Followers

Monday, April 21, 2014

Lelaki Itu Untukku : Bab 17


BUNYI riuh rendah di luar rumah itu membuatkan dia tertarik untuk menjenguk ke luar tingkap. Hatinya tertanya-tanya apa yang bising sangat di luar sana. Didorong perasaan ingin tahu, dia terburu-buru menjenguk ke luar lalu terpandang kelibat orang ramai di gelanggang di belakang rumah itu. Orked tercengang. Apa sebenarnya yang belaku? Kenapa mereka semua berkumpul di situ? Hatinya tertanya-tanya.

            “Orked buat apa tu?” Suara Mak Tun menyapa dari arah belakang.

Orked terpanar. Cepat-cepat dia menjarakkan dirinya dari tingkap lalu pura-pura mencapai majalah di atas almari lalu membeleknya.

            Mak Tun tersenyum gelihati. Dia tahu anak gadis itu sedang mengintai ke luar.

            “Orked tak nak join ke? Mereka semua tengah main bola tampar.” Ujar Mak Tun sekadar menjelaskan keadaan yang riuh rendah di luar. Dia sendiri ralit menontonnya. Tengah sedap-sedap memerhatikan perlawanan itu, suaminya pula menggesa dia menyiapkan minuman.

            “Tak minat.” Jawab Orked sepatah.

            “Mak Tun pun bukan minat sangat, tapi ralit jugak tengok si Idlan melawan budak-budak muda tu. Tak apalah, Mak Tun nak ke dapur siapkan minuman untuk mereka. Orked turunlah tengok.” Suruh wanita itu sebelum menghilang ke arah dapur.

            Sepeninggalan Mak Tun, Orked terpisat-pisat di situ. Tergerak jua hatinya mahu menonton perlawanan itu. Namun entah kenapa hatinya terasa segan. Setelah dia terbabit dalam kekecohan yang memalukan itu, tak sanggup rasanya dia mahu memandang muka orang-orang lain di situ. Segan!

            Tiba-tiba, telinganya menangkap bunyi kaca pecah dari arah dapur. Orked tersentak. Cepat-cepat dia berlari ke arah dapur. Di situ dia terpandang kelibat Mak Tun sedang terbongkok-bongkok mengutip kaca pecah.

            “Kenapa Mak Tun?” Soal Orked cemas.

            Mak Tun mendongak. Bibir orang tua itu melemparkan senyuman. “Mak Tun yang cuai, terjatuhkan gelas ni pulak. Orked jangan datang dekat, nanti terbelah kaki tu baru tahu. Hari tu dah terpijak kaca kat jalan raya.” Larang Mak Tun.

            Orked tidak ambil peduli. Dia turut tunduk lalu ikut sama mengumpulkan serpihan-serpihan kaca yang halus.

            Orked..” Mak Tun ingin melarang. Namun melihat kesungguhan anak gadis itu membantunya, dia hanya mampu tersenyum. Wajah anak gadis itu ditatap ralit. Meskipun tanpa mekap, wajah anak gadis itu manis sekali. Kulitnya putih licin dengan bibir yang merah meskipun tanpa olesan lipstick. Gadis itu terlihat lebih cantik tanpa mekap berbanding kali pertama dia melihat Orked sewaktu gadis itu mula-mula sampai ke situ.

Jika diletakkan Orked di sisi Idlan, wajah mereka hampir seiras. Idlan yang tinggi lampai itu sering mencuri perhatian sesiapa sahaja baik lelaki mahupun wanita. Anak muda itu mempunyai karisma dan aura yang segak seperti arwah ayahnya. Entah kenapa Mak Tun sempat melamun panjang.

“Kaca ni nak buang di mana?” Soal Orked seraya mematikan khayalan singkat Mak Tun. Orang tua itu kini terpisat-pisat memandang ke arah Orked. Melihat gadis itu sudah mengumpulkan kaca-kaca yang pecah itu setempat, Mak Tun menarik nafas panjang.

