Followers

Saturday, September 11, 2010

Hujan Rindu : Bab 15

Zaza tersenyum simpul tatkala terpandang kelibat Emir sibuk berbincang dengan Yuzer di ruang tamu. Dia leka mengintai dari celah penjuru biliknya. Sesekali kedengaran Emir tergelak besar bersama abangnya. Zaza turut tertawa, meskipun dia kurang maklum apa sebenarnya yang menggelikan hati kedua-dua lelaki itu.

Namun dia cukup gembira dengan kehadiran Emir malam itu. Sejak lelaki itu melawatnya di kampus pada awal-awal tahun pengajiannya di universiti, dia jadi rindu untuk menatap wajah Emir semula. Mahu menelefon rakan baik abangnya itu, dia malu. Nanti apa pula sangkaan Emir terhadapnya. Entah kenapa dia jadi begitu. Menyukai rakan abangnya sendiri. Bukan sehari dua dia mengenali Emir. Sejak Yuzer balik dari luar negara dan memperkenalkan Emir pada seluruh keluarganya di kampung, dia mula meminati anak muda segak bercermin mata nipis itu. Tak tahu kenapa, jantungnya berdebar-debar kencang tatkala berhadapan dengan Emir.

Kerana terlalu asyik mengintai, Zaza tidak sengaja tersepak bucu dinding yang agak tajam. Dia mengaduh kesakitan tanpa sedar. Pantas dia tunduk lalu menggosok hujung ibu jari yang sudah merah macam saga. Suara Zaza menarik perhatian Yuzer dan Emir yang rancak berbual di ruang tamu.

Yuzer terkejut besar apabila melihat kelibat Zaza menunduk di suatu sudut. “Zaza, kenapa ni?” Tanya Yuzer agak bimbang. Zaza yang terkejut mendengar suara Yuzer, pantas mendongak. Namun matanya bertembung pandang dengan wajah Emir yang berkerut. Alamak, malunya! Zaza sudah tidak tahu hendak disorok ke mana mukanya.

“Err abang, Zaza terjatuh tadi.” Jawabnya dalam serba-salah. Yuzer membulatkan matan. Terjatuh? Dia mengerling Emir yang hanya tersenyum simpul.

“Dah besar-besar panjang pun tak tahu berjalan lagi?” sindir Yuzer sambil berlalu pergi. Zaza yang mendengar kata-kata Yuzer segera mengetapkan bibirnya. Geram dengan sikap Yuzer yang tak mahu membantu, sebaliknya menambahkan lagi rasa segannya pada Emir.

“Mari saya tolong Zaza,” ucap Emir lalu menghulurkan tangannya.

Zaza terpaku. Mata Emir memandangnya sambil tersenyum membuatkan hati Zaza sedikit sebanyak terbuai. Tanpa dia sedar, tangannya sudah menyambut huluran tangan lelaki itu. Emir segera membantu anak gadis itu bangun lalu menghelanya ke arah ruang tamu. Yuzer sudah menghilang entah ke mana.

“Duduk sini,” suruh Emir lembut. Zaza hanya menurut tanpa banyak soal. Sesekali mata Emir merenung Zaza sambil mengerutkan dahinya. Lama.

“Kenapa Emir pandang Zaza macam tu?” Soal Zaza malu-malu.

“Tak, saya cuma nak tahu Zaza demam ke?”

“Demam? Kenapa?” Zaza terpinga-pinga tidak mengerti.

“Tak adalah, saya hairan kenapa tangan Zaza sejuk semacam aje?” Soal Emir selamba. Zaza tergaman. Alamak, dalam banyak-banyak soalan, kenapa soalan ini yang ditanyanya? Aduh! Lagi sekali dia malu. Zaza memegang pergelangan tangannya. Sejuk sangatkah tangannya sampai Emir pun boleh perasan?

“Err…Emir buat apa kat sini?” Tanya Zaza, sengaja mahu menutup gundah gulana di hati.

“Buat apa lagi, kalau bukan fasal Grand Suri? Zaza kan tahu perangai Yuzer bagaimana. Kalau sesuatu perkara tu tak selesai, sampai ke malam pun dia sanggup berbincang.” Emir tersengih.

“Hmm abang memang macam tu.” Cebik Zaza. Dia faham sangat perangai Yuzer yang teliti dan cerewet. Kasihan Emir dibuli abangnya. Begitulah yang tertera dalam kotak fikiran Zaza ketika itu.

Tengah rancak berbual-bual dengan Emir, Zaza terpandang kelibat Yuzer keluar dari bilik dengan kemeja-t kasual dan jean. Melihat Yuzer, Emir bingkas bangun dari kerusi yang didudukinya.

