Followers

Friday, July 11, 2014

Cinta Bukan Larangan (SC) : Bab 15


EMELDA menjenguk ke dalam bilik Dina Azura. Hajat hatinya ingin mengajak gadis itu makan tengahari bersama. Namun apabila melihat kepala Dina Azura tersembam ke arah meja, hati Emelda berputik rasa hairan.

            Perlahan-lahan dia melangkah masuk ke dalam bilik Dina Azura. Mata gadis itu terpejam rapat, membuatkan Emelda tertanya-tanya sendiri. Tidurkah dia?

            Dina?” Panggil Emelda perlahan. Dina Azura tidak menjawab. Emelda berpaling ke arah lakaran sketch yang bertaburan di atas meja gadis itu. Sempat dia memerhatikan beberapa buah lakaran. Agaknya ini lakaran untuk projek Bumi Emas Holdings? Dia menggelengkan kepalanya sambil tersenyum. Pasti Dina Azura sibuk menyiapkan storyboard itu sejak semalam.

            Emelda meletakkan fail di tangannya, sebelum dia membantu mengemaskan lakaran-lakaran yang berselerak di atas meja gadis itu. Sesekali dia mengerling ke arah Dina Azura yang masih nyenyak tidur. Sewaktu tangannya lincah mengemaskan meja Dina Azura, mata Emelda terpandang sehelai lakaran yang menarik minatnya. Dahinya berkerut. Siapa ni?

            Wajah seorang lelaki terpapar di dalam salah satu lakaran Dina Azura. Emelda memandang potret itu agak lama. Terbit rasa hairan di hatinya. Kenapa Dina Azura melakar potret ni? Siapa dia? Hendak kata Irman, dia kenal wajah Irman sejak lelaki itu menghantar sendiri jambangan bunga untuk Dina Azura tempohari. Lakaran gambar yang dilukis Dina Azura ini memang sah bukan Irman. Emelda benar-benar pasti!

Belum sempat dia berfikir panjang, tiba-tiba lakaran di tangannya dirampas. Emelda tergaman apabila menyedari lakaran di tangannya sudah beralih ke tangan Dina Azura.

            “Dina, aku…”

            Maaf, aku tak sedar bila kau masuk tadi Mel.” Ujar Dina Azura.

Emelda terdiam bercampur gugup. Entah mengapa, timbul rasa bersalah di hatinya. Tidak patut dia melihat-lihat lakaran Dina Azura tanpa kebenaran gadis itu.

            Aku nak ajak kau lunch, tapi aku nampak kau tertidur di sini. Kau tak balik ke semalam?” Soal Emelda, cuba menutup kegelisahan hatinya. Dina Azura sekadar tersenyum.

            “Balik, takkan aku nak tidur kat sini pulak. Ke mana kau pagi tadi, sampaikan tak tahu aku balik atau tidak?” Soal Dina Azura pula.

            Aku ada temujanji dengan klien, jadi aku tak masuk sejak pagi tadi. Err.. Dina, maafkan aku ya.” Ujar Emelda perlahan.

            “Maaf? Untuk apa?” Dina Azura memandang gadis itu.

            Sebab aku tengok sketch kau tanpa kebenaran.” Ujar Emelda agak berhati-hati. Bimbang jika Dina Azura melenting tiba-tiba. Namun dia lega sebaik melihat senyuman manis terukir dari bibir gadis itu.

            “Tak, aku tak marah. Lagipun sketch biasa saja. Aku kena siapkan sketch ni untuk presentation dengan pihak Bumi Emas minggu hadapan.” Balas Dina Azura.

            Emelda terdiam. Dia tidak tahu apakah Dina Azura sengaja buat-buat tidak faham dengan maksudnya. Bukan sketch itu yang dimaksudkannya, tapi dia ingin benar tahu potret siapakah yang terlakar indah di halaman kertas itu. Dari cara Dina Azura menjawab, kelihatan seperti gadis itu tidak sudi berkongsi ceritanya.

            “Tak apalah kalau macam tu, lega aku kalau kau tak marah. Oh ya, jom makan tengahari dengan aku?”

            “Maaf Mel, hari ni maybe tak boleh, aku dah minta dengan Encik Halim nak keluar awal. Aku ada temujanji dengan mama. Kalau kau nak join sekali, boleh aku…”

            “Tak apalah Dina, lagipun aku tak nak kacau daun.” Pintas Emelda sambil tersengih.

            “Kacau daun apa pulak, makan dengan mama aku je.” Dina Azura mencebik.

