Followers

Thursday, November 27, 2008

Vendetta 14

Kojie memasang telinga bila mendengar bunyi riuh rendah berhampiran dengan bilik Bob yang ditumpangnya. Bunyi bising itu membuatkan hatinya tambah bengkak, namun apakan daya…mulut orang takkan dia pula yang nak menutup. Dia masih mengemaskan saki baki barang-barangnya yang masih tinggal. Lagipun barang-barangnya bukanlah banyak sangat. Hanya sekadar beberapa helai baju dan seluar yang dibelinya di Kuantan beberapa hari yang lalu. Baju besar gedabak Bob yang dipinjamkan padanya tempohari juga sudah siap dicuci dan disimpan kembali dalam almari plastik milik Bob.
Bob tiba-tiba menjengah masuk lalu. Melihat Kojie sedang asyik berkemas, mata Bob membelingas. “Kojie, kau dah nak balik?” Bob mengerutkan dahinya. Kojie memandang ke arah Bob lalu tersenyum.
“Dah lama aku kat sini, duit aku pun makin kurang.” Kojie membuat alasan. Mana tak habis kalau Anabella asyik-asyik menumpang sama duitnya! Duit bergunung di dalam bank pun kalau menanggung gadis seperti Anabella, sebulan pun boleh habis. Kojie ketawa kecil. Terasa lucu kerana dalam masa-masa begini pun, dia masih teringatkan Anabella.
“Apa yang bising sangat kat luar tu?” Giliran Kojie pula membuah pertanyaan.
“Oh itu, entahlah…kata member-member aku, tetamu-tetamu untuk majlis enggagement tu dah sampai.” Jelas Bob lalu menghempaskan tubuh double XXL nya ke atas katil. Kojie tercengang. Mak oi, macam badak sumbu naik basikal!
“Tetamu apa Bob? “Soal Kojie semula. Pagi-pagi begini, jika perutnya belum berisi, dia memang mudah blur.
“Itu saudara-saudara lelaki yang nak buat majlis pertunangan dia kat resort ni. Ala lelaki handsome yang bawa awek kau keluar tu.” Wajah Bob cuak. Kojie tercengang. Darah panasnya mendidih semula.
“Boleh tak kalau kau jangan cakap macam tu. Aku tak sukalah.” Marah Kojie bengang kerana Bob mendefiniskan sesuatu yang tidak benar antara dia dan Anabella. Bob ketawa terkeheh-keheh.
“Amboi kau, benda kecik macam ni pun nak simpan dalam hati. Aku gurau ajelah. Tapi kalau ya pun tak salahkan?” Bob belum serik-serik mengusik. Kojie mencerlung ke arah Bob dengan wajah’ brutal’. Ketawa Bob makin galak.
Tak disangka-sangka Kojie mengambil bantal berhampirannya lalu dihempas ke arah muka Bob. Ketawa lelaki itu mati. Terkelip-kelip mata Bob memandang Kojie. “Hoi main kasar pulak kau ya.” Jerkah Bob tidak puas hati.
Melihat Kojie diam sahaja, Bob turut diam. Untuk seketika, masing-masing membisu seribu bahasa. Diam-diam Bob melirik ke arah Kojie. Wajah Kojie yang serius baru kali pertama dilihatnya sejak beberapa hari yang lalu. Timbul rasa menyesal di hatinya membuatkan Kojie berasa tidak senang hati dengan tutur katanya yang tak bertapis.
“Kojie…” panggil Bob.
Kojie acuh tak acuh. Daripada dia melayan kerenah Bob, baik dia sambung berkemas, ada juga faedahnya.
“Kojie!” Jerit Bob di tepi telinga lelaki itu. Mata Kojie membulat. Telinganya berdengung dan berdesing. Dia memegang kepala sambil menoleh ke arah Bob yang tersengih-sengih.
“Suara kau ni boleh buat aku pekak, kau tahu tak!” Tukas Kojie seraya memasamkan mukanya.
“Aku nak minta maaf Kojie. Aku..aku bukannya sengaja nak buat kau marah. Lepas ni kau pun dah nak balik, janganlah sampai kau balik dengan keadaan ‘berpatah rotan dan berkerat arang’ pulak dengan aku.” Pujuk Bob dengan intonasi cendikiawan berwibawanya.
Kojie terkelip-kelip. Mulutnya terherot-herot cuba menahan tawa. Peribahasa pun tunggang langgang, ada hati nak beri nasihat kat aku! Dia tak mampu menahan kelucuan yang mula bersarang. Ketawanya terburai berdekah-dekah, membuatkan mulut Bob terlopong.
