Followers

Friday, November 15, 2013

Rembulan Berdarah : Bab 9


            Nashriq memandang ruang pejabat barunya yang nampak elegan. Mulai hari itu dia secara rasminya akan memegang jawatan baru sebagai Pengurus Besar Mega Timur Construction yang baru.

            “Kalau Naz tak suka, umi akan suruh ‘decorator’ hiaskan yang baru. Bagaimana?” Tanya Engku Latifah. Dia memandang anak muda itu tidak berkelip.

            “Tak perlulah umi. Pejabat ni dah cukup baik.” Balas Nashriq ringkas.

            “Umi gembira dengan usul Naz, malah semua ahli lembaga pengarah sebulat suara bersetuju dengan cadangan Naz. Malah Dato’ Mustadza kata, cadangan itu takkan menyusahkan ALP. Umi bangga dengan Naz,” puji Engku Latifah.

            Thanks.” Jawab Nashriq sepatah lagi. Engku Latifah diam. Dia sudah kematian idea untuk terus berbual. Wajah Nashriq sentiasa serius apabila berhadapan dengannya. Malah kemesraan antara ibu dan anak bagaikan tidak wujud langsung antara mereka. Kadangkala dia rasa sedih dengan layanan dingin Nashriq padanya.

            “Umi dah sediakan seorang pembantu untuk Naz,” ujar wanita itu semula. Nashriq menoleh.

            “Pembantu?”

            Engku Latifah mengangguk lalu tersenyum. “Seorang Pengurus Besar perlukan pembantu kanan. Umi cadangkan Katrina, setiausaha umi. Dia memang berpengalaman dalam hal ehwal Mega Timur. Dia boleh bantu Naz dalam semua urusan.”

            “Tak perlulah umi, saya dah ada abang Erman. Dia akan jadi pembantu saya di sini.” Pintas Nashriq pantas. Engku Latifah tergaman. Lagi-lagi Erman yang disebutnya. Entah kenapa Engku Latifah benar-benar tidak berkenan dengan persahabatan antara Nashriq dan bekas pembantu kanan suaminya itu.

            “Tapi Katrina boleh…”

            “Umi jangan bimbang, Erman tahu semua hal ehwal dalaman Mega Timur. Malah dia yang banyak membantu dalam usul yang dikemukakan dalam mesyuarat ALP minggu lepas.” Ujar Nashriq. Engku Latifah terdiam. Dia sudah mati kutu mahu memujuk Nashriq bersetuju dengan cadangannya.

*  *  *  *

            Engku Latifah menghempaskan dirinya ke dada sofa dengan perasaan geram. Entah kenapa gelora dalam hatinya membuak-buak hendak keluar. Sudah dicuba bersabar tapi setiap kali sendirian, dia kembali sakit hati.

            Sudah dua belas tahun lamanya. Dia bimbang masa dua belas tahun yang berlalu pergi itu akan gagal digapainya. Dia juga risau jika jarak waktu itu juga akan merenggangkan hubungannya dengan Nashriq.

            Hampir setiap minggu sejak dua belas tahun yang lalu, dia sering cuba menghubungi Nashriq di US. Malah tak cukup dengan itu, setiap dua bulan sekali dia akan menjenguk anak muda itu di apartmentnya di Kensington Street. Namun hari demi hari layanan Nahsriq padanya ala kadar sahaja. Jika dia telefon Nashriq akan menjawab. Jika dia datang, Nashriq akan menjemputnya. Namun hubungan mereka bagaikan hambar. Bagaikan ada sesuatu yang tidak kena. Dia sendiri tidak tahu kenapa sampai begitu rentak hubungan antaranya dengan anak muda itu.

