Followers

Thursday, November 14, 2013

Cinta Bukan Larangan (SC) : Bab 6


HATINYA resah sendiri. Sejak dia pulang dari menghantar Irman petang tadi, jiwanya benar-benar tidak tenteram. Wajah lelaki yang ditemuinya di kelab squash siang tadi kembali mengundang resah yang berpanjangan sejak bertahun yang lalu. Kejutan yang dialaminya di kelab squash itu membuatkan dia hilang semangat, sehinggakan pelawaan Irman untuk makan bersamanya pun ditolak mentah-mentah. Padahal dia pada asalnya ingin bertemu Irman untuk bertanyakan soal pemergian Irman ke Birbeck tidak lama lagi.

            Dina Azura memejamkan matanya. Cuba sedaya upaya membuang wajah itu dari ingatannya. Namun semakin dicuba, semakin dia bingung. Keresahannya dibawa sehingga ke meja makan, membuatkan Bibik sendiri menyedari perubahan sikapnya.

            “Nak Dina ngapain? Kenapa enggak dihabisin makanannya? Apa masakan bibik kurang enak?” Tanya Bibik bimbang. Hatinya risau melihat anak gadis itu muram sahaja. Selalunya Dina Azura bising di meja makan.

            Dina Azura memandang wanita itu. Bibirnya mengorak senyuman, meskipun terasa sendat dadanya mahu bernafas.

            Bik, Dina tak ada selera.” Jawabnya jujur.

            “Iya... tapi ngapain? Apa Dina sakit? Mau dibawain ke rumah sakit?” Tanya Bibik semakin cemas.

            Dina Azura menggeleng. Dia memandang makanan yang telah disediakan oleh wanita itu. Semuanya nampak sedap dan menyelerakan. Namun entah kenapa, lidahnya terasa pahit malam itu. Tekaknya bagai tidak menginginkan semua masakan kegemarannya yang disediakan oleh Bibik.

            “Bik, Dina betul-betul tak berselera. Bibik kemaskan saja ya. Dina nak masuk tidur awal,” ujar Dina Azura seraya bingkas bangun. Tercengang Bibik melihat gadis itu beredar pergi begitu sahaja tanpa menjamah makanannya.

            “Lho..jadi makanannya harus dibuang begitu saja?” Bibik memandang makanan yang masih banyak bakinya di atas meja. “Mendingan dibuang kayak gitu, iya lebih baik sih dimakan sama bibik.” Sambung Bibik seraya tersengih. Dia segera mencapai pinggan lalu mula menyenduk nasi ke pinggannya. Dan juadah di hadapannya itu tidak menunggu lama untuk dihabiskan.

*  *  *  *

LANGKAHNYA diatur separuh longlai menuju ke biliknya. Sesekali matanya melirik memerhatikan rumah besarnya yang sentiasa sunyi. Dia merenung bilik ibubapanya yang hampir sebulan tidak berpenghuni. Dina Azura mengeluh kecil.

            Apabila dia melewati sebuah bilik yang terkatup rapat, langkahnya tiba-tiba terhenti. Agak lama dia tercegat di hadapan bilik itu. Perlahan-lahan tangannya maju ke arah tombol pintu, namun saat itu dia mula dihimpit keraguan. Ada kenangan pahit masih tersemat kukuh di hatinya. Semua itu takkan mungkin dapat dilupakannya.

            Berapa kali aku nak cakap, jangan masuk bilik aku. Apa kau pekak?” Suara tengkingan itu sudah sebati dalam dirinya. Menyakitkan hati tapi entah kenapa dia seperti orang bodoh, merelakan sahaja dirinya ditengking dan diherdik begitu.

            “Tapi Dina nak pinjam buku abang.”

            “Siapa bagi kau kebenaran sentuh barang-barang aku? Lain kali kalau kau nak, minta dengan mama. Suruh mama belikan, bukan usik barang aku sesuka hati kau. Faham?”