“Aik tadi marah, lepas tu gelak pula. Gila apa kau ni?”
Ketawa Kojie makin kuat. Dia mengesat airmata yang hampir terkeluar. “Aduh sudahlah tu Bob, aku dah tak marah dah. Tapi tolong jangan buat aku ketawa lagi, sakit perut aku ni tau tak.”
Bob terpinga-pinga tidak mengerti.
“Oh ya, kau ada beg plastik?” Tanya Kojie dengan sisa-sisa tawa yang masih tinggal.
“Nak buat apa?”
“Aku nak simpan baju aku ni.” Dia menunjukkan ke arah deretan baju-bajunya yang sudah siap berlipat.Maklumlah waktu dia datang dulu sehelai sepinggang. Beg pakaian pun dia tak ada.
“Cukup ke dengan beg plastik? Aku ada beg kalau kau nak.” Pelawa Bob.
“Tak payah, nanti susah aku nak pulangkan semula. Bagi aku beg plastik besar cukuplah.”
Mahu tak mahu Bob bingkas bangun lalu menuju ke arah almari plastiknya. Sehelai beg plastik berwarna hijau dikeluarkan dari dalam almari. Melihat beg plastik di tangan Bob, wajah Kojie bertukar berseri-seri. Dia segera menyambut beg plastik yang dihulurkan oleh Bob lalu mula memasukkan pakaianya dalam plastik tersebut. Mata Bob terpisat-pisat melihat gerak geri Kojie. Kelakar pun ada juga apabila melihat Kojie menyumbat pakaiannya begitu sahaja dalam beg plastik yang berharga lima sen sehelai.
* * * *
Selesai mengemas pakaiannya, Kojie mengambil keputusan bersiar-siar di kawasan resort itu sementara menunggu petang. Begitulah perancangannya sepanjang hari itu. Sengaja dia melengah-lengahkan waktu untuk memberi peluang Anabella berfikir.
Semalam ketika dia meninggalkan Anabella sendirian di pantai, dia sebenarnya dihimpit perasaan serba salah. Memberi kata dua kepada gadis itu sebenarnya adalah sikap mementingkan diri. Dan orang yang mementingkan diri itu adalah dirinya sendiri. Dia yang tak sanggup melihat Anabella bahagia bersama Iqbal. Dia yang terasa cemburu melihat Anabella berpegangan tangan dengan Iqbal. Semuanya kerana dia!
Iqbal pun satu. Kalau dah ada tunang, kenapa sibuk-sibuk mahu rapat dengan Anabella? Dia mendengus keras. Perasaan marahnya pada Iqbal berlanjutan sehinggakan dia bermimpi bertinju dengan Iqbal di gelanggang tinju. Dan hadiahnya pastilah Anabella yang asyik bersorak-sorak menyokong Iqbal di sebelah lelaki itu. Itulah yang membuatkan dia semakin geram sehingga tidak sengaja menendang Bob yang berbadan besar itu sehingga terjatuh katil malam semalam. Sebesar-besar Bob boleh tergolek ke bawah katil dek hayunan ‘kick boxingnya’ yang ala-ala Bruce Lee di arena.
Dan mujurlah tendangan yang agak ‘rakus’ itu tidak pula mengejutkan Bob yang agak lena. Lelaki itu terus nyenyak bagaikan tidak ada apa-apa yang berlaku. Hanya pagi tadi, lelaki itu ada mengadu sakit-sakit badan dengannya. Tapi dia hanya acuh tak acuh mendengar omelan Bob, meskipun rasa bersalahnya ada untuk lelaki itu.
Langkah Kojie tiba-tiba terhenti. Lamunannya juga hilang entah ke mana. Dari jauh dia melihat Iqbal dan Mira seolah-olah sedang berbincang sesuatu di tempat yang agak tersorok. Kadangkala suara Mira kedengaran meninggi, tapi selepas itu senyap pula. Wajah Iqbal serius berbincang. Tiba-tiba Mira dilihatnya mengesat air matanya yang terburai seperti air paip. Kojie mengeluh panjang. Meskipun dia dapat mengagak, namun dia sudah malas mahu mengambil tahu perihal orang-orang itu. Lagipun itu semua kawan-kawan Anabella dan bukan teman-temannya.
Kojie menyambung langkah ke suatu arah. Dia mahu bertemu dengan Makcik Kamariah untuk mengucapkan selamat tinggal. Lagipun budi baik wanita itu membantu mereka dulu sewajarnya harus dikenang.
