Followers

Tuesday, June 29, 2010

Arina : Bab 15

NAKHAEL menguak pintu biliknya lalu melangkah masuk. Tubuhnya dihempas ke atas katilnya. Dia memejamkan matanya buat seketika. Kepenatan membuatkan dia ingin tidur. Tapi baru sahaja dia mahu melelapkan mata, suara ketawa seorang gadis menyentak emosinya. Dia membuka mata. Namun wajah itu masih menari-nari di ruang mata.

“Nakh…” panggilan itu ditujukan untuknya. Dia berpaling. Melihat gadis itu berdiri di hadapannya entah sejak bila..dia segera mendongak lalu merenung sepasang wajah jernih yang sering memukau perasaan.

“Aku tak bermaksud..”

“Jangan…” dia melarang sebelum sempat kata-kata itu dihabiskan. “Kau kena pilih di pihak mana kau mahu curahkan kesetiaan kau. Pada ibu dan abang kau sendiri atau pada orang jahat itu?”

“Kau bercakap seperti Alwiz…sebelum dia memilih untuk membuang dan membenci aku seperti orang lain.” Bisik suara sendu itu.

Dia bingkas bangun lalu melangkah ke arah gadis itu. Memegang kedua-dua penjuru bahu sebelum dihadap ke arahnya. Wajah gadis di hadapannya diratah dari setiap penjuru.

“Aku tidak pernah membuang kau atau membenci kau. Mustahil aku akan membenci gadis yang pernah menyelamatkan nyawa aku. Aku juga tidak rasa Alwiz begitu. Berikanlah dia masa..suatu hari nanti dia akan sedar bahawa dia telah melepaskan sesuatu yang amat berharga dalam hidupnya.” Dia berbisik.

Mata di hadapannya jelas ditakungi air jernih. Dia terpaku menatap sendu yang terpamer di hadapannya. Dan secara tiba-tiba, tubuh kecil itu diraih ke pangkuannya lalu didakap erat. Gadis itu hanya membiarkan.

“Jangan tinggalkan aku Nakh…jangan membenci aku.”

“Tidak aku takkan..”

“Aku bersalah pada Alwiz..”

“Ini bukan salah sesiapa. Ini permainan takdir. kau berdua mempunyai takdir yang tak mampu dielakkan. Samaada kau hadapinya dengan berani atau kau lupakannya sahaja.”

Daun pintu biliknya dikuak dari luar. Nakhael berpaling. Jerry berdiri di tepi pintu seraya memandangnya. Pandangan mereka bertaut. Nakhael segera mengalihkan pandangan lalu menarik nafas panjang. Wajah si gadis menghilang seperti debu. Namun tangisan itu masih terhimbau-himbau di telinganya.

“Tak boleh tidur?” Tanya Jerry lembut.

Nakhael menggelengkan kepala sambil tersenyum hambar.

“Dah lama sangat kau macam ni. Kau kena tidur Nakh atau otak kau akan meletup sebelum sempat kita berhadapan dengan Kreuk.” Ujar Jerry lalu melangkah masuk. Kata-kata Jerry mengamit senyuman hambar di bibir Nakhael.

“Kita takkan berhadapan dengan Kreuk selagi kita tak satukan kembali kesemua kawan-kawan kita Jerry. Dan selagi itu tak terjadi, aku takkan boleh tidur dengan tenang walau hanya seminit.” Dia bingkas bangun lalu menuju ke arah sebuah meja. Laci di dalam meja tersebut ditarik. Sebotol ubat dan sebatang picagari di bawa ke arah katilnya semula.

Jerry memerhatikan sahaja gerak geri Nakhael sewaktu lelaki itu mencucuk jarum picagari pada botol ubat tersebut. Dia menarik nafas panjang.

“Nakh, jangan selalu buat begini. Aku benar-benar risaukan kau. Kali terakhir kau ambil benda ni, kau tidur hampir seminggu lamanya. Kami semua sangkakan kau dah mati. Terkejut ayah kau dibuatnya,” Keluh Jerry.

Nakhael menoleh ke arah Jerry. Renungannya tembus ke wajah sahabatnya. Dia tersenyum. Hatinya tahu, Jerry yang setia di sisinya selama ini membimbangkan keadaannya. Dia menghulurkan picagari itu ke arah Jerry.

Jerry menggelengkan kepala.

“No..jangan paksa aku cucuk benda tu pada badan kau. Bagaimana kalau kau tak sedar-sedar? Aku tak mahu semua orang salahkan aku nanti.”

“Jerry..aku dah tak tidur 36 jam berturut-turut tanpa henti. Ini sahaja ubat untuk aku. Kalau kau tak buat, aku akan mati.” Tukas Nakhael.

Jerry tergaman. Perkataan lelaki itu membuatkan dia mendengus keras.

“Kenapa kau tak berterus terang aje dengan ayah kau? Aku pasti ayah kau dan pihak akademi akan bantu kau atasi masalah ni.”

“Tak ada sesiapa yang boleh bantu aku Jerry. Not even my own father.” Bisik Nakhael. “Now please…..I need your help.” Pinta Nakhael.

Melihat renungan lelaki itu, Jerry menarik nafas panjang. Dia sudah tidak ada pilihan lain lagi. Samaada dia gunakan ubat itu ke atas Nakhael atau tidak, sama sahaja. Mahu tak mahu dia menyambut picagari yang telah berisi dari tangan Nakhael.

Nakhael tersenyum lega. Dia tahu Jerry seorang kawan yang boleh diharap. Setelah lengannya disuntik, beberapa ketika tubuhnya tiba-tiba lemah. Pandangannya berbalam. Perlahan-lahan dia terjelepuk tidak sedarkan diri di atas katilnya sendiri.

