Followers

Sunday, July 11, 2010

Dedalu Di Hati : Bab 21

BUNYI ketukan bertalu-talu singgah di muka pintu. Hazril menoleh, lalu terpandang kelibat Ikram di muka pintu.

“Sibuk ke?” Tanya Ikram ingin tahu.

Dia hanya tersenyum seraya menggelengkan kepala. “Sejak bila sibuk aku ni menghalang kau dari masuk bertandang kat bilik aku ni?” Gumam Hazril. Ikram ketawa kecil mendengar kata-kata Hazril.

“That’s my man.” Gelak Ikram.

“Ril, wakil dari Jepun tu nak jumpa kau juga sebelum dia serah tender. Aku dah aturkan meeting esok kat Hilton PJ. Kau free kan tengahari esok?” Tanya Ikram.

“Kau dah check schedule aku dengan Hana?” Soal Hazril tanpa menjawab pertanyaan lelaki itu.

“I guess, kalau kau tak melencong hal-hal lain. Kira jadilah ni ya?”

“Yup.” Ringkas Hazril menjawab. Matanya masih tertumpu pada fail-fail tebal yang sudah diletakkan Ikram di atas mejanya.

“Fail apa tu?” Tanya Hazril ingin tahu.

Ikram menepuk dahi. Hampir dia terlupa pada tujuan sebenar kedatangannya ke bilik Hazril saat ini.

“Ril, cuba kau check fail ni.” Pinta Ikram seraya menyerahkan fail-fail yang dibawanya ke tangan Hazril.

“Kenapa?” Hazril memandang ke arah Ikram sekilas lalu. Satu persatu helaian kertas putih itu dibelek. Ada satu-satu ketika matanya dikecilkan. Kerutan di dahinya semakin bertambah. Entah kenapa ada banyak angka-angka yang bercanggah dengan jumlah invois yang terdapat dalam fail itu.

“Apa pendapat kau?” Tanya Ikram sudah tidak sabar.

“Setahu aku, kita tak pernah berurusan dengan syarikat ini.”

“Memang kita tak pernah berurusan dengan syarikat ni.” Ikram mengakuinya.

“Habis macamana invoisnya boleh ada kat sini? Banyak jumlahnya ni. Hampir RM300,000. Zahid mana?”

“Kau nak aku panggil dia?”

Hazril terdiam. Dia berfikir sejenak. “Tak payah. Kau bawa fail ni pada Airin. Suruh Airin tolong semakkan sekali lagi. Lepas tu buat checking sikit fasal company ni. Tengok apa yang mereka jual pada kita, apa yang kita beli dari mereka.” Arah Hazril.

“Kau agak berlaku penyelewengan wang dalam syarikat?” Ikram mengerutkan dahinya.

“Aku tak tahu. Tapi kalau benar, aku takkan biarkan saja. Perkara ni serius. Buat masa ni kau rahsiakan dulu hal ni okey.” Pinta Hazril.

Ikram mengeluh panjang. Susah kalau benar berlaku penyelewengan dalam syarikat. Segelintir orang yang membuat onar beginilah yang berupaya menjejaskan sesebuah syarikat. Siapa agaknya orangnya? Ikram sendiri buntu memikirkannya.

Hampir seharian dia dan Hazril berkurung di bilik pejabat. Makanan tengahari pun terpaksa dipesan dari luar. Kadang-kala kelihatan Airin salah seorang akauntan kanan keluar masuk dari bilik Hazril. Sedikit sebanyak hal itu menimbulkan tanda tanya pekerja-pekerja lain.

Julia yang baru balik dari lunch sempat mendengar beberapa patah suara rakan-rakan sepejabatnya menyuarakan pelbagai spekulasi. Tercengang juga dia mendengarnya. Apa masalah sebenarnya?

Sewaktu hendak ke bilik daddynya, dia berpapasan pula dengan Ikram. Ringan mulutnya hendak bertanya Ikram, tetapi wajah masam mencuka lelaki itu membuatkan dia membatalkan hasratnya. Bukan dia tak tahu angin si Ikram. Nanti tak fasal-fasal dia pula yang kena sembur.

