Followers

Monday, December 14, 2009

Sayangku Casper : Bab 12

SEBUAH teksi berhenti di hadapan sebuah bangunan empat tingkat yang agak usang. Dua kelibat tubuh melangkah keluar seraya mendongakkan kepala. Tia tersenyum-senyum memandang bangunan di hadapannya. Berbeza dengan Rafique yang asyik menggaru-garu kepala tidak gatal.

“Hah amacam? Bagus kan?” Tia menoleh.

Rafique tercengang. Macam ni kau kata bagus? Macam apartment berhantu aje. Dia telan liur melihat kawasan sekeliling bangunan tersebut yang agak bersemak dan tidak terurus. Dinding bangunan itu juga sudah bergelumang dengan lumut-lumut hijau.

“Ini ke tempatnya?” Entah kenapa Rafique tidak yakin.

Tia mengangguk. “Yup, dulu saya pernah bantu kawan-kawan saya cari rumah sewa di kawasan ni. Rumah sewa kat sini murah. Tempat makan pun senang. Ada gerai mamak kat simpang jalan sana. Dulu pernah kena tutup sekali sebab ramai yang keracunan masa makan kat situ. Tapi sekarang mamak tu dah berniaga balik.” Canang Tia panjang lebar.

Rafique tercengang. Maknanya aku kena cari makan kat luar la macam ni. Memang tak susah pun nak cari rumah kosong, sebab kemungkinan besar tak ada orang yang waras nak tinggal kat rumah seperti ini. Dahlah bangunannya buruk, usang pula tu. Silap-silap haribulan esok lusa bangunan ni boleh tumbang. Apa punya rumah la budak ni tunjukkan kat aku ni, rungut Rafique.

“Macam tak suka aje.” Tia mengerutkan dahinya.

Memang pun! Takkan orang macam aku nak duduk bangunan buruk macam ni! Rungut Rafique. Tapi dalam hati aje! Tak mungkin dia mahu menunjukkan perasaan tidak sukanya di hadapan gadis itu.

“Err..bukan tak suka. Suka.Terkejut aje sebab rumah ni cantik sangat. Betul ke ada orang tinggal kat sini?” Tanya Rafique seolah tidak yakin.

Tia merenung lelaki itu dengan wajah sebal. Gaya bahasa lelaki itu dia faham benar.

“Amboi memilih pulak. Saya bawa awak ke sini sebab rumah kat kawasan ni la yang paling murah. RM50 aje sebulan. Bukan ke murah tu? Lagipun awak lupa ke siapa yang kena kejar dengan along tadi? Saya ke awak?” Getus Tia sambil mencebikkan bibirnya.

Sekali lagi Rafique menelan liur. RM50 je sebulan? Mak oi rumah sewa apa sampai begini murah? Macam tak logik pula. Jangan-jangan ada something wrong dengan rumah ni tak? Manalah tahu dulu rumah ni ada orang mati kena bunuh ke, atau ada jin duduk bertendang di sini.

“Dah, jom kita naik atas jumpa Pak Mud. Dia tuan punya bangunan ni. Saya dah telefon dia tadi, katanya banyak lagi yang kosong.” Ujar Tia lalu mendahului langkah ke arah bangunan tersebut.

Rafique terkelip-kelip memerhatikan kelibat Tia yang menghilang ke dalam. Diam-diam dia menarik nafas panjang. Salahnya juga! Siapa yang suruh dia berbohong dengan gadis itu? Mahu tak mahu dia turut menyusul ke dalam dengan langkah berat.

“Rumah ni dah tujuh bulan kosong. Pak Mud sengaja turunkan lagi sewanya sebab entah apa tak kena, tak ada orang nak tinggal kat rumah ni. Agaknya ada hantu kut!” Pak Mud tuan punya rumah ketawa kecil sewaktu membawa kedua-dua anak muda itu melawat sekitar rumah.

Rafique merenung orang tua itu dengan wajah berkerut. Lawak plastik pulak orang tua ni! Dia menjeling ke arah Tia yang turut tersengih-sengih, bagaikan kata-kata lelaki tua itu benar-benar melucukan.

Dia asyik memandang suasana di dalam rumah itu. Walaupun rumah tersebut siap dengan maintenance, ada sofa buruk warna merah hati, terdapat meja makan bentuk bulat untuk empat orang, sebiji peti ais, mesin basuh, televisyen 24 inci, sebuah katil bujang dan almari…tapi entah kenapa semua barang-barang usang itu bukan membuatkan dia tenang, sebaliknya menaikkan lagi bulu romanya. Rumah itu memang terkategori rumah yang mempunyai aura-aura seram.

“Kalau kamu setuju, boleh bayar terus pada Pak Mud. Pak Mud tak berkira fasal deposit. Kamu bayar satu bulan deposit pun cukuplah. Semua sekali RM100.” Ujar Pak Mud seraya melayang-layangkan kunci rumah di tangannya.

“Ala dia memang nak tu Pak Mud. Hah awak, tunggu apa lagi? Bayarlah deposit tu. Malam ni takdelah awak duduk berkelana tak tentu hala. Tempat tidur pun dah ada.” Sampuk Tia sebelum sempat Rafique memberi kata putus.

Rafique terkedu. Dia memandang Pak Mud dan Tia silih berganti. Wajah Pak Mud bersinar-sinar penuh harapan. Dia mengeluh panjang. Mahu tak mahu dia segera menyeluk saku seluarnya lalu mencapai dompet duitnya. Terketar-terketar dia mahu menarik dua keping not RM50 yang masih baru dari lipatan wang-wangnya di dalam dompet.

No comments:

DEDALU DI HATI - STOK TERHAD!!

DEDALU DI HATI  - STOK TERHAD!!

PESANAN NOVEL DEDALU DI HATI SEDANG DIBUKA SEKARANG!!!

Harga = RM25.90
Kos Pos = RM7 (pos laju)
Total = RM32.90

Emailkan nama dan butiran diri ke arr_nita@yahoo.com.
Pesanan sehingga stok ke 3 ini kehabisan..

NANTIKAN VENOM SURIA DI PESTA BUKU ANTARABANGSA PWTC MULAI 27 APRIL, TERBITAN BUKU PRIMA (RM25.90)

NANTIKAN VENOM SURIA DI PESTA BUKU ANTARABANGSA  PWTC MULAI 27 APRIL, TERBITAN BUKU PRIMA (RM25.90)
Suria gadis ceria dan periang, namun miliki sejarah hitam dalam kelahiran. Yang membuatkan dia diburu dan dijejaki untuk meleraikan sebuah kisah sumpahan, lalu mempertemukan dia dengan dua lelaki berbeza sifat. Izwan jenis yang dingin dan panas baran. Cakapnya harus dipatuhi atau dia akan meletup! Nazrul sentiasa cool tapi punya rahsia terpendam yang menyiksa jiwa. Seorang lelaki ditakdirkan menjadi penyelamat. Seorang lagi ditakdirkan membunuhnya. Kedua-duanya muncul tak diundang, tetapi meninggalkan kesan mendalam. Lalu bermulalah permainan cat and mouse antara mereka sehingga game over!