Followers

Friday, August 21, 2009

Bunga Syurga 3

Dato’ Amiruddin merenung satu persatu wajah-wajah di hadapannya. Mukanya merah padam menahan marah yang tak pernah surut sejak petang tadi. Dia memandang hidangan lauk pauk yang kian sejuk. Terlalu lama menanti, tapi nampaknya penantian itu cuma sia-sia. Dia termenung panjang di kerusinya.
Daniel dan Datin Arfah saling bertatapan. Risau melihat keadaan lelaki separuh umur itu. Sejak akhir-akhir ini, kesihatan Dato’ Amirudin tidak berapa baik. Di tambah lagi bebanan urusan di pejabat serta masalah-masalah lain, tak mustahil orang yang sihat pun boleh jatuh sakit. Inikan pula dia yang mengidap lemah jantung dan darah tinggi.
“Ayah nak suruh Danny call dia?” Tanya Daniel.
“Tak perlu, kita makan saja. Kalau dia memang berniat nak balik, dah lama dia balik,” balas Dato’ Amiruddin.
“Itulah awak, terlalu beri muka sangat pada budak tu. Sampai bila awak asyik nak pertahankan dia? Semakin hari saya tengok dia semakin melampau. Semakin liar. Langsung tak kenang budi kita membelanya dari kecil,” rungut Datin Arfah.
Dato’ Amiruddin terdiam. Kata-kata Datin Arfah sedikit sebanyak memanaskan hatinya. Namun dia cuba bersabar.
“Perangai dia dan maknya sama saja, suka menyusahkan orang.” Rungutan Datin Arfah walaupun perlahan, masih terdengar di telinga Dato’ Amiruddin. Dia berang. Wajah isterinya itu dijeling marah.
“Arfah, hal ni tak ada kena mengena dengan Ratna. Jangan awak buruk-burukkan orang yang sudah meninggal.” Suara Dato’ Amiruddin meninggi. Datin Arfah terdiam. Dia tahu suaminya pantang mendengar nama Ratna Suri disebut.
“Sudahlah ayah, umi…jangan kita besarkan hal ni. Kita makan dulu, nanti Danny call Riff, tanya apa halnya okay?” Daniel cuba meredakan suasana keruh yang mula berbahang.
“Makanlah kamu dengan umi kamu, ayah dah tak ada selera.” Lelaki itu bingkas dari kerusi yang didudukinya. Dia berjalan keluar dari meja makan menuju ke ruang kerjanya. Daniel mengeluh. Dia tahu hati ayahnya rungsing.
“Huh cakap sikit pun nak marah, sensitif sangat orang tua ni,” rungut Datin Arfah geram. Sakit hatinya bila mengenangkan, kemungkinan suaminya masih teringatkan perempuan yang menjadi duri dalam perkahwinannya sejak 25 tahun yang lalu.
“Umi, jangan sebut lagi hal dulu. Yang dah lepas tu sudahlah,” pujuk Daniel. Dia tidak mahu kerana hal lama, ayah dan uminya bermasam muka seperti dulu.
“Danny tak mengerti, hati umi ni sakit. Luka umi ni takkan sembuh sampai bila-bila pun.” Mata Datin Arfah berkaca menatap wajah anaknya. Kecurangan Dato’ Amiruddin berpuluh tahun yang lalu, sampai kini menjadi racun dalam setiap urat sarafnya. Sampai bila-bila pun dia takkan lupa.
Daniel terdiam. Sehingga kini dia masih tidak faham apa sebenarnya yang berlaku dalam rumahnya suatu ketika dulu. Apa kaitan wanita bernama Ratna Suri itu dalam hidup mereka? Apa yang dia tahu, Ratna Suri ibu kandung Riffki, adik beradiknya berlainan ibu. Orangnya cantik dan berwajah keibuan. Malah dia pernah menatap potret wanita itu, yang setia di kamar tidur Riffki.
Menurut Mak Jah, pembantu rumahnya yang telah lama bekerja dengan keluarga mereka, Ratna Suri bukan orang Malaysia. Dia wanita berbangsa campuran Indonesia dan Belanda. Kononnya ayahnya berkenalan dengan Ratna Suri semasa menuntut di luar negara. Entah betul atau tidak, dia sendiri pun tidak pasti!
Daniel sendiri tidak tahu, bilakah masanya Riffki mula tinggal bersama-sama mereka. Apa yang dia ingat, suatu hari ayahnya membawa pulang seorang kanak-kanak lelaki dalam lingkungan usia 6 tahun. Malah dia masih ingat lagi hari itu, uminya marah-marah sambil menghempas barang. Dia faham benar sikap uminya yang kuat meradang. Bila wanita itu merajuk, semua barang di sekelilingnya akan dipecahkan. Entah macamana, tangan uminya pantas mencapai sebuah pasu kaca lalu dilontarkan ke arah ayahnya, tapi sempat dielakkan oleh lelaki itu. Berdentum bunyi kaca itu terhempas ke arah dinding.