* * * *

Cek bernilai RM200,000 itu diletakkan di atas meja di hadapan lelaki itu. Azam tidak terus mengutip cek tersebut, sebaliknya dia memandang wanita di hadapannya dengan sinis.

Wajah di hadapannya itu kelihatan kurang senang. Malah gerak laku dan gelagat wanita itu seolah-olah seperti cacing kepanasan. Azam ketawa kecil. Nyatalah usia yang betambah matang tidak dapat melunturkan ego seseorang. Malah takkan ada sesiapa pun yang mampu melembutkan hati perempuan sekeras kerikil itu.

Dia mengutip cek di hadapannya lalu memandang angkanya sepintas lalu. Jumlah RM200,000 itu sedikit pun tidak membesarkan nafsunya. Dia sebenarnya tidak tamakkan wang itu. Niatnya hanya satu. Untuk membalas dendam. Hampir lima belas tahun dia membazirkan hidupnya dengan sia-sia, untuk apa? Semuanya angkara perempuan murahan itu yang menipunya dalam cara yang cukup licik. Memperdayakannya dengan menggunakan kelemahan yang tak mampu ditolak oleh seorang lelaki lemah sepertinya.

Itulah kesilapan yang terbesar pernah dilakukannya dalam hidup. Mengenali Syarifah Asmah adalah kesilapan terbesarnya. Azam sedar, sepatutnya sejak dulu lagi dia seharusnya menyerah diri pada pihak berkuasa. Biar undang-undang yang mengadili kesilapan yang pernah dilakukannya. Tapi hatinya tidak puas jika tidak dapat mengheret sama Syarifah Asmah. Kalau kena biar sama-sama kenal. Biar adil. Jika dia berdosa, maka perempuan di hadapannya itu lebih banyak dosanya.

“Kenapa? Duit tu tak cukup lagi?” Syarifah Asmah menyindir. Azam hanya tersengih.

“Banyak duit ni. Tapi nilainya mungkin masih belum cukup untuk menjamin aku takkan buka mulut.” Ujarnya tersengih.

“Kau jangan melampau Azam. Sampai bila kau nak ugut aku macam ni? Jangan kau lupa, kaulah orangnya yang meracuni Radzi. Kalau kau bawa hal ni pada polis, kau fikir siapa yang polis akan percaya? Aku atau kau?” Gertak Syarifah Asmah.

“Jangan yakin sangat As. Ego kau tu boleh memakan diri sendiri. Mungkin cakap orang seperti aku tak dapat dipercayai, tapi bukti dalam pita ni tak dapat disangkal lagi.” Balas lelaki itu.

Syarifah Asmah tergaman melihat pita rakaman di tangan Azam. Lelaki itu ketawa besar melihat wajah Syarifah Asmah saat itu. Pucat lesi seperti baru nampak hantu!

“Kau sangka aku akan percaya bukti di tangan kau tu? Jangan ingat aku bodoh. Kalau benar kau ada bukti untuk sabitkan aku, sudah lama kau muncul. Kenapa baru sekarang? Kenapa setelah lima belas tahun baru kau keluar dari kepompong kau tu?” Tergagap-gagap Syarifah Asmah bersuara.

“Sebab dulu aku bodoh. Aku bodoh mempercayai perempuan seperti kau As. Kau tahu, dulu aku benar-benar cintakan kau. Aku sanggup korbankan segalanya demi kau. Aku sanggup meninggalkan isteri dan anakku demi kau. Tapi pernahkah kau hargai aku? Kau hanya berniat untuk mempergunakan aku demi kepentingan kau sendiri. Kini aku dah sedar As. Aku bukan lagi lelaki dungu seperti dulu yang boleh kau pergunakan sesuka hati.” Azam bingkas bangun sebaik menghabiskan kata-katanya.

“Oh ya terima kasih atas cek ini. Aku harap cek ni bukan cek tendang.” Azam tersenyum sinis sebelum berlalu meninggalkan wanita itu.

Syarifah Asmah mengenggam bucu meja di hadapannya sekuat hati. Hatinya benar-benar mendidih. Lelaki jahanam!

Lama Syarifah Asmah berdiam diri di situ. Minuman sejuk yang diteguknya bagai air panas yang membahang di anak tekaknya. Dia benar-benar berang. Kehadiran Azam bagaikan duri dalam dagingnya.

