Followers

Tuesday, April 2, 2013

Alamak! Lagi-Lagi Dia : Bab 8


WAJAHNYA ditatap di hadapan cermin bilik air itu. Bibir yang sedikit pucat dioles dengan lip gloss berwarna merah muda. Rambutnya sekadar dielus lembut ke tepi telinga. Setelah berpuas hati dengan penampilan diri sendiri, Cika keluar dengan hati lapang. Maklumlah misi ibunya hendak menjodohkan dia dengan hamba ALLAH bernama Zain itu berjaya lagi digagalkan. Bila sebut ‘lagi’ ini bermakna bukan sekali ini sahaja dia akan hadir ke perjumpaan jodoh. Sudah acapkali dia cuba dicarikan jodoh oleh ibunya. Kalau elok di matanya okeylah jugak, ini semuanya markah kosong. Kalau ada yang handsome pun, mesti jenis buaya tembaga semuanya.

“Adik tu memilih sangat. Asyik nak yang macam muka Josh Duhamel, mana nak cari? Cuba-cubalah rendahkan sikit kriteria tu, ambik ajelah muka-muka bangla dan Lombok yang bersepah kat Kuala Lumpur ni.” Ejek Ubek tempohari.

“Abang, kalau setakat nak cari muka macam tu, kat pejabat Cika pun berlambak. Salah ke kalau Cika ni memilih sikit? Lagipun Cika yang nak kahwin bukan orang lain. Suka hati Cikalah nak pilih siapa pun.” Dia menyatakan rasional sikap cerewetnya.

“Tak salah nak memilih, tapi jangan sampai lalai masa. Awak tu bukan muda lagi. Abang tak apa, tak ada expired date. Bila-bila masa abang boleh kahwin. Tapi adik tu perempuan.” Ubek ketawa kecil.

Dia mengetap bibir. Bengang dengan bunyi ketawa Ubek yang bukan ikhlas menasihatinya, tapi sekadar mengulang kembali kata-kata ibunya.

“Cika nak tunggu bila lagi? Kita orang perempuan ni bukan sentiasa muda. Umur kita makin lanjut. Takkan awak tak nak bersuami, tak nak kasi umi dengan babah menantu? Jangan memilih sangat, ambil aje pilihan yang umi dah kasi green light tu.” Suara ibunya Puan Bahyah muncul tergiang-giang di kepala menggantikan suara Ubek.

Dia hanya mampu menarik nafas panjang. Umur dia baru menjangkau 28 tahun. Muda lagi la!  Yang orang lain sibuk-sibuk ni apasal? Aku tak kisah pun! Hati kecilnya menggerutu. Geram kerana sering dipaksa-paksa menerima calon pilihan ibunya yang entah apa-apa.

Cika segera mengemaskan beg tangannya ke bahu. Ketika dia mahu melangkah keluar dari situ, tak diduga muncul satu kelibat tubuh memasuki tandas tersebut. Dia menoleh. Mulutnya ternganga! Apa seorang lelaki buat di bilik air wanita?

Dia mahu memarahi lelaki itu, tapi lelaki itu langsung tidak mempedulikannya sebaliknya sibuk mencari-cari sesuatu. Hajat Cika terbantut, tapi dia masih belum beredar dari situ. Entah kenapa gelagat lelaki itu menarik perhatian.

Pang! Bunyi itu cukup mengejutkan Cika. Dia tergaman sebaik melihat seorang gadis cantik manis, keluar dari pintu bilik air terakhir dan menampar wajah lelaki itu.

I hate you.” Bentak si gadis. Kelopak mata gadis itu tersisip jelas butir-butir jernih yang hampir mahu luruh. Si lelaki hanya berdiam  diri apabila diherdik begitu.

Cika cuba memerhatikan wajah lelaki itu, tapi dia gagal melihat wajah itu lebih jelas. Kenapa dengan mereka ni? Buat drama biarlah di tempat yang senonoh sikit. Ini di tandas wanita pulak!

“I dah beritahu you awal-awal bukan? I don’t love you.” Ujar lelaki itu.

Mata Cika terbeliak. Buntang mendengar pengakuan berterus-terang itu. Mak oi ayat. Sadis gila punya ayat!

“I tak peduli. You cakaplah apa sahaja tapi I dah decide nak ikut cakap famili kita.” Tegas si gadis.

“Kahwin tanpa cinta, itu ke yang you nak?”

