Followers

Monday, October 8, 2012

Mencari Kiblat Cinta : Bab 3


            “DANIRA Quratul Adnan?” Mata Zulbhan melekat di wajah itu. Danira tergaman. Bebola matanya langsung memandang lelaki muda yang lancar menyebut namanya.

            “Saya encik.” Respon Danira.

Zulbhan senyap sejenak. Diam-diam dia membaca perwatakan gadis itu. Kehadiran Danira dengan imej bertudung membuatkan dahinya berkerut seribu.

            “Saya Zulbhan. Makcik saya ada beritahu saya mengenai awak.” Ujar lelaki itu dengan wajah serius.

Danira mengangguk. Sesekali matanya meninjau ke arah kafeteria yang hanya dipenuhi beberapa orang pengunjung. Sewaktu dia menghubungi lelaki itu tadi, Zulbhan terus memintanya menuju ke kafeteria tersebut.

            “Saya difahamkan awak dan makcik Salmi saya, teman satu sel. Betul?”

            Danira mengangguk lagi buat kali ketiga. Zulbhan diam-diam menarik nafas panjang. Suara gadis itu bagaikan terlalu mahal untuk dilontar keluar.

            “Saya dah aturkan supaya awak bekerja di taska milik kakak saya. Saya harap awak tak kisah. Awak dah dapat tempat tinggal?” Soal lelaki itu lagi.

            Danira terdiam. Sememangnya dia tidak ada tempat untuk berlindung dari hujan mahupun panas. Duit yang ada dengannya pun, hanya cukup-cukup untuk dia menggalas perut. Tak tergamak rasanya dia mahu menggunakan duit itu untuk menyewa walaupun hanya sebuah motel murah. Semalam dia hanya tidur di kaki lima beralaskan kotak-kotak dan suratkhabar lama. Mujurlah tidak ada apa-apa yang berlaku.

            “Dah dapat?” Zulbhan mengulang pertanyaan. Namun melihat wajah muram itu terus berlabuh, dia seakan boleh membaca sesuatu. Keluhannya meniti keluar.

“Tak apalah, kita pergi jumpa kakak saya dulu. Fasal tempat tinggal, awak jangan bimbang. Saya akan uruskan.” Janji Zulbhan.

Danira memandang lelaki itu dengan mata bersinar-sinar. Hatinya jadi lega. Tidak sia-sia Salmi memintanya menghubungi Zulbhan. Lelaki itu benar-benar serius mahu membantunya. Syukur alhamdulilah! Bisik Danira dalam hati.

*  *  *  *

            Myvi yang dipandu lelaki itu berhenti di sebuah rumah dua tingkat yang dicat dengan pelbagai warna terang. Zulbhan segera keluar dari perut kereta. Danira menurut. Dia berpaling ke arah rumah di hadapannya. Rumah dua tingkat itu kelihatan ceria dengan beberapa watak karikatur dari siri-siri animasi terkenal, dilukis pada dinding rumah itu. Di halaman rumah pula, terdapat taman permainan kecil yang dilengkapi dengan buaian dan jongkang-jongket. Papan tanda besar yang terpampang di tepi pagar tertulis Sissy Kindergarden.

Seorang wanita dalam lingkungan 40an menjenguk keluar dari dalam rumah itu. Sebaik melihat tetamu yang datang, wanita itu segera tersenyum lebar.

“Itu kakak saya Kamila.” Zulbhan sempat berbisik di telinga Danira.

            “Kata nak datang petang.” Wanita itu menegur sebaik menghampiri kedua-duanya. Zulbhan tersenyum lalu mengisyaratkan sesuatu pada Kamila. Wanita itu segera menoleh. Melihat gadis di samping Zulbhan, dahi Kamila segera berkerut.

 “Siapa ni Zul?” Dia menyoal dengan wajah kebingungan.

            “Kakak ni, kan saya dah cerita minggu lepas. Lupa? Ini Danira yang Makcik Salmi beritahu tempohari.” Jelas Zulbhan.

Kamila tergaman. Bulat matanya memandang ke arah Danira. Gadis itu kelihatan lesu, namun keayuan wajah itu tetap terserlah, ditambah dengan tudung yang dikenakannya.Tak mungkin gadis semanis ini membunuh orang! Desis hati kecil Kamila.

            “Danira, ini kakak saya Kamila. Dia pengetua di taska ni.” Zulbhan memandang gadis itu. Perlahan-lahan Danira menghulurkan tangannya. Bersalaman tanda hormat dan rendah dirinya.

