buat pemeriksaan. Boleh kan?”

Kamelia mengangkat wajahnya.“Tak payahlah Aqi, mak dah tak apa-apa.” Sahutnya lemah.

“Eh mana boleh macam tu mak. Sakit mak ni bukan sakit ringan. Mak kena ikut Aqi jumpa doktor.”

“Mak dah sihat sayang. Bukankah mak dah ambil ubat ikut urutan?”

“Tapi itu tak boleh menjamin sel kanser mak takkan datang lagi. Lagipun Doktor Herman sendiri yang pesan suruh mak ke hospital buat pemeriksaan. Kalau perlu, Aqi akan temankan mak.” Suara Aqi lembut memujuk.

Kamelia tiba-tiba menolak pinggannya ke tepi. Seleranya tiba-tiba terbantut dengan kata-kata anaknya.

“Mak!” Aqi tergaman. Dia tidak menyangka sampai begitu sekali reaksi Kamelia bila diungkit soal hospital dan rawatan. Sudah puas dia memujuk, namun ibunya cukup degil dengan soal yang satu itu.

Wanita itu memandangnya tidak berkelip. “Mak tahu Aqi sayangkan mak. Mak pun sayangkan Aqi. Tapi mak sebenarnya dah bosan dengan hospital tu. Dah dua puluh lima tahun mak berulang alik ke hospital. Dalam tempoh ni, mak cuba bertahan demi Aqi. Tapi benda yang sama kalau dilakukan berulangkali, siapa pun akan bosan. Mak dah malas Aqi.” Keluh Kamelia.

Aqi terdiam. Dia faham perasaan ibunya. Namun apakan daya, dia hanya mahukan wanita itu sembuh. Sejak akhir-akhir ini kesihatan ibunya semakin buruk. Wanita itu lebih banyak menghabiskan masa di biliknya berbanding keluar dari rumah itu dan bersiar-siar. Kasihan mak! Keluh Aqi. Dia segera merapati ibunya lalu memeluk bahu wanita itu dari arah belakang. Kamelia hanya membiarkan.

“Aqi sayangkan mak. Mak tahu kan?” Bisiknya di telinga ibunya.

Kamelia mengangguk seraya tersenyum. Lengan anak gadis itu yang menjalar di belakang tengkuknya digenggam kemas.

“Sebab sayanglah Aqi tak sanggup nak berpisah dengan mak. Sebab tu Aqi minta mak ke hospital buat pemeriksaan. Kalau mak pun sayangkan Aqi, mak pergilah jumpa dengan Doktor Herman tu.” Pujuk Aqi lembut.

Kamelia tidak menjawab. Nafasnya dilepaskan beserta keluhan. Dia tahu Aqi takkan begitu mudah melepaskannya begitu sahaja, selagi dia tidak berjanji mahu meneruskan sesi rawatannya dengan Doktor Herman.

* * * *

Selepas makan malam, dia menghabiskan masa di biliknya. Sketching yang masih tinggal sedikit harus disiapkan malam itu juga. Ketika dia mengeluarkan peralatannya dari dalam beg sandang, matanya segera terpandang sekeping kad yang terselit di celah-celah poket begnya. Tangannya segera mengeluarkan kad tersebut lalu dibaca sepintas lalu.

“Nadzihar Abdul Hakim.” Sebut Aqi seraya termenung. Nadzihar! Zahar! Orang yang samakah? Kad nama itu diberikan oleh lelaki itu di perkarangan letak kereta di kawasan hospital petang tadi.

Aqi jadi keliru. Dia pasti nama cucu nenek yang dihantarnya pulang petang tadi ialah Zahar, sekurang-kurangnya itulah yang dipanggil oleh wanita tua yang menumpangnya siang tadi. Tapi kenapa nama yang tertulis di kad ini Nadzihar? Hmm..jangan-jangan sebab nama dia macam perempuan, maka kerana itu dia sengaja tukar kepada Zahar. Bagi macho konon-konon! Aqi tersengih sendiri.

Lucu juga dia melihat lelaki itu bersama neneknya petang tadi. Bertekak macam budak-budak. Budak-budak tengok pun malu, gumam Aqi lalu ketawa sendiri. Tiba-tiba ketawa Aqi terhenti begitu saja. Senyuman meleretnya mula memudar. Ada sesuatu bermain di kepalanya saat itu.

Demi tuhan dia sebenarnya terkejut bertemu lelaki itu hari ini. Malah rasa terkejutnya berbaur dengan rasa cemas dan gementar. Buat pertama kali dalam hidupnya, kemunculan lelaki itu mengundang seribu tanda tanya dalam dirinya. Meskipun lelaki itu kelihatan sombong dan ego, namun ada sesuatu pada kemunculan lelaki itu yang membuatkan separuh dari hatinya seolah terbang melayang.

Warna. Itulah perkataan pertama yang terlintas di kepalanya sewaktu dia menatap Zahar yang sedang melangkah ke arahnya ketika itu. Dia melihat rambut lelaki itu, wajahnya, matanya, pakaiannya malah setiap sesuatu yang ada pada lelaki itu mempunyai warna. Bukan lagi sekadar warna kelam dan suram yang sering dilihatnya sejak dia masih kecil.

