EMELDA menjenguk ke dalam bilik Dina Azura. Hajat hatinya ingin
mengajak gadis itu makan tengahari bersama. Namun apabila melihat kepala Dina
Azura tersembam ke arah meja, hati Emelda berputik rasa hairan.
Perlahan-lahan dia melangkah masuk
ke dalam bilik Dina Azura. Mata
gadis itu terpejam rapat, membuatkan Emelda tertanya-tanya sendiri. Tidurkah
dia?
“Dina?” Panggil Emelda perlahan. Dina Azura tidak
menjawab. Emelda berpaling ke arah lakaran sketch yang bertaburan di atas meja gadis itu. Sempat dia memerhatikan
beberapa buah lakaran. Agaknya ini lakaran untuk projek Bumi Emas Holdings? Dia
menggelengkan kepalanya sambil tersenyum. Pasti Dina Azura sibuk menyiapkan storyboard itu sejak semalam.
Emelda meletakkan fail di tangannya,
sebelum dia membantu mengemaskan lakaran-lakaran yang berselerak di atas meja
gadis itu. Sesekali dia mengerling ke arah Dina Azura yang masih nyenyak tidur.
Sewaktu tangannya lincah mengemaskan meja Dina Azura, mata Emelda terpandang
sehelai lakaran yang menarik minatnya. Dahinya berkerut. Siapa ni?
Wajah seorang lelaki terpapar di
dalam salah satu lakaran Dina Azura. Emelda memandang potret itu agak lama.
Terbit rasa hairan di hatinya. Kenapa Dina Azura melakar potret ni? Siapa dia? Hendak
kata Irman, dia kenal wajah Irman sejak lelaki itu menghantar sendiri jambangan
bunga untuk Dina Azura tempohari. Lakaran gambar yang dilukis Dina Azura ini
memang sah bukan Irman. Emelda benar-benar pasti!
Belum
sempat dia berfikir panjang, tiba-tiba lakaran di tangannya dirampas. Emelda
tergaman apabila menyedari lakaran di tangannya sudah beralih ke tangan Dina
Azura.
“Dina, aku…”
“Maaf, aku tak sedar bila kau masuk
tadi Mel.” Ujar
Dina Azura.
Emelda terdiam bercampur
gugup. Entah mengapa, timbul rasa bersalah di hatinya. Tidak patut dia melihat-lihat
lakaran Dina Azura tanpa kebenaran gadis itu.
“Aku nak ajak kau lunch,
tapi aku nampak kau tertidur di sini. Kau tak balik ke semalam?” Soal Emelda,
cuba menutup kegelisahan hatinya. Dina Azura sekadar tersenyum.
“Balik, takkan aku nak tidur kat
sini pulak. Ke mana kau pagi tadi, sampaikan tak tahu aku balik atau tidak?”
Soal Dina Azura pula.
“Aku ada temujanji dengan klien,
jadi aku tak masuk sejak pagi tadi. Err.. Dina, maafkan aku ya.” Ujar Emelda perlahan.
“Maaf? Untuk apa?” Dina Azura memandang gadis itu.
“Sebab aku tengok sketch
kau tanpa kebenaran.” Ujar
Emelda agak berhati-hati. Bimbang jika Dina Azura melenting tiba-tiba. Namun dia
lega sebaik melihat senyuman manis terukir dari bibir gadis itu.
“Tak, aku tak marah. Lagipun sketch biasa saja. Aku kena siapkan sketch ni untuk presentation
dengan pihak Bumi Emas minggu hadapan.” Balas Dina Azura.
Emelda terdiam. Dia tidak tahu apakah Dina Azura sengaja
buat-buat tidak faham dengan maksudnya. Bukan sketch itu yang dimaksudkannya, tapi dia ingin benar tahu potret siapakah
yang terlakar indah di halaman kertas itu. Dari cara Dina Azura menjawab,
kelihatan seperti gadis itu tidak sudi berkongsi ceritanya.
“Tak apalah kalau macam tu, lega aku kalau kau tak marah.
Oh ya, jom makan tengahari dengan aku?”
