Followers

Thursday, November 1, 2012

Mencari Kiblat Cinta : Bab 16


MELIHAT Danira sedang ralit membantu Siti menyediakan makanan tengahari untuk kanak-kanak di taska itu, Kamila tersenyum sendiri. Dia sengaja menjengah ke dapur untuk melihat Danira. Malah telinganya sempat menangkap perbualan ringkas di antara gadis itu dengan Siti. Hatinya sedikit sebanyak lega kerana gadis itu seperti betah menyesuaikan dirinya.

 “Mana Kak Mila kenal dengan Nira tu? Tiba-tiba aje dia muncul,” tanya Umaira ketika gadis itu membantunya mengemaskan buku-buku cerita di dalam rak buku sederhana besar di ruangan itu.

“Nira tu anak angkat ibu saudara Kak Mila.”jawab Kamila selamba. Sengaja dia mencanang begitu di hadapan pekerja-pekerjanya.

“Sebenarnya apa tugas dia kat sini Kak Mila? Nak kata tak cukup pekerja, rasanya kami berdua ni dah lebih dari cukup.” Sampuk Lynn tiba-tiba.

“Eh kau ni Lynn, lantak Kak Mila lah nak upah siapa pun. Yang kau sibuk-sibuk ni kenapa pulak?” Marah Umaira. Tidak berkenan sungguh dia dengan sikap Lynn yang terlalu berterus-terang. Wajah Lynn segera mencuka. Barangkali geram pada Umaira kerana ditegur sedemikian rupa di hadapan majikannya. Kamila yang menjadi pemerhati hanya mampu tersenyum melihat telatah pekerja-pekerjanya.

“Sebenarnya kakak sengaja ambil Danira bekerja kat sini sebab nak ringankan beban Mira dengan Lynn. Lagipun dia boleh bantu mengemas kat sini. Budak Danira tu rajin orangnya. Tengok sejak dia datang, tempat ni lebih kemas dari dulu.” Ujar Kamila.

“Tapi Kak Mila ni macam percaya sangat dengan dia. Siap bagi dia duduk kat tingkat atas rumah ni. Dulu masa Lynn mintak, Kak Mila tak kasi pun.” Ujar Lynn bagaikan berjauh hati. Sememangnya dia rasa tersinggung bila tahu Danira menetap di bahagian atas rumah dua tingkat itu.

Kamila terdiam. Rupa-rupanya itulah yang dikisahkan anak gadis itu. Kamila mengelengkan kepalanya. Dia tidak sangka pula Lynn akan mengungkit kembali hal itu.

Lynn, dulu bukan kakak tak bagi Lynn duduk kat sini. Tapi kebetulan kakak tahu Mira ni nak cari teman serumah. Sebab tu kakak suruh Lynn tinggal dengan Mira aje. Tapi Danira ni lain. Dia ada masalahnya sendiri, lagipun susah nak dapat rumah sewa kat tempat ni. Kalau rumah Lynn dengan Mira masih kosong, dah tentu kakak suruh Danira duduk kat sana, selamat sikit.” Jelas Kamila. Dia tidak mahu gadis itu salah anggap dan mengungkit seolah-olah dia berat sebelah pada pekerja-pekerjanya.

“Ha kau dengar tak cakap Kak Mila tu Lynn? Ini tak asyik nak merungut aje. Kak Mila ni sebenarnya fikirkan tentang keselamatan kau.” Balas Umaira. Sengaja dia mahu mengenakan temannya itu. Lagipun sikap Lynn yang kuat merajuk tak tentu fasal memang merimaskannya.

            “Mila, Zulbhan ada kat luar. Dia nak jumpa Mila.” Kak Siti tiba-tiba menjengah masuk. Kamila tercengang. Zulbhan datang? Apahal pulak ni? Selalunya adiknya itu rajin menjenguknya setiap hujung minggu sahaja.

