Followers

Tuesday, March 30, 2010

Mitos Cinta Suria - Prolog 2

1460 - Pelabuhan di Muara Selat Melaka

Sebuah kapal yang datang dari utara masuk ke pelabuhan. Bunyi gading ditiup menarik perhatian penduduk sekitar yang tinggal berhampiran pesisir pantai. Masing-masing tertarik dengan kemunculan sebuah kapal besar yang tiba-tiba muncul di pelabuhan Selat Melaka. Seorang Syahbandar dan pembantunya menanti dengan sabar sehingga kapal itu selesai berlabuh.

Seorang lelaki berusia separuh abad melangkah turun dari dek kapal lalu mendekati pegawai pantai yang berasa pelik dengan kemunculan kapal tersebut. Lagipun bentuk kapal yang singgah di muara selat Melaka itu berbeza dari kapal-kapal lain yang pernah singgah di situ.

Bukan kapal dagangan! Bisik hati Syahbandar yang memang arif dengan bentuk kapal pedagang-pedagang yang singgah di pelabuhan itu. Dia memandang lelaki tinggi lampai yang memakai pakaian yang agak pelik. Gaya berpakaian lelaki itu bukan seperti berasal dari kepulauan melayu! Duga Syahbandar lagi.

“Juragan?” Si Syahbandar menyapa penuh hormat. Dia cuba mengelak sangkaan buruk yang mula timbul. Setiap tetamu yang singgah di pelabuhan itu harus dilayan sebaik mungkin. Itu sudah menjadi tugas dan kewajipannya.

“Nama hamba Patka, nakhoda kapal yang belayar merentasi Perairan Cirebon dan Laut Sulu.” Lelaki itu tunduk hormat. Bahasa melayu yang digunakan bercampur aduk dengan dialek Jawa Barat dan kepulauan nusantara yang agak pekat. Dia mengerling ke arah dua lelaki di belakangnya yang sedang mengangkut turun sebuah peti sederhana besar.

“Juragan datang untuk berdagang?” Tanya Syahbandar.

“Begitulah. Hamba datang untuk bertemu dengan Orang Kaya Gimbang.” Ujar Patka.

“Apa yang Juragan bawa di dalam peti itu?” Mata Syahbandar melorot ke arah peti yang dibawa oleh kedua lelaki yang bersama dengan Patka.

“Maafkan hamba Orang Kaya. Peti ini hanya berisi pasu-pasu ukiran dari Cina yang diminta oleh Orang Kaya Gimbang. Hamba hanya bertanggungjawab membawanya ke mari. Pasu-pasu ini mudah pecah dan sukar dicari ganti. Hamba tidak mahu membangkitkan kemarahan Orang Kaya Gimbang jika pasu-pasu ini pecah dan rosak.” Ujar Patka sambil tersenyum.

Syahbandar terdiam mendengar kata-kata lelaki itu. Tiba-tiba mata lelaki itu melurus ke hadapan. Lirikan matanya beralih arah. Syahbandar yang menyedari keadaan itu segera menoleh. Tiga lelaki berpakaian bangsawan menuju ke arahnya lalu memberi salam.

“Tuan, hamba bawa pesan dari Orang Kaya agar Juragan ini dibenarkan masuk ke kota kita untuk mengadap Orang Kaya.” Ujar salah seorang darinya lalu menghulurkan sekeping kulit kayu bertulisan dakwat hitam dalam tulisan jawi. Syahbandar membaca sepintas lalu isi kandungan surat tersebut, sebelum menoleh ke arah Patka dan pengawal-pengawal itu. Dahinya berkerut, namun dia tidak berkata apa-apa.

“Baiklah kalau begitu. Kamu boleh membawa tetamu-tetamu ini berjumpa Orang Kaya.” Lelaki itu mengangguk. Patka tersenyum senang. Dia menoleh lalu mengisyaratkan agar orang-orangnya yang sedang mengusung peti itu agar segera mengikutinya. Mata Syahbandar masih tertumpu pada peti yang sedang dibawa pergi. Ada sesuatu yang menarik minatnya pada peti tersebut.