“Maaf Mel, hari ni maybe tak boleh, aku dah minta dengan
Encik Halim nak keluar awal. Aku ada temujanji dengan mama. Kalau kau nak join
sekali, boleh aku…”
“Tak apalah Dina, lagipun aku tak
nak kacau daun.” Pintas Emelda sambil tersengih.
“Kacau daun apa pulak, makan dengan
mama aku je.” Dina Azura mencebik.
“Tak apalah Dina, terima kasih
ajelah sebab pelawa aku. Kirim salam kat mama kau ye, dah lama aku tak jumpa
dia.” Emelda tergelak-gelak kecil. Dina Azura hanya mampu menggelengkan kepala
dengan kerenah nakal temannya itu.
Tepat jam satu tengahari, Dina Azura
sudah terpacul di sebuah restoran. Dari jauh dia terlihat kelibat Zuraini
sedang menantinya di sebuah meja yang agak tersorok oleh pandangan mata. Dina
Azura segera mendapatkan ibunya.
“Mama…,” tegur Dina Azura seraya
menarik kerusi, lalu duduk di hadapan wanita itu.
Zuraini
hanya tersenyum memandang Dina Azura. Wajah anak gadis itu ditatap gembira. Kasihnya
menjalar setiap kali dia memandang wajah anak itu.
“Dah lama mama tunggu Dina?” Tanya Dina Azura lembut.
“Tak, mama pun baru sampai tadi. Mama dah cakap
kan, kalau Dina sibuk tak payahlah makan tengahari dengan mama. Malam nanti pun
kita boleh jumpa kat rumah.” Ujar Zurani seraya tersenyum.
“Siapa kata Dina sibuk? Kalau untuk
mama, apa pun boleh. Lagipun Dina tahu, mama tentu sunyi sorang-sorang kat
rumah tu kan?”
Zuraini terdiam. Sejak sekian lama,
hanya Dina Azura seorang yang mengerti perasaan hatinya. Dia memang sunyi
berada di rumah sendirian. Kesibukan suami dan anak-anaknya membuatkan dunianya
terbatas hanya di rumah. Kalau bukan kerana dia berhenti kerja terlalu awal,
mungkin hidupnya takkan sepi begini. Ada suami pun, dia kerap ditinggalkan.
Hisyam bukan lagi suami yang didambakannya seperti dahulu. Meskipun mereka
kelihatan seperti pasangan bahagia yang lain, tapi hakikat sebenarnya hanya dia
yang tahu. Kehidupannya dari hari ke sehari semakin hambar, semakin suram.
Entah apa silapnya dengan hubungan mereka!
Dia perasan sejak akhir-akhir ini,
suaminya itu sering pulang lewat ke rumah. Meskipun mulutnya ringan ingin
bertanya, namun dia membatalkan hasrat hatinya. Kadang-kala tercuit juga rasa
curiga, mungkinkah suaminya mempunyai perempuan lain di luar? Gerak-geri lelaki
itu sering mengundang rasa syak wasangka di hatinya “Mama, kenapa mama diam ni?” Dina Azura mengerutkan dahinya.
Terasa hairan dengan perlakuan ibunya hari ini. Dia menyedari, ibunya agak
senyap hari ini.
Zuraini
memandang gadis di hadapannya dengan pandangan sayu. Terasa serba salah mahu
memulakan bicara. Memang keinginannya untuk bertemu anak itu hari ini, adalah
untuk berkongsi cerita. Perasaannya dari hari ke sehari sudah tidak terbendung.
Jiwanya terasa berat dengan masalah demi masalah yang timbul.
“Dina, mama tak tahu nak mulakan
dari mana.” Keluh
Zuraini kesal.
“Maksud mama?”
“Ayah. Mama rasa ayah kamu ada perempuan lain di luar.” Ujar
Zuraini lambat-lambat. Dina Azura terpempan mendengar kata-kata ibunya.
