Followers

Wednesday, July 14, 2010

Mitos Cinta Suria : Bab 18

Haqimi menghirup air yang masih banyak di gelasnya perlahan-lahan. Suria yang sabar menanti sejak tadi, asyik memandang lelaki itu. Nafas Haqimi yang tercungap-cungap ketika baru sampai tadi, kini sudah beransur lega. Lelaki itu memandangnya sekilas sebelum mengeluarkan sebuah fail yang agak tebal isinya dari dalam beg sandangnya. Fail-fail itu diletakkan di hadapannya.

“Aku dah bawa salinan maklumat yang kau mahukan tu. Tapi kenapa kau minta maklumat ni?” Soal Haqimi ingin tahu.

Suria tidak menjawab. Tanpa membuang masa, dia membelek kandungan fail berwarna kuning air di hadapannya. Setiap helaian dibelek dengan teliti. Terdapat hampir lima puluh helaian kertas semuanya. Aduh banyak juga!

Setelah agak lama menatap isi kandungan fail tersebut, mata Suria tiba-tiba tertarik pada wajah seorang perempuan berusia dalam lingkungan 20an yang terpapar pada dada potret. Orangnya manis dengan senyuman menawan. Rambutnya mengurai panjang sehingga ke pinggang.

Ingatan Suria tiba-tiba menerpa pada satu kelibat tubuh yang dilihatnya di luar jendela biliknya malam semalam. Lembaga itu juga memiliki rambut panjang separas pinggang yang hitam berkilat. Suria menggelengkan kepala. Ah apa yang aku merepek ni! Tak mungkin perempuan yang aku lihat itu seiras dengan gadis dalam gambar ini. Itu hanya bayangan aku saja. Entah betul entah tidak! Dia menolak kemungkinan itu.

Mata Suria menilik pula pada caption yang tertera di sebelah bawah gambar. Masyitah Kassim. Hilang pada 12 Mei 2008. Termasuk hari ini, sudah hampir dua minggu lebih dia hilang. Dahi Suria segera berkerut. Ada sesuatu yang terdetik di fikirannya.

“Masyitah ni hilang kat mana Qimi?” Soal Suria ingin tahu. Haqimi menjengah gambar yang ada di tangan Suria.

“Menurut laporan kehilangannya, dia hilang semasa dalam perjalanan pulang dari tempat kerja. Kakaknya yang buat report. Alamat kakaknya ada dalam fail tu.”

Suria meneliti lagi. Syah Alam! Dekat aje. Dia termenung panjang sehingga tidak sedar Haqimi asyik memerhatikannya.

“Suria…” panggil Haqimi perlahan. Suria segera menoleh.

“Aku nak tahu kenapa kau minta senarai nama-nama ni? Apa ia ada kaitan dengan kes kat Puchong tu?” Soal Haqimi ingin tahu.

Suria tersenyum. Wajah lelaki berkulit hitam manis itu dipandang lama.

“Ingat lagi tak jam yang aku sebut hari tu?”

Haqimi mengangguk sambil mengerutkan dahinya. “Kenapa dengan jam tu?”

“Aku dah jumpa jam tu.” Suria tersenyum. Haqimi melopong.

“Aku percaya jam tu milik mangsa yang mati. Di belakang jam tu ada terukir nama MK. Mungkin ia milik salah satu nama orang yang hilang di dalam fail ni yang bermula dengan initial MK. Manalah kita tahu kan.” Jelas Suria menampakkan keyakinan.

“Macamana kau tahu mayat yang kami jumpa tempohari adalah salah seorang dari gadis –gadis yang hilang dalam fail polis?” Haqimi mengerutkan dahinya.

Suria menarik nafas panjang. “Aku sebenarnya agak aje. Lagipun aku percaya, gadis itu dibawa ke kawasan hutan itu pasti ada sebabnya. Macam kau kata dulu, kalau ada orang nak membunuh gadis itu, biar apa saja motifnya pasti akan menyorokkan mayatnya atau sekurang-kurangnya menanamnya bukan? Lagi-lagi gadis itu dibunuh di tempat yang agak jauh dari kawasan bandar. Tapi dalam kes ini, mayat itu sekadar dihumban begitu saja berdekatan pokok tu.”

“Katakan si pembunuh ni berdendam dengan gadis ni. Bagaimana dia boleh berusaha membawa gadis ini sehingga ke kawasan hutan tu?” Dia menyoal Haqimi.