“Tak apalah Orked, biar Mak Tun yang uruskan kerja selebihnya. Kalau Orked tak keberatan, Mak Tun nak minta tolong.” Ujar wanita itu.

            “Tolong apa?” Dahi Orked berkerut. Hairan mendengar kata-kata wanita itu. Pertolongan apakah yang diharapkan wanita itu terhadapnya?

            “Boleh tak Orked hantarkan minuman untuk mereka kat gelanggang tu? Mak Tun dah siapkan air oren. Orked cuma tolong hantar aje. Nanti haus pulak budak-budak tu kalau minuman ni lambat dihantar.” Pinta Mak Tun.

            Orked keberatan. Namun melihat kesungguhan Mak Tun memandangnya dengan penuh berharap, dia mengeluh panjang. Tak sampai pula hatinya mahu menghampakan wanita itu.

            Di gelanggang tenis yang kini diubahsuai menjadi gelanggang pertempuran bola tampar, menyaksikan pasukan Idlan yang terdiri dari Pak Man dan Rezal melawan pasukan yang lebih muda yang terdiri dari Fikri, Halil dan Irfan. Anna dan Ira pula menjadi penyokong di tepi gelanggang. Mara pula hanya tersengih di tepi gelanggang sambil sesekali bersorak untuk suaminya.

Orked yang memerhatikan gelagat Anna yang terkinja-kinja dengan wajah teruja, hanya mampu mencebik. Entah kenapa dia benar-benar tidak menyukai anak gadis itu. Umur mereka tidak jauh berbeza, namun dia tidak fikir dia mampu bersahabat dengan anak gadis itu. Sebaliknya Ira yang lebih peramah dan mudah ketawa lebih disenanginya.

            Idlan yang baru selesai membuat hantaran bola ke sebelah gelanggang, segera terpandang kelibat Orked yang sedang menatang dulang berisi minuman. Bibirnya segera menguntum senyuman. Dia tahu Orked juga sedang memandangnya. Namun senyuman ikhlasnya langsung tidak dibalas anak gadis itu. Tapi dia tidak kisah langsung, sebaliknya ketawanya meletus keluar. Santai dan selamba.

            Guys, kita berhenti minum dulu. Nanti lenguh pulak tangan tuan puteri tu pegang dulang minuman.”Jerit Idlan tiba-tiba.

            Wajah Orked berubah. Telinganya dapat mendengar kata-kata Idlan itu. Dia tahu lelaki itu sengaja mengusiknya. Malah kehadirannya kini mula disedari orang-orang di gelanggang itu.

            “Wah, hari ni Orked yang buat minuman untuk kita.” Laung Rezal pula seraya mengesat peluhnya.

            Orked menggeleng. Ingin sahaja dia menjelaskan bahawa dia hanya menghantar minuman yang disiapkan Mak Tun. Namun melihat dirinya didekati Idlan, bibirnya terus kelu. Lelaki itu orang pertama yang mengambil gelas dari dulang di tangannya.

            “Terima kasih Orked.” Ungkap Idlan seraya mengenyitkan matanya. Gelas berisi oren sejuk itu segera diteguk sehingga habis.

Melihat tingkah laku Idlan yang selamba, Orked menarik nafas panjang. Dia ni memang sengaja nak kenakan aku! Gumam Orked dengan wajah cemberut. Namun kemarahannya tak mampu dilontarkan tatkala dia mula didekati Rezal, Pak Man dan anak-anak muda yang menjadi penginap di  rumah itu. Malah Mara dan Ira turut menghampirinya. Hanya Anna yang tak berganjak dari tempat duduknya Wajah anak gadis itu sudah menjeling-jeling ke arahnya bagaikan tidak berpuas hati.