“Betul kamu nak balik petang nanti?” Makcik Kamariah terkejut mendengar perkhabaran yang disampaikannya. Dia hanya mengangguk. Cawan kopi yang ada di hadapannya diteguk rakus.
“Dengan Anabella?” tanya wanita itu lagi ingin tahu. Kojie terdiam. Dia sendiri tidak tahu apakah gadis itu akan mengikutnya. Dia hanya tersenyum memandang ke arah Makcik Kamariah. Wanita itu menghela nafasnya seraya memandang jauh ke hadapan.
“Kenapa nak balik awal sangat Kojie? Baru dua tiga hari kamu kat sini. Singgahlah sikit masa lagi. Makcik pun tak berkesempatan nak kenal lebih dekat dengan kamu dan Anabella. Yalah sibuk nak menguruskan majlis tu. Itupun kalau ada majlis..” Makcik Kamariah tersengih. Kojie terkedu mendengar kesimpulan wanita itu.
“Saya banyak kerja makcik. Lagipun lagi lama saya kat sini, lagi besar peluang saya dipecat.” Balas Kojie. Dia sendiri gerun memikirkan majikannya Encik Fauzi yang pastinya menanti-nantikan kereta Waja milik Anabella berjaya dibawa pulang dengan selamat. Jika dia gagal dengan misi kali ini, ada dua sahaja penamatnya. Samaada dia dipecat dari institusi kewangan itu, atau dia terpaksa menjadi ‘kuli batak’ ayahnya seumur hidup. Pilihan kedua itulah yang paling sukar mahu dilakukannya. Dia tak sanggup sebenarnya bekerja dengan lelaki itu. Lagi-lagi dia terpaksa bersaing dengan adik tirinya sendiri, serta berhadapan dengan ibu tirinya yang memang tidak pernah menyukainya.
“Bella!” panggilan Makcik Kamariah yang agak kuat membuatkan Kojie tersentak. Dia memandang ke arah wanita itu sejenak dua sebelum mengalihkan pandangan. Dari jauh dia melihat Anabella sudah melangkah ke arah mereka dengan senyuman manis yang tak lekang-lekang dari bibir. Hati Kojie bagaikan cair menatap senyuman gadis itu. Dia lekas-lekas memegang dadanya. Debaran di hatinya terasa benar-benar kencang sehinggakan tanpa sedar dia cuba menutup bunyi tersebut dari didengari Makcik Kamariah.
Anabella menarik kerusi lalu duduk di hadapannya. Senyuman gadis itu sekali lagi hadir. Bezanya kali ini senyumannya mekar untuk Kojie di hadapannya, bagaikan tidak ada apa-apa yang berlaku sebelumnya. Kojie terpaku.
“Aku cari kau tadi.” Sebut Anabella.
Kojie membulatkan matanya. Anabella mencarinya? Untuk apa? Apakah Anabella sudah membulatkan tekad untuk mengikutnya pulang? Hati Kojie tiba-tiba merasa lega dengan kata-kata gadis itu. Senyuman Anabella menyakinkan hatinya yang gadis itu memilih untuk pergi bersamanya.
“Bella nak pesan apa-apa makanan?” Tiba-tiba Makcik Kamariah mencelah. Anabella tidak jadi meneruskan kata-katanya, sebaiknya dia memandang ke arah wanita itu.
“Tak apalah makcik, saya dah makan awal-awal pagi tadi.” Ujar Anabella.
“Kalau macam tu, tak apalah..makcik ada kerja sikit. Kamu berdua berbuallah ya.” Makcik Kamariah bingkas bangun. Dia tidak mahu menganggu perbualan kedua anak muda itu.
Kojie hanya tersenyum memandang ke arah Makcik Kamariah yang cukup sporting. Lega pun ada kerana wanita itu bagaikan faham dengan situasi mereka. Namun belum jauh wanita itu pergi, tiba-tiba satu percikan air singgah di muka Anabella dan turut terpercik ke arah Kojie sendiri. Kojie memandang Anabella yang tergaman. Makcik Kamariah turut terpaku melihat adegan di hadapan matanya.
Mira mengetapkan bibirnya memandang ke arah Anabella. Gelas ‘sky juice’ yang kosong di hadapannya masih dipegang. Puas hatinya dapat melakukannya, lebih-lebih lagi pada Anabella. Dia ketawa terkeheh-keheh melihat Anabella yang sudah basah kuyup bermandikan air.