* * * *

Syed Rahim gelisah. Sejak petang tadi dia mundar-mandir di ruang tamu. Makanan yang dihidang oleh bibik langsung tidak disentuh. Seleranya mati sejak dia mengetahui desas-desus di pejabatnya siang tadi tentang kononnya Hazril dan Ikram sedang sibuk menyiasat akaun syarikat. Kalau benar, susahlah dia kali ini.

Syed Rahim memandang ke arah jam dinding. Aik, dah pukul sepuluh malam takkan tak balik-balik lagi perempuan ni? Dia sudah naik bosan menunggu Syarifah Asmah. Apabila jam menginjak ke pukul sebelas malam, barulah dia terdengar bunyi enjin kereta memasuki perkarangan garaj. Syed Rahim bertahan menunggu isterinya sehingga wanita itu muncul di muka pintu.

Syarifah Asmah terkejut sebaik melihat Syed Rahim menunjukkan muka serius di hadapannya.

“Saya nak cakap sikit dengan awak. Ikut saya ke bilik bacaan sekejap.” Ujar lelaki itu lalu mendahului langkah ke suatu arah. Syarifah Asmah mendengus kasar. Apahal pulak ni? Dengan perasaan malas, dia memaksa diri mengekori suaminya ke bilik bacaan. Sebaik dia melangkah masuk, pintu bilik bacaan itu segera dikatup kemas oleh suaminya. Tercengang Syarifah Asmah melihat tingkah laku Syed Rahim. Apa sebenarnya yang dah berlaku?

“Kenapa dengan awak ni? Serius semacam aje, dah buang tebiat agaknya.” Rungut Syarifah Asmah.

“Ya saya memang buang tebiat. Awak yang menyebabkan saya buang tebiat macam ni As. Sekarang saya nak tanya awak, mana cek RM300,000 yang saya bagi awak tempohari?” Soal Syed Rahim.

“Awak nak buat apa dengan cek tu?”

“Saya nak cek tu balik As. Bagi saya cek tu.”

“Dah habis.” Selamba Syarifah Asmah menjawab.

“Habis?” Mata Syed Rahim terbelalak.

“Yalah, kan saya dah cakap dengan awak, duit tu untuk modal butik saya dengan Datin Wardah. Tentulah saya dah laburkan. Awak ni kenapa? Dah bagi minta balik.” Rungut Syarifah Asmah lagi.

Syed Rahim terduduk lemah sebaik mendengar kata-kata isterinya. Wajahnya pucat lesi tidak bermaya. Hairan Syarifah Asmah melihat lelaki itu. Tak pernah-pernah Syed Rahim berkelakuan begini sebelumnya.

“Tuan Syed, boleh awak jelaskan pada saya apa sebenarnya yang dah berlaku? Awak buat kepala saya berserabut.” Gumam Syarifah Asmah.

“Habislah saya kali ni As. Awak mesti cari akal untuk saya As. Saya benar-benar dalam masalah kali ni.” Syed Rahim benar-benar bingung.

“Saya tahulah, tapi apa masalahnya? Kalau awak tak cerita, macamana saya nak tolong awak.” Naik geram Syarifah Asmah dengan tingkah laku suaminya. Dari tadi tak juga diberitahu apa yang tak kena.

“Hazril….” Sebut lelaki itu terputus-putus.

“Ya, kenapa dengan dia?”

“Dia dan Ikram sedang siasat beberapa akaun syarikat. Mereka syak ada yang tak kena dengan invois-invois tu. Kalau mereka teruskan siasatan, pasti mereka tahu saya yang paksa Zahid luluskan semua invois-invois tu. Kalau awak tak belanjakan duit tu, tentu saya boleh pulangkan semula duit syarikat tu sebelum hal ni terdedah. Sekarang semuanya dah kucar-kacir.” Keluh Syed Rahim dengan wajah kusut.

Syarifah Asmah ketawa kecil. Wajah suaminya yang tegang nampak lucu di matanya. Bulat mata Syed Rahim melihat isterinya hanya ketawa sedangkan dia dalam masalah besar.