Seketika kemudian, dia mendengar Mak Jah menjerit. Dia terperanjat besar apabila mendapati dahi budak lelaki di sebelah ayahnya berdarah. Rupa-rupanya serpihan pasu bunga yang dilempar uminya melantun lalu terkena kepala Riffki. Ayahnya terkejut besar. Nyaris-nyaris ayahnya mahu menempeleng pipi uminya, jika tidak disabarkan oleh Mak Jah ketika itu.
Namun anehnya, budak kecil itu tidak sedikit pun menangis. Dia hanya diam sewaktu ayah merawat lukanya. Seolah-olah luka yang agak dalam itu hanya perkara kecil baginya. Sikap aneh dan dingin Riffki berlanjutan sehingga mereka sama-sama meningkat dewasa. Sampai kini, dia masih tidak mampu membaca perasaan hati Riffki. Hubungan mereka juga tidak berapa rapat. Sesekali sahaja mereka bertemu untuk makan bersama. Itupun selalunya hanya dia yang kerap menelefon Riffki terlebih dahulu.
Apabila Riffki berpindah keluar, mereka semakin kurang bertemu. Daniel tahu adiknya itu sengaja mahu mengelak dari bertemu uminya. Sebab itu dia mengambil keputusan berpindah keluar dan menetap di sebuah apartment mewah di ibukota. Kadang-kala, dia sendiri naik pening memikirkan kerenah uminya yang asyik mencari salah Riffki. Mungkin kalau dia di tempat Riffki, dia juga akan mengambil tindakan yang sama.
* * * *
Nurul Hijjaz tersenyum sendiri menatap jambangan bunga yang dihantar ke pejabatnya sejak awal-awal pagi lagi. Beberapa orang temannya galak mengusik, namun dia buat endah tak endah. Kad nama yang terselit di celah-celah kuntuman ros merah itu diambil lalu dibaca. Dahinya berkerut sebaik membaca nama yang tertulis di dalam kad itu. Daniel Iqbal!
Pantas dia teringat kembali peristiwa pertemuannya dengan lelaki itu dua hari yang lalu. Kelakar memang kelakar. Tak disangkanya, lelaki yang merenungnya di luar ruang pejabat Mutiara Global itu rupa-rupanya orang yang ingin ditemuinya. Mulutnya pula waktu itu begitu cabul, sikit-sikit nak marah. Tak fasal-fasal dia cuba melepaskan kemarahannya pada lelaki itu. Mujurlah lelaki itu bukan seorang yang cepat terasa hati. Jika tidak, pasti dia tiada peluang berbincang soal perniagaan dengan lelaki itu. Malunya bila teringat kembali saat-saat itu.
“Siapa bagi bunga tu?” Satu suara garau menegur. Nurul Hijjaz berpaling. Seorang lelaki gempal berkepala botak merenungnya serius. Dia tersenyum simpul.
“Er..kawan.”
“Kawan special?”
“Tak adalah, kawan baru kenal.”
Lelaki itu memandang sebentar ke arah jambangan bunga di tangannya, namun dia tidak menunjukkan apa-apa reaksi. Seketika kemudian pandangannya tumpah ke wajah Nurul Hijjaz.
“Hijjaz, masuk bilik saya sekejap,” arahnya sebelum berlalu pergi.
Nurul Hijjaz memandang lelaki itu sehingga kelibatnya menghilang. Dia terus meletakkan jambangan bunga itu di atas meja, sebelum mencapai sebuah buku nota. Dia faham benar dengan perangai bosnya. Sudah tentu ada sesuatu yang mahu dibincangkan dengannya.
“Ya bos, kenapa?” Soalnya sebaik menolak daun pintu. Kelihatan ketuanya sedang ralit menghirup kopi pekat dalam cawan plastik.
“Duduk Hijjaz. Macamana dengan pihak Mutiara Global? Pihak diaorang dah contact kita atau belum?”
“Belum lagi bos, mungkin dalam sehari dua lagi baru kita tahu jawapannya. Sabarlah bos, kalau dah rezeki kita takkan ke mana,” ujar Nurul Hijjaz.
Syed Hambali tersengih. Itulah perkara yang paling disukainya terhadap gadis itu. Nurul Hijjaz selalu berfikiran positif. Baginya tidak ada yang mustahil. Kerana itu. dia amat mempercayai gadis itu berjumpa dengan klien-klien penting syarikat.
“Hijjaz, semalam wakil kita di Bali telefon. Katanya mereka lebih percaya kalau Hijjaz sendiri pergi ke Bali, memastikan kualiti barang-barang kita terjamin. Macamana?”