Orked sempat menghadiahkan senyuman sinis buat anak gadis yang kini menjadi seterunya di rumah itu. Namun sebaik dia mengalihkan bebola matanya, pandangannya bertembung dengan renungan Idlan yang sedang menjamah wajahnya. Dia menelan liur. Gugup! Apakah Idlan perasan dengan tingkah lakunya yang keanak-anakan melayan sikap Anna yang kerek itu? Ah lantak! Siapa yang mulakan dahulu semua ini?

*  *  *  *

BUNYI riuh-rendah perbualan Mara dan suaminya Rezal dengan Mak Tun suami isteri di ruang tamu itu langsung tidak dipedulikan. Dia lebih berminat membelek buku-buku di dalam bilik bacaan yang baharu ditemuinya. Ada banyak jenis bahan bacaan di dalam ruangan sederhana besar itu. Sekali dipandang, ia menyerupai sebuah perpustakaan mini. Di dinding bilik itu terdapat beberapa bingkai gambar lama berwarna hitam putih, sengaja disusun berderet di atas almari sederhana besar di sudut bilik.

            Di sudut yang lain terdapat gramofon yang kelihatan berkilat. Di tepinya tersusun rak bertingkat setinggi dirinya yang menyimpan banyak piring hitam nyanyian penyanyi-penyanyi lama. Dia menarik sekeping piring hitam tersebut lalu membeleknya.

            “Under The Lion Rock.” Orked membaca apa yang tertulis pada salah satu piring hitam itu. Dia membelek-belek pula yang lain. Kebanyakannya piring hitam dari penyanyi-penyanyi tempatan seperti P. Ramlee, Saloma, Rosmaria, D.J Dave. Dan ramai lagi. Ada juga piring hitam dari soundtrack filem seperti Saturday Night Fever, Sound of Music dan Gone With The Wind. Hatinya serta-merta disinggahi rasa kagum. Kebanyakan piring-piring hitam itu kini agak sukar diperolehi.

            “Semua piring hitam tu milik ayah abang. Dia pengumpul piring hitam.” Ujar suatu suara.

Orked terkejut besar. Piring hitam yang ada di tangannya segera terlepas dari tangan. Wajahnya dengan segera berubah. Kehadiran Idlan secara tiba-tiba begitu sering membuatkan dia putus semangat.

Idlan ketawa kecil melihat reaksi anak gadis itu. Perlahan-lahan dia mendekati Orked yang jelas gugup memandangnya. Dia melihat ke arah piring hitam yang terdampar di atas lantai. Keluhannya meniti keluar. Matanya beralih ke wajah Orked yang kelihatan kekok. Salahnya juga kerana mengejutkan anak gadis itu. Idlan segera tunduk lalu mengutip piring hitam tersebut. Dia membelek-belek piring hitam tersebut sebelum menarik nafas lega. Mujurlah piring hitam kesayangan arwah ayahnya itu tidak rosak.

            “Orked nak dengar gramofon?” Tanya Idlan lembut. Pandangannya melata di wajah anak gadis di hadapannya.

Gadis itu turut menatapnya. Renungan anak gadis itu kelihatan lebih lembut kali ini. Namun melihat gadis itu menggelengkan kepala, dia hanya tersenyum.

            “Abang lupa, Orked tak mungkin suka mendengar lagu-lagu lama macam ni. Orked kan suka lagu-lagu yang lebih bising.” Ujar Idlan.

            Telinga Orked berdesing. Entah kenapa dia merasakan lelaki itu seperti sengaja menyindirnya. Dengan wajah masam mencuka, dia angkat kaki mahu beredar dari situ. Namun tangan Idlan lebih pantas memaut lengannya lalu menarik tubuhnya lebih hampir. Tindakan Idlan membuatkan dia terkedu.

“Orked sensitif sangat. Bila nak buang perasaan negatif tu? Abang bukan nak menyindir tapi Orked memang lebih suka dengar bunyi muzik yang rancak. Salah ke abang cakap macam tu?” Bisik Idlan perlahan.