            Dina Azura memegang permukaan dadanya. Hatinya sedih. Kelopak matanya sudah bertakung air jernih. Dia mengesat pelupuk matanya dengan hujung jari. Kenangan demi kenangan sentiasa terpahat di hati meninggalkan sebuah nostalgia pahit dalam hidupnya.

            “Sikit-sikit nak nangis, lepas tu mengadu dengan mama. Kau memang sengaja nak aku kena marah dengan mama dan ayah kan?” Tukas anak muda itu dingin.

            “Dina tak mengadu. Sumpah!”

            “Aku tak peduli, keluar dari bilik aku sekarang. Aku tak nak tengok muka kau di sini. Keluar!” Herdik lelaki itu.

            “Tapi abang….”

            “Keluar!”

            Dina Azura terkejut. Tengkingan itu bagaikan baru semalam kedengaran. Siapalah yang dapat memahami perasaannya selama ini? Tidak mama, juga bukan ayah. Dia rasa terpinggir dari rumahnya sendiri. Terasa jauh dari abangnya sendiri yang terang-terangan membenci kehadirannya di rumah itu.

            “Kenapa? Kenapa abang benci sangat pada Dina? Apa salah Dina?” Dia mengesat airmata yang kian lebat di pipinya. Sepuluh tahun lelaki itu pergi membawa rasa benci itu. Membawa diri sehingga tidak sudi lagi untuk balik ke mari.

            Kadang-kala dia selalu merasakan Diaz pergi kerananya. Lelaki itu juga enggan pulang ke mari setelah tamat belajar kerananya. Semuanya kerananya! Apakah peristiwa sepuluh tahun itu puncanya? Apakah benar Diaz tidak mahu pulang kerana rasa bersalah? Abang, tahukah abang yang Dina sudah lama memaafkan abang. Malah tidak ada sekelumit benci pun di hati Dina tersimpan untuk abang. Dina tahu abang tak sengaja! Dina tahu abang bukan jahat! Bisik hati kecilnya sebak.

            Dia merenung potret wajah Diaz di penjuru kamar tidurnya. Wajah Diaz yang berusia 17 tahun, tidak banyak berbeza dengan wajah lelaki yang ditemuinya di kelab squash siang tadi. Hanya wajah itu nampak lebih kacak dan lebih matang berbanding dahulu.

            Dia tahu dia tidak tersilap pandang. Meskipun mereka sudah lama tidak bertemu, tapi raut wajah itu masih segar dalam ingatannya. Dia yakin lelaki yang ditemuinya itu Diaz Hafizi. Dia yakin lelaki itu adalah abangnya. Malah dia juga mulai menyakini matanya yang seolah-olah melihat kelibat Diaz di dalam perut teksi minggu lalu.

Sepuluh tahun di rantau orang, kenapa baru sekarang lelaki itu pulang? Jika dicongak, lelaki itu sudah berada hampir seminggu di tanahair jika dikira dari kali pertama dia mula-mula melihat lelaki itu di dalam perut teksi. Tapi anehnya tidak sekalipun lelaki itu singgah menjenguk muka di rumah ini. Tidakkah Diaz ingin pulang ke mari? Pulang ke rumah dan biliknya yang sejak sekian lama ditinggalkan? Tidakkah lelaki itu ingin tahu bagaimana keadaan mama dan ayah mereka?

Tiba-tiba Dina Azura terfikir sesuatu. Apakah mama dan ayahnya tahu tentang kepulangan Diaz ke mari? Dina Azura tahu, dalam kunjungan ayah dan mamanya ke luar negara, ada agenda terancang untuk bertemu abangnya itu. Kunjungan setiap tahun yang membawa hasrat yang sama. Memujuk Diaz pulang ke tanahair, meskipun kedua-duanya  sering pulang dengan wajah hampa.

            “Mama yakin yang mama boleh pujuk abang balik kali ini?” Dia teringat pertanyaannya tempohari, sehari sebelum wanita itu berangkat ke Amerika bersama ayahnya. Wanita itu terdiam.

            “Mama kena cuba.”

            “Dah lima tahun mama cuba. Apa mama tak pernah serik?” Dia sekadar menduga.