Nurul Hijjaz terdiam. Kata-kata Syed Hambali membuatkan dia resah. Dia memandang lelaki itu. Wajah Syed Hambali seolah-olah berharap dia menyetujui cadangan itu.
“Tapi…Emir dan Tjuk Inn kan ada. Lagipun mereka dah lama dalam bidang ni.” Nurul Hijjaz memberi alasan.
“Tapi mereka lebih percaya pada Hijjaz. Please..think about it Hijjaz.”
Nurul Hijjaz tersenyum akhirnya. “I will boss. Bagi saya masa?”
Syed Hambali mengangguk. Dia faham benar apa yang merisaukan Nurul Hijjaz. Bukanlah niatnya mahu memaksa. Tapi sampai bila Nurul Hijjaz mahu mengelakkan diri begitu?
“Oh ya sebelum terlupa, ada orang nak jual foto gambar-gambar pemandangan di Bali pada kita. Dia khabarnya jurugambar terkenal. Mungkin foto-foto yang dia ambil tu ada gunanya. Hijjaz pergi jumpa dia. Nama dan alamatnya ada dalam fail ni.” Arah Syed Hambali.
“Okay boss!” Nurul Hijjaz mengangkat tabik, lalu tergelak kecil. Menggeleng kepala Syed Hambali menyaksikan telatah Nurul Hijjaz yang periang. Macam-macam hal budak ni.
“Apahal lama sangat kat dalam tu? Kena marah ke?” Tegur Shafinaz sebaik terlihat kelibat Nurul Hijjaz keluar dari bilik Syed Hambali. Nurul Hijjaz hanya tersenyum sebelum kembali ke mejanya.
“Wow, cantiknya…siapa bagi?” Shafinaz tercengang menatap jambangan bunga di atas meja Nurul Hijjaz. Banyaknya ros merah, paling-paling kurang pun tentu ada lebih dari 10 kuntum, fikir Shafinaz. Terselit juga rasa cemburu kepada teman itu yang sering mempunyai peminat.
“Siapa bagi bunga ni Hijjaz?” Shafinaz mengulang pertanyaan apabila dilihat Nurul Hijjaz asyik membelek fail di tangannya.
“Entahlah, aku pun tak tahu,” jawab Nurul Hijjaz acuh tak acuh. Sengaja dia berbohong, padahal kad nama sejak awal-awal lagi sudah disimpan dalam laci mejanya.
“Penipu, takkan tak tahu,” cebik Shafinaz tidak percaya. Nurul Hijjaz tertawa kecil. Matanya masih menatap kad nama di dalam fail yang baru diserahkan oleh Syed Hambali. Riffki Aidan. Macam pernah dengar!
“Finaz, kau pernah dengar nama Riffki Aidan?”
“Siapa?”
“Riffki Aidan, bos minta aku jumpa dia.”
“Kenapa? Si botak tu nak kenalkan lelaki pada kau ke?” Shafinaz galak mengusik. Nurul Hijjaz tergelak besar. Pantas tangannya mendail nombor telefon yang tertera.“Hello…!”
* * * *
Dari bawah dia memandang ke atas. Sayup-sayup cahaya matahari mengena wajahnya. Dahinya mula bermandi peluh, tapi cepat-cepat diseka dengan saputangan. Dia memasuki bangunan itu, sambil fikirannya diselubungi berbagai pertanyaan. Inikah bangunannya? Takkan studio lelaki itu terletak di tempat seperti ini? Hairan!
Nurul Hijjaz membaca sekali lagi alamat yang tertera di kad kecil itu. Dia pasti alamatnya sudah betul, tapi dia keliru dengan keadaan bangunan apartment di situ. Siapalah orangnya yang menggunakan apartment mewah seperti ini sebagai studio?
Apabila sampai di hadapan pintu bernombor 2-10-7, langkah Nurul Hijjaz terhenti. Dia ragu-ragu mahu menekan loceng. Akhirnya dia menarik nafas panjang-panjang, cuba bertenang sebaik mungkin. Sebaik tangannya mahu menarik suis loceng, pintu di hadapannya tiba-tiba terbuka. Nurul Hijjaz tergaman. Lelaki di hadapannya juga seolah terperanjat.
Nurul Hijjaz tidak terkata apabila memandang wajah itu. Agak lama mereka berbalas pandang. Lelaki itu juga memandangnya tidak berkelip.
“Sayang, siapa tu?” Suara seorang wanita, cepat menyedarkan Nurul Hijjaz. Pantas dia melarikan matanya. Entah kenapa, tiba-tiba sahaja dia rasa berdebar-debar tatkala memandang wajah itu.
“Cari siapa?” Lelaki itu bertanya, serius. Sebelum sempat Nurul Hijjaz mahu membuka mulut, muncul seorang gadis yang hanya mengenakan pyjama. Lengan lelaki itu dirangkul mesra. Gadis berambut perang berkarat itu agak hairan melihat kehadiran Nurul Hijjaz di situ. Dia memandang teman di sisi.
