Followers

Tuesday, August 24, 2010

Hujan Rindu - Bab 7

Yuzer tersenyum sendirian tatkala teringatkan wajah Anum Dahlia yang merah padam menahan marah. Tapi lama-lama pandang, cantik juga budak tu. Semakin marah semakin cantik dipandang. Tak sangka, dia dipertemukan semula dengan gadis yang marah-marah di airport tempohari. Ketika itu dia dalam perjalanan ke Singapura menguruskan urusan perniagaan syarikat.

“Kenapa abang senyum sorang-sorang ni?” Tegur Zurin yang muncul entah dari mana. Yuzer tergaman. Dia pura-pura mencapai akhbar Harian Metro sebelum mula membaca. Zurin tersengih memerhatikan tindak tanduk lelaki itu. Apa kena dengannya malam ni?

“Lain kali tak boleh ketuk pintu tu dulu?” Sindir Yuzer sambil matanya masih pura-pura membaca akhbar.

“Pintu hanya diketuk kalau tertutup. Tapi kalau dah renggang, tak payah ketuk. Jengah saja cukup. Kenapa? Abang bimbang Zurin nampak muka abang yang tersenyum kambing tu?” Usik Zurin sinis.

“Pandailah Zurin ni menjawab. Kalau guna otak yang kreatif tu menjawab macam ni dalam SPM nanti, insya Allah ada peluang dapat 9A.” Tukas Yuzer seraya melirik tajam ke arah Zurin yang sudah pun mendekatinya.

Zurin tergelak kecil mendengar kata-kata Yuzer. Tanpa disuruh dia duduk di kepala katil mengadap ke arah abangnya.

“Abang, Zurin nak tanya ni. Macamana abang kenal dengan Kak Anum tu?” Soal Zurin, sengaja ingin mengorek cerita dari Yuzer.

Lelaki itu menghentikan bacaannya. Dia merenung Zurin tidak berkelip. “Kenapa tiba-tiba sebut tentang dia? Malaslah abang nak ambil tahu. Jangan nak jadi penyibuk, pergi baca buku lagi baik.” Marah Yuzer.

“Saja Zurin nak tahu. Kak Anum tu cantik kan abang?” Zurin tersengih.

“Cantik? Singa kat hutan tu lagi cantik dari dia.” Yuzer mencebikkan bibir.

Zurin tergaman. Laa kenapa pula nak disamakan Anum Dahlia dengan singa? Apa relevennya? Rungut Zurin sedikit geram.

“By the way, apa budak perempuan tu buat kat gelanggang silat datuk? Abang dengar dari Husni, budak tu tinggal dengan datuk dan nenek. Siapa dia tu sebenarnya?” Soal Yuzer pula.Tiba-tiba sahaja dia berminat ingin tahu dalil kemunculan gadis itu di kampungnya.

“Kata tadi malas nak ambil tahu. Kenapa tiba-tiba bertanya pula?” Perli Zurin memberi buku ruas.

“Dah Zurin yang mula-mula sebut nama dia dulu. Tak salah kan abang nak tahu apa dia buat kat kampung kita ni.” Balas Yuzer tidak mahu mengalah.

“Kak Anum tu datang dari US. Kata Nek Jah, kak Anum tengah buat tesis fasal silat. Dia nak kumpul bahan di sini. Dia tu anak mat saleh celup.” Jelas Zurin. Dahi Yuzer segera berkerut.

“Anak mat salleh celup? Tak nampak pun. Yang mana mat salleh? Maknya atau ayahnya?”

“Ayah dia. Tapi Zurin kagum dengan Kak Anum. Namanya dahlah nama orang melayu sejati, fasih pula bertutur bahasa melayu walau dilahir dan dibesarkan di luar negara.” Canang gadis cilik berusia 17 tahun itu.

Yuzer terdiam ketika Zurin sibuk bercerita tentang Anum Dahlia. Wajah adiknya itu jelas ceria tatkala menyebut tentang Anum Dahlia.

“Abang tak rasa ke muka kak Anum tu seiras dengan makcik Sufiyah?”

