Followers

Sunday, May 4, 2014

Lelaki Itu Untukku : Bab 19


PAGI itu juga Anna dan kawan-kawannya keluar dari chalet itu. Idlan dan yang lain-lain memahami kemungkinan besar gadis itu malu dengan perlakuannya, jadi dia tidak ambil kisah. Peristiwa itu masih diperbualkan oleh Mak Tun, Pak Man, Maira dan Rezal di meja makan pagi itu. Rata-rata merasa kesal kerana Orked nyaris-nyaris dianiayai Anna. Jika bukan kerana Idlan, mana mungkin semuanya selesai secara aman begini.

            “Selamat pagi Idlan.” Sapa Rezal dan Maira serentak apabila melihat Idlan keluar dari biliknya dengan berpakaian joging.

            Idlan menoleh lantas melemparkan senyuman buat semua orang di meja makan. “Selamat pagi Kak Maira, abang Rezal.” Sapa Idlan pula. Melihat Mak Tun dan Pak Man, Idlan turut menegur kedua orang tua itu.

            “Nak joging ke?” Tanya Rezal ingin tahu.

            “Ya abang Rezal, Id nak joging kat laluan sebelah tepi tasik tu. Kenapa? Abang Rezal nak ikut ke?”

            “Tak boleh Id, abang dan kak Maira kamu nak bawa anak-anak keluar berjalan sekejap lagi. Mungkin kami nak naik ke Bukit Tinggi.” Ujar Rizal tersengih.

            “Tak apalah kalau macam tu. Id joging seorang diri saja.” Idlan ketawa kecil lalu menarik kerusi dan duduk di sebelah Pak Man yang sedang enak mengunyah nasi goreng. Mak Tun segera menyenduk nasi goreng ke pinggan Idlan.

            “Terima kasih Mak Tun.” Idlan tersenyum.

            “Orked belum bangun?” Tanya Mak Tun.

            Idlan memerhatikan di sekelilingnya. Baru dia perasan anak gadis itu tidak ada di meja makan pagi itu.

            “Dia belum makan lagi?” Soal Idlan pula.

            Serentak setiap orang di meja makan menggelengkan kepala. Idlan menarik nafas panjang. Dia menolak kerusi lalu bingkas bangun. Tempat yang ditujunya ialah kamar Orked. Daun pintu bilik itu diketuk bertalu-talu sambil berteriak memanggil anak gadis itu. Namun tidak ada balasan diterimanya. Dahinya berkerut. Tertanya-tanya ke mana perginya anak gadis itu. Akhirnya dia nekad memulas tombol pintu di hadapannya lalu menguak daun pintu. Sejurus apabila matanya beredar ke dalam, dia jadi bingung. Ternyata Orked tidak ada di dalam biliknya!

*  *  *  *

SUASANA di tempat itu sungguh mendamaikan. Sejak dia datang ke situ, dia tidak pernah bersiar-siar sejauh kakinya melangkah kali ini. Selalunya dia hanya pergi setakat melewati tasik itu sahaja. Tapi kali ini, entah kenapa dia membulatkan tekad untuk berjalan lebih jauh. Menurut cerita Mak Tun yang diperdengarkan kepada Maira dan Rezal beberapa hari yang lalu, kawasan persendirian yang dimiliki oleh ayah Idlan bukan sekadar rumah dan kawasan tasik itu sahaja, tapi juga sehingga ke pekan terdekat. Hatinya sedikit sebanyak kagum dengan Idlan yang mewarisi harta-harta ayahnya, tapi tidak lokek dan sombong. Ya, mungkin dari dulu lagi sikap lelaki itu begitu. Hanya dia yang enggan menerima keluhuran hati lelaki itu, sekaligus mempamerkan kedegilannya sendiri.

            Mengenangkan Idlan dan apa yang telah dilakukan lelaki itu terhadapnya, Orked tersenyum sendiri. Ada rasa riang dan gembira rentetan peristiwa malam semalam yang sungguh bermakna buat dirinya. Untuk pertama kali dia merasa dirinya dihargai. Idlan tidak membabi buta memarahinya ekoran tuduhan Anna yang sengaja mahu menganiayainya, sebaliknya lelaki itu menyelamatkannya pula.

            Dalam leka tersenyum, dia tidak sedar kakinya menapak ke tengah jalan. Serentak cuping telinganya mendengar bunyi hon muncul bertalu-talu dari arah hadapan. Orked terkejut besar, lantas cepat-cepat meminggir ke tepi. Sebuah kereta bercermin hitam melewatinya. Orked mengerutkan dahinya. Kereta itu menuju ke arah chalet Idlan. Siapa agaknya? Hatinya tertanya-tanya.