            “Panggil Kak Mila saja. Maaf, kakak tak ingat yang Nira nak datang ke mari hari ni.” Ujar Kamila ramah-tamah.

Danira sekadar tersenyum. Entah kenapa, wajah tenang wanita di hadapannya itu cepat sahaja disukainya. Kamila ternyata bukan jenis wanita yang sombong. Malah senyuman wanita itu juga bukan seperti sengaja dibuat-buat.

            “Kakak harap Nira tak kisah bantu kakak di taska ni.” Ujar Kamila.

            “Tak apa, Nira tak kisah kak. Lagipun Nira bersyukur sangat yang kakak sudi terima Nira bekerja di sini. Lagipun banduan macam Nira ni, susah nak diterima orang.” Suara Danira bertukar nada.

            “Jangan cakap macam tu. Bukan semua orang macam tu. Kalau Nira nak tahu, suami kakak Ketua Warden di Penjara Seremban. Baru bulan lepas dia ditukarkan ke sana. Sesekali sahaja dia balik ke mari. Zulbhan pula adik kedua kakak. Dia ni inspektor polis.” Cerita Kamila.

Danira tersentak. Terkejut apabila mendengar lelaki itu seorang pegawai polis. Tiba-tiba dia rasa segan silu terhadap Zulbhan. Lelaki itu seorang pegawai polis, tapi masih sudi membantunya. Kenapa Salmi tidak pernah bercerita dengannya tentang pekerjaan Zulbhan?

            “Nira jangan bimbang, keluarga kami berfikiran terbuka. Kami tak pernah pandang rendah pada orang macam Nira. Sebaliknya kami gembira dapat membantu apa yang terdaya. Lagipun makcik kakak Salmi, dipenjarakan atas kesalahan yang dilakukannya kerana terpaksa. Suaminya mendera dia. Walaupun dia hanya cuba mempertahankan diri, tapi dia harus menerima hukumannya. Begitulah adat di dunia ni Nira.” Keluh Kamila.

            “Nira faham itu semua kak.” Dia mengangguk. Menyetujui kebenaran kata-kata wanita itu.

“Baguslah. Kakak harap Nira dapat mulakan hidup baru. Jangan fikir benda yang dah lepas. Lupakan semua yang dah berlaku. Lagipun Nira masih muda, peluang untuk Nira berjaya masih terbuka luas.” Ujar Kamila memberi nasihat.

Danira tersenyum hambar. Mungkin orang lain boleh melupakannya dengan senang, tapi tidak dia. Semua yang terjadi dalam hidupnya, takkan begitu mudah mahu diluputkan dalam fikiran.

            “Dah lama kakak buka taska ni?” Sengaja dia mengalih topik perbualan.

“Lama sangat tu taklah, tapi dah nak masuk empat tahun. Sebelum Nira datang, dah dua orang bekerja dengan kakak. Tapi lepas mereka dapat kerja lain, mereka berhenti.” Ujar Kamila.

            Zulbhan yang tiba-tiba muncul dari suatu arah, segera mencelah. “Kakak ada bilik kosong kan dekat tingkat atas?” Zulbhan menyoal.

            Ada, kenapa?”

            Danira tunduk. Dia tahu Zulbhan mahu membantunya.

“Boleh kakak sewakan bilik tu pada dia?” Mata Zulbhan menghala ke arah Danira. Kamila terpegun. Matanya berbalas pandang dengan Zulbhan dan Danira silih berganti.

            “Nira tak tinggal dengan keluarga?” Kamila bertanya.

            Danira tersentak. Keluarga? Perlahan-lahan kepalanya digelengkan. Kamila mengerutkan dahinya.

            “Mereka dah tak ada Kak Mila. Ayah dan umi saya dah lama meninggal.” Jelas Danira. Kamila terkejut. Bulat matanya memandang ke arah Zulbhan yang terus terdiam.

*  *  *  *

            Matanya menerawang di setiap sudut bilik, memerhatikan keadaan bilik yang kelihatan teratur dan agak selesa. Bilik itu lengkap berperabot dengan katil dan almari pakaian yang sederhana besar. Dia menyusun langkah ke arah jendela. Tirai jendela di hadapannya ditarik perlahan. Dia dapat melihat dengan jelas rumah-rumah di kawasan itu.