            “Tak apalah Dina, terima kasih ajelah sebab pelawa aku. Kirim salam kat mama kau ye, dah lama aku tak jumpa dia.” Emelda tergelak-gelak kecil. Dina Azura hanya mampu menggelengkan kepala dengan kerenah nakal temannya itu.

            Tepat jam satu tengahari, Dina Azura sudah terpacul di sebuah restoran. Dari jauh dia terlihat kelibat Zuraini sedang menantinya di sebuah meja yang agak tersorok oleh pandangan mata. Dina Azura segera mendapatkan ibunya.

            “Mama…,” tegur Dina Azura seraya menarik kerusi, lalu duduk di hadapan wanita itu.

Zuraini hanya tersenyum memandang Dina Azura. Wajah anak gadis itu ditatap gembira. Kasihnya menjalar setiap kali dia memandang wajah anak itu.

            Dah lama mama tunggu Dina?” Tanya Dina Azura lembut.

            “Tak, mama pun baru sampai tadi. Mama dah cakap kan, kalau Dina sibuk tak payahlah makan tengahari dengan mama. Malam nanti pun kita boleh jumpa kat rumah.” Ujar Zurani seraya tersenyum.

            “Siapa kata Dina sibuk? Kalau untuk mama, apa pun boleh. Lagipun Dina tahu, mama tentu sunyi sorang-sorang kat rumah tu kan?”

            Zuraini terdiam. Sejak sekian lama, hanya Dina Azura seorang yang mengerti perasaan hatinya. Dia memang sunyi berada di rumah sendirian. Kesibukan suami dan anak-anaknya membuatkan dunianya terbatas hanya di rumah. Kalau bukan kerana dia berhenti kerja terlalu awal, mungkin hidupnya takkan sepi begini. Ada suami pun, dia kerap ditinggalkan. Hisyam bukan lagi suami yang didambakannya seperti dahulu. Meskipun mereka kelihatan seperti pasangan bahagia yang lain, tapi hakikat sebenarnya hanya dia yang tahu. Kehidupannya dari hari ke sehari semakin hambar, semakin suram. Entah apa silapnya dengan hubungan mereka!

            Dia perasan sejak akhir-akhir ini, suaminya itu sering pulang lewat ke rumah. Meskipun mulutnya ringan ingin bertanya, namun dia membatalkan hasrat hatinya. Kadang-kala tercuit juga rasa curiga, mungkinkah suaminya mempunyai perempuan lain di luar? Gerak-geri lelaki itu sering mengundang rasa syak wasangka di hatinya    “Mama, kenapa mama diam ni?” Dina Azura mengerutkan dahinya. Terasa hairan dengan perlakuan ibunya hari ini. Dia menyedari, ibunya agak senyap hari ini.

Zuraini memandang gadis di hadapannya dengan pandangan sayu. Terasa serba salah mahu memulakan bicara. Memang keinginannya untuk bertemu anak itu hari ini, adalah untuk berkongsi cerita. Perasaannya dari hari ke sehari sudah tidak terbendung. Jiwanya terasa berat dengan masalah demi masalah yang timbul.

            Dina, mama tak tahu nak mulakan dari mana.” Keluh Zuraini kesal.

            “Maksud mama?”

            Ayah. Mama rasa ayah kamu ada perempuan lain di luar.” Ujar Zuraini lambat-lambat. Dina Azura terpempan mendengar kata-kata ibunya.

            “Agaknya mama silap tak? Ayah tak mungkin buat macam tu.” Balas Dina Azura. Cuba meredakan perasaan ibunya. Sebenarnya kisah tentang ayahnya memiliki teman wanita di luar bukan pertama kali didengarnya. Sudah acap kali, semenjak dia masih di bangku sekolah lagi. Malah dia sendiri pernah melihat ayahnya makan bersama seorang perempuan cantik di sebuah restoran. Ketika itu, dia berada di dalam tingkatan lima. Namun seperti biasa, dia lebih senang berdiam diri. Baginya lebih mudah untuk pura-pura tidak tahu, apatah lagi kenyataan itu bakal mengguris perasaan mamanya.

            “Dina, mama lebih kenal siapa ayah kamu. Mama rasa dia memang ada perempuan lain di luar. Mama pernah jumpa bil-bil kad kreditnya semasa mama mengemas bilik kerjanya tempohari. Mama tak tahu nak buat apa Dina,” suara Zuraini kedengaran sedih.