“Siapa ni sayang?” Matanya curiga menatap Nurul Hijjaz dari atas ke bawah.
“Maaf. Encik Riffki Aidan?” Nurul Hijjaz bertanya.
“Siapa yang nak tahu?” Wajah lelaki itu merenungnya dingin.
“Saya wakil dari Krafria Galeria, berkenaan tentang pembelian gambar-gambar yang encik bercadang hendak menjualnya.” Nurul Hijjaz bersuara tenang, meskipun dia tidak senang dengan cara lelaki itu memandangnya.
“Oh itu, masuklah,” Lelaki itu mempelawa.
Nurul Hijjaz agak ragu-ragu hendak melangkah. “Err, kalau masa tak sesuai, saya minta maaf. Mungkin lebih baik saya datang lain kali saja,” ujarnya. Entah kenapa dia segan muncul pada masa yang tidak kena.
Lelaki itu memandangnya sekilas, sebelum mengalihkan pandangannya pada gadis di sisinya. “Kemaskan pakaian kau, pergi sekarang juga,” arahnya pada gadis itu.
“Riff, apa ni. You janji hari ni kita nak pergi shopping sama-sama,” gadis itu bersuara bagaikan tidak puas hati.
Lelaki itu tidak bersuara. Dia menyeluk poketnya lalu dikeluarkan dompetnya. Beberapa not wang kertas seratus dikeluarkan lalu diserahkan pada gadis itu.
“Pergilah shopping di mana saja kau mahu tapi jangan balik ke sini lagi,” ujarnya tenang. Nurul Hijjaz terpaku mendengar perbualan kedua-dua manusia di hadapannya. Dia melihat gadis itu seperti mahu menangis, sebelum menghilangkan diri ke dalam. Tak lama kemudian, gadis itu keluar semula lengkap berpakaian. Wajahnya merah padam menahan marah sebelum beredar pergi. Nurul Hijjaz memandang lelaki yang kelihatan selamba berdiri di tepi pintu, bagaikan tidak ada apa-apa yang berlaku. Lelaki itu turut menoleh ke arahnya.
“Sekarang kita bincang urusan kita pula. Sila masuk,” pelawanya sekali lagi. Mahu tak mahu, Nurul Hijjaz terpaksa akur. Dia memerhatikan suasana di bilik itu. Bukan studio seperti yang disangkakannya, tapi sebuah apartment yang lengkap dengan sofa, bilik tidur, dapur dan sebagainya.
“Duduk,” suara lelaki itu seperti mengarah sahaja lagaknya. Dia duduk santai di sofa, berhadapan Nurul Hijjaz sambil memandang tepat ke wajah gadis itu. Nurul Hijjaz kelihatan serba-salah, namun dia turut duduk di hadapan lelaki itu.
“Tadi tu isteri encik ke? Maaf kalau saya mengganggu,” ucapnya.
“Bukan. Saya masih belum kahwin.” Jawab lelaki itu selamba.
Belum kahwin? Biar betul dia ni. Teruk lelaki zaman sekarang ni, langsung tak fikir halal haram. Kalau betul-betul dah suka, kahwin ajelah. Ini tak, asyik nak mengumpul dosa kering aje, rungut Nurul Hijjaz dalam hati. Sambil mengomel dalam hati, dia membuka beg failnya, lalu dikeluarkan beberapa helai kertas.
“Begini Encik Riffki, berkenaan dengan….” Nurul Hijjaz terus kepada topik utamanya. Dia cuba berlagak tenang meskipun hatinya tidak keruan berhadapan dengan lelaki itu.
Semasa Nurul Hijjaz sibuk menerangkan kepadanya, Riffki asyik memerhatikan gadis itu dalam diam-diam. Entah kenapa, dia pasti dia pernah melihat Nurul Hijjaz sebelum ini. Di mana agaknya? Ligat kepalanya berfikir.
“Bos suruh kita layan klien tu baik-baik. Dia suruh klien tu bayar dengan cek.”
“Berapa?”
“Mereka dah runding harga awal-awal lagi.”
Bibir Riffki menguntum senyuman. Dia sudah ingat di mana dia pernah bertemu Nurul Hijjaz. Agak lama dia merenung Nurul Hijjaz dari atas ke bawah. Cantik juga orangnya. Betulkah dia bekerja dengan Krafria Galeria atau ada kerja lain yang dibuatnya?
“Siapa nama kau?” Riffki mencelah tiba-tba. Nurul Hijjaz tidak terus menjawab. Baru dia teringat yang dia belum memperkenalkan dirinya sejak datang tadi. Mungkin kerana terkejut dengan apa yang baru disaksikannya sebentar tadi.
“Nurul Hijjaz. Panggil saya Hijjaz saja.”