            “Tak apalah Kak Siti, suruh dia masuk dulu. Kejap lagi saya keluar.” Suruh Kamila. Siti mengangguk lalu segera menghilangkan diri. Kamila memandang Lynn dan Umaira silih berganti.

“Kamu berdua siapkan dulu kerja ni. Kakak nak jumpa Zulbhan sekejap,” pinta Kamila sebelum meluru keluar.

            Di luar, mata Kamila terpandang kelibat Zulbhan sedang melayan seorang kanak-kanak di situ. Melihat Kamila muncul, Zulbhan segera mendapatkan kakaknya.

            “Kenapa kamu datang sini? Selalunya jarang nak nampak kamu kat sini hari-hari biasa?” Tegur Kamila. Zulbhan sekadar tersengih.

            “Kak, Danira mana? Saya nak jumpa dia sekejap boleh tak?” Pinta Zulbhan.

            Kamila tercengang. Dahinya segera berkerut menatap wajah adiknya. “Nak jumpa Nira? Apahalnya?”

            “Adalah halnya sikit. Lagipun mana boleh cakap kat sini, orang kat sini ramai sangat.” Balas Zulbhan. Kamila tersengih. Ada-ada saja budak ni! Melihat Lynn tiba-tiba muncul di muka pintu, Kamila segera memanggil gadis itu.

            Lynn, boleh tolong panggilkan Danira ke mari? Katakan pada dia, Zulbhan nak jumpa.” Suruh Kamila.

Lynn tercengang. Namun dia tidak berkata apa-apa, lalu terus beredar ke dalam. Tak lama kemudian, Danira muncul.

            Ada hal saya nak cakap dengan awak Danira. Fasal adik awak.” Ujar Zulbhan.

            Danira tersentak. Fasal Naufal? Sudah ada beritakah fasal adiknya itu? Dia hampir terlupa yang dia pernah meminta Zulbhan membantunya mengesan Naufal beberapa hari yang lalu.

            “Encik Zulbhan dah jumpa Naufal?” Soal Danira separuh teruja.

            Zulbhan baru ingin membuka mulut, namun sebaik dia terpandang kelibat Lynn yang entah sejak bila turut berada di situ, dia tidak jadi bersuara. Wajah Kamila segera dicari.

“Kak, saya nak bawa Danira keluar sekejap boleh tak?” Pinta Zulbhan.

            Kamila tiada pilihan lain selain mengangguk. Meskipun dia tidak tahu menahu punca kenapa Zulbhan mahu bertemu Danira, namun dia tahu ada hal yang penting yang mahu dibincangkan kedua-duanya. Apatah lagi tadi dia mendengar gadis itu menyebut nama seseorang. Siapa Naufal?

*   *  *  *

            Sebaik pelayan itu meletakkan dua cawan Capucino Latte yang masih panas berasap di hadapannya, Danira hanya memandang tanpa niat mahu menyentuhnya. Aroma harum kopi yang memikat tidak menarik minatnya untuk dirasai. Ketika ini fikirannya hanya tertumpu pada isi perbualan yang masih belum disebut Zulbhan.

            Zulbhan menghirup kopi di cawannya perlahan-lahan. Sejurus kemudian dia memandang ke arah Danira yang kelihatan resah. Dia mengerti apa yang sedang bermain di fikiran Danira.

            “Encik Zulbhan nak cakap apa dengan saya? Tentang adik saya Naufalkah?” Danira sudah hilang sabar. Perkara tentang Naufal benar-benar mencengkam segenap lubuk perasaannya.

            Zulbhan menarik nafas panjang. Entah bagaimana harus dijelaskan pada gadis itu tentang hasil pencariannya sejak beberapa hari yang lalu.

            “Saya cuba kesan Naufal di sekolah lama dia. Malangnya menurut rekod di sekolah, Naufal dah lama berhenti sekolah.” Ujar Zulbhan.