            Bibirnya mengeluh kelegaan. Lega kerana sebahagian besar masalahnya sudah selesai. Segala-galanya sudah diuruskan. Mujur ada Zulbhan yang nampak bersungguh-sungguh mahu membantunya. Begitu juga dengan Kamila yang sangat peramah. Beruntungnya Kak Salmi, masih punya dua anak saudara yang tidak pernah membuangnya. Tapi aku? Apa yang aku miliki? Aku hanya Danira yang kosong dan sepi tanpa sesiapa, monolog Danira sendirian.

            Melihat jarum jam pendek kini beredar ke angka dua, dia segera ke bilik air mengambil wuduk. Lagipun dia sudah biasa untuk tidak melewat-lewatkan waktu sembahyang. Tidak baik, kata ustazah Halimah yang mengajarnya fardhu ain di Penjara Wanita Kajang. Berdosa jika sengaja melambat-lambatkan sembahyang. Hilang pahala amal ibadat.

            Sewaktu Danira bersolat, Kamila menerpa masuk. Tergaman seketika wanita itu apabila melihat Danira yang sedang kusyuk menunaikan solat. Agak lama matanya  terpaku pada gerak geri gadis itu. Rukuk dan sujud gadis itu, entah mengapa membuatkan hatinya tersentuh. Dia segera beredar, dengan niat tidak mahu menganggu gadis itu bersolat.

            “Mana dia?’ Zulbhan bertanya sebaik melihat Kamila turun dari tingkat atas. Ketika itu dia begitu asyik menikmati kopi pekat bersama kuih lepat pisang dan putu mayam. Berselera sungguh dia menjamah makanan yang dibawa Kamila dari rumahnya yang hanya selang lima buah di kawasan perumahan itu juga.

            “Dia tengah solat.” Jawab Kamila lalu duduk di hadapan adiknya.

            Zulbhan tercengang. Solat?

            “Zul, kakak tengok Danira tu budak baik. Kamu yakin ke dia bersalah?” Tanya Kamila. Entah mengapa dia benar-benar ingin mengetahui kisah sebenar gadis itu.

            “Memang itulah tuduhan ke atas dia kak. Dia dipenjarakan 15 tahun atas tuduhan menyebabkan kematian seorang lelaki. Tapi ceritanya agak pelik.” Ujar Zulbhan.

            “Apa yang peliknya?” Kamila berminat ingin tahu.

            “Walaupun polis temui cap jari dia pada pisau yang menikam mangsa, tapi dia tak memiliki alibi yang menyakinkan. Malah dia sendiri tidak kenal siapa si mati tu.” Ujar Zulbhan yang pernah meneliti fail tentang Danira

            “Kalau dia tak kenal, bagaimana mahkamah boleh menjatuhkan hukuman?” Dahi Kamila berkerut. Terasa keliru dengan apa yang baharu diperkatakan oleh adiknya.

            “Kerana dia mengaku dia yang bunuh lelaki itu. Undang-undang tetap melihat dia sebagai pembunuh. Pertama kerana kesan cap jari serta akuan bersumpahnya yang mengaku dia menikam mati lelaki itu. Kedua kerana kenyataan polis yang membuat tangkapan, melihat Danira di sisi mayat ketika kejadian dalam keadaan mencurigakan.” Jelas Zulbhan yang arif tentang undang-undang.

            “Jadi sekarang ni Danira betul-betul dah bebas?”

            “Undang-undang kak. Jika peguam yang dilantik tu bijak, sesiapa pun boleh dibebaskan. Apatah lagi jika pihak peguam bela boleh membuktikan kecelaruan fakta dalam kes tersebut.” Ulas Zulbhan.

            “Tapi kakak tengok dia tak macam tu. Wajahnya bukan wajah pembunuh. Mungkin ada sebab-sebab lain yang kita tak tahu.” Entah kenapa, Kamila seolah yakin dengan kata-katanya.

            “Zaman sekarang ni kak, macam-macam orang kita boleh jumpa. Kadang-kadang yang nampak baik itulah, yang paling banyak buat jahat.” Tingkah Zulbhan.

            “Habis kalau kamu tak percaya dia, yang kamu tolong dia tu kenapa?” Kamila mencerlung anak muda itu. Zulbhan hanya tersengih.

“Bukan tak percaya kak, tapi hati-hati. Tak salah kan?” Tukas Zulbhan.

            Kamila terdiam. Dia termenung panjang memikirkan kata-kata adiknya. Kasihan Danira! Kesimpulannya, gadis itu menerima hukuman di atas kesilapan yang cukup tinggi untuk ditanggung. Adilkah itu? Tapi kalau benarlah gadis itu melakukannya, siapa yang dibunuhnya dan kenapa? Pelbagai andaian berputik di fikiran Kamila ketika ini.