            Orked terdiam. Memang tak salah! Dan tekaan Idlan memang betul. Raut wajah Idlan begitu dekat dengan wajahnya kini. Hatinya semakin bergetar. Aneh! Kenapa dia begini setiap kali Idlan mendekatinya? Apakah aku mula menyukai lelaki yang menyebalkan itu? Ah! Tak mungkin! Cepat-cepat dia meleraikan tangan Idlan yang melekat di lengannya.

            Idlan menarik nafas panjang. Sukar sungguh dia mahu melenturkan hati anak gadis itu. Berbual dengan Orked mungkin menjadi perkara paling menyukarkan buat dirinya. Berkomunikasi dengan Mr. Sumpthon, tuan rumah tempat dia menyewa di London yang sangat cengil dan cerewet orangnya mungkin lebih mudah berbanding gadis itu.

            “Kalau Orked nak baca buku, ambil sahajalah buku-buku kat dalam rak tu. Semuanya milik ayah abang. Dia memang suka membaca semasa hayatnya.” Ujar Idlan.

            Orked melemparkan pandangan ke arah rak-rak yang tersusun di setiap sudut. Semuanya dipenuhi dengan pelbagai jenis bahan bacaan. Tadi dia sempat membelek-belek. Kebanyakannya buku-buku tentang seni bina dan hiasan dalaman. Malah di setiap sudut dinding bilik itu dipenuhi dengan gambar-gambar binaan bangunan yang amat cantik sekali. Dipotret dengan baik dari tangan seorang jurugambar profesional.

            “Arwah ayah abang seorang arkitek. Gambar-gambar yang Orked nampak kat dinding tu ialah gambar-gambar bangunan bersejarah di Itali, waktu kami sekeluarga berkunjung ke sana. Ayah abang memang suka ambil gambar bangunan-bangunan tu semua.” Ujar Idlan tersenyum. Dia turut menghayati gambar-gambar itu bersama Orked sambil asyik bercerita tentang setiap dari gambar-gambar itu.

            Orked hanya mendengar tanpa menyampuk. Sesekali dia merenung Idlan dari tepi. Mata lelaki itu bercahaya setiap kali bercerita. Dia mengerti, Idlan tentu terkenang-kenangkan kenangan lamanya bersama arwah ayahnya. Hatinya tergerak jua ingin bertanya apa punca kematian ayah lelaki itu? Tapi entah kenapa dia membatalkan hasrat hatinya. Tak tergamak pula dia mahu mengugat suasana ceria di bilik itu ketika ini.

            “Abang teringin nak tengok semula Gothic Cathedral di Milan. Masa kecil dulu abang dah pernah datang dengan arwah ayah. Tapi sekarang rasa rindu nak tengok semula.Entah sempat atau tidak.” Renungan Idlan tenggelam seperti memikirkan sesuatu.

            Dia mengulit wajah lelaki itu dalam-dalam. Kenapa tak sempat pula? Kalau nak pergi, pergi ajelah! Gumam hati kecilnya. Mustahil lelaki sekaya Idlan perlu berfikir panjang sekadar mahu menjejaki Milan.

            “Manalah tahu suatu hari nanti kita ada peluang datang sama-sama ke sana. Orked mesti suka kalau dapat tengok Duomo tu.” Idlan tiba-tiba tersenyum memandangnya.

            Dia tercengang-cengang mendengar kata-kata Idlan. Impian lelaki itu mahu ke sana, apa kena mengena dengan dirinya pula?

            “Err..Orked nak ikut abang memancing tak kejap lagi? Kita memancing dekat tasik yang Orked pernah lemas tu.” Tanya Idlan tak melepaskan peluang, cuba memujuk gadis itu lagi.