            Danira tergaman mendengar kata-kata lelaki itu. “Apa maksud Encik Zulbhan? Saya…saya tak faham. Mesti ada rekod tentang dia di mana-mana.”

            “Masalahnya Danira, saya dah cuba hubungi semua pihak. Semuanya termasuk pihak polis, sekolah, pusat-pusat pengajian, hospital, badan-badan kerajaan dan swasta, tapi saya tak dapat apa-apa berita langsung tentang adik awak. Seolah-olah dia ghaib begitu saja.” Keluh Zulbhan.

            Danira masih belum mampu mencerna kata-kata Zulbhan. Hatinya enggan percaya. Mustahil tidak ada berita langsung tentang adiknya. Mustahil!

            “Awak jangan bimbang sangat. INSYA ALLAH saya akan berusaha lagi cari Naufal sehingga bertemu. Saya datang jumpa awak ni sebab saya nak tanya, awak ada gambar Naufal yang terbaru?” Soal Zulbhan ingin tahu.

            Danira terkedu. Sejak dia dipenjarakan, dia langsung tidak memiliki sebarang gambar Naufal. Itulah yang paling dikesalinya. Kalau ada pun, ia hanya gambar lama mereka sekeluarga yang ada di dalam simpanannya. Itupun Naufal masih bayi ketika itu. Tentu gambar itu tidak sesuai diberikannya pada Zulbhan! Fikir Danira.

Melihat gelengan gadis itu, Zulbhan mengeluh panjang. Susah kalau begini! Dia  seolah-olah mencari dalam gelap. Kalau hanya bersandarkan pada nama semata-mata, tak mungkin dia mampu bertemu dengan Naufal dalam jarak singkat begini.

            “Encik Zulbhan tolonglah cari dia. Saya dah tak tahu nak minta tolong dengan siapa lagi.” Rayu Danira sebak.

Zulbhan terdiam. Melihat gadis itu mengalirkan airmata, entah mengapa dia jadi serba-salah. Meskipun dia tidak tahu punca kenapa Danira boleh terpisah dari adiknya, namun dia nekad mahu membantu gadis itu mencari Naufal.

            “Danira, saya janji saya akan cari dia. Jangan bimbang.” Janji Zulbhan lagi. Dia bersungguh-sungguh mahu menyakinkan gadis itu.

Danira terharu. Kata-kata Zulbhan memancarkan semula harapan di jiwanya. Akan bertemukah kita nanti Naufal? Atau apakah kakak akan kehilangan Naufal buat selama-lamanya?

*  *  *  *

            Wajahnya yang agak sembab diteliti melalui cermin di hadapannya. Penjuru kelopak matanya masih bersisa dengan kesan-kesan airmata. Sungguh dia tidak dapat menahan perasaan apabila berhadapan dengan Zulbhan sebentar tadi.

            Berita yang dibawa Zulbhan merupakan tamparan besar buatnya. Besar harapan yang diletakkannya sewaktu dia meminta lelaki itu membantunya mencari Naufal yang hilang entah ke mana. Namun harapan itu hancur punah dalam sekelip mata. Meskipun Zulbhan berjanji mahu terus menjejaki Naufal, namun dia jadi ragu-ragu. Lagi-lagi bila Zulbhan mengatakan betapa sukarnya mahu mencari Naufal tanpa sebarang gambar.

Dia cepat-cepat keluar dari bilik air di kopitiam itu, lalu menuju ke suatu arah. Dia ingin pulang semula ke taska Kamila. Lagipun tentu tidak elok rasanya dia keluar agak lama apatah lagi dia masih dalam waktu bekerja. Tentu Kamila bimbang melihat dia tidak pulang bersama Zulbhan. Sengaja dia menyuruh Zulbhan pulang terlebih dahulu tanpanya. Kekecewaan yang hadir di lubuk jiwa membuatkan dia mahu bersendirian buat seketika.

