MIRZA langsung tidak turun-turun dari biliknya. Sudah beberapa kali
pembantu rumah mereka memanggil anak muda itu tapi langsung tidak diendahkan. Tuan
Fahrin makan seorang diri sahaja malam itu. Langsung tak seronok! Keluhnya
seraya bermain-main dengan makanan.
Dia tahu Mirza terjeruk
hati dengannya gara-gara disuruh belajar dengan seorang tutor. Berpuluh-puluh
kali dia cuba menjelaskan rasional tindakannya, tapi anak muda itu buat-buat
tidak faham. Kalau begini sikap Mirza, pada siapa lagi dia mahu mewariskan syarikatnya
itu? Akan berakhirkah legasi keluarganya kerana sikap Mirza yang kurang
bertanggungjawab itu?
Kalau dia tahu
begini, patut dari awal dia kahwin lain setelah bercerai dulu. Kurang-kurang
bertambah lagi seorang pewarisnya. Atau paling tidak pun dia bersikap tegas
dengan Drew agar memilih bidang perniagaan sebagai major utama dan bukannya bidang
undang-undang. Dahulu kau sibuk sangat nak jadi ayah yang cool, sekarang apa jadi? Keluh Tuan Fahrin, kesal dengan
tindakannya dahulu.
Kalau bukan
kerana sikap Mirza yang pemalas, tentu dia tidak payah pening-pening kepala
begini. Dasar anak degil!
“Bibik
kemaslah, saya dah tak ada selera.” Ujarnya pada pembantu rumah Indonesianya.
Wanita itu
hanya mengangguk tanpa banyak soal.
Tuan Fahrin
mendongak ke atas, tiba-tiba terfikir mahu menjenguk Mirza. Mungkin jika dia
mencuba lagi beberapa kali, Mirza akan reda marahnya dan sudi mengikut
kata-katanya.
Dia mendaki
tangga ke tingkat atas. Haluannya ialah bilik Mirza yang terletak di sayap
kiri, bersebelahan bilik Drew dan bilik tetamu.
Daun pintu di
hadapannya diketuk beberapa kali sebelum dia mencuri dengar. Langsung tidak ada
apa-apa bunyi!
“Mirza, buka
pintu. Papa nak cakap dengan you sekejap.” Pinta Tuan Fahrin. Suaranya lembut
memujuk.
Masih senyap.
“Mirza, you tidur ke?” Dia mengetuk pintu di
hadapannya lebih kuat lalu memasang telinga. Tetap tidak terdengar sebarang
bunyi dari dalam bilik Mirza. Fahrin mengerutkan dahinya. Hairan! Takkan dah
tidur budak ni! Malam kan masih awal
lagi ni!
Dia nekad
memulas tombol pintu di hadapannya lalu menjengah ke dalam bilik tidur anaknya.
Melihat alas katil yang masih belum terusik seolah-olah tidak pernah digunakan,
Tuan Fahrin tercengang-cengang. Dia mencari-cari Mirza di setiap ceruk bilik
itu tapi tidak berjumpa. What the hell! Bertuah
punya anak! Aku risaukan dia, dia pula senyap-senyap menghilangkan diri! Rungut
Tuan Fahrin seraya menggelengkan kepalanya.
*
* * *
TOI yang baru melintas lantai tari di Roulette, segera tertarik pada
bunyi riuh rendah yang datangnya dari ruang tari kelab itu. Salah seorang
pelayan di kelab itu yang lalu di hadapannya segera ditahan.
“Mat, apa yang
kecoh-kecoh kat situ tu?” Tanya Toi ingin tahu.
Lelaki
berseragam lengkap dengan bow di
leher itu hanya tersengih.
“Kawan kau lah
apa lagi. Baik kau tengok dia sebelum dia buka semua pakaian dia.” Gelak Mat.
Toi hampir
ternganga mulut. What?
Dia segera
melangkah ke lantai tari, melalui celah-celah kerumunan orang ramai yang
membanjiri tempat itu. Sebaik dia berjaya meloloskan tubuhnya, matanya
terbeliak memandang ke suatu arah.
