Followers

Friday, December 3, 2010

Blue Sunset : Bab 16

ZAHAR tak habis-habis mengintai dari balik tabir biliknya. Sejak pagi tadi, dia berkelakuan serba tidak kena. Matanya tak sudah-sudah mencari kelibat Aqi yang sekejap ada, sekejap hilang.

Sasaran matanya adalah raut wajah Aqi yang mencuka sedari pagi tadi. Dia sendiri tidak pandai mahu melafazkan kata-kata maaf pada gadis itu yang menjeling dingin ke arahnya. Malah sepanjang mereka berada di dalam kereta menuju ke Sri Anjung Design, Aqi tak sudah-sudah membuang muka ke luar. Dirinya langsung tak sudi dipandang gadis itu.

Malam semalam, asalnya dia cuba meminta maaf pada Aqi. Tapi entah kenapa, kata-kata gadis itu membuatkan niatnya terbantut begitu sahaja. Ternyata gadis itu benar-benar naik angin dengannya kali ini.

“Awak sengaja nak balas dendam pada saya kan? Sebab tu awak buat macam ni.” Kata-kata Aqi malam semalam terhimbau dalam ingatannya. Dia terkedu mendengar tuduhan Aqi yang melulu.

“Aku tak sengaja la. Lagipun…”

“Kalau awak tak sukakan saya sekalipun, tapi janganlah rosakkan sketches saya ni. Saya dah berusaha sedaya upaya saya siapkan sketches ni. Sampai hati awak rosakkan hasil penat lelah saya.” Serang gadis itu lagi.

Aqi memandang wajahnya seperti hendak ditelan. Gadis yang nampak lurus bendul dan takut-takut selama ini mulai naik tocang. Penjelasannya terus terkubur begitu sahaja.

Kelopak mata Aqi yang basah dan berair membuatkan dia hilang punca. Dia terduduk lemah di atas kerusi. Mematung diri pada tuduhan gadis itu. Aqi terus mengemas barang-barangnya lalu keluar dari ruang dapur itu. Meninggalkannya sendirian dalam keadaan bingung.

Sebaik gadis itu beredar, perlahan-lahan dia merapati sketches yang basah di dalam sinki. Kertas itu diambil lalu dihampar di atas meja. Garisan-garisan drawing pencil HB dan 9B di atas hamparan kertas itu hampir pudar. Yang tinggal hanyalah garisan-garisan 2H yang masih nampak tekanan dari hujung karbon pensil

Zahar menarik nafas panjang. Perasaan bersalahnya muncul mendadak. Dia bukan sengaja mahu merosakkan lakaran-lakaran gadis itu. Demi Allah bukan! Meskipun mereka kini adalah saingan untuk merebut tema bagi jeans Riser, namun untuk mensabotaj rekaan-rekaan orang lain bukan sikapnya. Dia punya prinsip persaingan yang adil meskipun dia tidak menyukai gadis itu.

“Kau ni kenapa? Senyap aje aku tengok dari tadi.” Tegur Iman ketika mengajaknya makan tengahari bersama di warung di hadapan Sri Anjung Design.

Dia menggelengkan kepala. Enggan bercerita panjang lebar dengan Iman. Nanti kalau dia membuka mulut, usah kata Aqi, entah-entah Iman sendiri akan beranggapan yang sama terhadapnya. Apatah lagi dia secara terang-terangan menunjukkan yang dia tidak menyukai Aqi.

“Kau tak sihat?” Iman terus cuba mencungkil.

“Takdelah, aku okey.” Dia menjawab pantas. Malas mahu bersoal jawab dengan Iman yang tak ubah seperti polis perisik sedang mengadakan soal siasat. Tak kuasa!

“Habis tu yang mencuka macam ni apasal?” Tanya Iman.

“Aku tak cukup tidurlah semalam. Penat! Boleh tak kau berhenti bertanya macam ni? Rimas aku!” Rungut Zahar.

Iman tidak lagi menyambung pertanyaan. Dia menoleh ke arah nasi goreng kampung yang baru sahaja diletakkan oleh seorang gadis yang berkerja di warung tersebut. Bau aroma dari pinggan nasi goreng yang masih berkepul-kepul asapnya cukup membuka seleranya. Tanpa bertangguh dia segera menyuap hidangan enak di hadapannya.

“Woi Iman!” Muncul satu suara diikuti tamparan di bahu Iman agak kuat. Iman yang sedang menghirup teh tariknya hampir tersedak. Dia berpaling dengan wajah geram. Zahar di hadapannya turut menoleh. Wajah Swan terpacul di meja mereka sambil tersengih-sengih. Iman mengurut dada menahan sabar.