Orked menelan liur. Grr…dia benar-benar tak mampu berhadapan dengan Idlan walaupun sesaat. Ada sahaja kata-kata Idlan yang membuatkan dia sakit hati. Jika Idlan tidak menyinggung hatinya dalam sehari tak boleh ke? Kenapa lelaki itu suka benar memperingatkan dia perihal peristiwa dia lemas di tasik tempohari? Aduh malunya!

            “Aku tak nak pergi.” Balas Orked dengan wajah muncung sedepa.

            “Betul tak nak pergi ni?”

            “Tak nak. Tak faham bahasa ke?”

            “Kalau tak nak tak apa. Tapi abang dengar Kak Mara dengan Mak Tun nak ajak semua orang perempuan siapkan barbeque untuk jamuan malam nanti. Orked boleh tolong Mak Tun dan Kak Mara nanti. Anna dengan Ira pun ada. Orked mungkin boleh berbaik-baik dengan Anna nanti.” Ujar Idlan seraya mengangkat keningnya.

            Mendengar kata-kata Idlan, wajah Orked segera berubah. Anna? No way! Dia takkan berbaik-baik dengan perempuan mengada-ngada tu. Tak mungkin!

            Melihat Idlan seperti mahu meninggalkan bilik itu, Orked cepat-cepat memanggil lelaki itu semula. Sungguh dia tak kuasa mahu berada di rumah itu dengan segala macam kerja rumah yang tak biasa dilakukannya. Paling penting dia tidak mahu duduk bersama-sama Anna dalam satu ruangan. Noktah!

            “Kejap, aku nak ikut.” Putus Orked serba tidak kena.

            “Apa Orked? Abang tak dengar?” Wajah Idlan berkerut.

            Orked mengigit bawah bibirnya. Pekak ke?

            “Aku kata aku nak ikut?”

            “Orked nak ikut abang ya?” Idlan tersenyum lebar. Kemenangan pertama di pihaknya hari ini. Dia lega kerana Orked mahu mengalah. Itupun dia sengaja menggunakan nama Anna untuk menjerat anak gadis itu. Dia tahu Orked dan Anna tidak sebulu. Matanya masih belum buta melihat reaksi kedua-dua gadis itu sebentar tadi. Macam musuh di medan perang!

            “Ya aku ikut.” Getus Orked kasar.

            No, betulkan ayat tu. Cakap semula dengan abang yang Orked akan ikut abang. Jangan gunakan lagi kata kau aku tu. Kasar sangat bunyinya untuk adik abang yang cantik ni.” Ujar Idlan.

            Wajah Orked berkerut. Geli-geleman dia mahu mengikut suruhan Idlan.

            “Kalau tak abang tinggalkan sahaja Orked nanti.” Ugut Idlan. Dia semakin mahir meneka kelemahan anak gadis di hadapannya.

            Orked mengeluh panjang. Kalau dibandingkan dia harus bersama-sama dengan Anna, dia lebih rela berpura-pura di hadapan Idlan.

            “Ya abang Idlan, saya akan ikut. Puas hati?” Orked mencebik.

            “Yup, much better.” Balas Idlan seraya tersenyum lebar. Kelakar pula dia mendengar gadis itu membahasakan dirinya abang. Nampak sangat Orked terpaksa melakukannya. Tapi sekurang-kurangnya ini langkah pertamanya untuk mendekati gadis itu. Entah kenapa, setelah dia tahu apa yang Orked rasai selama ini, apa yang dihadapi gadis itu bersama ayahnya, hatinya begitu kuat mahu melindungi anak gadis itu. Dia tidak pernah punya adik perempuan. Malah dia tidak tahu bagaimana mahu melayan seorang ‘adik’ seperti Orked yang keras kepala dan sukar mendengar kata. Namun dia akan belajar. Dia akan mendekati gadis itu sedikit demi sedikit. Bukankah itu sudah menjadi tanggungjawabnya? Lagipun Orked bukan siapa-siapa lagi baginya setelah ibunya Maria mengahwini Hamdan, ayah Orked.