“Mungkin dengan pertolongan kawan subahat?” Duga Haqimi.

“Kawan subahat? Bermakna pembunuhan ini pembunuhan yang telah dirancang bukan? Jika ianya dirancang terlebih dahulu, si pembunuh biasanya akan memastikan segalanya berjalan dengan lancar untuk mengelakkan risiko. Jadi dia akan mengambil jalan mudah dengan menculik gadis ini dari mana sahaja, dan membawanya ke tempat kejadian. Dan biasanya kerana nalurinya yakin tempat itu selamat untuk dia menjalankan niat jahatnya, maka dia takkan tergesa-gesa membunuh mangsa itu. Pasti dia akan menyeksa mangsa itu terlebih dahulu dan dia akan rasa seronok melihat mangsa dalam ketakutan. Sebab itu aku agak semua laporan tentang mangsa yang hilang dalam tempoh tiga minggu terawal, patut kita berikan tumpuan untuk mencari siapa pemilik jam tu sebenarnya.” Jelas Suria panajng lebar.

Haqimi terdiam. Ada logiknya juga cakap-cakap Suria itu.

“Ada beberapa rakan aku yang mengikut Tuan Izwan berbual tentang kes ni. Mereka kata laporan lengkap koroner dah keluar kelmarin. Ada yang pelik dengan laporan tu.”

“Pelik yang macamana?” Dahi Suria berkerut. Kata-kata Haqimi benar-benar menarik minatnya.

Haqimi tidak terus menjawab. Sebaliknya dia memandang ke kiri dan ke kanannya. Dia bimbang kalau-kalau ada orang mencuri dengar perbualan mereka secara tidak sengaja.

“Kau sendiri nampak gambar tu bukan? Muka mangsa tu habis hancur. Dan tubuh dia pulak dirobek-robek. Pihak koroner berpendapat, kematian mangsa bukan akibat dibaham binatang buas. Tak ada sebarang bukti yang boleh mengaitkan kematian gadis itu dengan bintang buas.”

“Habis tu? Dia dibunuh?” Soal Suria. Dia semakin berminat mahu mendengar cerita Haqimi.

“Aku dengar darah mangsa dihirup sebelum mati. Tapi apa atau siapa yang membunuhnya gadis itu, masih menjadi misteri. Pihak koroner sendiri bingung dengan peleraian kes ini.”

Suria tercengang mendengar kata-kata Haqimi. “Kau kata apa tadi? Darah mangsa dihirup?”

Haqimi mengangguk. “Begitulah yang aku dengar. Pihak siasatan khas tak pernah membincangkan kes ni dengan unit-unit lain. Mereka seolah-olah berahsia. Aku dengar mereka berurusan terus dengan satu unit risikan rahsia.” Bisik Haqimi.

“Apa kaitan kes ni dengan unit risikan? Kita bukan bercakap tentang sesuatu kultus ajaran sesat bukan?” Suria memandang Haqimi. Ada rasa hairan menjengah di fikirannya saat itu. Jika ini sekadar pembunuhan biasa, kenapa perlu ada campurtangan pihak risikan?

“Susah nak kata, kemungkinan besar mungkin betul. Aku pernah dengar tentang kes tujuh tahun lalu yang melibatkan kultus ajaran Pondok Hitam di Kelantan. Mereka meminum darah gadis-gadis muda sebagai salah satu bentuk pemujaan terhadap sesuatu entiti. Setelah pihak polis membuat serbuan di markas mereka, mereka menemukan satu lubang besar yang mengandungi tulang gadis-gadis yang mati dibunuh, kononnya sebagai tanda pengorbanan untuk puak mereka.” Balas Haqimi.

“Tapi Pondok Hitam dah tujuh tahun berkubur Qimi. Tempat tu dah tak wujud lagi. Pengikut-pengikutnya pun dah ditangkap polis.” Ujar Suria. Dia sendiri pernah membaca laporan tentang kumpulan Pondok Hitam yang diketuai Pak Man Musang, lelaki tua yang mengaku pemimpin manusia yang boleh memandu manusia ke alam akhirat.

“Betul, tapi aku percaya masih ada beberapa kultus yang sedang bergerak aktif di negara kita ni. Berselindung di sebalik nama kebaikan sedangkan pada dasarnya mereka semuanya penganut syaitan. Ketua aku pernah bercerita tentang kejadian pembunuhan beramai-ramai yang berlaku di sebuah kampung di selatan Johor berpuluh tahun yang lalu. Fail kes itu sehingga sekarang tak ada sebarang penyelesaian. Habis begitu sahaja.”