            Ah! barangkali mereka penginap baru yang sudah menempah chalet Idlan dan mahu menghayati keindahan di tempat ini. Hati kecil Orked berbisik. Dia segera meneruskan langkahnya, mahu berjalan-jalan di sekitar tempat itu puas-puas!

            Sebuah gerai menjual buah-buahan segar dan bunga-bungaan di tepi jalan menarik minatnya untuk singgah. Orked ralit memerhatikan bunga-bunga kekwa, ros dan orked yang dijual di gerai milik seorang wanita bersama anak lelakinya berusia dalam belasan tahun.

            Wanita itu sekadar tersenyum memandang ke arahnya. Dia turut melemparkan senyuman yang jarang-jarang dihadiahkan kepada orang lain. Kalau dulu jangan katakan hendak tersenyum, ketawa pun jauh sekali. Tapi entah kenapa, kali ini dia bermurah hati menghadiahi wanita itu dengan senyuman.

            “Adik ni bukan penduduk di sini kan?” Tegur wanita itu.

            Dia mengangguk. “Bukan kak, saya cuma datang bercuti. Saya tinggal di chalet di atas bukit tu.” Dia menunjukkan ke suatu arah, meskipun dia sudah sedia maklum, tidak mungkin mereka di tempat itu tidak kenal dengan chalet kepunyaan ayah Idlan.

            “Oh chalet Tuan Ikhmal….” Suara wanita itu meletus.

            “Tuan Ikhmal?” Dahi Orked berkerut.

            Wanita itu sekadar mengangguk. “Orangnya dah lama meninggal dunia. Tapi baik hati dan murah dengan seyuman. Walaupun Tuan Ikhmal tu kaya raya, tapi dia tak lokek dengan penduduk-penduduk di sini. Apa sahaja kenduri-kendara, pasti dia orang pertama yang datang membantu.” Cerita wanita itu tanpa dipinta.

            Orked terdiam sejenak. Dia tidak pernah mendengar nama itu, tapi dia pasti itu nama ayah Idlan. Dia sendiri tidak pernah bertanyakan nama penuh Idlan.

            “Anaknya pun baik hati macam arwah ayahnya. Idlan tu mesra dengan sesiapa sahaja. Adik tentu kenal dengan Idlan kan?” Bicara wanita itu lagi.

            Orked terpisat-pisat. Tidak pasti apakah dia harus menjawab pertanyaan  wanita itu atau, haruskah dia memberitahu wanita itu hubungan antara dia dan Idlan?

            “Err kak, bunga orkid ni kakak jual berapa?” Soal Orked sengaja mengubah tajuk perbualan. Matanya sengaja dilarikan ke arah sepohon orkid liar berwarna merah hati yang sedang kembang mekar di dalam pasu gantung di hadapannya.

            “Yang ini murah aje dik. Kalau adik nak, kakak jual RM15 je satu pasu.” Ujar wanita itu.

            “RM15? Murahnya kak.” Orked mula tertarik. Bunga orkid merah itu terus dihidu penuh asyik. Hmm..wangi, bisik hati kecilnya.

*  *  *  *

KETIKA dia sampai ke kawasan rumah itu, matanya dengan segera terpandang sebuah kereta yang tidak dikenali diletakkan di laman chalet itu. Wajah Orked segera membangkitkan rasa hairan. Cermin gelap pada kereta BMW berwarna hitam metalik itulah yang nyaris-nyaris melanggarnya sebentar tadi. Siapa pemilik kereta itu sebenarnya? Takkan ayah! Hati kecil Orked mula gundah-gulana. Memikirkan ayahnya mungkin menghantar seseorang untuk mencarinya di situ.

            Dia jadi ragu-ragu mahu meneruskan langkah. Bimbang apa yang disyakinya menjadi kenyataan. Mungkin ada baiknya jika dia tidak masuk ke dalam. Tetapi belum sempat dia mahu melangkah pergi, matanya tiba-tiba terpandang kelibat Idlan dari suatu arah. Lelaki itu terhenti ketika terpandangnya.

            “Orked? Kenapa Orked ada kat sini?” soal Idlan seraya mengerutkan dahi. Hairan melihat gadis itu termangu-mangu di hadapan rumah.

            Orked menggeleng. Suaranya tidak mampu keluar. Mata Idlan kini beralih ke arah sebuah BMW berwarna hitam metalik yang diparkir bersebelahan kereta miliknya Rezal dan Maira.