“Rasakan! Ini habuan untuk orang yang rampas tunang aku!” Bentak Mira sekuat hati. Wajahnya masih belum surut bengkak biarpun bintik-bintik merah yang memenuhi wajahnya sudah mula mengecil.
“Mira!” Herdik suatu suara. Bagaikan adegan sebuah drama swasta, Anabella terasa mahu pitam melihat Iqbal pula muncul di situ. Wajah lelaki itu bengis memandang ke arah Mira.
“Enough is enough Mira. Bukankah kita dah bincang hal ni elok-elok.” Suara Iqbal mengendur apabila melihat wajah Mira yang seperti singa lapar. Dia memandang sekilas ke arah Anabella dengan wajah kesal.
“Enough? Itu kata you Ib. Bagi I selagi I tak ajar perempuan ni, selagi itulah hati I ni takkan puas. Sebab dia you nak batalkan pertunangan kita kan? You sengaja nak bagi I malu depan family I.” Tuduh Mira. Suasana hinggar binggar di situ menarik perhatian pengunjung-pengunjung kafeteria yang lain. Anabella terasa malu menjadi santapan mata-mata yang memandang. Dia melihat ke arah Mira dengan wajah geram.
“Mira, tolong jangan berperangai macam budak-budak boleh tak! Aku dah naik muak tengok perangai kau yang macam ni. Kau boleh malukan aku, tapi tolong jaga sikit tingkah laku kau depan orang ramai ni.” Marah Anabella tidak mahu mengalah.
“Kau tu yang patut jaga tingkah laku kau yang macam sundal tu. Tunang aku pun kau nak rampas. Lepas ni entah siapa lagi kau nak rampas!” Jerit Mira agak lancang.
Anabella tersentak. Kata-kata Mira benar-benar menyemarakkan api di dadanya. Serentak dia tiba-tiba meluru ke arah Mira lalu menarik rambut gadis itu sekuat hati. Mira melolong kuat apabila diperlakukan begitu. Dia cuba menepis tangan Anabella, tapi tenaga Anabella lebih kuat lagi. Anabella sudah tidak peduli. Malu pun malulah. Daripada membiarkan Mira sesedap hati mengatanya, lebih baik dia ambil tindakan sendiri.
Iqbal dan Kojie masing-masing sudah kecut perut melihat aksi tak diduga antara kedua gadis itu. Makcik Kamariah dan yang lain-lain juga sudah melopong. Melihat kemenangan seolah-olah berpihak kepada Anabella, Kojie bagaikan baru tersedar. Dai cepat-cepat meleraikan kedua-dua gadis itu dari terus berperang. Namun gerakan Kojie tersalah langkah apabila tiba-tiba dia pula mengaduh kesakitan. Anabella tergaman melihat Kojie. Serta-merta dia melepaskan rambut Mira yang ditarik-tariknya.
Pandangannya lebih tertarik ke arah darah merah yang mengalir di pipi Kojie. Hati perempuannya diserbu asa kesal. Dia tidak sengaja mencakar pipi Kojie sehingga berdarah.
“Kojie…aku…aku minta maaf.” Seru Anabella dengan suara tertahan-tahan. Kojie tidak mengendahkan Anabella. Kesakitan di pipinya terasa benar-benar perit. Pandangannya juga terasa berbalam. Tiba-tiba jari jemari Anabella melekat di pipi Kojie. Kojie tergaman. Matanya meneliti raut wajah Anabella yang kelihatan resah. Mata Anabella jelas ditakungi air jernih kali ini.
Kojie tersenyum meskipun kepalanya terasa pusing. “Jangan bimbang, aku tak apa-apa. I’m okey.” Dia berkata perlahan. Sesudah menghabiskan ayatnya, Kojie tersungkur jatuh tidak sedarkan diri. Anabella terjerit kecil. Makcik Kamariah pula ternganga hampir tidak percaya.
* * * *
Pandangan Kojie berbalam-balam. Matanya terpisat-pisat cuba menyusuri sempadan cahaya yang tiba-tiba menerjah ke dalam retina matanya. Cahaya terang itu semakin lama semakin sebati, menyebabkan pandangannya yang tadi kelam kini terang benderang. Dia memandang lurus ke hadapan. Wajah Bob singgah di hadapan matanya. Mulut Bob ternganga luas semakin merapati dirinya. Mata Bob terpejam-pejam sedangkan dia pula tercengang. Apahal pulak si Bob ni?