“Agaknya mama silap tak? Ayah tak
mungkin buat macam tu.” Balas Dina Azura. Cuba meredakan perasaan ibunya. Sebenarnya
kisah tentang ayahnya memiliki teman wanita di luar bukan pertama kali
didengarnya. Sudah acap kali, semenjak dia masih di bangku sekolah lagi. Malah
dia sendiri pernah melihat ayahnya makan bersama seorang perempuan cantik di
sebuah restoran. Ketika itu, dia berada di dalam tingkatan lima. Namun seperti
biasa, dia lebih senang berdiam diri. Baginya lebih mudah untuk pura-pura tidak
tahu, apatah lagi kenyataan itu bakal mengguris perasaan mamanya.
“Dina, mama lebih kenal siapa ayah
kamu. Mama rasa dia memang ada perempuan lain di luar. Mama pernah jumpa bil-bil
kad kreditnya semasa mama mengemas bilik kerjanya tempohari. Mama tak tahu nak
buat apa Dina,” suara Zuraini kedengaran sedih.
Dina Azura terdiam. Dia tidak tahu apa
yang harus dikatakannya.
“Kalau Diaz ada kat sini, tentu ayah
Dina tak layan mama begini,” keluh Zuraini lagi.
Dina Azura
terpaku. Lagi-lagi nama Diaz disebut mamanya. Dia cukup sedar bahawa wanita itu
terlalu merindui abangnya.
“Sabarlah mama, Dina tahu mama
kecewa. Tapi mama masih ada Dina.”
“Mama tahu sayang. Mama tahu Dina
selalu ambil berat fasal mama. Mama bersyukur sebab ada anak yang baik macam
Dina.” Zuraini tersenyum hambar.
“Mama, kalau Dina tanya mama sesuatu
boleh tak?” Sepasang matanya asyik menjamah wajah ibunya.
Zuraini membalas tatapan itu
dengan wajah hairan.
“Kenapa mama macam takut sangat dengan ayah? Sejak Dina
kecil, Dina lihat mama selalu patuh pada kata-kata dan arahan ayah. Mama
berhenti kerja bila ayah suruh, mama ikut ke mana saja ayah suruh mama pergi,
buat apa saja yang ayah perintahkan.” Ujar Dina Azura. Sudah lama dia ingin
tanyakan hal ini pada ibunya.
Zuraini terdiam sejenak.
“Dia suami mama Dina. Memang wajib
seorang isteri patuh dan hormat pada suaminya.” Ujar Zuraini memberi alasan.
“Itu saja sebabnya? Sesetengah orang
patuh kerana sayang dan rasa hormat. Tapi Dina tak rasa mama begitu. Mama
seolah-olah takut dengan ayah.” Ujar Dina Azura berterus-terang. Hanya bila
berdua-duaan dengan mamanya, barulah dia berpeluang berbicara panjang lebar
dengan wanita itu.
Zuraini melepaskan keluhan berat.
Dia terlupa bahawa Dina Azura semakin menginjak dewasa, sudah semakin bijak
menilai apa yang berlaku di sekelilingnya. Namun kata-kata anak gadis itu
membuatkan dia termenung panjang. Benarkah? Benarkah selama ini dia takut pada
suaminya sendiri? Atau sebenarnya dia takut pada bayang-bayangnya?
* * * *
BEG tangannya dilempar begitu sahaja di atas meja solek,
sebelum dia menghempaskan diri ke atas katilnya. Matanya dipejamkan sambil belakang
tangannya di atas dahi. Sehari suntuk dia menyiapkan storyboard untuk Bumi Emas, ditambah lagi masalah yang dibawa
ibunya, badannya sudah letih. Mujurlah
tarikh presentation dengan pihak Bumi
Emas bermula minggu hadapan. Dia masih ada banyak masa untuk membuat persiapan.
Mengenangkan dirinya masih belum menunaikan solat, Dina
Azura segera bangun. Jam tangannya ditanggalkan dan diletakkan di atas meja.
Apabila dia menyeluk poket seluarnya, matanya terbuka luas. Perlahan-lahan
sehelai saputangan dikeluarkan dari dalam poket seluarnya.
Dia tersenyum kecil. Terasa lucu
mengenangkan kerana saputangan itu, dia disalahertikan cuba membunuh diri.
Gila! Takkan nak bunuh diri di Tasik Titiwangsa. Tak logik langsung!