            “Siapa yang datang?” Tanya Idlan hairan. Sekali lagi dia mengharapkan Orked bersuara, namun gadis itu seakan panik. Setahunya, tidak ada tempahan baru dari orang yang ingin menginap di chaletnya. Dia segera menghampiri gadis itu lalu menarik tangan Orked, menghela si gadis untuk sama-sama melangkah masuk ke dalam. Tapi Orked seakan berat hati.

            “Kenapa?” Dahi Idlan berkerut.

            Orked menggelengkan kepala.

            Idlan merenung anak gadis itu tidak berkelip. Jangan-jangan Orked risau takut-takut ayahnya yang datang! Fikir Idlan.

            “Bukan ayah Orked. Jangan risau.”Pujuk Idlan seraya menuntun tangan anak gadis itu ke arah rumah. Mahu tak mahu Orked terpaksa akur.

Ketika mereka melangkah masuk ke ruang tamu, dua kelibat tubuh yang asing muncul di hadapan mata. Orked terpegun melihat seorang gadis cantik dan seorang lelaki separuh umur sedang bercakap-cakap dengan Pak Man dan Mak Tun. Dia tidak kenal kedua-duanya, namun dia lega bukan ayahnya yang datang ke situ. Ketika dia berpaling ke arah Idlan, dilihatnya wajah Idlan berubah. Muka lelaki itu pucat lesi. Dia perasan anak mata Idlan tertumpu pada gadis yang berada di ruang tamu itu.

Menyedari kepulangan Idlan, gadis itu segera meluru ke arah Idlan. Tubuh Idlan dirangkul erat bersama cucuran airmata. Melihat situasi itu, Orked tercengang-cengang. Muncul tanda tanya dalam dirinya. Siapa gadis itu? Dan apa hubungan gadis itu dengan Idlan?

            I’ve missed you so much. Kenapa Id sampai hati tinggalkan Nad macam tu aje kat sana?” Suara gadis itu kian sebak.

            Orked tercegat seperti patung. Keliru sekaligus cemburu dengan apa yang baharu dilihatnya. Bunyinya seperti gadis itu teman wanita Idlan. Nad? Tiba-tiba dia teringat pada nama Nadya yang terpapar pada skrin telefon Idlan malam semalam. Orang yang samakah?

            Idlan segera meleraikan tangan Nadya di bahunya. Apatah lagi dia segan dengan Mak Tun dan Pak Man yang sedang memerhati ke arah mereka.

            “Bila Nad sampai dari London?” Tanya Idlan dengan suara sengaja ditenangkan.

            “Dua hari lepas. Nad yang minta papa hantar Nad ke mari jumpa Id.”

            “Siapa yang bagitahu Nad yang Id ada kat sini? Mama?” Teka Idlan.

            “Jangan salahkan dia, Nad yang rayu Auntie Mar. We need to talk Id. Nad langsung tak faham kenapa Id tiba-tiba balik ke Malaysia tak beritahu Nad.” Ujar Nadya bingung.

            Idlan tidak segera menjawab. Matanya kini beralih arah. Memandang lelaki di samping Pak Man.

            “Uncle…” sapa Idlan seraya tunduk hormat pada Tuan Rustam, ayah Nadya.

            “Nad telefon uncle beritahu fasal Id. Kenapa tiba-tiba sahaja balik ke Malaysia dan tangguhkan pengajian Id kat sana? Kan tinggal setahun lagi?” Soal Tuan Rustam ingin tahu.

            Idlan tunduk. Dia tidak tahu bagaimana mahu menjawabnya. Ada banyak benda berlegar di kepalanya saat ini.

            “Maaf uncle. Sebab Id, uncle dan Nad bersusah payah datang ke mari.” Keluh Idlan. Dia berpaling ke arah Nadya dengan wajah bercelaru.

            “Nad. Id rasa kita patut putuskan hubungan kita.” Ujar Idlan dengan berat hati. Seperti yang diduga, wajah Nadya berubah. Pucat lesi bagaikan baru bertemu hantu. Orked yang mendengarnya turut terkesima. Begitu juga dengan yang lain-lain.

            “Apa Id cakap ni? Kenapa dengan tiba-tiba aje?” Suara Nadya mula meninggi.

            “Dahulu Id memang sayangkan Nad. Tapi sekarang perasaan ini sudah berubah. Id tak boleh paksa diri Id untuk terus bersama Nad dan menyakitkan hati Nad seperti ini. I’m so sorry.” Bisik Idlan.