            “Naz dah tak sayangkan umi?” Pernah dia bertanya begitu suatu ketika dahulu. Namun anak muda itu bertindak mendiamkan diri. Dia kian lemas dengan sikap Nashriq yang seolah sengaja mahu mendera perasaan hatinya. Apa patut umi buat supaya Naz boleh memaafkan umi? Takkan umi harus merayu untuk dimaafkan? Apakah kasih sayang Naz pada umi tak sebesar rindu Naz pada Hana?

            “Kenapa umi tak suka dengan Hana. Apa yang Hana dah buat pada umi sampai umi marah macam ni?” Soalan itu pernah diajukan padanya suatu ketika dahulu. Dia terkejut bila Nashriq tiba-tiba muncul di hadapannya dengan wajah merah padam. Anak muda itu masih lengkap berpakaian uniform sekolah.

            “Kenapa tiba-tiba sebut nama budak tu?” Dia memandang Nashriq.

            “Hana umi. Nama budak yang umi maksudkan itu Hana. Raihana Munif.”

            “Cukup Naz! Kenapa kurang ajar sangat dengan umi ni? Apa yang budak tu bagi Naz makan sampai Naz berani lawan cakap umi?” Marah sungguh dia bila Nashriq berani meninggikan suara di hadapannya.

            “Naz takkan kurang ajar macam ni, kalau umi tak malukan Hana malam semalam. Patutlah bila Naz datang semula, Hana dah tak ada kat situ. Rupa-rupanya umi yang suruh dia pulang bukan.” Tuduh Nashriq. Panas benar hatinya dengan sikap uminya.

            “Umi tak suruh dia pulang. Dia pulang sebab dia sedar kedudukan dia dalam rumah kita. Dan umi rasa Naz juga patut sedar siapa dia. Dia cuma anak orang gaji Naz, umi tak mahu Naz terlalu beri muka pada budak tu. Naz tak malu ke dengan kawan-kawan Naz semalam?”

            “Apa umi cakap ni? Sejak bila Hana jadi anak orang gaji, sedangkan ayah juga sayangkan Hana?”

            Dia terdiam. Kata-kata Nashriq semakin membuatkan hatinya panas. Dia tahu suaminya memberi sepenuh kebebasan pada Raihana untuk keluar masuk dalam rumah itu. Layanan suaminya pada Raihana tak ubah seperti anak sendiri. Itulah yang membuatkan hatinya tidak senang selama ini.

            “Awak tak boleh layan Hana macam tu. Dia tu budak-budak lagi. Apa salahnya dia berkawan dengan Nashriq?”

            Dia yang sedang menyapu losyen di tangannya, mengerling suaminya yang sedang membaca. Kata-kata suaminya membuatkan dia sangsi. Bukan sekali dua dia mendengar kata-kata orang tentang kecurangan suaminya di luar rumah. Malah sudah acapkali. Namun dia hanya memekakkan telinga, membutakan hatinya. Setiap kali suaminya dekat dengan keluarga Raihana, entah mengapa timbul rasa cemburu dalam dirinya. Apatah lagi suaminya selalu mengunjungi keluarga itu, kadangkala menghantar barangan keperluan rumah. Apa yang paling dirisaukannya selama ini adalah renungan mata suaminya yang menatap ibu Raihana dengan pandangan mesra. Itulah yang membuatkan hati perempuannya bergetar selama ini.

            “You kena hati-hati sikit Latifah, lelaki ni kalau dah terpandang yang cantik jelita di hadapan mata, isteri orang ke, tunang orang ke, dia bukan kira. Lagi-lagi kalau dia berkemampuan untuk cari yang lain, macam suami you tu.” Engku Zarina, kakak iparnya sering mencucuknya, sehingga mata hatinya kian samar hari demi hari. Fikirannya pula dipenuhi dengan rasa sangsi dan sakit hati.

            Bunyi ketukan yang singgah pada daun pintu, mengejutkan Engku Latifah seketika. Hilang sudah semua kenangan lama yang terimbas satu-persatu dalam kotak fikirannya. Dia menoleh ke arah pintu. Abangnya Engku Iskandar sedang tercegat memandang ke arahnya.

