Followers

Tuesday, November 17, 2009

Sayangku Casper : Bab 9

Seorang pelayan baru sahaja meninggalkan dua cawan kopi O yang berkepul-kepul asapnya di hadapan dua anak muda itu. Tanpa bertangguh, Jerone segera menghirup kopi O nya dengan wajah penuh nikmat. Sebaik dia meletakkan cawan itu kembali, matanya segera mencari wajah Tia. Melihat gadis itu terkebil-kebil memerhatikannya. Jerone tersengih.

“Apasal kau tengok aku macam tu? Handsome ke aku ni hari ni?” Jerone ketawa kecil. Lucu melihat wajah Tia yang kebingungan. Kopi di hadapan gadis itu langsung tidak disentuh.

“Aku pelik..” Sebut Tia lambat-lambat.

Jerone mengangkat kening. “Apa dia?”

“Kenapa kau pesan kopi O? Kau kan tak suka sangat minum kopi O.” Ujar Tia mengatakan yang sebenarnya. Selama ini dia tahu lelaki itu tidak gemar dengan minuman berkafein. Setiap kali dia keluar bersama Jerone, lelaki itu lebih suka memesan jus orange dan minuman buah.

“Kali ni aku minum untuk kau.” Ujar Jerone.

Wajah Tia berubah. Minum untuk aku? Ada pulak macam tu? Dah sewel ke otak budak cina ni? Gumam Tia dengan wajah berkerut.

“Kau kan selalu kena paksa minum jus kalau keluar lepak dengan aku. Sesekali aku nak juga rasa kopi O yang kau suka sangat tu. Dari minggu lepas aku minum, tak sangka sedap juga. Apa orang kata? Kaw-kaw?” Ujar Jerone tersenyum.

“Jangan nak merepek la Jerone? Apa benda sebenarnya yang kau nak cakap kat aku ni? Jangan pulak kau kata kau dah beli kilang kopi cap Kapal Api tu dah la.” Seru Tia dengan mata dibeliakkan besar-besar.

Jerone ketawa besar mendengar kata-kata gadis itu. “Isk ada ke macam tu. Yang sebenarnya, aku dah dapat tawaran nak lanjutkan pelajaran ke Australia. Tiga minggu lagi aku bertolak.” Beritahu Jerone dengan wajah ceria.

Tia tersentap. Kata-kata Jerone membuatkan dia terpanar. Mujur dia tidak menghirup air kopi di cawannya, jika tidak entah-entah saat ini muka Jerone pasti bermandikan air kopi.

“Judd call aku semalam. Kata Judd, maybe around this week, pihak universiti akan kirimkan formal letter.” Sambung Jerone, merujuk pada abangnya Judd yang kini menetap dan bekerja di Australia.

Tia terdiam. Dia tidak tahu bagaimana mahu memberi reaksi pada kata-kata Jerone. Kesedihan hatinya tiba-tiba membuak keluar. Kalau Jerone pergi, dia akan kesunyian. Sejak kecil Jerone adalah teman baiknya. Setiap kali dia ada masalah, Jeronelah tempat dia mengadu domba. Semua rahsianya ada di tangan Jerone.

“Habis..band kau macamana?” Tiba-tiba dia membangkitkan soal band lelaki itu yang baru sahaja nak berkembang. Tak sayangkah Jerone dengan band yang baru sahaja masuk dua tahun itu?

“Ops lupa pulak nak bagitahu kau, Syah pun dapat masuk universiti kat Australia tu juga. Kami dah bincang. Cube dan Keddo nak ikut kami. Mereka akan cari kerja part time kat sana. Manalah tahu ada rezeki band aku ni boleh tembusi pasaran muzik kat Australia tu.” Jerone tersengih-sengih, membayangkan perkara yang masih kabur. Sedikit pun dia tidak sedar akan mimik muka Tia yang kian berkaca matanya.

Apabila melihat Tia diam sahaja, Jerone segera berpaling. Melihat titis-titis jernih yang mula gugur di pipi Tia, dia terkesima sebentar.

“Tia? Kenapa?”