            Dina Azura terdiam. Dia tidak tahu apa yang harus dikatakannya.

            “Kalau Diaz ada kat sini, tentu ayah Dina tak layan mama begini,” keluh Zuraini lagi.

Dina Azura terpaku. Lagi-lagi nama Diaz disebut mamanya. Dia cukup sedar bahawa wanita itu terlalu merindui abangnya.

            “Sabarlah mama, Dina tahu mama kecewa. Tapi mama masih ada Dina.”

            “Mama tahu sayang. Mama tahu Dina selalu ambil berat fasal mama. Mama bersyukur sebab ada anak yang baik macam Dina.” Zuraini tersenyum hambar.

            Mama, kalau Dina tanya mama sesuatu boleh tak?” Sepasang matanya asyik menjamah wajah ibunya.

Zuraini membalas tatapan itu dengan wajah hairan.

            “Kenapa mama macam takut sangat dengan ayah? Sejak Dina kecil, Dina lihat mama selalu patuh pada kata-kata dan arahan ayah. Mama berhenti kerja bila ayah suruh, mama ikut ke mana saja ayah suruh mama pergi, buat apa saja yang ayah perintahkan.” Ujar Dina Azura. Sudah lama dia ingin tanyakan hal ini pada ibunya.

            Zuraini terdiam sejenak.

            “Dia suami mama Dina. Memang wajib seorang isteri patuh dan hormat pada suaminya.” Ujar Zuraini memberi alasan.

            “Itu saja sebabnya? Sesetengah orang patuh kerana sayang dan rasa hormat. Tapi Dina tak rasa mama begitu. Mama seolah-olah takut dengan ayah.” Ujar Dina Azura berterus-terang. Hanya bila berdua-duaan dengan mamanya, barulah dia berpeluang berbicara panjang lebar dengan wanita itu.

            Zuraini melepaskan keluhan berat. Dia terlupa bahawa Dina Azura semakin menginjak dewasa, sudah semakin bijak menilai apa yang berlaku di sekelilingnya. Namun kata-kata anak gadis itu membuatkan dia termenung panjang. Benarkah? Benarkah selama ini dia takut pada suaminya sendiri? Atau sebenarnya dia takut pada bayang-bayangnya?

*  *  *  *

BEG tangannya dilempar begitu sahaja di atas meja solek, sebelum dia menghempaskan diri ke atas katilnya. Matanya dipejamkan sambil belakang tangannya di atas dahi. Sehari suntuk dia menyiapkan storyboard untuk Bumi Emas, ditambah lagi masalah yang dibawa ibunya, badannya sudah letih. Mujurlah tarikh presentation dengan pihak Bumi Emas bermula minggu hadapan. Dia masih ada banyak masa untuk membuat persiapan.

            Mengenangkan dirinya masih belum menunaikan solat, Dina Azura segera bangun. Jam tangannya ditanggalkan dan diletakkan di atas meja. Apabila dia menyeluk poket seluarnya, matanya terbuka luas. Perlahan-lahan sehelai saputangan dikeluarkan dari dalam poket seluarnya.

            Dia tersenyum kecil. Terasa lucu mengenangkan kerana saputangan itu, dia disalahertikan cuba membunuh diri. Gila! Takkan nak bunuh diri di Tasik Titiwangsa. Tak logik langsung!

Mengenangkan wajah Johan yang cemas, Dina Azura tidak dapat menahan ketawa. Tak sangka, antara ramai-ramai orang yang berada di Tasik Titiwangsa itu, dia dipertemukan dengan Johan sekali lagi. Namun mengenali Johan hari ini, tanggapannya terhadap lelaki itu meleset sama sekali. Johan tidak seperti ayahnya Datuk Herman. Malah lelaki itu jauh panggang dari ayahnya yang kaki perempuan.

            “Hairan! Apa istimewanya saputangan itu sampaikan awak sanggup terjun ke tasik tu untuk mendapatkannya?” Pertanyaan Johan tempohari terhimbau kembali dalam ingatannya.

            Hadiah dari seseorang.” Dia masih ingat jawapan ringkasnya.

            Johan ketawa kecil. “Hadiah? Dari kekasih kan?”

            Dia tergelak kecil. Pantas kepalanya digelengkan. Johan dilihatnya mengerutkan dahi. Hairan barangkali mendengar jawapannya.