*  *  *  *

            Malam itu buat kali pertama Danira tidur di atas tilam empuk yang lebih selesa dari tilam buruk di dalam penjara. Bantal yang menjadi tempat pelapik kepalanya ditepuk perlahan. Terasa lembut dan sejuk.

            “Kalau Danira tak selesa, boleh pindah kat rumah kakak. Kat rumah kakak pun bukannya ada ramai orang. Anak-anak kakak aje, tiga orang semuanya,” Pelawaan Kamila siang tadi menjengah di kotak fikiran.

            “Tak payahlah Kak Mila, biar Nira kat sini sajalah. Lagipun Nira boleh tolong jagakan taska Kak Mila ni.” Balas Danira. Dia berasa segan mahu terus menyusahkan Kamila. Wanita itu sudah banyak membantunya.

            Sekeping potret yang hampir lunyai dikeluarkan dari dalam beg sandangnya, lalu ditatap dengan mata berkaca. Selama dia bersendirian, potret itulah yang menjadi peneman dan memberi kekuatan kepadanya. Sepasang suami isteri yang bergambar bersama menjadi tatapan sepasang matanya. Wanita itu memangku seorang bayi lelaki, manakala yang lelaki pula memimpin tangan kecil seorang anak perempuan. Dan anak perempuan itu adalah dirinya sendiri.

            Sewaktu rumah lamanya dirampas ibu dan ayah saudaranya yang tamakkan harta, dia hanya sempat membawa gambar itu keluar. Yang lain-lainnya sudah habis dibakar ibu saudaranya, Musliha. Wanita itu memang kejam orangnya. Sanggup menghalau dirinya dan Naufal yang masih kecil dari rumah mereka sendiri.

Pakciknya Kamal juga tidak terkecuali. Padahal Kamal adalah abang sulung ayahnya Adnan. Sejak lelaki itu diberhentikan kerja dari syarikat kerana pecah amanah, pasangan suami isteri itu sering cemburu dan irihati pada kebahagiaan keluarga mereka. Selama ini, sia-sia sahaja kepercayaan yang diberikan oleh arwah ayah dan ibunya pada Kamal dan Musliha. Tak cukup dengan itu, ayahnya sanggup memberi wang kepada lelaki itu untuk membuka perniagaan baru. Tapi kebaikan hati ayah dan ibunya langsung tidak dihargai mereka. Danira benar-benar kesal. Dan dalam keadaan sepi begini, dirinya mula terusik dengan kenangan lama yang melukakan hatinya. Kenangan lama yang memulakan setiap langkah penderitaan yang terpaksa diharunginya.

1 comment:

Anonymous said...

warrggghhh.... sedihnya cerita... Hopefully, takler sedih memanjang naa.... Mesti ada suka, duka, gembira, ria - baru cukup rencah dan perasa...

DEDALU DI HATI - STOK TERHAD!!

DEDALU DI HATI  - STOK TERHAD!!

PESANAN NOVEL DEDALU DI HATI SEDANG DIBUKA SEKARANG!!!

Harga = RM25.90
Kos Pos = RM7 (pos laju)
Total = RM32.90

Emailkan nama dan butiran diri ke arr_nita@yahoo.com.
Pesanan sehingga stok ke 3 ini kehabisan..

NANTIKAN VENOM SURIA DI PESTA BUKU ANTARABANGSA PWTC MULAI 27 APRIL, TERBITAN BUKU PRIMA (RM25.90)

NANTIKAN VENOM SURIA DI PESTA BUKU ANTARABANGSA  PWTC MULAI 27 APRIL, TERBITAN BUKU PRIMA (RM25.90)
Suria gadis ceria dan periang, namun miliki sejarah hitam dalam kelahiran. Yang membuatkan dia diburu dan dijejaki untuk meleraikan sebuah kisah sumpahan, lalu mempertemukan dia dengan dua lelaki berbeza sifat. Izwan jenis yang dingin dan panas baran. Cakapnya harus dipatuhi atau dia akan meletup! Nazrul sentiasa cool tapi punya rahsia terpendam yang menyiksa jiwa. Seorang lelaki ditakdirkan menjadi penyelamat. Seorang lagi ditakdirkan membunuhnya. Kedua-duanya muncul tak diundang, tetapi meninggalkan kesan mendalam. Lalu bermulalah permainan cat and mouse antara mereka sehingga game over!