“Mangkuk betul kau ni Swan. Kut ya pun bagilah salam dulu. Ini tak, main redah aje. Aku berhentikan kau kerja baru tahu.” Gumam Iman sedikit geram. Gelas teh tarik di tangannya segera diletakkan di atas meja. Mujur teh tarik kegemarannya itu tidak tumpah.

Swan ketawa kecil. “Sorry..sorry..lupa yang kau tak boleh terkejut-kejut ni. Lemah semangat.” Selar Swan sengaja mahu mengusik. Iman membeliakkan matanya.

“Kau dari mana ni?” Soal Iman.

“Temankan Aqi beli makanan. Kami nak makan kat pejabat.” Jawab Swan.

Zahar yang mendengar segera memandang di sekeliling warung itu. Tak lama kemudian dia ternampak kelibat Aqi sedang berdiri di hadapan kaunter bayaran. Di tangan gadis itu terdapat beberapa plastik polesterin berisi makanan.

“Aqi! Sinilah!” Tak disangka-sangka Iman menjerit memanggil nama gadis itu. Aqi berpaling. Dia tersenyum memandang Iman. Tapi apabila matanya menangkap kelibat Zahar, serta merta senyuman yang ikhlas terukir segera menghilang.

Zahar mengalihkan matanya. Pura-pura membelek akhbar The Sun yang sebentar tadi hanya menjadi penghias meja.

Melihat Swan sudah menarik kerusi di sebelah Iman, Aqi berasa serba-salah. Alamak Swan! Kenapalah dia pergi duduk kat situ pulak, keluh Aqi. Aqi menarik nafas panjang. Mahu tak mahu dia terpaksa melangkah ke arah meja yang ditempati ketiga-tiganya.

“Duduklah Aqi, kita borak-borak dulu.” Suruh Swan.

Aqi memandang kerusi di hadapannya. Yang tinggal hanyalah kerusi kosong di samping Zahar sahaja. Lelaki itu kelihatan acuh tak acuh memandangnya. Dahinya berkerut. Nak duduk ke tak nak ni? Ah! Duduk ajelah, putus Aqi akhirnya.

“Aqi, kita minum ya. Dahagalah.” Ujar Swan. Sebelum sempat Aqi memberi jawapan, laungan Swan yang lemak merdu itu sudah berkumandang di serata warung itu. Gadis itu memesan dua gelas teh tarik seperti yang dipesan oleh Iman. Aqi terpaksa membiarkan.

“Kenapa tak makan kat sini? Kenapa makan kat pejabat?” Iman bertanya. Pandangannya melorot ke arah Aqi.

Aqi memandang ke arah Swan. Mengharapkan gadis itu menjawab bagi pihaknya. Swan hanya ketawa kecil.

“Aqi ni sibuk nak siapkan sketches dia. Kalau aku tak paksa dia beli makanan kat sini, entah-entah dia tak ingat pun nak makan.” Selar Swan.

“Kan hari tu dah banyak yang siap. Tak payahlah rushing sangat.” Iman mengerutkan dahinya.

Aqi tidak terus menjawab. Matanya menjeling Zahar yang kelihatan senyap. Mendengar kata-kata Iman, perasaan geramnya pada lelaki itu melonjak semula. Tanyalah kawan baik kau tu, gumam Aqi di dalam hati. Kalau diikutkan hatinya yang panas, mahu rasanya dia campak teh tarik kepunyaan Iman ke muka Zahar. Biar basah kuyup muka lelaki itu asal hatinya lebih puas. Geramnya dia tuhan saja yang tahu.

“Tulah fasal, hari tu macam dah banyak dia siapkan. Alih-alih sibuk dia hari ni macam esok aje pembentangan tu.” Sampuk Swan.

“Yang hari tu tak jadi.” Jawab Aqi perlahan.

Serentak tiga pasang mata memandang ke arah Aqi. Zahar tersentap.

“Kenapa tak jadi?” Iman meneruskan pertanyaan. Hairan!

“Basah kena air.” Jawab Aqi selamba.

Zahar tersentap buat kali kedua. Bulat biji matanya merenung ke arah Aqi yang kelihatan tenang. Ni komplot nak kenakan aku ke ni? Dari cara Aqi menjawab pertanyaan Iman, nampak sangat gadis itu berniat mahu membocorkan apa yang telah berlaku malam semalam pada Iman dan Swan. Kalau Iman seorang yang tahu, dia tidak kisah sangat. Tapi kalau Swan tahu? Alamak, habis satu pejabat akan tahu apa yang berlaku antaranya dengan Aqi.