“Dah siap?” Soal Emir, membuatkan Zaza terpinga-pinga.

“Nak ke mana ni?” Tanya Zaza pula sambil memandang abangnya dengan raut wajah aneh. Yuzer hanya mendengus.

“Abang dengan Emir nak keluar minum sekejap. Malam nanti abang belikan makanan untuk Zaza.” Ucap Yuzer serius. “Zaza duduk rumah baik-baik, pastikan kunci semua pintu. Lagi satu buat ulangkaji, bukan tidur memanjang.” Pesanan Yuzer membuatkan Emir tersenyum kecil.

“Apalah abang ni, Zaza pun nak ikut jugak.” Rengek Zaza tanpa malu. Bosan dia kerana sepanjang hari asyik memerap di rumah.

“Tak boleh. Hari tu Zaza kata nak tinggal di sini sebab nak study, now concentrate pada study saja, jangan asyik nak melencong pada benda lain,” leter Yuzer tidak sudah-sudah. Dia pura-pura tidak nampak mulut Zaza yang mencebik ke arahnya. Bagi Yuzer, gadis itu harus didisiplinkan seperti mana dia dulu.

“Ala, abang ni tak sporting langsung. Zaza dah bosan asyik memerap dengan buku-buku ni semua. Exam ni pun lambat lagi, minggu depan.” Pujuk Zaza. Besar harapannya lelaki itu membenarkannya ikut serta. Lagi pula, apa-apa sahaja peluang yang bakal mendekatkan dirinya dengan Emir akan dirembatnya.

“Jangan nak mengada-ngada boleh tak? Cubalah untuk sekali ni, Zaza dengar cakap abang. Lagipun abang dan Emir ada banyak hal nak dibincangkan. Kalau Zaza ada sekali, satu apa pun takkan jadi.” Sanggah Yuzer tetap tidak bersetuju.

Zaza mengerutkan wajahnya bagaikan mahu menangis. Hilang sudah rasa terujanya mahu menyertai keduanya makan malam, berganti dengan rasa hampa kerana sikap keras kepala Yuzer. Emir yang memerhatikan perang dingin itu hanya mampu menarik nafas panjang. Timbul rasa kasihannya pada Zaza. Tapi apakan daya, dia sendiri tidak berani meningkah kata-kata Yuzer.

* * * *

Sebaik memasuki restoran itu, Yuzer dan Emir segera menempati sebuah meja di suatu sudut. Kehadiran keduanya menarik perhatian dua anak gadis yang sedang minum tidak jauh dari situ. Salah seorang darinya mengerdip-gerdipkan kelopak matanya bagaikan tidak percaya melihat kedua lelaki yang baru singgah.

“Siapa tu Melly?” Tanya seorang gadis kurus ramping pada temannya.

Melina sekadar tersenyum simpul. Namun matanya tidak lepas memandang kedua lelaki yang baru muncul itu.

“Sekejap Effa, I nak ke sana sekejap. I baru jumpa orang kampung I,” bisik Melina seraya bingkas bangun. Terpinga-pinga Effa melihat gadis itu berlenggang pergi meninggalkannya.

“Hai Yuz, Emir,” sapa Melina riang. Yuzer yang sedang asyik berbual-bual dengan Emir terkejut melihat kehadiran Melina di situ secara tiba-tiba. Dia memandang Emir yang hanya menjongket bahu.

“Takkan terkejut tengok I.” Tanpa disuruh, Melina menarik kerusi lalu duduk. Wajah Yuzer direnung tidak berganjak. Yuzer diam sahaja.

“You buat apa kat sini Melly?” Tegur Emir apabila dilihatnya Yuzer seolah tidak berminat mahu melayan Melina.

“I dinner dengan kawan kat hujung sana.” Ujar Melina seraya menunjuk ke suatu arah. Emir berpaling. Seorang gadis berambut kerinting separas pinggang dan bertubuh kurus melengking sedang melambai ke arah mereka.

Melina kembali memandang Yuzer yang acuh tak acuh melihatnya. Dia tahu lelaki itu masih marah padanya setelah apa yang berlaku dulu. Dia tidak salahkan Yuzer. Memang dia yang menjadi punca hubungan mereka retak dulu.

“Yuz, papa I kata you ada balik kampung minggu sudah.” Ucap Melina, cuba menyusun bicara.

Yuzer menoleh memandang gadis itu. Senyuman Melina sama macam dulu. Hanya perasaannya saja yang cepat berubah terhadap gadis itu. “I ada balik. Tapi you ke mana sampaikan tak ada masa menjenguk datuk dan nenek you?” Sindir Yuzer.