Yuzer memandang Zurin agak lama. Apa maksud adiknya itu?

“Jangan nak mengarutlah Zurin.” Marah Yuzer.

“Betul bang, semua orang kat kampung ni cakap macam tu termasuklah Makcik Senah dan Pak Lebai. Zurin dah tengok foto Makcik Sufiyah kat rumah Nek Jah. Betul-betul mirip.” Bisik Zurin.

“Abang tak tahu, lagipun abang tak kenal Makcik Sufiyah tu. Mak dah jumpa dengan Anum?” Tanya Yuzer.

“Belum. Tapi bila mak dengar tentang kak Anum seiras dengan Makcik Sufiyah dari Makcik Senah, muka mak terus berubah. Zurin bimbang nak tegur mak, takut mak marah. Zurin jumpa kak Anum pun senyap-senyap.” Ujar Zurin.

Yuzer tidak membidas kata-kata adiknya. Dia termenung panjang. Mustahil ibunya masih belum melupakan kisah lalu? Semua kisah itu telah lama luput ditelan waktu. Mana mungkin wanita yang pernah melukakan hati ayah dan ibunya itu akan muncul semula.

* * * *

Yuzer menjenguk ke arah bilik ibunya yang masih terang benderang. Dia terlihat ibunya masih kusyuk menjahit jahitan tulang belut pada baju kurung yang entah milik siapa. Ibunya itu memang berbakat dalam soal jahit-menjahit. Dari muda sehingga sekarang, ramai yang menempah baju dengan ibunya, apatah lagi jahitan tulang belut buatan tangan ibunya memang terkenal cukup halus.

“Yuzer, belum tidur lagi?” Tegur Zulaika sebaik dilihatnya anak muda itu termenung di penjuru bilik. Menyedari kehadirannya disedari oleh ibunya, Yuzer tergelak kecil. Mata ibunya memang cukup tajam.

“Belum mak, kejap lagi Yuz tidur. Mak masih menjahit?”

“Sikit saja lagi. Mak long kamu nak pakai baju ni esok pagi buat pergi kenduri kahwin di kampung sebelah. Berapa lama kamu bercuti?” Tanya Zulaika.

“Seminggu mak.”

“Habis syarikat siapa jaga?”

“Emir kan ada. Lagipun syarikat Yuz baru dapat kontrak baru dari syarikat di Singapura. Mereka setuju tempah khidmat Grand Suri untuk pembekalan barang-barang hiasan dalaman untuk syarikat mereka. Besar kontraknya, lebih kurang RM1.5 juta kalau dikira dengan nilai ringgit kita.”

“Banyak tu Yuz. Mak bangga dengan kejayaan Yuz. Cuma apa yang mak harapkan, Yuz jangan kejar harta dunia semata-mata. Harta untuk bekal di akhirat tu Yuz jangan pula lupa.” Pesan Zulaika. Selama ini dia memang tak pernah surut dengan kata-kata nasihat untuk anak-anaknya. Bermula dari Yusman, Yuzer, Zaza dan Zurin, semuanya dilayan sama rata. Semuanya diterapkan dengan kata-kata nasihat agar anak-anaknya selamat dari bala di dunia dan di akhirat.

“Insya Allah, Yuz tak pernah lupa pesanan mak sampai bila-bila. Ayah bila balik mak?” Dia mengalihkan bicara mengenai ayahnya pula.

“Esok baliklah dia. Dia kata nak jenguk Zaza di UKM sebelum balik.”

“Apa ayah buat di Kuala Lumpur?”

“Ayah kamu jumpa dengan Pakcik Imran kamu. Pakcik Imran nak ajak ayah kamu bergabung semula uruskan Golden Globe. Dia telefon semalam beritahu.” Jawab Zulaika selamba.

“Uruskan Golden Globe? Habis ayah setuju?”

Zulaika sekadar mengangkat bahu. Dia sendiri tidak pasti dengan hujung pangkal cerita.