“I dah kata yang I tak peduli. Kalau you masih kenangkan perempuan yang dah mati tu, then I will stay beside you forever. Dia sejarah lalu you.”

“You dah melampau Emy.” Keluh lelaki itu.

Cika ketawa kecil. Adegan yang tak masuk akal. Sampai bila diaorang ni nak buat adegan kuch-kuch hota hai dalam tandas ni? Ah! Blah lagi baik. Buang masa sahaja menghendap perbualan yang merepek ni. Dengus Cika lalu beredar ke arah pintu.

Namun ada sesuatu yang tak diduga berlaku. Cika secara kebetulan terpijak permukaan lantai yang masih basah dan licin, Hasilnya dia gagal mengimbangi tubuhnya lalu tersembam ke arah lantai yang licin. Bedebuk!

“Aduh!” Cika terjerit kesakitan.

            Bunyi yang cukup kuat itu mampu membuatkan kedua-duanya berpaling. Gadis itu mendengus kasar lalu keluar dari situ. Si lelaki itu pula mahu menurut jejak langkah gadis itu, namun tidak sampai hati melihat Cika yang terbaring di situ.

            “Nak kena tolong ke?” Soal lelaki itu selamba. Tangannya sudah dihulurkan ke arah Cika yang terpisat-pisat.

            Cika mengetap bibir. Geram mendengar pertanyaan yang tak masuk akal itu. Dah kau nampak orang jatuh dengan gaya kuak lentang macam ni, takkan tak nak tolong? Biul!

            “Tak payahlah. Saya boleh bangun sendiri.” Jawab Cika dengan suara meninggi. Dia mendongakkan wajahnya. Namun wajah yang tertera di pandangannya membuatkan dia terpegun seperti patung. Alamak! Itulah lelaki yang ditemuinya di Ulu Yam ketika mengikut Ubek memancing tempohari. Cepat-cepat dia memalingkan wajah, bimbang lelaki itu dapat mengecamnya. Malu beb! Dahlah hari tu dia tersilap masuk ke khemah lelaki itu, hari ini pula dia boleh pulak terserempak dengan hamba ALLAH ini. Alahai mana nak sorok muka ni?

            “Hai kata nak bangun sendiri. Tak bergerak-gerak pun? Ke nak minta saya tolong dukung?” Soal lelaki itu seraya mendekatkan wajahnya lebih rapat ke arah Cika di lantai.

            Alamak? Nak dukung? Nak mampus ke?

            Belum sempat Cika berfikir panjang, tiba-tiba berkumandang satu jeritan nyaring. Kedua-dua mereka serentak menoleh ke arah muka pintu. Seorang makcik berusia dalam lingkungan 50an sedang menjerit ala-ala soprano ke arah mereka.

            Cika tercengang. Apahal pulak makcik ni buat konsert kat sini? Dia berpaling ke arah lelaki itu. Tapi alangkah terkejutnya dia melihat lelaki itu sedang merenung wajahnya dari atas ke bawah. Alamak! Cika sudah menyedari sesuatu, bahawa lelaki Ulu Yam itu sudah kenal dan sudah mengecam dirinya. Aduh! Masalah!

*  *  *  *

SARJAN SUDIN asyik berjalan terhuyung-hayang. Menghadap kedua-dua pesalah di hadapannya yang sedang duduk di meja di pejabat Jak, tuan punya Jumbo Jeep. Si lelaki selamba sahaja duduk diam di situ dalam keadaan tenang, walhal yang si gadis asyik-asyik dengan telefon bimbitnya.

Dia mengerling ke arah Jak yang sedang memicit dahinya, barangkali pusing kepala dengan kekecohan yang tiba-tiba melanda Jumbo Jeep dua jam tadi.

“Tuan, apa lagi tuan fikir tu? Kan mereka dah jelaskan apa yang dah berlaku tadi tu hanya salah faham.” Ujar Jak bersuara, memecahkan kebuntuan yang agak lama. Ini gara-gara Sarjan Sudin yang bermisai lebat itu sedang cuba mengkaji kes yang berlaku. Ingat ini kes CSI ke nak fikir lama-lama? Rungut Jak bengang.

Sarjan Sudin tidak menjawab. Dia duduk di hadapan kedua-dua lelaki dan perempuan di hadapannya. Mata kedua-duanya sudah menular ke arahnya.

“Betul ni? Nothing happen?” Sarjan Sudin bertanya lagi. Kali ini menggunakan bahasa Inggeris untuk menunjukkan betapa dia amat mengambil berat soal ini.

