Followers

Monday, January 10, 2011

Blue Sunset : Bab 20

            HAKIM melontar begnya ke atas katil. Sesudah itu dia mencapai tuala untuk mandi  dan bersolat Asar. Usai menunaikan solat, Hakim terus terpegun di atas tikar sembahyang. Fikirannya tenggelam dalam kerungsingan.

            Bukan senang mahu melupakan apa yang telah berlaku dalam rumahtangganya. Sukar juga mahu menyakinkan dirinya yang selama puluhan tahun ini, hatinya sudah terubat oleh masa dan keadaan.

            Siapa yang mahu bercerai? Siapa yang inginkan rumahtangga yang dibina bersama isteri yang amat dicintai karam dilandai badai? Tidak ada sesiapa pun yang mahukan itu semua. Tapi manusia tidak boleh menolak ketentuan Allah S.W.T.

            “Mungkin Jalena bukan isteri yang baik untuk anak mak ni. Sebab itu Allah berikan ujian begini pada kamu Hakim.” Begitulah kata-kata ibunya sejurus selepas dia memaklumkan berita perceraiannya dengan Jalena.

            “Saya yang salah mak. Saya gagal didik Jalena jadi isteri dan ibu yang baik.”

            “Mak tahu siapa kamu Hakim. Mak yang lahir dan besarkan kamu. Tapi mak juga tahu bagaimana orangnya Jalena tu. Kehidupan dia jauh berbeza dari kita nak. Dia dibesarkan dengan didikan barat, sedangkan mak ajar Hakim agar berpegang kuat pada qada dan qadar dari Allah S.W.T. Masa Hakim bawa Jalena jumpa mak lagi, mak dah tahu lambat laun semua ini akan berlaku juga.” Ujar ibunya.

            Hakim meraup wajah. Dia benar-benar kesal. Sepatutnya dari dulu, dia ikut nasihat ibunya untuk mengahwinkannya dengan sepupunya Jamilah. Tapi dia menolak, kerana hatinya tertarik pada Jalena yang ditemuinya di Mumbai.  

            Ketika itu Jalena menghabiskan semester break bersama teman-temannya dan sedang bercuti di India. Dia pula sedang menghadiri seminar perubatannya di bandar yang sama. Wanita itu sedang menuntut di salah sebuah universiti di Oklahoma. Dan pertemuan yang bertitik tolak dari pandangan pertama di airport disusuli pula dengan pertemuan kedua. Pertemuan ketiga mereka berlaku di Kuala Lumpur dan ketika itu dia sudah mengambil keputusan untuk melamar Jalena menjadi isterinya.

Bersama Jalena, dia sangkakan dia akan menjadi lelaki yang cukup bahagia di dunia ini. Tapi siapa sangka, hatinya akan dikecewakan oleh orang yang pernah dicintainya.

            Selepas kelahiran Zahar, sikap Jalena mula berubah. Jalena seolah rimas berada di rumah, memasak, mengemas dan menjaga bayi yang masih kecil. Kerana turutkan isteri, dia mengambil pembantu rumah dan pengasuh untuk Zahar. Setelah umur Zahar 2 tahun, Jalena meminta izin untuk bekerja pula. Mulanya dia membantah keras, tapi rajuk wanita itu benar-benar merimaskannya. Maka dia turutkan sahaja kehendak isterinya meskipun hatinya tidak senang dengan isterinya yang mahu menceburi bidang seni.

            Mulanya isterinya sekadar berlakon watak kecil-kecilan sahaja dalam drama televisyen. Tapi lama kelamaan, Jalena mula ditawarkan watak-watak penting sebelum dilamar menjadi pelakon filem. Lima tahun isterinya bergelumang dengan dunia filem, gaya Jalena kembali berubah seperti sebelum berkahwin dulu.

            Isterinya sudah pandai pulang lewat. Paling dikesalkan, Jalena turut menipu wartawan kononnya dia masih belum berkahwin. Inilah yang meremukkan hatinya sehingga dia bertindak bersemuka dengan Jalena.

            “Kenapa Lin? Kenapa you buat I macam ni? You cerita depan press kononnya you belum kahwin sedangkan you isteri orang dan dah jadi ibu pun.” Gumamnya dengan wajah merah padam.

            Jalena sekadar memandang ke arahnya tanpa sebarang emosi. Marahnya seolah-olah tidak menjadi kudis pada wanita itu.

            “Apa salahnya? Itu kan hanya cerita kosong pada pihak akhbar. Lagipun kerjaya I ni tak ada kena mengena dengan you.” Ujar Jalena.