            Pang! Pipi Idlan pijar. Tamparan Nadya diterima dengan hati tenang. Dia faham sesiapa sahaja pasti akan bertindak seperti Nadya bila mendengar ayat-ayat kejam yang dituturkannya.

            Kejadian itu mengejutkan Tuan Rustam, Pak Man dan Mak Tun sendiri. Tidak terkecuali Orked yang sedang bingung dengan drama sebabak yang berlaku di hadapan matanya.

            Perlahan-lahan Idlan mengangkat wajahnya lalu merenung Nadya di hadapannya. Kelopak mata gadis itu kini lencun dengan airmata.

            How could you…” bisik Nadya pilu.

            “Maaf, ini yang terbaik untuk kita berdua Nad.” Ujar Idlan.

            “Kenapa? Sebab hati Id sudah ada orang lain? Begitu?” Tuduh Nadya.

            Idlan hanya mampu diam.

            Mata Nadya tiba-tiba berpaling ke arah Orked yang sejak tadi berdiri di belakang Idlan. Dia memandang gadis itu dari atas ke bawah. Pandangannya tajam penuh menyelidik.

            “Siapa dia tu? Itu kekasih baru Id? Sebab dia Id sanggup tinggalkan Nad macam ni?” Nadya membuat kesimpulan melulu tanpa berfikir panjang. Ketika emosi sedang bergelodak, apa-apa sahaja boleh keluar dari mulut tanpa kerelaan.

            Idlan menoleh lalu mencari-cari wajah Orked yang bingung. Perlahan-lahan dia mendekati Orked lalu memegang tangan anak gadis itu. Sepasang matanya berlari ke wajah Orked yang sedang merenungnya bagaikan meminta penjelasan.

            “Nama dia Orked. And yes, I do love her.” Akui Idlan tenang.

            Mata Orked membulat. Dadanya langsung bergetar mendengar kata-kata Idlan terhadapnya. YA ALLAH! Apa yang Idlan buat ni?

            “Nad dah agak. Sebab perempuan tu, Id tinggalkan Nad.” Tuduh Nadya separuh menjerit. Esakannya menghiba di sekitar ruang tamu itu, memaksa Tuan Rustam meluru ke arah anaknya, cuba menenangkan perasaan Nadya.

            “Id, apa semua ni? Kita kenal bukan sehari dua tapi dah bertahun-tahun. Idlan yang uncle kenal bukan begini orangnya.” Ujar Tuan Rustam cuba masuk campur.

            Idlan tidak menjawab. Keluhannya meniti di bibir. Dia memandang wajah Tuan Rustam dan Nadya silih berganti. Apa sahaja tuduhan kedua-duanya terhadapnya, dia akan menerima sahaja tanpa membela diri. Lagipun ini semua salahnya!

            Idlan melangkah naik ke biliknya tanpa sebarang kata. Meninggalkan wajah-wajah yang bingung dan tertanya-tanya.

            Orked turut mengekori pemergian lelaki itu dengan perasaan bercelaru. Apa sebenarnya yang berlaku antara Idlan dengan Nadya? Betulkah mereka pasangan kekasih? Tapi kenapa Idlan meninggalkan gadis itu seperti yang didakwa Nadya? Selama dia mengenali Idlan, dia tidak fikir Idlan akan melakukan hal-hal seumpama itu terhadap seorang gadis.

            Tuan Rustam sempat berbicara sepatah dua dengan Mak Tun dan Pak Man sebelum memapah anaknya ke muka pintu. Tapi sebelum kedua-duanya keluar, Nadya tiba-tiba menolak tangan ayahnya lalu menghampiri Orked. Sepasang matanya merenung tajam ke arah gadis di hadapannya.

            Orked telan liur. Gugup bila dipanah sebegitu rupa. Dahulu sewaktu dia bergaduh dengan Anna, tidak pula dia merasa gentar seperti ini. Tapi dengan gadis itu, tiba-tiba sahaja dia kalah.

            “Sejak bila awak dengan Idlan berhubungan?” Pertanyaan itu meluncur dari bibir Nadya.

            Orked terpempan. Tidak tahu bagaimana mahu menjawab tuduhan gadis itu. Dia mengerling ke arah Mak Tun yang kelihatan gelisah, mengharapkan wanita itu sudi menjelaskannya bagi pihaknya.

            “Sebab awak, Idlan tinggalkan saya. Awak tentu gembira kan?”