“La macamana boleh jadi macam tu Aqi? Tadi kau tak cerita pun.” Tanya Swan seraya menarik gelas teh tarik kepunyaan Iman lalu dihirupnya. Begitu teruja mahu mendengar cerita Aqi.

“Tak payah ceritalah, benda dah nak jadi.” Aqi tersenyum hambar. Malas mahu memanjangkan kisah Zahar yang telah memusnahkan lakaran-lakarannya semalam. Dia tahu lelaki itu tentunya sedang menumpukan sepenuh perhatian pada kata-katanya sekarang ini. Sengaja dia mencanang begitu untuk menarik perhatian Zahar. Supaya lelaki itu tahu bahawa dia tidak mudah dibuli. Never!

“Kesian Aqi, patutlah kau sibuk sangat hari ni.” Tukas Swan lalu menghirup teh tarik di hadapannya. Iman di sisinya menoleh. Mata lelaki itu terbeliak memandang ke arah Swan.

“Woi Swan, kau minum air siapa tu?” Jerkah Iman tiba-tiba.

Swan memandang gelas teh tarik di hadapannya. Terkejut. Mulutnya masih digelembungi air teh tarik yang tak sempat ditelan kerana terperanjat dengan jerkahan Iman.

“Alamak sorry Iman, aku tak sedar la.” Swan bersuara sambil tersengih. Iman hanya mampu menggelengkan kepala melihat gelas teh tariknya hanya tinggal separuh isinya. Tapi tak lama kemudian dia ketawa gelihati melihat telatah Swan. Swan yang melihat Iman mengetawakannya, terpinga-pinga buat seketika. Dia tidak faham apa sebenarnya yang melucukan lelaki itu.

“Hai tadi marah, sekarang ketawa pulak? Otak kau dah masuk air ya Iman?” Tanya Swan dengan wajah bingung. Kata-katanya mengundang ketawa Iman lebih kuat dari tadi.

“Kau nak tahu kenapa aku ketawa?” Tanya Iman tiba-tiba.

“Apasal?”

“Umi aku kata, kalau ada perempuan minum satu gelas dengan lelaki, maksudnya mereka ada jodoh.”

“Hah?” Swan terlopong. What?

“Tapi nasib baik kau ni half-half, lega sikit hati aku.” Sambung Iman lagi lalu tergelak besar. Swan menjegilkan biji matanya. Berang mendengar kata-kata Iman yang berbaur usikan. Sepantas kilat jari-jemari halusnya singgah di peha Iman. Peha lelaki itu dikutil agak kuat.

Oucchh! Iman mengaduh kesakitan. Dia lekas-lekas menolak tangan Swan,

“Padan muka!” Cebik Swan.

Mata Iman mengecil melihat gadis itu. Mulutnya tak habis-habis mengaduh kesakitan. Reaksi kedua-duanya menjadi santapan mata Aqi dan Zahar sedari tadi. Zahar hanya tersengih melihat adegan usik-mengusik antara Swan dan Iman. Tapi sebaik dia menyedari kelibat Aqi di sebelahnya, serta-merta dia berpaling. Merenung sebentar ke wajah Aqi yang turut tersenyum. Lesung pipit kecil yang muncul di pipi kiri gadis itu mencuri perhatiannya. Zahar terpegun tanpa disedari.

Tiba-tiba Aqi menoleh. Zahar tidak pula melarikan pandangannya seperti selalu. Pandangan kedua-duanya bertaut. Aqi mengecilkan matanya. Apasal pulak dia ni? Buang tebiat ke? Tapi mata Zahar terus terpaku di wajahnya, memaksanya mengalah lalu melarikan anak matanya.

* * * *

Ketika kereta yang dipandu Zahar memasuki petak parkir, Aqi cepat-cepat membuka pintu kereta. Beg sandangnya dikemaskan kedudukannya di bahu sebelah kanan. Belum sempat dia mahu keluar, Zahar memanggilnya. Aqi menoleh.

Mulut Zahar terkumat-kamit bagai ingin mengatakan sesuatu. Aqi menanti dengan sabar. Namun anehnya tidak ada apa-apa suara yang keluar dari bibir lelaki itu. Dia mula mengeluh. Nak cakap ke tak nak sebenarnya ni?

“Saya keluar dulu.” Ujarnya mulai bosan dengan reaksi lelaki itu. Dia segera keluar dari perut kereta milik Zahar.

Zahar yang putus asa menepuk dahinya sambil merungut-rungut. Damn it Zahar! Kenapa susah sangat nak cakap ni? Dia cuba memujuk diri sendiri. Hakikatnya dia gagal mahu mengucapkan walau hanya sepatah perkataan pada gadis itu. Fikir baik-baik Zahar. Apa sebenarnya yang kau nak cakap dengan dia? Nak minta maaf?