            “Abang ganggu kamu?” Tanya Engku Iskandar.

            “Eh taklah, masuklah bang. Apahal abang cari saya?”

            Engku Iskandar tidak terus menjawab. Sebaliknya dia mendekati wanita itu lalu duduk di sofa berhadapan dengan Engku Latifah.

            “Abang nak bincang dengan kamu fasal tugas pertama Nashriq.”

            Engku Latifah mengerutkan dahinya. Dia tidak faham sebenarnya, apa maksud lelaki itu. Namun dia sabar menunggu sehingga Engku Iskandar membuka mulut.

            “Begini Latifah. Macam kamu sedia maklum, selepas Tahir meninggal dua tahun lalu, abang mengambilalih tugas memangku jawatan pengurus besar. Tapi kini bila jawatan itu dah diambil alih oleh Nashriq, tentu ada sedikit perubahan dari segi pengurusan klien-klien lama kita.”

            “Ya saya dengar ni…”

            “Kamu pun tahu kan Latifah, klien-klien kita ada pelbagai seribu kerenah yang hendak dilayan. Abang takut Nashriq tak mampu menguruskannya nanti.”

            “Soal itu abang jangan bimbang. Saya benar-benar yakin dengan kebolehan Nashriq. Lagipun Farouk boleh bantu Naz.” Balas Engku Latifah. Engku Iskandar terdiam.

            “Kalau begitu kata kamu, abang terpaksa akur. Kalau begitu, klien kita dari US tu, abang serahkan sepenuhnya pada Nashriq. Malam esok, dia kena berbincang dengan klien-klien itu semua fasal projek pembinaan loji peralatan mekanikal di Putrajaya.” Ujar Engku Iskandar tenang. Namun jauh di sudut hati, dia seperti hendak ketawa. Kita tengok nanti Nashriq, siapa yang paling berkebolehan antara kita berdua. Aku benar-benar nak tengok, apakah kau mampu menghadapi klien itu semua.

*  *  *  *

            Suraya berjalan mundar mandir serba tak kena. Sekejap sekejap dia akan kelihatan berulangalik di hadapan pintu bilik itu. Sejak beberapa hari yang lalu, begitulah rutin hariannya. Entah kenapa sejak kehadiran Nashriq di bilik yang sudah lama kosong itu, hatinya teramat ingin menemui Nashriq semula. Namun apakan dayanya, hajatnya sentiasa tak kesampaian.

            Contohnya kelmarin, dia bertembung Nashriq sedang makan sendirian di kafeteria pejabat, namun belum sempat dia mahu menghampiri lelaki itu, tiba-tiba sahaja Nashriq dihampiri seorang staff. Geram hatinya tuhan saja yang tahu. Petang kelmarin juga begitu, ketika berjalan bersama Katrina di ruang lobi pejabat, matanya tiba-tiba terpandang Nashriq sedang berjalan bersama beberapa orang lelaki menuju ke arahnya. Apabila mereka berpapasan, Katrina sempat menyapa lelaki itu. Nashriq menoleh namun hanya mengangguk. Namun lelaki itu langsung tidak memberi perhatian padanya.

            Suraya mengetapkan bibir. Apa lelaki itu pura-pura tidak perasan dia, atau sememangnya dia memang sudah tidak kenal aku?

            Tangan Suraya sudah naik ke  dada pintu. Namun tangannya seakan berat untuk mengetuk pintu bilik di hadapannya. Aduh! Bagaimana kalau dia benar-benar sudah tidak ingat aku? Tentu aku akan malu sendiri kalau begini. Suraya menarik nafas berat. Dia berpusing mahu beredar ke biliknya, namun dia terkejut besar. Nyaris-nyaris dia tersembam ke dada bidang itu. Wajah Suraya pucat lesi. Dia mengangkat wajahnya perlahan-lahan.