Cika mengerling ke arah lelaki di sampingnya. Lelaki itu turut memandang wajahnya. Masing-masing bukan berfikir apa yang patut dicakapkan, tapi masing-masing hanya mahu lepas tangan. Mengharapkan pihak yang satu lagi boleh menjawabnya.

Cika mengetap bibir. Huh nak suruh aku la tu!

“Betul tuan. Sebenarnya makcik tu yang salah faham. Tak ada apa-apa pun yang berlaku. Saya memang terjatuh tadi, dan mamat ni offer nak tolong, itu sahaja.” Jelas Cika. Geram juga dia dengan makcik pengunjung Jumbo Jeep itu yang boleh beranggapan dia hampir-hampir menjadi mangsa rogol. Yalah, jika difikirkan kembali, memang bukan salah makcik itu pun. Sesiapa sahaja yang melihat situasinya sebentar tadi pasti akan beranggapan dia mangsa dan lelaki itu pula perogol bersiri. Tapi kalau nak rogol pun takkan kat tandas pulak! Apalah makcik tu, siap buat report polis pulak! Rungut Cika bengang.

            “Yang awak pulak? Apa yang awak buat kat dalam tandas wanita?” Soal Sarjan Sudin sambil menoleh ke arah Nadim.

            Nadim tidak terus menjawab. Dia sebenarnya tidak tahu bagaimana mahu menjelaskannya. Kedatangan Emilia ke Jumbo Jeep itu benar-benar menghuru-harakan keadaan.

            “Err sebenarnya tuan. Tandas lelaki rosak, kebetulan adik saya ni nak gunakan tandas. Saya yang suruh dia ke tandas wanita. Tak sangka pulak cik ni ada.” Sampuk Jak tiba-tiba, cuba menyelamatkan keadaan sebelum lebih banyak soalan muncul dari mulut sarjan bermisai lebat itu.

            Sarjan Sudin mengeluh panjang. Hai macam-macam hal!

            “Okeylah kalau begitu, saya akan lupakan perkara ini dan maklumkan kembali pada Puan Senah apa yang sebenarnya berlaku. Kasihan Puan Senah, tak fasal-fasal masuk hospital kerana asma. Terkejut punya fasal!” Keluh Sarjan Sudin.

            “Tolong sampaikan maaf kami pada Puan Senah ya tuan.” Balas Jak seraya menghantar Sarjan Sudin ke luar. Sepeninggalan Jak dan Sarjan Sudin, Cika tiba-tiba bingkas bangun lalu menoleh ke arah Nadim yang selamba sahaja tidak berganjak-ganjak dari situ.

            “Ini semua awak punya fasal. Kalau awak tak masuk bilik air perempuan, takkan jadi macam ni. Makcik tu pun takkan masuk hospital!” Herdik Cika geram.

            Look who’s talking right now. Macamlah awak tak pernah tersalah masuk.”

            Sindiran lelaki itu membuatkan wajah Cika merona merah. Dia tahu lelaki bernama Nadim Ammar itu memang mengenalinya. Mengecam wajahnya!

            “Saya dah suruh awak bangun cepat. Kalau tak, makcik tu takkan salah faham tengok keadaan awak macam tu.” Sambung Nadim menyatakan rasionalnya.

            And one more thing.” Lelaki itu merapatinya sedikit demi sedikit. Tanpa disedari, dia terpaksa berundur beberapa kali ke belakang. Apa lelaki ini nak darinya? Namun pergerakannya terhenti tatkala di belakangnya hanya ada dinding yang menjadi penghalang. Lelaki itu merenung tepat ke wajahnya membuatkan wajah Cika mulai merah padam. Berdebar dan saling tidak keruan. Tiba-tiba sahaja wajah Josh Duhamel aktor Transformer yang digilainya itu terbayang di ruang mata. Alamak! Ada iras la pulak!

“La kali Cik Syafika, jangan cuba curi dengar perbualan orang lain. Tak elok.” Ujar lelaki itu seraya tersenyum sinis. Nada suaranya jelas menyindir.

Wajah Cika berubah. Merah padam seperti udang dibakar. Amboi, lancangnya kata-kata. Dia ingat dia siapa?

“Tak ingin saya nak dengar perbualan awak. Awak tu yang tak pandai pilih tempat dan masa. Kat bilik air perempuan pun nak bermadah-madah pujangga segala. Jenis lelaki macam awak ni saya faham sangat. Jenis yang patut semua perempuan kat dunia ni elak. The worst disaster ever.” Ujar Cika sesedap rasa.