            Belum jauh kakinya menghayun langkah, kepalanya tiba-tiba pusing. Jalannya juga terhuyung hayang. Dia memegang dahi yang mula terasa memberat. Migrain yang dihidapinya sejak dia dipenjarakan, semakin menjadi-jadi apabila dia di dalam keadaan tertekan.

Danira berhenti di bahu jalan. Dia mencari-cari pil migrain di dalam tas tangan yang dibawanya. Apabila plastik ubat dikeluarkan dari dalam beg, dia terpegun apabila menyedari pil migrain yang selalu dibawanya ke mana-mana sudah habis.

            Matanya segera meneliti persekitaran kawasan itu. Dari jauh, sebuah farmasi kecil menarik perhatiannya. Dia segera meluruskan langkah, lalu menuju ke arah farmasi tersebut. Bekalan ubat sakit kepalanya harus dibeli.

*  *  *  *

            “Mana Nira pergi? Kenapa lambat sangat balik?” Kamila tidak senang duduk dibuatnya. Sebaik wajah Danira terpacul di muka pintu, dia terus menyerang gadis itu dengan pelbagai pertanyaan.

“Maaf kak, Nira tak berniat nak buat kakak bimbang. Nira tak sengaja.” Dia mengguman resah. Dia sudah boleh menduga dirinya akan diserang dengan pelbagai pertanyaan dari wanita itu. Salahnya juga kerana tidak terus pulang bersama Zulbhan. Jika dia mengikut sahaja Zulbhan balik, tentu Kamila takkan bimbang begini.

“Kakak bukan marah Nira balik lambat. Tapi kakak risau kalau apa-apa yang buruk berlaku pada Nira.” Pintas Kamila.

Dia memandang ke arah Kamila. Wajah itu kelihatan bimbang, membuatkan dia terus dihantui rasa bersalah pada wanita itu.

            “Nira dah makan?” Tanya Kamila. Sengaja dia mengubah tajuk perbualan apabila dilihatnya Danira hanya berdiam diri.

            Danira tidak terus menjawab. Segan dia mahu mengaku dengan Kamila yang perutnya kosong sejak petang tadi. Lagipun semasa keluar dengan Zulbhan tadi, dia hanya minum kopi sahaja. Namun Kamila seakan memahami, terus menarik tangannya ke arah meja kecil di suatu sudut.

            “Kakak dah masakkan makanan untuk Nira. Kakak tahu Nira mesti belum makan lagi kan.” Ujar Kamila sambil mencedukkan nasi untuk gadis itu. Tupperware berisi lauk udang masak merah dengan gulai tumis ikan tenggiri turut dibuka, menyerlahkan aroma enak di hidung Danira. Dia sekadar memandang perilaku Kamila. Entah kenapa, hatinya terharu dengan layanan Kamila terhadapnya.

            “Dah lama kakak tunggu Nira balik. Lauk ni pun dah sejuk agaknya.” Bicara Kamila sambil meletakkan pinggan nasi di hadapan gadis itu. Langsung dia tidak sedar tubir mata gadis itu mulai berair.

            “Tunggu apa lagi, makanlah Nira,” pelawa Kamila. Dia mendongak memandang gadis itu. Namun sebaik melihat wajah Danira seperti mahu menangis, Kamila tercengang.

“Kenapa ni Nira?” Soal Kamila cemas. “Nira sakit?”

Danira menggelengkan kepala. Setitis airmata yang cuba ditahan gugur jua di pelantar pipinya.

“Habis, kenapa Nira nangis?” Soal Kamila ingin tahu. Sikap Danira sedikit sebanyak membuatkan dia bingung. Apa yang tak kena dengan gadis itu?

“Kak Mila, kenapa kakak layan Nira baik sangat? Tolong jangan layan Nira macam ni kak. Nira takut Nira tak mampu balas budi baik kakak suatu hari nanti.” Bisik Danira sebak. Dia benar-benar sedih diperlakukan seperti puteri walhal dia tidak layak sama sekali untuk dilayan seperti itu.