            Mata lelaki itu menjamah tajam ke wajahnya. Suraya menahan nafas. Dia gugup tiba-tiba.

            “Maaf.” Ujar Suraya ringkas.

            “Cik ni nak cari siapa?” Tanya lelaki itu. Matanya masih menjamah wajah Suraya tidak berkelip. Macam kenal!

            “Rasanya macam kita pernah berjumpa.” Sambung lelaki itu tiba-tiba. Suraya terpinga-pinga. Matanya sekali lagi menyorot wajah di hadapannya. Lelaki itu berkulit sawo matang dan tampan orangnya. Tiba-tiba Suraya tersenyum. Aduh! Kenapa pula aku tidak boleh cam dia, sedangkan aku pernah melihatnya bersama Nashriq tempohari.

            “Encik Erman dah lupa siapa saya?” Suraya cuba menduga lelaki itu. Erman termenung seketika sebaik mendengar kata-kata Suraya. Lama matanya menjamah wajah di hadapannya itu.

            “Cik Suraya kan?” Lelaki itu menyoal agak ragu-ragu.

            Suraya tersenyum. Tak sangka lelaki itu masih mengingati namanya. Namun belum sempat Suraya mahu membalas kata-kata lelaki itu, pintu di belakangnya tiba-tiba terkuak. Kedua-duanya serentak berpaling.

            Nashriq tergaman melihat Suraya tercegat di sisi Erman. Namun dia tidak menegur gadis itu, sebaliknya memandang Erman yang kelihatan kaget.

            “Abang, masuk sekejap. Ada hal kita kena bincang.” Ujar Nashriq serius. Dia berpaling ke arah biliknya. Wajah Suraya sedikit berubah. Erman yang menyedari keadaan itu segera melaung nama Nashriq.

            “Err Naz, kau ingat lagi Cik Suraya bukan?” Celah Erman.

            Langkah Nashriq terhenti. Dia memusingkan badannya perlahan-lahan. Wajah Suraya ditatap teliti. Dahi Nashriq berkerut. “You kerja di sini?” Soalnya.

            Suraya mengangguk. “Suraya Mustadza, eksekutif bahagian perhubungan awam di sini.” Balas Suraya sambil menghulurkan tangannya. Bibirnya tersenyum biarpun dia tahu wajah Nashriq tidak menunjukkan sebarang reaksi.

            Nashriq hanya memandang huluran tangan Suraya. Wajah gadis itu tampak ceria. Dia teringat peristiwa kelmarin di restoran. Peristiwa yang membuatkan dia ditahan polis bersama lelaki-lelaki yang menganggu gadis itu.

            Nice to see you you here Cik Suraya.” Sambut Nashriq akhirnya seraya berlalu pergi begitu sahaja. Suraya terpegun dengan reaksi Nashriq. Apa kena dengan dia ni agaknya! Sombong semacam! Semalam lelaki itu sudah mahu tersenyum dengannya, namun hari ini dia berpura-pura tidak kenal.

            Sorry Cik Suraya, jangan ambil hati. Nashriq memang macam tu. But anyway just like he said before, nice to meet you here.” Ujar Erman seraya tersenyum. Mahu tak mahu Suraya turut tersenyum sama, meskipun tuhan saja tahu betapa hatinya terasa terhina dengan tindakan Nashriq sebentar tadi.

*  *  *  *

            “Aku tak faham kenapa kau layan Suraya macam tu Naz. At least kau sepatutnya lebih berlembut dengan dia. Lagipun kau sekarang dah jadi orang atasan dia.” Rungut Erman, sedikit kesal dengan sikap Nashriq yang tidak pernah mahu berubah.

            Do I ever treat her like a garbage?” Nashriq merenung lelaki itu tidak berkelip. Erman mengeluh. Sukar benar dia mahu berbicara dengan Nashriq kalau begini.

            “Tidaklah sampai begitu, tapi tindakan kau boleh menyinggung perasaan dia.”