            “Memang kerja you tak ada kena mengena dengan I. Tapi you tu ada kena mengena dengan I sebab you isteri I. You ibu Zahar. Cuba you fikir apa orang lain kata kalau mereka tahu you mendongengkan diri you depan wartawan semata-mata takut produser dah tak sudi ambil you berlakon lagi.”

            Jalena merenung tajam ke arahnya. Kata-katanya kali ini memang agak pedas dan sinis di pendengaran wanita itu.

            “Memang I takut kalau wartawan tahu siapa you dalam hidup I. Kerjaya I baru nak naik Hakim. I akan jadi pelakon popular, pelakon yang disegani di Malaysia. Tahun lepas I dah dicalonkan untuk anugerah pelakon wanita terbaik. I akan jadi rebutan produser filem. Kalau mereka tahu I dah kahwin dan dah ada anak, siapa yang nak pandang I nanti?” herdik Jalena dengan suara meninggi.

            “Jadi kerjaya you lebih penting dari suami dan anak you sendiri?” Jerkahnya dengan perasaan marah yang sudah tidak terbendung.

            “Memang! Kerjaya I lebih penting dari sesiapa pun. You tak tahu berapa banyak yang I hilang semata-mata kerana kahwin dengan you yang sentiasa sibuk 24 jam di hospital. I bosan hanya duduk di rumah dan jaga anak yang asyik menangis tu. I nak jadi wanita yang berkerjaya, wanita yang dihormati orang. Bukannya jadi tunggul yang asyik mencium tapak kaki you saja.” Balas Jalena lantang.

            Pang! Tanpa disedari tangannya mendarat di pipi licin Jalena. Jalena terkejut. Dia pula terpaku. Kelopak mata Jalena sedikit berair sambil menentang pandangannya.

            “Sekarang baru you berani tunjuk belang you Hakim? Berani you tampar I?” Getus Jalena dengan wajah berang. Dia menarik nafas panjang seraya beristighfar dalam hati. Ya Allah! Bukan ini hak yang aku dambakan sebagai seorang suami.

            “Sepatutnya dari dulu I tampar you sebab mulut you tu lancang sangat. You tak pandai taat pada suami. Tak pandai ambil hati mak mertua you. You juga tak pedulikan Zahar sampaikan sakit demam dia pun you tak ambil kisah langsung. Isteri apa you ni Lin?” Keluhnya bersama nafas yang kian sarat di hati.

            “Kalau you tak sukakan I, kenapa dulu you terhegeh-hegeh lamar I? Kenapa dulu you nak kahwin sangat dengan I? Kalau tak suka ceraikan saja I!” Bentak Jalena.

            Dia tergaman. Hancur luluh hatinya mendengar perkataan cerai dilafazkan wanita itu. Jika diikutkan hati panasnya, mahu sahaja dia tunaikan keinginan Jalena itu. Namun dia masih ada akal budi. Masih menjunjung agama yang menjadi nadi hidupnya. Tak mungkin dia akan sanggup menceraikan wanita itu semata-mata kerana pergaduhan mereka.

            Dia tahu Jalena bukan wanita kampung. Walaupun berasal dari Pasir Puteh Kelantan, namun wanita itu terdidik dalam keluarga berada yang dibesarkan dengan cara barat. Jalena sudah terbiasa dengan pemikiran moden. Tapi kerana hati sudah suka, tanpa berfikir panjang dia melamar Jalena dengan harapan wanita itu akan menjadi wanita dan ibu mithali dalam hidupnya. Tapi percaturannya ternyata silap. Wanita itu bukan jenis yang akan tinggal di rumah melayan makan minumnya serta menjaga anak yang masih kecil. Semakin hari jiwa Jalena semakin memberontak. Jalena ingin bekerja sedangkan dia lebih suka Jalena tinggal di rumah menjaga Zahar. Wanita itu mahu bebas, sedangkan dia mengurung Jalena dalam sangkar emas. Wanita itu inginkan kasih sayang, sedangkan masanya terlalu terhad di rumah.

Mungkin itu puncanya! Keluh Hakim kesal. Dia terlalu sibuk di hospital sehingga mengabaikan Jalena. Wanita itu sering mengadu kesunyian, tapi dia hanya mendengar keluh-kesah itu tanpa cuba untuk memahami perasaan Jalena.