* * * *

Seorang lelaki berkelubung dengan jubah hitam menutup sebahagian besar mukanya menyerahkan beberapa kodi uncang emas kepada Patka. Lelaki itu tersengih. Gembira menerima pemberian yang sudah sekian lama dihajatinya.

“Sekarang peti ini milik Tuan. Kerja hamba juga sudah selesai. Hamba mahu berangkat segera meninggalkan Selat Melaka menuju ke Semarang.” Ujar Patka. Dia tidak mahu lagi berlengah-lengah di tempat itu. Berada lebih lama di Selat Melaka hanya membahayakan kedudukannya sebagai lanun di perairan Ceribon. Apatah lagi dia tahu negeri itu baru sahaja mewartakan undang-undang agar setiap lanun yang ditangkap akan digantung sehingga mati.

“Kamu tidak membuka peti ini kan Patka?” lelaki berkelubung itu tiba-tiba bersuara. Patka tergaman. Dia tersengih cuba menutup gugup.

“Tidak tuan. Kami hanya mementingkan wang dan nyawa. Selain dari itu kami tidak berminat untuk ambil tahu. Kami hanya mengikut apa yang tuan arahkan. Itu sahaja.” Balas Patka.

“Bagus. Aku percaya kata-kata kamu. Sekarang kamu boleh pergi dari sini Patka. Tapi ingat, perkara ini biar pecah di perut, jangan pecah di mulut.” Matanya tajam menyorot ke wajah Patka. Lelaki itu hanya mengangguk.

“Hamba janji tuan. Hamba tidak akan muncul di hadapan tuan lagi mulai saat ini.” Ujar Patka. Dia segera bergegas meninggalkan lelaki berkelubung itu dengan wajah mencuka. Entah kenapa ugutan lelaki itu benar-benar tidak disenanginya.

Sebaik Patka beredar, lelaki itu perlahan-lahan mendekati peti itu. Tangannya mengusap permukaan peti yang tertutup rapat di hadapannya. Telinganya menangkap bunyi rengekan halus seakan-akan tangisan datangnya dari dalam peti. Dia melekapkan telinganya di permukaan peti. Matanya dipejamkan seraya berbisik. “Sayang, kau sudah kembali padaku. Kita akan terus bersama buat selama-lamanya!”

No comments:

DEDALU DI HATI - STOK TERHAD!!

DEDALU DI HATI  - STOK TERHAD!!

PESANAN NOVEL DEDALU DI HATI SEDANG DIBUKA SEKARANG!!!

Harga = RM25.90
Kos Pos = RM7 (pos laju)
Total = RM32.90

Emailkan nama dan butiran diri ke arr_nita@yahoo.com.
Pesanan sehingga stok ke 3 ini kehabisan..

NANTIKAN VENOM SURIA DI PESTA BUKU ANTARABANGSA PWTC MULAI 27 APRIL, TERBITAN BUKU PRIMA (RM25.90)

NANTIKAN VENOM SURIA DI PESTA BUKU ANTARABANGSA  PWTC MULAI 27 APRIL, TERBITAN BUKU PRIMA (RM25.90)
Suria gadis ceria dan periang, namun miliki sejarah hitam dalam kelahiran. Yang membuatkan dia diburu dan dijejaki untuk meleraikan sebuah kisah sumpahan, lalu mempertemukan dia dengan dua lelaki berbeza sifat. Izwan jenis yang dingin dan panas baran. Cakapnya harus dipatuhi atau dia akan meletup! Nazrul sentiasa cool tapi punya rahsia terpendam yang menyiksa jiwa. Seorang lelaki ditakdirkan menjadi penyelamat. Seorang lagi ditakdirkan membunuhnya. Kedua-duanya muncul tak diundang, tetapi meninggalkan kesan mendalam. Lalu bermulalah permainan cat and mouse antara mereka sehingga game over!