            “Mama takkan pernah serik dengan anak sendiri. Mungkin kalau Dina sendiri pun, mama akan tetap bertindak yang sama. Tapi mama tak bimbangkan Dina. Mama tahu Dina anak yang baik.” Wanita itu tersenyum seraya memeluknya.

            Dia terdiam. Kata-kata mamanya dihadapi dengan perasaan hambar. Pujian mamanya tidak pernah menggembirakan. Apatah lagi istilah anak baik itulah yang sering membuatkan Diaz membencinya.

            “Kalau Dina nak ikut mama dengan ayah, ambillah cuti. Kita ambil kesempatan jalan-jalan kat sana sambil cuba pujuk abang.” Usul ibunya seperti berharap.

            “Mana boleh mama, dah tak sempat nak book flight lagi.” Dia memberi alasan.

            “Kalau Dina sungguh-sungguh nak pergi, itu bukan masalah. Ayah kan ada kawan yang kerja di syarikat penerbangan. Tentu dia boleh uruskan tiket untuk Dina.” Sahut ibunya.

            Dia terdiam sejenak mendengar cadangan ibunya. Sememangnya jauh di sudut hati dia pernah terfikir untuk mengikut keluarganya menyusul Diaz. Tapi  memikirkan reaksi Diaz jika melihatnya, dia memendam perasaan sendiri. Tak mungkin lelaki itu akan gembira melihatnya di situ. Silap-silap haribulan, pujukan mamanya akan lebih sukar dengan kehadirannya. Kerana itu dia menahan diri lalu menggelengkan kepala menandakan tidak mahu ikut serta. Wajah ibunya tergambar kecewa.

            “Dina selalu tak mahu pergi kalau diajak,” keluh ibunya perlahan. Dia hanya tersenyum memandang wanita itu.

            “Dina tak mahu ganggu mama dan ayah honeymoon.” Candanya separuh bergurau, sengaja mahu menutup kekecewaan hatinya. Ketawa ibunya meletus kali ini mendengar kata-katanya.

            Dina Azura menghela nafas berat. Dia melangkah perlahan ke arah jendela biliknya. Tirai jendela itu dikuak. Matanya tertumpu pada sinar bulan yang menerangi dada langit yang gelap. Entah kenapa, wajah Diaz menjelma dalam bulan penuh sambil tersenyum memandang ke arahnya. Dia turut membalas senyuman itu. Tapi apa yang terbias di wajah bulan itu hanya impian-impiannya yang tidak akan kesampaian. Senyuman Diaz untuknya tak mungkin akan berlaku. Lelaki itu membencinya. Abangnya sendiri membenci kehadirannya! Kenapa? Mengapa? Soalan itu hanya menimbulkan kebuntuan yang tidak pernah selesai. Semakin dia memikirkannya, semakin hatinya merasa seperti diasak ke jurang yang dalam.

*  *  *  *

“NAK pesan lagi?” pelawa wanita itu. Dia hanya menggelengkan kepala. Spageti bolognese yang masuk ke perutnya masih belum sempat dicerna. Tak mungkin dia akan memesan sepinggan lagi makanan tersebut. Cukuplah, perut aku ni bukannya besar sangat pun!

            “Tak payahlah puan, I dah kenyang.” Diaz menggeleng. Dia leka memerhatikan persekitaran restoran berbumbungkan daun mengkuang kering dan buluh rumbia itu. Selama ini dia tidak pernah tahu kewujudan restoran ala desa itu. Kalau bukan kerana dia menjemput Alma Katherine di Kelab Squash petang tadi, belum tentu dia dapat merasa makan malam bersama-sama wanita itu di tempat yang unik dan cantik ini. Lain kali dia boleh mengajak Haril pula ke mari! Fikir Diaz dalam hati.

            “Hidangan kat restoran ni memang sedap. I dengan Zira selalu keluar makan kat sini.” Cerita Alma Katherine.