Yup! Aku kena minta maaf sebab dah rosakkan lakaran-lakaran dia! Hati kecilnya bercanda sendiri. Selagi dia tidak minta maaf dan membetulkan tuduhan Aqi terhadapnya, selagi itulah hatinya takkan senang.

Tiba-tiba cermin keretanya diketuk dari luar. Zahar tergaman. Lamunan singkatnya sebentar tadi segera melayang. Baru dia sedar yang dia masih berada di dalam perut keretanya. Bersendirian. Kepalanya ditoleh ke sebelah kanan. Melihat senyuman neneknya meleret di bibir, Zahar cepat-cepat keluar.

“Kenapa termenung dalam kereta macam baru lepas mati bini ni?” Tegur Rukiyah. Hairan melihat tingkah laku Zahar yang agak aneh.

“Tak ada apa-apalah nek. Nenek buat apa kat luar petang-petang macam ni?” Zahar pula membuka soalan. Pertanyaan dijawab dengan pertanyaan itu membuatkan kerut di dahi Rukiyah semakin berlapis.

“Nenek buat apa lagi? Tentulah nak siram pokok-pokok bunga tu. Yang kamu ni lain macam aje apasal? Kamu ajak budak Aqi tu bergaduh lagi ya?” Tuduh Rukiyah dengan mata yang sengaja dibeliakkan besar-besar.

Zahar tercengang. “Eh mana ada nek, pandai-pandai aje nenek buat spekulasi. Tak kuasalah Zahar nak ajak perempuan tu bergaduh. Makan lagi baik!” Gumam Zahar.

“Hah tengok tu. Cara kamu bercakap pun nenek dah tahu, mesti ada yang tak kena ni.” Balas Rukiyah masih lagi bersyak-wasangka. Zahar mengeluh panjang. Dia segera mengambil beg sandangnya di bahagian tempat duduk belakang lalu melangkah ke dalam rumah.

Rukiyah tersengih-sengih memandang kelibat cucunya yang serba tidak kena. Walau Zahar cuba mengelak memberi jawapan pada pertanyaannya, namun dia tahu ada sesuatu yang tidak kena pada Zahar. Apatah lagi sewaktu dia sibuk di taman orkidnya tidak jauh dari situ, matanya sempat mengintai kelibat Aqi dan Zahar yang kelihatan aneh. Kedua-duanya seolah mengambil masa untuk keluar dari dalam kereta itu. Jangan-jangan ada apa-apa antara Zahar dan Aqi tak?

Dia termangu sebentar di situ. Cuba memadankan fikirannya dengan rasional sikap Zahar ketika berhadapan dengan Aqi. Tapi selama ini tak ada pula bukti-bukti yang boleh menyokong syak wasangkanya. Setiap kali disuruh membantu Aqi, Zahar hanya tahu mengeluh dan merungut. Mustahil! Bisik hati kecil Rukiyah. Dia lantas mengeleng-gelengkan kepala. Cuba menolak sangkaan yang mula bercambah di kepalanya.

No comments:

DEDALU DI HATI - STOK TERHAD!!

DEDALU DI HATI  - STOK TERHAD!!

PESANAN NOVEL DEDALU DI HATI SEDANG DIBUKA SEKARANG!!!

Harga = RM25.90
Kos Pos = RM7 (pos laju)
Total = RM32.90

Emailkan nama dan butiran diri ke arr_nita@yahoo.com.
Pesanan sehingga stok ke 3 ini kehabisan..

NANTIKAN VENOM SURIA DI PESTA BUKU ANTARABANGSA PWTC MULAI 27 APRIL, TERBITAN BUKU PRIMA (RM25.90)

NANTIKAN VENOM SURIA DI PESTA BUKU ANTARABANGSA  PWTC MULAI 27 APRIL, TERBITAN BUKU PRIMA (RM25.90)
Suria gadis ceria dan periang, namun miliki sejarah hitam dalam kelahiran. Yang membuatkan dia diburu dan dijejaki untuk meleraikan sebuah kisah sumpahan, lalu mempertemukan dia dengan dua lelaki berbeza sifat. Izwan jenis yang dingin dan panas baran. Cakapnya harus dipatuhi atau dia akan meletup! Nazrul sentiasa cool tapi punya rahsia terpendam yang menyiksa jiwa. Seorang lelaki ditakdirkan menjadi penyelamat. Seorang lagi ditakdirkan membunuhnya. Kedua-duanya muncul tak diundang, tetapi meninggalkan kesan mendalam. Lalu bermulalah permainan cat and mouse antara mereka sehingga game over!