“Pihak polis percaya pembunuhan itu dilakukan oleh orang-orang mereka sendiri yang mungkin takut tempat mereka diserbu pihak berkuasa. Sama seperti Pondok Hitam, mereka mengorbankan orang-orang yang tak berdosa demi kepercayaan yang mereka anuti.” Sambung Haqimi lagi.

Suria terdiam. Pendapat Haqimi cuba dicerna sebaik mungkin. “Jadi kau yakin kejadian pembunuhan ini disebabkan oleh ajaran sesat?” Tanya Suria ingin tahu.

“Kemungkinan besar. Aku berani jamin, corak pembunuhan agak sama dengan beberapa kes yang pernah berlaku sebelum ini.” Haqimi mengangguk.

“Maksud kau Qimi, sebelum ini dah ada pembunuhan yang macam ni?” Suria terkejut. Kenapa dia tidak pernah tahu?

Haqimi mengangguk. “Ada beberapa kes pelik yang berlaku di Johor beberapa bulan yang lalu. Kematian mangsa-mangsa itu sama dengan yang berlaku di sini. Tapi pihak polis cuba rahsiakan perkara ni dari orang ramai. Mungkin tak mahu timbulkan panik. Kau jangan pulak siarkan apa yang aku sebut ni. Mati aku nanti.” Haqimi mengerling ke arah Suria yang termenung panjang. Risau juga dia jika maklumat yang dibekalkannya akan disiarkan oleh Suria sebagai bahan berita. Masak dia nanti dikukus oleh ketuanya hidup-hidup.

“Suria, kau dengar tak ni?” Haqimi meninggikan suara apabila dilihatnya gadis itu seperti memikirkan sesuatu. Suria menoleh.

“Aku rasa baik kau jangan campur dalam kes ni Suria. Hati aku rasa tak sedap biarkan kau siasat kes ni senyap-senyap. Aku rasa kau patut serahkan semua bahan bukti yang kau ambil tu pada Tuan Izwan.” Cadang Haqimi.

“Janganlah bimbang. Insya Allah setelah aku selesai gunakan bahan bukti ni, aku akan serahkan pada polis. Tapi sebelum tu aku nak ke satu tempat dulu.” Suria bingkas bangun. Haqimi terpinga-pinga melihat gadis itu mencapai beg sandangnya lalu disarung ke bahu.

“Nak pergi mana ni?” Haqimi mengerutkan dahinya.

“Cari orang!” Jawab Suria tenang. Langkahnya segera dihela meninggalkan Haqimi yang terpinga-pinga tidak mengerti.

No comments:

DEDALU DI HATI - STOK TERHAD!!

DEDALU DI HATI  - STOK TERHAD!!

PESANAN NOVEL DEDALU DI HATI SEDANG DIBUKA SEKARANG!!!

Harga = RM25.90
Kos Pos = RM7 (pos laju)
Total = RM32.90

Emailkan nama dan butiran diri ke arr_nita@yahoo.com.
Pesanan sehingga stok ke 3 ini kehabisan..

NANTIKAN VENOM SURIA DI PESTA BUKU ANTARABANGSA PWTC MULAI 27 APRIL, TERBITAN BUKU PRIMA (RM25.90)

NANTIKAN VENOM SURIA DI PESTA BUKU ANTARABANGSA  PWTC MULAI 27 APRIL, TERBITAN BUKU PRIMA (RM25.90)
Suria gadis ceria dan periang, namun miliki sejarah hitam dalam kelahiran. Yang membuatkan dia diburu dan dijejaki untuk meleraikan sebuah kisah sumpahan, lalu mempertemukan dia dengan dua lelaki berbeza sifat. Izwan jenis yang dingin dan panas baran. Cakapnya harus dipatuhi atau dia akan meletup! Nazrul sentiasa cool tapi punya rahsia terpendam yang menyiksa jiwa. Seorang lelaki ditakdirkan menjadi penyelamat. Seorang lagi ditakdirkan membunuhnya. Kedua-duanya muncul tak diundang, tetapi meninggalkan kesan mendalam. Lalu bermulalah permainan cat and mouse antara mereka sehingga game over!