            Si lelaki ketawa kecil mendengar jawapan Cika. Wajah manis itu dipandang berkali-kali. “Apa awak tahu fasal perempuan? Tengok awak ni pun dah tahu awak jenis perempuan yang tak ada teman lelaki.”

            Mata Cika terbeliak. What the hell? Cis ini dah melampau. Dia memandang lelaki itu dengan wajah menyinga. Manakala si lelaki turut merenung tajam ke arahnya seperti perang besar mahu berlaku.

            Jak yang baharu sahaja kembali menghantar Sarjan Sudin, tergaman melihat gerak gaya kedua-duanya seperti hendak bergusti. Aduh! Apa pulak ni?

            “Cik Syafika, saya lupa nak perkenalkan diri. Saya Jak.” Jak mengambil peluang itu untuk berkenalan dengan gadis yang dimaksudkan oleh pekerja-pekerjanya sebentar tadi. Pandangan Cika beredar dari wajah Nadim ke wajah Jak. Huluran tangan lelaki itu disambut.

            “Syafika, panggil saya Cika saja cukup.” Ujar Cika seraya tersenyum pada pemilik restoran yang nampak ramah itu. Dia selalu juga terserempak dengan lelaki itu setiap kali dia datang, hanya berkenalan sahaja belum sempat.

            “Hmm..kalau macam tu Cika kena panggil saya Abang Jak sahaja. Pekerja-pekerja saya bagitahu, Cika antara pelanggan tetap kat sini. Terima kasih sebab banyak kali tempah makanan di sini.” Jak menggunakan peluang yang ada untuk mengucapkan terima kasih.

            “Tak apa, saya beli makanan kat sini untuk pekerja-pekerja saya. Mereka semua suka makanan kat sini.” Ujar Cika sejujurnya.

            Dari perbualan singkat bertukar menjadi perbualan panjang lebar. Nadim mengeluh panjang seraya menjeling kedua-duanya. Hatinya tidak senang melihat Jak melayan anak gadis celupar itu dengan baik.

            She’s nice.” Puji Jak sebaik Cika beredar dari situ.

            Nice? Macam tu pun abang kata nice?” Nadim mengeluh panjang. Jak mengerling ke arah Nadim sambil ketawa kecil.

            “Kenapa? Cemburu?” Jak mengusik lalu ketawa berdekah-dekah. Nadim menarik nafas panjang. Nak cemburu apanya? Agak-agak perempuan tu ingat ke yang mereka pernah bertemu di Ulu Yam sebelum ini? Entah kenapa Nadim tertanya-tanya dalam hati. Melihatkan gaya anak gadis itu, macam tak ingat sahaja. Mana tidaknya wajah itu selamba sahaja memandangnya.

No comments:

DEDALU DI HATI - STOK TERHAD!!

DEDALU DI HATI  - STOK TERHAD!!

PESANAN NOVEL DEDALU DI HATI SEDANG DIBUKA SEKARANG!!!

Harga = RM25.90
Kos Pos = RM7 (pos laju)
Total = RM32.90

Emailkan nama dan butiran diri ke arr_nita@yahoo.com.
Pesanan sehingga stok ke 3 ini kehabisan..

NANTIKAN VENOM SURIA DI PESTA BUKU ANTARABANGSA PWTC MULAI 27 APRIL, TERBITAN BUKU PRIMA (RM25.90)

NANTIKAN VENOM SURIA DI PESTA BUKU ANTARABANGSA  PWTC MULAI 27 APRIL, TERBITAN BUKU PRIMA (RM25.90)
Suria gadis ceria dan periang, namun miliki sejarah hitam dalam kelahiran. Yang membuatkan dia diburu dan dijejaki untuk meleraikan sebuah kisah sumpahan, lalu mempertemukan dia dengan dua lelaki berbeza sifat. Izwan jenis yang dingin dan panas baran. Cakapnya harus dipatuhi atau dia akan meletup! Nazrul sentiasa cool tapi punya rahsia terpendam yang menyiksa jiwa. Seorang lelaki ditakdirkan menjadi penyelamat. Seorang lagi ditakdirkan membunuhnya. Kedua-duanya muncul tak diundang, tetapi meninggalkan kesan mendalam. Lalu bermulalah permainan cat and mouse antara mereka sehingga game over!