Followers

Monday, February 22, 2010

Sayangku Casper : Bab 16

Mata Davian terbeliak melihat seisi dewan kuliah F itu menoleh ke arahnya. Mukanya sebal menjadi perhatian orang-orang yang berada di dalam dewan kuliah itu, termasuklah seorang pensyarah lelaki berambut kerinting yang sedang menjeling tajam ke arah mereka. Dia melirik ke arah Rafique yang kelihatan selamba.

“Raf, ada kelas la.” Bisik Davian gelisah.

Namun Rafique tetap berdegil memanjat anak tangga menuju ke arah belakang dewan. Mahu tak mahu Davian terpaksa mengekori dengan hati sebal.

Si pensyarah menyambung kuliah yang tergendala seketika. Rafique tersenyum senang. Ini sahaja cara bagaimana mahu mengelak diri dari orang-orang ayahnya. Dia tahu lelaki-lelaki itu pasti tidak akan terfikir untuk mencarinya di situ.

“Macamana orang-orang ayah kau boleh cari kau sampai ke mari?” Bisik Davian.

“Mungkin bukan aku yang sedang mereka cari.” Ujar Rafique selamba sambil meluruskan pandangan ke arah pensyarah yang berada di hadapan kelas.

“Maksud kau?” Davian keliru.

Rafique terdiam. Dia pasti ayahnya tentu tahu sesuatu mengenai Adelie. Jika Madame Marianne tahu di mana Adelie belajar, tak mustahil ayahnya juga mendapat maklumat yang sama.

Tiba-tiba satu bunyi dengkuran halus kedengaran di tepi telinga Rafique. Dia segera menoleh. Dahinya berkerut melihat seorang gadis sedang menelangkupkan wajahnya di atas meja. Davian turut menoleh. Dahinya berkerut melihat gadis yang tidak jelas wajahnya sedang sedap-sedap tidur tanpa mempedulikan isi kuliah yang sedang disampaikan oleh pensyarah di hadapan dewan.

“Ini sah-sah calon dapat F bila time-time exam.” Bisik Davian seraya tersengih. Rafique hanya tersenyum. Matanya masih merenung gadis yang berada selang satu meja di hadapannya.

Tiba-tiba gadis itu membetulkan posisi tidurnya. Sebelah pipi gadis itu ditongkat di atas meja, manakala sebelah muka gadis itu pula mengadap ke arahnya. Rafique tercengang. Alamak! Budak tu lagi. Rafique menggaru kepala. Cuba mengingatkan nama penuh gadis yang ditemuinya kelmarin sewaktu dia cuba melarikan diri dari orang-orang ayahnya. Apa namanya ya?

Tanpa mempedulikan Davian, Rafique segera menolak kaki Davian sambil mengisyaratkan lelaki itu bangun. Davian tercengang.

“Apasal?”

“Keluar kejap.” Suruh Rafique.

Davian segera memberi laluan. Rafique bingkas bangun lalu bergerak ke aras meja yang ditempati gadis itu. Perlahan-lahan dia duduk di sisi Tia yang terus terlena. Sesekali dia berpaling ke arah Davian yang seolah tertanya-tanya.

Dengkuran gadis itu kedengaran lagi. Rafique tidak dapat menahan senyum. Macam bunyi keretapi ekspress! Hebatnya bunyi dia berdengkur! Leka dia memerhatikan ke arah gadis itu sambil ketawa kecil. Tapi sejurus kemudian Rafique terkesima. Duduk dekat begitu di samping gadis itu membuatkan dia nampak jelas, bibir gadis itu yang bersememeh dengan air liur yang menitik sedikit di atas buku-bukunya. Yakk, pengotornya! Gumam Rafique sambil mengerutkan dahinya.

Tapi entah kenapa, tiba-tiba Rafique menyambung senyumannya. Dia mengambil telefon bimbitnya lalu mula mengambil gambar gadis itu dari pelbagai sudut.

“Raf! Apa kau buat tu?” Bisik Davian dengan mata terbelalak. Terkejut melihat telatah Rafique yang seronok mengambil gambar gadis yang tengah sedap-sedap tidur tanpa rasa bersalah.

Rafique menoleh tapi dengan kerlingan nakal. Dia mengalihkan pandangan, tapi kali ini dia terkesima. Mata gadis itu entah sejak bila terbuka dan terpisat-pisat memandangnya. Tapi hanya sebentar. Mata si gadis kembali bertaut rapat. Rafique tergaman. Dia ni tidur mati ke tidur-tidur ayam?