“Kenapa awak ketawa? Saya susah hati, tapi awak macam tak kisah saja.”

“Saya ketawa bukan kerana masalah awak ni, tapi saya ketawa sebab mengenangkan betapa bodohnya awak. Nama saja lulusan luar negara tapi tak pernah guna akal.” Syarifah Asmah terus-terusan melempiaskan tawa sinis.

Merah padam wajah Syed Rahim dicerca isteri sendiri. Dia mengetapkan bibir. Tak guna dia mengharapkan isterinya sedangkan wanita itu langsung tidak ambil serius dengan apa yang telah berlaku.

“Hah awak nak ke mana tu?” Soal Syarifah Asmah sebaik dilihatnya Syed Rahim mahu angkat kaki dari situ.

“Keluar. Lagi lama saya kat dalam bilik ni dengan awak, lagi lemas saya rasa.”

Syarifah Asmah tersenyum sumbing. Dia tahu ego Syed Rahim tercabar dengan kata-katanya. “Habis? Awak tak nak dengar cadangan saya?” Dia mengumpan Syed Rahim. Langkah lelaki itu terhenti di muka pintu. Syed Rahim menoleh ke arahnya dengan wajah bingung.

“Hal ni awak dan Zahid sahaja yang tahu ke?”

“Ya, saya yang suruh dia luluskan invois tu.”

“Kalau begitu, mengapa perlu takut? Mereka takkan ada bukti menuduh awak sebab semuanya atas kepala si Zahid tu. Atau kalau nak senang lagi, awak suruh saja Zahid tu hilangkan diri. Bila satu-satunya saksi hilang, mereka tak boleh buat apa-apa lagi. Bayar sikit pada dia, saya pasti Zahid takkan menolak.”

“Kalau mereka siasat syarikat tu bagaimana?”

“Syarikat gelap, apa bukti mereka boleh dapat? Awak dah ikut cakap saya, bubarkan syarikat tu?”

Syed Rahim macam orang bodoh hanya mengangguk.

“Bagus, tak ada masalah lagi. Sekarang awak hanya perlu uruskan Zahid. Suruh dia lari sejauh yang boleh. Kalau Hazril soal awak, bagaimana awak jawab pun dia takkan boleh sabitkan kesalahan awak.” Syarifah Asmah tersenyum puas. Dia benar-benar yakin dengan kata-katanya.

Pengalamannya bergelumang dengan dunia perniagaan membuatkan dia arif tentang banyak perkara. Lagipun dulu dia pernah bekerja di beberapa buah syarikat besar. Dari situ dia tahu segala taktik dan selok belok perniagaan lebih dari suaminya sendiri.

No comments:

DEDALU DI HATI - STOK TERHAD!!

DEDALU DI HATI  - STOK TERHAD!!

PESANAN NOVEL DEDALU DI HATI SEDANG DIBUKA SEKARANG!!!

Harga = RM25.90
Kos Pos = RM7 (pos laju)
Total = RM32.90

Emailkan nama dan butiran diri ke arr_nita@yahoo.com.
Pesanan sehingga stok ke 3 ini kehabisan..

NANTIKAN VENOM SURIA DI PESTA BUKU ANTARABANGSA PWTC MULAI 27 APRIL, TERBITAN BUKU PRIMA (RM25.90)

NANTIKAN VENOM SURIA DI PESTA BUKU ANTARABANGSA  PWTC MULAI 27 APRIL, TERBITAN BUKU PRIMA (RM25.90)
Suria gadis ceria dan periang, namun miliki sejarah hitam dalam kelahiran. Yang membuatkan dia diburu dan dijejaki untuk meleraikan sebuah kisah sumpahan, lalu mempertemukan dia dengan dua lelaki berbeza sifat. Izwan jenis yang dingin dan panas baran. Cakapnya harus dipatuhi atau dia akan meletup! Nazrul sentiasa cool tapi punya rahsia terpendam yang menyiksa jiwa. Seorang lelaki ditakdirkan menjadi penyelamat. Seorang lagi ditakdirkan membunuhnya. Kedua-duanya muncul tak diundang, tetapi meninggalkan kesan mendalam. Lalu bermulalah permainan cat and mouse antara mereka sehingga game over!