            “Saya dan dia bukannya berkawan pun. Kami bertemu pun secara tak sengaja. Untuk apa dia dilayan lebih istimewa dari pekerja-pekerja lain di sini? Atas dasar apa, saya harus berbual panjang dengan dia semata-mata kerana peristiwa remeh temah semalam?”

            Erman terdiam. Dia tahu tidak ada gunanya lagi dia bertikam lidah dengan Nashriq. Anak muda itu memang degil. Sama degil dengan ayahnya, Zainal Ikram.

            “Abang, boleh tak kalau kita jangan bercakap atau bergaduh fasal dia. Sekarang yang lebih penting adalah urusan syarikat ini. Saya nak abang terus jadi pembantu saya di sini macam abang bantu ayah dulu.” Pinta Nashriq serius.

            Erman tergaman. Pembantu?

            “Saya nak abang bantu saya uruskan syarikat ini sama macam abang pernah bantu ayah dulu. Saya tak boleh harapkan umi, sebab umi terlalu mengikut telunjuk pakcik Is. Lagipun saya masih ragu-ragu dengan niat pakcik Is terhadap Mega Timur.” Ujar Nashriq menyatakan kebimbangannya.

            Erman tersentak. Apa Nashriq tahu fasal Engku Iskandar?

            “Saya baru sahaja semak akaun syarikat tadi. Ada berpuluh-puluh voucer di bayar atas nama Engku Iskandar dalam jumlah yang agak besar sejak dua tahun yang lalu. Bila saya tanya Syafiq, dia seperti tak boleh memberikan jawapan yang memuaskan. Katanya voucer itu adalah voucer yang dibayar untuk belanja layanan terhadap klien-klien utama kita. Tapi mustahil sampai berpuluh ribu digunakan untuk membelanja klien.”

            Erman diam. Dia memang sudah lama dengar tentang perkara itu. Sejak arwah Tuan Zainal masih hidup lagi, Engku Iskandar sudah bermain helah seperti ini. Tak mustahil bila arwah sudah tiada, lagi besar peluangnya untuk berbuat sesuka hati. Apatah lagi, apabila Engku Latifah melantiknya sebagai Pengarah Mega Timur Construction, lagi besarlah langkahnya.

            “Nanti abang siasat fasal hal ni Naz. Kau tumpukan saja pada urusan syarikat.” Ujar Erman akhirnya. Dia tahu bagaimana mahu menjejak perbuatan Engku Iskandar sehingga ke akar umbi.

            “Malam ni, abang ikut saya ke suatu tempat?”

            “Ke mana?”

            Nashriq tidak terus menjawab. Dia teringat kata-kata Farouk, pegawai perhubungan awam Mega Timur yang datang bertemunya sebentar tadi.

            “Encik Nashriq kena melayan tatamu-tetamu dari US malam ini. Ini arahan Puan Engku dan Tuan Engku. Mereka nak bertemu dengan Encik Nashriq malam ni di tempat biasa.” Kata Farouk.

            “Tempat biasa?” Dia memandang Farouk.

            Farouk kelihatan serba-salah. “Maaf Encik Nashriq, selalunya kalau klien-klien dari US datang, Tuan Engku akan bawa mereka ke kelab malam untuk berhibur. Mereka pun nampak seperti gembira saja. Selalunya mereka berhibur dahulu, sebelum berbincang soal perniagaan.” Jelas Farouk berterus terang.

            Dia tergaman mendengar kata-kata lelaki itu. Apa di US sudah tidak ada kelab malam sehingga hendak berbincang soal perniagaan pun di tempat seperti itu?

            “Apa, ibu saya tahu tentang hal ini?”

            Farouk memandang Nashriq yang galak merenungnya. Melihat mata Nashriq semakin mencerun tajam ke wajahnya, perlahan-lahan dia mengangguk. Nashriq menarik nafas panjang. Kalau ayah masih hidup, sudah tentu dia takkan setuju dengan perkara seperti ini.