Kamila terdiam. Nafasnya dihela perlahan. Sebuah kerusi ditarik lalu dia duduk di hadapan gadis itu. Kedua-dua bahu Danira disentuh lembut. Anak mata gadis itu ditatap dalam-dalam.

            “Zulbhan ada beritahu kakak tentang adik Nira.” Ujar Kamila tiba-tiba. Danira tersentak. Jadi Kamila sudah tahu?

            “Kakak cuma nak hiburkan hati Nira. Kakak tahu, Nira tentunya susah hati selama ini kan? Bertahun-tahun tak jumpa, tentu Nira rindukan dia. Jangan risau, kakak dah suruh Zulbhan berusaha cari Naufal walau susah macam mana sekalipun. Lambat-laun kita akan jumpa dia.” Pujuk Kamila.

            Danira memandang wanita itu. Hatinya tersentuh dengan keluhuran hati Kamila. Dia benar-benar bersyukur kerana dipertemukan dengan wanita sebaik Kamila.

“Nira rindukan dia kak. Dia satu-satunya saudara Nira. Macamana kalau Nira tak dapat jumpa dia lagi sampai bila-bila pun?” Entah kenapa dia mengajukan pertanyaan itu. Namun itulah yang sejujurnya lahir dari lubuk hatinya yang paling dalam. Dia benar-benar takut kehilangan Naufal dalam hidupnya.

            “Insya Allah kita akan jumpa dia. Nira kena yakin sayang. Kalau Nira tak keberatan, boleh kakak tahu kenapa Nira berpisah dengan adik Nira tu? Apa sebenarnya yang dah berlaku?” Soal Kamila ingin tahu.

Danira terdiam. Dia memandang Kamila yang sedang memacu perhatian ke arahnya. Jiwanya keresahan. Haruskah dia bercerita di hadapan wanita itu tentang setiap inci jalan hidupnya yang bagaikan menempah laluan ke neraka? Jika Kamila mendengarnya, apakah wanita itu akan memahami segala-galanya?

2 comments:

Unknown said...

alahai sian nye kat nira,cam ne lah zulbhan nak cari naufal kalu sekeping pun gambar adek nira tak de dalam simpanan nira.sabar ye nira satu waktu pasti bertemu gak...

Anonymous said...

Aliff tu sebenarnnya naufal adik si danira ka?

DEDALU DI HATI - STOK TERHAD!!

DEDALU DI HATI  - STOK TERHAD!!

PESANAN NOVEL DEDALU DI HATI SEDANG DIBUKA SEKARANG!!!

Harga = RM25.90
Kos Pos = RM7 (pos laju)
Total = RM32.90

Emailkan nama dan butiran diri ke arr_nita@yahoo.com.
Pesanan sehingga stok ke 3 ini kehabisan..

NANTIKAN VENOM SURIA DI PESTA BUKU ANTARABANGSA PWTC MULAI 27 APRIL, TERBITAN BUKU PRIMA (RM25.90)

NANTIKAN VENOM SURIA DI PESTA BUKU ANTARABANGSA  PWTC MULAI 27 APRIL, TERBITAN BUKU PRIMA (RM25.90)
Suria gadis ceria dan periang, namun miliki sejarah hitam dalam kelahiran. Yang membuatkan dia diburu dan dijejaki untuk meleraikan sebuah kisah sumpahan, lalu mempertemukan dia dengan dua lelaki berbeza sifat. Izwan jenis yang dingin dan panas baran. Cakapnya harus dipatuhi atau dia akan meletup! Nazrul sentiasa cool tapi punya rahsia terpendam yang menyiksa jiwa. Seorang lelaki ditakdirkan menjadi penyelamat. Seorang lagi ditakdirkan membunuhnya. Kedua-duanya muncul tak diundang, tetapi meninggalkan kesan mendalam. Lalu bermulalah permainan cat and mouse antara mereka sehingga game over!