Tia memusingkan tubuhnya. Menghalang dari wajahnya yang bersememeh menjadi tontonan mata Jerone. Selamat dari mata Jerone, tak selamat pula dari mata pengunjung-pengunjung restoran yang lain. Setiap pasang mata di situ asyik tertoleh-toleh ke arahnya. Barangkali hairan melihat gadis sepertinya yang mengalirkan airmata di hadapan seorang anak muda Cina. Hello! Ini bukan filem Sepet edisi Tia Adila tau! Gumam Tia, bengang menjadi tontonan percuma di situ.

“Are you crying Tia?” Tanya Jerone lagi seraya menjengah wajahnya yang tersorok. Kerutan di dahi Jerone berganda.

“Tak. Aku tengah ketawa ni. Tak nampak ke?” Getus Tia berang. Sedih hatinya dengan sikap Jerone yang langsung tidak mahu berbincang dengannya terlebih dahulu sebelum mengambil keputusan mahu ke Australia.

Jerone terkedu. Ketawa? Ketawa sampai menangis?

“Tia, kau sedih sebab aku nak pergi ke?” Tanya Jerone cuba meneka.

Tia mengeluh. Baru perasan ke? Dah naik lebat airmata aku ni gugur, hanya sekarang baru dia perasan yang aku tengah sedih? Perlahan-lahan dia memusingkan wajahnya ke arah Jerone.

“Kenapa kau tak beritahu aku awal-awal hal ni? Sampai hati kau bincang semua ni dengan Cube, Syah dan Keddo, tapi tak beritahu aku apa-apa langsung. Kau tahu tak aku kawan dengan kau sejak kecil. Lebih awal dari kau kawan dengan mamat tiga ekor tu.” Keluh Tia tersinggung.

Jerone terdiam. Bukan maksudnya mahu berselindung dengan gadis itu. Tapi semua ini terlalu mendadak baginya. Dia sendiri tidak pernah menyangka akan diterima belajar di universiti di mana abangnya Judd turut berkhidmat sebagai pensyarah. Sebaik diberitahu, dia terus melayan rasa seronoknya sehingga terlupa mahu memaklumkannya pada Tia. Sangkanya ini akan mejadi kejutan yang menggembirakan buat Tia. Tapi tak sangka, Tia tidak gembira. Jerone jadi serba-salah.

“Tia, aku tak bermaksud..”

“Kau dah tak sabar-sabar nampaknya nak tinggalkan aku.” Pintas Tia sebak. Tiga minggu lagi dia akan hilang kawan! Kalau Pak Amid boleh diajak menyanyi karaoke dengannya, baik dia kawan dengan Pak Amid aje!

“Aku cuma tiga tahun kat sana.” Pujuk Jerone.

“Tiga tahun bukannya sekejap Jerone. Kau tahu kan yang aku tak ada kawan kat sini. Sekarang kawan baik aku pulak nak tinggalkan aku. Maaf, aku tahu aku sepatutnya bergembira untuk kau, tapi aku tak boleh. Aku tak boleh!” Habis dia bercakap, dia terus berlari meninggalkan Jerone keseorangan. Dia sudah tidak peduli! Langkahnya dibuka besar-besar, takut-takut Jerone mengejar meskipun dia pasti Jerone takkan membuang masa melayan rajuknya.

Setelah pasti dia berada jauh dari restoran itu, Tia melunjur kaki di bawah sebatang pokok sambil menyandarkan tubuhnya. Airmata yang mengalir deras diseka dengan jari-jarinya. Sesekali dia mengesar hingus yang hampir meleleh. Apasal aku boleh jadi emo macam ni? Mesti Jerone terkejut beruk tengok aku blah macam tu aje tadi! Tiba-tiba sahaja Tia rasa menyesal naik angin secara tiba-tiba. Kasihan Jerone!

Ah! Lantaklah! Aku lagi kasihan tau. Dah la aku hidup macam sebatang kara. Ada ayah tapi macam tak ada ayah. Ada mak dan kakak tiri, tapi serupa ada siput sedut dengan badak air dekat rumah tu! Satu-satunya sahabat yang aku ada nak pergi pulak. Aku lagi kasihan. My life is suck! Gumam hati kecil Tia enggan mengaku alasan atas sikap terburu-burunya tadi.