“Nurul Hijjaz?” Sedap nama itu disebut. Sayang kalau gadis secantik dan selembut itu menjaja maruah sendiri kerana wang. Pandai dia berlindung. Siang menjual beli lukisan, malam pula menjual diri di hotel-hotel besar. Tentu pendapatannya lumayan, fikir Riffki. Dia memandang Nurul Hijjaz lagi dengan teliti. Penampilan gadis itu boleh tahan juga. Agak bergaya.
“Macamana? Bila Encik Riffki boleh tunjukkan saya gambar-gambar itu?”
“Semua gambar-gambar tu ada dalam studio. Kalau nak tengok, datang semula esok,” ujar Riffki.
“Boleh saya tahu di mana studio tu?” Lembut nada suara Nurul Hijjaz bertanya.
Riffki tidak terus menjawab. Dia mengeluarkan sekeping kad dari dompetnya, lalu mencampakkannya di atas meja. Wajahnya kelihatan serius.
“Kalau nak datang telefon dulu, sebab studio tu dah ditutup.”
“Kenapa?” Pantas Nurul Hijjaz menanya. Lelaki itu merenungnya agak tajam. Nurul Hijjaz mula serba-salah. Sepatutnya dia tidak harus ambil tahu. Bukan urusannya untuk ambil tahu segala perihal lelaki itu.
“Maaf….” Itu sahaja yang mampu diucapkannya.
* * * *
Dia termenung panjang di kamarnya. Entah mengapa, pertemuan siang tadi membuatkan dia sukar melupakan wajah lelaki itu. Riffki Aidan. Nama itu disebut lagi. Nama yang cukup menarik, tapi orangnya kelihatan begitu sinis. Kasihan juga dia melihat gadis di rumah lelaki itu tadi yang diminta pergi begitu saja. Adakah dia melayan semua gadis begitu?
Oh tuhan, kenapa dengan aku? Kenapa apabila menatap sahaja wajahnya, hatiku jadi berdebar-debar? Kenapa aku seolah-olah pernah melihatnya sebelum ini? Siapa dia sebenarnya? Dia cukup pasti, sebelum ini dia pernah bertemu lelaki itu tapi dia tidak pasti di mana. Ah! Seharusnya dia tidak terkejut melihat gadis yang berada di apartment lelaki itu tadi. Lelaki seperti Riffki Aidan, yang hidup bermandikan wang ringgit tentulah berbeza dengan lelaki-lelaki lain yang berhempas pulas bekerja untuk mengumpul wang ringgit.
Tapi dia tidak boleh lupa renungan sepasang mata yang cukup dingin itu. Meskipun renungan itu cukup hambar, namun masih ada sesuatu yang cukup sukar dijelaskan. Gerak-gerinya menarik hati, tak mustahil dia dikejar ramai gadis.
Deringan telefon di sisi katil, mengejutkan Nurul Hijjaz. Pantas dia mencapai telefon bimbit yang diletakkan di atas meja. Tertera satu nombor yang tidak dikenali. Dahi Nurul Hijjaz berkerut. Nombor siapa ni?
“Hello.”
“Nurul Hijjaz?” Kedengaran suara lelaki di telinganya.
“Ya, siapa ni?”
“Suka bunga tu?” Lembut pertanyaan itu dilemparkan. Nurul Hijjaz terkedu. Bunga? Baru dia teringat jambangan bunga yang diperolehinya siang tadi, tertinggal begitu sahaja di mejanya. Selepas pulang dari rumah Riffki Aidan tadi, dia terus pulang ke rumah. Hampir dia terlupa pada jambangan cantik yang sudah tentunya semakin layu sekarang.
“Kenapa tak jawab?”
“Err siapa ni?” Nurul Hijjaz pura-pura bertanya walhal dia boleh mengagak siapa yang memanggilnya.
“Teruknya awak ni. Semasa datang tempohari, punyalah lembut suara memujuk saya. Sekarang cepat pula lupa.” Suara itu seolah-olah menyindir. Nurul Hijjaz tersenyum sendiri.
“Encik Daniel kan? Saya tak lupa, terima kasih atas pemberian bunga tu. Cantik sekali.”
“Betul suka?”
“Ya suka. Cantik,” Nurul Hijjaz mengulang ayatnya.
“Kalau begitu, Hijjaz kenalah berterima kasih dengan saya.” Daniel tertawa.
“Berterima kasih?”
“Belanja saya makan. Mungkin di tempat yang paling mahal.”
Nurul Hijjaz tertawa. Dia ingin benar bertanya lelaki itu fasal proposal syarikatnya, namun dia segan. Ah lambat laun, aku akan tahu juga.
“Kenapa diam? Tak sudi nak belanja saya?” Daniel seolah menduga.
“Boleh tapi bukan esok, saya ada hal lain esok. Nanti saya beritahu bila, boleh?”
“Tak kisahlah bila, tapi jangan lambat sangat. Saya bukan orang yang sabar.”
Nurul Hijjaz tersenyum lagi. Habislah kopak duit aku nak membelanja orang kaya ni makan, bisik hati kecilnya. Dia ketawa sendiri mengenangkan perbualannya dengan Daniel Iqbal.