            Maafkan ayah Zahar! Ayah tak mampu berikan Zahar seorang ibu yang Zahar impi-impikan! Hakim mengeluh panjang. Sayu mengenangkan Zahar yang ditinggalkan ibunya begitu sahaja. Hatinya dihambat kesedihan apabila terkenangkan Jalena yang sampai hati menolak Zahar sehingga anak kecil itu terluka.

            Sehingga kini Zahar begitu membenci ibunya. Dia tidak salahkan Zahar jika itu yang dirasakan oleh anak itu. Sedari kecil Zahar sudah hilang tempat bermanja, sudah kenal erti rindu. Semuanya kerana sikap Jalena yang mementingkan diri.

            Hakim melipat sejadah sembahyang yang selesai digunakan lalu menyangkutnya pada pelantar di hujung katilnya. Sesudah itu dia membaringkan tubuh. Tangannya didepangkan di atas dahi. Kelopak matanya cuba dipejamkan, tapi dia gagal berbuat demikian. Wajah Jalena bermain di tubir mata. Selama hampir dua puluh tahun dia cuba melupakan Jalena, kini wanita itu muncul di hadapannya semula.

*  *  *  *

            Zahar melepaskan keluhan berat. Perlahan-lahan kakinya dihindar dari bilik ayahnya. Untuk apa dia menganggu ayahnya semata-mata kerana ingin tahu tentang wanita itu? Bukankah mereka sudah berjanji untuk tidak saling mengungkit lagi perihal Sri Jalena?

            Ketika Zahar turun ke tingkat bawah, matanya terpandang kelibat Aqi yang baru pulang. Melihat Zahar tercegat di atas anak tangga sambil memerhatikannya, Aqi terkesima. Dia cuba berlagak tenang. Wajah Zahar dipandang acuh tak acuh.  Langkah kakinya dihela ke arah dapur. Tekaknya yang haus perlu dialas dengan air terlebih dahulu.

            Tak disangka-sangka, Zahar mengekori anak gadis itu. Ketika Aqi mengeluarkan jug berisi jus oren dari dalam peti ais, Zahar segera merampas jug tersebut membuatkan Aqi terkedu. Bulat biji matanya memerhatikan telatah Zahar menuang jus oren ke dalam gelas yang diambilnya di dalam kabinet dapur. Gelas berisi jus itu dihulurkan ke arahnya.

Aqi tergaman. Matanya merenung lelaki di hadapannya dengan wajah berkerut. Dah buang tebiat ke dia ni? Bisik hati kecil Aqi.

“Tak mahu ke jus ni?” Tanya Zahar apabila dilihatnya Aqi kelihatan serba-salah mahu menyambut gelas yang dihulurkannya.

“Jangan bimbang, tak ada racun pun dalam jus ni.” Tukas lelaki itu lagi dengan wajah bersahaja.

            Mahu tak mahu Aqi segera menyambut gelas di tangan Zahar lalu meneguknya sehingga habis. Sesudah itu dia segera ke sinki lalu membasuh gelas yang digunakannya. Sangkanya Zahar akan berlalu pergi. Tapi menyedari lelaki itu tidak berganjak dari kedudukannya, Aqi mula diselubungi perasaan resah. Apa dia nak dengan aku sebenarnya?

            “Err..nenek mana?” Aqi membuka pertanyaan. Sengaja untuk membuang resah yang berhimpun di dadanya.

            “Dia pergi rumah Mak Teh aku, mungkin dia balik lambat sikit.” Ujar Zahar.

            Wajah Aqi segera berubah. What? Jadi aku dengan Zahar berdua-duaankah? Dia mulai gugup. Sangkanya Rukiyah berada di rumah ketika ini.

            “Tak payah nak buat muka terkejut tu. Ayah aku dah balik dah. Ada kat dalam bilik dia. Sekalipun dia tak ada, kau jangan bimbang. Aku tak tertarik langsung dengan kau. You are not that kind of attractive to me.” Ujar Zahar lalu tersengih penuh makna.

            Berderau darah Aqi mendengarnya. Namun hakikat bahawa ayah Zahar ada bersama mereka di rumah itu, membuatkan hatinya sedikit tenang.

            “Nenek balik lambat sikit hari ni. Jadi aku nak tanya kau ni, apa boleh kau masak untuk malam ni?” Tiba-tiba Zahar bertanya.

            Aqi terdiam. Rupa-rupanya Zahar mahukan dia memasak. Tanpa berfikir panjang dia segera mengangguk. Tidak ada salahnya dia memasak untuk lelaki itu dan Doktor Hakim yang baik hati. Lagi-lagi setelah apa yang Zahar lakukan hari ini, dia sepatutnya berterima kasih pada lelaki itu.