Tidak jauh dari
situ, dia terpandang kelibat Mirza sedang memeluk seorang gadis berpakaian
sendat, menari dengan gaya menghairahkan sekaligus menghiburkan sebilangan
pengunjung Roulette. Tubuh Mirza langsung tidak berlapik pakaian, menampakkan
susuk tubuh yang tegap. Malah kehadiran lelaki itu menjadi tumpuan sebilangan
gadis-gadis di kelab itu. Masing-masing menjerit kesukaan melihat Mirza yang
menari separuh bogel di lantai tari.
Toi mengeluh
panjang. Mirza! Kau memang suka cari fasal. Hampir setiap hari dia asyik
terganggu dengan kehadiran Mirza di situ. Kalau Mirza sekadar datang ke situ
untuk release tension, dia tidak
kisah. Tapi lelaki itu mabuk hampir setiap malam dan malam ini, dia melihat
lelaki itu menjadi penari bogel pula di kelab tempatnya bekerja.
Ikut hati dia
malas mahu campur urusan Mirza lagi. Tapi setiap kali Mirza melakukan
perkara-perkara bodoh, entah kenapa dia tidak sampai hati mahu membiarkan
sahaja.
Toi segera
mendekati lelaki itu lalu menepuk lengan Mirza. Lelaki itu menoleh. Melihat
kehadiran Toi, Mirza tersenyum.
“Oh hai bro.
Aku ingat kau tak kerja malam ni.”
“Aku masuk
lewat. Mirza, apa yang kau buat ni?”
Mirza
mengangkat keningnya.
“Buat apa? Aku
datang sini mestilah nak berseronok. Apa lagi?” Sepasang matanya melirik nakal
gadis di sisinya.
“Nak berseronok
pun agak-agaklah sikit. Kau ingat aku suka ke bila kau buat gila macam ni?”
Marah Toi.
“Toi, you are not my mother, jadi boleh tak kau
berhenti membebel macam ni?”
“Kau datang
sini sebab aku ada kan? Kalau aku berhenti kerja kat kelab ni, boleh kau
berhenti datang ke sini dan buat benda-benda bodoh ni?” Gumam Toi meradang. Dia
segera mengutip pakaian Mirza di lantai lalu mencampakkannya ke muka temannya
itu. Kali ini dia benar-benar angin satu badan dengan sikap Mirza.
Mirza terdiam.
Dia hanya mampu memerhatikan kelibat Toi yang sudah beredar dari situ dengan
wajah berang. Nafasnya dihela berat. Apa yang tak kena dengan Toi malam ni? PMS
kah?
“Mirza, you nak
ke mana tu?” Rengek gadis yang menemani lelaki itu tatkala melihat Mirza mahu
beredar dari situ. Mirza berpaling. Merenung wajah si gadis sesaat dua.
“I nak jumpa
kawan sekejap.” Ujarnya.
“Tak payahlah,
kan you yang cakap kita nak lepak sama-sama lepas ni.” Pujuk si gadis berambut
berambut perang dan bermata biru itu.
“Sorry, I have to go.” Dia merungkai
pegangan tangan gadis itu lalu segera mengejar kelibat Toi yang hilang entah ke
mana. Baginya kawan lebih penting dari seorang gadis. Gadis baginya silih
berganti, tapi Toi lebih dari seorang kawan. Lelaki itu teman baiknya sejak dia
bersekolah menengah lagi.
Puas dia
mencari-cari Toi, akhirnya dia menemukan Toi di atas bangunan kelab malam itu.
Toi duduk termenung sambil menghadap ke arah pemandangan malam dari bangunan
tiga tingkat itu. Mirza menghela nafas berat.
Perlahan-lahan
dia mendekati lelaki itu. Toi menyedari kehadirannya namun lelaki itu langsung
tidak mengendahkannya.
“You know what, kalau orang lain nampak
kau layan aku macam ni, mesti dia orang ingat aku curang dengan kau.” Ujar
Mirza tersenyum. Dia segera duduk di sebelah Toi sambil melunjurkan kakinya.
Matanya melurus ke hadapan, turut ralit memerhatikan pemandangan di hadapannya.
Boleh tahan!
Dia tidak sangka boleh menikmati pemandangan indah itu dari tingkat tiga
bangunan kelab malam itu.
“Bos kau tak
marah ke bartender kesayangan dia
melepak kat sini masa waktu kerja?” Dia mengerling ke arah Toi, sengaja mahu
memprovok agar lelaki itu mahu berbicara dengannya.
“Ini semua kau
punya fasallah.” Rungut Toi.
“Aku buat apa?