Bila mulut Bob semakin mendekat, Kojie sudah tidak mampu menahan cemasnya. Dia membeliakkan matanya besar-besar seraya menolak tubuh besar Bob. “Woi Bob, kau nak buat apa ni??” Jerit Kojie geram.
Bob tergaman. Serta-merta lelaki itu membuka matanya. Sebaik dia melihat Kojie sudah mula sedar dari pengsan, Bob tidak dapat menahan rasa gembira. Tak disangka-sangka dia memeluk lelaki itu dengan perasaan bersyukur.
“Aduh nasib baik. Hidup lagi kau ya Kojie.” Gelak Bob.
“Habis, kau ingat aku dah mati?” Jerkah Kojie. Geli geleman dia bila memikirkan mulut Bob yang berjarak hanya beberapa inci sahaja dari mulutnya.
“Sorrylah Kojie, Makcik Kamariah yang suruh aku buat CPR kat engkau. Dia bimbang bila kau tak sedar-sedar dari pengsan.” Jelas Bob sambil mengerling ke suatu arah. Mendengar kata-kata Bob, marah Kojie mula mereda. Dia segera berpaling. Makcik Kamariah yang berdiri di penjuru dinding tersenyum memandang ke arahnya.
“Syukur kamu dah sedar Kojie.”
“Kenapa dengan saya makcik?” Kojie masih ingat-ingat lupa dengan apa yang telah terjadi padanya. Dia cuba bingkas dari katil. Namun saat itu jugalah dia mengerutkan dahinya. Rasa ngilu dan perit menjamah kulit wajahnya. Dia meraba-raba luka di wajahnya yang telah berplaster.
“Bella yang tolong tampalkan plaster tu untuk kamu Kojie. Dia cakap dia minta maaf sebab tak sengaja cederakan kamu.” Ujar Makcik Kamariah. Kojie terdiam. Kepalanya ligat mengimbas peristiwa yang menyebabkan kecederaan di pipinya. Lama kelamaan, ingatan Kojie mula beransur pulih. Dia mula teringat peristiwa di saat Anabella dan Mira bergaduh di ruangan kafeteria tadi.
Mata Kojie liar memerhatikan segenap ruangan di bilik tersebut. Matanya mencari-cari seseorang. Namun di bilik itu hanya ada dia bertemankan Makcik Kamariah dan Bob.
“Kamu cari Bella?” Soal Makcik Kamariah.
Kojie hanya mengangguk.
Nafas Makcik Kamariah mendesah. Lontaran matanya terpaut simpati pada anak muda itu. Sesekali tatapan mata Makcik Kamariah berlari ke arah Bob.
“Kojie, Anabella tinggalkan surat ni untuk kamu sebelum dia pergi tadi.” Ujar Makcik Kamariah lalu menyerahkan sepucuk surat. Kojie tergaman. Dia hanya mampu memerhatikan surat yang dipegang oleh Makcik Kamariah.
“Pergi? Apa maksud makcik?”
Makcik Kamariah tidak terus menjawab. Nafasnya dihela cukup sukar. Dia terasa berat hati pula mahu berterus terang dengan Kojie. Apatah lagi Kojie baru pulih dari pengsannya. Harap-harap janganlah budak ni pengsan sekali lagi, bisik hati kecil Makcik Kamariah.
“Kojie, sebenarnya….” Makcik Kamariah teragak-agak mahu memberitahu.
“Kojie, sebenarnya majlis pertunangan Encik Iqbal dengan Mira dah cancel. Petang tadi semua saudara mara diaorang dah berangkat pulang. There’s no more engagement party!” Sampuk Bob sebelum sempat Makcik Kamariah menjelaskan.
Kojie tersentak. Tak ada majlis pertunangan? Maksudnya…..? Dia mula bingung.
“Encik Iqbal dah tinggalkan tempat ni dengan Anabella petang tadi.” Beritahu Makcik Kamariah pula lambat-lambat. Kojie terasa kepala lututnya seperti mahu tanggal. Kata-kata yang meniti dari bibir Makcik Kamariah lebih mengejutkan dari berita yang disebut oleh Bob. Tiba-tiba sahaja tubuhnya direbahkan kembali. Kekecewaan hatinya menjalar tanpa disedari.
* * * *
Dia merenung jauh memandang pemandangan yang terbentang luas di hadapannya. Kepala lututnya dipeluk cuba menahan kedinginan malam yang terasa mencengkam urat saraf. Hampir satu jam lamanya dia termenung sendirian di situ. Sepatutnya petang tadi dia sudah berangkat ke Kuala Lumpur meninggalkan Geliga Beach Resort ini. Tapi entah apa sebabnya, dia masih lagi berada di situ bagaikan menanti seseorang.