            “Tak apa, saya masak malam ni.” Ujar Aqi.

            “Masak simple-simple aje. Aku dengan ayah tak cerewet.” Canang Zahar.

            Aqi mengangguk.

            “Tapi tak payah masak gulai. Kami berdua tak suka makan makanan bergulai. Kalau boleh buat asam pedas. Tapi jangan masin sangat atau pedas sangat. Ayah aku tak suka. Kalau ada ayam goreng berempah lagi baik. Tak payah buat tumis merah.” Ujar Zahar panjang lebar.

            Aqi tergaman. Kata-kata lelaki itu membuatkan dia menggerutu. Masak simple-simple konon! Biar betul mamat ni! Gumam Aqi dengan wajah sebal.

            Zahar mahu beredar dari situ, tapi Aqi cepat-cepat memanggil lelaki itu semula. Langkah Zahar tidak jadi diteruskan. Terkelip-kelip dia memandang ke arah Aqi yang nampak resah.

            “Kenapa?” Soal Zahar hairan.

            “Terima kasih.” Ujar Aqi lembut.

            Zahar mengerutkan dahinya. “Untuk apa?”

            “Untuk apa yang awak dah buat untuk mak saya pagi tadi.” Sahut Aqi perlahan. Bibirnya mengukir senyuman ikhlas buat lelaki itu, meskipun dia tidak pasti apakah lelaki itu ikhlas menghantar makanan untuk ibunya hari ini. Ah pedulikan dia ikhlas atau tidak! Apa pun Zahar benar-benar membantunya menemani ibunya sewaktu dia terperangkap di dalam kesesakan jalan raya sepanjang perjalanan ke hospital hari ini.

            Zahar terdiam. Senyuman Aqi ditatap dengan wajah serius. Hatinya terhibur melihat senyuman gadis itu. Tapi untuk membalas senyuman itu, entah kenapa dia tidak boleh. Urat sarafnya seakan menegang setiap kali dia cuba membalas senyuman Aqi.

            “Benda kecil aje tu, buat apa nak sebut. Lagipun aku ada janji dengan ayah nak makan tengahari bersama. Kebetulan aku dah singgah kat hospital tu, jadi aku bawakan makanan tu.” Zahar sengaja berbohong. Sedangkan kerana seharian menemani Makcik Kamelia, dia terlupa janjinya sendiri untuk bertemu kawannya Amir. Kasihan Amir terpaksa menunggu lama di Kelab Squash!

            “Dahlah, pergi masak sekarang. Aku dengan ayah dah lapar ni. Kejap lagi nenek balik.” Suruh Zahar lalu beredar meninggalkan Aqi yang tercegat seperti patung.

            Aqi hanya mampu melemparkan senyuman. Hari ini lelaki itu lebih berlembut ketika berkata-kata dengannya. Meskipun tutur kata Zahar masih bernada sinis, tapi lebih bertertib. Dia benar-benar merasa terhutang budi dengan Zahar hari ini.

No comments:

DEDALU DI HATI - STOK TERHAD!!

DEDALU DI HATI  - STOK TERHAD!!

PESANAN NOVEL DEDALU DI HATI SEDANG DIBUKA SEKARANG!!!

Harga = RM25.90
Kos Pos = RM7 (pos laju)
Total = RM32.90

Emailkan nama dan butiran diri ke arr_nita@yahoo.com.
Pesanan sehingga stok ke 3 ini kehabisan..

NANTIKAN VENOM SURIA DI PESTA BUKU ANTARABANGSA PWTC MULAI 27 APRIL, TERBITAN BUKU PRIMA (RM25.90)

NANTIKAN VENOM SURIA DI PESTA BUKU ANTARABANGSA  PWTC MULAI 27 APRIL, TERBITAN BUKU PRIMA (RM25.90)
Suria gadis ceria dan periang, namun miliki sejarah hitam dalam kelahiran. Yang membuatkan dia diburu dan dijejaki untuk meleraikan sebuah kisah sumpahan, lalu mempertemukan dia dengan dua lelaki berbeza sifat. Izwan jenis yang dingin dan panas baran. Cakapnya harus dipatuhi atau dia akan meletup! Nazrul sentiasa cool tapi punya rahsia terpendam yang menyiksa jiwa. Seorang lelaki ditakdirkan menjadi penyelamat. Seorang lagi ditakdirkan membunuhnya. Kedua-duanya muncul tak diundang, tetapi meninggalkan kesan mendalam. Lalu bermulalah permainan cat and mouse antara mereka sehingga game over!