“Minggu lepas sebelum ke Singapura, Yuz ada terserempak dengan pakcik Imran dan Melina. Tapi dia tak ada sebut pun tentang hal ni.”

“Dia bimbang kalau kamu tak setuju agaknya.”

“Memanglah Yuz takkan setuju. Daripada ayah curahkan tenaga ayah pada Golden Globe, baik ayah tolong Yuz kembangkan Grand Suri. Atau Pakcik Imran takut Golden Globe kalah dengan Grand Suri?” Tuduh Yuzer tidak puas hati.

Jahitan Zulaika terhenti tiba-tiba dengan kata-kata Yuzer. Dia angkat muka memandang Yuzer yang merah padam mukanya. Tanpa sedar, dia melepaskan keluhan kecil. Yuzer terpinga-pinga melihat tingkahlaku ibunya.

“Mak tak tahulah kenapa Yuz selalu buruk sangka macam ni pada Pakcik Imran. Niat dia ikhlas Yuz. Lagipun Yuz kena ingat, Pakcik Imran tu saudara kita juga.”

“Kalau saudara, dia takkan menipu ayah dulu. Mak, kerana duit saudara boleh jadi musuh. Lagipun datuk pun dah maklum dengan perangai Pakcik Imran tu. Bila dah susah, baru dia cari kita. Baru dia kenal saudara mara dia.” Luah Yuzer tidak puas hati.

Zulaika terdiam. Dia tahu sikap Yuzer berbeza dengan adik beradiknya yang lain. Yuzer selalu panas baran dan bersikap melulu. Meskipun begitu, Yuzer anak yang baik. Tak lupa menjenguk keluarga saban bulan biarpun semua orang tahu dia sibuk dengan syarikatnya.

“Dahlah tu Yuzer, jangan asyik tahu berdendam. Ayah tu cerdik orangnya. Dia tahu mana yang baik dan mana yang buruk. Mak percaya walau apa sahaja keputusan ayah, semuanya dilakukan atas kepentingan semua pihak.” Pujuk Zulaika.

Yuzer terdiam. Dia sedar kata-katanya agak kasar sedikit. Namun sebenarnya dia hanya cuba mengubati hatinya yang terluka dengan sikap ayahnya. Beberapa tahun yang lalu dia pernah meminta ayahnya membantu syarikatnya yang baru hendak bertapak, sebaliknya lelaki itu menolak dan membawa lari banyak kenalan-kenalannya. Mujurlah Yuzer lebih pantas bertindak dan Grand Suri berjaya diselamatkan. Meskipun dia tahu lelaki itu mempunyai sebab sendiri, namun entah kenapa sebaik mendengar nama Imran dan Golden Globe, dia terbawa-bawa dengan sikap tidak puas hatinya.

“Sudahlah tu, hari pun dah lewat ni. Yuz pergi tidur dulu.” Suruh Zulaika.

Yuzer hanya mengangguk. “Mak tak mahu tidur lagi?”

“Sekejap lagi mak tidur. Mak nak sudahkan jahit baju Mak Long kamu ni dulu.” Zulaika tersenyum.

Yuzer beredar ke arah muka pintu. Tapi tiba-tiba dia teringatkan sesuatu. Langkahnya tidak jadi dihela keluar. “Mak…” panggil Yuzer perlahan.

Zulaika menoleh.

“Budak perempuan yang tinggal dekat rumah datuk dan nenek tu siapa mak?” Tanya Yuzer ingin tahu. Meskipun Zurin sudah menceritakan segala-galanya, namun cerita Zurin banyak yang tidak lengkap dalam pengetahuannya. Dia hanya tahu Anum Dahlia datang untuk buat research mengenai silat melayu. Selain dari itu, dia rasa aneh kerana Tok Anjang begitu mudah menumpangkan orang yang tidak dikenali.

“Entahlah, mak tak tahu.” Jawab Zulaika sambil tunduk menyudahkan jahitan tulang belut pada baju milik kakaknya Fatimah. Melihat reaksi ibunya yang acuh tak acuh, Yuzer menarik nafas panjang. Hancur peluangnya mahu mengetahui mengenai Anum Dahlia, apabila dilihat ibunya seolah-olah tidak berminat mahu berbual mengenai gadis itu.