            Dina Azura merenung saputangan yang sudah terkoyak di bucunya. Entah mengapa, sedikit sebanyak dia merasa terkilan. Sedari zaman sekolah dia menjaga saputangan itu baik-baik, tapi kini ianya terkoyak pula. Meskipun ianya dijahit kembali, namun ia takkan sama seperti dahulu. Sedikit sebanyak akan ada cacat celanya.

            Dina Azura mengeluh panjang. Dia berlalu ke arah almari bajunya. Salah sebuah laci ditarik perlahan, sebelum dia mencari-cari kotak peralatan menjahitnya yang sudah agak lama tidak disentuh. Setelah bertemu apa yang dicarinya, dia tersenyum lega. Namun sebelum sempat dia mahu mencapai jarum menjahitnya, sebuah kereta memasuki perkarangan rumahnya.

Dina Azura mengerutkan dahinya. Dia melangkah ke arah jendela biliknya yang sedikit renggang lalu menjenguk keluar.

            Dari biliknya, dia melihat ayahnya keluar dari dalam kereta sambil berjalan terhuyung-hayang. Tanpa disedari, keluhan kecil meniti dari bibirnya. Entah bilalah agaknya lelaki itu akan berubah sikap? Sudah terlalu acapkali dia melihat ayahnya pulang dalam keadaan mabuk begitu. Sikap lelaki itu dari dulu hingga sekarang, tidak pernah berubah.

            Perlahan-lahan dia menutup jendela biliknya. Benci dengan pemandangan yang baharu dilihatnya. Masih tergiang-giang di telinganya suara mamanya yang merintih sedih. Biarpun begitu, wanita itu tidak berani bersuara menyuarakan rasa tidak puas hatinya. Segala kesedihan dipendam sendiri. Mama, sampai bila mama mahu jadi patung bernyawa begini? Keluh Dina Azura rungsing.

            “Mama sayangkan ayah Dina. Mama tak mahu rumahtangga yang kami bina sejak 27 tahun yang lalu hancur begitu sahaja.”

            “Tapi sampai bila mama nak berdiam diri?”

            “Mama dah lama bersabar Dina. Bersabar untuk beberapa tahun lagi sudah tidak ada bezanya bagi mama.”

            Dina Azura memejamkan matanya. Terasa sebak dengan nasib mamanya. Kedamaian yang selalu didambakannya tidak pernah hadir dalam hidupnya sejak sekian lama. Kemewahan hidup yang sering dicemburui teman-teman sekolahnya dahulu, hanya dianggap satu sumpahan dalam hidupnya. Entah sampai bila keadan keluarganya akan terus jadi begini? Sampai bila hidup mereka akan kembali normal macam keluarga lain? Sungguh ketika ini dia sangat mencemburui kehidupan Nurlisa dan Irman yang bahagia dengan keluarga mereka. Kalaulah dia dapat bertukar tempat dengan Nurlisa, alangkah baiknya!

1 comment:

Unknown said...

KAK NOVEL AKAN KELUAR LEPAS RAYA ATAU SEBELUM RAYA.

DEDALU DI HATI - STOK TERHAD!!

DEDALU DI HATI  - STOK TERHAD!!

PESANAN NOVEL DEDALU DI HATI SEDANG DIBUKA SEKARANG!!!

Harga = RM25.90
Kos Pos = RM7 (pos laju)
Total = RM32.90

Emailkan nama dan butiran diri ke arr_nita@yahoo.com.
Pesanan sehingga stok ke 3 ini kehabisan..

NANTIKAN VENOM SURIA DI PESTA BUKU ANTARABANGSA PWTC MULAI 27 APRIL, TERBITAN BUKU PRIMA (RM25.90)

NANTIKAN VENOM SURIA DI PESTA BUKU ANTARABANGSA  PWTC MULAI 27 APRIL, TERBITAN BUKU PRIMA (RM25.90)
Suria gadis ceria dan periang, namun miliki sejarah hitam dalam kelahiran. Yang membuatkan dia diburu dan dijejaki untuk meleraikan sebuah kisah sumpahan, lalu mempertemukan dia dengan dua lelaki berbeza sifat. Izwan jenis yang dingin dan panas baran. Cakapnya harus dipatuhi atau dia akan meletup! Nazrul sentiasa cool tapi punya rahsia terpendam yang menyiksa jiwa. Seorang lelaki ditakdirkan menjadi penyelamat. Seorang lagi ditakdirkan membunuhnya. Kedua-duanya muncul tak diundang, tetapi meninggalkan kesan mendalam. Lalu bermulalah permainan cat and mouse antara mereka sehingga game over!