Mengenangkan
wajah Johan yang cemas, Dina Azura tidak dapat menahan ketawa. Tak sangka,
antara ramai-ramai orang yang berada di Tasik Titiwangsa itu, dia dipertemukan
dengan Johan sekali lagi. Namun mengenali Johan hari ini, tanggapannya terhadap
lelaki itu meleset sama sekali. Johan tidak seperti ayahnya Datuk Herman. Malah
lelaki itu jauh panggang dari ayahnya yang kaki perempuan.
“Hairan! Apa istimewanya saputangan
itu sampaikan awak sanggup terjun ke tasik tu untuk mendapatkannya?” Pertanyaan
Johan tempohari terhimbau kembali dalam ingatannya.
“Hadiah dari seseorang.” Dia masih ingat jawapan
ringkasnya.
Johan ketawa kecil. “Hadiah? Dari
kekasih kan?”
Dia tergelak kecil. Pantas kepalanya
digelengkan. Johan dilihatnya mengerutkan dahi. Hairan barangkali mendengar
jawapannya.
Dina Azura merenung saputangan yang
sudah terkoyak di bucunya. Entah mengapa, sedikit sebanyak dia merasa terkilan.
Sedari zaman sekolah dia menjaga saputangan itu baik-baik, tapi kini ianya terkoyak
pula. Meskipun ianya dijahit kembali, namun ia takkan sama seperti dahulu.
Sedikit sebanyak akan ada cacat celanya.
Dina Azura mengeluh panjang. Dia
berlalu ke arah almari bajunya. Salah sebuah laci ditarik perlahan, sebelum dia
mencari-cari kotak peralatan menjahitnya yang sudah agak lama tidak disentuh.
Setelah bertemu apa yang dicarinya, dia tersenyum lega. Namun sebelum sempat
dia mahu mencapai jarum menjahitnya, sebuah kereta memasuki perkarangan
rumahnya.
Dina Azura
mengerutkan dahinya. Dia melangkah ke arah jendela biliknya yang sedikit
renggang lalu menjenguk keluar.
Dari biliknya, dia melihat ayahnya
keluar dari dalam kereta sambil berjalan terhuyung-hayang. Tanpa disedari,
keluhan kecil meniti dari bibirnya. Entah bilalah agaknya lelaki itu akan
berubah sikap? Sudah terlalu acapkali dia melihat ayahnya pulang dalam keadaan
mabuk begitu. Sikap lelaki itu dari dulu hingga sekarang, tidak pernah berubah.
Perlahan-lahan dia menutup jendela
biliknya. Benci dengan pemandangan yang baharu dilihatnya. Masih tergiang-giang
di telinganya suara mamanya yang merintih sedih. Biarpun begitu, wanita itu
tidak berani bersuara menyuarakan rasa tidak puas hatinya. Segala kesedihan
dipendam sendiri. Mama, sampai bila mama mahu jadi patung bernyawa begini?
Keluh Dina Azura rungsing.
“Mama sayangkan ayah Dina. Mama tak
mahu rumahtangga yang kami bina sejak 27 tahun yang lalu hancur begitu sahaja.”
“Tapi sampai bila mama nak berdiam
diri?”
“Mama dah lama bersabar Dina.
Bersabar untuk beberapa tahun lagi sudah tidak ada bezanya bagi mama.”
Dina Azura memejamkan matanya. Terasa
sebak dengan nasib mamanya. Kedamaian yang selalu didambakannya tidak pernah
hadir dalam hidupnya sejak sekian lama. Kemewahan hidup yang sering dicemburui
teman-teman sekolahnya dahulu, hanya dianggap satu sumpahan dalam hidupnya. Entah
sampai bila keadan keluarganya akan terus jadi begini? Sampai bila hidup mereka
akan kembali normal macam keluarga lain? Sungguh ketika ini dia sangat
mencemburui kehidupan Nurlisa dan Irman yang bahagia dengan keluarga mereka.
Kalaulah dia dapat bertukar tempat dengan Nurlisa, alangkah baiknya!
1 comment:
KAK NOVEL AKAN KELUAR LEPAS RAYA ATAU SEBELUM RAYA.
Post a Comment