Dalam dia leka melayan perasaan, tiba-tiba dia terdengar bunyi bising datangnya dari suatu arah. Tia bingkas bangun. Dia terpinga-pinga dibuatnya. Punca bunyi bising itu cuba ditinjau. Namun belum sempat dia mahu membalikkan tubuh, tiba-tiba dia dirempuh seseorang dari arah belakang. Serentak kedua-duanya tergolek ke arah rumput.

Tia mengaduh kesakitan seraya mengosok-gosok punggungnya yang terasa berbirat. Aduh! Apasal langgar aku ni? Nak kata jalan ni sempit, besar gedabak aku tengok! Rungut Tia separuh geram. Dia berpaling dengan wajah bengang. Namun sebaik matanya berbalas pandang dengan seraut wajah yang turut memerhatikannya, dia tercengang. Serta-merta ingatannya tumpah pada seraut wajah yang dilihatnya di perpustakaan kampusnya tengahari tadi.

Dia! Bisik hati Tia hampir tidak percaya. Dalam satu hari, sudah dua kali dia terserempak dengan lelaki itu. Inikah yang dipanggil takdir? Tia tersengih sendiri. Hilang seketika rasa sedih yang berhimpun di hatinya sebentar tadi. Timbul pula rasa seronok dapat berjumpa semula dengan lelaki handsome yang menyindir-yindirnya di library tadi. Pelik sungguh! Kena sindir tapi serupa baru menang loteri!

“Awak ni perempuan yang kat library tu kan?” Lelaki itu mengerutkan dahinya, seolah-olah cuba mengingati wajah Tia. Tanpa menunggu lama, Tia segera menganggukkan kepala. Yes, it’s me! Nice to meet you. Namun kata-kata itu hanya mampu dipendamkan jauh di dasar hati. Takkan dia nak perkenalkan diri sedangkan namanya tidak ditanya. Buat malu saja! Bisik hati kecil Tia.

“Err..awak buat apa kat sini?” Tia bertanya ingin tahu.

Namun belum sempat lelaki itu mahu menjelaskan, tiba-tiba telinga Tia menangkap bunyi tapak kaki yang pelbagai rentak di sekitar kawasan itu. Dia segera menoleh. Melihat sekumpulan lelaki berpakaian serba hitam sedang berlari ke arah mereka, serta-merta Tia disentap rasa cemas. Alamak! Not again!

“Awak, me..mereka tu ke..kejar kita ke?” Tergagap-gagap dia bertanya seraya memuncungkan mulutnya ke arah lelaki-lelaki yang tak ubah seperti bouncer kelab malam, sedang meluru ke arah mereka.

Tanpa menjawab pertanyaannya, lelaki itu tiba-tiba memaut lengannya lalu menyeretnya lari dari situ. Mahu tak mahu Tia terpaksa merelakan dirinya dibawa pergi. Nak mampus tunggu kat situ? Silap-silap haribulan, ayahnya kena menuntut mayatnya di hospital pulak. Eii..membayangkan sahaja dia sudah naik gerun. Baik lari! Run! Save your life! Dia memandang lelaki di hadapannya yang memegang tangannya. Kenapa aku macam tengah kahwin lari ni?

Sebuah kereta kancil berwarna merah baru sahaja berhenti di bahu jalan berhampiran sebuah kedai runcit. Seorang lelaki berusia 40an keluar dari perut keretanya sambil membawa keluar beberapa bekas telur ayam ke arah kedai runcit di kawasan itu.

Melihat pintu kereta yang terbuka luas di bahagian tempat duduk pemandu, lelaki yang menyeretnya tiba-tiba menolak tubuhnya masuk ke dalam kereta tersebut. Tia terkejut.