Sudah beberapa kali Makcik Kamariah mencanangkan yang Anabella sudah beredar pergi. Malah segala barang-barang di bilik gadis itu sudah dikemaskan dan dibawa pergi. Tapi Kojie masih menyimpan harapan yang Anabella akan pulang juga ke situ. Kerana itu kakinya cukup berat mahu melangkah pergi meninggalkan tempat itu. Kojie…Kojie…sampai bila kau nak bermimpi macam ni? Dah berbuih mulut Bob dan Makcik Kamariah mengatakan yang Anabella pergi bersama Iqbal. Takkan kau tak faham-faham lagi! Suara hatinya menempelak.
Dia mengeluh panjang. Surat yang diserahkan oleh Makcik Kamariah sebentar tadi hampir lunyai di genggamannya. Sudah beberapa kali dia khatam membaca surat tersebut dengan harapan isi kandungan surat itu memihak kepadanya. Setiap noktah dan koma yang terdapat pada surat itu ditilik beberapa kali sehingga biji matanya berpinar. Namun isi surat Anabella tetap serupa. Ringkas, padat dan menyesakkan jiwanya!
Kojie….terima kasih sebab kau sanggup bawa aku ke mari. Terima kasih juga sebab kau percayakan aku dan sanggup beri aku peluang untuk meluahkan rasa cinta aku pada Iqbal. Aku tak sengaja cederakan kau tadi. Maaf Kojie sebab aku tak dapat ikut kau balik ke Kuala Lumpur. Kau bawalah kereta aku tu balik. Mulai hari ni aku takkan susahkan kau lagi! Anabella.
Begitulah bunyi isi surat Anabella. Kojie meramas surat di tangannya sekuat hati lalu melontarkannya jauh-jauh. Kertas itu terpelanting lalu singgah di kaki seorang wanita yang memakai topi lebar yang menutup hampir keseluruhan wajahnya.
Wanita itu tiba-tiba tunduk lalu mengutip kertas yang telah keronyok dikerjakan Kojie. Dia melontarkan pandangan ke arah Kojie yang turut memandang ke arahnya.
“Sorry…saya tak sengaja buang kertas tu kat situ tadi.” Ujar Kojie sedikit melaung. Bunyi ombak di situ bagaimanapun masih menenggelamkan suaranya. Dalam keadaan hatinya yang rungsing, dia memang tidak ada hati mahu berbual. Tapi menyedari dia tersalah membuang sampah di hadapan wanita itu, dia memaksa dirinya meminta maaf.
Wanita itu tiba-tiba memasukkan kertas yang dibuangnya ke dalam karung plastik hitam yang dipegangnya. Kojie terpinga-pinga. Gerak geri wanita itu diperhatikan dengan penuh minat. Dia melihat wanita itu begitu asyik mengutip sampah dan tin-tin minuman lalu dimasukkan dalam karung plastik.
Tiba-tiba wanita itu berpaling ke arahnya. Kojie tercengang. Kala itu jugalah wanita itu menghala langkah merapatinya. Semakin lama semakin dekat sehingga akhirnya wanita itu sudah berdiri di hadapannya. Kojie menelan liur. Gerak geri wanita itu mula menimbulkan rasa tidak senang Kojie.
“Alih sikit tempat duduk kamu tu cu….” Suruh wanita itu. Kojie tersentak. Serta-merta dia mendongakkan wajahnya. Wajah di sebalik topi itu cuba diintai. Entah kenapa suara wanita itu seakan pernah didengarnya sebelum ini.
“Cu…tolonglah alihkan sikit badan kamu tu. Nenek nak ambil tin minuman yang orang buang kat sini.” Sambung wanita itu membuatkan Kojie seperti mahu pengsan. Masya Allah! Cepat-cepat dia beredar dari tempat duduknya. Wajahnya memandang ke arah wanita yang sedang mengutip tin Coke yang kosong tidak jauh dari tempat dia duduk. Badannya sudah mengigil. Kedua-dua kepala lututnya sudah goyang. Not again!
Wanita itu berpusing lalu mengadap ke arahnya. Topi yang menutup sebahagian besar wajah itu ditanggalkan menyerlahkan wajah berkedut yang pernah ditemuinya dulu di Hentian Temerloh. Dia hanya tersenyum memandang ke arah Kojie yang mula pucat lesi.