No comments:

DEDALU DI HATI - STOK TERHAD!!

DEDALU DI HATI  - STOK TERHAD!!

PESANAN NOVEL DEDALU DI HATI SEDANG DIBUKA SEKARANG!!!

Harga = RM25.90
Kos Pos = RM7 (pos laju)
Total = RM32.90

Emailkan nama dan butiran diri ke arr_nita@yahoo.com.
Pesanan sehingga stok ke 3 ini kehabisan..

NANTIKAN VENOM SURIA DI PESTA BUKU ANTARABANGSA PWTC MULAI 27 APRIL, TERBITAN BUKU PRIMA (RM25.90)

NANTIKAN VENOM SURIA DI PESTA BUKU ANTARABANGSA  PWTC MULAI 27 APRIL, TERBITAN BUKU PRIMA (RM25.90)
Suria gadis ceria dan periang, namun miliki sejarah hitam dalam kelahiran. Yang membuatkan dia diburu dan dijejaki untuk meleraikan sebuah kisah sumpahan, lalu mempertemukan dia dengan dua lelaki berbeza sifat. Izwan jenis yang dingin dan panas baran. Cakapnya harus dipatuhi atau dia akan meletup! Nazrul sentiasa cool tapi punya rahsia terpendam yang menyiksa jiwa. Seorang lelaki ditakdirkan menjadi penyelamat. Seorang lagi ditakdirkan membunuhnya. Kedua-duanya muncul tak diundang, tetapi meninggalkan kesan mendalam. Lalu bermulalah permainan cat and mouse antara mereka sehingga game over!