“I sibuk dengan kerja. I thought my father dah explain pada datuk dan nenek. I really busy Yuz.” Balas Melina cuba mempertahankan diri.

“You busy dengan kerja ke atau busy dengan parti-parti you tu? Bukankah itu yang menjadi kegemaran you saban malam?” Dengus Yuzer. Emir yang menjadi pemerhati kelihatan serba salah dengan situasi yang kian meruncing.

Melina terdiam. Dia memandang Yuzer dengan nafas berat. Entah kenapa, sikap Yuzer terhadapnya sejak dua tahun yang lalu semakin jauh berubah. Lelaki itu bukan lagi Yuzer yang dikenalinya sejak kecil. Entah apa silapnya, hubungan mereka kini semakin jauh renggang.

“I nak kita putuskan hubungan.” Ucap Yuzer dua tahun yang lalu.

“Tapi kenapa?”

“Melly, kalau you tetap dengan sikap you macam ni, clubbing sana sini lepas tu mabuk-mabuk, I tak rasa you serius dengan hubungan kita. Lebih baik kita ikut haluan masing-masing.” Putuz Yuzer.

“Yuz, I sayangkan you. I sayangkan hubungan kita ni. I tahu I salah, tapi tolong bagi I peluang. Demi you I akan berubah!” Itulah janji yang kerap ditaburnya pada Yuzer. Namun janji hanya tinggal janji. Tak sampai dua minggu berjanji, dia akan tetap dengan tabiat lamanya. Kerana itu Yuzer membulatkan tekad dan pasrah memutuskan hubungan mereka.

“Sudahlah Melly, kita dah ikut arah kita masing-masing. Walaupun kita dah putus, tapi kita masih ada talian persaudaraan. I cuma nak you berubah. Jangan bawa cara hidup barat you tu masuk dalam keluarga kita dan tolong hormati datuk dengan nenek you. You satu-satunya cucu diaorang.” Kata-kata Yuzer memutuskan lamunan Melina. Dia merenung anak muda itu dalam-dalam. Wajah Yuzer kelihatan serius memandangnya.

“Kalau you datang sebagai sahabat, pintu hati I sentiasa terbuka buat selama-lamanya. Tapi kalau you datang sekadar nak merayu..memujuk, you hanya membuang masa Melly.” Ujar Yuzer. Dia tidak sanggup memencilkan Melina selama-lamanya. Bagaimana dia mahu mengelakkan diri dari gadis itu, sedangkan Melina tetap bersaudara dengannya. Dan dia pasti akan bertembung gadis itu lagi meskipun bukan di Kuala Lumpur.

“Yuz, susah sangat kah you nak bagi I peluang? I masih sayangkan hubungan kita.” Pujuk Melina lagi. Dia benar-benar mahu balik pada lelaki itu. Lagipun selepas perpisahan mereka dahulu, hatinya sering terkenangkan Yuzer.

“Kalau peluang yang you hendak, dua tahun yang lalu I dah beri you peluang Melly. Tapi you tak pandai hargai apa yang ada di sekeliling you. Cara hidup you ni dah jauh terpesong. Baliklah semula pada asal usul kita. Jangan you agung-agungkan budaya luar yang hanya masuk mencemar apa yang menjadi santun dalam hidup orang melayu macam kita.” Ujar Yuzer lagi tenang. Ungkapan itu sering diungkapkan meskipun tidak sekalipun kata-katanya masuk ke dalam fikiran anak gadis di hadapannya.

Melina hanya mampu menarik nafas panjang. Kedegilan Yuzer bukan baru kali ini dilihatnya, tapi sudah berkali-kali. Kadang-kala dia selalu merungut kerana sikap Yuzer yang tidak gemar clubbing, tidak gemar ke disko, tidak gemar menemaninya bershopping di Mall dan tidak gemar juga menghabiskan masa menonton wayang. Semua kegemarannya kontras sekali dengan apa yang dilakukan lelaki itu. Huh kolot betul! Dia sering merungut begitu dahulu.

Tapi itu dulu. Kini bila mereka berpisah, dia sering merindukan kehadiran Yuzer. Sejak kecil dia pernah membesar bersama-sama Yuzer kerana hubungan keluarga mereka. Dan sejak dulu sikap Yuzer amat keras terhadapnya. Tapi dia tidak pernah kisah dengan layanan lelaki itu terhadapnya. Ketika itu, dia hanya tahu yang dia menyukai Yuzer. Menyukai kebaikan hati Yuzer, menyukai kedinginan wajah Yuzer dan juga menyukai sikap dominan Yuzer terhadapnya. Meskipun dia tahu Yuzer tidak sepenuh hati menyukainya, tapi dia tidak pernah bertanya kenapa lelaki itu sanggup menerima luahan hatinya dulu.