Sejak kecil dia langsung tidak mengenali sebarang warna. Malah dia tidak kenal yang mana satu merah, mana satu hitam atau putih. Semua objek dan benda yang dilihatnya sama sahaja. Semuanya mempunyai satu warna. Malah apabila Doktor Huzaifah meminta dia mencirikan warna yang dipandangnya, dia langsung tidak tahu melakukannya. Sehinggalah suatu petang dia dibawa Doktor Huzaifah melihat matahari terbenam. Ketika itulah dunia birunya muncul.

“Cuba Aqi tengok matahari tu.” Suruh Doktor Huzaifah, lelaki berusia awal 30an yang merupakan pakar optometrisnya. Dia mengikut suruhan lelaki itu tanpa banyak soal.

“Aqi nampak warna matahari itu bagaimana?” Tanya Doktor Huzaifah.

Dia meneliti matahari itu lalu mengelengkan kepalanya. Hatinya ragu-ragu mahu menjawab.

“Aqi tak tahu?” Doktor Huzaifah bertanya dengan nada lembut.

“Aqi tak pasti pakcik.” Jawabnya terus terang.

“Selalunya pesakit rabun warna ada masalah untuk melihat warna merah dan hijau, atau biru dan kuning dalam keadaan terlalu terang dan samar. Tapi kes rabun warna Aqi ni satu kes yang istimewa sebab Aqi hanya mampu melihat satu warna sahaja. Dan warna ini pula dibezakan dengan tona gelap dan cerah sahaja. Kes Aqi boleh dikatakan kes yang agak serius.” Ujar lelaki itu.

“Warna matahari yang Aqi lihat berwarna kekuningan, tetapi bagi pesakit rabun warna yang biasa, mereka akan melihat warna kuning itu sebagai warna biru.” Jelas doktor itu lagi.

“Biru? Macamana warna biru tu pakcik?”

“Biru tu sejenis warna yang cantik Aqi, warna yang lembut. Bumi yang kita tinggal ini dikenali sebagai planet biru kerana sebahagian besarnya kelihatan biru. Air di lautan berwarna biru. Langit di atas kepala kita ini berwarna biru. Malah pakaian yang Aqi pakai juga berwarna biru. Biru warna yang cantik dan sesuai untuk Aqi.” Doktor Huzaifah tersenyum memandangnya.

Dia tunduk memandang T-shirt yang dikenakannya. Hatinya terasa sebak mendengar kata-kata lelaki itu. Biar bagaimana cantik pun dia kelihatan di mata orang, namun hakikatnya dia tetap seorang gadis yang kelam tanpa warna. Dunianya yang dihuninya hanya dunia yang sepi dan kosong.

Semenjak hari itu, dia sering memegang kata-kata Doktor Huzaifah. Warna yang dipandangnya sudah dianggap warna biru. Malah dia tanpa ragu-ragu akan menganggap warna matahari yang dipandangnya juga biru. Malah ketika tona cerah pada matahari kian gelap sebaik matahari itu hampir tenggelam, dia juga menganggap matahari terbenam itu juga berwarna biru. Biru yang indah. Biru yang menyenangkan. Dan begitulah bagaimana dunia birunya muncul dan hanya dia seorang sahaja yang menghuni planet biru ini.

Hari ini, dia bertemu dengan seorang lelaki yang mempunyai lebih dari satu warna. Meskipun dia tidak mengerti sebabnya, namun dia yakin Allah Maha Berkuasa. Mungkin tuhan mengasihaninya kerana hidupnya yang sepi tanpa warna. Maka dia didatangkan seorang lelaki yang penuh dengan warna-warni yang cukup indah. Warna-warna yang memukau matanya sehingga dia tidak mampu melarikan pandangannya pada lelaki itu walau sesaat.

Dia memandang kad nama itu semula. Nadzihar! Nama itu disebut berulangkali. Apakah dia masih ada peluang untuk melihat lelaki itu lagi? Apakah kita akan bertemu lagi? Bisik hati kecil Aqi sambil tersenyum.

No comments:

DEDALU DI HATI - STOK TERHAD!!

DEDALU DI HATI  - STOK TERHAD!!

PESANAN NOVEL DEDALU DI HATI SEDANG DIBUKA SEKARANG!!!

Harga = RM25.90
Kos Pos = RM7 (pos laju)
Total = RM32.90

Emailkan nama dan butiran diri ke arr_nita@yahoo.com.
Pesanan sehingga stok ke 3 ini kehabisan..

NANTIKAN VENOM SURIA DI PESTA BUKU ANTARABANGSA PWTC MULAI 27 APRIL, TERBITAN BUKU PRIMA (RM25.90)

NANTIKAN VENOM SURIA DI PESTA BUKU ANTARABANGSA  PWTC MULAI 27 APRIL, TERBITAN BUKU PRIMA (RM25.90)
Suria gadis ceria dan periang, namun miliki sejarah hitam dalam kelahiran. Yang membuatkan dia diburu dan dijejaki untuk meleraikan sebuah kisah sumpahan, lalu mempertemukan dia dengan dua lelaki berbeza sifat. Izwan jenis yang dingin dan panas baran. Cakapnya harus dipatuhi atau dia akan meletup! Nazrul sentiasa cool tapi punya rahsia terpendam yang menyiksa jiwa. Seorang lelaki ditakdirkan menjadi penyelamat. Seorang lagi ditakdirkan membunuhnya. Kedua-duanya muncul tak diundang, tetapi meninggalkan kesan mendalam. Lalu bermulalah permainan cat and mouse antara mereka sehingga game over!