Diaz hanya menjadi pendengar setia. Dia sendiri tidak arif tentang makanan, apatah lagi dia bukan seorang yang cerewet bersangkut-paut dengan makanan. Baginya makanan mahal atau murah tidak menjadi soal, asalkan sedap.

            “You dah jumpa dengan Zira kan?” Wanita itu memandangnya.

Diaz mengangguk. Kelmarin dia juga ada bertembung dengan gadis itu di hadapan biliknya.

            “Dah lama Azira kerja dengan you?” Soal Diaz ingin tahu.

            “Dah dekat lima tahun. Habis universiti dia terus kerja jadi pembantu I di Bumi Emas. Orangnya cekap buat kerja, sikapnya juga bagus.” Jawab Alma Katherine jujur. Sememangnya hubungan dia dan Azira lebih dari sekadar hubungan antara pekerja dan majikan.

            Diaz terdiam. Dia tidak lagi mengulas kata-kata Alma Katherine.

            “Apa pendapat you tentang Bumi Emas? You boleh adapt dengan suasana kerja kat sini?” Tanya Alma Katherine ingin tahu. Wajah lelaki di hadapannya itu dipandang teliti.

            So far bagus. Roslan banyak membantu.” Ujar Diaz.

            “Roslan arkitek senior di Bumi Emas. Sebelum ni Roslan macam you juga, kerja dengan company luar milik seorang rakyat Singapura. I jumpa dia pun dalam satu majlis. Lepas dia berhenti, I offer Roslan kerja dengan I.” Canang Alma Katherine.

            “You betul-betul baik dengan semua pekerja-pekerja you.” Tanpa disedari Diaz meluahkan kejujuran.

Alma Katherine ketawa besar. Entah kenapa dia lucu mendengar kata-kata Diaz yang bersahaja.

            “Diaz, kalau I tak baik dengan pekerja I sendiri, I makan pasir tahu tak. Siapa nak kerja dengan I kalau I ni bos garang yang suka membuli pekerja? You pun tak mahu kan?” Gurauan Alma Katherine disambut ketawa Diaz.

            Anyway, thanks sebab jemput I kat kelab squash tu.”

            Don’t mention that. I tak kisah jemput ketua sendiri. Sekurang-kurangnya I dapat bantu you dan bantu Azira.” Balas Diaz jujur. Mujurlah semasa Azira menghubunginya siang tadi, dia berada berhampiran dengan kelab squash itu. Jika tidak masakan dia dapat membantu Azira yang tersekat dengan trafik untuk menjemput Alma Katherine.

No comments:

DEDALU DI HATI - STOK TERHAD!!

DEDALU DI HATI  - STOK TERHAD!!

PESANAN NOVEL DEDALU DI HATI SEDANG DIBUKA SEKARANG!!!

Harga = RM25.90
Kos Pos = RM7 (pos laju)
Total = RM32.90

Emailkan nama dan butiran diri ke arr_nita@yahoo.com.
Pesanan sehingga stok ke 3 ini kehabisan..

NANTIKAN VENOM SURIA DI PESTA BUKU ANTARABANGSA PWTC MULAI 27 APRIL, TERBITAN BUKU PRIMA (RM25.90)

NANTIKAN VENOM SURIA DI PESTA BUKU ANTARABANGSA  PWTC MULAI 27 APRIL, TERBITAN BUKU PRIMA (RM25.90)
Suria gadis ceria dan periang, namun miliki sejarah hitam dalam kelahiran. Yang membuatkan dia diburu dan dijejaki untuk meleraikan sebuah kisah sumpahan, lalu mempertemukan dia dengan dua lelaki berbeza sifat. Izwan jenis yang dingin dan panas baran. Cakapnya harus dipatuhi atau dia akan meletup! Nazrul sentiasa cool tapi punya rahsia terpendam yang menyiksa jiwa. Seorang lelaki ditakdirkan menjadi penyelamat. Seorang lagi ditakdirkan membunuhnya. Kedua-duanya muncul tak diundang, tetapi meninggalkan kesan mendalam. Lalu bermulalah permainan cat and mouse antara mereka sehingga game over!