* * * *

Sepeninggalan Yuzer menghilang ke arah biliknya, Zulaika segera menghentikan jahitannya. Dia termenung panjang mendengar pertanyaan Yuzer mengenai gadis di rumah Tok Anjang dan Nek Jah. Sudah beberapa hari dia mendengar ura-ura kedatangan gadis itu di kampung Paya Mengkuang. Namun sehingga sekarang, dia masih belum berkesempatan mahu bersua muka dengan gadis yang dimaksudkan.

Bukan dia tidak mahu menziarahi Nek Jah di rumah, tapi entah kenapa hatinya bagaikan ragu-ragu. Semuanya disebabkan kata-kata Makcik Senah yang tak putus-putus menyebut tentang sesuatu yang merungsingkan perasaannya.

“Sama betul budak Anum tu dengan Sufiyah, Zue. Mak Senah mula-mula tengok terkejut dibuatnya. Pak Lebai kamu pun sama.” Kata-kata wanita itu beberapa hari yang lalu membangkitkan getar rasa tidak senang di hatinya. Dia sendiri tidak tahu kenapa sampai begini sekali reaksinya apabila mendengar nama Sufiyah disebut.

“Tak mungkinlah sama Mak Senah, jangan-jangan Mak Senah yang salah tengok tak.” Dia membalas sambil tersenyum kecil. Dan jelas nyata senyuman yang dipamerkan hanya sekadar untuk melindungi rasa kekok yang dirasakannya ketika itu.

“Masya Allah kamu ni Zue, mata Mak Senah ni elok lagi. Kalau mengaji tu tak payah nak pakai pakai cermin mata macam Pak Lebai kamu. Mak Senah tahu muka Anum tu seiras betul dengan Sufiyah. Jangan-jangan budak tu anak Sufiyah tak?” Wanita itu membuat serkap jarang.

Dia tersentak. Anak Sufiyahkah?

“Kalau kamu tak percaya, kamu pergilah tengok sendiri Zue. Tengok dengan mata kepala kamu sendiri betul tak apa yang Mak Senah cakap ni,” Cabar wanita itu. Dia hanya mampu berdiam diri. Namun ingatan yang hadir dalam kepalanya menyorot semula cerita lama yang cuba dilupakan sejak berpuluh tahun yang lalu.

No comments:

DEDALU DI HATI - STOK TERHAD!!

DEDALU DI HATI  - STOK TERHAD!!

PESANAN NOVEL DEDALU DI HATI SEDANG DIBUKA SEKARANG!!!

Harga = RM25.90
Kos Pos = RM7 (pos laju)
Total = RM32.90

Emailkan nama dan butiran diri ke arr_nita@yahoo.com.
Pesanan sehingga stok ke 3 ini kehabisan..

NANTIKAN VENOM SURIA DI PESTA BUKU ANTARABANGSA PWTC MULAI 27 APRIL, TERBITAN BUKU PRIMA (RM25.90)

NANTIKAN VENOM SURIA DI PESTA BUKU ANTARABANGSA  PWTC MULAI 27 APRIL, TERBITAN BUKU PRIMA (RM25.90)
Suria gadis ceria dan periang, namun miliki sejarah hitam dalam kelahiran. Yang membuatkan dia diburu dan dijejaki untuk meleraikan sebuah kisah sumpahan, lalu mempertemukan dia dengan dua lelaki berbeza sifat. Izwan jenis yang dingin dan panas baran. Cakapnya harus dipatuhi atau dia akan meletup! Nazrul sentiasa cool tapi punya rahsia terpendam yang menyiksa jiwa. Seorang lelaki ditakdirkan menjadi penyelamat. Seorang lagi ditakdirkan membunuhnya. Kedua-duanya muncul tak diundang, tetapi meninggalkan kesan mendalam. Lalu bermulalah permainan cat and mouse antara mereka sehingga game over!