* * * *

“Betul hubungan kau dengan Melly dah tak boleh diperbetulkan semula?” Tanya Emir sewaktu Melina menghindar dari meja mereka. Dia merenung wajah Yuzer yang nampak selamba sambil menyantap hidangan enak di hadapan mereka. Lelaki itu berhenti menyuap. Bulat mata Yuzer menikam ke wajah sahabatnya. Emir hanya tersengih. Bukan niatnya mahu mencampuri urusan Yuzer, namun kadang-kadang dia kasihan dengan Melina. Meskipun sikap Melina agak moden, tapi gadis itu sebenarnya agak baik orangnya.

“Aku dan dia tak sesuai langsung.” Jawab Yuzer acuh tak acuh.

“Tak sesuai? Kalau tidak kenapa kau sanggup terima dia dulu?”

Yuzer terdiam. Betul juga! Jika difikirkan sedalam-dalamnya, hubungan yang terjalin antaranya dengan Melina sebenarnya tidak pernah wujud sama sekali. Malah dalam hubungan mereka tidak pernah dihiasi dengan ungkapan kata-kata kasih atau sayang. Juga tidak pernah ada bibit-bibit romantik yang mewarnai sebuah cinta seperti kelaziman.

Waktu itu dia hanya tahu mengajak Melina makan malam bersama atau sesekali menemani gadis itu membeli belah meskipun dia sebenarnya benci berada di tempat sibuk seperti pusat beli belah. Yang bagusnya Melina ketika itu tidak pernah merungut dengan rutin mingguan mereka. Malah jika gadis itu berhibur bersama teman-temannya di disko, gadis itu akan memberitahunya tapi tidak pernah mempelawanya sekali. Mungkin Melina sudah maklum dengan sikapnya sendiri. Lagipun bukankah mereka berasal dari galur keluarga yang sama?

“Kenapa kau diam?” Soal Emir lagi. Sikap Yuzer entah kenapa dirasakannya cukup berahsia kali ini. Sejak dulu dia sebagai sahabat cukup sukar mahu menjangkau perasaan hati Yuzer. Dahulu dia memang terkejut bila tahu Yuzer sering keluar bersama Melina. Apatah lagi dia sendiri faham dengan citarasa Yuzer. Tak mungkin Yuzer akan menyukai Melina yang berbeza sekali sikapnya. Tapi melihat hubungan itu berlanjutan sehingga setahun lamanya, dia sudah tidak boleh kata apa. Sangkanya ketika itu kedua-duanya sememangnya dilamun cinta.

Tapi hujan tiada, ribut pun tiada…tiba-tiba sahaja hubungan mereka terlerai tanpa Yuzer jelaskan kenapa. Menurut Yuzer, Melina terlalu kuat bersosial. Tapi menurut pendapat Emir sendiri, punca hubungan itu retak kerana tidak pernah ada cinta di hati Yuzer untuk Melina. Itulah yang mencambahkan rasa simpatinya pada Melina sebenarnya.

“Aku tak suka kita bincangkan hal yang dah lama berlalu Emir.” Jawab Yuzer serius. Emir tersenyum kecil. Elaklah lagi, bukankah ini yang selalu kau lakukan sejak dulu? Bisik hati kecil Emir.

Melihat wajah keruh Yuzer, Emir menyambung kembali makannya yang tergendala. Tidak sanggup rasanya dia mencari fasal dengan temannya itu bila Yuzer sendiri terang-terangan tidak suka halnya dibicarakan.

* * * *

Bingkai wajah yang setia menghiasi mejanya dipandang serba tidak kena. Ada rasa resah yang menjerut tangkai hatinya. Dia menarik nafas panjang berulang kali.

Sejak beberapa minggu ini, dia sendiri tidak tahu kenapa ketenangan hatinya sering tergugat. Sejak dia balik dari US beberapa minggu yang lalu, dia sudah tidak betah meneruskan kerja-kerjanya seperti biasa. Hatinya teramat ingin terbang kembali ke US, tapi apakan daya. Syarikatnya masih memerlukan tampuk pimpinannya.

Seorang wanita tiba-tiba menerpa masuk ke biliknya. Dia segera menoleh. Bingkai gambar itu diletakkan kembali ke tempatnya.

“Mandy, kenapa ni?” Soalnya hairan. Wajah setiausahanya nampak cemas.