*  *  *  *

JARAK duduknya dengan Idlan agak jauh. Idlan di kanan, dia pula di kiri. Masing-masing menghadap ke arah air tasik yang membiru. Idlan dengan pancingnya, dia pula sibuk mengipas tubuh dengan topi yang asalnya tertenggek di atas kepalanya. Sesekali dia mengerling ke arah Idlan yang kelihatan tidak terganggu dengan suasana di kawasan tasik itu yang sunyi sepi. Bibirnya mencebik tanpa disedari. Entah ada ke entah tidak ikan dalam tasik ini! Sudah satu jam berlalu, tapi baldi kecil yang dibawa lelaki itu masih belum berisi apa-apa ikan. Berudu ada la kut! Ejek Orked dalam hati.

            Lima belas minit terus berlalu, Orked semakin bosan. Dia bingkas bangun lalu mengibas-gipas rumput yang melekat pada jeans yang dipakainya. Ketika itu juga Idlan tiba-tiba menoleh. Dahi lelaki itu berkerut memandangnya.

            “Nak ke mana? Kata nak temankan abang memancing.” Idlan bersuara.

            “Ini namanya memancing? Apa yang kau nak pancing sebenarnya? Anak berudu? Itik?” Perli Orked seraya menjuih ke arah Idlan.

            “Oh ya? Berudu boleh dipancing ya?” Idlan ketawa kecil.

            Wajah Orked membara. Sindirannya dihujah Idlan dengan sindiran juga. Dia menarik nafas panjang. Tak guna dia terus berlawan bercakap dengan Idlan, buat penat dirinya saja. Baik dia balik aje!

            “Memancing perlukan kesabaran. Orked tak sabar sebab Orked tak pegang pancing ni macam abang.” Tutur Idlan lagi apabila dilihatnya Orked seperti sudah bersedia untuk beredar dari situ.

            “Aku bosan tau tak. Dah sejam lebih tapi mana ikan yang makan umpan kau? Tak ada kan? So dari membuang masa kat sini, baik aku balik tidur aje.” Balas Orked.

            Namun belum sempat dia mahu pergi dari situ, Idlan tiba-tiba bingkas bangun lalu menghalangnya.

            “Kalau Orked bosan, kita boleh berbual-bual. Orked duduk jauh sangat dari abang tadi, memanglah bosan. Cuba duduk dekat sikit, barulah kita boleh berkongsi cerita, saling kenal-mengenali. Lagipun Orked tak nak kenal ke dengan abang?” Umpan Idlan seraya tersengih.

            Orked mengguman perlahan. Perasannya dia ni! Kelopak matanya berkelip-kelip memerhatikan Idlan yang kelihatan tampan walau hanya mengenakan  t-shirt warna biru muda dan jeans denim yang hampir menyerupai jeans yang dipakainya. Rambut lelaki itu kelihatan kusut masai sedikit namun ia langsung tidak menjejaskan perawakan Idlan yang mencuri perhatian.

            “Kalau Orked balik sekarang, abang akan sendirian. Abang tak suka sendirian sewaktu hari jadi abang.” Ungkap Idlan tiba-tiba. Wajah itu bertukar serius!

            Orked tergaman. Wajahnya berkerut. Harijadi Idlan? Hari ni? Apakah itu sebabnya Mak Tun dan yang lain-lainnya mempersiapkan jamuan untuk malam ini? Dan apa sumbangannya selain dari melarikan diri dari ikut membantu? Entah kenapa Orked tiba-tiba merasa bersalah. Agaknya hanya dia seorang sahaja di rumah itu yang tak tahu apa-apa langsung mengenai hal ini.

            “Kenapa Orked tiba-tiba diam aje ni?” Tanya Idlan, hairan melihat wajah gadis itu berubah riak. Orked nampak benar-benar muram kali ini. Kenapa agaknya? Aku salah cakapkah? Fikir Idlan bingung.