“Awak…awak nak buat apa ni?” Tanya Tia sudah kecut perut. Jangan-jangan lelaki ni nak culik aku tak! Timbul berkarung-karung persepsi negatif di kepalanya. Menyesal pulak dia ikut lelaki itu lari tadi! Jangan-jangan mamat handsome ni pembunuh bersiri ke, perogol bersiri ke..tak ke naya aku?

“Jangan banyak soal, masuk ajelah.” Herdik lelaki itu. Tubuh kecilnya ditolak kasar ke arah tempat duduk sebelum lelaki itu menerpa masuk.

“Awak nak curi kereta ni ke? Jangan awak! Tak baik curi kereta pakcik tu!” Rayu Tia dengan harapan agar lelaki itu tidak membuat kerja gila. Besar juga harapannya agar lelaki itu mahu melepaskannya. Kalau nak mati, kau mati sorang! Walaupun kau cute tapi aku masih sayang nyawa! Gumam Tia cemas.

Lelaki itu langsung tidak mengendahkan kata-katanya. Kereta kancil itu terus dihala ke arah jalan utama. Sesekali lelaki itu memandang cermin di hadapannya, bagaikan ingin mengawasi kelibat lelaki-lelaki itu. Melihat lelaki-lelaki berpakaian serba hitam itu sudah berhenti mengejar mereka, dia mengeluh lega.

“Berhentikan kereta ni! Kenapa awak heret saya sekali? Awak tahu tak hukuman menculik tu berat?” Rungut Tia berang. Wajahnya sengaja dijegil ke arah lelaki itu, meskipun tidak ada tanda-tanda lelaki itu mahu berpaling ke arahnya.

“Kalau awak tak berhenti, saya menjerit.” Ugut Tia.

“Nak jerit, jerit ajelah. Kalau nak saya boleh tolong bukakan tingkap tu supaya suara awak yang lemak merdu tu boleh terlepas sampai balai polis. Nak ke?” Lelaki itu mengeling sambil tersengih.

Tia terkedu. Bunyi ketawa lelaki itu singgah.

“Menculik konon. Siapalah yang nak culik awak tu? Buang masa aje. Takde pulangan!” Komen lelaki itu selamba. Tia mengerling. Panas hatinya mendengar kata-kata lelaki itu. Apa? Tak ada pulangan? Ingat aku ni sengkek sangat ke? Tolong sikit ya!

3 comments:

agent_sesat said...

OMG!!! suka sangat2 ngan citer nie...tunngu..hehehe...

dieha said...

nakal la raf 2..
ske.. smbg cpt2 tau cgu..

aqilah said...

raff dan davian cari perempuan??? tia ke????

DEDALU DI HATI - STOK TERHAD!!

DEDALU DI HATI  - STOK TERHAD!!

PESANAN NOVEL DEDALU DI HATI SEDANG DIBUKA SEKARANG!!!

Harga = RM25.90
Kos Pos = RM7 (pos laju)
Total = RM32.90

Emailkan nama dan butiran diri ke arr_nita@yahoo.com.
Pesanan sehingga stok ke 3 ini kehabisan..

NANTIKAN VENOM SURIA DI PESTA BUKU ANTARABANGSA PWTC MULAI 27 APRIL, TERBITAN BUKU PRIMA (RM25.90)

NANTIKAN VENOM SURIA DI PESTA BUKU ANTARABANGSA  PWTC MULAI 27 APRIL, TERBITAN BUKU PRIMA (RM25.90)
Suria gadis ceria dan periang, namun miliki sejarah hitam dalam kelahiran. Yang membuatkan dia diburu dan dijejaki untuk meleraikan sebuah kisah sumpahan, lalu mempertemukan dia dengan dua lelaki berbeza sifat. Izwan jenis yang dingin dan panas baran. Cakapnya harus dipatuhi atau dia akan meletup! Nazrul sentiasa cool tapi punya rahsia terpendam yang menyiksa jiwa. Seorang lelaki ditakdirkan menjadi penyelamat. Seorang lagi ditakdirkan membunuhnya. Kedua-duanya muncul tak diundang, tetapi meninggalkan kesan mendalam. Lalu bermulalah permainan cat and mouse antara mereka sehingga game over!