“Encik Razman, ada faks dari US. Urgent! I think it’s from your wife.” Bisik Mandy. Razman tergaman. US? Apakah ada sesuatu berlaku pada Marion? Dia segera mencapai kertas yang baru diserahkan oleh Mandy. Satu-persatu ayat yang tertera di dalam kertas tersebut dibaca dengan teliti. Wajahnya cepat berubah. Dadanya bergolak kencang. Razman terduduk lemah di kerusinya.

“Anything happen, Encik Razman? Is it Marion?” Soal Mandy, juga risau. Dia sendiri tidak sempat membaca isi faks tersebut.

Razman menggelengkan kepalanya. Dia memandang Mandy tidak berkelip. “Bukan Marion, Mandy. Sufiyah.” Sebut Razman lambat-lambat.

“Puan Sufiyah? Kenapa dengan Puan Sufiyah?” Gadis berketurunan serani itu kelihatan hairan.

Razman diam sahaja. Dia memandang Mandy. “Mandy, can you leave me for a while? I nak bercakap dengan Marion sendirian.” Pinta Razman. Seperti memahami situasi yang sedang berlaku, Mandy segera beredar.

Razman cuba menghubungi Marion di US. Biarpun terpaksa menunggu lama, dia sabar menanti. Apabila panggilannya berjaya di sambungkan, dia mengeluh lega.

“Mar, its me. I nak you explain pada I, apa sebenarnya dah berlaku?”

Mendengar kata-kata wanita itu dihujung talian, nafas Razman tersentap. “You tak boleh biarkan mereka lakukan itu Mar. You have to stop them. Itu rumah Anum, satu-satunya rumah milik Sufiyah dan Patrick. Apa kata Anum tentang hal ni? Apa? Anum ada di sini? Di mana?” Wajah Razman pucat lesi. Terkejut mendengar berita yang baru disampaikan oleh Marion.

Klik! Talian diputuskan. Razman termenung panjang. Anum! Dia tidak menyangka yang Anum Dahlia akan keras hati ke mari, meskipun sudah dihalang.

“Kita tak boleh halang Anum dari melaksanakan janjinya pada Sufiyah, Man. You lebih tahu itu. You tahu bagaimana perasaan Sufiyah selama ini bukan? Selama ini dia tidak pernah gembira bersama kita semua. Hatinya menderita. Hanya Anum yang boleh menyembuhkan derita mamanya.” Kata-kata Marion suatu ketika dulu, mengingatkan dia kembali pada dosa-dosa yang pernah dilakukannya. Oh tuhan, aku telah banyak melakukan kesilapan pada Sufiyah. Aku pohon padaMU agar kau bebaskan dia dari penderitaan yang aku tiupkan dalam hidupnya suatu ketika dulu.

“Mandy, tolong book flight untuk I ke US secepat yang mungkin.” Ujar Razman melalui interkom. “Satu lagi, I nak you call Ibrar, suruh dia jumpa I sekarang. I nak dia buat sesuatu untuk I.” Arah Razman. Mandy hanya menggangguk tanda faham.

No comments:

DEDALU DI HATI - STOK TERHAD!!

DEDALU DI HATI  - STOK TERHAD!!

PESANAN NOVEL DEDALU DI HATI SEDANG DIBUKA SEKARANG!!!

Harga = RM25.90
Kos Pos = RM7 (pos laju)
Total = RM32.90

Emailkan nama dan butiran diri ke arr_nita@yahoo.com.
Pesanan sehingga stok ke 3 ini kehabisan..

NANTIKAN VENOM SURIA DI PESTA BUKU ANTARABANGSA PWTC MULAI 27 APRIL, TERBITAN BUKU PRIMA (RM25.90)

NANTIKAN VENOM SURIA DI PESTA BUKU ANTARABANGSA  PWTC MULAI 27 APRIL, TERBITAN BUKU PRIMA (RM25.90)
Suria gadis ceria dan periang, namun miliki sejarah hitam dalam kelahiran. Yang membuatkan dia diburu dan dijejaki untuk meleraikan sebuah kisah sumpahan, lalu mempertemukan dia dengan dua lelaki berbeza sifat. Izwan jenis yang dingin dan panas baran. Cakapnya harus dipatuhi atau dia akan meletup! Nazrul sentiasa cool tapi punya rahsia terpendam yang menyiksa jiwa. Seorang lelaki ditakdirkan menjadi penyelamat. Seorang lagi ditakdirkan membunuhnya. Kedua-duanya muncul tak diundang, tetapi meninggalkan kesan mendalam. Lalu bermulalah permainan cat and mouse antara mereka sehingga game over!