“Okey semua, dah siap tugasan yang saya suruh buat minggu lepas? Kalau sudah tolong hantar ke hadapan.” Suara profesor berambut kerinting itu kedengaran. Rafique meluruskan pandangan.

Terdengar suara sebahagian pelajar yang mengiyakan. Masing-masing sudah bangun dari tempat duduk mahu menghantar tugasan ke hadapan kelas. Rafique berpaling ke arah Tia yang masih menyambung tidur. Tergerak hatinya mahu mengejutkan gadis itu, tapi entah kenapa dia tidak sampai hati pula. Matanya terpandang helaian kertas yang sudah siap dibindingkan. Ini tugasan dia kut! Bisik hati kecil Rafique.

Didorong perasaan ingin membalas budi atas bantuan yang diberikan gadis itu sebelum ini, Rafique segera membawa tugasan milik gadis itu ke hadapan. Selesai menghantar dia kembali ke tempat duduk dengan senyuman ceria. Senang hatinya dapat membantu gadis itu. Tapi ketika dia sampai di meja yang didudukinya sebentar tadi, langkahnya tiba-tiba terhenti. Matanya terbuntang ke arah Tia yang sedang membetulkan pakaiannya yang sedang berkeronyok.

Tiba-tiba Tia berpaling. Rafique tersengih. Mata gadis itu mengecil memandangnya.

“Awak?” Tia seakan keliru.

Rafique ketawa kecil. “Ya saya. Kenapa? Terkejut?”

“Awak..awak buat apa kat sini?” Tia agak gugup.

“Saya cari awak.” Gurau Rafique. Sengaja mahu memancing perhatian gadis itu. Wajah Tia yang sembab menjadi santapan matanya. Rambut gadis itu yang kusut masai turut memancing perhatiannya.

“Jangan nak berguraulah. Awak ikut saya ya?” Tia menyimpan syak wasangka. Matanya berkerut menatap lelaki itu.

Rafique ketawa besar. Terasa lucu dengan kata-kata gadis itu. Amboi cepatnya perasan! Macamlah aku ni nak sangat ikut dia ke hulur ke hilir, gumam Rafique dalam hati. Dia asyik merenung wajah Tia yang memuncung. Kiut juga! Macam muncung itik, canda Rafique nakal.

Belum sempat Rafique mahu menyambung bicara, tiba-tiba nama Tia diseru. Kedua-duanya berpaling ke hadapan kelas. Pensyarah berkepala botak itu sedang mengangkat sesuatu di tangannya.

Tia tersentak. Wajahnya pucat lesi memandang ke arah pensyarah tersebut. Sejurus matanya menunduk ke arah meja yang ditempatinya. Alamak!

No comments:

DEDALU DI HATI - STOK TERHAD!!

DEDALU DI HATI  - STOK TERHAD!!

PESANAN NOVEL DEDALU DI HATI SEDANG DIBUKA SEKARANG!!!

Harga = RM25.90
Kos Pos = RM7 (pos laju)
Total = RM32.90

Emailkan nama dan butiran diri ke arr_nita@yahoo.com.
Pesanan sehingga stok ke 3 ini kehabisan..

NANTIKAN VENOM SURIA DI PESTA BUKU ANTARABANGSA PWTC MULAI 27 APRIL, TERBITAN BUKU PRIMA (RM25.90)

NANTIKAN VENOM SURIA DI PESTA BUKU ANTARABANGSA  PWTC MULAI 27 APRIL, TERBITAN BUKU PRIMA (RM25.90)
Suria gadis ceria dan periang, namun miliki sejarah hitam dalam kelahiran. Yang membuatkan dia diburu dan dijejaki untuk meleraikan sebuah kisah sumpahan, lalu mempertemukan dia dengan dua lelaki berbeza sifat. Izwan jenis yang dingin dan panas baran. Cakapnya harus dipatuhi atau dia akan meletup! Nazrul sentiasa cool tapi punya rahsia terpendam yang menyiksa jiwa. Seorang lelaki ditakdirkan menjadi penyelamat. Seorang lagi ditakdirkan membunuhnya. Kedua-duanya muncul tak diundang, tetapi meninggalkan kesan mendalam. Lalu bermulalah permainan cat and mouse antara mereka sehingga game over!