“Yang kamu ni takut sangat dengan nenek ni kenapa Kojie?” Wajah itu menyeringai. Kojie bersedia membuka langkah, namun sebaik mendengar namanya disebut wanita itu agak lancar..dia mula lemah semangat.
“Nenek…..tolong jangan ganggu saya nek.” Dia mengangkat tangannya seolah merayu dengan bibir terketar-ketar. Tak disangka-sangka nenek itu ketawa besar mendengar kata-kata Kojie.
“Nenek bukannya nak kacau kamu. Nenek datang ke sini sebab nak kutip sampah-sampah yang orang tinggalkan kat pantai ni. Itu aje.” Balas nenek itu seraya menunjukkan karung plastik yang berada di tangannya. Kojie terdiam mendengar kata-kata wanita tua itu. Pulak dah! Kenapa bunyinya macam lawak aje. Sejak bila hantu pandai menjaga kebersihan alam sekitar ni!
“Tapi nenek dah lama mati kan?” Mulut Kojie lancang bertanya. Menyedari kesilapannya dia segera menutup mulut. Habis dia kalau nenek itu tersinggung dengan kata-katanya. Dia tidak berani memandang wanita tua itu. Tapi tak semena-mena ketawa wanita tua itu singgah lagi di cuping telinganya.
“Siapa yang kata kat kamu yang nenek ni dah mati?” Dia memulang pertanyaan kepada Kojie. Lelaki itu menggaru kepala.
“Kamariah ni memang saja je nak kenakan aku.” Rungut nenek itu. Kojie tergaman. Belum mati? Biar betul ni! Habis apa yang diceritakan oleh Makcik Kamariah itu bohongkah?
“Kamariah memang suka bergurau, tapi nenek belum mati lagi.” Ujar wanita tua yang digelar ‘Mak Telangkai’ itu. Kojie semakin tidak mengerti.
“Waktu nenek jumpa kamu tempohari di Hentian Temerloh, nenek memang ditinggalkan bas. Mujur kamu dan kawan kamu tu ada.” Jelas wanita tua itu selamba.
“Tapi kenapa kami nampak…” Dia masih seriau bila teringatkan wajah perempuan tua itu yang mengerikan dengan rambut mengerbang panjang tidak terurus.
“Kamu nampak wajah nenek ni menakutkan?” Ketawa wanita itu singgah. “Memanglah rambut nenek mengerbang sebab cucuk sanggul nenek dah terlepas waktu tidur. Kawan kamu tu yang suka menyangka yang bukan-bukan.” Bidas si nenek sambil tersengih.
“Tapi nenek minta dia jangan baca ayat-ayat suci tu… kami sangka nenek ni hantu.” Kojie masih teragak-agak!
“Memanglah nenek suruh dia jangan baca ayat-ayat suci tu. Bacaan budak tu tunggang langgang, banyak yang salah. Sebab tu nenek minta dia berhenti baca.”
Kojie tercengang. Bulat matanya memandang ke arah Mak Telangkai. Tiba-tiba ketawa Kojie meletus berdekah-dekah. Hampir berair kelopak matanya menahan ketawa. Perasaan panik tadi sudah berganti rasa lucu. Dia benar-benar tidak menyangka, nenek yang disangka hantu itu rupa-rupanya manusia biasa.
“Nanti dulu..kalau nenek ni bukan hantu, kenapa nenek singgah kat pinggir hutan tu?” Tiba-tiba ketawa Kojie terhenti. Dia masih ingat lagi tempat dia menghentikan nenek itu dulu. Kawasan itu benar-benar terpencil.
“Kawasan tu bukan hutan, tapi ada kampung kecil kat situ tempat nenek tinggal. Nampak aje bersemak, tapi kalau kamu tembus kawasan tu terus sehingga ke arah utara, kamu akan keluar balik melalui bukit terus ke kawasan resort ni. Ini kira shortcut la.” Jelas nenek tersebut. Kojie mengangguk-angguk. Barulah dia faham perkara sebenar. Dia tersenyum-senyum memandang nenek itu. Ini kalau Anabella tahu semua ini, mahu gadis itu menghantukkan kepala sendiri ke arah dinding. Bodohnya mereka dulu sehingga tidak boleh membezakan antara hantu dan manusia. Makcik Kamariah pun satu, ada ke benda-benda macam ni nak dibuat main-main.