            “Kenapa kau tak cakap awal-awal yang hari ni hari jadi kau?” Soal Orked tidak puas hati.

            “Sebab Orked tak pernah tanya pun.” Jawab Idlan tersenyum.

            “Sebenarnya kau sengaja ajak aku ke sini sebab kau nak malukan aku kan? Kau nak aku nampak bodoh depan mereka semua tu kan?” Tuduh Orked geram. Pelbagai prasangka buruk melulu di kepalanya.

            Idlan dilihatnya terdiam. Senyuman Idlan jelas pudar kali ini.

            “Itu bukan maksud abang Orked. Ya ALLAH, kenapa dengan Orked ni? Kenapa setiap kali abang bercakap sesuatu, Orked akan sentiasa gagal mentafsir maksud abang?” Keluh Idlan kesal.

            Then don’t talk to me.” Getus Orked kasar.

            “Ya, abang akan buat begitu kalau itu yang Orked nak. Maaf abang lupa, Orked sentiasa perlukan perhatian orang. Maaf sebab untuk seketika abang sangka, Orked boleh menjadi teman abang berbual-bual. Abang sangka Orked boleh mendengar isi hati abang because I need that now.” Getus Idlan juga dengan suara meninggi.

            Orked terdiam. Idlan tunduk merenung gigi air. Wajah lelaki itu benar-benar muram kali ini. Dia sendiri tidak tahu kenapa dengan tiba-tiba, kakinya berat mahu meninggalkan Idlan sendirian, sedangkan itulah niat asalnya.

            “Bukan hanya Orked yang ada masalah dalam dunia ni.” Bisik Idlan seraya memandangnya. Dia hanya berdiam diri di samping lelaki itu.

Hari ni harijadi abang, tapi abang tak gembira langsung. Majlis malam nanti, idea Kak Mara dan Abang Rezal bila mereka tahu hari ni harijadi abang. Macamana abang nak bagitahu mereka yang abang tak ingin menyambutnya? Bagaimana abang sanggup sambut hari jadi pada hari yang sama ayah abang meninggal?”

Orked terpempan. Kata-kata Idlan membuatkan nafasnya berlagu kencang. Apa sebenarnya maksud Idlan? Sungguh kata-kata lelaki itu berjaya membuatkan dia bingung seketika.

1 comment:

Anonymous said...

ok..yg ni sedih


--k--

DEDALU DI HATI - STOK TERHAD!!

DEDALU DI HATI  - STOK TERHAD!!

PESANAN NOVEL DEDALU DI HATI SEDANG DIBUKA SEKARANG!!!

Harga = RM25.90
Kos Pos = RM7 (pos laju)
Total = RM32.90

Emailkan nama dan butiran diri ke arr_nita@yahoo.com.
Pesanan sehingga stok ke 3 ini kehabisan..

NANTIKAN VENOM SURIA DI PESTA BUKU ANTARABANGSA PWTC MULAI 27 APRIL, TERBITAN BUKU PRIMA (RM25.90)

NANTIKAN VENOM SURIA DI PESTA BUKU ANTARABANGSA  PWTC MULAI 27 APRIL, TERBITAN BUKU PRIMA (RM25.90)
Suria gadis ceria dan periang, namun miliki sejarah hitam dalam kelahiran. Yang membuatkan dia diburu dan dijejaki untuk meleraikan sebuah kisah sumpahan, lalu mempertemukan dia dengan dua lelaki berbeza sifat. Izwan jenis yang dingin dan panas baran. Cakapnya harus dipatuhi atau dia akan meletup! Nazrul sentiasa cool tapi punya rahsia terpendam yang menyiksa jiwa. Seorang lelaki ditakdirkan menjadi penyelamat. Seorang lagi ditakdirkan membunuhnya. Kedua-duanya muncul tak diundang, tetapi meninggalkan kesan mendalam. Lalu bermulalah permainan cat and mouse antara mereka sehingga game over!