Aku cuma nak berseronok aje. Selama ni kau tak pernah marah pun bila nampak aku
minum arak. Ada kau kisah selama ini? Kenapa tiba-tiba aje kau nak marah aku
malam ni?” Keluh Mirza.
Toi berpaling
ke arah lelaki itu. Wajah Mirza ditatap tajam.
“Ya, memang aku
salah. Sepatutnya aku tegur kau bila kau mula minum dan mabuk-mabuk. Mirza, aku
kerja kat kelab ni kau ingat sebab aku suka-suka ke? Aku kerja kat sini sebab
aku hidup susah, belajar pun tak pandai. Tapi sepanjang aku kerja kat sini,
setitis arak pun aku tak pernah sentuh tau.” Ujar Toi.
Mirza hanya
tersenyum. Bebelan Toi hanya dibuat acuh tak acuh sahaja.
“Tapi kau lain
Mirza. Kau ada keluarga yang kaya, ayah dengan abang kau sayang sangat dekat
kau. Lepas belajar kau tak payah risau fasal duit atau kerja, semuanya depan
mata kau aje. Kau ada segala-galanya Mirza.” Nasihat Toi.
Mirza menoleh.
“Segala-galanya?
Do you think that I have everything?
Seriously Toi?” Tanyanya dengan wajah merah padam. Kata-kata Toi entah
kenapa melukakan hatinya.
“Tak betul aku
cakap?” Toi enggan mengalah.
“Kau mungkin
nampak aku ada segala-galanya. Ya, duit memang bukan masalah bagi aku. Tapi kat
sini kosong. Ia kosong sejak perempuan tu tinggalkan aku kerana duda anak
tiga.” Mirza meletakkan jari telunjuk ke dadanya.
Toi menarik
nafas panjang. Dia tahu kisah ibu Mirza. Lelaki itu memang terluka kerana
perbuatan ibunya. Tapi dia tidak boleh terima Mirza yang seolah-olah mahu
merosakkan diri sendiri.
“Mirza, aku
tahu kau masih tak boleh terima perkahwinan mama kau. Tapi itu bukan bererti
kau boleh rosakkan diri sendiri begini. You
better than this Mirza.” Ujar Toi.
“Kau baliklah.
Jangan datang kat sini lagi. Kalau kau datang juga, tak mustahil aku akan
berhenti kerja kat sini.” Sambung Toi lagi.
“Kau ugut aku
Toi?” Mirza mengetap bibir. Tidak menyangka dia akan mendengar perkara seperti
ini dari mulut Toi, kawan baiknya sendiri.
“Aku cuma tak
nak kau habiskan masa kau kat sini dengan mabuk-mabuk. Kau baliklah ke rumah,
belajar untuk peperiksaan tu. Kau pun bukan tak ada otak, cuma malas aje.”
Nasihat Toi.
Mirza tergaman.
Sejurus kemudian dia ketawa terbahak-bahak mendengar kata-kata Toi.
“Yang kau
ketawa ni kenapa pulak?” Toi tercengang-cengang.
“Kelakar. Kau
kata aku ada otak? Ironinya aku baru sahaja diberitahu seseorang yang aku tak
ada otak.” Gumamnya, tiba-tiba teringatkan gadis itu. Kata-kata Adriana masih
terhimbau-himbau di fikiran.
“Siapa yang
cakap macam tu pada kau?” Toi mengerutkan dahinya.
Mirza termenung
jauh. Ingatannya tumpah pada seraut wajah. Gadis itu memang berani melawan
cakapnya.
“Bagi saya awak hanyalah budak bodoh sombong yang fikir
semua benda awak boleh dapat dengan duit ayah awak tanpa perlu berusaha.”
Aku begitukah? Sekadar budak bodoh sombong yang boleh
dapat apa sahaja yang dihajatinya tanpa perlu berusaha?.
“Adriana Imaniyah.” Bisik Mirza tanpa disedari. Toi
tercengang-cengang mendengar nama yang meniti dari bibir anak muda itu. Siapa
Adriana?
“Siapa tu?” Tanya Toi ingin tahu.
Mirza berpaling lalu merenung sahabatnya dalam-dalam.
Senyumannya bermain di bibir.
“Orang yang kata aku bodoh.” Ujarnya tenang.
“Hah?” Toi tergaman. Langsung gagal mencerna maksud
kata-kata lelaki itu.
No comments:
Post a Comment