*  *  *  *

            Suraya mengenggam mug di tangannya sekuat hati. Perasannya bercampur gaul. Hilang sudah rasa riangnya kerana sepejabat dengan lelaki bernama Nashriq Adli itu. Timbul pula rasa kurang senangnya. Sepatutnya dari awal lagi dia sudah boleh menjangka, sikap Nashriq sukar diduga. Sekejap lelaki itu berlemah lembut dengannya, sebentar pula hatinya sedingin ais.

            Dia sangka dia siapa? Berani betul berlagak di depan aku!” Rungut Suraya sendirian. Mulutnya tak habis-habis mengomel sendirian. Rasa sakit hatinya semakin bersarang.

            “Kalau begitu cara kau pegang mug tu, alamak berderailah mug tu jadi kaca,” celah suatu suara. Suraya tergaman melihat Katrina tiba-tiba menjengah masuk ke ruang rehat di pejabat tersebut. Gadis itu segera membuka peti ais. Dia memandang sesaat dua, sebelum menutup kembali peti ais.

            “Hmm, apa kau minum tu?” Tanya Katrina.

            “Milo.” Jawab Suraya ringkas.

            “Bak kat aku sikit, malaslah aku nak buat air.” Tanpa sempat Suraya mahu membalas, mug di tangannya cepat sahaja dirampas oleh Katrina. Tercengang Suraya melihat Katrina menghabiskan air milo di dalam mugnya. Amboi, perempuan ni!

            “Maaf, aku dahaga sangat ni.” Gadis itu tersengih. Suraya hanya diam. Lama mata Katrina tertumpu ke arah gadis kecil molek itu.

            “Kau kenapa? Macam ada masalah aje.”

            Suraya tersenyum hambar. Dia menatap Katrina yang kelihatan hairan. “Masalah hati, Kat.” Jawabnya ringkas.

            “Masalah hati? Macam parah saja? Kau putus kasih dengan siapa pulak kali ni?” Katrina tergelak kecil. Takkan orang ramai peminat macam Suraya boleh patah hati?

            “Susah kalau jatuh hati pada orang sombong ni,” keluh Suraya entah pada siapa. Katrina terdiam. Siapa yang sombong? Namun tidak terkeluar pertanyaan itu dari mulutnya.

No comments:

DEDALU DI HATI - STOK TERHAD!!

DEDALU DI HATI  - STOK TERHAD!!

PESANAN NOVEL DEDALU DI HATI SEDANG DIBUKA SEKARANG!!!

Harga = RM25.90
Kos Pos = RM7 (pos laju)
Total = RM32.90

Emailkan nama dan butiran diri ke arr_nita@yahoo.com.
Pesanan sehingga stok ke 3 ini kehabisan..

NANTIKAN VENOM SURIA DI PESTA BUKU ANTARABANGSA PWTC MULAI 27 APRIL, TERBITAN BUKU PRIMA (RM25.90)

NANTIKAN VENOM SURIA DI PESTA BUKU ANTARABANGSA  PWTC MULAI 27 APRIL, TERBITAN BUKU PRIMA (RM25.90)
Suria gadis ceria dan periang, namun miliki sejarah hitam dalam kelahiran. Yang membuatkan dia diburu dan dijejaki untuk meleraikan sebuah kisah sumpahan, lalu mempertemukan dia dengan dua lelaki berbeza sifat. Izwan jenis yang dingin dan panas baran. Cakapnya harus dipatuhi atau dia akan meletup! Nazrul sentiasa cool tapi punya rahsia terpendam yang menyiksa jiwa. Seorang lelaki ditakdirkan menjadi penyelamat. Seorang lagi ditakdirkan membunuhnya. Kedua-duanya muncul tak diundang, tetapi meninggalkan kesan mendalam. Lalu bermulalah permainan cat and mouse antara mereka sehingga game over!