“Oh ya mana kawan kamu yang sorang lagi tu?” Nenek itu tiba-tiba bertanya. Senyuman Kojie tiba-tiba mati. Dia menikus sambil melepaskan keluhan berat.
“Lain macam saja bunyinya.” Nenek itu tersenyum-senyum.
“Dia dah balik nek.” Suara Kojie mendatar.
“Balik ikut lelaki tu?” Soal si nenek. Kojie menoleh dengan cepat. Hairan! Bagaimana wanita tua itu tahu tentang Iqbal? Serentak dia menepuk kepalanya sendiri. Bodoh! Pasti dia tahu dari mulut Makcik Kamariah, cucunya sendiri.
“Habis kamu nak tunggu dia di sini?” Pandangan nenek itu menyorot ke arahnya. Dia tergaman. Macamana nenek ni tahu pulak? Aduh! Malunya aku! Bisik hati kecil Kojie.
“Tak payahlah Kojie, Anabella takkan balik lagi ke sini. Kamu baliklah ke Kuala Lumpur tu. Nanti kalau kamu lambat hantar kereta tu, teruklah kalau kamu kena pecat nanti.” Bisik wanita itu. Kojie terus menerus tergaman. Kata-kata wanita tua itu menimbulkan rasa hairannya. Banyak betul yang wanita itu tahu tentang dia dan Anabella. Dia tiba-tiba teringat yang wanita itu ada menyebut namanya dan nama Anabella dengan lancar. Pasti ini semua kerja Makcik Kamariah, duga Kojie. Tapi dia tidak pernah bercerita tentang Makcik Kamariah tentang kereta yang seharusnya dia hantar kembali pada ketuanya. Aneh! Bisik hati kecil Kojie.
“Kojie, kalau kamu benar-benar sukakan Anabella…ikutlah cakap nenek ni. Pergi balik ke Kuala Lumpur dan ikut takdir kamu di sana.” Ujar nenek itu sambil merenungnya.
“Maksud nenek?” Kojie tercengang.
“Apa sahaja yang berlaku pada kamu selepas ini, kamu kena redha sahaja. Setiap apa yang orang-orang di sekeliling kamu suruh kamu buat, kamu buat saja. Jangan membantah!” Pesan nenek tua itu lagi.
“Tapi nek…saya..”
“Ikut cakap nenek ni Kojie dan Insya Allah kamu akan menemui kebahagiaan kamu, seperti yang kamu impi-impikan. Just follow your dream!” Tiba-tiba wanita tua itu berbahasa ‘Inggeris’ pula dengannya. Dia hanya menggaru kepala mendengar kata-kata wanita tua itu. Biarpun bunyinya agak pelik kedengaran, tapi dia sudah tidak ambil pusing. Hatinya sudah putus asa kerana ditinggalkan Anabella begitu sahaja. Mungkin inilah takdir aku! Sampai bila-bila pun aku takkan berjaya memperolehi cinta yang aku harap-harapkan, bisik Kojie sambil menarik nafas panjang.

No comments:

DEDALU DI HATI - STOK TERHAD!!

DEDALU DI HATI  - STOK TERHAD!!

PESANAN NOVEL DEDALU DI HATI SEDANG DIBUKA SEKARANG!!!

Harga = RM25.90
Kos Pos = RM7 (pos laju)
Total = RM32.90

Emailkan nama dan butiran diri ke arr_nita@yahoo.com.
Pesanan sehingga stok ke 3 ini kehabisan..

NANTIKAN VENOM SURIA DI PESTA BUKU ANTARABANGSA PWTC MULAI 27 APRIL, TERBITAN BUKU PRIMA (RM25.90)

NANTIKAN VENOM SURIA DI PESTA BUKU ANTARABANGSA  PWTC MULAI 27 APRIL, TERBITAN BUKU PRIMA (RM25.90)
Suria gadis ceria dan periang, namun miliki sejarah hitam dalam kelahiran. Yang membuatkan dia diburu dan dijejaki untuk meleraikan sebuah kisah sumpahan, lalu mempertemukan dia dengan dua lelaki berbeza sifat. Izwan jenis yang dingin dan panas baran. Cakapnya harus dipatuhi atau dia akan meletup! Nazrul sentiasa cool tapi punya rahsia terpendam yang menyiksa jiwa. Seorang lelaki ditakdirkan menjadi penyelamat. Seorang lagi ditakdirkan membunuhnya. Kedua-duanya muncul tak diundang, tetapi meninggalkan kesan mendalam. Lalu bermulalah permainan cat and mouse antara mereka sehingga game over!