            Orked mati kutu jadinya. Takkanlah dia nak gembira pula walhal dia langsung tak faham apa-apa. Dia hanya kambing hitam yang Idlan pergunakan. Orang bodoh pun takkan percaya, takkanlah perempuan itu percaya Idlan sanggup meninggalkan seorang gadis cantik kerananya! Keluh Orked.

            “Cakap dengan Idlan, kalau ini yang dia mahu, baik. Saya akan balik ke London dan takkan kembali lagi. Saya harap hubungan awak dan dia bahagia.”  Usai mengatakannya, Nadya terus berlalu pergi.

            Orked menarik nafas panjang. Pening! Dia yang langsung tidak ada kaitan apa-apa, terus dianggap perampas kekasih orang. Wajarkah Idlan mengaku begitu di hadapan Nadya? Teruk dia dikenakan Idlan kali ini! Keluh Orked gusar. Bibirnya diketap rapat. Dia mendongak ke tingkat atas. Kali ini dia mesti bersemuka dengan Idlan dan menuntut lelaki itu bercakap benar tentangnya pada Nadya. Tapi bagaikan memahami apa yang mahu dilakukannya, Mak Tun tiba-tiba menghalang.

            “Jangan cari Idlan buat masa sekarang Orked. Kita bagi masa Idlan bertenang dulu.” Pinta Mak Tun.

            Langkah Orked terhenti. Hendak tak hendak terpaksalah dia mengikut sahaja cakap-cakap orang tua itu.

            “Betul ke Idlan tangguhkan pengajian dia?” Suara Pak Man kedengaran.

            “Idlan beritahu saya dia bercuti.”

            “Maria tahu ke hal ni?”

            “Entahlah bang. Hati saya ni tiba-tiba rasa tak sedap. Tentu ada sebab kenapa Idlan tangguhkan pengajian dia. Awak tak dengar Tuan Rustam cakap tadi? Katanya Idlan hanya tinggal setahun sahaja untuk habiskan pelajaran. Idlan yang saya kenal takkan ambil keputusan melulu begini kalau tak ada apa-apa yang berlaku kat London tu.” Keluh Mak Tun risau.

            Orked terdiam. Perbualan kedua-duanya diikuti tanpa niat mahu menyampuk. Sepertimana kedua-dua suami isteri itu, pastilah orang yang lebih bingung ialah dirinya. Dia baharu sahaja kenal dengan Idlan tak sampai seminggu. Banyak perkara tentang lelaki itu yang masih jauh melangkaui pengetahuannya.

3 comments:

kak edsh said...

So sad tentu idlan sakit ye.....hope janganlah yg tiada harapan sembuh sian....

mimie khairuddin said...

Please sambung lagi!!!

Unknown said...

Assalamualaikum,
saya adalah salah seorang pembaca novel di blog ini. Berminat tak untuk menerbitkan novel sendiri dalam bentuk enovel, untuk dijual terus kepada pembaca?
Jika berminat sila hubungi penulis@appnovella.com untuk penjelasan lanjut

DEDALU DI HATI - STOK TERHAD!!

DEDALU DI HATI  - STOK TERHAD!!

PESANAN NOVEL DEDALU DI HATI SEDANG DIBUKA SEKARANG!!!

Harga = RM25.90
Kos Pos = RM7 (pos laju)
Total = RM32.90

Emailkan nama dan butiran diri ke arr_nita@yahoo.com.
Pesanan sehingga stok ke 3 ini kehabisan..

NANTIKAN VENOM SURIA DI PESTA BUKU ANTARABANGSA PWTC MULAI 27 APRIL, TERBITAN BUKU PRIMA (RM25.90)

NANTIKAN VENOM SURIA DI PESTA BUKU ANTARABANGSA  PWTC MULAI 27 APRIL, TERBITAN BUKU PRIMA (RM25.90)
Suria gadis ceria dan periang, namun miliki sejarah hitam dalam kelahiran. Yang membuatkan dia diburu dan dijejaki untuk meleraikan sebuah kisah sumpahan, lalu mempertemukan dia dengan dua lelaki berbeza sifat. Izwan jenis yang dingin dan panas baran. Cakapnya harus dipatuhi atau dia akan meletup! Nazrul sentiasa cool tapi punya rahsia terpendam yang menyiksa jiwa. Seorang lelaki ditakdirkan menjadi penyelamat. Seorang lagi ditakdirkan membunuhnya. Kedua-duanya muncul tak diundang, tetapi meninggalkan kesan mendalam. Lalu bermulalah permainan cat and mouse antara mereka sehingga game over!