Jerry hanya mampu memandang dengan wajah kesal. Selepas dia mengemaskan tubuh Nakhael di atas katil dan diselimuti, Jerry duduk sebentar di birai katil lalu menatap lama ke arah Nakhael. Meski wajah itu kelihatan tenang, namun dia tahu Nakhael dalam kesakitan.

Walau Nakhael tidak pernah menyatakannya, namun sebagai salah seorang ahli perubatan di Drutasia, dia faham jenis racun bagaimana yang berada di dalam tubuh sahabatnya. Sesuatu yang tak mampu disingkir dalam tubuh lelaki itu! Bukan dia sahaja yang tidak mampu, malah semua ahli-ahli perubatan di tempat mereka juga takkan mampu membantu Nakhael. Aku masih berusaha Nakh..walaupun kau menghalang aku mencari penawarnya, namun diam-diam aku sedang berusaha sahabat! Bisik Jerry pilu.

Jerry bergegas ke arah muka pintu. Sebelum dia menghilangkan diri, dia berpaling semula ke arah Nakhael. Renungannya penuh dengan kekesalan dan kemarahan.

“Selamat malam sahabat. Tidurlah tapi jangan sehingga tidak bangun-bangun. Aku jumpa kau esok.” Bisik Jerry lalu membalikkan tubuhnya. Pintu di belakangnya ditutup rapat. Biarlah Nakhael berehat!

* * * *

JERRY sedang melintasi sebuah bilik tatkala mendengar namanya diseru seseorang. Dia segera berhenti lalu menoleh. Mr. Joshee kelihatan melambai dari tepi pintu. Mahu tak mahu dia segera mendapatkan lelaki itu.

“Mana Nakhael?” tanya Mr. Joshee.

“Err..dia tidur Tuan.” Jawab Jerry.

“Kejutkan dia. Kita ada pertemuan sekejap lagi. Ada benda penting kita kena bincangkan.” Ujar lelaki itu.

Jerry terkedu. Inilah padahnya jika mereka kerap menipu. Mustahil untuk dia kejutkan Nakhael yang sedang menyeberang ke alam lain. Meskipun dia menyimbah temannya itu dengan air atau membakar tumit kaki Nakhael dengan api, lelaki itu tetap takkan bangun sebelum masanya tiba.

“Err..sebenarnya Tuan, Na..Nakhael tak ada kat biliknya.”Ujar Jerry tergagap-gagap. Sekali lagi bohong! Namun dia harus merahsiakan apa yang berlaku pada Nakhael pada pengetahuan Mr. Joshee.

Seperti yang diduga, wajah Mr. Joshee berubah sebaik mendengar kata-katanya. Hati Jerry sudah lumat disergah tenungan Mr. Joshee yang mengerunkan.

“Ke mana dia pergi?”

“Saya tak tahu Tuan.”

“Kamu tak tahu?”

Dia menggelengkan kepala. Di dalam hati dia berdoa agar janganlah Mr. Joshee mengambil keputusan membuat spotcheck di bilik Nakhael. Jika tidak pasti rahsia Nakhael akan terbongkar.

“Err..apa sebenarnya tujuan kita bermesyuarat Tuan? Kalau perlu, saya akan cuba menghubungi Nakhael secepat yang mungkin.” Tanya Jerry.

Mr. Joshee teringat semula apa yang mahu dicakapkannya sebentar tadi. Dia merenung wajah Jerry dalam-dalam.

“Alwiz baru sahaja hubungi kita. Katanya dia akan bawa pulang Kunci Orkid itu secepat yang mungkin. Dia minta kita semua bersedia di Mandaluyong.” Ujar Mr. Joshee dengan wajah berseri-seri. Gembira kerana gerero didikannya berjaya menyudahkan misi mereka kali ini. Lepas itu bolehlah mereka semua balik ke Drutasia demi menghalang pencerobohon demi pencerobohan yang dilakukan oleh Kreuk.

“Bila?”

“Entahlah, Alwiz kata secepat mungkin.” Balas Mr. Joshee. Dia sudah tidak peduli pada sebarang fakta-fakta kecil. Hakikat bahawa mereka sudah menemukan salah satu Kunci Orkid benar-benar melegakan.

No comments:

DEDALU DI HATI - STOK TERHAD!!

DEDALU DI HATI  - STOK TERHAD!!

PESANAN NOVEL DEDALU DI HATI SEDANG DIBUKA SEKARANG!!!

Harga = RM25.90
Kos Pos = RM7 (pos laju)
Total = RM32.90

Emailkan nama dan butiran diri ke arr_nita@yahoo.com.
Pesanan sehingga stok ke 3 ini kehabisan..

NANTIKAN VENOM SURIA DI PESTA BUKU ANTARABANGSA PWTC MULAI 27 APRIL, TERBITAN BUKU PRIMA (RM25.90)

NANTIKAN VENOM SURIA DI PESTA BUKU ANTARABANGSA  PWTC MULAI 27 APRIL, TERBITAN BUKU PRIMA (RM25.90)
Suria gadis ceria dan periang, namun miliki sejarah hitam dalam kelahiran. Yang membuatkan dia diburu dan dijejaki untuk meleraikan sebuah kisah sumpahan, lalu mempertemukan dia dengan dua lelaki berbeza sifat. Izwan jenis yang dingin dan panas baran. Cakapnya harus dipatuhi atau dia akan meletup! Nazrul sentiasa cool tapi punya rahsia terpendam yang menyiksa jiwa. Seorang lelaki ditakdirkan menjadi penyelamat. Seorang lagi ditakdirkan membunuhnya. Kedua-duanya muncul tak diundang, tetapi meninggalkan kesan mendalam. Lalu bermulalah permainan cat and mouse antara mereka sehingga game over!